Tafsir Surah al-Maidah Ayat 1 – 2 (Penuhi perjanjian)

Pengenalan:

Kaitan dengan Surah Baqarah: Dalam Surah Baqarah telah disebut tentang akidah syirik dalam bentuk iktikadi (dalam hati) dan amali (perbuatan). Dalam Surah Maidah ini banyak disebut tentang syirik dari segi amali sedangkan sebelum ini, Surah Ali Imran hanya sebut syirik iktikadi sahaja.

Surah Baqarah banyak menyebut tentang golongan Yahudi

Surah Ali Imran banyak menyebut tentang golongan Nasara.

Surah Nisa menyebut tentang golongan Munafik.

Dalam Surah Maidah ini pula, menggabungkan ketiga-tiga kumpulan itu: Yahudi, Nasara dan Munafiqun.

Empat golongan sesat tafsir Quran

Surah Maidah ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian :

1-66 adalah bahagian pertama. Ia adalah tentang syirik amali. Disebut tentang syirik amali dahulu kemudian baru disebut syirik iktikadi.

67-120 adalah bahagian kedua. Disebut tentang syirik iktikadi dahulu sebelum syirik amali.

Dalam surah ini juga disebut tentang pemutusan hubungan dengan Yahudi dan Nasara. Ini adalah kerana kalau tidak memutuskan hubungan baik dengan mereka, kita akan dikira sebagai sebahagian daripada mereka.

Surah ini juga mengandungi teguran kepada Yahudi dan Nasara kerana mereka hendak menyesatkan manusia sedangkan mereka itu adalah pemegang kitab wahyu daripada Allah ‎ﷻ. Sepatutnya mereka yang mengajar manusia ke arah kebaikan tetapi mereka menjadi sebaliknya pula. Jadi surah ini mengingatkan kita supaya jangan kita jadi seperti mereka. Ini kerana ada juga dalaam kalangan umat Islam yang berperangai seperti mereka.

Surah ini ada mengandungi ayat-ayat Umur Muslihah dan kebanyakannya tentang Salat.

Juga mengandungi ayat-ayat Umur Munazimah tentang bagaimana hendak berurusan dengan pencuri.

Ia turut mengandungi ayat-ayat tentang amar makruf nahi mungkar.

Surah ini diturunkan lewat periode di Madaniah iaitu selepas Perjanjian Hudaibiyah, sebahagiannya semasa Penaklukan Mekah dan sebahagian lagi semasa baginda di dalam perjalanan mengerjakan Haji. Pada periode itu umat Islam sudah kuat. Ini bermakna waktu itu hukum-hakam hampir dilengkapkan kerana daulah Islamiah (negara Islam) sudah berdiri dan memerlukan hukum hakam yang lengkap untuk mengurusnya.

Oleh kerana diturunkan di hujung periode kenabian baginda, maka hukum hakam di dalamnya adalah kekal (ayat-ayat muhkam). Ini kerana pasti tidak akan ada pemansuhan kepada ayat-ayat di dalamnya kerana jangkamasa hayat Nabi sudah tidak lama lagi. Kerana kalau ada pemansuhan, ia memansuhkan hukum hakam yang di awal kenabian baginda.


 

Ayat 1: Tentang syirik amali.

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, fulfill [all] contracts.¹ Lawful for you are the animals of grazing livestock except for that which is recited to you [in this Qur’ān] – hunting not being permitted while you are in the state of iḥrām.² Indeed, Allāh ordains what He intends.

  • ¹ Which includes promises, covenants, oaths, etc.
  • ² The state of ritual consecration for ḥajj or ‘umrah.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.

 

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Ini adalah ajaran yang amat penting dalam Islam – sempurnakan perjanjian kita. Ia dimulakan dengan disebut ‘wahai orang-orang beriman’ maka ia adalah hukum yang perlu dipegang bagi orang yang mahu beriman. Yang paling utama adalah sempurnakan janji dengan Allah ‎ﷻ untuk taat kepada-Nya. Kalau perjanjian ini tidak diutamakan, tidak bermakna lagi segala perkara lain.

Oleh kerana ada disebut tentang al-uqud di dalam ayat ini, maka nama lain bagi Surah Maidah adalah Suratul Uquud.

Perjanjian yang perlu disempurnakan bukan dalam hal agama sahaja tetapi termasuk segala bentuk perjanjian. Itu termasuklah antara pasangan suami isteri, dalam dan luar negara, perjanjian yang melibatkan urusan kerja dan sebagainya. Semua sekali mesti dipenuhi dan ini adalah kewajipan kita.

Ada perjanjian yang bertulis dan ada yang tidak bertulis dengan perjanjian yang tidak bertulis tetapi telah dipersetujui bersama. Sebagai contoh, terdapat kontrak sosial untuk memberikan layanan yang baik kepada manusia yang lain. Banyak sekali yang termasuk dalam perkara ini. Memang tidak ada bertulis, tidak berjanji sambil berjabat tangan tetapi ada perkara yang diharapkan daripada orang lain.

Begitu juga, dalam negara Malaysia kita ini, sudah ada kontrak sosial antara orang Melayu dan bangsa-bangsa yang lain untuk hidup dengan harmoni. Memang asal keturunan mereka dari negara India dan China namun itu sudah lama dahulu. Keturunan mereka sekarang ini adalah penduduk negara ini dan sama-sama tinggal di sini. Mereka tidak ada keinginan untuk pulang ke negara asal datuk nenek mereka lagi. Maka, janganlah ada yang hendak menghalau mereka kembali pula kalau ada yang tidak kena, jika terdapat isu-isu perkauman yang timbul.

Ada ulamak bahagikan uqood ini kepada tiga jenis secara umumnya:

1. Perjanjian dengan Allah ﷻ.

2. Perjanjian dengan diri sendiri untuk menunaikan kewajipan. Contohnya menunaikan nazar.

3. Perjanjian sesama manusia. Tapi mestilah yang halal mengikut syarak. Kerana kalau perjanjian yang haram, ia dari awal lagi telah tertolak.

 

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعٰمِ

Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak

Selepas sebut tentang ‘perjanjian’ sebelum ini, maka sekarang disebut tentang binantang ternak. Apakah kaitannya? Perjanjian sebelum ini disebut umum sahaja dan sekarang ada pengkhususan. Iaitu perjanjian kita dengan Allah ﷻ untuk ikut hukumNya termasuk hukum sembelihan. Iaitu kita boleh makan binatang ternak selepas disembelih mengikut cara yang dikehendakiNya. Selepas disembelih begitu, maka ia halal dimakan oleh kita.

Ini adalah perkara halal yang tidak boleh diharamkan, iaitu binatang ternak dan binatang-binatang lain yang boleh dimakan. Yang dimaksudkan dengan an’am ialah binatang ternak yang pada umumnya jinak, seperti unta, lembu, dan kambing. Juga binatang yang pada umumnya liar, seperti kijang, banteng, dan kuda belang.

Kalau haramkan juga, itu adalah perbuatan syirik amali. Hukum mengharamkan adalah milik mutlak Allah ‎ﷻ, jangan ada yang memandai-mandai mengharamkan sesuatu yang Allah‎ ﷻ telah halalkan. Ia telah menolak hadiah yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita (kufur nikmat) dengan cara terbuka. Dan kalau haramkan juga, itu sudah mengambil alih tugas Allah ‎ﷻ, sedangkan mengadakan hukum adalah hak Dia sahaja.

Kalau buat juga, itulah yang termasuk dalam ruang syirik, kerana menduakan Allah‎ ﷻ dari segi membuat hukum. Untuk beri penerangan yang lebih jelas, Allah ‎ﷻ berikan contoh satu perbuatan seperti dalam ayat ini.

Semua binatang ternak halal belaka untuk dimakan. بَهِيمَةُ adalah binatang yang berkaki empat yang dibela atau diburu yang makan makanan tumbuhan. Oleh itu jangan pantang daripada memakannya. Jangan kata binatang ini tidak boleh makan atas sebab-sebab tertentu yang tidak ada dalam syarak. Ini banyak dilakukan oleh Musyrikin Mekah tetapi malangnya ada juga dilakukan oleh masyarakat Melayu kita. Ini banyak dijelaskan dalam Surah al-An’am.

Jadi ringkasnya perjanjian dengan Allah ﷻ bab binatang ternak ini adalah:

– Bila makan kena syaratnya

– Jangan pakai makan sahaja binatang yang ada

– Jangan diharamkan mana yang halal

 

إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

kecuali apa yang telah dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.

Sebelum ini telah disebut hukum pemakanan binatang. Sekarang disebut pengecualiannya pula.

Pertama tidak boleh kerana memang telah diharamkan dan dijelaskan dalam Al-Qur’an juga, iaitu ada binatang yang diharamkan dengan jelas seperti khinzir dan juga bangkai. Surah Maidah ini adalah Surah Madaniah, jadi ada ayat-ayat tentang pengharaman makanan yang telah dijelaskan dalam ayat-ayat sebelum Surah Maidah diturunkan. Juga akan dijelaskan lagi ayat-ayat seterusnya daripada surah Maidah ini.

Ini mengajar kita, kalau ada pengharaman tentang makanan, ia mestilah ada dalil daripada wahyu, sama ada daripada ayat-ayat Al-Qur’an ataupun hadith Nabi ﷺ yang sahih.

 

غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

tidak dihalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram

Binatang ternak halal dimakan akan tetapi ini satu lagi pengeculian. Ia diharamkan berburu kepada mereka yang berihram semasa mereka mengerjakan Haji. Binatang ternak memang halal dimakan dan diburu, cuma waktu itu sahaja yang tidak boleh – mereka yang dalam ihram.

Oleh itu, kalau ternampak binatang yang diburu semasa dalam perjalanan mengerjakan haji, maka tidak dibolehkan untuk berburu. Ini pun perjanjian yang perlu dipenuhi antara kita dengan Allah ‎ﷻ kerana pada waktu itu tidak ada orang lain nampak. Walaupun orang lain tidak nampak kita pergi berburu, tetapi kita kena yakin yang Allah‎ ﷻ nampak apa yang kita lakukan.

Kita mungkin susah hendak faham ayat ini, kerana kita kalau pergi mengerjakan Umrah atau Haji, makanan sudah tersedia banyak. Namun pada zaman itu, makanan mereka adalah daripada hasil berburu.

 

إِنَّ اللهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.

Terpulang sahaja kepada Allah ‎ﷻ hendak buat bagaimana dan membuat apa sahaja hukum sebab Dia Tuhan dan Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Tidak perlu tanya kenapa Allah ‎ﷻ suruh buat begini dan begitu.

Memang segala apa hukum yang telah ditetapkan itu ada hikmahnya namun kadangkala tidak perlu ditanya dan kita tidak perlu tahu. Yang penting, kita tahu kedudukan kita dan kita sedar kedudukan Allah ‎ﷻ.

Begitu pun, kalau kita cuba untuk mencari hikmah pengharaman sesuatu, maka boleh juga, namun tidaklah kita yakin yang perkara itu adalah benar kerana itu adalah usaha kita sahaja yang tidak semestinya benar. Oleh itu, kalau kita tidak jumpa pun sebab sesuatu perkara itu diharamkan, ia adalah tetap haram sama ada kita faham ataupun tidak.

Allah ﷻ dengan segala kebijaksanaanNya telah mencipta alam ini dan apa yang patut padanya. Maka kerana itu kita boleh makan binatang ternak itu. Tidaklah ada ketidakadilan padanya seperti yang diwar-warkan oleh golongan animal rights. Memang makhluk rendah dicipta untuk kegunaan makhluk atas. Tanah digunakan oleh tanaman – tanaman digunakan oleh binatang – binatang pula dimakan oleh kita. Tidak ada lagi makhluk atas kita, maka kerana itu kita manusia bukan makanan makhluk lain.


 

Ayat 2: Sekarang disebut dua jenis perkara lagi yang kita perlu penuhi sebagai penjanjian dengan Allah ﷻ (janji untuk taat). Satu tentang syiar-syiar Allah ﷻ dan satu lagi tentang keadilan kepada semua.

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعٰئِرَ اللهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا الْقَلٰئِدَ وَلَا ءآمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوٰنًا وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not violate the rites of Allāh or [the sanctity of] the sacred month or [neglect the marking of] the sacrificial animals and garlanding [them] or [violate the safety of] those coming to the Sacred House seeking bounty from their Lord and [His] approval. But when you come out of iḥrām, then [you may] hunt. And do not let the hatred of a people for having obstructed you from al-Masjid al-Ḥarām lead you to transgress. And cooperate in righteousness and piety, but do not cooperate in sin and aggression. And fear Allāh; indeed, Allāh is severe in penalty.

MALAY

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.

 

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تُحِلُّوا شَعٰئِرَ اللهِ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah,

Syiar bermaksud ‘lambang’ dalam bahasa kita. Allah ‎ﷻ berpesan supaya kita jangan langgar lambang-lambang agama Allah ‎ﷻ, seperti Tanah Haram, Bulan Haram. Janganlah kita dengan beraninya tidak menghormati lambang-lambang itu. Tidak halal bagi kita merosakkannya.

Lambang-lambang itu mesti dihormati kerana ia mengingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, jangan lakukan perkara yang tidak sepatutnya pada syiar-syiar Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, tidak boleh berbunuhan di kawasan Tanah Haram. Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan, yang dimaksudkan dengan syiar-syiar Allah‎ ﷻ ialah manasik Haji. Dan menurut Mujahid, Safa dan Marwah, serta hadyu dan budna juga termasuk syiar-syiar Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, apa yang dimaksudkan dengan syiar Allah juga menjadi perbahasan. Salah satunya adalah benda dan satu lagi adalah perbuatan manusia yang menjadi tanda yang orang itu adalah seorang Muslim seperti solat, azan, Haji, khitan, berjanggut dan lain-lain lagi. Tanda-tanda sebagai Muslim ini juga perlu dijaga, jangan dilanggar. Ini juga termasuk perjanjian. Jadi jangan buat separuh dan tinggalkan separuh.

 

وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ

dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, 

Selepas disebut syiar Allah secara umum (termasuk ibadah) maka sekarang disebut khusus satu ibadah iaitu ibadah Haji. Ada undang-undang terbabit yang khusus tentang ibadah Haji. Sebagai contoh, ada empat bulan haram yang diharamkan berperang dalam bulan itu.

Waktu itu adalah waktu untuk bertenang dan melakukan ibadah di Kaabah (mengerjakan Haji). Kalau asyik berperang sahaja, tentu susah orang nak pergi buat Haji, bukan? Maka, sudah zaman berzaman telah ditetapkan empat bulan itu tidak boleh berperang, tidak halal untuk berperang. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada orang Islam tentang perkara ini.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan daripada Abu Bakrah رضي الله عنه, bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda dalam Haji Wada’:

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُم، ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدة، وَذُو الْحِجَّةِ، وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَر الَّذِي بَيْنَ جُمادى وَشَعْبَانَ”.

Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana keadaannya di hari Allah ‎ﷻ menciptakan langit dan bumi; satu tahun adalah dua belas bulan; empat bulan di antaranya adalah Bulan Haram:tiga berturut-turut, iaitu Zul Kae’dah, Zul Hijjah, dan Muharram serta Raeab Mudar jatuh di antara bulan Jumada dan bulan Sya’ban.

Ada juga pendapat yang mengatakan hukum larangan tentang bulan-bulan Haram ini telah dimansukhkan. Allahu a’lam. Ini memerlukan perbincangan yang lebih panjang.

 

وَلَا الْهَدْيَ

dan (jangan mengganggu) binatang-binatang had-ya, 

Ia bermaksud binatang yang akan disembelih semasa Haji. Binatang-binatang itu telah ditanda oleh mereka yang telah berniat untuk menjadikannya binatang korban nanti. Mungkin belum dibawa ke Mekah lagi, namun sudah ditanda.

 

وَلَا الْقَلٰئِدَ

dan binatang-binatang qalaa-id,

Dan jangan diganggu binatang-binatang yang telah dipakaikan kalung untuk korban. Itu adalah tanda yang binatang itu akan disembelihkan. Binatang itu telah ditanda untuk disembelih kerana Allah ‎ﷻ.

Antara perkara yang boleh melanggar ayat ini adalah apabila binatang-binatang itu ditahan dari sampai ke Kaabah, dicuri. Juga boleh dikira melanggarnya dengan ditunggangi dan diperah susunya.

 

وَلَا ءآمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًا

dan (jangan mengganggu) orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keridhaan dari Tuhannya

Satu lagi larangan berkenaan ibadah Haji. Sebelum ini disebut tentang larangan ganggu binatang sembelihan yang dibawa untuk Haji. Sekarang disebut orang yang hendak ke sana.

Maka Allah ﷻ larang halang orang-orang yang mengunjungi Baitullah dengan tujuan yang aman. Mereka itu datang ke Baitullah kerana hendak mencari kurnia dan redha Allah ‎ﷻ. Jangan halang mereka dari ke Kaabah dan jangan sakiti mereka.

Waktu itu Mekah telah dikuasai oleh Muslim. Nanti akan ada pelbagai ragam manusia yang akan datang. Allah ‎ﷻ mengingatkan supaya jangan dihalang mereka daripada mengunjungi Baitullah. Tambahan pula sebelum itu telah lama peperangan antara mereka. Jadi tentu ada sakit hati dengan orang yang pernah sakiti mereka. Allah ﷻ larang dari balas dendam begitu.

Secara umumnya tidak boleh halang orang dari mengerjakan Haji dan Umrah. Oleh kerana itu, penjaga Tanah Haram tidak boleh menyekat Visa Haji tanpa sebab yang munasabah kerana kita tidak boleh menghalang orang hendak beribadah di Masjidil Haram.

Namun, larangan halangan ini adalah untuk mereka yang hendak melakukan ibadah Islam. Pada zaman Jahiliyah dahulu, orang-orang musyrik juga melakukan ibadah di Kaabah tetapi sekarang, tentu tidak ada, hanya ada orang Islam sahaja yang dibenarkan masuk untuk melakukan ibadah. Kalau untuk tujuan berbuat selain daripada itu, orang kafir tidak dibenarkan masuk ke Tanah Haram. Allah ‎ﷻ telah berfirman:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا}

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. (At-Taubah: 28)

 

وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا

dan apabila kamu telah keluar dari Ihram, maka bolehlah berburu.

Bila sudah keluar daripada Ihram, maka boleh berburu. Selalunya ayat berbunyi sebegini adalah ayat suruhan tetapi dalam ayat ini ia bermaksud memberi hukum ‘harus’, bukan ‘suruh’ sebab sebelum ini telah ada ayat larangan. Maka boleh berburu binatang selepas tahallul.

Kalau silap faham, mungkin ada yang keliru. Nanti ada yang kata sunnah kena ada aktiviti berburu pula – bukan begitu maksudnya. Kita zaman sekarang tidak perlu berburu lagi untuk makan sebab senang sahaja hendak mendapatkan makanan di Mekah.

 

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا

Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum yang telah menghalangi kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat melampau batas

Jangan pula kerana benci kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu menghalang mereka daripada pergi ke Masjidil Haram. Jangan juga kamu balas dendam kepada mereka kerana mereka dahulu pernah menghalang kamu daripada datang ke Masjidil Haram. Ini tentang kisah Perjanjian Hudaybiyah yang disentuh dalam Surah Fath.

Sekarang memang kamu sudah ada kuasa tetapi jangan disala gunakan kuasa itu. Dahulu mungkin kamu ada berperang dengan mereka dan kamu masih ada rasa marah kepada mereka, namun jangan itu dijadikan penyebab untuk menghalang mereka. Sekarang mereka sudah memeluk Islam maka dibenarkan untuk mereka datang ke Mekah.

Allah‎ ﷻ mengingatkan kepada orang Islam kerana selalunya mereka yang menang yang selalu menyalahgunakan kuasa. Dulu memang mereka zalim. Tapi Allah ﷻ larang balas dengan dengan melakukan kezaliman pula. Satu kezaliman tidaklah membenarkan balas dengan kezaliman pula. Islam ajar buat keadilan, bukannya kezaliman.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan menganiaya orang lain kerana benci kepada mereka. Termasuk juga tidak boleh halang orang dari tempat umum, seperti masjid, terutama sekali Masjidil Haram. Sekali pun penjenayah, tapi mereka juga ada hak dan Islam memang agama yang menjaga hak manusia walaupun mereka telah pernah zalim, walaupun mereka itu penjenayah. Hebat agama Islam ini.

Dalam ayat ini banyak larangan. Dalam ayat seterusnya nanti, Allah ‎ﷻ mengajar yang sepatutnya dilakukan.

 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, 

Kita haruslah bekerjasama untuk kebaikan, menegakkan agama Islam kerana agama Islam ini hendaklah disebarkan ke serata dunia. Jangan berperang sesama sendiri sampai kerja dakwah tidak dapat dijalankan. Dalam kehidupan kita, memang kita berharap kepada orang lain. Bukannya kita boleh buat semua benda sendiri. Sudah mati pun kena ada orang tolong kuburkan kita, bukan?

Kita perlukan pertolongan bukan sahaja di dunia tapi apabila kita sudah mati nanti. Ini kerana kita memerlukan juga doa dari orang yang hidup, syafaat dari orang lain jika ada, dan berterusannya pemberian pahala dari orang yang hidup (bukan sedekah pahala tapi kalau meneruskan ilmu yang kita ajar, contohnya). Ini kerana sedekah pahala tidak ada dalam syarak (seperti majlis Tahlil).

Begitu juga kita sekarang, hendaklah saling tolong-menolong dan bekerjasama dalam menjalankan tugas kita sebagai hamba Allah ‎ﷻ di mukabumi ini. Tolong menolonglah untuk melakukan kebaikan. Terdapat banyak jenis kebaikan. Asalkan benda baik, maka hendaklah kita ringankan tangan untuk membantu sesama sendiri.

Bukan dalam hal agama sahaja, tapi dalam hal keduniaan pun kita memerlukan bantuan dari orang lain. Maka janganlah sombong dalam dunia. Sebaiknya kita juga tolong orang lain supaya mereka pun tolong kita juga. Memang begitulah sistem yang Allah ﷻ jadikan dalam dunia ini. Semua memerlukan masing-masing. Yang kaya tetap memerlukan orang yang miskin untuk berkhidmat dengan mereka. Yang berniaga memerlukan orang yang membeli dan yang membeli memerlukan orang yang berjualan.

Allah ﷻ yang jadikan keinginan kepada manusia untuk bekerja dan berkhidmat. Bukan ada paksaan pun dari sesiapa bagi mereka memberi servis kepada orang lain. Kerana kalau dipaksa-paksa, manusia memang tidak suka. Jadi Allah ﷻ telah timbulkan dalam hati kita keinginan kepada sesuatu pekerjaan. Ada yang suka bekerja berniaga, ada yang suka berkhidmat, ada yang suka bercucuk tanam dan sebagainya. Cuba kita fikirkan perkara ini semasa kita membeli barang, duduk di hotel, naik grab apabila hendak ke mana-mana.

 

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ

dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. 

Jangan pula bekerjasama dengan orang lain untuk melakukan keburukan. Ini amat buruk sekali. Ini adalah ayat yang boleh digunakan untuk umum. Apa sahaja perkara keburukan, jangan kita ikut campur dan ikut serta. Kenalah kita pastikan sama ada sesuatu pekerjaan itu untuk kebaikan atau untuk keburukan. Kalau untuk kebaikan, kita ikut tolong, tetapi kalau untuk keburukan, jangan kita ikut serta.

Lihat ayat ini, tidak sebut tolong orang Muslim, tapi bertolongan dalam perkara baik. Bukannya asal Muslim sahaja kita kena tolong. Yang penting bertolongan dalam perkara baik. Kalau Muslim buat perkara baik, ya kita tolong.

Tapi kalau ada yang hendak berbuat keburukan, kita bukan sahaja tidak menyertainya, tetapi kita juga hendaklah menghalang dia daripada melakukannya, sebagaimana disebut dalam satu riwayat.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيْم، حَدَّثَنَا عَبِيدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي بَكْرِ بْنِ أَنَسٍ، عَنْ جَدِّهِ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا”. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا نَصَرْتُه مَظْلُومًا، فَكَيْفَ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ ظَالِمًا؟ قَالَ: “تَحْجِزُهُ تَمْنَعُهُفَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hasyim, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah ibnu Abu Bakar ibnu Anas, daripada datuknya (iaitu Anas ibnu Malik) yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Tolonglah saudaramu, baik dalam keadaan berbuat aniaya atau dianiaya. Lalu ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, orang ini dapat kutolong jika dia dianiaya. Tetapi bagaimanakah menolongnya jika dia berbuat aniaya?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: Kamu cegah dan kamu halangi dia daripada perbuatan ani­aya, itulah cara menolongnya.

Kita tolong orang zalim dengan menghalang dia dari terus melakukan kezaliman. Kerana kita akan menyelamatkan dia dari dikenakan dengan hukuman di akhirat kelak dari kezalimannya itu.

Kalau kita tolong orang buat baik, kita sama-sama dapat pahala, tidak dikurangkan pahala orang yang kita tolong itu. Kalau kita tolong orang buat jahat, kita pun dapat dosa sama dengan orang itu, tidak dikurangkan dosa dia. Kerana takut dapat dosa beginilah yang menyebabkan ramai dari kalangan ulama’ zaman dahulu tidak mahu terlibat dengan pemerintah yang zalim. Kerana membantu pemerintah  yang zalim akan dalam saham dosa.

Inilah cara Allah ﷻ mendidik manusia dan menjaga keharmonian negara. Pemerintah tidak dapat hendak menghalang manusia dari melakukan kesalahan, tidak kira berapa banyak polis pun digunakan. Tapi dengan didikan agama, manusia akan takut sendiri dengan Allah ﷻ yang ghaib. Mereka yang beriman akan takut hendak buat dosa. Tidak perlu pun dipantau oleh pihak berkuasa.

 

وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

Yang penting, kita kena hidup di dunia ini dengan mengerjakan taqwa dengan menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Kenalah kita taat kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻtelah memberikan ancaman-Nya kepada kita – kalau tidak dijaga hukum, maka akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat nanti.

Maka kerajaan yang bijak sepatutnya menggalakkan masyarakat belajar wahyu dan takut Allah ﷻ kerana mudah nanti kerja mereka. Tapi malangnya ini tidak dilakukan sekarang. Mereka tidak menggunakan cara yang diajar oleh Allah ﷻ ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Mac 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-Maidah Ayat 1 – 2 (Penuhi perjanjian)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s