Tafsir Surah al-Maidah Ayat 62 – 64 (Yahudi kaji Islam)

Maidah Ayat 62: Ayat Zajrun – Ayat Teguran kepada golongan Ahli Kitab, ditujukan kepada Yahudi dan mereka yang ada sifat seperti mereka. Ada kalanya, orang Islam pun ada sifat begini. Maka kita kena belajar dan bandingkan dengan diri kita.

وَتَرىٰ كَثيرًا مِّنهُم يُسٰرِعونَ فِي الإِثمِ وَالعُدوٰنِ وَأَكلِهِمُ السُّحتَ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you see many of them hastening into sin and aggression and the devouring of [what is] unlawful. How wretched is what they have been doing.

(MALAY)

Dan kamu akan melihat kebanyakan dari mereka bersegera membuat dosa, permusuhan dan memakan yang haram. Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka telah kerjakan itu.

 

وَتَرىٰ كَثيرًا مِّنهُم يُسٰرِعونَ فِي الإِثمِ

Dan kamu akan melihat kebanyakan daripada mereka bersegera membuat dosa,

Ada manusia yang mudah sangat kepada buat dosa. Mereka itu seperti berlumba-lumba dengan orang lain untuk bandingkan siapakah yang lebih banyak buat dosa berbanding kawan mereka. Apabila dikatakan mereka berlumba-lumba, maknanya memang sudah amat teruk. Mereka itu sudah tidak dapat kawal diri mereka sendiri daripada tidak melakukan dosa.

Ini kerana apabila kita sudah mula membuat banyak dosa, ia sudah menjadi tabiat kita dan kita tidak dapat ditahan lagi. Kerana itu bahaya kalau kita membiasakan diri kita membuat dosa.

Kalau orang Islam pun ada sifat sebegini juga, termasuklah juga dalam ayat ini. Kadang-kadang mereka tidak segan pun untuk menceritakan segala dosa yang mereka telah lakukan, malah bangga pula dengan dosa yang telah dilakukan itu.

Sekali lagi Al-Qur’an bersikap adil apabila menegur. Allah ‎ﷻ sebut كثيرا (kebanyakan) daripada mereka, bukannya semua. Ini kerana ada juga yang baik dalam kalangan mereka.

 

وَالعُدوٰنِ

dan permusuhan

Mereka juga mudah sangat kepada permusuhan. Kadangkala sengaja sahaja mencari pasal dengan orang lain.

 

وَأَكلِهِمُ السُّحتَ

dan memakan yang haram. 

Mereka mudah hendak memakan perkara yang haram. Lafaz suhtun ini lebih kepada maksud ulama’ yang sembunyi maklumat agama sebenar. Mereka mengajar, tetapi mereka mengajar tidak seperti yang sepatutnya, ada yang mereka tinggalkan supaya anak murid terus belajar dengan mereka dan terus memberi upah dalam mengajar. Jadi tujuannya adalah untuk memakan harta yang haram.

Malangnya ada juga dalam kalangan ustaz-ustaz kita yang seperti ini. Mereka takut untuk menegur kesalahan yang telah dilakukan oleh anak murid kerana bimbang sangat anak murid lari dan mereka tidak ada punca pendapatan. Mereka sanggup membenarkan perkara bid’ah yang dilakukan oleh masyarakat. Mungkin mereka tahu amalan itu salah, tetapi tidak berani hendak ditegur.

Kesannya, masyarakat terus menerus melakukan perkara bid’ah kerana ada ustaz yang mengajar, tetapi tidak ditegur pun, malah kadangkala menyertai sekali majlis bid’ah, maka masyarakat yang melakukannya rasa tidak salahlah perbuatan mereka itu.

 

لَبِئسَ ما كانوا يَعمَلونَ

Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka telah kerjakan itu.

Allah ‎ﷻ kata, inilah seburuk-buruk amalan. Golongan Yahudi adalah golongan yang sudah ada agama dan mereka sepatutnya ada pengetahuan agama. Tetapi mereka terus juga meninggalkan ajaran dan larangan agama dan buat perkara lain daripada apa yang disuruh dalam agama. Mereka itu adalah jenis ‘Kafir Degil’.

Maka, kalau ada dalam kalangan orang kita, termasuk yang dikenali sebagai ahli agama kita, tahu sesuatu kesalahan itu tetapi tidak menegurnya, membenarkan segala perbuatan salah itu, mereka itu pun dikira seperti orang Yahudi juga. Mereka itu amat teruk, kerana mereka tahu. Ini tidak sama dengan orang yang jahil.

Orang jahil, kita tahulah sebab apa mereka terus melakukan kesalahan sebab mereka tidak tahu, mereka jahil, tetapi kalau orang yang sudah tahu, tetapi buat juga, bagaimana fikiran anda tentang mereka?


 

Maidah Ayat 63: Ini juga adalah zajrun – teguran kepada ulama’ dan masyaikh Yahudi. Kita kena tahu kaedah bagaimana Allah ‎ﷻ menegur manusia. Dan apa yang Allah tegur ‎ﷻ itu, kita kena bandingkan dengan zaman sekarang kerana ada sifat mereka dalam kalangan orang Islam. Inilah yang dinamakan ulama’ su’ (Ulama’ Jahat).

Ini adalah tentang golongan agama. Mereka itu berkecimpung dalam hal-hal agama tetapi tidak mengamalkan agama dengan benar. Kita kena peka dengan perangai mereka dalam zaman kita sebab dalam kalangan kita sekarang tidak ada pun Yahudi tetapi ada yang berperangai seperti mereka.

لَولا يَنهٰهُمُ الرَّبّٰنِيّونَ وَالأَحبارُ عَن قَولِهِمُ الإِثمَ وَأَكلِهِمُ السُّحتَ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَصنَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Why do the rabbis and religious scholars not forbid them from saying what is sinful and devouring what is unlawful? How wretched is what they have been practicing.

(MALAY)

Mengapa orang-orang alim mereka, pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan dosa dan memakan yang haram? Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka kerjakan itu.

 

لَولا يَنهٰهُمُ الرَّبّٰنِيّونَ وَالأَحبارُ عَن قَولِهِمُ الإِثمَ

Mengapa orang-orang alim mereka, pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan perkataan dosa

Allah ‎ﷻ mempersoalkan, kenapa ahli agama mereka tidak menegur mereka yang telah melakukan dosa itu? Sepatutnya mereka yang memegang tampuk agama, apabila melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang bawahan mereka, kenalah tegur.

Apakah beza Rabbaniyyun dan Ahbar? Ada pendapat mengatakan:

Rabbaniyyun: Ahli-ahli ibadat
Ahbar: golongan yang alim, ulama’

Ada juga ahli tafsir yang memberi pendapat yang lain:

Rabbaniyyun: alim ulama’ yang dilantik oleh kerajaan. Ulama’ rasmi.
Ahbar: golongan yang alim yang selain daripada yang telah dilantik oleh kerajaan.

Apakah perkara yang mereka bercakap yang menyebabkan dosa? Ahli Tafsir mengatakan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah dosa besar, iaitu dosa syirik. Kenapa ulama’ mereka tidak tegur? Sedangkan masyarakat awam telah berkata perkara syirik?

Perkara ini turut berlaku dalam kalangan kita. Lihatlah bagaimana banyak sekali perbuatan salah dan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Malaysia sekarang, namun apakah yang telah dilakukan oleh golongan agamawan kita? Mereka diam sahaja. Untuk mengatakan sesuatu perbuatan itu ‘syirik’, mereka amat takut sekali. Takut tidak dapat diterima oleh masyarakat. Ini tidak sepatutnya terjadi.

Oleh itu, ayat ini adalah tentang amar makruf nahi mungkar. Orang Islam kena jalankan tugas ini. Terutama sekali golongan agamawan. Kalau tidak, memang akan rosak binasalah agama ini dan manusia semua sekali. Tetapi malangnya, ramai daripada kita tidak melakukannya, kita hanya lihat sahaja apa kesalahan yang orang lain lakukan, walaupun kita tahu yang apa yang mereka lakukan itu adalah salah.

Berat sungguh mulut kita hendak menegur kesalahan orang lain. Hasilnya, kita jadilah seperti puak Yahudi itu juga. Kalau dahulu sudah terjadi, tidak mustahil ia boleh terjadi kepada kita juga.

Telah dikatakan oleh Ad-Dhahhak, “Tiada suatu ayat pun dalam Al-Qur’an yang lebih aku takuti daripada ayat ini, iaitu bila kami tidak melakukan nahi munkar.”

Ada satu atsar daripada Yahya ibnu Ya’mur yang menceritakan bahawa Ali ibnu Abu Talib رضي الله عنه pernah berkhutbah. Untuk itu, dia memulainya dengan mengucapkan puja dan puji kepada Allah ‎ﷻ, kemudian berkata, “Hai manusia, sesungguhnya telah binasa umat sebelum kalian hanyalah kerana mereka mengerjakan perbuatan-perbuatan maksiat dan para pendeta serta para penguasa mereka tidak melarangnya. Setelah mereka berpanjangan dalam perbuatan-perbuatan maksiat, maka seksaan datang menimpa mereka. Kerana itu, ber-amar maruf-lah kalian dan ber-nahi munkar-lah kalian, sebelum azab yang pernah menimpa mereka menimpa kalian. Dan perlu kalian ketahui bahawa melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar itu tidak akan memutuskan rezeki dan tidak akan menyegerakan ajal.”

وَرَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ، عَنْ مَسَدَّد، عَنْ أَبِي الْأَحْوَصِ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنِ الْمُنْذِرِ بْنِ جَرِيرٍ، عَنْ جَرِيرٍ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم يَقُولُ: “مَا مِنْ رَجُلٍ يَكُونُ فِي قَوْمٍ يَعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، يَقْدِرُونَ أَنْ يُغِّيرُوا عَلَيْهِ، فَلَا يُغَيِّرُونَ إِلَّا أَصَابَهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ قَبْلَ أَنْ يَمُوتُوا”.

Abu Daud meriwayatkannya daripada Musaddad, daripada Abul Ahwas, daripada Abu Ishaq, daripada Al-Munzir ibnu Jarir, daripada Jarir yang mengatakan bahwa dia pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Tiada seorang pun dalam suatu kaum mengerjakan perbuatan-perbuatan maksiat, sedangkan mereka berkemampuan untuk mencegahnya, lalu mereka tidak mencegahnya, melainkan Allah ‎ﷻ akan menimpakan kepada mereka suatu seksaan sebelum mereka mati.

وَأَكلِهِمُ السُّحتَ

dan memakan yang haram?

Kenapa tidak ditegur mereka yang makan benda haram – iaitu menyembunyikan fakta sebenar daripada Al-Qur’an dan Sunnah dan mengajar perkara lain yang putar belit untuk mendapatkan habuan dunia. Mereka hendak mendapat pemberian daripada anak murid dan orang awam, dan kerana itu mereka tidak berani untuk menegur masyarakat yang membuat salah.

 

لَبِئسَ ما كانوا يَصنَعونَ

Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka kerjakan itu.

Buruk sekali tabiat mereka yang dikenali sebagai ulama su’ ini. Mereka ini menjadi tempat rujukan masyarakat awam, tetapi mereka tidak mengajar sepenuhnya, kerana ada perkara yang mereka simpan. Mereka tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak murid mereka.

Dan memang bahaya kalau kita tegur pun kerana ramai yang tidak suka kalau kita tegur tentang amalan-amalan bid’ah mereka. Jika guru yang mengajar itu menegur, mereka mungkin tidak dipanggil mengajar lagi; kalau yang menegur itu imam masjid, mungkin dilucutkan jawatan tidak lama lagi. Dan pelbagai lagi kesan yang akan dikenakan.

Ini kerana memang sifat manusia itu tidak suka ditegur apabila mereka membuat salah. Tetapi kenapa perlu takut dengan manusia? Adakah mereka yang memberi rezeki atau Allah ‎ﷻ yang memberi rezeki? Adakah kita mampu untuk mengadap Allah ‎ﷻ dan beritahu Allah ‎ﷻ kita tidak tegur kerana takut kita tidak dapat makan nasi (rezeki terhalang)? Jadi tegur sahaja, kalau mereka tidak terima, sekurang-kurangnya kita sudah jalankan tanggungjawab kita.

Ayat 62 sebelum ini adalah tentang orang awam dan ayat 63 ini tentang golongan ulama’ dan ahli ibadat (ahli agama). Oleh itu, teguran yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka itu berbeza. Bagi orang awam disebut:

لَبِئسَ ما كانوا يَعمَلونَ

(Sesungguhnya amat buruk apa yang mereka telah kerjakan itu)

Sedangkan bagi golongan ahli agama, lebih keras lagi,

لَبِئسَ ما كانوا يَصنَعونَ

(Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka kerjakan itu)

Ini kerana kalimah يَصنَعونَ bermaksud satu perbuatan yang diusahakan, dirancang. Jadi kalau golongan ahli agama itu tidak tegur, ia lebih teruk; iaitu mereka tahu yang kalau mereka tegur, masyarakat mungkin akan ikut berubah. Tetapi mereka bersalah besar kerana mereka takut kesan penolakan daripada masyarakat terhadap teguran itu. Jadi mereka diberikan teguran yang keras.

Tentang perkara ini, Allah ‎ﷻ sudah sebut dalam ayat 54 sebelum ini sebagai nasihat:

وَلا يَخٰفونَ لَومَةَ لائِمٍ

dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.

Inilah sikap golongan Mujahideen yang sepatutnya menjadi pegangan bagi kita terutama sekali kepada golongan alim ulama’. Jangan kita tinggalkan kerja amar makruf nahi mungkar ini. Umat sebelum kita telah rosak kerana mereka meninggalkannya, jangan kita pula termasuk dalam kalangan mereka. Kita takut kita pun dikenakan azab sekali.

Abu Bakar ash-Shidiq رضي الله عنه menuturkan bahawa Rasul ﷺ bersabda,

إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوْا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّه بِعِقَابٍ مِنْهُ

Sungguh manusia itu, jika mereka melihat orang zalim, sementara mereka tidak menidakkannya, maka Allah segera menimpakan azab-Nya kepada mereka secara umum.”

(HR Abu Dawud, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibu Hibban).


 

Maidah Ayat 64: Ayat jenis Syikayah (rungutan) tentang sifat golongan Yahudi.

وَقالَتِ اليَهودُ يَدُ اللهِ مَغلولَةٌ ۚ غُلَّت أَيديهِم وَلُعِنوا بِما قالوا ۘ بَل يَداهُ مَبسوطَتانِ يُنفِقُ كَيفَ يَشاءُ ۚ وَلَيَزيدَنَّ كَثيرًا مِّنهُم ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ طُغيٰنًا وَكُفرًا ۚ وَأَلقَينا بَينَهُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ ۚ كُلَّما أَوقَدوا نارًا لِّلحَربِ أَطفَأَهَا اللهُ ۚ وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا ۚ وَاللهُ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Jews say, “The hand of Allāh is chained.”¹ Chained are their hands, and cursed are they for what they say. Rather, both His hands are extended; He spends however He wills. And that which has been revealed to you from your Lord will surely increase many of them in transgression and disbelief. And We have cast among them animosity and hatred until the Day of Resurrection. Every time they kindled the fire of war [against you], Allāh extinguished it. And they strive throughout the land [causing] corruption, and Allāh does not like corrupters.

  • Implying inability to give or stinginess.

(MALAY)

Orang-orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu”, sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. (Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki. Dan Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kedurhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan di antara mereka. Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian di antara mereka sampai hari kiamat. Setiap mereka menyalakan api peperangan Allah memadamkannya dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.

 

وَقالَتِ اليَهودُ يَدُ اللهِ مَغلولَةٌ

Orang-orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu”,

Maksud lafaz ini adalah: tangan Allah ‎ﷻ bakhil. Ini kerana ‘tangan terbelenggu’ adalah bahasa kiasan – tangan terikat daripada memberi kerana kedekut. Orang Yahudi sanggup berkata kata-kata keji ini dengan beralasan Allah‎ﷻ  tidak melimpahkan rezeki yang banyak kepada manusia, tetapi meminta-minta zakat daripada kita. Itu adalah tuduhan mereka dan sangat buruk sekali kata mereka itu – kurang ajar yang teramat sangat.

Ada satu lagi tafsir kenapa mereka kata begitu: kerana mereka lihat umat Islam kekurangan harta benda walaupun mereka telah pernah menang perang dengan musyrikin Mekah dan perang-perang yang lain. Mereka ejek, kalau Muslim itu baik dengan Allah ‎ﷻ, kenapa Allah‎ ﷻ tidak tolong umat Islam? Kerapa ramai yang miskin?

Ataupun satu lagi tafsir: mereka kata tangan Allah ‎ﷻ terikat daripada melakukan apa-apa terhadap puak Yahudi kerana puak Yahudi itu adalah umat pilihan, disayangi Allah ‎ﷻ. Mereka kata takkan Allah ‎ﷻ hendak buat benda tidak elok kepada orang yang Dia sayang, bukan? Maksudnya, mereka kata mereka boleh buat apa sahaja dan Allah ‎ﷻ tidak akan mengazab mereka. Ini pun fahaman yang teruk juga. Mereka perasan mereka tidak akan dikenakan dengan azab.

Satu lagi tafsir: sebelum kedatangan Nabi Muhammad ﷺ ke Madinah, puak Yahudi itu memang kaya raya dan sumber pendapatan mereka banyak. Tetapi apabila mereka menolak kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ, Allah ‎ﷻ balas dengan menjadikan mereka miskin. Maka kerana itu mereka marah kepada Allah ‎ﷻ dengan mengatakan Allah‎ ﷻ sudah menjadi kedekut.

 

غُلَّت أَيديهِم

sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu

Allah ‎ﷻ menjawab kata-kata mereka itu: – merekalah yang sebenarnya kedekut. Puak Yahudi itu harta bergedung-gedung tetapi marah kepada Tuhan kerana minta zakat kepada mereka.

Mereka memang golongan yang kedekut dan telah disebut dalam Al-Qur’an seperti firman-Nya:

أَمْ لَهُمْ نَصِيبٌ مِنَ الْمُلْكِ فَإِذًا لَا يُؤْتُونَ النَّاسَ نَقِيرًا أَمْ يَحْسُدُونَ النَّاسَ عَلَى مَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ 

Ataukah ada bagi mereka bahagian daripada kerajaan (kekuasaan)? Kendatipun ada, mereka tidak akan memberikan sedikit pun (kebajikan) kepada manusia, ataukah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) lantaran kurnia yang telah Allah berikan kepada manusia itu? (An-Nisa: 53-54), hingga akhir ayat.

 

وَلُعِنوا بِما قالوا

dan mereka dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu. 

Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka dilaknat disebabkan perkataan mereka itu. Maksud ‘laknat’ adalah: jauh daripada rahmat Allah ‎ﷻ. Mereka tidak akan diberikan peluang untuk diselamatkan melainkan mereka mengubah sikap mereka.

 

بَل يَداهُ مَبسوطَتانِ يُنفِقُ كَيفَ يَشاءُ

tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka; Dia menafkahkan sebagaimana Dia kehendaki.

Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu bahawa sebenarnya ‘dua tangan’ Allah ‎ﷻ terbuka luas. Ini pun bahasa kiasan untuk mengatakan yang Allah ‎ﷻ maha pemurah kerana kalau memberi kita selalunya menggunakan tangan maka ia memberi isyarat ‘memberi’. Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan oleh ayat lain melalui firman-Nya:

{وَآتَاكُمْ مِنْ كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِنْ تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الإنْسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ}

Dan Dia telah memberikan kepada kalian (keperluan kalian) daripada segala apa yang kalian mohonkan kepadanya. Dan jika kalian menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kalian menghitungnya Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah. (Ibrahim: 34)

Terdapat juga perbahasan tentang ayat ini: kenapa Allah ‎ﷻ kata Dia ada dua tangan? Adakah benar Allah ‎ﷻ mempunyai dua tangan? Banyaklah tafsir ayat ini, tetapi kita tidak mahu memanjangkannya. Kalau Allah ‎ﷻ kata Dia ada dua tangan, maka kita terimalah sebegitu. Namun yang pasti, tangan Allah‎ ﷻ tidaklah sama seperti tangan manusia atau makhluk yang lain, itu sudah pasti. Jangan bayangkan pula tangan Allah ‎ﷻ seperti tangan kita.

Malangnya, ramai yang seperti tidak ada kerja lain, masih ingin berdebat tentang perkara ini. Sampai mengkafirkan mereka yang tidak sependapat dengan mereka. Ini tidak patut terjadi kerana sebenarnya ia bukannya perkara penting dalam agama pun. Kita tidak perlu hendak tahu bagaimana rupa tangan Allah ‎ﷻ. Jadi kenapa perlu disibukkan sangat dengan perkara yang tidak penting begini?

Ini adalah jenis ayat mustashabihaat yang kita tidak tahu maknanya pun. Pecah kepala fikir pun kita tidak akan dapat kebenaran. Yang ramai memberi pendapat tentang maksudnya itu pun, itu masih pendapat sahaja. Nabi ﷺ tidak pernah tafsir ayat dengan mengatakan bagaimana rupa tangan Allah ‎ﷻ. Para sahabat pun tahu bahawa itu adalah bahasa kiasan sahaja, dan tidaklah diambil sebagai literal.

Yang jelas daripada ayat ini, huraiannya adalah: – Allah ‎ﷻ boleh beri belaka dan Allah ‎ﷻ tidak kedekut langsung. Dia telah beri banyak pun kepada makhlukNya. Dan Allah ‎ﷻ akan terus memberi kepada kita selagi kita hidup. Selagi kita hidup, kita akan mendapat rezeki daripada Allah ‎ﷻ, sedikit atau banyak.

Kerana Dia beri ikut kadar yang Dia tentukan. Dia tahu banyak mana yang perlu diberikan kepada kita. Ada yang dapat banyak, ada yang dapat sedikit. Banyak atau sedikit itu adalah ujian. Ramai sangka kalau dapat harta sedikit adalah ujian. Ini tidak semestinya, kerana kadang-kadang kalau dapat rezeki banyak lagi berat ujiannya.

Adakah kita bersyukur dengan rezeki itu, adakah kita menggunakannya ke arah kebaikan, adakah kita bayar zakat, infaq dan beri kepada mereka yang ada bahagian dalam harta itu dan sebagainya. Semua itu akan ditanya, dan kalau kita tidak menjalankan hak harta itu, maka kita akan ada masalah nanti di akhirat. Ini kerana semua harta yang kita dapat, dan harta yang kita belanjakan, akan disoal nanti.

 

وَلَيَزيدَنَّ كَثيرًا مِّنهُم ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ طُغيٰنًا وَكُفرًا

Dan Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu sungguh-sungguh akan menambah kederhakaan dan kekafiran bagi kebanyakan di antara mereka. 

Kedegilan puak Yahudi tidak ada batasan. Semakin banyak wahyu yang orang Islam dapat, bertambah derhaka dan kufur mereka kepada Allah ‎ﷻ. Ini kerana mereka tidak mahu membuat apa yang disuruh dalam wahyu yang diturunkan, seperti zakat dan mereka kufur kerana akidah syirik yang berlawanan dengan wahyu Allah ‎ﷻ.

Wahyu itu menyebabkan mereka bertambah kufur dan derhaka kerana semakin banyak ayat diturunkan, semakin banyaklah ayat yang mereka tolak dan bertambah kufur mereka. Mereka jadi semakin teruk dan teruk. Semakin bertambah gelap hati mereka dengan bertambahnya ayat yang mereka kufur.

 

وَأَلقَينا بَينَهُمُ العَدٰوَةَ وَالبَغضاءَ إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ

Dan Kami telah timbulkan permusuhan dan kebencian di antara mereka sampai hari kiamat.

Allah ‎ﷻ beritahu kalau umat Islam tegas dan bersungguh dalam sebarkan wahyu, walaupun Yahudi makin ingkar, Allah ‎ﷻ akan timbulkan dalam kalangan Yahudi itu permusuhan dan kebencian sesama mereka hingga kiamat.

Ya, mereka akan kalah di tangan kita tetapi dengan syarat wahyu mestilah disampaikan berterusan dengan kesungguhan. Mereka tidak akan bersatu dalam agama, kerana sentiasa sahaja ada percanggahan sesama mereka. Masalahnya sekarang, kita pun ada percanggahan di antara kita. Maka kerana itulah kita masih tidak dapat mengalahkan mereka. Ini masalah umat yang masih berlaku dalam kalangan kita. Sentiasa sahaja ada percanggahan pendapat yang membawa ke arah perpecahan.

 

كُلَّما أَوقَدوا نارًا لِّلحَربِ أَطفَأَهَا اللهُ

Setiap kali mereka menyalakan api peperangan Allah memadamkannya

Setiap kali golongan musuh hendak menyalakan api peperangan, Allah ‎ﷻ akan padamkan api itu. Ini juga adalah bahasa kiasan kerana tabiat orang Arab, apabila hendak berperang, mereka akan menyalakan api di bukit-bukit kecil, sebagai tanda mereka hendak menyerang kawasan itu.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, jika golongan Yahudi itu ingin memerangi umat Islam kerana tidak tahan dengan dakwah Islam, Allah ‎ﷻ akan memadamkan api itu dengan Qudrat Dia. Ini adalah kerana apabila umat Islam menyampaikan wahyu-Nya, Allah ‎ﷻ akan bantu orang Islam.

Ini telah terjadi di Madinah kerana golongan Yahudi itu tidak suka kepada Islam dan mereka ada membuat perancangan untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Terapi Allah ‎ﷻ gagalkan perancangan mereka untuk menyelamatkan umat Islam. Antaranya dengan menjadikan mereka berpecah belah, jadi perancangan mereka tidak menjadi.

 

وَيَسعَونَ فِي الأَرضِ فَسادًا

dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi 

Memang orang Yahudi itu suka untuk mengadakan peperangan kepada orang Islam. Dan bukan itu sahaja, mereka itu tidak berhenti daripada berbuat kerosakan di bumi, iaitu menyampaikan perkara yang bercanggah dengan syariat. Pada zaman sekarang, mereka itu adalah orang yang di belakang tabir yang menyebabkan peperangan di bumi ini.

Ini adalah kerana, mereka akan mendapat keuntungan kalau perang terus berlaku. Antaranya, merekalah yang menjual senjata-senjata kepada mereka yang berperang. Mereka pun memang pandai hendak menaikkan semangat orang Islam untuk berperang. Mereka kaji bagaimana kita berfikir, bagaimana kita bertindak dalam sesuatu perkara. Mereka bangkitkan perpecahan dengan bangkitkan satu-satu puak untuk membenci puak Islam yang lain.

Dan kita orang Islam pun memang tidak berapa pandai, banyak yang bodoh dan senang untuk naik semangat yang tidak patut-patut. Senang sangat hendak membuat perkara yang bodoh. Sebagai contoh, ada orang yang buat kartun pasal Nabi Muhammad ﷺ, maka kecoh satu dunia, pecah dan bakar hartabenda awam sana sini. Sampaikan ada yang membunuh orang lain dan menyebabkan nama Islam buruk di mata dunia. Golongan musuh sedang memerhati sahaja apa benda yang boleh membuatkan kita hilang akal dan mereka akan gunakan ke atas kita.

Kalau kita masih seperti ini, tidak pandai mengawal perasaan, suka memandang serong dengan orang Islam lain, tentu akan berlaku banyak permusuhan sesama kita.

 

وَاللهُ لا يُحِبُّ المُفسِدينَ

dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.

Dan kerosakan yang mereka lakukan itu Allah ‎ﷻ tidak restui. Seperti yang telah disebut sebelum ini, Allah ‎ﷻ memang murka kepada mereka kerana disebabkan kerosakan yang mereka lakukan itu, mereka akan mendapat seksaan yang teruk di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s