Tafsir Surah Baqarah Ayat 257 – 259 (Kisah Nabi Uzair tidur seratus tahun)

Ayat 257:

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا يُخرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۖ وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ ۗ أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah is the ally of those who believe. He brings them out from darknesses into the light. And those who disbelieve – their allies are Taghut. They take them out of the light into darknesses. Those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.

MALAY

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

اللَهُ وَلِيُّ الَّذينَ ءآمَنوا

Allah Pelindung orang-orang yang beriman.

Apabila seseorang itu telah berpegang dengan akidah tauhid, sudah betul-betul beriman, tidak menyembah dan memuja taghut dan tidak melakukan syirik, maka Allah ‎ﷻ akan menjadi wali (pelindung) kepada orang yang beriman itu. Ini adalah sesuatu yang kita amat-amat harapkan.

 

يُخرِجُهُم مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ

Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya.

Kelebihan Allah ‎ﷻ sebagai pelindung adalah, Dia akan mengeluarkan orang yang beriman itu daripada segala kegelapan syirik kepada cahaya tauhid. Maka mereka tidak lagi akan melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat.

Perkataan الظُّلُماتِ itu dalam bentuk jamak (plural) yang bermaksud bermacam-macam jenis kegelapan. Lihatlah bagaimana perkataan النّورِ pula dalam bentuk singular – maknanya, kegelapan kufur ada banyak jenis, tetapi cahaya tauhid hanya ada satu sahaja, tidak ada yang lain.

Perkataan يُخرِجُ itu adalah dalam bentuk present continuous tense, maksudnya Allah ‎ﷻ akan sentiasa melakukannya. Ini penting kerana walaupun kita telah beriman, namun sekali sekala kita akan ada masalah dengan iman kita kerana iman akan turun dan naik. Tambahan pula dalam zaman sekarang yang banyak gangguan dan pujukan dunia.

Maka kalau kita beriman, Allah ‎ﷻ akan sentiasa menyelamatkan kita daripada masalah kita yang sekali sekala akan berlaku. Kita mungkin tersasar sekejap, tetapi Allah ‎ﷻ akan selamatkan kita balik. Allah‎ ﷻ akan tarik kita kembali ke jalan yang benar. Asalkan kita terus beriman dan mahu kepada kebenaran.

Daripada segi bahasa, ‘wali’ adalah entiti yang ‘mahu’ melindungi seseorang. Dalam Al-Qur’an juga, ada disebut satu lagi perkataan daripada katadasar yang sama dengan wali, iaitu ‘mawla’. Apakah bezanya?

‘Wali’ bermaksud entiti yang ‘mahu’ melindungi dan menolong, sedangkan ‘mawla’ adalah entiti yang benar-benar boleh melindungi dan menolong. Bapa seorang perempuan juga selalu dikatakan sebagai wali. Ini adalah kerana bapa itu adalah pelindung perempuan itu dan dia memang mahu melindungi anaknya pun. Namun begitu, walaupun dia memang mahu melindungi, tetapi apabila datang sesuatu musibah, adakah setiap kali bapa itu dapat melindungi?

Tentu tidak, kerana ada masanya bapanya pun tidak dapat membantu dan melindungi anaknya itu kerana ia adalah di luar kemampuannya, walaupun dia hendak sangat melindungi anaknya itu. Allah ‎ﷻ tidak mengalami masalah ini kerana Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja mampu kerana itu Allah ‎ﷻ sahaja mawla.

Kenapa diberi penerangan ini? Kerana dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia adalah wali kepada orang beriman dan wali kepada orang kafir adalah taghut. Jadi, dua-dua pihak ada wali tetapi nanti dalam surah yang lain, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa orang-orang beriman ada ‘mawla’, tetapi orang kafir tidak ada ‘mawla’. Jadi, orang beriman akan mendapat kelebihan.

 

وَالَّذينَ كَفَروا أَولِياؤُهُمُ الطّٰغوتُ

Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut 

Pelindung mereka mereka yang kafir adalah taghut. Sebenarnya taghut itu tidak dapat melindungi mereka tetapi mereka sahaja yang sangka pelindung mereka adalah taghut itu. Taghut adalah apa sahaja yang menjauhkan manusia daripada Allah ‎ﷻ. Ini disebut juga dalam Nisa’:51.

 

يُخرِجونَهُم مِّنَ النّورِ إِلَى الظُّلُمٰتِ

mereka (taghut) mengeluarkan mereka (orang-orang kafir) dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur).

Taghut itu akan mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Begitulah kadang-kadang manusia ada yang nampak kebenaran Islam, tetapi sekejap sahaja kerana Syaitan akan menarik mengheret mereka ke dalam kegelapan semula.

Bukan orang kafir sahaja ada masalah ini, tetapi orang yang mengaku Muslim pun ada yang mengalami masalah ini. Kalau dia seorang Islam pun, namun kalau dia menjadikan taghut sebagai wali, orang itu akan mengalami masalah ini. Sebab itu kita boleh lihat banyak sekali manusia yang telah dilahirkan Islam tetapi kehidupan mereka tidak melambangkan agama yang suci ini.

Daripads segi susunan bahasa pun berbeza antara wali orang mukmin dan wali kepada orang kafir. Apabila disebut Allah ‎ﷻ sebagai wali, Allah ‎ﷻ disebut dahulu – (Allah ‎ﷻ menjadi mubtada’). Namun apabila disebut wali kepada orang kafir, orang kafir itu yang disebut dahulu – taghut itu hanya menjadi khabar sahaja.

Dalam susunan bahasa Arab, ada perbezaan dalam susunan ini yang tidak dapat difahami kalau kita hanya membaca terjemahan sahaja. Ini memerlukan sedikit pengetahuan tentang bahasa Arab untuk dapat memahaminya. Ini sudah termasuk dalam Ilmu Balaghah (pemahaman lebih dalam melihat daripada bahasa yang digunakan).

 

أُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Mereka itulah ahli neraka,

Akhirnya mereka akan masuk ke dalam neraka. Mereka dapat ‘geran’ neraka.

 

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Mereka akan pegang geran neraka itu dan kekal di dalamnya. Mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Ini adalah satu nasib yang amat-amat malang sekali. Semoga kita diselamatkan dari neraka.

Habis Ruku’ 34 dari 40 surah ini


 

Ayat 258: Allah ‎ﷻ memberikan tiga contoh golongan yang beriman kepada tauhid iaitu dua kisah daripada Nabi Ibrahim عليه السلام dan satu kisah Nabi Uzair عليه السلام. Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberikan teori tentang akidah, dan sekarang Allah ‎ﷻ berikan contoh pula supaya kita lebih faham dan boleh ikut mereka.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبرٰهِـۧمَ في رَبِّهِ أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ إِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ قالَ أَناْ أُحيي وَأُميتُ ۖ قالَ إِبرٰهِـۧمُ فَإِنَّ اللَهَ يَأتي بِالشَّمسِ مِنَ المَشرِقِ فَأتِ بِها مِنَ المَغرِبِ فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ ۗ وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Have you not considered the one who argued with Abraham about his Lord [merely] because Allah had given him kingship? When Abraham said, “My Lord is the one who gives life and causes death,” he said, “I give life and cause death.” Abraham said, “Indeed, Allah brings up the sun from the east, so bring it up from the west.” So the disbeliever was overwhelmed [by astonishment], and Allah does not guide the wrongdoing people.

MALAY

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat.” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذي حاجَّ إِبرٰهِـۧمَ في رَبِّهِ

Tidakkah engkau memikirkan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim mengenai Tuhannya,

Pertama akan disampaikan adalah kisah Nabi Ibrahim عليه السلام dan Namrud. Namrud itu adalah raja dunia dan tidak sama dengan Firaun yang hanya Raja kepada negara Mesir sahaja.

Walaupun dia seorang raja dunia, tetapi dia tidak berapa cerdik. Sampaikan nama dia pun tidak disebut didalam Al-Qur’an. Allah ‎ﷻ hanya sebut dia dengan lafaz mubham sahaja (orang yang berhujah) menunjukkan betapa dia tidak cerdik dan namanya tidak layak disebut pun. Sedangkan Firaun disebut berkali-kali dalam Al-Qur’an kerana dia hebat berhujah.

Namrud membantah Nabi Ibrahim عليه السلام dalam perkara ketuhanan, iaitu tentang Allah ‎ﷻ.

 

أَن ءَاتَٮٰهُ اللَهُ المُلكَ

kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? 

Walaupun dia tidak berapa cerdik, tetapi Allah ‎ﷻ telah takdirkan yang dia dapat memerintah dunia. Dari kerana dia rasa diri dia besar kerana memerintah dunia, maka dia berani melawan Nabi.

Dalam psikologi, ini dinamakan “God Complex’. Mereka rasa mereka ada kuasa dan perangai mereka jadi lain macam. Padahal bukan banyak pun kuasa mereka. Sebagai contoh, doktor pun ada rasa macam itu sebab mereka rasa mereka menyelamatkan nyawa manusia. Jangan kata mereka, “guard” yang jaga pintu masuk pun ada masalah ini juga kadangkala.

 

إِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّيَ الَّذي يُحيي وَيُميتُ

Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”.

Dia membantah Nabi Ibrahim عليه السلام itu semasa baginda berdakwah kepadanya. Dalam ayat Kursi, Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia lah yang Maha Hidup. Dan dalam ayat ini, Allah ﷻ beritahu yang Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Nabi Ibrahim عليه السلام tekankan tentang salah satu sifat terpenting Allah ‎ﷻ.

 

قالَ أَناْ أُحيي وَأُميتُ

Dia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”.

Namrud pun kata dia pun Tuhan juga kalau begitu, kerana dia boleh menghidupkan dan mematikan juga. Dalam riwayat ada disebut bagaimana dia panggil dua orang lelaki yang telah dihukum bunuh, bawa ke hadapan Nabi Ibrahim عليه السلام dan dia. Maka dia kata dia ampunkan seorang lelaki dan teruskan hukuman bunuh kepada seorang lagi lelaki itu.

Daripada itu, Namrud kata dia telah menghidupkan seorang lelaki dan mematikan seorang lagi. Ini hujah yang bodoh. Kita pun boleh tahu bahawa lain apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام itu, bukan?

 

قالَ إِبرٰهِـۧمُ فَإِنَّ اللَهَ يَأتي بِالشَّمسِ مِنَ المَشرِقِ

Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur,

Kerana bodohnya Namrud, maka Nabi Ibrahim عليه السلام bawakan hujah yang satu lagi. Allah ‎ﷻ yang takdirkan matahari naik dari arah timur. Ini mengingatkan kepada kita yang perjalanan matahari, bulan dan segala planet adalah dalam takdir Allah ‎ﷻ. Bukanlah semua itu berjalan sendiri.

 

فَأتِ بِها مِنَ المَغرِبِ

oleh itu terbitkanlah dia dari barat.”

Kalau kamu, Namrud, rasa yang kamu pun tuhan juga, maka tolong naikkan matahari dari barat pula esok. Sebelum ini dia berhujah dengan keupayaan menghidupkan dan mematikan. Nah kali ini kita tengok dia boleh ubah perjalanan matahari ke tidak.

 

فَبُهِتَ الَّذي كَفَرَ

Maka tercenganglah orang yang kafir itu

Maka, dengan hujah itu, Namrud bungkam tidak berkata apa-apa lagi.

Mungkin timbul satu persoalan. Apa kata kalau Namrud berhujah balik? Dia mungkin boleh kata: “baiklah, aku memang tak boleh nak terbitkan matahari dari barat. Kamu kata Tuhan kamu boleh terbitkan matahari dari barat. Suruhlah Tuhan kamu itu terbitkan dari barat!”

Dalam kitab tafsir ada disebutkan, kalaulah Namrud berhujah macam itu, Allah ‎ﷻ akan terbitkan matahari dari barat esoknya sebagai hujah. Tetapi tidak berlaku perkara itu sebab Namrud mengalah dan tidak menyambung perbalahan itu. Namrud tidak ada hujah apa-apa lagi. Namun selepas itu Namrud telah memasukkan Nabi Ibrahim عليه السلام ke dalam api. Biasalah, kalau tidak ada hujah, ramai yang gunakan kuasa kekerasan.

Nabi Ibrahim عليه السلام tentu sedar yang kalau baginda cakap macam itu, boleh menyebabkan baginda dibunuh. Tetapi baginda yakin yang Allah ‎ﷻlah al-hayyul qayyum, Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh mematikan, maka baginda tidak takut untuk menyatakan kebenaran.

 

وَاللَهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Ini adalah perbuatan manusia yang zalim kerana degil. Allah ‎ﷻ tidak memberi hidayah kerana mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk mengetahui apakah yang benar.


 

Ayat 259: Ini adalah Contoh kedua maksud al-hayyul qayyum. Ini pula adalah kisah Nabi Uzair عليه السلام.

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها ۖ فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ ۖ قالَ كَم لَبِثتَ ۖ قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ ۖ قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه ۖ وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ ۖ وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا ۚ فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Or [consider such an example] as the one who passed by a township which had fallen into ruin. He said, “How will Allah bring this to life after its death?” So Allah caused him to die for a hundred years; then He revived him. He said, “How long have you remained?” The man said, “I have remained a day or part of a day.” He said, “Rather, you have remained one hundred years. Look at your food and your drink; it has not changed with time. And look at your donkey; and We will make you a sign for the people. And look at the bones [of this donkey] – how We raise them and then We cover them with flesh.” And when it became clear to him, he said, “I know that Allah is over all things competent.”

MALAY

Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu dia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

 

أَو كَالَّذي مَرَّ عَلىٰ قَريَةٍ

Atau tentang orang yang melalui sebuah negeri

Dikatakan yang negeri yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah BaitulMaqdis, iaitu negara Palestin. Waktu itu setelah Babylon menyerang BaitulMaqdis. Puak itu telah membunuh 600 ribu orang dalam kalangan Bani Israil dan jadikan hamba lagi 600 ribu.

Ini adalah satu tempat yang banyak kali makmur dan banyak kali ranap zaman berzaman. Apabila naik agama Islam, maka ia kembali makmur fan kemudian ditakluk oleh bangsa kafir dan meranapkannya kembali. Begitulah nasib yang dialami oleh Bani Israil dan tempat tinggal mereka, kerana umatnya banyak yang degil.

Sampai sekarang tidak pernah aman penempatan mereka. Itulah juga nasib negara Palestin. Padahal itu adalah tempat paling ramai Nabi dibangkitkan. Semua ini terjadi kerana umatnya yang degil dan banyak menentang.

 

وَهِيَ خاوِيَةٌ عَلىٰ عُروشِها

yang telah runtuh di atas bumbungnya,

Perkataan yang digunakan kalau diterjemahkan: ‘Dinding jatuh timpa bumbung’. Agak pelik, bukan? Ini kerana kalau bangunan yang sudah lama, tiada ada siapa yang menjaganya, tentunya bumbung yang jatuh dahulu. Selalunya bahagian rumah yang rosak dahulu adalah bumbung kerana bumbunglah bahagian yang paling lemah.

Oleh kerana itu, bumbung yang akan jatuh dulu. Kemudian baru dinding runtuh dan apabila ia jatuh, ia akan jatuh atas bumbung yang telah jatuh itu. Ini adalah bahasa kiasan memberi isyarat lama sangat kawasan dan rumah-rumah itu ditinggalkan.

Jadi hendak menunjukkan betapa lama sangat kota itu ditinggalkan. Kalau sampai bangunan pun sudah runtuh, manusia yang tinggal di situ, tentulah lagi lama sudah tiada. Begitulah Allah ‎ﷻ hendak menunjukkan bagaimana keadaan BaitulMaqdis itu pada waktu itu. Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja tapi kita boleh bayangkan.

 

قالَ أَنّىٰ يُحيي هٰذِهِ اللَهُ بَعدَ مَوتِها

Orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?”

Ini adalah Nabi Uzair عليه السلام yang berkata dalam hati. Baginda bercakap begitu bukan kerana baginda tidak yakin dengan kuasa Allah ‎ﷻ. Tidak mungkin Nabi tidak yakin pula.

Namun baginda cakap begitu sebab hendak tahu cara sahaja. Sebab baginda tengok teruk sangat keadaan kota itu, baginda tidak dapat bayangkan bagaimana caranya Allah ‎ﷻ akan membinanya kembali. Jadi baginda terfikir-fikir bagaimanakah caranya?

 

فَأَماتَهُ اللَهُ مِائَةَ عامٍ ثُمَّ بَعَثَهُ

Lalu dia dimatikan oleh Allah selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula

Allah ‎ﷻ memang betul-betul mematikan Nabi Uzair عليه السلام, bukan tidurkan. Allah ‎ﷻ memang boleh buat begitu kerana Allah ‎ﷻ yang menghidupkan dan mematikan. Kemudian Allah ‎ﷻ boleh hidupkan semula. Tidak ada masalah bagi Allah ‎ﷻ.

 

قالَ كَم لَبِثتَ

lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?”

Selepas Nabi Uzair عليه السلام dihidupkan kembali, Allah ‎ﷻ tanya kepada Nabi Uzair عليه السلام berapa lama baginda tinggal di situ. Tubuh baginda memang nampak biasa sahaja.

 

قالَ لَبِثتُ يَومًا أَو بَعضَ يَومٍ

Dia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”.

Oleh kerana tubuhnya nampak biasa sahaja, baginda kata baginda tentu tidak tinggal lama – sehari atau setengah hari sahaja (ikut kebiasaan). Baginda tertidur sahaja dan kadang-kadang kita bangun tidur, tidak tahu berapa lama kita tidur, bukan?

Ini menunjukkan bahawa Nabi tidak tahu semua perkara. Mereka juga tidak tahu hal ghaib melainkan yang telah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ. Sekarang Allah ‎ﷻ tanya baginda kerana Allah ‎ﷻ hendak beritahu.

 

قالَ بَل لَّبِثتَ مِائَةَ عامٍ

Allah berfirman:”bahkan engkau telah tinggal selama seratus tahun.

Mungkin Nabi Uzair عليه السلام terkejut apabila dikatakan yang baginda telah tinggal selama seratus tahun di situ.

 

فَانظُر إِلىٰ طَعامِكَ وَشَرابِكَ لَم يَتَسَنَّه

perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya,

Allah ‎ﷻ tunjuk contoh qudrat-Nya dengan menyuruh baginda lihat kepada makanan yang baginda bawa sebagai bekal. Selalunya makanan senang rosak, tetapi Allah ‎ﷻ jadikannya masih baik lagi.

 

وَانظُر إِلىٰ حِمارِكَ

dan perhatikanlah pula kepada keldaimu

Makanan yang cepat basi, Allah ‎ﷻ boleh kekalkan. Namun binatang yang tentunya lambat reput, sudah tinggal tulang sahaja. Menunjukkan memang lama baginda tidur di situ.

 

وَلِنَجعَلَكَ ءآيَةً لِّلنّاسِ

dan Kami jadikan engkau sebagai tanda bagi umat manusia;

Allah ‎ﷻ menghidupkan Nabi Uzair عليه السلام semula sebagai tanda kepada manusia. Menjadi inspirasi kepada manusia yang lain. Menjadi tanda bahawa Allah ‎ﷻ itu maha berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Allah ‎ﷻ boleh hidupkan, matikan, hidupkan balik tidak kira berapa lama.

 

وَانظُر إِلَى العِظامِ كَيفَ نُنشِزُها ثُمَّ نَكسوها لَحمًا

dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “.

Allah ‎ﷻ jadikan keldai itu hidup dengan segera di depan matanya. Kita boleh bayangkan kejadian itu sebab kita yang hidup zaman moden ini selalu tengok special effect dalam media. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana tulang keldai itu bercantum kembali, dan kemudian dagingnya bercantum semula.

 

فَلَمّا تَبَيَّنَ لَهُ قالَ أَعلَمُ أَنَّ اللَهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Maka apabila telah jelas kepadanya, berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Telah jelas kepada Nabi Uzair عليه السلام yang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Baginda sudah yakin dengan sebenar-benar yakin yang mati dan hidup adalah dalam tangan Allah ‎ﷻ dan baginda sudah tahu bagaimana cara Allah ‎ﷻ melakukannya.

Selepas itu baginda tidak akan tanya lagi. Baginda dinampakkan dengan ilmu musyahadah – baginda lihat sendiri dengan matanya. Sebelum ini ilmu makrifat sahaja. Apabila nampak dengan mata kepala sendiri, maka tentulah yakin sangat.

Kelebihan ini Allah‎ ﷻ berikan kepada para Nabi kerana mereka bawakan hujah yang besar dan kena berhadapan dengan masyarakat penentang. Maka kekuatan iman mereka kena lebih kuat daripada manusia biasa. Maka jangan kita pun hendak minta ditunjukkan kejadian ‘luar adat’ ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 257 – 259 (Kisah Nabi Uzair tidur seratus tahun)”

  1. syukur bila dapat membca tafsir dlm konteks ayat al Baqarah tentang ketauhidan Allah, cerita nabi Musa berhujjah dgn Firaun dan Nabi Ibrahim dgn Namrud dan kisah Nabi Uzair dimatikan selama 100 tahun dan dihidupkn kembali dan kisah 4 ekor burung yg dicincang gaul dan diletakkan di 4 bukit berjaya Allah hidupkn kembali atas izin qudratNya.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s