Maidah Ayat 68: Apabila diberitahu semua wahyu kita kena sebar dan sampaikan kepada manusia, bagaimana pula kalau kita sembunyikan? Bagaimana kalau tidak diamalkan? Maka ayat ini tentang mengamalkan ajaran wahyu yang Allah ﷻ telah berikan.
Tidak dikira beragama kalau tidak menegakkan agama dengan sepenuhnya. Sebenarnya golongan Yahudi dan Nasara, mereka bukan tidak sebar langsung ajaran agama mereka, tetapi mereka sebar sebahagian sahaja dan yang sebahagian lagi mereka sorok. Allah ﷻ kata mereka tidak termasuk dalam apa-apa agama pun, kerana syarat beragama itu adalah kena sebar semua sekali.
Bagaimana kalau orang Islam pun buat begitu juga? Apakah tidak dikenakan dengan kriteria yang sama dengan mereka?
قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لَستُم عَلىٰ شَيءٍ حَتّىٰ تُقيمُوا التَّورٰةَ وَالإِنجيلَ وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم ۗ وَلَيَزيدَنَّ كَثيرًا مِّنهُم مّا أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ طُغيٰنًا وَكُفرًا ۖ فَلا تَأسَ عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say, “O People of the Scripture, you are [standing] on nothing until you uphold [the law of] the Torah, the Gospel, and what has been revealed to you from your Lord [i.e., the Qur’ān].” And that which has been revealed to you from your Lord will surely increase many of them in transgression and disbelief. So do not grieve over the disbelieving people.
(MALAY)
Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikit pun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil, dan Al-Qur’an yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu”. Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dari Tuhanmu akan menambah kedurhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan dari mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.
قُل يٰأَهلَ الكِتٰبِ لَستُم عَلىٰ شَيءٍ
Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikit pun
Seperti yang kita tahu, golongan Ahli Kitab sudah dapat kitab wahyu sebelum kita lagi. Mereka telah lama ada agama dan mereka juga telah banyak dibangkitkan dengan para Nabi silih berganti. Tetapi mereka tidak dikira beragama sehinggalah mereka menegakkannya. Kalau dapat kitab wahyu sahaja, belumlah cukup lagi melainkan kalau ia diamalkan dan disebarkan.
حَتّىٰ تُقيمُوا التَّورٰةَ وَالإِنجيلَ
hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil,
Mereka tidak dikira berada di atas amalan agama atau akidah pun sehingga mereka dapat menegakkan hukum dalam Taurat dan Injil semua sekali. Ini bukan bermaksud tegak biasa sahaja, tetapi kena sempurnakan semua sekali apa sahaja tuntutan dalam amalan dan dalam iktikad.
Kalau mereka tidak menegakkan apa yang telah disuruh dalam kitab wahyu mereka, maka mereka tidak ada asas, tidak ada harga dan tidak layak pun untuk hidup. Begitulah maksudnya lebih kurang iaitu mereka itu hidup sahaja, tetapi tiada harga.
وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم
dan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu”.
Jika tadi tentang Kitab Wahyu mereka, sekarang tentang Al-Qur’an pula. Apabila Al-Qur’an telah diturunkan, mereka juga kena tegakkan wahyu Allah ﷻ yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam bentuk Al-Qur’an dan hadith Nabi. Oleh itu, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an.
Jadi, bukanlah orang Yahudi kena menggunakan Taurat dan orang Kristian kena menggunakan Injil pula. Ini kerana dua kitab itu sudah mansukh. Mereka kena masuk Islam dan beramal dengan syariat Islam. Ini kena disebut kerana ada juga yang berfahaman, kitab Taurat dan Injil masih boleh dipakai lagi. Bila ditanya bagaimana hendak menggunakannya sebab kitab-kitab itu sudah diubah. Mereka jawab: “Itu mereka kena cari sendiri.”
Sudah jadi satu kerja pula untuk cari kitab asal mereka. Bukankah senang jika menggunakan sahaja kitab Al-Qur’an ini? Inilah jalannya kerana kalau kita mengamalkan syariat dan ajaran dalam Al-Qur’an, memang sudah diamalkan apa yang ada di dalam Taurat dan Injil. Ini kerana apa sahaja yang masih menjadi syariat di dalam Taurat dan Injil, sudah ada dalam Al-Qur’an. Maka kita amalkan tiga-tiga sekali iaitu Taurat, Injil dan juga Al-Qur’an.
Maka syariat mestilah diikuti. Ini juga ada nasihat kepada golongan sufi tarekat yang seperti tidak menghiraukan syariat lagi. Pada mereka, ada yang beranggapan sufi itu lebih tinggi daripada syariat dan kerana itu ada perkara yang dilakukan sudah tidak ikut syariat. Sebab itu bahaya kalau belajar tarekat tanpa ilmu syariat. Sentiasa sahaja ditipu.
Perbincangan dari segi bahasa: Bila disebut Taurat dan Injil, Allah ﷻ menggunakan nama Kitab itu terus. Namun bila disebut tentang Al-Qur’an, Allah ﷻ sebut secara kiasan: وَما أُنزِلَ إِلَيكُم مِّن رَّبِّكُم. Kenapa tidak disebut terus nama Al-Qur’an seperti disebut Taurat dan Injil?
Ini kerana apa yang diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ bukan hanya Al-Qur’an, tetapi pemahaman wahyu yang lain. Sebab itu kita tidak menggunakan Al-Qur’an sahaja sebagai syariat. Kita kena juga belajar Sunnah daripada Rasulullah ﷺ. Ini kerana ia juga wahyu dan sebahagian daripada syariat. Kerana salah faham tentang hal inilah yang menyebabkan ada golongan Qur’aniyyun, Quranist, Anti-Hadith atau apa-apa sahaja nama yang mereka gunakan.
Mereka kononnya sangka Al-Qur’an sahaja sudah cukup. Tidak benar begitu kerana penjelasan tentang Al-Qur’an adalah daripada apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ dalam bentuk Sunnah. Jadi jika ditolak Sunnah, maka itu sudah sesat dan menyesatkan. Nabi ﷺ sudah mengingatkan tentang golongan ini:
عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه قال ألا إني أوتيت الكتاب ومثله معه ألا يوشك رجل شبعان على أريكته يقول عليكم بهذا القرآن فما وجدتم فيه من حلال فأحلوه وما وجدتم فيه من حرام فحرموه ألا لا يحل لكم لحم الحمار الأهلي ولا كل ذي ناب من السبع ولا لقطة معاهد إلا أن يستغني عنها صاحبها ومن نزل بقوم فعليهم أن يقروه فإن لم يقروه فله أن يعقبهم بمثل قراه
Daripada Al Miqdam bin Ma’di Karib daripada Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Ketahuilah, sesungguhnya aku diberi Al -Qur’an dan yang semisal bersamanya (As Sunnah). Ditakuti ada seorang laki-laki yang dalam keadaan kekenyangan duduk di atas kursinya berkata, “Hendaklah kalian berpegang teguh dengan Al-Qur’an! Apa yang kalian dapatkan dalam Al-Qur’an daripada perkara halal maka halalkanlah. Dan apa yang kalian dapatkan dalam Al-Qur’an daripada perkara haram maka haramkanlah. Ketahuilah! Tidak dihalalkan bagi kalian daging himar jinak, daging binatang buas yang bertaring dan barang temuan milik orang kafir mu’ahid (kafir dalam janji perlindungan penguasa Islam, dan barang temuan milik Muslim lebih utama) kecuali pemiliknya tidak memerlukannya. Dan barangsiapa singgah pada suatu kaum hendaklah mereka menyediakan tempat, jika tidak memberikan tempat hendaklah memberikan perlakukan sesuai dengan sikap jamuan mereka.”
(Sunan Abu Daud (3988)) Status Sahih.
Syarah: daripada hadith ini kita diajar yang Sunnah Nabi ﷺ pun perlu diambil kira. Jangan hanya rujuk Al-Qur’an sahaja kerana ada juga penerangan tentang syariat daripafa kata-kata Rasulullah ﷺ yang dipanggil hadith.
وَلَيَزيدَنَّ كَثيرًا مِّنهُم مّا أُنزِلَ إِلَيكَ مِن رَّبِّكَ طُغيٰنًا وَكُفرًا
Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad) daripada Tuhanmu akan menambah kederhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan daripada mereka;
Namun begiu, tidaklah akan bersurut kedegilan mereka. Malah akan bertambah kedegilan mereka dengan sebab turunnya wahyu itu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka akan menjadi semakin derhaka dan kufur.
Jika dahulu, mereka tolak wahyu dalam kitab mereka sahaja, sekarang, mereka tolak sekali wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ sekali. Sebab itu dikatakan bertambah kederhakaan mereka dan kekafiran mereka itu.
فَلا تَأسَ عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ
maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu.
Ini adalah ayat tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ. Apabila mereka tolak apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ, tentu Nabi ﷺ sedih. Kita pun tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu seorang yang lembut hatinya dan amat prihatin kepada manusia.
Baginda terlalu amat menginginkan kebaikan untuk semua orang, jadi jika kebenaran itu ditolak oleh manusia, baginda amat sedih sekali. Sampaikan Allah ﷻ kena nasihati baginda tentang perkara itu. Allah ﷻ kata jangan sedih atas kaum yang kafir itu.
Itu adalah sunnatullah (ketetapan daripada Allah ﷻ yang berlaku zaman berzaman) yang Allah ﷻ telah tetapkan. Iaitu memang akan ada yang akan tolak kebenaran. Jangan hiraukan mereka, jangan risaukan tentang mereka. Jangan bersedih, tetapi jalankan tugas kamu, wahai Nabi.
Inilah juga pujukan dan nasihat kepada kita yang meneruskan kerja dakwah Nabi ﷺ ini. Memang akan ada yang menolak dan menentang. Maka jangan hiraukan sangat kata-kata penolakan daripada mereka. Itu perkara biasa sahaja. Kerana kalau kita sedih sangat, hendak buat kerja pun tidak boleh, bukan? Maka kita pun begitulah juga. Anggapkan seperti air sungai yang mengalir – biarkan berlalu. Memang telah disebut pun dalam Al-Qur’an yang akan ada yang menentang, jadi kenapa hendak dihairankan sangat?
Maidah Ayat 69: Ini adalah jenis ayat tabshir (berita gembira). Juga mengingatkan kita bahawa agama Islam bukan untuk kaum tertentu sahaja, bukan untuk bangsa Arab atau untuk bangsa Ajam (non-Arab) sahaja. Semua bangsa terbuka untuk menerima agama Islam. Ayat ini ada persamaan dengan Baqarah:62
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَالصّٰبِئونَ وَالنَّصٰرىٰ مَن ءآمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صٰلِحًا فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who have believed [in Prophet Muḥammad (ṣ)] and those [before him (ṣ)] who were Jews or Sabeans or Christians – those [among them] who believed in Allāh and the Last Day and did righteousness – no fear will there be concerning them, nor will they grieve.¹
- See footnote to 2:62.
(MALAY)
Sesungguhnya orang-orang beriman, orang-orang Yahudi, Shabi’in dan orang-orang Nasrani, siapa saja (diantara mereka) yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat dan beramal dengan amalan soleh, maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا
Sesungguhnya orang-orang beriman,
Yang dimaksudkan ada orang-orang yang beriman dalam kalangan umat Nabi Muhammad ﷺ (Umat Islam).
Dan iman itu mestilah iman yang sebenar. Apakah iman sebenar itu? Itulah iman tanpa syirik. Ini kita kena tekankan, kerana ramai yang tidak faham. Ramai sebenarnya yang ada iman, tahu apa yang mereka perlu imani. Akan tetapi satu perkara mereka lupa: tolak fahaman dan amalan syirik.
Ramai yang tidak mahir bab syirik kerana sebenarnya ia tidak ditekankan dalam pembelajaran di negara kita. Maka kerana itu kita boleh lihat ramai yang ada fahaman syirik kerana ia tidak banyak diajar. Perumpamaannya seperti diajar seseorang cara membawa kereta, tetapi tidak diajar kepadanya adanya jalan-jalan “no-entry”. Maka semua jalan akan dilanggarnya. Maka begitulah yang terjadi kalau tidak belajar dengan baik apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu.
وَالَّذينَ هادوا وَالصّٰبِئونَ وَالنَّصٰرىٰ
dan orang-orang Yahudi, Shabi’in dan orang-orang Nasrani,
Ada tiga golongan yang disebut dalam potongan ayat ini:
-
- Orang Yahudi,
- Golongan Sabi’in adalah mereka yang mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام,
- Nasara adalah mereka yang ikut ajaran Nabi Isa عليه السلام,
Nota: Ada lagi beberapa pendapat tentang siapakah Sabi’in ini:
Kaum Sabi-in ialah segolongan orang dalam kalangan umat Nasrani dan orang-orang Majusi yang tidak mempunyai agama. Demikianlah menurut Mujahid; dan daripada Mujahid disebutkan bahawa mereka adalah segolongan daripada orang-orang Yahudi dan orang-orang Majusi.
Sa’id ibnu Jubair mengatakan, mereka adalah segolongan orang daripada kaum Yahudi dan Nasrani. Menurut Al-Hasan dan Al-Hakam, mereka sama dengan orang-orang Majusi.
Menurut Qatadah, mereka adalah suatu kaum yang menyembah malaikat dan salat dengan menghadap ke arah selain kiblat serta membaca kitab Zabur. Maka ini mewakili satu lagi kitab wahyu, iaitu Zabur. Kerana telah disebut Taurat, Injil dan Al-Qur’an sebelum ini.
Wahb ibnu Munabbih mengatakan, mereka adalah suatu kaum yang mengenal Allah ﷻ semata-mata, tetapi tidak mempunyai syariat yang mereka amalkan, dan mereka tidak melakukan suatu kekufuran pun.
Ibnu Wahb mengatakan, telah menceritakan kepadaku Ibnu Abuz Zanad, daripada ayahnya yang mengatakan bahawa Sabi-in adalah suatu kaum yang tinggal di daerah yang berjiran dengan negeri Iraq, tepatnya di Kausa. Mereka beriman kepada semua nabi, puasa setiap tahunnya selama tiga puluh hari, dan mengerjakan salat menghadap ke negeri Yaman setiap harinya sebanyak lima kali. Pendapat yang lain mengatakan selain itu.
Allahu a’lam siapakah mereka ini. Mungkin ada lagi tetapi mereka itu tidak ramai jadi tidak dikenali sangat keadaan mereka dan akidah mereka.
مَن ءآمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ
yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat
Islam tidak memandang daripada keturunan mana, asalkan mereka itu benar-benar beriman. Dalam ayat ini, disebut dua jenis iman, iaitu beriman kepada Allah ﷻ dan hari akhirat. Bukanlah dua ini sahaja yang perlu diimani tetapi banyak lagi perkara yang perlu diimani berdasarkan daripada wahyu-wahyu yang lain. Namun disebut dua sahaja dalam ayat ini sebagai mewakili perkara-perkara yang lain. Takkan hendak disebut satu persatu pula, jadi panjang pula. Kenalah rujuk ayat-ayat yang lain.
Namun ramai yang ‘tebuk’ satu-satu ayat sahaja. Mereka tidak rujuk keseluruhan Al-Qur’an tetapi kelam kabut apabila melihat satu-satu ayat yang agak pelik bagi mereka (kerana tidak belajar). Kerana jahil tentang perkara ini, ramai juga yang menggunakan ayat ini untuk mengatakan lihatlah bagaimana tidak disebut kena beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini. Ini adalah satu kejahilan yang besar. Bagaimana dengan ayat-ayat yang lain, hendak letak di mana?
Maka diingatkan yang ayat-ayat Al-Qur’an kenalah dibaca dengan ayat-ayat yang lain. Walaupun tidak disebut tentang Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini, tetapi terdapat dalam banyak ayat-ayat lain. Kalau main pilih-pilih satu-satu ayat dan dijadikan dalil, itu amat jahil sekali. Sebab itu kena belajar seluruh Kitab Al-Qur’an ini, jangan ditinggal satu pun.
وَعَمِلَ صٰلِحًا
dan beramal dengan amalan soleh,
Mereka bukan sahaja beriman, tetapi iman itu perlulah ditunjukkan dengan melakukan amal soleh. Dan kita telah sebut banyak kali dalam penulisan ini, amalan yang soleh adalah amalan yang mengikut sunnah. Jangan amalkan amalan dan fahaman bid’ah. Kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan bid’ah itu.
Ini penting untuk menjaga kesucian agama kita. Agama lain (seperti Yahudi dan Nasrani) sudah banyak mengubah amalan-amalan yang diajar oleh Nabi-nabi mereka, dan umat Islam pun nampaknya ke arah begitulah juga. Itu adalah salah sama sekali. Kalau dibiarkan boleh menambah-nambah dalam agama, maka agama suci kita ini akan jadi seperti agama Yahudi dan Nasrani lah nanti. Tidakkah anda takut kalau itu terjadi?
فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.
Tidak kira keturunan mana, bangsa mana, sama sahaja, kalau beriman dan beramal soleh, tidak perlu takut untuk hadapi akhirat dan jangan sedih tinggalkan dunia.
Tidak perlu takut untuk hadapi akhirat kerana kehidupan yang baik sedang menunggu. Tidak perlu sedih kerana meninggalkan dunia kerana ada yang ada di hadapan dalam akhirat itu lebih baik daripada dunia.
Nota: Dalam ayat ini disebut tentang golongan Yahudi, Nasara dan Sabi’un yang beriman dan mereka mendapat nikmat daripada Allah ﷻ. Itu bukanlah bermakna golongan itu ‘sekarang’ akan mendapat kedudukan yang sama. Mereka itu tidak lagi mendapat kedudukan itu apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah diutus menjadi Rasul. Apabila Nabi menjadi Rasulullah, hanya ada satu syariat sahaja.
Maidah Ayat 70: Ini adalah Ayat Zajrun (ayat teguran). Ia adalah teguran kepada Bani Israel tentang sikap mereka terhadap kitab mereka sendiri. Mereka ini teruk kerana mereka bukan menolak Al-Qur’an sahaja, tetapi kitab-kitab mereka sendiri pun mereka tolak juga.
لَقَد أَخَذنا ميثٰقَ بَني إِسرٰءيلَ وَأَرسَلنا إِلَيهِم رُسُلًا ۖ كُلَّما جاءَهُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُهُم فَريقًا كَذَّبوا وَفَريقًا يَقتُلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
We had already taken the covenant of the Children of Israel and had sent to them messengers. Whenever there came to them a messenger with what their souls did not desire, a party [of messengers] they denied, and another party they killed.
(MALAY)
Sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian dari Bani Israil, dan telah Kami utus kepada mereka rasul-rasul. Tetapi setiap datang seorang rasul kepada mereka dengan membawa apa yang yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, (maka) sebahagian dari rasul-rasul itu mereka dustakan dan sebahagian yang lain mereka bunuh.
لَقَد أَخَذنا ميثٰقَ بَني إِسرٰءيلَ
Sesungguhnya Kami telah mengambil perjanjian daripada Bani Israel,
Allah ﷻ mengingatkan yang Dia telah ambil perjanjian dengan Bani Israel itu dan mereka telah berjanji akan taat kepada wahyu yang disampaikan kepada mereka. Banyak disebut tentang perjanjian mereka dengan Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an. Maknanya, mereka bukanlah tidak tahu tentang kebenaran, tetapi mereka sengaja tolak dan buat-buat tidak tahu.
وَأَرسَلنا إِلَيهِم رُسُلًا
dan telah Kami utus kepada mereka rasul-rasul.
Sebagai tahkik (penekanan) kepada perjanjian itu, Allah ﷻ telah pilih dalam kalangan mereka, dan melantik rasul-rasul yang ramai, untuk tujuan menyempurnakan perjanjian itu. Mereka kena juga taat kepada Rasul-rasul itu. Maka, mereka ini memang telah diberi pimpinan yang lengkap sebenarnya.
كُلَّما جاءَهُم رَسولٌ بِما لا تَهوىٰ أَنفُسُهُم فَريقًا كَذَّبوا
Tetapi setiap datang seorang rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, (maka) sebahagian daripada rasul-rasul itu mereka dustakan
Malangnya, setiap kali Rasul mereka datang membawa wahyu yang tidak sesuai dengan nafsu mereka, sebahagian rasul mereka dustakan begitu sahaja. Mereka tolak dan melawan Rasul-rasul itu.
Malangnya, begitulah juga yang dilakukan oleh masyarakat kita. Apabila ada penyebar tauhid yang datang dengan membawa maklumat wahyu yang berlainan daripada apa yang mereka faham, ramai juga yang tolak. Mereka tidak dapat menerima kebenaran yang disampaikan walaupun ia datang daripada wahyu. Mereka menggunakan juga ajaran yang telah lama mereka amalkan dan mereka dapat daripada guru-guru mereka.
وَفَريقًا يَقتُلونَ
dan sebahagian yang lain mereka bunuh.
Dan sebahagian lagi mereka bunuh. Atau mereka cuba bunuh. Kalau mereka tidak dapat bunuh pun, mereka ada juga cuba membunuh. Ini memang satu perbuatan yang amat teruk sekali. Mereka sanggup buat begitu kerana mereka amat teruk. Apabila mereka tidak dapat menahan para Rasul itu menyampaikan kebenaran, mereka buat keputusan untuk bunuh sahaja.
Sikap membunuh orang yang tidak disenangi sentiasa sahaja berlaku zaman berzaman sampailah sekarang. Ia adalah tindakan yang diambil oleh orang yang terlalu jahat yang hendak menutup suara kebenaran. Kadangkala ada ulama’ ditangkap dan dipenjarakan, dan ada juga yang dibunuh.
Maidah Ayat 71:
وَحَسِبوا أَلّا تَكونَ فِتنَةٌ فَعَموا وَصَمّوا ثُمَّ تابَ اللهُ عَلَيهِم ثُمَّ عَموا وَصَمّوا كَثيرٌ مِّنهُم ۚ وَاللهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they thought there would be no [resulting] punishment, so they became blind and deaf. Then Allāh turned to them in forgiveness; then [again] many of them became blind and deaf. And Allāh is Seeing of what they do.
(MALAY)
Dan mereka mengira bahawa tidak akan terjadi suatu bencana pun (terhadap mereka), maka (kerana itu) mereka menjadi buta dan pekak, kemudian Allah menerima taubat mereka, kemudian kebanyakan dari mereka buta dan tuli (lagi). Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.
وَحَسِبوا أَلّا تَكونَ فِتنَةٌ فَعَموا وَصَمّوا
Dan mereka mengira bahawa tidak akan terjadi suatu bencana pun (terhadap mereka), maka (kerana itu) mereka menjadi buta dan pekak,
Walaupun perbuatan dosa mereka itu amat berat, sehinggakan ada yang sanggup membunuh Nabi-nabi mereka, tetapi mereka sangka tidak akan berlaku apa-apa fitnah ke atas mereka. Mereka sangka tidak ditimpa kesusahan pada mereka. Iaitu mereka sangka mereka tidak akan dikenakan azab. Ini kerana mereka perasan mereka itu kononnya bangsa pilihan dan kesayangan Allah ﷻ.
Allah ﷻ tidak terus mengenakan azab kepada mereka. Ini kerana Allah ﷻ menangguhkannya. Lalu mereka lebih buta daripada kebenaran dan pekak kepada kebenaran – kerana tidak ada alamat-alamat yang mereka akan dihukum. Mereka rasa senang sahaja, sudah buat salah pun masih tidak jadi apa-apa kepada mereka.
ثُمَّ تابَ اللهُ عَلَيهِم
kemudian Allah menerima taubat mereka,
Kemudian Allah ﷻ masih memberikan lagi peluang kepada mereka untuk bertaubat walaupun pada akhir zaman, boleh bertaubat dengan mengikut Nabi akhir zaman. Iaitu mereka kena mengikut ajaran dan syariat Nabi Muhammad ﷺ. Atas sifat rahmah Allah ﷻ, Dia boleh ampunkan segala kesalahan mereka.
ثُمَّ عَموا وَصَمّوا كَثيرٌ مِّنهُم
kemudian kebanyakan daripada mereka buta dan tuli (lagi).
Walaupun peluang untuk bertaubat sudah dibuka kepada mereka, tetapi kebanyakan daripada mereka masih buta dan pekak kepada kebenaran – masih tidak mahu mengikut Nabi akhir zaman. Hanya ada sedikit sahaja yang mahu bertaubat dan menerima ajaran Islam. Ada itu memang ada, tetapi bukan yang majoriti.
وَاللهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ
Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.
Allah ﷻ ingatkan mereka bahawa Allah ﷻ nampak segala apa yang mereka lakukan. Maka janganlah mereka rasa mereka selamat. Jika mereka tidak dikenakan azab di dunia, jangan sangka mereka akan terselamat di akhirat kelak. Allah ﷻ menangguhkan azab di dunia sahaja, tetapi nanti akan diazab di akhirat kelak.
Maidah Ayat 72: Ini pula penerangan berkenaan akidah. Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang akidah sesat golongan Kristian. Dan Allah ﷻ memberitahu apakah sebenarnya akidah Nabi Isa عليه السلام.
لَقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ هُوَ المَسيحُ ابنُ مَريَمَ ۖ وَقالَ المَسيحُ يٰبَني إِسرٰءيلَ اعبُدُوا اللهَ رَبّي وَرَبَّكُم ۖ إِنَّهُ مَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد حَرَّمَ اللهُ عَلَيهِ الجَنَّةَ وَمَأوٰهُ النّارُ ۖ وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They have certainly disbelieved who say, “Allāh is the Messiah, the son of Mary” while the Messiah has said, “O Children of Israel, worship Allāh, my Lord and your Lord.” Indeed, he who associates others with Allāh – Allāh has forbidden him Paradise, and his refuge is the Fire. And there are not for the wrongdoers any helpers.
(MALAY)
Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam”, padahal Al Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu”. Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.
لَقَد كَفَرَ الَّذينَ قالوا إِنَّ اللهَ هُوَ المَسيحُ ابنُ مَريَمَ
Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah Al Masih putera Maryam”,
Telah jelas, kafirlah orang yang mengatakan begitu. Mereka kata Allah ﷻ itu adalah dalam jelmaan Nabi Isa عليه السلام: ini adalah salah satu daripada fahaman sesat Kristian. Ini berbeza dengan konsep Triniti yang kita biasa dengar. Ini kerana mereka pun ada banyak mazhab. Mazhab yang disebut dalam ayat ini adalah mengatakan Allah ﷻ menjelma menjadi Nabi Isa عليه السلام dan turun ke dunia.
Akidah sebegini bukanlah asing kerana memang sudah ada dalam sejarah agama zaman berzaman. Malah dalam kalangan umat Islam pun ada akidah sesat yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu sebenarnya adalah Allah ﷻ. Memang Iblis syaitan menggunakan modal yang sama sahaja zaman berzaman. Salah satunya adalah dengan mengatakan Nabi itu adalah Tuhan. Jadi kalau jahil agama, memang senang ditipu.
وَقالَ المَسيحُ يٰبَني إِسرٰءيلَ اعبُدُوا اللهَ رَبّي وَرَبَّكُم
padahal Al Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu”.
Mereka sembah dan iktikad mereka adalah Nabi Isa عليه السلام itu adalah Allah ﷻ, sedangkan ia amat berlawanan sekali dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Isa عليه السلام sendiri. Baginda sendiri berkata lain daripada apa fahaman sesat mereka.
Kalimah ‘al-Masih’ adalah gelaran untuk Nabi Isa عليه السلام.
Baginda sendiri menyuruh umatnya menyembah Allah ﷻ sahaja dan memang baginda sendiri pun sembah Allah ﷻ sahaja, tidak pernah suruh orang lain sembah baginda. Baginda dengan jelas mengaku yang Allah ﷻ itu adalah Tuhan/Rabb.
إِنَّهُ مَن يُشرِك بِاللهِ فَقَد حَرَّمَ اللهُ عَلَيهِ الجَنَّةَ
Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga,
Apa yang mereka lakukan itu kesyirikan yang besar kerana memberi sifat Allah ﷻ kepada makhluk. Dan Nabi Isa عليه السلام telah memberi amaran kepada umatnya, sesiapa yang syirik kepada Allah ﷻ, seru baginda atau sesiapa sahaja selain Allah ﷻ, maka Allah ﷻ telah mengharamkan syurga ke atas mereka.
وَمَأوٰهُ النّارُ
dan tempatnya ialah neraka,
Dan tempat akhir mereka hanyalah neraka. Mereka tidak keluar darinya. Inilah bahaya kalau ada fahaman syirik: kekal dalam neraka dan tidak akan keluar-keluar darinya. Bukan sahaja kepada agama lain; kalau umat Islam sendiri ada fahaman syirik, mereka pun akan kekal dalam neraka.
وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ
tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.
‘Zalim’ dalam ayat ini bermaksud zalim dalam bentuk syirik. Mereka tidak ada sesiapa yang akan menolong mereka. Malah, tidak akan ada pemberi syafaat untuk mereka. Kerana syafaat hanya layak bagi mereka mati tanpa melakukan syirik sahaja. Maka ini adalah amaran kepada mereka: jangan sangka akan ada yang akan selamatkan kamu kalau kamu membuat syirik. Nabi Isa عليه السلام yang kamu puja itu pun tidak akan tolong kamu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 31 Oktober 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Maariful Qur’an