Munafiqoon Ayat 2: Orang munafik itu sebenarnya tidak beriman
اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They have taken their oaths as a cover, so they averted [people] from the way of Allāh. Indeed, it was evil that they were doing.
(MELAYU)
Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.
اتَّخَذوا أَيمٰنَهُم جُنَّةً
Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai,
Mereka menjadikan kalimah Syahadah yang mereka lafazkan itu sebagai ‘perisai’ untuk menyelindugi iman mereka yang tidak ada. Ini adalah sebagai perumpamaan kerana perisai dalam peperangan itu adalah untuk berselindung di belakangnya supaya selamat.
Kenapa mereka selindungkan kekafiran mereka? Kerana jika mereka zahirkan, maka mereka akan ada masalah dalam dalam kalangan sahabat yang mukmin. Jadi mereka beriya-iya mengatakan mereka beriman sedangkan sebenarnya mereka tidak beriman.
Sumpah mereka itu mungkin kata-kata mereka setelah mereka ditangkap atau dikesan melakukan kesalahan munafik. Itulah maksudnya dijadikan ‘perisai’, iaitu untuk menyelamatkan diri mereka.
Maka ini adalah sifat kedua orang munafik yang disebut dalam perenggan ini iaitu menjadikan syahadah dan sumpah mereka seperti topeng. Ia hanya untuk menutup sikap dusta mereka. اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً
Atau pun ayat ini boleh merujuk kepada sumpah Abdullah bin Ubay yang mengatakan beliau adalah Muslim dan beriman. Sumpah ini dikeluarkannya ketika rahsianya terbongkar apabila Zaid bin Arqam رضي الله عنه telah mendengar kata-katanya semasa balik dari Perang Bani Mustaliq. Rasulullah ﷺ telah bertanya keapadanya, adakah dia cakap seperti yang dikatakan oleh Zaid رضي الله عنه, maka Abdullah bin Ubay bersumpah yang dia tidak cakap begitu dan mengatakan bahawa benar Rasulullah ﷺ adalah seorang Rasul.
Golongan Munafik buat begitu supaya dapat menyelamatkan diri mereka daripada tangan orang-orang Islam yang lain. Mereka mahu dilihat sebagai orang Islam kerana jikalau mereka diterima sebagai orang Islam, maka tidak bolehlah darah mereka ditumpahkan oleh orang Islam yang lain. Mereka tidak mahu dilihat sebagai musuh Islam dan mereka tahu hidup mereka akan susah nanti.
Jadi mereka hendak menyelamatkan nyawa mereka sebenarnya. Mereka mahu menyelamat diri mereka daripada dibunuh oleh orang Islam. Maka kerana itu mereka kena mengaku mereka beriman walaupun sebenarnya batin mereka tidak beriman pun.
Dan mereka berjaya menipu orang mukmin kerana tidak dapat dikesan penipuan mereka itu. Memang perkara kemunafikan itu adalah dalam hati dan kita tidak dapat nampak sama ada orang itu munafik atau tidak, kerana kita tidak tahu isi hati manusia.
Allah ﷻ sahaja yang pasti tahu siapakah golongan munafik itu dan Allah ﷻ sekarang beritahu sifat-sifat orang munafik dalam surah ini. Ini supaya kita dapat kenali mereka daripada tanda-tanda mereka. Kita kena tahu siapakah mereka ini supaya kita dan keluarga kita tidak menjadi seperti mereka. Supaya kita dapat mengelak daripada mereka dan tidak termakan dengan hasutan mereka.
Siapakah yang termasuk dalam golongan munafik itu? Maka untuk tahu kita kena lihat bagaimana proses menjadi munafik itu. Proses untuk menjadi orang munafik ini berperingkat yang dimulai dengan iman yang lemah.
Dan iman yang lemah ini terjadi kerana amalan ibadat yang kurang dan juga tidak berada bersama-sama bercampur gaul dengan orang-orang beriman. Iaitu mereka jauh daripada majlis ilmu dan tidak meningkatkan pemahaman agama mereka. Kerana itu iman mereka lemah kerana mereka sendiri tidak faham agama.
Ini boleh rujuk kepada perbincangan ini di dalam Surah Juma’ah di mana telah disebut cara-cara untuk meningkatkan iman. Salah satunya dengan menghadiri perjumpaan hari Jumaat dan mendengar khutbah. Dan kena selalu hadiri majlis ilmu. Kena hidupkan suasana ilmu dalam kehidupan kita.
Ulama’ ada membincangkan tentang sifat-sifat munafik. Dan ini boleh dibaca di tempat yang lain sampai ada yang menyenaraikan sehingga 28 sifat orang Munafik. Jadi kita kena lihat sifat-sifat itu dan periksa dengan diri kita sama ada kita ada sifat-sifat itu. Takut kita sahaja perasan kita orang mukmin tetapi sebenarnya tidak.
Dari segi pembahagiannya, kita boleh bahagikan semua sifat-sifat itu dengan cara ‘sedar’ dan ‘tidak sedar’.
Ada orang yang memang sedar dia munafik kerana dia memang tidak percaya dengan agama Islam tetapi cuba masuk ke dalam kumpulan orang-orang Islam untuk mendapatkan rahsia orang-orang Islam. Atau mereka terpaksa mengaku mereka beragama Islam kerana hendak menyelamatkan diri mereka. Ini adalah munafik jenis zaman Rasulullah ﷺ di mana mereka itu memang orang-orang kafir sebenarnya.
Kalau zaman sekarang, ini adalah seperti mata-mata (spy) yang sengaja menyamar sebagai orang Islam untuk mendapatkan maklumat orang Islam. Kerana itu kita kena berhati-hati apabila kita bercakap kerana kita tidak tahu kita bercakap dengan siapa. Entah-entah mereka itu sengaja mahu “provoke” kita kerana hendak dapatkan maklumat daripada kita. Atau pun hendak menaikkan amarah kita dan bila kita mengamuk, maka mereka akan tuduh kita sebagai puak ekstremis.
Jadi itu adalah munafik jenis sedar. Iaitu mereka yang memang sedar mereka tidak beragama Islam. Kita mungkin tidak melakukan perkara itu tetapi yang bahaya pada kita adalah kemunafikan yang ‘tidak disedari’. Iaitu kita ini adalah munafik tetapi kita tidak sedar yang kita sebenarnya munafik.
Sifat-sifat ini ada disebut di dalam Al-Qur’an dan juga hadith. Antaranya, seperti orang-orang yang salat tetapi mereka datang salat dengan malas dan juga jenis orang yang mengeluarkan duit infaq tetapi mereka keluarkan duit itu dengan terpaksa dan mereka tidak suka langsung. Mereka memang tahu yang mereka itu beragama Islam dan mereka amalkan sedikit sebanyak agama Islam. Tetapi iman mereka lemah sebenarnya dan mereka mungkin sudah termasuk dalam golongan ‘munafik tanpa sedar’.
Kita sebut tadi ada dua jenis munafik iaitu jenis ‘munafik yang sedar’ dan ‘munafik yang tidak sedar’. Tetapi di dalam Al-Qur’an tidak dibahagikan kepada dua bahagian kerana Allah ﷻ hanya sebut ‘golongan munafik’ sahaja. Kerana pada Allah ﷻ, ada satu jenis sahaja.
Dan ini amat menakutkan kerana ia diletakkan di bawah satu tajuk yang sama sahaja. Maknanya balasan kepada kedua-dua golongan ini sama sahaja. Apabila disebut azab yang akan dikenakan kepada golongan munafik jenis pertama (sedar), maka azab yang sama juga akan dikenakan kepada munafik jenis kedua (yang tidak sedar).
Dan di dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ sebenarnya menyebut hukuman yang lebih berat lagi kepada orang munafik kalau dibandingkan dengan orang musyrik. Ini kerana mereka itu seperti ‘api dalam sekam’, atau ‘gunting dalam lipatan’. Mereka menampakkan diri mereka sebagai beriman, tetapi tidak sebenarnya. Dan ini telah mengelabui mata orang mukmin sejati. Jadi mereka itu bahaya kepada golongan mukmin.
Sebagai contoh, kita pun tahu yang doa Nabi itu amat hebat dan Allah ﷻ selalunya memakbulkan doa Nabi ﷺ. Akan tetapi nanti kita akan belajar dalam surah ini walaupun Nabi ﷺ meminta ampun bagi pihak mereka sebanyak tujuh puluh kali pun Allah ﷻ tidak akan mengampunkan mereka.
Maka amat bahaya kalau diri kita ini termasuk dalam golongan munafik. Dan munafik yang jenis bawah sedar itu tidak sangka pun yang mereka itu munafik kerana mereka sangka mereka Muslim apabila mereka telah mengucap dua kalimah syahadah. Memang mereka telah mengucap, namun dalam masa yang sama, mereka ada sifat nifak.
Apabila hati mereka ada sifat-sifat nifak, maka perbuatan mereka pun menjadi buruk seperti kita telah belajar bagaimana mereka inilah orang-orang yang menghina Rasulullah ﷺ dan mengatakan isteri baginda iaitu Aisyah رضي الله عنها telah berzina dan banyak lagi kata-kata buruk mereka.
Kita kena berhati-hati dengan sifat nifaq ini takut-takut kita ada sifat itu. Jangan kita sangka kita tidak ada sifat itu, atau kita terselamat daripada sifat itu. Hasan al-Basri pernah meriwayatkan,
مَا خَافَهُ إِلاَّ مُؤْمِنٌ ، وَلاَ أَمَنَهُ إلِاَّ مُنَافِقٌ
Orang yang khuatir terjatuh pada kemunafikan, itulah orang mukmin. Yang selalu merasa aman daripada kemunafikan, itulah senyata-nyata munafik
(Jami’ul ‘Ulum wal Hikam 2/491; Fathul Bari lil Ibni Rajab 1/178)
Jadi ada perkara penting yang kita kena tahu tentang sifat-sifat ini di mana orang yang beriman kena sentiasa ada perasaan takut jikalau mereka ada sifat-sifat ini. Dan yang rasa mereka tidak ada sifat nifak ini, itulah mereka yang munafik. Jadi kita kena belajar sifat-sifat munafik ini dan bandingkan dengan diri kita.
Dan kita kena bandingkan sifat itu dengan diri kita dan bukannya bandingkan sifat itu dengan orang lain dan kemudian bermudah pula mengatakan seseorang individu itu munafik. Jangan kita tunding jari pada orang lain pula dan kata dialah munafik. Ini amat bahaya dan selalu digunakan oleh manusia yang jahil. Sikit-sikit mereka akan tuduh orang lain yang tidak sefahaman dengan mereka sebagai munafik.
Memang mereka itu jahil bila berkata begitu kerana kita kena sedar bahawa sifat munafik ini adalah antara perkara ghaib kerana ia adalah tentang isi hati manusia dan Allah ﷻ sahaja yang tahu siapakah mereka. Maka kita tidak boleh pandai-pandai menuduh seseorang itu munafik sedangkan Nabi Muhammad ﷺ pun tidak tahu siapa yang munafik itu.
Yang paling kuat kita boleh kata: “Orang itu ada sifat-sifat munafik.” Ini tidaklah menuduh dia munafik lagi kerana baru kata dia ada sifat-sifat munafik dan dia masih ada kesempatan untuk mengubah sifatnya itu lagi.
Nabi Muhammad ﷺ pun sebenarnya tidak tahu siapakah golongan munafik dalam kalangan baginda. Yang baginda diberitahu hanyalah sebanyak sembilan orang sahaja kerana mereka itu telah melakukan percubaan untuk membunuh baginda pada malam hari secara rahsia sewaktu Ekspedisi Perang Tabuk. Allah ﷻ telah mewahyukan kepada baginda siapakah golongan munafik yang akan kekal sebagai munafik sampai mati. Kemudian Nabi Muhammad ﷺ memberitahu rahsia ini kepada Huzaifah Ibnu Yaman رضي الله عنه tetapi baginda telah mewasiatkan beliau untuk tidak memberitahu sesiapa pun nama-nama mereka.
Dan apabila Saidina Umar رضي الله عنه tahu bahawa Huzaifah رضي الله عنه ada senarai nama-nama orang munafik itu, maka beliau telah pergi ke Huzaifah رضي الله عنه dan bertanya adakah nama beliau tersenarai di dalam senarai itu. Sedangkan pada waktu itu dia sudah pun dijanjikan sebagai ahli syurga. Lihatlah jikalau Umar رضي الله عنه sendiri pun risau sama ada dia ada sifat-sifat munafik, maka siapakah kita yang rasa aman daripada sifat itu?
Ini juga menunjukkan yang Saidina Umar رضي الله عنه tidak membezakan antara ‘munafik sedar’ dan ‘munafik bawah sedar’ kerana pada beliau ia adalah sama sahaja kerana beliau tahu beliau bukan sengaja mahu menipu keimanannya, bukan?
فَصَدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ
lalu mereka menghalangi dari jalan Allah.
Kalimah صَدّ boleh digunakan dalam bentuk لَازِم (kesan kepada diri sendiri) atau مُتَعَدِّي (kesan kepada orang lain).
Bila dalam bentuk لَازِم, ia bermakna sifat buruk mereka itu telah menghalang mereka dari jalan Allah ﷻ, iaitu telah menghalang mereka daripada beriman dengan yang sebenarnya.
Bila ia dalam bentuk مُتَعَدِّي, ia bermaksud golongan munafik itu bukan sahaja tidak beriman sempurna tetapi mereka juga cuba merosakkan iman orang lain. Mereka mahu menghalang orang lain daripada beriman. Mereka akan hasut orang lain dengan fahaman dan kekeliruan mereka kerana mereka suka jika ramai yang tidak beriman supaya senang mereka hendak buat kerja.
إِنَّهُم ساءَ ما كانوا يَعمَلونَ
Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.
Jadi mereka itu sebenarnya merosakkan agama Islam dari dalam. Segala usaha yang dilakukan oleh golongan munafik untuk menjatuhkan Islam dari dalam adalah amat buruk.
Mereka akan dibalas di akhirat kelak atas usaha mereka itu. Dan kita telah sebut sebelum ini yang balasan kepada mereka itu amatlah buruk.
Munafiqoon Ayat 3:
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا فَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم فَهُم لا يَفقَهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is because they believed, and then they disbelieved; so their hearts were sealed over, and they do not understand.
(MELAYU)
Yang demikian itu adalah kerana bahawa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; kerana itu mereka tidak dapat mengerti.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم ءآمَنوا ثُمَّ كَفَروا
Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir
Iman mereka ada naik dan turun dan kemudian mati terus iman mereka. Ini kerana mereka tidak menjaga iman mereka dan apabila ia turun, mereka tidak menaikkannya balik.
Iman turun dan naik memang perkara biasa, tetapi tidaklah boleh lama sangat turunnya. Kita kalau iman sudah turun, kena naikkan balik dengan ilmu dan amal ibadat. Jangan biarkan ia terus menurun kerana ia akan menjadikan orang itu munafik terus.
Ataupun ‘iman’ mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini bermaksud mereka menunjukkan mereka beriman secara zahir sahaja, kerana kita susah untuk katakan mereka itu beriman disebabkan orang-orang munafik itu tidak pernah beriman. Asalnya mereka menzahirkan iman mereka, tetapi kemudian mereka menunjukkan kekufuran mereka secara zahir pula.
Maka bahaya kalau iman lemah sedangkan para sahabat amat mementingkan supaya iman mereka tinggi dan apabila mereka tahu iman itu boleh turun dan naik, mereka amat risau. Ini seperti apa yang kisah seorang sahabat yang bernama Hanzalah. Abu Bakr رضي الله عنه dan juga Hanzalah رضي الله عنه takut jikalau mereka termasuk dalam golongan munafik. Ini kerana mereka juga rasa iman mereka kadangkala naik dan ada masanya turun juga. Jadi mereka takut mereka termasuk golongan munafik dan mereka mengadu kepada Rasulullah ﷺ.
Lihat bagaimana Nabi Muhammad ﷺ menjawab persoalan mereka itu.
عَنْ حَنْظَلَةَ الأُسَيِّدِىِّ قَالَ – وَكَانَ مِنْ كُتَّابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ – لَقِيَنِى أَبُو بَكْرٍ فَقَالَ كَيْفَ أَنْتَ يَا حَنْظَلَةُ قَالَ قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ مَا تَقُولُ قَالَ قُلْتُ نَكُونُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ فَنَسِينَا كَثِيرًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ فَوَاللَّهِ إِنَّا لَنَلْقَى مِثْلَ هَذَا. فَانْطَلَقْتُ أَنَا وَأَبُو بَكْرٍ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَمَا ذَاكَ ». قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ نَكُونُ عِنْدَكَ تُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْىَ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ عَافَسْنَا الأَزْوَاجَ وَالأَوْلاَدَ وَالضَّيْعَاتِ نَسِينَا كَثِيرًا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِى وَفِى الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِى طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً ». ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Daripada Hanzhalah Al Usayyidiy رضي الله عنه -beliau adalah di antara jurutulis Rasulullah ﷺ-, beliau berkata, “Abu Bakar رضي الله عنه pernah menemuiku, lalu beliau berkata padaku, “Bagaimana keadaanmu wahai Hanzhalah?” Aku menjawab, “Hanzhalah kini telah jadi munafik.” Abu Bakar رضي الله عنه berkata, “Subhanallah, apa yang engkau katakan?” Aku menjawab, “Kami jika berada di sisi Rasulullah ﷺ, kami teringat neraka dan syurga sampai-sampai kami seperti melihatnya di hadapan kami. Namun ketika kami keluar dari majlis Rasul ﷺ dan kami bergaul dengan isteri dan anak-anak kami, sibuk dengan berbagai urusan, kami pun jadi banyak lupa.” Abu Bakar رضي الله عنه pun menjawab, “Kami pun begitu.”
Kemudian aku dan Abu Bakar رضي الله عنه pergi menghadap Rasulullah ﷺ lalu aku berkata, “Wahai Rasulullah, jika kami berada di sisimu, kami akan selalu teringat pada neraka dan syurga sampai-sampai seolah-olah syurga dan neraka itu benar-benar nyata di depan kami. Namun jika kami meninggalkan majlismu, maka kami tersibukkan dengan isteri, anak dan pekerjaan kami, sehingga kami pun banyak lupa.”
Rasulullah ﷺ lalu bersabda, “Demi Rabb yang jiwaku berada di tangan-Nya. Seandainya kalian mahu berterusan dalam beramal sebagaimana keadaan kalian ketika berada di sisiku dan kalian terus mengingat-ingatnya, maka nescaya para malaikat akan menjabat tangan kalian di tempat tidurmu dan di jalan. Namun Hanzhalah, lakukanlah sesaat demi sesaat.” Baginda mengulanginya sampai tiga kali.
(HR. Muslim No. 2750)
Jadi ayat ini bukanlah berkenaan iman turun dan naik yang biasa saja berlaku kepada manusia, tetapi ayat ini Allah ﷻ tentang orang yang meninggalkan imannya terus seperti ada orang yang tidak salat kerana mereka ada masalah dalam kehidupan mereka. Mereka seolah-olah terus tinggalkan agama, walaupun nama masih mereka dalam IC masih Muslim lagi.
Ia juga bermaksud orang yang masuk Islam mengucapkan Syahadah tetapi selepas dia mengetahui tentang Islam, dia tidak sanggup untuk mengikuti segala ajaran di dalamnya. Maka dia tidak mengamalkan ajaran Islam seperti yang sepatutnya tetapi mereka tetap menggunakan nama Islam.
Dan ramai sahaja manusia yang bernama Muslim dan lahir dalam keluarga Muslim tetapi mereka tidak kisah pun tetang agama dan mereka menjalani kehidupan mereka sesuka hati mereka tanpa berlandaskan ajaran agama Islam. Malangnya mereka ini jenis orang senang-senang beri pendapat mereka tentang agama, seolah-olah mereka itu benar tetapi ia bukanlah berdasarkan kepada dalil.
فَطُبِعَ عَلىٰ قُلوبِهِم
lalu hati mereka dikunci mati;
Oleh kerana mereka tidak menjaga iman mereka yang telah turun dan tidak menaikkan semula, maka Allah ﷻ mengunci mati hati mereka daripada menerima iman. Ini amat bahaya sekali. Maknanya mereka telah menjadi kufur.
Kita telah belajar sebelum ini yang pembersihan perlu dilakukan pada peringkat intelek dan juga pada peringkat hati. Orang-orang munafik ini mereka sebenarnya ada masalah dengan hati mereka dan kerana itulah hati mereka telah tertutup.
Bila hati mereka telah tertutup daripada iman, maka intelek mereka pun akan ada masalah. Maka mereka akan memperkatakan tentang agama dengan kehendak nafsu mereka sahaja. Kerana itulah kita banyak baca dan dengar banyak pendapat yang karut marut di media sosial dan di internet.
فَهُم لا يَفقَهونَ
maka mereka tidak dapat mengerti.
Dan apabila hati mereka telah tertutup maka mereka tidak akan dapat memahami agama ini walaupun kita cuba dengan pelbagai cara pun untuk menceritakan kepada mereka dan memberikan mereka berbagai-bagai dalil. Segala usaha boleh dilakukan tetapi mereka tidak akan faham dan ini bermakna intelek mereka juga sudah tertutup.
Ini kerana Allah ﷻ telah menutup pintu hati mereka daripada menerima hidayah. Ini dinamakan Khatmul Qalbi. Jadi ini adalah sifat ke 3 daripada 12 sifat nifak:
3. Tidak cerdik dalam hal-hal agama. Jika mengaji pun bukan niat untuk mendalami agama hanya untuk mengisi masa dan tunjuk muka dalam masyarakat. فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ
Munafiqoon Ayat 4: Allah ﷻ mengingatkan bahawa yang nampak indah itu bukan semuanya baik.
۞ وَإِذا رَأَيتَهُم تُعجِبُكَ أَجسامُهُم ۖ وَإِن يَقولوا تَسمَع لِقَولِهِم ۖ كَأَنَّهُم خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ ۖ يَحسَبونَ كُلَّ صَيحَةٍ عَلَيهِم ۚ هُمُ العَدُوُّ فَاحذَرهُم ۚ قٰتَلَهُمُ اللَّهُ ۖ أَنّىٰ يُؤفَكونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when you see them, their forms please you, and if they speak, you listen to their speech. [They are] as if they were pieces of wood propped up¹ – they think that every shout is against them. They are the enemy, so beware of them. May Allāh destroy them; how are they deluded?
- i.e., bodies with empty minds and empty hearts.
(MELAYU)
Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata, kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?
وَإِذا رَأَيتَهُم تُعجِبُكَ أَجسامُهُم
Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum.
Allah ﷻ menceritakan tentang jisim (fizikal) mereka, iaitu penampilan luaran mereka. Ini adalah kerana mereka itu tidak ada roh lagi kerana mereka itu hanya dihitung pada badan sahaja. Badan ada, tetapi roh keislaman tidak ada, maka mereka itu tidak bernilai lagi.
Walaupun kita nampak mereka itu ramai (kerana waktu itu orang Muslim sudah ramai yang masuk Islam), tetapi mereka itu hanya pada bilangan sahaja dan tidak ada roh Islam dalam diri mereka. Mungkin kalau kita lihat fizikal mereka, kita kagum kerana mereka nampak ramai.
Dan satu lagi maksud, memang perawakan mereka itu menarik perhatian. Abdullah ibn Abbas ada mengatakan yang Abdullah bin Ubay itu memang seorang yang tegap tubuhnya, segak dan pandai bercakap. Dan begitulah juga rakan-rakan munafiknya. Jadi kalau orang tengok cara mereka bercakap dan bergerak, memang mereka tidak sangka yang mereka itu orang yang jahat.
Jadi ini adalah sifat nifaq ke 4 yang disebut dalam ayat ini:
Sifat ke 4. Penampilan mereka nampak hebat. Mungkin mereka ini juga berserban dan berjubah. وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ
وَإِن يَقولوا تَسمَع لِقَولِهِم
Dan jika mereka berkata, kamu mendengar perkataan mereka.
Apabila mereka bercakap, maka kita kena dengar kerana Nabi Muhammad ﷺ diberitahu untuk mendengar kata-kata mereka. Kerana kita pun tidak tahu sama ada mereka itu munafik ataupun tidak. Maka kita beri perhatian kepada kata-kata mereka.
Atau, Allah ﷻ hendak memberitahu yang apabila orang-orang munafik itu bercakap, Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat mendengar kata-kata mereka kerana mereka itu pandai dan petah bercakap.
Begitulah zaman sekarang, ada sahaja yang pandai bercakap tetapi apa yang mereka katakan itu tidak benar belaka. Namun begitu, oleh kerana kepetahan mereka, maka, ramai yang terpengaruh dengan kata-kata mereka itu. Ini pun amat bahaya, jadi kena berhati-hati dengan kata-kata manusia. Ada hadith Nabi ﷺ yang mengatakan kata-kata itu pun sihir kerana ramai yang terpesona dengan kata-kata manusia. Rasulullah ﷺ pernah bersabda yang itu pun sihir juga:
عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما
أنه قدم رجلان من المشرق فخطبا فعجب الناس لبيانهما فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن من البيان لسحرا أو إن بعض البيان لسحرDaripada Abdullah bin Umar رضي الله عنهما bahawa dua orang daripada penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berkhutbah hingga orang-orang takjub dengan penjelasannya, lantas Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandungi sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandungi sihir.”
(Sahih Bukhari No. 5325)
Jadi, ini adalah sifat nifaq ke 5 dalam surah ini: Bicara mereka menarik perhatian. Mereka memang pandai goreng, menyebut hadith tidak kira palsu atau sahih. وَإِنْ يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ
كَأَنَّهُم خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ
Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar.
Mereka itu kelihatan seperti pokok kayu yang kuat, tetapi sebenarnya ia nampak tegak hanya kerana bersandarkan kepada sesuatu sahaja; ini memberi isyarat bahawa mereka itu bersandar kepada kekuatan umat Islam sahaja. Mereka sendiri tidak ada kekuatan dalaman mereka.
Allah ﷻ memberikan isyarat bahawa mereka itu nampak sahaja sebagai pokok kayu tetapi bahagian dalamnya kosong kerana roh mereka kosong.
Dan apabila digunakan perumpamaan kayu untuk mereka, ini memberi isyarat yang mereka itu tidak ada gunanya. Kerana kayu itu hanya berguna kalau ia dibentuk menjadi dinding, pintu atau tiang. Kalau setakat sebatang kayu sahaja, ia tidak berguna.
Ini adalah sifat keenam nifak dalam ayat ini: 6. Tiada manfaat kepada masyarakat. Tiada faedah yang mereka bawa, dan jika mereka tiada lagi baik. كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُسَنَّدَةٌ
يَحسَبونَ كُلَّ صَيحَةٍ عَلَيهِم
Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka.
Dan mereka bersifat paranoia, di mana apabila ada teguran tentang sifat-sifat orang munafik dan juga orang yang lemah iman, maka mereka akan terasa yang kata-kata itu ditujukan kepada mereka kerana mereka pun sudah tahu yang iman mereka lemah.
Memanglah kita selalu dengar tentang khutbah ataupun ceramah tentang sifat-sifat yang buruk dan kita kena dengar dan bandingkan dengan diri kita dan jangan rasa ia ditujukan kepada orang lain sahaja. Tetapi dalam masa yang sama, jangan kita rasa yang orang yang sedang bercakap itu menyebut tentang diri kita secara individu, kerana orang yang bercakap itu hanya bercakap secara umum sahaja dan bukannya hendak menyerang kita.
Tetapi orang munafik akan rasa orang itu bercakap tentang dia. Jadi orang munafik itu memang sudah rasa bersalah dan kalau ada orang cakap secara umum pun mereka rasa yang orang itu bercakap tentang mereka dan inilah sifat paranoia. Mereka akan marah dengan orang itu. Mereka mungkin pergi kepada orang itu dan kata: “Kenapa cakap tentang aku?”
Atau ayat ini bermaksud panggilan atau seruan untuk jihad di mana apabila umat Islam dipanggil untuk berjihad, mereka rasa berat dan mereka rasa itu sebagai mudharat untuk mereka.
Ayat ini juga boleh bermakna yang mereka takut dengan musibah dan ujian. Yakni manakala terjadi suatu peristiwa atau suatu kejadian atau hal yang menakutkan, maka mereka berkeyakinan bahawa hal itu akan menimpa diri mereka, hal ini disebabkan hati mereka yang pengecut lagi penakut. Perihalnya sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman Allah ﷻ:
{أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ فَإِذَا جَاءَ الْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنْظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَالَّذِي يُغْشَى عَلَيْهِ مِنَ الْمَوْتِ فَإِذَا ذَهَبَ الْخَوْفُ سَلَقُوكُمْ بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى الْخَيْرِ أُولَئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا فَأَحْبَطَ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا}
Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati; dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedangkan mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Al-Ahzab: 19)
Maka, ini adalah sifat ketujuh nifak dalam ayat perenggan ini: 7. Buruk sangka, paranoid. يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِم
هُمُ العَدُوُّ فَاحذَرهُم
Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka;
Allah ﷻ memberitahu bahawa mereka itu adalah musuh kita dan kita kenalah berhati-hati dengan mereka kerana mereka itu adalah musuh dalaman. Mereka akan menyebabkan orang lain pun lemah iman kerana terikut-ikut dengan cara hidup dan pandangan mereka yang salah.
Inilah sifat nifak kelapan (8): Merekalah musuh umat Islam yang sebenar. هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ
قٰتَلَهُمُ اللَّهُ
semoga Allah membinasakan mereka.
Semoga Allah ﷻ memusnahkan mereka kerana keburukan yang mereka bawa.
Atau kalimah ini juga boleh bermaksud Allah ﷻ memang telah memusnahkan mereka di mana perasaan tidak tenang dan paranoia itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ kepada mereka (sebagai azab bagi mereka). Allah ﷻ bagi hati mereka tidak tenang, Allah ﷻ bagi hati mereka sentiasa sakit sahaja. Ada sahaja yang tidak kena pada mereka.
أَنّىٰ يُؤفَكونَ
Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (daripada kebenaran)?
Amat menghairankan sekali bagaimana mereka itu boleh terpesong daripada ajaran agama Tauhid ini. Sedangkan mereka duduk di Madinah dan berada bersama-sama dengan Nabi Muhammad ﷺ sendiri, dalam kalangan para sahabat yang hebat-hebat.
Dan kalau umat Islam zaman sekarang, bagaimana lagi mereka boleh jadi munafik sedangkan mereka duduk dalam kalangan orang Islam. Adakah mereka tidak ambil perhatian kepada pembelajaran agama, sampai mereka jadi begitu? Sampai iman mereka lemah sangat?
Siapakah atau apakah yang menyebabkan mereka menjadi munafik? Tidak diberitahu dalam ayat ini, jadi mungkin syaitan yang menjadi kawan mereka, kawan-kawan mereka yang mereka ikut, pemimpin mereka yang menjadi idola mereka, cinta kepada dunia, terlalu cinta kepada keluarga, atau apa-apa sahaja. Maka ini mengajar kita untuk berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh menyesatkan dan menjadikan kita sebagai munafik.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 23 Disember 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an