Tafsir Surah al-Ikhlas Ayat 2 – 4 (Allah tiada bandingan)

Ayat 2: Sekarang Allah beritahu satu lagi sifat-Nya:

اللَّهُ الصَّمَدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh, the Eternal Refuge.¹

  • i.e., the one sought in times of difficulty and need, the one depended upon by all existence.

(MALAY)

Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.

 

Kalimah الصَّمَدُ bermaksud:

    1. Sesuatu yang mencukupi, kepada mereka yang merujuk kepada-Nya. Ini kerana Dialah yang memakbulkan segala permintaan dan harapan dan menjawab segala persoalan. Waktu kita memerlukan apa-apa, Dialah yang akan memberikannya. Maksudnya, cukuplah Allah sebagai tempat pengharapan kita.
    2. Maksud kedua, Allah jua tumpuan dan tujuan kita. Ini adalah kerana kalimah صمد juga bermaksud tempat tujuan. Inilah antara sebab kenapa surah ini dinamakan surah al-Ikhlas, kerana Allah jua tempat tujuan kita, bukan yang lain daripada-Nya. Kita melakukan apa-apa juga, kerana Allah taala.
    3. Kalimah الصَّمَدُ juga bermaksud Allah tidak memerlukan apa-apa dan sesiapa, kerana Dia berada di atas sekali. Tidak ada yang melebihi-Nya dari segi kedudukan dan sifat.
    4. Ia juga bermaksud, tidak ada kecacatan dan kekurangan langsung.
    5. Tidak boleh dikalahkan. Allah boleh melaksanakan apa sahaja yang Dia kehendaki dan tidak ada sesiapa yang dapat menghalang-Nya.
    6. Yang paling hebat dan utama, kekal sampai bila-bila. Menjadi tempat pengharapan semua kerana kehebatan-Nya. Allah Maha Kekal kerana kalau tidak kekal, tidaklah boleh berharap kepada-Nya. Kerana itu kita tidak boleh berharap kepada mana-mana makhluk, kerana dia akan mati. Kalau dia mati, siapa yang akan bantu kita? Sedangkan Allah sentiasa sahaja ada untuk memberi keperluan kita.
    7. Dari segi sifat, الصَّمَدُ bermaksud sesuatu yang padat, tidak ada lubang dan ruang di dalamnya. Allah memenuhi nama yang dipilih-Nya. Sebagai contoh, kalau manusia nama Rahman (pemurah), sebenarnya dia tidak Rahman penuh jua. Berbeza dengan Allah, kerana Dia memenuhi dan memadatkan nama itu. Nama Allah juga adalah sifat-Nya.

Ayat ini menambah maklumat tentang Allah yang telah disebut dalam ayat 1 sebelum ini. Allah memberitahu lagi tentang sifat-Nya kerana Musyrikin Mekah tidak kenal dengan Allah. Mereka ada salah faham tentang sifat-sifat Allah.

Mereka memang menerima kedudukan Allah sebagai Pencipta, tapi mereka tidak menerima-Nya sebagai أَحَدٌ dan juga sebagai الصَّمَدُ. Mereka tidak meletakkan ال pada الصَّمَدُ sebagai pernyataan bahawa Dialah tempat pengharapan yang utama. Kerana itu mereka minta juga kepada selain Allah.

Pemahaman الصَّمَدُ ini penting kerana apabila kita faham, kita lebih kenal Allah sebagai tempat pengharapan – semua makhluk memerlukan-Nya, namun sebaliknya Dia sendiri tidak memerlukan makhluk. Dalam surah al-Masad sebelum ini telah disebut sifat Musyrikin Mekah seperti Abu Lahab yang rasa mereka kaya dan tidak memerlukan sesiapa; maka dalam ayat ini Allah hendak menegaskan bahawa. hanya Allah sahaja yang tidak memerlukan sesiapa sahaja.

Oleh kerana itu, hendaklah kita memohon kepada Allah sahaja kerana Dialah الصَّمَدُ. Tidak perlu kita meminta kepada selain Allah. Kerana selain Allah tidak ada sifat ini. Malangnya, ramai orang Islam yang meminta kepada selain Allah.

Yang paling teruk adalah puak Syiah yang meminta terus kepada Hussein, Saidina Ali dan sebagainya. Itu adalah fahaman syirik dan perlu dijelaskan kepada masyarakat kita. Ramai yang masuk Syiah kerana jahil agama. Apabila jahil tidak belajar, maka senanglah ditipu oleh syaitan dan pengikut Syiah.


 

Ayat 3: Ayat 3 – 4 adalah Perenggan Makro Kedua surah ini. Kalau ayat 1 – 2 mengandungi sifat positif Allah (yang ada pada Allah), sekarang disebut 2 sifat negatif pula (yang tidak ada pada Allah).

لَم يَلِد وَلَم يولَد

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He neither begets nor is born,

(MALAY)

Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,

 

Kalimah لَم bermaksud ‘tidak’, tapi ianya adalah penolakan untuk yang telah lepas (beza dengan لا). Ia mengubah kalimah selepasnya menjadi past tense – oleh itu, kalimat لَم يَلِد bermaksud ‘tidak pernah beranak’, dan bukannya ‘tidak beranak’. Ini kerana Allah tidak menggunakan kalimah لا يَلِد. Kenapa Allah gunakan لَم untuk masa lepas pula?

Ini kerana kalau Allah guna لا sahaja, ia bermaksud ‘sekarang’ Allah tidak beranak. Ini juga tidak lengkap kerana mungkin kalau sekarang Dia tidak melahirkan, entah ada kemungkinan yang Dia pernah melahirkan – dan ini adalah salah. Maka Allah beritahu yang dari dulu lagi Dia tidak beranak untuk tutup segala lubang kemungkinan fahaman yang salah.

Dalam ayat pertama Allah sudah mengatakan yang Dia adalah أَحَدٌ – dan kita telah jelaskan yang ia bermaksud Allah tidak sama dengan makhluk. Makhluk memang ada melahirkan anak dan keturunan, tapi Allah berlainan dengan makhluk.

Jadi, kalimah لَم menidakkan yang dahulu Allah pernah ada melahirkan. Ini menolak fahaman Musyrikin Mekah yang mengatakan malaikat adalah anak-anak perempuan Allah; menolak juga fahaman golongan Yahudi yang mengatakan Nabi Uzair a.s. adalah anak Allah; juga menidakkan fahaman Kristian yang mengatakan Nabi Isa a.s. adalah anak Allah.

Ayat ini turun selepas fahaman-fahaman itu telah ada. Maka, Allah tolak apa yang mereka katakan itu dengan menidakkan yang dulu Allah ada anak. Mereka itu semuanya sesat kerana ada fahaman salah tentang Allah.

Tapi, tidakkah dengan menidakkan perkara yang telah berlaku itu tidak lengkap? Kerana kalau dulu tidak beranak, entah sekarang ada beranak? Sebenarnya ini adalah satu perkara yang hebat juga – kerana agama yang kata Allah ada anak adalah agama-agama yang terdahulu. Agama baru tidak ada yang kata begitu – sebab itu tepat sekali apabila Allah menggunakan kalimah لَم dan bukan لا.

Maka, kita boleh lihat semua agama yang mengatakan Allah ada anak itu adalah agama-agama yang datang sebelum Al-Qur’an turun.

Jadi, tidak perlu untuk menolak perkara yang berlaku di masa hadapan kerana apabila Allah telah tolak yang Dia tidak pernah beranak dulu, samalah juga dengan masa hadapan. Jawapan telah diberikan dari dulu lagi. Bila ia tidak pernah berlaku, maka ia tidak akan berlaku di masa hadapan. Kalau dulu tidak ada anak, kenapa sekarang pula hendak ada anak, bukan?

Tidak mungkin Allah ada anak kerana itu bermakna ada yang setara dengan Allah dan ini tidak mungkin. Kalau seekor kucing melahirkan anak, anaknya itu juga adalah kucing, bukan? (dan setara dengannya). Maka, kalau Allah melahirkan anak, tentulah anak itu ada sifat-sifat Dia juga, dan ini tidak mungkin sama sekali. Allah berfirman dalam surah An’am:101

أَنّىٰ يَكونُ لَهُ وَلَدٌ وَلَم تَكُن لَهُ صاحِبَةٌ

Bagaimana Dia mempunyai anak padahal Dia tidak mempunyai isteri.

Kalau Dia hendak beranak, tentu ada pasangan bukan? Seperti manusia yang beranak, setelah ada perhubungan dengan manusia juga. Tapi, Allah tidak ada pasangan, tidak ada yang setara dengannya, maka hal ini tidak mungkin terjadi sama sekali.

Kenapa penting sekali kita menolak fahaman yang Allah ada anak ini? Apa masalahnya kalau Dia ada anak? Ianya penting kerana fahaman sesat inilah yang menyebabkan manusia melakukan syirik. Fahaman sesat inilah yang menjadikan manusia mengubah agama Allah (Yahudi dan Kristian asalnya adalah agama Allah juga). Fahaman sesat inilah yang menjadikan manusia kufur.

Kita buat perumpamaan supaya senang faham: bayangkan kalau kita bekerja di satu syarikat. Syarikat itu ada tuannya dan sepupu dia yang rapat dengannya juga ada bekerja dalam syarikat itu. Kita tahu yang tuan syarikat itu dengar cakap sepupunya (atau sayang sepupunya), maka apa yang ramai orang akan lakukan?

Tentu mereka akan cuba berkawan rapat dengan sepupu tuan syarikat itu, bukan? Mereka akan layan dia dengan baik supaya dia boleh tolong kalau ada masalah. Maka, macam-macam orang akan buat untuk sepupu itu – puji, belanja makan, tolong itu dan ini dan sebagainya. Sedangkan dengan tuan punya syarikat itu sendiri tidak lakukan apa-apa.

Begitulah yang terjadi dalam agama yang sesat. Mereka akan puja dan beribadat kepada yang dikatakan ‘anak Tuhan’ itu – seperti Nabi Isa, Uzair, malaikat. Dengan Allah sendiri mereka sudah tidak buat apa. Tanyalah kepada orang Kristian sekarang, ada mereka berdoa dan sembah God the Father?

Tentu tidak, sebaliknya yang mereka sembah dan puja, minta doa dan minta ampun hanya kepada Jesus sahaja, bukan? Begitulah mereka telah disesatkan dengan fahaman sesat ini. Kerana itulah kena tolak sungguh-sungguh fahaman yang mengatakan Allah ada anak ini. Kerana itu adalah fahaman syirik.

Ini adalah kerana, manusia mengharapkan ada ‘orang tengah’ antara mereka dan Allah. Mereka mengharap orang tengah itu yang akan menjadi peguam dan penyelamat mereka di akhirat kelak. Ini adalah salah faham tentang syafaat yang banyak terjadi dalam masyarakat kita.

Maksudnya, salah faham agama sesat ini juga ada dalam kalangan umat Islam. Terkejut? Memang kita tidak kata Allah ada anak, tapi ramai dari kalangan orang kita yang ada salah faham tentang syafaat hinggakan mereka sangka yang mereka boleh pula meminta syafaat kepada Nabi, wali dan malaikat. Kerana itulah Puak Habib itu memuja-muja Nabi Muhammad dan meminta terus syafaat daripada baginda.

Ini kerana salah faham tentang konsep syafaat. Orang kita yang jahil pula, terpesona dengan nyanyian merdu dan perawakan mereka seolah-olah islamik, terkinja-kinja menari sambil memuja Nabi. Membuang duit dan membuang masa. Itulah masalahnya kalau capal yang sepatutnya diletakkan di kaki, namun diletakkan di kepala. Maka, mereka telah meletakkan kedudukan terlalu tinggi kepada Nabi Muhammad sampaikan mereka berdoa terus kepada baginda.

Kalau kita tidak tegur perkara ini, maka lama kelamaan agama Islam ini jadi seperti agama Kristian dan Yahudi (dan Syiah) yang berdoa terus kepada perantara. Tapi memang dari dulu sampai sekarang, orang yang menegur amalan dan fahaman salah inilah yang dikutuk dan ditohmah.

Maka, janganlah kita buat begitu. Allah telah sebut yang Dia adalah الصَّمَدُ – satu-satunya tempat pengharapan. Janganlah berharap kepada selain dari-Nya. Dia tidak perlukan ‘anak’, ‘orang tengah’, ‘wasilah’ dan apa sahaja pemberi syafaat selain dari-Nya, kerana Dialah pemberi syafaat yang sebenar.

Allah juga memberitahu kita yang Dia وَلَم يولَد (tidak diperanakkan). Tidak ada yang melahirkan Allah. Allah tidak sama dengan makhluk. Makhluk memang dijadikan dari tidak ada kepada ada. Tapi, Allah tidak ada bapa dan tidak ada asal.

Kalau Allah dilahirkan, ini bermaksud Allah ada ‘permulaan’. Jadi, yang ada ‘permulaan’, tentu ada ‘akhirnya’ dan ini bukan sifat Allah. Kerana Allah kekal sampai bila-bila. Kalau tidak kekal, bukan Tuhan maknanya.


 

Ayat 4: Ayat terakhir surah ini. Kalau kita lihat, setiap ayat adalah tafsir kepada ‘أَحَدٌ’. Iaitu menidakkan fahaman yang Allah sama dengan makhluk. Maka, sekarang dijelaskan lagi fahaman ini.

وَلَم يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor is there to Him any equivalent.”

(MALAY)

dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia”.

 

Kalimah كُفُوًا adalah pasangan setanding, boleh juga jadi lawan yang sama kuat dalam peperangan. Iaitu seorang yang sama darjat dalam kedudukan, sama taraf. Kerana itu juga ia digunakan dalam istilah perkahwinan (perkahwinan sekufu adalah perkahwinan di mana suami dan isteri itu adalah sama taraf).

Dalam ayat ini, Allah memberitahu kita semua yang Dia tidak ada kufu – tidak ada yang setanding atau sama taraf dengan-Nya.

Susunan ayat ini tidak menepati susunan normal bahasa Arab. Susunan yang normal begini: وَلَم يَكُن أَحَدٌ كُفُوًا لَهُ (dan tidak ada yang setanding untuk-Nya). Tapi, tidak begini yang Allah susun dalam Al-Qur’an – Allah letak kalimah أَحَدٌ di hujung, kalimah لَهُ diawalkan dan kalimah كُفُوًا di tengah. Susunan yang normal akan meletakkan DiriNya (لَهُ) di hujung, tapi Allah ubah dan letakkan kata ganti nama-Nya di awal.

Kaedah ini dinamakan taqdim – meletakkan sesuatu di awal (lain dari yang sepatutnya) dan ia mengandungi elemen balaghah yang tinggi. Ini adalah untuk menunjukkan eksklusif.

Maksudnya, memang tidak ada langsung yang sama dengan-Nya – tidak ada langsung dulu, sekarang dan akan datang.

Hanya Allah sahaja yang tidak ada kufu dan selain daripada Allah ada sahaja kufu mereka. Contohnya, kalau raja, ada raja lain; kalau orang kaya, ada orang lain yang sama kaya dengan dia; dan kalau planet, ada lagi planet lain.

 

Khulasah surah ini: 

  1. Bahagian awal surah ini menceritakan tentang keunikan Allah.
  2. Bahagian kedua surah ini menceritakan tentang Rahmah Allah – kerana Dia jua tempat kita bergantung dan berharap.
  3. Bahagian ketiga surah ini menekankan yang Allah tidak ada kelemahan langsung. Kerana keperluan kepada anak adalah satu kelemahan. Manusia memerlukan anak untuk menjaganya di hari tuanya. Tapi Allah tidak memerlukan semua itu kerana Dia kekal berkuasa. Kalau manusia tidak ada anak, dia dikira lemah; tapi bagi Tuhan, ketiadaan anak itu adalah tanda kekuatan-Nya.

 

Penutup:

Surah ini adalah surah yang amat penting. Setiap orang hendaklah faham surah ini. Hendaklah mengajar maksud surah ini kepada anak-anak kita. Bukan setakat mereka membaca dan menghafal sahaja. Mereka hendaklah kenal Allah melalui surah ini.

Dengan surah ini juga kita tahu bahawa Allah akan sentiasa membantu kita kerana tidak ada sesiapa jua yang setara dengan-Nya untuk menghalang pertolongan-Nya. Kerana kalau ada yang sama kuat dengan Allah, tentu boleh dihalang pertolongan Allah itu. Tapi tidak begitu – kalau seluruh dunia hendak halang kita, hendak bunuh kita tapi kalau Allah tidak benarkan, ia tidak akan terjadi.

Oleh itu, kita hendaklah yakin dan serahkan diri kita kepada Allah sepenuhnya. Sebab itulah salah satu lagi nama surah ini adalah Surah an-Najaat – Surah Penyelamat – kerana ia menyelamatkan kita dari kesedihan, kesusahan, dari neraka.

Dan kerana para sahabat faham surah inilah yang menyebabkan mereka mencintainya dan suka membacanya. Oleh itu kalau kita ada masalah, kita rujuk dan serah diri kita kepada Allah. Jadi, malang kalau kita berharap dan minta tolong kepada selain Allah, kerana entah dapat ditolong atau tidak. Kerana mereka tidak dapat hendak tolong juga kalau tidak ada pertolongan daripada Allah.

Semoga kita dapat menerapkan pemahaman surah ini di dalam diri kita. Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Falaq.

Kemaskini: 2 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Maulana Hadi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah al-Ikhlas Ayat 2 – 4 (Allah tiada bandingan)”

  1. assalamualaikum maaf tuan saya ingin bertanya. Allah adapah pemberi syafaat sebenar jadi apakah tujuan “selawat banyak banyak untuk mendapat syafaat Baginda” mohon penjelasan maaf tuan saya jahil 🙇‍♀️

    Like

    1. Selawat adalah salah satu ibadah. Apabila kita selawat, kita sedang melakukan ibadah. Dan dengan melakukan ibadah, Allah akan beri syafaat kepada kita. Tidaklah kita selawat itu kita ‘minta’ syafaat dari Nabi. Nak kena betulkan sikit sahaja pemahaman ini.

      Like

  2. Assalamualaikum Ustaz. Apakah maksud ‘Taala’? Perkataan ini selalu di gabungkan dengan nama Allah. Terima kasih

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s