Ayat 55: Ayat 55 – 76 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menyuruh umat Islam istiqamah dalam tabligh. Ayat 55 ini adalah ayat Tasliah untuk memujuk hati hambaNya yang berjuang untuk menegakkan agama Allah dengan menyampaikan dakwah.
فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَاستَغفِر لِذَنبِكَ وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ بِالعَشِيِّ وَالإِبكٰرِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So be patient, [O Muḥammad]. Indeed, the promise of Allāh is truth. And ask forgiveness for your sin1 and exalt [Allāh] with praise of your Lord in the evening and the morning.
- What is intended is “fault” or “error” in judgement, since all prophets were protected by Allāh from falling into sin. The implication is that all believers should seek forgiveness for their sins.
MALAY
(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.
فَاصْبِرْ
Bersabarlah kamu.
Allah menyuruh Nabi dan kita semua untuk bersabar. Ingatlah bahawa dengan sabar juga, kita akan dapat pahala. Allah berikan dugaan untuk kita, supaya kita dapat pahala tambahan dengan sabar itu.
Terdapat satu hadis berkenaan dengan hal sabar ini. Satu hari, apabila Nabi sudah solat, baginda mendengar seorang sahabat yang sedang berdoa. Sahabat itu sedang berdoa: “Berilah pada aku, sabar”. Maka Nabi berkata kepadanya: “adakah kamu nak minta bala?”
Sebab sabar tidak akan datang, melainkan bala datang dahulu. Kerana bala dan sabar adalah serangkai. Ini bermakna, sesiapa minta untuk jadi seorang yang sabar, bermakna dia minta bala. Kita sebenarnya disuruh untuk sabar apabila datang bala kepada kita. Tak perlu minta, tapi bila apa-apa sahaja datang, maka bersabar. Ianya adalah satu sikap yang kena ada dalam diri kita.
Apa yang boleh kita berdoa adalah supaya kita tidak ditimpakan dugaan yang kita tidak dapat hadapi. Doa ini ada di dalam surah Baqarah:286 iaitu surah terakhir dalam surah Baqarah. Pakailah doa dalam ayat yang telah Allah berikan dalam ayat ini dan jangan kita reka doa-doa yang lain.
Maka bersabarlah dalam usaha untuk melaksanakan syariat yang telah Allah berikan kepada kita. Terdapat dugaan di dalam menjalankan perintah Allah. Seperti Allah menguji manusia kadang-kadang kena puasa dalam musim sejuk, dan kadang-kadang dalam musim panas.
Dan satu lagi, bersabarlah untuk memegang sunnah Nabi. Ini adalah satu perkara yang payah sekali untuk kita lakukan. Banyak perbuatan manusia yang kita lihat adalah bercanggah dengan syariat. Contohnya, menyambut perayaan Maulidur Rasul. Ini adalah satu perbuatan bid’ah dan amat ramai sekali umat Islam di dunia meraikannya, padahal ianya adalah satu perbuatan yang salah dan sia-sia.
Ia menjadi masalah kepada kita pula untuk tidak menyambutnya kerana ianya disambut oleh majoriti umat Islam. Orang akan memandang serong kepada kita kalau kita tidak menyambutnya. Mereka akan kata kita tidak sayangkan Nabi Muhammad ﷺ pula. Jadi, kena bersabar dalam menghadapi tohmahan dari orang-orang yang sebegini.
إِنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ
Sesungguhnya janji Allah taala itu benar.
Iaitu janji Allah untuk memberi syurga kepada manusia adalah benar. Dan bersabarlah kerana janji Allah untuk memberi balasan baik kepada mereka yang bersabar adalah benar. Ianya pasti datang, cuma lambat atau cepat sahaja.
Jadi inilah pelembut bagi hati kita – semasa kita kena dugaan itu, kenanglah yang Allah akan beri balasan baik kepada mereka yang sabar. Tapi kena sabarlah dan jangan merungut, kerana kalau merungut, itu sudah tidak termasuk dalam golongan yang sabar. Kalau merungut, ia tanda orang itu tidak sabar.
وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ
dan hendaklah kamu minta ampun dosa-dosamu.
Dalam masa bersabar itu, sibukkan diri dengan amalan kebaikan. Salah satunya istighfar atas dosa kita. Ayat ini asal khitabnya kepada Nabi Muhammad ﷺ, tapi bukanlah bermaksud Nabi Muhammad ada dosa. Nabi Muhammad ﷺ tidak berdosa kerana fahaman kita, semua Nabi adalah maksum – tidak berdosa. Jadi ayat ini adalah untuk mengajar umat, untuk selalu istighfar.
Minta ampun untuk dosa kita semua sekali. Jangan malu nak minta Allah ampunkan dosa kita. Tidak kira banyak mana pun dosa kita, mintalah ampun. Kadang-kadang ada yang malu nak minta Allah ampunkan semua dosa kita, takut kita minta lebih pula. Mereka rasa dosa mereka banyak sangat, sampai Allah tidak akan ampunkan. Padahal, Allah boleh sahaja nak ampunkan semua dosa kita sekali. Maka jangan salah sangka dengan Allah. Bahaya kalau salah sangka dengan Allah.
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, Allah Ta’ala berfirman,
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
“Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku” (Muttafaqun ‘alaih).
Hadith ini mengajarkan bagaimana seorang Muslim harus huznuzhon (bersangka baik) pada Allah dan memiliki sikap roja‘ (harap) pada-Nya. Kalau kita sangka Allah tidak suka memaafkan kita, maka Allah tidak akan memaafkan kita. Tidakkah bahaya kalau begitu?
Satu lagi pengajaran ayat ini, jangan kita mengutuk orang lain. Apabila orang tolak kita, syaitan akan tunjukkan keburukan orang yang tolak kita itu. Ada kemungkinan kita boleh ambil kesempatan itu untuk serang dia balik. Dan kalau kita lakukan begitu, kita pula yang akan berdosa kerana serang dia balik. Maka Allah ajar kita untuk fikirkan dosa kita, bukan untuk fikirkan dosa orang lain.
وَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ بِالعَشِيِّ وَالإِبكٰرِ
serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.
Selain dari istighfar, hendaklah kita sentiasa menyucikan sifat-sifat syirik yang ada dalam hati. Itulah maksud tasbih. Ada ramai orang yang sebut ‘subhanallah’, tapi mereka tidak faham apakah maksud tasbih itu sendiri.
Amat malang kalau ada yang selalu bertasbih, tapi dalam masa yang sama mereka melakukan syirik. Mulut mereka menyucikan Allah dari sifat syirik, tapi mereka pula yang buat syirik. Tidak selari apa yang disebut dengan mulut dan perbuatan mereka. Ini adalah kerana tidak belajar sahaja.
Dan kamu juga kena sentiasalah memuji Tuhan kamu. Iaitu dengan baca tahmid (alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah). Oleh itu, ada zikir yang berbentuk tasbih (menyucikan) dan ada zikir dalam bentuk puji.
Begitulah dalam syahadah kita la ilaha illallah, ada nafi dan ada ithbat, dimana kita menafikan sifat-sifat yang tidak patut dengan Allah dan kemudian kita menetapkan sifat-sifat yang sesuai dengan Allah.
Senangnya, kita buat semua sekali, iaitu dengan berzikir astaghfirullah, Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar. Dan lain-lain zikir yang sunnah dari Nabi. Jangan pula ambil amalan zikir dari sumber yang tidak dapat dikenalpasti.
Banyak berlegar dalam masyarakat kita, amalan-amalan yang salah. Kalau tidak belajar, boleh tertipu. Antaranya yang diambil dari kitab-kitab yang tidak merujuk kepada sunnah. Sebab itu kita selalu pesan, kena belajar tafsir dan hadis Nabi sebelum merujuk kepada kitab-kitab yang ada di pasaran.
Apabila dikatakan waktu ‘pagi dan petang’, maknanya sepanjang masa. Dalam masa yang sama, ada zikir-zikir masnoon (zikir yang sunnah) yang Nabi ajar yang diamalkan mengikut waktu-waktu tertentu. Ada yang dibaca pagi, ada yang dibaca petang.
Boleh rujuk kepada kitab-kitab Sunnah seperti Hisnul Muslim untuk mendapatkan amalan-amalan ini. Zikir-zikir yang ada dalam kitab ini dinamakan Zikir-zikir Masnoon, iaitu amalan zikir harian yang ada sumber dari Nabi Muhammad ﷺ, melalui sanad-sanad yang sahih.
Allah ajar kita untuk sibukkan diri dengan amal ibadat. Lafaz ‘tasbih’ itu juga boleh bermaksud ‘solat sunat’. Maka kita kena selalu buat solat sunat.
Jangan kita fikir tentang rancangan jahat manusia dan apa-apa yang mereka kata tentang kita dan kepada kita. Kalau kita sibukkan diri kita dengan buat sesuatu yang baik, kita akan terlupa dengan perkara-perkara yang tidak perlu kita fikirkan. Kerana kita bukan boleh ubah pun apa yang mereka katakan itu.
Kalau mereka ada perancangan jahat, kita pun tidak boleh buat apa-apa pun. Jadi buang masa kalau kita cuba nak lawan perancangan mereka, atau kita cuba nak jawab dakwaan-dakwaan mereka itu. Lebih baik kita buat amal sahaja, dan serahkan perkara mereka kepada Allah untuk diuruskan. Allah lebih tahu apa nak buat dengan mereka.
Semoga dengan mengamalkan zikir-zikir itu, dapat menghilangkan kesedihan hati. Sebab selalunya hati kita tidak tahan. Dan dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Seperti Allah sebut dalam ayat yang lain:
أَلاَ بِذِكْرِ اللهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ra’d:28)
Kalau kena kutuk, kena hina, memang timbul dalam diri kita rasa macam nak lawan balik pun ada. Tapi itulah bahayanya kalau kita lawan balik. Kerana takut sampai kita buat dosa pula dengan melawan mereka dengan menggunakan kata-kata huduh yang tidak patut. Sebaiknya buat latihan senyum selalu: orang kata apa-apa pun, kita senyum sahaja sebab kita sudah biasa buat latihan.
Ayat 56: Ayat Zajrun
إِنَّ الَّذينَ يُجٰدِلونَ في ءآيٰتِ اللهِ بِغَيرِ سُلطٰنٍ أَتٰهُم ۙ إِن في صُدورِهِم إِلّا كِبرٌ مّا هُم بِبٰلِغيهِ ۚ فَاستَعِذ بِاللهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who dispute concerning the signs of Allāh without [any] authority having come to them – there is not within their breasts except pride, [the extent of] which they cannot reach. So seek refuge in Allāh. Indeed, it is He who is the Hearing, the Seeing.
MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Tuhanmu dengan tidak berdasarkan sebarang bukti yang sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya), tidak ada dalam dada mereka melainkan perasaan mahukan kebesaran (untuk mengatasimu), kemahuan yang mereka tidak sekali-kali akan dapat mencapainya. Oleh itu mintalah perlindungan kepada Allah (dari angkara mereka); sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
إِنَّ الَّذِينَ يُجٰدِلُونَ فِي ءآيٰتِ اللهِ
Sesungguhnya orang-orang yang membantah ayat-ayat Allah,
Asalnya memang Musyrikin Mekah amat marah apabila Nabi Muhammad membacakan Al-Qur’an kepada masyarakat Arab. Bermacam-macam cara mereka lakukan untuk menghalang baginda. Tapi zaman sekarang pun ada lagi orang yang menentang Al-Qur’an. Malah yang Muslim pun ada yang menentang!
Iaitu mereka yang tak senang dengan tafsir ayat Al-Qur’an ini. Kalau setakat baca sahaja, mereka tidak ada masalah, tapi kalau disampaikan ajaran di dalamnya, ada sahaja yang menentang. Maka mereka sentiasa membantah pengajaran dari tafsir Al-Qur’an. Apabila kita beritahu makna sesuatu ayat berdasarkan pengajaran tafsir, mereka akan bantah.
Kenapa pula mereka bantah? Mereka bantah kerana ajaran Al-Qur’an itu berlawanan dengan fahaman mereka yang salah, dan kerana berlawanan dengan kehendak nafsu mereka. Tapi mereka tak mahu nak betulkan amalan salah mereka, sebaliknya mereka nak tukar pula tafsir Al-Qur’an supaya selari dengan fahaman dan amalan mereka. Mereka letak otak mereka di mana agaknya?
بِغَيْرِ سُلْطٰنٍ أَتٰهُمْ
tanpa dalil bukti yang datang pada mereka.
Mereka hanya menggunakan akal sebagai dalil mereka. Mereka kata “takkan salam keliling tak molek”. Iaitu sekarang yang banyak dilakukan oleh jemaah selepas solat, iaitu bersalam ramai-ramai. Sampai satu masalah pula kepada kita kalau nak beritahu bahawa perbuatan itu salah.
Yang mengajarnya dulu adalah gerakan al-Arqam yang telah diharamkan dulu. Mereka nampak pada mata mereka bahawa perbuatan itu baik. Padahal, Sunnah tidak mengajar bersalam selepas solat. Nabi tak suruh dan sahabat pun tak buat. Sekarang ni kita perlu menyekat perbuatan ini dari terus dibuat. Sekali-sekala buat pun tak boleh. Sebab sekarang ia sudah jadi macam syariat. Ini adalah salah satu contoh sahaja.
Kalau mereka bantah dakwah dan teguran kita dengan beri dalil dan bukti sahih, tidaklah mengapa. Tapi mereka bantah dengan bantahan kosong sahaja. Ini memang tidak patut. Kita bukan larang orang tidak setuju dengan kita, dan kadang-kadang mungkin kita ada kesalahan.
Tapi kenalah ada perbandingan ilmu dan perbincangan yang berlandaskan ilmu. Kalau bantah kosong sahaja, pakai akal sahaja, semua orang boleh. Akhirnya semua ada fahaman masing-masing dan ini tidak patut. Kerana yang kita mahu adalah kebenaran.
إِنْ فِي صُدُورِهِمْ إِلَّا كِبْرٌ
Dalam hati mereka itu tidak ada lain melainkan kesombongan.
Mereka sombong untuk terima kebenaran. Mereka tidak terima itu bukan kerana tidak tahu, tapi kerana degil sahaja. Walaupun kebenaran telah datang di hadapan mereka, tapi mereka sombong tidak mahu terima.
Mereka hendak berada di tempat yang tinggi, sampai tidak mahu terima pendapat orang lain. Mungkin mereka telah ada kedudukan tinggi dalam masyarakat yang merujuk hal agama kepada mereka. Maka kalau mereka terima ajaran Al-Qur’an, ia berlawanan dengan ajaran mereka pula.
Kalau zaman Nabi dulu, mereka tidak dapat terima Nabi sebagai Rasul kerana pada mereka, itu akan menaikkan nama Nabi dan puak baginda (Bani Hashim) melebihi puak mereka. Dan mereka tidak mahu kalah.
Zaman sekarang pun terjadi juga lebih kurang perkara yang sama. Ramai yang hendak duduk di atas tidak mahu dengar cakap orang lain. Kerana itulah kita tengok golongan Pak Lebai memang menolak ajaran tafsir Al-Qur’an kerana memang ia berlawanan dengan ajaran dan amalan tok nenek (ajaran keturunan) yang dipelopori oleh mereka. Maka kalau ajaran Sunnah diamalkan, maka hilanglah kedudukan tinggi mereka itu.
مَّا هُمْ بِبٰلِغِيهِ
sedangkan mereka tak akan boleh mencapainya
Sedangkan mereka tidak akan dapat mencapai kedudukan yang mereka hendak itu. Mereka hanya perasan sahaja yang mereka berada di kedudukan yang tinggi. Tidak akan sesiapa mencapai darjat yang tinggi melainkan kalau Allah mahu. Termasuklah Musyrikin Mekah yang mahu duduk lebih tinggi dari Nabi Muhammad. Mereka tidak akan dapat capai kedudukan itu.
Dan Allah tidak suka orang yang membesarkan diri, orang yang sombong. Kerana sombong itu adalah sifat Allah – al-Mutakabbir. Allah tidak suka kalau ada orang lain yang juga ada perasaan sebegitu, kerana itu adalah haqNya.
Mereka mengejar kedudukan tinggi di dunia tapi ianya sia-sia sahaja sebenarnya. Kerana kedudukan tinggi yang utama adalah di akhirat kelak. Dan mereka hanya dapat kedudukan tinggi di akhirat kelak kalau menerima dan mengamalkan ajaran Al-Qur’an.
فَاسْتَعِذْ بِاللهِ
Hendaklah kamu minta perlindungan kepada Allah.
Kalau ada orang yang sebegini berhadapan dengan kita, maka mintalah perlindungan kepada Allah dari kesan buruk dari mereka. Kerana marah kepada kita, mungkin mereka akan buat rancangan untuk menjatuhkan nama baiki kita.
Kalau begitu, serahkan kepada Allah sahaja. Kerana Allah akan menjaga hambaNya yang mukmin dan beri kemenangan kepada orang mukmin. Mintalah kepada Allah untuk apa sahaja kesulitan yang kita hadapi.
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ
Sesungguhnya Dia Maha Mendengar.
Dia Maha Mendengar doa kita kepadaNya. Tidak ada sembahan lain yang boleh mendengar doa kita.
Dia juga mendengar apa sahaja kata-kata orang kepada kita. Jadi jangan risaulah, bukan Allah tidak tahu. Dan Allah mendengar apa kata hati kita kepada orang lain.
الْبَصِيرُ
Maha melihat.
Allah Maha melihat tindak tanduk orang kepada kita dan tindak tanduk kita kepada orang. Jadi, hendaklah kita berhati-hati dengan kelakuan kita kepada orang lain. Kalau orang lain buat jahat, jangan kita pun nak buat jahat sekali sama macam mereka.
Ayat 57: Dalam dunia ini, kita tahu bahawa benda-benda besar macam langit, bulan, matahari dan lain-lain adalah ciptaan Allah. Maka dari itu, kita boleh ambil dalil bahawa benda-benda kecil pun Tuhan boleh buat. Dalil sebegini dipanggil ‘dalil inni’.
Ini adalah dalil aqli tentang adanya Hari Kiamat. Orang Musyrikin Mekah tidak percaya adanya kehidupan selepas kematian. Maka, Allah berikan dalil kepada mereka dalam ayat ini.
لَخَلقُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ أَكبَرُ مِن خَلقِ النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The creation of the heavens and earth is greater than the creation of mankind, but most of the people do not know.
MALAY
Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahui.
لَخَلْقُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
Sesungguhnya, penciptaan langit dan bumi
Allah menyuruh kita melihat kepada dua makhluk yang paling besar yang kita boleh nampak. Tentu ada lagi makhluk lain yang lebih besar seperti Arasy, tapi kita tidak boleh nampak. Maka, Allah suruh kita lihat kepada langit dan bumi yang besar ini.
أَكْبَرُ مِنْ خَلْقِ النَّاسِ
lebih besar dari penciptaan manusia.
Tentulah kita pun tahu, langit dan bumi ini lebih besar dari manusia. Kalau kita lihat secara zahir, kita tentu sangka untuk cipta langit dan bumi lagi payah dari cipta manusia. Tapi bagi Allah, serupa sahaja dua-dua penciptaan ini – mudah sahaja bagi Allah. Kerana nanti semua manusia akan bangkit serentak apabila ditiupkan sangkakala.
Padahal, masa nak jadikan makhlukNya dulu, ikut proses – dari mani, disimpan dalam rahim ibu, dan kemudian melalui proses sakit bersalin. Proses-proses ini adalah kerana Allah nak tunjukkan kehebatan Dia. Padahal, sepertimana Dia boleh membangkitkan semua makhluk sekaligus pada hari akhirat nanti, Dia boleh sahaja menjadikan manusia yang pertama kali itu dengan terus sahaja tanpa melalui proses-proses di atas tadi.
Dan sangatlah hebatnya alam ini. Semua bintang yang kita boleh lihat dengan teropong dan segala bintang yang sama ada kita boleh nampak atau tidak di cakerawala itu adalah semuanya sekali di bawah langit pertama. Ada 4 billion matahari. Tak terkira banyaknya bintang-bintang itu. Dan semuanya duduk di bawah langit pertama.
Orang yang terakhir masuk syurga itu nanti (setelah entah berapa lama diazab di neraka), akan diberikan kepadanya kerajaan sebesar sepuluh kali ganda saiz bumi ini. Walaupun dikatakan berat ibadah dia itu adalah hanya sebesar zarah sahaja.
Tapi walaupun amalan ibadah dia sedikit sangat, dan dosa dia banyak sampai dia diazab dahulu di neraka, dia tidak melakukan syirik kepada Tuhan. Mungkin dia kena masuk neraka selama ribu tahun, kita pun tidak tahu. Kalau dia pernah buat syirik semasa di dunia, dia sudah bertaubat sebelum dia mati.
Jadi ingatlah setiap malam, semasa nak tidur, kena istighfar kepada Allah supaya ampunkan semua sekali dosa-dosa kita. Supaya kalaulah mati malam itu, tinggal sedikit sahajalah dosa kita. Tiap-tiap malam kena minta ampun. Dan kita kena mengharap bahawa Allah akan ampunkan. Jangan kita buruk sangka yang Allah tak ampunkan. Kalau kita ada melakukan syirik, itu kena minta ampun khas.
Maksudnya, kena sebut yang kita minta ampun atas dosa-dosa syirik kita. Begitu juga dengan dosa-dosa besar seperti zina, minum arak dan apa-apa dosa besar. Dosa-dosa seperti itu, kita kena sebut satu persatu. Kalau dosa-dosa kecil, sudah diampunkan selepas solat.
Tapi macam mana nak minta ampun kalau kita sendiri tak tahu apa yang kita buat itu adalah perbuatan syirik? Kita mungkin sangka perbuatan kita itu tidak salah kerana kita tidak belajar. Tak boleh guna alasan tidak tahu di hadapan Allah nanti.
Kembali kepada dalil yang hendak disampaikan oleh Allah – Allah suruh kita tengok langit dan bumi ini. Keduanya adalah makhluk yang besar yang Allah mampu buat. Bandingkan dengan diri manusia yang lebih kerdil dari keduanya itu. Kalau langit dan bumi yang begitu besar pun Allah pun mampu buat, apatah lagi untuk menghidupkan kembali manusia selepas Hari Kiamat kelak? Tentulah Allah mampu.
وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Tapi kebanyakan manusia itu tidak mengetahui.
Mereka tidak tahu kerana mereka tidak mahu berfikir. Mereka hendak ikut juga hawa nafsu mereka dan kerana itu mereka tidak mahu menerima ada kehidupan selepas kematian. Kerana kalau mereka terima kehidupan selepas kematian, mereka tidaklah boleh sesuka hati selama mereka hidup ini.
Sekarang mereka boleh buat apa sahaja yang mereka hendak buat, kerana mereka yakin yang mereka tidak akan dipertanggungjawabkan selepas itu.
Ayat 58: Sekarang pula adalah dalil jenis linni – sebab dan kenapa sesuatu perkara itu terjadi. Oleh kerana manusia perangainya tidak sama, maka hasilnya pun tidak sama. Walaupun dalil yang sama diberikan, tetapi penerimaan manusia tidak sama. Ini adalah kerana mereka tidak sama.
وَما يَستَوِي الأَعمىٰ وَالبَصيرُ وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَلَا المُسيءُ ۚ قَليلًا مّا تَتَذَكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And not equal are the blind and the seeing, nor are those who believe and do righteous deeds and the evildoer. Little do you remember.
MALAY
Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.
وَمَا يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ
Dan tidaklah sama seorang buta dengan seorang yang celik
Allah memberi contoh fizikal yang kita boleh lihat dalam alam ini. Semuanya dapat membezakan antara orang celik dan orang yang buta, bukan? Seterusnya Allah hendak memberikan perbandingan yang sedikit abstrak – orang yang beriman dan orang yang tidak.
Allah hendak memberikan perumpamaan orang yang celik hati dengan orang yang celik fizikal. Dan orang yang buta hati umpama orang yang buta fizikal.
وَالَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
Dan orang yang beriman sempurna dan beramal soleh
Allah hendak membuat perbandingan kedua pula. Dia suruh kita lihat mereka yang baik, iaitu mereka yang beriman sempurna. Iman sempurna adalah tauhid tanpa syirik. Ada banyak jenis syirik dan surah ini adalah tentang syirik dalam berdoa. Jadi, mereka yang beriman sempurna adalah mereka yang tidak menggunakan perantaraan dalam doa mereka.
Mereka juga beramal dengan amalan yang soleh. Amalan yang soleh adalah amalan yang ada contoh dari Nabi. Bukannya amalan yang bidaah seperti yang banyak dilakukan oleh kebanyakan orang.
وَلَا الْمُسِيءُ
dengan satu orang yang melakukan dosa?
Tentulah mereka yang beriman dan beramal soleh itu jauh bezanya dengan orang yang berbuat dosa. Antara dosa yang banyak dilakukan tanpa disedari adalah dosa syirik dan dosa bidaah.
Oleh kerana tidak faham makna syirik dan bidaah, maka ramailah dari kalangan masyarakat kita yang buat dosa tersebut. Tapi mereka tidak tahu yang ianya berdosa kerana mereka tidak belajar. Atau, mereka belajar dengan guru yang salah.
Mereka itu amat berbeza dengan orang yang beriman dan beramal soleh, seumpama beza orang yang celik dengan orang yang buta.
قَلِيلًا مَّا تَتَذَكَّرُونَ
Sedikit sahaja mereka yang dapat peringatan.
Tetapi perbandingan ini tidak dapat difahami oleh semua orang. Hanya sedikit sahaja yang faham. Mereka yang buat bidaah itu, tidak dapat faham kenapa salah perbuatan mereka itu. Mereka bermati-matian akan mempertahankan amalan bidaah mereka itu, dengan memberi berbagai-bagai dalil.
Sebenarnya hujah yang mereka berikan itu bukanlah dalil, atau mereka salah faham dengan dalil yang ada. Kalau belajar Al-Qur’an dan Sunnah dengan cara yang betul, in sha Allah, akan dapat faham.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 19 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
Apa maksud dalil linin yg di Beritahu di ayat 58.
LikeLike
Dalil LINNI, bukan dalil linin atau lilin. Ia dari huruf lam ل iaitu bermaksud kerana, menjelaskan kenapa, why it happened. Maksudnya orang kafir itu jadi kafir KERANA mereka itu buta mata hati.
LikeLike