Pengenalan:
Surah ini seperti namanya, tentulah berkenaan golongan munafik dan tentu ada banyak menceritakan tentang sifat-sifat mereka. Maka surah ini amat penting supaya kita periksa dengan diri sendiri kerana ditakuti kita pula ada sifat-sifat nifaq ini.
Surah ini menyambung topik tentang Bani Israil sebelum ini di mana di dalam agama mereka, ada orang yang mengaku beriman tetapi tidak beriman sebenarnya. Itulah golongan munafik namanya, iaitu mereka yang luarannya nampak beriman tetapi dalamannya menyembunyikan kekufuran mereka. Jadi ini adalah kesinambungan daripada perbincangan yang telah diadakan dalam Surah Jumu’ah sebelum ini. Begitulah senarionya di mana dalam golongan mereka terdapat golongan munafik, maka, dalam masyarakat Islam pun ada golongan munafik juga.
Later belakang surah ini: Ada seorang sahabat yang muda yang terdengar perbincangan golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay yang mengatakan hendak menghalau orang-orang Muhajirin dari Madinah kerana mereka rasa golongan Muhajirin itu telah menyusahkan mereka. Kejadian itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang ke Madinah daripada satu peperangan iaitu peperangan dengan Bani Mustalaq.
Sedikit kisah tentang perang ini: Peperangan itu terjadi dalam tahun 5 Hijrah (atau 6 Hijrah) iaitu selepas Peperangan Uhud. Dalam peperangan tersebut, umat Islam telah mengalami kekalahan yang agak teruk dan puak-puak sekitar Madinah ada yang merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk menyerang Madinah dan merompak harta penduduk Madinah. Mereka bukanlah memusuhi agama Islam tetapi mereka hendakkan harta sahaja kerana itu antara cara mereka mendapat kekayaan pada zaman itu. Yang telah membuat perancangan untuk menyerang Madinah adalah Bani Mustalaq.
Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat berita tentang rancangan mereka itu dan baginda telah mengumpul pasukan tentera untuk menyerang Bani Mustalaq sebelum mereka sempat menyerang. Dan kemenangan mudah telah didapati oleh pasukan Islam.
Bani Mustalaq telah kalah dan kaum mereka dijadikan tawanan dan harta mereka dirampas. Dianggarakan seramai 200 orang telah dijadikan tawanan dan antaranya adalah Juwayriyya bint al-Harith, anak ketua Bani Mustalaq itu. Asalnya beliau telah jatuh ke tangan seorang sahabat bernama Thabit ibn Qays. Beliau tidak mahu menjadi hamba dan telah menawarkan untuk membebaskan dirinya dengan tebusan. Beliau telah pergi berjumpa Rasulullah ﷺ untuk menguruskan perkara itu. Rasulullah ﷺ kemudian telah bersetuju untuk membayar tebusan itu dan menawarkan untuk mengahwininya, dan Juwayriyya bersetuju.
Selepas perkahwinan itu, para sahabat berfikir, takkan bapa mertua Nabi ﷺ menjadi tawanan mereka pula? Maka, mereka membuat keputusan untuk membebaskan tawanan mereka beramai-ramai. Maka ini adalah rahmah perkahwinan Nabi Muhammad ﷺ dan Juwayriyya رضي الله عنها. Selepas mereka dibebaskan, maka seluruh kaum itu masuk Islam beramai-ramai kerana mereka rasa terharu dengan perbuatan umat Islam itu dan kerana puteri mereka telah berkahwin dengan Rasulullah ﷺ. Maka, ketua mereka Harith itu pun masuk Islam juga.
Antara yang pergi peperangan Bani Mustalaq itu adalah ketua Munafik, Abdullah ibn Ubay. Ini kerana dia tahu yang peperangan ini mudah sahaja, maka kerana itu dia ikut serta. Kalau perang yang susah, dia tidak mahu ikut. Memang kalau perang senang dan ada kemungkinan dapat harta rampasan perang, orang munafik tidak ada masalah untuk ikut serta. Bila perang susah barulah mereka akan mengelak untuk ikut sekali.
Dalam perjalanan pulang, mereka berhenti di sebuah telaga (nama telaga itu adalah Muraisi’ dan kerana itu nama perang ini juga digelar Perang Muraisi’ kerana peperangan terjadi berdekatan telaga itu) dengan keadaan berasak-asak. Salah seorang lelaki Muhajiroon telah terlanggar seorang lelaki Khazraj (beliau adalah pembantu Umar). Maka terjadilah tendang menendang. Maka lelaki itu marah dan mula memanggil ahli kumpulannya dalam kalangan Ansar. Dan lelaki Muhajiroon telah memanggil ahli kumpulannya pula dalam kalangan Muhajiroon.
Maka keadaan telah menjadi tegang dan ejek mengejek serta kata mengata telah timbul. Nampak sudah ada perbezaan yang ditimbulkan antara Muhajiroon dan Ansar. Sudah tidak nampak penyatuan Muslim lagi pada waktu itu. Padahal mereka baru sahaja memerangi pihak musuh bersama-sama.
Sebenarnya keadaan ini biasa sahaja terjadi. Di dalam keadaan semua pihak dalam kepenatan ditambah pula kepanasan di padang pasir itu, maka mudah sahaja berlaku silap faham dan mudah pula tercetus kemarahan yang tidak terkawal. Selalunya yang berkelahi hanyalah berlaku di antara dua individu sahaja, namun menjadi lebih teruk pula apabila orang di sekeliling pun masuk campur tangan juga.
Tidaklah salah jika berasa bangga dengan keturunan, bangsa dan negara. Namun jika ia digunakan untuk pergaduhan dan pemecahbelahan, ini adalah salah sama sekali. Begitulah yang telah terjadi. Nama ‘Muhajirin’ dan ‘Ansar’ adalah nama yang mulia kerana muhajirin adalah mereka yang sanggup berkorban untuk agama dengan meninggalkan tempat asal. Dan Ansar pula adalah golongan yang sanggup membantu muhajirin yang datang ke tempat mereka. Kedua-duanya telah dipuji dalam Al-Qur’an pun.
Maka, pengorbanan kedua-dua kumpulan ini amat besar sehinggakan Allah ﷻ sendiri memberikan gelaran ‘Muhajirin’ dan ‘Ansar’ kepada mereka. Namun begitu, apabila ia digunakan sebagai alat pemecahbelah (engkau Muhajirin, aku Ansar), untuk membezakan satu golongan dengan golongan yang lain, maka itu sudah teruk. Maka jangan layan perasaan sebegini. Apabila Rasulullah ﷺ tahu tentang kejadian ini maka baginda telah marah mereka dan ini disebut dalam Sahih Bukhari (4525):
جابر بن عبد الله رضي الله عنهما قال
كنا في غزاة قال سفيان مرة في جيش فكسع رجل من المهاجرين رجلا من الأنصار فقال الأنصاري يا للأنصار وقال المهاجري يا للمهاجرين فسمع ذلك رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال ما بال دعوى الجاهلية قالوا يا رسول الله كسع رجل من المهاجرين رجلا من الأنصار فقال دعوها فإنها منتنة
Jabir bin Abdullah رضي الله عنهما berkata; Suatu ketika dalam satu peperangan -sekali waktu Sufyan mengatakan; Dalam suatu perkumpulan pasukan- tiba-tiba seorang laki-laki dalam kalangan Muhajirin mendorong seseorang daripada Ansar, maka sang Ansar pun menyeru, “Wahai orang-orang Ansar.” Dan sang Muhajir pun berkata, “Wahai orang-orang Muhajirin.” Rasulullah ﷺ pun mendengar hal itu, maka baginda bersabda, “Kenapa panggilan-panggilan Jahiliyyah itu masih saja kalian lestarikan?” Para sahabat pun berkata, “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki dalam kalangan Muhajirin mendorong seorang daripada Ansar.” Akhirnya baginda bersabda, “Tinggalkanlah, kerana hal itu adalah sesuatu yang busuk.”
Arahan daripada Rasulullah ﷺ telah menghentikan perkelahian mereka itu. Ini kerana mereka amat menghormati dan menyanjungi baginda. Kalaulah Rasulullah ﷺ tidak masuk campur pada waktu itu, tentunya keadaan itu akan melarat dan akan memecahkan mereka dengan lebih teruk lagi.
Itu mereka, bagaimana dengan kita? Kalau kita pun tidak berhati-hati dengan perasaan ini, maka kita pun boleh jadi begitu juga. Sebagai contoh, kita ada ustaz yang kita suka dan kita ambil ilmu daripadanya. Namun kalau ada kumpulan lain yang ada ustaz mereka dan pendapat yang berlainan daripada pendapat ustaz kita, maka apa yang selalunya terjadi?
Mereka yang jahil akan membesar-besarkan perbezaan pendapat itu. Yang ustaz mereka selalunya tidak ada masalah pun kerana khilaf pendapat biasa sahaja dalam dunia ilmu. Tetapi pelajar-pelajar yang otak tidak berapa lengkap itu yang membesar-besarkan perkara ini. Inilah kalau orang yang jiwanya lemah dan akalnya kurang – suka mencari perbezaan pendapat sahaja.
Malangnya kita lihat dalam kumpulan sunnah pun ada masalah ini. Ada kumpulan itu dan kumpulan ini. Maka kononnya telah belajar sunnah, tetapi bila tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan memahami ayat-ayat Al-Qur’an, maka terus menerus jugalah dalam keadaan jahil. Tiada makna belajar Sunnah jika tetap berakhlak seperti mereka yang jahil pula.
Dalam dunia Islam pun memang kita boleh lihat perpecahan yang amat banyak. Ada Muslim mazhab ini dan itu, bangsa ini dan itu, fahaman ini dan itu, negara ini dan itu, puak ini dan itu…. dan banyak lagi. Semuanya pula merasakan golongan mereka yang benar. Maka sampai bilalah umat Islam dapat bersatu kalau perpecahan yang menjadi tema pertalian antara kita? Inilah masalahnya apabila kita lihat orang lain sahaja, otak kita berfikir: “Apakah yang membezakan aku dan dia?”. Sebaliknya kita patut fikir: “Apakah yang sama antara aku dengan dia?” Jika perbezaan yang dicari, maka kita akan berpecah; namun jika kita mencari titik persamaan, maka kita akan bersatu.
Apabila dunia Islam berpecah belah, maka kita dikalahkan oleh musuh Islam di mana-mana sahaja. Agama kita nampak lemah, dakwah kita tidak berkesan, penganut agama kita ditindas di merata dunia kerana agama lain tidak pandang tinggi kepada kita.
Baik, kembali kepada kisah dalam surah ini. Siapa yang sedang memerhatikan kejadian di telaga itu? Abdullah ibn Ubay telah melihat perkara ini dan mengambil peluang ini untuk menimbulkan semangat kebencian kepada puak Muhajiroon. Dia memang tidak sukakan Rasulullah ﷺ dan Muhajiroon kerana sebelum mereka datang ke Madinah, dia sepatutnya yang akan menjadi ketua Madinah. Jadi kebenciannya masih ada lagi kerana berasakan bahawa peluangnya telah dirampas.
Jadi dia nampak ini peluang untuk mengambilalih kuasa. Maka dia telah memanggil puak Ansar dan berpidato dengan mereka. Tetapi pidatonya ini telah didengari oleh seorang sahabat yang masih kecil pada waktu itu.
Al-Bukhari telah meriwayatkan, daripada Zaid bin al-Arqam رضي الله عنه.
Beliau berkata: “Saya berada dalam satu peperangan apabila terdengar Abdullah bin Ubay berkata: “Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang berada bersama-sama Rasulullah, agar mereka pergi meninggalkannya. Sesungguhnya jika kita kembali ke Madinah sudah tentu orang yang mulia dan kuat akan menghalau orang hina dan lemah dari Madinah.”
Zaid berkata: “Lalu saya memberitahu perkara itu kepada pakcik saya dan beliau memberitahu Rasulullah ﷺ. Baginda kemudiannya memanggil saya dan saya menceritakan kepada baginda.
Rasulullah ﷺ kemudiannya menghantar utusan kepada Abdullah bin Ubay bin Salul dan pengikut-pengikutnya dan mereka bersumpah bahawa mereka tidak mengkhianati Rasulullah ﷺ.
Rasulullah ﷺ menganggap saya menipu dan mempercayai Abdullah bin Ubay. Saya sedih dan tidak pernah rasa seperti itu. Oleh itu saya duduk diam di rumah dan pakcik saya berkata: “Kamu tidak suka, tetapi Rasulullah ﷺ tidak percayakan kamu dan memarahi kamu. “Kemudian Allah ﷻ menurunkan ayat pertama surah al Munafiqun..
إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ
Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. (al-Munafiqun:1)
Lalu Rasulullah ﷺ menghantar utusan kepada saya kemudian membacakan ayat tersebut dan berkata, “Sesungguhnya Allah ﷻ telah membenarkan kamu.”
Abdullah bin Ubay menghasut puak Ansar dengan mengatakan masalah itu terjadi sebab mereka (Ansar) telah membantu golongan Muhaajirin itu. Sekarang mereka (Muhajirin) telah melampau. Maka dia hasut untuk jangan lagi bantu puak Muhajirin itu supaya nanti mereka akan keluar sendiri dari Madinah. Ini akan dijelaskan lagi dalam surah ini nanti.
Kata-kata Abdullah ini amat bahaya. Waktu itu sudah kecoh isu ini dalam kalangan para sahabat. Saidina Umar رضي الله عنه sudah meminta untuk memenggal leher Abdulullah bin Ubay tetapi ditahan oleh Rasulullah ﷺ. Anak Abdullah bin Ubay sendiri (namanya juga Abdullah) sudah menawarkan diri untuk membunuh bapanya kalau Rasulullah ﷺ hendak memberi arahan bunuh kerana beliau tidak mahu orang lain yang membunuh bapanya kerana nanti dia tidak tahan melihat pembunuh bapanya bebas. Walaupun bapanya seorang munafik, namun anaknya ini seorang mukmin sejati dan akan menjalankan perintah Rasulullah ﷺ tanpa berbelah bahagi.
Jadi keadaan sudah jadi kecoh. Walaupun perkelahian asal telah berhenti, namun gossip dalam kalangan mereka masih berjalan lagi. Untuk meredakan perkara ini, Rasulullah ﷺ telah mengarahkan rombongon mereka untuk terus berangkat. Ini lain daripada kebiasaan kerana selalunya baginda akan beri masa untuk pasukan berehat. Jadi dengan terus bergerak, semoga percakapan-percakapan itu akan segera reda.
Daripada kisah ini juga kita dapat lihat bagaimana sikap taat, sanjung dan sayangnya para sahabat kepada Rasulullah ﷺ melebihi orang lain. Zaid al-Arqam رضي الله عنه itu daripada puak Khazraj dan Abdullah bin Ubay adalah ketua puak Khazraj. Beliau sayangkan Abdullah bin Ubay namun apabila Abdullah mengatakan sesuatu yang menghina Rasulullah ﷺ, maka beliau tidak boleh terima dan terus melaporkan hal itu. Begitu juga dengan anaknya sendiri (Abdullah bin Abdullah) yang tentunya sayangkan ayahnya, akan tetapi bila ayahnya buat salah menghina Rasulullah ﷺ, beliau sanggup membunuh ayahnya.
Selain daripada itu, tema surah ini adalah tentang infak harta. Allah ﷻbhendak memberitahu yang harta kita akan bernilai kalau diinfakkan di jalan Allah ﷻ. Oleh kerana itu dalam masyarakat kita kena ada golongan yang kuat infak harta. Ini adalah kerana jihad dan menyebarkan agama memerlukan infak.
Surah Munafiqoon ini juga adalah surah ketujuh daripada rentetan surah-surah berkenaan jihad dan infak di dalam kumpulan surah-surah yang dinamakan musabbihat. Sebelum ini Surah Jumu’ah tentang infak dan sekarang diteruskan tema infak dalam surah ini. Ringkasannya:
1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqoon – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak
Munafiqoon Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro sahaja. Ayat 1 – 8 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia menyenaraikan dua belas sifat nifaq.
إِذا جاءَكَ المُنٰفِقونَ قالوا نَشهَدُ إِنَّكَ لَرَسولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّكَ لَرَسولُهُ وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّ المُنٰفِقينَ لَكٰذِبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Munāfiqūn: The Hypocrites.
When the hypocrites come to you, [O Muḥammad], they say, “We testify that you are the Messenger of Allāh.” And Allāh knows that you are His Messenger, and Allāh testifies that the hypocrites are liars.
(MELAYU)
Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: “Kami mengakui, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah”. Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.
إِذا جاءَكَ المُنٰفِقونَ
Apabila orang-orang munafik datang kepadamu,
Bahasa yang digunakan di permulaan ayat ini menunjukkan bahawa ia bukanlah hendak mengatakan mereka telah datang kepada Nabi ﷺ tetapi ia merujuk bila-bila masa sahaja mereka datang kepada Baginda. Maknanya, bukan sekali sahaja ia berlaku, tetapi banyak kali.
Ini adalah kerana golongan munafik itu ada perancangan mereka dan salah satu yang mereka kena lakukan adalah menunjukkan yang seolah-olah mereka itu rapat dengan baginda Rasulullah ﷺ. Ini supaya mereka nampak seolah-olah mereka ini orang penting.
Maka mereka akan tetap datang kepada baginda dari masa ke semasa. Mereka mahukan orang lain lihat yang mereka selalu ada dengan Nabi ﷺ dan kadang-kadang ada perbincangan penting dengan baginda. Padahal tidak ada benda penting pun yang dibincangkan. Antaranya mereka hendak kata yang memang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah. Tetapi, buat apa hendak beritahu hal itu?
قالوا نَشهَدُ إِنَّكَ لَرَسولُ اللَّهِ
mereka telah berkata: “Kami bersaksi, bahawa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah”.
Lihat bagaimana kalimah yang digunakan oleh mereka itu mengandungi banyak elemen penekanan dan mereka lakukan ini kerana mereka hendak menunjukkan dan beria-iya kononnya yang mereka itu benar-benar beriman dengan baginda. Mereka nampaknya bercakap dengan nada berlebih-lebihan dalam hal ini. Ini kerana mereka hendak menunjuk-nunjuk sahaja sebenarnya.
Kita pun tahu jikalau ada orang yang beriya-iya memberitahu tentang sesuatu maka kita pun boleh dapat kesan bahawa ada ‘udang di sebalik batu’. Agaknya kenapa mereka beriya-iya hendak memberitahu benda yang memang orang sudah tahu? Kenapa perlu kena cakap pula?
وَاللَّهُ يَعلَمُ إِنَّكَ لَرَسولُهُ
Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya engkau benar-benar Rasul-Nya;
Allah ﷻ menjawab kata-kata mereka itu dengan mengatakan yang memang Rasulullah ﷺ itu seorang Rasul dan mereka tidak perlu cakap pun kerana memang itu adalah kebenaran.
Sengaja nak cakap itu kenapa pula?
وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّ المُنٰفِقينَ لَكٰذِبونَ
dan Allah bersaksi bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta.
Kemudian Allah ﷻ memberitahu apa yang dalam hati mereka. Sebenarnya mereka itu menipu. Mereka telah bersaksi dan sekarang Allah ﷻ pun bersaksi juga yang mereka sebenarnya penipu. Tetapi saksi mana yang benar? Tentulah Allah ﷻ.
Namun bukanlah mereka menipu bahawa Rasulullah ﷺ seorang rasul; tetapi bahagian persaksian mereka itu yang mereka tipu. Ini bermakna Allah ﷻ sedang membuka pekung yang ada di dalam dada mereka itu; iaitu mulut mereka sahaja mengaku Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul tetapi hati mereka tidak beriman pun. Mereka sebenarnya benci dengan baginda.
Ini mengajar kita yang jikalau kita perlu menyatakan keimanan kita kepada orang lain, maka ada masalah dengan iman kita. Sepertimana juga ibadah kita dengan Allah ﷻ itu adalah antara kita dan Allah ﷻ dan tidak perlu diberitahu kepada sesiapa pun maka begitulah juga iman kita, kita tidak perlu beritahu kepada orang yang kita beriman. Sengaja ingin tekankan yang kita beriman, bermaksud tidak beriman sangatlah.
Seperti telah disebut, perenggan ini menyenaraikan 12 sifat nifaq. Ayat ini menyebut sifat mereka yang pertama: Menipu. إِنَّ المُنٰفِقينَ لَكٰذِبونَ
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 30 Disember 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an