Tafsir Surah al-Maidah Ayat 65 – 67 (Puak tarekat kata Nabi sembunyi ilmu)

Maidah Ayat 65: Allah ‎ﷻ beritahu yang jika golongan Ahli Kitab itu insaf dan ikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, Allah‎ ﷻ akan memaafkan mereka dan masukkan mereka ke dalam syurga. Ayat ini mengajak golongan ahli kitab untuk beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.

وَلَو أَنَّ أَهلَ الكِتٰبِ ءآمَنوا وَاتَّقَوا لَكَفَّرنا عَنهُم سَيِّئَاتِهِم وَلَأَدخَلنٰهُم جَنّٰتِ النَّعيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if only the People of the Scripture had believed and feared Allāh, We would have removed from them their misdeeds and admitted them to Gardens of Pleasure.

(MALAY)

Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertakwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan.

 

وَلَو أَنَّ أَهلَ الكِتابِ آمَنوا وَاتَّقَوا

Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, 

Kalaulah mereka mahu mengubah sikap mereka beriman kepada Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ, dan menerima wahyu Al-Qur’an. Dan maksud taqwa itu adalah menjaga hukum yang telah disampaikan. Maksudnya, mereka juga mesti meninggalkan segala kesalahan yang mereka telah lakukan selama ini. Segala fahaman dan amalan mereka yang bertentangan dengan ajaran agama hendaklah ditinggalkan.

 

لَكَفَّرنا عَنهُم سَيِّئَاتِهِم

Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka

Balasannya jika beriman dan bertaqwa, pasti Allah ‎ﷻ akan memaafkan kesalahan yang lampau. Tutup belaka segala dosa-dosa mereka yang telah lalu. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

 

وَلَأَدخَلناهُم جَنّاتِ النَّعيمِ

dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan.

Dan pasti Allah ‎ﷻ akan masukkan mereka ke dalam syurga. Dan di dalam syurga itu, mereka akan mendapat nikmat yang berkekalan, sentiasa.


 

Maidah Ayat 66: Allah ‎ﷻ beritahu yang kandungan akidah dalam Taurat dan Injil (yang asal) adalah sama sahaja dengan wahyu Al-Qur’an. Dan kalau mereka ikut, mereka akan mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ.

وَلَو أَنَّهُم أَقامُوا التَّوراةَ وَالإِنجيلَ وَما أُنزِلَ إِلَيهِم مِن رَبِّهِم لَأَكَلوا مِن فَوقِهِم وَمِن تَحتِ أَرجُلِهِم ۚ مِنهُم أُمَّةٌ مُقتَصِدَةٌ ۖ وَكَثيرٌ مِنهُم ساءَ ما يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if only they had upheld [the law of] the Torah, the Gospel, and what has been revealed to them from their Lord [i.e., the Qur’ān], they would have consumed [provision] from above them and from beneath their feet.¹Among them are a moderate [i.e., acceptable] community, but many of them – evil is that which they do.

  • i.e., in great abundance.

(MELAYU)

Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (Al Qur’an) yang diturunkan kepada mereka dari Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka. Di antara mereka ada golongan yang pertengahan. Tapi kebanyakan dari mereka: alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.

 

وَلَو أَنَّهُم أَقامُوا التَّوراةَ وَالإِنجيلَ

Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menegakkan Taurat dan Injil

Dan kalau mereka dapat menegakkan, iaitu mengamalkan apa yang terkandung dalam Kitab Taurat dan Injil dengan benar, iaitu dari segi akidah, ini adalah yang terbaik. Bukanlah hendak digunakan syariat yang terkandung dalam Taurat dan Injil itu, tetapi dari segi akidah sahaja. Ini jerana akidah yang ada dalam kitab Taurat dan Injil yang asal adalah sama sahaja apa yang ada dalam Al-Qur’an.

Dan kalau mereka mengamalkan kandungan Kitab wahyu mereka yang tidak diubah, tidak dirosakkan, ia akan membawa mereka kepada beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana memang dalam kandungan kitab-kitab itu menyebut kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan kewajipan mereka untuk beriman dengan baginda.

Ibnu Abu Hatim menyebut satu hadith sehubungan dengan firman-Nya dalam ayat ini:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ نُفَيْرٍ، عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “يُوشِكُ أَنْ يُرْفَعَ الْعِلْمُ”. فَقَالَ زِيَادُ بْنُ لَبِيدٍ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَكَيْفَ يُرْفَعُ الْعِلْمُ وَقَدْ قَرَأْنَا الْقُرْآنَ وَعَلَّمْنَاهُ أَبْنَاءَنَا؟! قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ لَبِيدٍ! إِنْ كُنْتُ لَأَرَاكَ مِنْ أَفْقَهِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ، أَوَلَيِسَتِ (التَّوْرَاةُ وَالْإِنْجِيلُ بِأَيْدِي الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى، فَمَا أَغْنَى عَنْهُمْ حِينَ تَرَكُوا أَمْرَ اللَّهِ” ثُمَّ قَرَأَ {وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُوا التَّوْرَاةَ وَالإنْجِيلَ}

Daripada Abdur Rahman ibnu Jubair ibnu Nafir, daripada ayahnya yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Sudah dekat waktunya ilmu akan diangkat Allah ‎ﷻ. Maka Ziyad ibnu Labid bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana mungkin ilmu diangkat, sedangkan kami membaca Al-Qur’an dan mengajarkannya kepada anak-anak kami.” Nabi ﷺ bersabda: Semoga ibumu kehilangan kamu, hai Ibnu Labid. Sekalipun aku memandang engkau termasuk orang yang paling alim dalam kalangan penduduk Madinah, tetapi bukankah kitab Taurat dan kitab Injil berada di tangan orang-orang Yahudi dan Nasrani, tetapi tidak bermanfaat bagi mereka kerana mereka meninggalkan perintah? Kemudian Nabi ﷺ. membacakan firman-Nya: Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil. (Al-Maidah: 66)

Maknanya, jika kita hanya membaca Al-Qur’an, tetapi tidak mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, maka samalah kita nanti seperti mereka. Itulah maksud ‘ilmu diangkat’. Maka hadith ini amat menakutkan kerana kita takut ilmu Al-Qur’an yang ada di tangan kita ini akan diangkat kerana kita tidak menghiraukannya, sama seperti golongan Ahli Kitab terdahulu.

Sudah sekian lama umat Islam jauh daripada ajaran Al-Qur’an sebenarnya. Jika kita lihat di negara kita, ajaran tafsir Al-Qur’an memang amat asing kepada masyarakat. Alhamdulillah sekarang kita melihat ada peningkatan di mana sudah banyak kelas pengajian tafsir bercambah dan sudah semakin ramai umat Islam di negara kita mula berminat untuk belajar kandungan Al-Qur’an ini. Maka kita berharap ia semakin tersebar hendaknya.

 

وَما أُنزِلَ إِلَيهِم مِن رَّبِّهِم

dan yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka,

Bukan sahaja mereka kena tegakkan Taurat dan Injil tetapi termasuk juga yang diturunkan selepas itu – iaitu Al-Qur’an. Maknanya mereka kena tegakkan Al-Qur’an juga. Ini kerana Al-Qur’an juga adalah kitab mereka juga. Apabila tegakkan Al-Qur’an, kena tegakkan sekali dengan syariat yang ada dalam Al-Qur’an kerana itulah syariat yang terpakai sekarang.

Ada imbuhan yang Allah ‎ﷻ janjikan kalau mereka tegakkan wahyu dalam kehidupan mereka.

 

لَأَكَلوا مِن فَوقِهِم وَمِن تَحتِ أَرجُلِهِم

nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka.

Jika mereka boleh buat begitu, natijahnya di dunia lagi mereka akan mendapat kemewahan. Allah ‎ﷻ sebut tentang rezeki di dunia kerana dalam ayat 65 sebelum ini, ia tentang balasan di akhirat. Jadi Allah ‎ﷻ beritahu yang di dunia lagi mereka akan mendapat balasan yang baik. Mereka akan mendapat makan rezeki dari atas, iaitu bermaksud air hujan dan rezeki-rezeki yang lain kerana semua itu adalah rezeki daripada Allah ‎ﷻ.

Dan maksud rezeki dari bawah kaki mereka, bermaksud tumbuhan dan harta-harta dari tanah. Mereka akan dapat makan dengan mudah sekali.

Atau ia bermaksud mereka tidak akan putus rezeki. Tidak akan susah hidup mereka. Mereka akan berterusan dapat makan minum. Allah ‎ﷻ akan memberikan rezeki yang banyak kepada mereka. Mereka akan menjalani kehidupan yang senang. Tidaklah masuk Islam mereka akan menjadi miskin dan susah pula.

Maknanya, tidaklah perlu mereka makan hasil dari ‘suhtun’ iaitu mengajar perkara yang salah dan menjual hukum ikut kehendak pengikut mereka. Ini adalah kerana mereka takut kalau mereka masuk Islam, mereka akan hidup susah.

Begitulah juga, ramai dalam kalangan ahli agama kita, takut hendak beritahu perkara yang sebenar kerana takut mereka tidak dapat punca rezeki lagi. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, tidak perlu risau, kerana rezeki Allah ‎ﷻ yang bagi. Hanya beritahu sahaja kebenaran, hal rezeki itu Allah ‎ﷻ akan uruskan. Kerana bukan manusia yang beri rezeki, tetapi Allah ‎ﷻ.

 

مِنهُم أُمَّةٌ مُقتَصِدَةٌ

Di antara mereka ada golongan yang pertengahan. 

Bukanlah semua Yahudi dan Kristian itu teruk. Ada orang yang baik dalam kalangan mereka dan mereka ada yang masuk Islam. Ada dalam kalangan mereka yang taat setia kepada hukum Islam dan menjadi umat Islam yang baik.

Lafaz مُقتَصِدَةٌ dari kata dasar yang bermaksud moderate, tidak ekstrim.

 

وَكَثيرٌ مِنهُم ساءَ ما يَعمَلونَ

Tetapi kebanyakan daripada mereka: alangkah buruknya apa yang dikerjakan oleh kebanyakan mereka.

Walaupun begitu, ramai/majoriti daripada mereka mempunyai amalan yang buruk dan tidak ikut syariat.

Sekian Ruku’ 9 dari 16 ruku’ dalam surah ini.


 

Maidah Ayat 67: Ini adalah bahagian kedua daripada Surah Maidah sehinggalah kepada ayat 120. Ia mengandungi perbahasan dari segi akidah. Ia dimulakan penafian iktikadi (pegangan dan pemahaman) dahulu dan akhir nanti akan disebut penafian dari segi syirik amali (perbuatan).

۞ يَـٰٓأَيُّہَا الرَّسولُ بَلِّغ ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ ۖ وَإِن لَّم تَفعَل فَما بَلَّغتَ رِسالَتَهُ ۚ وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ ٱلكَـٰفِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Messenger, announce that which has been revealed to you from your Lord, and if you do not, then you have not conveyed His message. And Allāh will protect you from the people. Indeed, Allāh does not guide the disbelieving people.

(MALAY)

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya. Dan Allah akan memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

 

يَـٰٓأَيُّہَا الرَّسولُ بَلِّغ ما أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu.

Rasul mesti menyampaikan wahyu yang telah diberikan kepada baginda. Walaupun dalam ayat ini, hanya diseru Rasulullah ﷺ, akan tetapi termasuk juga seruan itu kepada kita sebagai umat baginda. Kita mestilah meneruskan dakwah Nabi ﷺ dan sampaikan wahyu ini kepada manusia.

Persoalannya sekarang, adakah kita telah melakukan tugas itu? Apabila difikirkan amat sedikit sekali usaha kita, takut sekali yang kita tidak menjalankan seruan dalam ayat ini. Takut kita akan ditanya tentang tanggungjawab ini.

 

وَإِن لَّم تَفعَل فَما بَلَّغتَ رِسالَتَهُ

Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, bererti) kamu tidak menyampaikan risalah-Nya. 

Nabi ﷺ diingatkan dan diarahkan dalam ayat ini, hendaklah tabligh (sampaikan) apa sahaja yang diturunkan kepada baginda, jangan tinggal satu ayat pun. Dan kalau baginda simpan satu ayat pun sudah tidak dikira sebagai tabligh. Oleh itu, kita jangan ajar ayat Al-Qur’an tidak cukup. Dan maksud tabligh kena sampaikan semua sekali ayat-ayat Al-Qur’an.

Jangan sembunyikan satu ayat pun walaupun ia ayat yang kita rasa berat bagi kita kerana mungkin kita ada terasa ngeri untuk sampaikan mana-mana ayat disebabkan takut masyarakat susah untuk terima. Tetapi ini tidak boleh, kita tetap kena sampaikan.

Dan kita kena terus sampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini kepada manusia. Ramai yang rasa senang diri sahaja selepas belajar, mereka simpan sendiri dan tidak beritahu kepada orang lain. Ini amat bahaya kerana Allah‎ ﷻ sudah suruh kita sampaikan dan kalau kita tidak sampaikan, kita telah menolak satu ayat Allah ‎ﷻ.

Maka kita tidak boleh berhenti daripada menyampaikan kepada manusia. Dakwah hendaklah dijalankan kepada non-muslim dan juga kepada golongan Muslim juga. Ini kerana ramai juga Muslim yang tidak kenal wahyu.

Dan dengan pastinya kita kena yakin yang Nabi Muhammad ﷺ telah menjalankan amanah yang diletakkan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu kepada manusia, tidak satu pun yang ditinggalkan. Lihatlah hadith ini:

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan sehubungan dengan tafsir ayat ini, bahawa telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Yusuf, telah menceritakan kepada kami Sufyan, daripada Ismail, daripada Asy-Sya’bi, daripada Masruq, daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang mengatakan, “Barang siapa yang mengatakan bahawa Muhammad ﷺ menyembunyikan sesuatu daripada apa yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ kepadanya, sesungguhnya dia telah berdusta,” seraya membacakan firman-Nya: Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. (Al-Maidah:67). hingga akhir ayat.

 

Di dalam kitab Sahihain, dari Aisyah رضي الله عنها disebutkan bahawa beliau pernah mengatakan,

لَوْ كَانَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَاتِمًا مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا لَكَتَمَ هَذِهِ الْآيَةَ: {وَتُخْفِي فِي نَفْسِكَ مَا اللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى النَّاسَ وَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ تَخْشَاهُ}

“Seandainya Muhammad ﷺ menyembunyikan sesuatu daripada Al-Qur’an, nescaya dia akan menyembunyikan ayat ini,” iaitu firman-Nya: sedangkan kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedangkan Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. (Al Ahzab:37)

Maksud hadith ini, Nabi Muhammad ﷺ tidak menyembunyikan langsung wahyu. Baginda sampaikan walaupun mungkin hati baginda berat untuk menyampaikannya.

Oleh itu, amat pelik dan jahil sekali puak sufi dan tarekat yang mengatakan, ada ilmu rahsia yang Nabi ﷺ tidak sampaikan kepada semua umat tetapi diberikan kepada pihak tertentu sahaja. Ini adalah berlawanan dengan maksud ayat Al-Qur’an ini dan hadith yang sahih dan juga akal yang waras.

Mereka kata ada ilmu yang Nabi ﷺ berikan kepada orang-orang tertentu sahaja seperti Saidina Ali رضي الله عنه, iaitu ilmu-ilmu rahsia yang baginda rasa sahabat-sahabat lain tidak mampu untuk memahaminya. Memang kalau hendak masuk tarekat, kena tinggalkan akal yang waras, baru boleh terima kata-kata guru mereka. Bayangkan, mereka hina dan tuduh Nabi ﷺ sembunyikan ilmu!

Dan mereka perasan mereka lebih hebat daripada hampir keseluruhan para sahabat. Bayangkan, mereka kata ada ilmu yang para sahabat tidak mampu untuk faham, tidak mampu dibawa. Akan tetapi, tiba-tiba mereka puak-puak tarekat itu pula mampu bawa! Jadi mereka hendak kata mereka lebih hebat daripada para sahabat yang ramai-ramai itulah! Ini amatlah menggelikan hati.

Daripada Harun ibnu Antrah, daripada ayahnya yang menceritakan bahawa ketika dia berada di hadapan Ibnu Abbas رضي الله عنهما, tiba-tiba datanglah seorang lelaki. Kemudian lelaki itu berkata, “Sesungguhnya banyak orang yang datang kepada kami. Mereka menceritakan kepada kami bahawa pada kalian terdapat sesuatu yang belum pernah Rasulullah ﷺ jelaskan kepada orang lain.” Maka Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab, “Bukankah kamu ketahui bahawa Allah ‎ﷻ telah berfirman: Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. (Al-Maidah: 67) Demi Allah, Rasulullah ﷺ tidak mewariskan kepada kami (ahlul bait) sesuatu hal yang disembunyikan.” Sanad atsar ini berpredikat jayyid.

Golongan tarekat mengatakan ada perkara yang Rasulullah ﷺ hanya sampaikan kepada orang tertentu sahaja seperti Saidina Ali رضي الله عنه. Kemudian Saidina Ali رضي الله عنه pun hanya ajarkan kepada orang tertentu sahaja kerana ilmu itu rahsia dan takut ada yang tidak faham kalau disampaikan kepada mereka. Ini juga adalah tohmahan. Mana mungkin Saidina Ali رضي الله عنه menyembunyikan ilmu agama.

Hal ini disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari melalui riwayat Abu Juhaifah, iaitu Wahb ibnu Abdullah As-Sawa-i, yang menceritakan bahawa dia pernah bertanya kepada Khalifah Ali ibnu Abu Talib رضي الله عنه;

“Apakah dalam kalangan kalian (ahlul bait) terdapat sesuatu daripada wahyu yang tidak terdapat di dalam Al-Qur’an?” Maka Khalifah Ali رضي الله عنه menjawab, “Tidak, demi Tuhan yang menumbuhkan biji-bijian dan yang menciptakan manusia, kecuali hanya pemahaman yang diberi­kan oleh Allah kepada seseorang mengenai Al-Qur’an dan apa yang terdapat di dalam lembaran ini.” Aku bertanya, “Apakah yang terdapat di dalam lembaran ini?” Khalifah Ali ibnu Abu Talib رضي الله عنه menjawab, “Masalah aql (diat), mem­bebaskan tawanan, dan seorang muslim tidak boleh dihukum mati kerana membunuh seorang kafir.”

Lihatlah yang pada zaman Saidina Ali رضي الله عنه pun sudah ada orang yang pusing kata ada ilmu rahsia. Tidak habis-habis lagi pemahaman itu dalam masyarakat kita. Menariknya, puak tarekat semua kata ilmu mereka dapat dari jaluran Saidina Ali رضي الله عنه. Lihatlah dalam hadith ini, Saidini Ali رضي الله عنه sendiri kata tidak ada ilmu rahsia. Kalaulah sesuatu ilmu itu penting, kenapa perlu dirahsiakan? Bukankah kalau penting perlu disampaikan kepada semua?

 

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan daripada Jabir ibnu Abdullah, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda dalam khutbah Haji Wada’nya:

“أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مَسْئُولُونَ عَنِّي، فَمَا أَنْتُمْ قَائِلُونَ؟ ” قَالُوا: نَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلّغت وأدّيتَ وَنَصَحْتَ. فَجَعَلَ يَرْفَعُ إِصْبَعَهُ إِلَى السَّمَاءِ ويَقلبها إِلَيْهِمْ وَيَقُولُ: “اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ، اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ”.

Hai manusia, sesungguhnya kalian akan ditanyai mengenai diriku, maka apakah yang akan kalian katakan? Mereka menjawab, “Kami bersaksi bahawa engkau telah menunaikan risalah dan menyampaikan amanat serta menasihati umat.” Maka Rasulullah ﷺ mengangkat jari telunjuknya ke langit, lalu menun­jukkannya kepada mereka seraya bersabda: Ya Allah apakah aku telah menyampaikan?

Di akhirat nanti, apa agaknya jawapan puak-puak tarekat tentang Nabi Muhammad ﷺ? Adakah mereka akan sanggup mengatakan ada perkara tentang agama yang Nabi ﷺ hanya sampaikan kepada orang-orang tertentu sahaja?

 

وَاللَّهُ يَعصِمُكَ مِنَ النّاسِ

Dan Allah akan memelihara engkau daripada manusia.

Allah ‎ﷻ akan melindungi Rasulullah ﷺ daripada kejahatan manusia jika baginda sampaikan kebenaran. Jadi baginda tidak perlu takut. Ini adalah janji yang penting kerana kalau kita sampaikan semua wahyu, akan ada yang tidak suka dan marah kita. Dan mungkin buat sesuatu yang buruk kepada kita. Allah‎ ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Dia akan melindungi kita daripada manusia lain.

Semasa awal Islam, semasa Nabi ﷺ menyampaikan dakwah kepada manusia, Nabi ﷺ ada empat orang sahabat yang mengiringi baginda. Mereka duduk di kiri, kanan, depan dan belakang belakang baginda untuk mengawal dan jaga baginda kalau-kalau ada yang hendak buat perkara tidak elok kepada baginda.

Namun selepas ayat ini turun, Nabi ﷺ terus tidak perlukan pengawal lagi. Nabi ﷺ suruh mereka pergi kerana baginda yakin yang Allah ‎ﷻ akan jaga baginda. Memang Nabi ﷺ dulunya takut juga kalau-kalau baginda diapa-apakan oleh manusia yang jahat. Seperti yang disebutkan oleh Imam Ahmad رحمه الله:

كَمَا قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ:حَدَّثَنَا يَزِيدُ، حَدَّثَنَا يَحْيَى، قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ يُحَدِّثُ: أَنَّ عَائِشَةَ كَانَتْ تُحَدِّثُ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَهِر ذَاتَ لَيْلَةٍ، وَهِيَ إِلَى جَنْبِهِ، قَالَتْ: فقلتُ: مَا شَأْنُكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: “لَيْتَ رَجُلًا صَالِحًا مِنْ أَصْحَابِي يَحْرُسُنِي اللَّيْلَةَ؟ ” قَالَتْ: فَبَيْنَا أَنَا عَلَى ذَلِكَ إِذْ سَمِعْتُ صَوْتَ السِّلَاحِ فَقَالَ: “مَنْ هَذَا؟ ” فَقَالَ: أَنَا سَعْدُ بْنُ مَالِكٍ. فَقَالَ: “مَا جَاءَ بِكَ؟ ” قَالَ: جِئْتُ لِأَحْرُسَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَتْ: فَسَمِعْتُ غَطِيطَ رسول الله صلى الله عليه وسلم في نَوْمِهِ.

Telah menceritakan kepada kami Yazid, telah menceritakan kepada kami Yahya yang mengatakan bahawa ia pernah mendengar Abdullah ibnu Amir ibnu Rabi’ah menceritakan, “Siti Aisyah رضي الله عنها pernah bercerita bahawa di suatu malam Rasulullah ﷺ berjaga, sedangkan Siti Aisyah رضي الله عنها berada di sisinya. Siti Aisyah رضي الله عنها bertanya, ‘Apakah gerangan yang membuatmu gelisah, wahai Rasulullah ﷺ?’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Mudah-mudahan ada seorang lelaki saleh daripada sahabatku yang mahu menjagaku malam ini’.” Siti Aisyah رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, “Ketika kami berdua dalam keadaan demikian, tiba-tiba aku (Aisyah) mendengar suara senjata, maka Rasulullah ﷺ bertanya, ‘Siapakah ini?’ Seseorang menjawab, ‘Saya Sa’d ibdu Malik.’ Rasulullah ﷺ bertanya, ‘Apa yang sedang kamu lakukan?’ Sa’d menjawab, ‘Aku datang untuk menjagamu, wahai Rasulullah’.” Siti Aisyah رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, “Tidak lama kemudian aku mendengar suara tidur Rasulullah ﷺ.” Imam Bukhari رحمه الله dan Imam Muslim رحمه الله mengetengahkannya melalui jalur Yahya ibnu Sa’id Al-Ansari dengan lafaz yang sama.

 

Dengan turunnya ayat daripada Surah Maidah ini, maka baginda tidak lagi berasa takut dan tidak memerlukan pengawal lagi. Ini disebut di dalam satu hadith:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مَرْزُوقٍ الْبَصْرِيُّ نَزِيلُ مِصْرَ، حَدَّثَنَا مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ، حَدَّثَنَا الْحَارِثُ بْنُ عُبَيد -يَعْنِي أَبَا قُدَامَةَ-عَنِ الجُرَيري، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيق، عَنْ عَائِشَةَ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا] قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحْرَس حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ} قَالَتْ: فَأَخْرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رأسه من القُبَّة، وقال: “يأيها النَّاسُ، انْصَرِفُوا فَقَدْ عَصَمَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibrahim ibnu Marzuq Al-Basri yang tinggal di Mesir, telah menceritakan kepada kami Muslim ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Al-Haris ibnu Ubaid (yakni Abu Qudamah), daripada Al- Jariri, daripada Abdullah ibnu Syaqiq, daripada Siti Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan bahawa Nabi ﷺ selalu dikawal dan dijaga sebelum ayat ini diturunkan, iaitu firman-Nya: Allah memelihara kamu daripada (gangguan) manusia. (Al-Maidah: 67) Siti Aisyah رضي الله عنها melanjutkan kisahnya, “Setelah itu Rasulullah ﷺ mengeluarkan kepala dari khemahnya dan bersabda: Hai manusia, bubarlah kalian, sesungguhnya Allah ‎ﷻ telah menjaga diri kami.”

Banyak kisah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ diselamatkan daripada rancangan manusia untuk membunuh baginda. Orang Yahudi pernah melancarkan tipu muslihat terhadap diri Nabi ﷺ melalui sihir, tetapi Allah ‎ﷻ memelihara diri Nabi ﷺ daripada keja­hatan sihir mereka, dan diturunkan-Nya kepada Nabi ﷺ dua surah mu’awwizah sebagai ubat untuk menangkal penyakit itu.

Dan ketika seorang Yahudi meracuni masakan kaki kambing yang mereka kirimkan kepadanya di Khaibar, Allah ‎ﷻ memberitahukan hal itu kepada Nabi ﷺ dan memelihara diri Nabi ﷺ daripada racun tersebut. Oleh itu, dengan amalan tabligh, Allah ‎ﷻ akan selamatkan kita daripada gangguan manusia.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يَهدِي القَومَ ٱلكَـٰفِرِينَ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

Malangnya, bagi golongan yang menentang kebenaran, mereka tidak akan mendapat pentunjuk hidayah daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita dakwah kepada mereka pun, mereka tidak dapat hendak terima kerana hati mereka telah ditutup. Tetapi ini bukanlah masalah kita, kerana kita hanya sampaikan sahaja. Maka jangan kita terkesan sangat kalau ada yang tidak mahu terima dakwah kita kerana hidayah itu milik Allah ‎ﷻ dan diberikan-Nya kepada sesiapa yang layak dan mahu sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s