Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 111 (Penutup Surah Isra’)

Isra’ Ayat 111: Ini juga adalah ayat Dakwa Surah iaitu berkenaan Tauhid. Ada lima pengajaran di dalam ayat ini tentang Tauhid.

وَقُلِ ٱلحَمدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَم يَتَّخِذ وَلَدًا وَلَم يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ فِى ٱلمُلكِ وَلَم يَكُن لَّهُ ۥ وَلِىٌّ مِّنَ ٱلذُّلِّ‌ۖ وَكَبّرهُ تَكبِيرَۢا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Praise to Allāh, who has not taken a son and has had no partner in [His] dominion and has no [need of a] protector out of weakness; and glorify Him with [great] glorification.”

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah Yang tidak mengambil anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan tidak memerlukan penolong kerana hina dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

 

وَقُلِ ٱلحَمدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَم يَتَّخِذ وَلَدًا

Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah Yang tidak mengambil anak

Segala puji kita adalah untuk Allah ﷻ kerana apa-apa sahaja pujian, akan kembali kepada Allah ﷻ. Sebagai contoh kalau anda puji saya kacak, pujian itu kembali kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻlah yang menjadikan saya kacak, bukan?

Sekiranya tahmid dinisbahkan kepada Musyrikin Mekah (kerana mereka yang mula-mula menerima ayat ini), ia menekankan yang mereka juga ada menggunakan kalimah al-hamd akan tetapi ia digunakan juga untuk ilah-ilah mereka selain Allah ﷻ. Di sini ia bermaksud Al-Hamd adalah pujian yang khusus diberikan kepada entiti yang ada sifat Tuhan dan ia hanya boleh diberikan kepada Allah ﷻ. Di sini Allah ﷻ menolak fahaman syirik mereka itu dan memperbetulkan bahawa al-hamd itu hanya untuk Allah ﷻ sahaja.

Penerangan lanjut tentang maksud ‘Alhamdulillah’ telah disentuh dengan panjang lebar di dalam Surah Fatihah.

Salah satu Sifat Allah ﷻ yang hendak ditekankan adalah Allah ﷻ tidak mengambil anak. Kita puji Allah ﷻ kerana Allah ﷻ terpuji kerana tidak mengambil anak. Keperluan kepada anak adalah keperluan makhluk sahaja untuk meneruskan legasinya, membantunya dan menggembirakannya. Akan tetapi Allah ﷻ tidak memerlukan anak kerana Dia tidak lemah dan tidak akan mati-mati.

Ini adalah teguran kepada agama-agama yang mengatakan Allah ﷻ memerlukan ‘wakil’ di dalam penyembahan dan doa. Ini adalah kerana ‘anak’ yang dimaksudkan adalah ‘wakil’. Iaitu wakil untuk sampaikan doa kepada Allah ﷻ. Ini adalah fahaman syirik yang mengatakan Allah ﷻ memerlukan perantara dalam sembahan dan doa kepada-Nya. Oleh kerana itu, Musyrikin Mekah mengatakan Allah ﷻ mengambil para malaikat sebagai anak Allah ﷻ; penganut Kristian mengatakan yang Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah anak Allah ﷻ; Yahudi mengatakan Uzair adalah anak Allah ﷻ.

Umat Islam yang jahil wahyu pun mengatakan Allah ﷻ memerlukan wakil dalam doa. Kerana itu ada yang menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara dalam sembahan dan doa. Kerana itu ada yang seru Nabi Muhammad ﷺ (dan nabi-nabi lain), seru wali (sampai pergi ke kubur yang kononnya dikatakan wali) dan juga seru para malaikat (seperti Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Mikail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Kalau anda bercampur gaul dengan masyarakat Melayu kita, memang akan berjumpa dengan hal-hal sebegini.

 

وَلَم يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ فِى ٱلمُلكِ

dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya

Allah ﷻ tidak memerlukan syarik (sekutu) dalam pentadbiran Kerajaan-Nya. Allah ﷻ memerintah alam ini sendirian berhad dan tidak memerlukan bantuan daripada sesiapa langsung. Allah ﷻ juga tidak menyerahkan mana-mana bahagian daripada pemerintahan-Nya kepada Nabi atau wali.

Ini adalah kerana ada fahaman sesat yang mengatakan bahagian yang besar, Allah ﷻ pantau sendiri tetapi ada bahagian-bahagian kecil yang diberikan kepada ‘wakil-wakil-Nya’. Kononnya ada wali itu jaga kawasan ini dan ada wali itu jaga kawasan itu. Ini adalah syirik fi tasarruf (syirik dalam pentadbiran). Mereka beriktikad yang ada wali yang menjaga daerah tertentu, negara tertentu. Lihatlah bagaimana mereka sanggup menyamakan Kerajaan Allah ﷻ sebagaimana kedudukan seorang ADUN dalam kerajaan Malaysia pula! Ini adalah fahaman yang tersimpang jauh dan syirik. Maka Allah ﷻ ingatkan yang Dia tidak perlu bantuan dalam mentadbir alam ini.

 

وَلَم يَكُن لَّهُ ۥ وَلِىٌّ مِّنَ ٱلذُّلِّ‌ۖ

dan tidak memerlukan penolong kerana hina

Memang tiada wali bagi Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak hina. Maknanya Allah ﷻ tidak perlukan penolong langsung kerana Allah ﷻ tidak lemah. Kita yang lemah inilah yang memerlukan wali dan pembantu, tetapi Allah ﷻ tidak lemah langsung. Maka buat apa Allah ﷻ perlukan pembantu dalam mentadbir alam ini?

 

وَكَبّرهُ تَكبِيرَۢا

dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.

Maka agungkan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ memang layak diagungkan. Besarkanlah Allah ﷻ dari segi hati, lidah dan perbuatan. Jangan setakap cakap sahaja. Makna itu juga yang hendaknya tercermin dalam tingkah laku seseorang dalam bentuk merendahkan diri kepada-Nya serta patuh pada perintah-perintah-Nya.

Potongan ayat ini adalah tentang ‘takbir’. Maka ayat ini terikat dengan ayat pertama surah ini – dalam ayat 1 itu ada ‘subhanallah’ dan ayat ini sambung dengan alhamdulillah dan Allahu Akbar – maka melengkapkan zikir yang kita selalu baca selepas solat – subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaaha illallah walallahu akbar.

Ternyata ayat ini adalah tentang tauhid dan penerangan tentang syirik. Banyak disebut dalam Al-Qur’an, namun malangnya ramai yang tidak faham tentang tauhid dan tentang syirik. Kita kena faham bahawa syirik adalah meninggikan kedudukan makhluk sama dengan Allah ﷻ. Atau merendahkan kedudukan Allah ﷻ sama dengan makhluk.

Itu adalah dua ekstrem yang tidak boleh ada dalam iktikad kita. Allah ﷻ tidak akan sama dengan makhluk. Malangnya, ramai yang sangka syirik itu hanya kalau menyamakan ‘keseluruhan’ sifat Allah ﷻ kepada selain Allah ﷻ. Padahal, kalau salah satu sahaja sifat Allah ﷻ disamakan dengan makhluk pun sudah dikira sebagai syirik.

Maka, penganut Kristian telah melakukan syirik kerana terlalu meninggikan kedudukan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan ke tahap ketuhanan.

Puak Yahudi pula bersalah kerana telah merendahkan kedudukan Allah ﷻ – antaranya mereka kata tangan Allah ﷻ terikat, Allah ﷻ miskin dan sebagainya. Mereka buat tohmahan sebegitu seolah-olah Allah ﷻ itu sifat macam manusia pula!

Ayat ini menekankan untuk mengagungkan Allah ﷻ sebagaimana selayaknya bagi Allah ﷻ. Jangan jadi seperti Bani Israil yang merendahkan kedudukan Allah ﷻ. Dalam ayat terakhir ini disentuh akidah puak Yahudi kerana surah ini adalah tentang mereka, maka fahaman mereka diserang dalam surah ini. Nanti kita akan lihat surah selepas ini tentang orang Kristian pula. Kita kena tahu akidah-akidah yang salah ini sebagai peringatan untuk kita.

Masyhur dalam kalangan imam-imam masjid dan surau di negara kita, apabila selesai memberi salam selepas sembahyang, zikir pertama yang dibaca ialah:

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلّٰهِ الَّذِيْ لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَّلَمْ يَكُنْ لَّهٗ شَرِيْكٌ فِى الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُنْ لَّهٗ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيْرًا ࣖ

Iaitu ayat Isra: 111 ini.

Membaca bacaan ini selepas sembahyang, tidak ada disebut dalam mana-mana hadith sahih mahupun dhaif. Para sahabat yang menceritakan perihal solat Nabi ﷺ, tidak ada seorang pun menukilkan Nabi ﷺ membaca ayat ini selepas solat. Oleh itu, menjadikan ayat ini sebagai satu zikir khas yang dibaca selepas solat, dengan menganggap ia satu ibadah, adalah salah satu satu bentuk penambahan dalam agama selepas sempurnanya Islam.

Oleh itu, sebagai umat Muhammad ﷺ, hendaklah kita mengambil tatacara ibadah dari awal hingga akhirnya daripada baginda sendiri, sebagaimana sabdanya: “Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang“.

Kemungkinan, penambahan bacaan yang berlaku di kalangan pak-pak imam masyarakat kita adalah kerana:

o Melihat kepada kemuliaan ayat tersebut, di mana ada disebut dalam beberapa hadith dhaif ayat tersebut dinamakan sebagai: ayat al-Izzah (ayat kemuliaan).

o Ayat tersebut diakhiri dengan “Dan bertakbirlah kepada Allah“. Mungkin sebagai isyarat supaya bertakbir selepas sembahyang, sebagaimana disebut dalam hadith, sahabat mengetahui selesainya solat Nabi ﷺ apabila mendengar laungan takbir. Oleh itu dibaca ayat tersebut untuk memperingatkan supaya bertakbir.

Walau bagaimanapun, yang diambilkira dalam ibadah ialah mengikut tatacara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ. Maka kita tidak menyokong amalan masyarakat kita berkenaan hal ini.

Demikian ayat terakhir surah ini bertemu dengan awalnya. Awalnya adalah menyucikan Allah ﷻ secara sempuma darpadai segala macam kekurangan, dan akhirnya adalah memuji-Nya dengan menetapkan bagi-Nya segala macam kesempurnaan yang layak untuk-Nya. Penyucian dan pujian adalah dua hal yang di dalam Al-Qur’an selalu digandingkan dengan mendahulukan penyucian atas pujian. Demikian juga pada surah ini, mendahulukan penyucian Allah ﷻ baru kemudian memuji dan mengagungkan-Nya. Maha Suci dan Maha Agung Allah ﷻ lagi Maha Benar dan serasi firman-firman-Nya.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah al-Isra’. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah al-Kahfi.

Nota: Kita telah habis bahagian kedua Al-Qur’an ini. Kita telah pernah sebutkan yang Al-Qur’an ini boleh dibahagikan kepada 4 bahagian dan setiap bahagian dimulai dengan kalimah alhamdulillah. Selepas ini kita akan masuk dalam bahagian ketiga Al-Qur’an iaitu apabila dimulai dengan Surah al-Kahfi.

 

Kemaskini: 10 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment