Tafsir Surah Jumuah Ayat 9 – 11 (Adab Solat Jumaat)

Ayat 9: Kita kena hargai wahyu yang Allah berikan. Jangan jadi macam Yahudi yang buat tidak kisah sahaja. Mereka hanya setakat jaga lafaz sahaja (seperti kebanyakan orang kita juga). Maka untuk selamat dunia dan akhirat, kita kena hidupkan suasana mengajar dan belajar. 

Bagaimana cara untuk kita mencapai kejayaan? Dari segi individu kita boleh baca Qur’an dan menambahkan ilmu pengetahuan kita tetapi daripada segi kolektif, Allah telah menjanjikan satu hari di mana semua umat Islam (lelaki) berkumpul ramai-ramai. Dan perjumpaan ini tidak perlu diiklankan dan tidak perlu ajak orang datang kerana semua memang Allah sudah ajak.

Itulah hebatnya waktu itu kerana Solat Jumaat ini dihadiri oleh semua lapisan masyarakat: Iaitu dari yang pandai dan yang tidak, dari yang warak dan tidak, dari yang muda dan yang tua; semuanya akan datang kerana semua sudah tahu yang ianya wajib. Dan kalau mereka tidak datang, mereka akan malu sendiri.

Jadi ramai akan datang dan sampai penuh masjid itu setiap Jumat. Walaupun mereka itu waktu lain tidak solat. Maknanya setiap Hari Jumaat itu ada satu perjumpaan umat Islam. Dan kalau kita perhatikan, tidak ada agama-agama lain yang ada perjumpaan seperti ini. Kalau ugama Kristian ada perjumpamaan Hari Ahad, tapi perjumpamaan itu tidak sama dengan perjumpamaan umat Islam Hari Jumaat. Kerana tidak semua masyarakat mereka pergi ke gereja Hari Ahad itu. 

Walaupun khutbah Jumaat yang diberikan tidak menarik, tetapi manusia akan tetap datang juga minggu depan. 

Dan ini adalah satu masalah yang kita kena cakap juga: khutbah Jumaat itu hendaklah dinaiktaraf bagi menarik. Kita sudah ada satu medan untuk beri pengajaran kepada umat Islam yang datang dari semua tempat. Kalau kita nak ajak mereka datang ceramah pun belum tentu mereka akan datang. Tapi bila mereka dah datang, pihak masjid hendaklah ambil peluang keemasan ini untuk beri pengajaran yang utama dan menyentuh masyarakat.

Malangnya, kita perhatikan dari dulu sampai sekarang, teks khutbah ini tidak menarik langsung. Ianya sangat membosankan sampaikan kalau nak tidur, waktu itulah waktu paling sedap untuk tidur kerana khatib itu memang baca sahaja teks itu tanpa semangat, tanpa pengajaran, tanpa kata-kata yang menarik.

Dan topik yang disampaikan amatlah membosankan. Tidak menyentuh kehendak masyarakat, tidak beri semangat kepada mereka, tidak menarik perhatian mereka kepada pelajaran agama. Amatlah ruginya waktu itu tidak digunakan sepenuhnya.

Allah sudah letakkan satu masa untuk beri pelajaran kepada manusia pada Hari Jumaat. Ini peluang yang Allah telah berikan kepada guru agama kerana ulamak kena sampaikan ilmu yang dia ada. Dan masyarakat kena dengar waktu itu. Ini memberi isyarat yang suasana ilmu kena diwujudkan.

Dan pelajar pula kena hargai masa belajar. Kerana jikalau dia tidak hargai masa belajar itu maka dia tidak akan dapat ilmu untuk dia sendiri ajar kepada ahli keluarga dia. Kita kena faham yang semua umat Islam kena ada ilmu agama sekurang-kurangnya ilmu asas.

Ilmu agama ini bukanlah untuk para ulama dan ustaz sahaja, tapi semua orang. Dan seorang ketua keluarga kena sampaikan ilmu itu kepada ahli keluarga di bawahnya. Kalau dia sendiri tidak tahu, maka susahlah kalau begitu. Kerana itulah masyarakat Islam kita terus lemah kerana ilmu yang mereka patut dapat tidak disampaikan kepada mereka. 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ وَذَرُوا البَيعَ ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when [the adhān] is called for the prayer on the day of Jumu‘ah [Friday], then proceed to the remembrance of Allāh and leave trade. That is better for you, if you only knew.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jum’at, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman, 

Sekarang Allah hendak mengajar orang Islam bagaimana hendak memanfaatkan masa untuk belajar ilmu agama.

إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ

apabila diseru untuk menunaikan solat Jum’at,

Sebagai umat Islam lelaki, diwajibkan untuk berhenti untuk Solat Jumaat setiap minggu. Tidak ada alasan untuk tidak pergi jikalau dia boleh pergi. Ianya hanya sebahagian daripada Hari Jumaat itu sahaja dan tidaklah seperti agama Yahudi yang kena bercuti sepanjang hari menahan diri dari bekerja untuk menumpukan kepada ibadah.

Maka sudah ada keringanan yang diberikan kepada umat Islam dalam perkara ini.

Dalam ayat ini, hanya disebut secara ringkas sahaja. Tidak disebut bagaimana cara azan itu dikumandangkan, tidak disebut bagaimana perjalanan Solat Jumaat itu perlu dilakukan. Semua itu terdapat dalam Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Maka ini mengajar kita bahawa agama ini tidak lengkap tanpa Hadis dan Sunnah dari baginda. Maka kalau ada yang kata cukuplah agama ini dengan berlandaskan Qur’an sahaja (seperti yang dikatakan oleh golongan Anti-Hadis dan Qur’aniyyun/Quranist), maka itu adalah kata-kata yang amat bodoh sekali.

Sedikit pengetahuan tentang Hari Jumaat ini:

1. Jumaat dari kalimah ج م ع yang bermaksud ‘kumpul’. Nama ‘Jumaat’ mula digunakan setelah Islam bangkit dengan Nabi Muhammad SAW. Terma ini baru digunakan oleh Nabi Muhammad sebagai wahyu dari Allah. Sebelum itu, tiada hari Jumaat tapi yang digunakan adalah hari ‘Arabah’.

2. Sebelum Islam, hari utama dalam agama telah ada pada Ahli Kitab. Yahudi ada Hari Sabtu sebagai hari ibadah khusus untuk mereka kerana hari itulah Bani Israil diselamatkan dari perhambaan Firaun.

Dan puak Nasrani pula menjadikan hari Ahad sebagai hari agama mereka. Ini tidak ada diajar oleh Nabi Isa dan juga dalam Injil pun, tapi mereka reka sendiri kerana mereka hendak membezakan dari Yahudi. Mereka mengambil hari Ahad ini sebagai hari agama kerana mereka kata apabila Nabi Isa wafat, baginda telah hidup semua pada hari Ahad dan diangkat ke langit.

Apabila Islam kembali naik, maka Allah telah pilih hari Jumaat sebagai hari utama bagi agama Islam. Sebenarnya memang kepada Ahli Kitab pun sepatutnya mereka memuliakan Hari Jumaat, tapi mereka yang telah mengubahnya. Ini kerana Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“نَحْنُ الْآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بِيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا. ثُمَّ هَذَا يَومُهم الَّذِي فَرض اللَّهُ عَلَيْهِمْ، فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ لَهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا، وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ”

Kita adalah orang-orang yang terakhir, tetapi yang paling terdahulu kelak di hari kiamat, hanya saja mereka diberi kitab sebelum kita. Kemudian sesungguhnya hari (Jumaat) ini adalah hari mereka yang telah difardukan oleh Allah atas mereka, tetapi mereka berselisih pendapat mengenainya. Dan Allah menunjuki kita padanya, maka orang-orang lain mengikut kita padanya; orang-orang Yahudi esok dan orang-orang Nasrani sesudah esok.

3. Perhimpunan solat berjemaah pada hari Jumaat telah diwajibkan kepada Rasulullah semasa di Mekah lagi. Tapi ia tidak dapat diamalkan kerana umat Islam lemah waktu itu dan tidak dapat mengadakan solat berjemaah. Jadi apabila sudah ada umat Islam di Madinah yang sudah mahu beriman, maka Nabi Muhammad telah mengarahkan mereka untuk mengadakan Solat Jumaat di Madinah.

Maka Mus’ab bin Umair yang menjadi ketua umat Islam yang awal di Madinah telah mengadakan Solat Jumaat yang pertama dengan 12 orang makmum.

4. Solat Jumaat adalah antara perkara pertama yang Nabi Muhammad jalankan semasa baginda sampai di Madinah. Baginda telah sampai di Quba’ pada hari Isnin dan pada hari Jumaat, baginda telah bergerak ke Madinah. Dalam perjalanan ke Madinah, ketika sampai di perkampungan Bani Salim, telah masuk waktu Solat Jumaat dan baginda telah mengadakan Solat Jumaat yang pertama di situ.

5. Waktu Solat Jumaat ini dari dulu lagi adalah sama dengan waktu Zuhur.

6. Walaupun Solat Jumaat dilakukan sama waktu dengan Solat Zuhur, tapi jumlah rakaatnya adalah dua. Ini adalah kerana adanya Khutbah dan dua rakaat itu diganti dengan Khutbah.

7. Azan yang dimaksudkan dalam ini adalah satu azan yang dilaungkan apabila khatib telah naik mimbar. Dan ini diteruskan pada zaman Abu Bakr dan Umar. Tapi pada zaman pemerintahan Saidina Uthman, dan masyarakat Islam telah berkembang, beliau telah menambah satu azan lagi untuk menandakan waktu Solat Jumaat sudah dekat dan azan ini dilaungkan di Madinah berdekatan rumahnya iaitu di Pasar az-Zaura’.

عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ قَالَ كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ c فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ. قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الزَّوْرَاءُ مَوْضِعٌ بِالسُّوقِ بِالْمَدِينَةِ

Dari as-Saib bin Yazid, dia berkata, “Dahulu pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, Abu Bakar dan ‘Umar Radhiyallahu anhuma, adzan pada hari Jum’at pertama kalinya adalah ketika imam sudah duduk di atas mimbar. Tatkala ‘Utsmân Radhiyallahu anhu (menjadi khalifah, Pen.) orang-orang bertambah banyak, beliau Radhiyallahu anhu menambah adzan ketiga di Zaura”. Abu Abdillah (Imam al-Bukhâri rahimahullah ) berkata, “Az-Zaura’ adalah nama satu tempat di pasar Madinah”. [HR al-Bukhâri, no. 870].

8. Hari Jumaat ini memang hari yang sudah mulia. Pada hari Jumaat semua makhluk telah sempurna diciptakan, dan sesungguhnya hari Jumaat itu merupakan hari keenam dari tahun yang Allah menciptakan padanya langit dan bumi.

Pada hari Jumat pula Allah menciptakan Adam, pada hari Jumaat Adam dimasukkan ke dalam syurga, pada hari Jumaat Adam dikeluarkan dari syurga, dan pada hari Jumaat pula hari kiamat terjadi.

Di dalam hari Jumaat terdapat suatu saat yang tiada seorang hamba pun yang beriman dapat menjumpainya, sedangkan dia dalam keadaan memohon kebaikan kepada Allah di dalamnya, melainkan Allah akan mengabulkan apa yang dimintanya.

 

فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ

maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah

Maka apabila azan waktu Jumaat sudah dikumandangkan, maka kena terus pergi ke masjid. ‘Mengingati Allah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini bermaksud ‘sembahyang dan mendengar khutbah’. Iaitu mengingati Allah semasa di dalam solat dan kemudian mengingati Allah di dalam mendengar khutbah. 

Maka khutbah ini penting untuk didengari. Dalam hadis diberitahu bahawa malaikat tidak tulis kedatangan selepas khutbah bermula:

Daripada Abu Hurairah dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya bermaksud: “Apabila tiba Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid – malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, malaikat itu melipat lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah.” (Hadis riwayat Bukhari, Nasa’i dan Ibn Majah)

Apabila dikatakan ذِكرِ اللَّهِ (mengingati Allah) itu bermaksud ‘khutbah’, maka kandungan khutbah itu hendaklah mengandungi peringatan tentang Allah, memuji Allah, berdoa kepada Allah, mengingatkan kepada syariat Allah, dan seumpamanya.

Maka semasa kita di dalam perjalanan ke masjid dan selepas itu hendaklah kita banyak melakukan zikir. Hendaklah kita ingat bahawa Allah hanya mengingatkan kita kepada perkara-perkara yang kita sudah tahu.

Maka hendaklah para lelaki Muslim bersegera untuk pergi mengerjakan Jumaat kerana Allah bukan suruh tiap-tiap minggu berkumpul seperti itu, tetapi hanya seminggu sekali sahaja. Bayangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang Yahudi dan Kristian dahulu yang ibadat mereka lebih berat lagi.

Dan kita disuruh bersegera untuk ‘mengingat kepada Allah’ dan bukannya disuruh untuk ‘dengar khutbah’ ataupun berjumpa umat Islam yang lain, tetapi kita hendaklah tahu bahawa semua itu membawa kepada memberi ingat kepada Allah.

Apabila ayat ini mengatakan ‘bersegeralah’, bukanlah bermaksud kena berlari-lari dalam keadaan tergesa-gesa ke masjid. Maksudnya bila dah dengar azan, maka kena bersiap dengan segera. Tapi jangan tergocoh-gocoh kerana bukan ini yang dikehendaki. Kita kena datangi solat jemaah dengan tenang. Seperti disebut dalam satu hadis:

إذا سمتم الإقامة فامشوا إلى الصلاة وعليكم بالسكينة والوقار ولا تسارعوا فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا

Maksudnya: Apabila kamu mendengar Iqamat, pergilah bersolat dengan melangkah dengan tenang dan bersahaja. Janganlah tergopoh-gopoh. Mana yang sempat kalian teruskan, dan yang mana kalian tertinggal maka kalian sempurnakanlah. (Hadis riwayat: Jamaah kecuali Tirmizi)

Dan memang sudah ada larangan tergopoh-gopoh menuju solat.

Dalam hadis yang lain, Abu Qatadah telah mencerikatan: ” Ketika kami sedang bersolat dengan Rasulullah, tiba-tiba baginda mendengar bunyi hingar bingar orang yang bergegas di belakang. Selesai solat, baginda bertanya: “Apa halnya kamu tadi?” Mereka menjawab: ” Kami tergesa-gesa sebentar tadi untuk mengikuti solatmu” Baginda bersabda: ” Jangan ulangi lagi perbuatan itu, Sekiranya kamu datang untuk bersolat, datanglah dengan tenang. Apa yang kamu dapat teruskan, Manakala apa yang tertinggal sempurnakanlah” (Hadis riwayat: Bukhari & Muslim)

 

وَذَرُوا البَيعَ

dan tinggalkanlah jual beli.

Waktu itu tinggalkanlah segala urusan terutama sekali perniagaan dan jual beli. Disebut ‘berjual beli’ di dalam ayat ini kerana inilah perkara yang paling kuat menarik perhatian manusia kerana ianya ada keuntungan di dalamnya. Kerana waktu jual beli itu orang suka dan susah nak meninggalkannya untuk beribadah. Tapi Allah sudah beri arahan kena tinggalkan. 

Dalam ayat ini, Allah sebut ‘jual’ sahaja kerana dalam jual beli itu, jual lah yang paling untung dan susah penjual untuk tinggalkan. Kalau setakat beli sahaja, tak untung lagi. Maka kerana itu kalau sedang berniaga dan tiba-tiba ada orang datang nak beli, waktu itulah yang amat susah untuk ditinggalkan. Kalau azan dah berkumandang pun, ada yang sanggup teruskan perniagaan kerana duit sudah datang. 

Maka tinggalkan ‘jualan’ dan bukannya tinggalkan ‘perniagaan’ kerana di dalam perniagaan itu ada jualan dan itulah yang susah untuk ditinggalkan. Bayangkan kalau kita hendak tutup kedai untuk pergi solat Jumaat dan tiba-tiba ada orang datang dan nampak macam nak beli barang yang banyak tentu kita susah hati nak tutup kedai, bukan? Maka orang yang beriman sebenar, akan sanggup untuk tinggalkan.

Hari Jumaat ini juga sebagai peringatan kepada kita kepada ‘hari perhimpunan’ Mahsyar kerana waktu itulah semua manusia akan berhimpun. Jadi hari Jumaat ini ada sebagai latihan kepada kita untuk ingat kepada Hari Mahsyar. Dan begitu juga perhimpunan Haji itu lebih besar peringatannya daripada Hari Jumaat kerana lagi ramai orang yang datang berkumpul dan lebih memberi kesan.

Tapi Haji itu setahun sekali sahaja dan bukan semua boleh merasai pengalaman itu. Tetapi kita tiap-tiap minggu kita ada diberi peringatan tentang Mahsyar ini.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana puak Yahudi itu lari daripada mati dan tidak mahu memikirkan tentang mati; tetapi untuk umat Islam kita diberikan dengan hari Jumaat di mana setiap minggu kita diingatkan dengan mati. Tapi kalau tidak tahu perkara ini, maka setiap kali pergi itu tidak terkesan pun. Maka amatlah malang. 

Walaupun ayat ini menyebut meninggalkan ‘berjual beli’ tapi bukanlah tinggalkan itu sahaja. Kerana ramai orang yang tidak berniaga, maka mereka pun kena tinggalkan apa sahaja urusan mereka yang lain. Disebut ‘berjual beli’ kerana Hari Jumaat ramai yang ambil peluang untuk berniaga kerana ramai orang.

Maka apabila azan Jumaat telah dikumandangkan, maka segala urusan selain darinya diharamkan. Kena tinggalkan semua sekali. Ini menambahkan hujah kewajiban Solat Jumaat sampaikan perkara yang harus seperti perniagaan dan pekerjaan lain pun sampai diharamkan.

Dalil kewajiban Solat Jumaat:

Adapun dalil perkataan Ulama di atas antara lain adalah sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam :

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوْ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Jum’at itu wajib bagi setiap Muslim dengan berjama’ah, kecuali empat (golongan), yaitu; hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit. HR Abu Dawud, no. 1069. Al-Hakim di dalam al-Mustadrak, no. 1062. Dishahîhkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan al-Albani.

Meninggalkan Solat Jumaat sampai tiga kali sampai boleh menyebabkan Allah kunci mati hari orang yang wajib menghadirinya. Ini berdasarkan hadis riwayat Abu al-Ja`d bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya.” Hadis riwayat al-Tirmidzi (500). Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan.

Maka kita kena hormati hari Jumaat ini dan jadikan hari ini hari yang istimewa bagi kita di mana kita pagi-pagi kena banyak baca Qur’an dan kita kena pergi awal ke masjid dan kita kena pakai pakaian yang indah-indah dan cantik sebagai menghormati hari ini. Kita juga kena Mandi Sunat pada hari ini dan berkemas semampu kita.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Segala nasihat dari Allah ini adalah untuk kebaikan kita, bukannya untuk menyusahkan kita. Mungkin kita nampak macam menyusahkan, tapi tidak menyusahkan sebenarnya.

Kita sahaja yang mungkin tidak nampak lagi kepentingannya. Kita sekarang sebut secara ilmu sahaja, tapi nanti di akhirat kelak kita akan nampak kebaikan yang besar yang kita telah lakukan.

Banyak sekali kelebihan yang akan diberikan oleh Allah berkenaan Solat Jumaat ini. Antaranya hadis riwayat Imam Ahmad, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Hibban.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ آدَمَ، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ، عَنِ الْأَوْزَاعِيِّ، عَنْ حَسَّانِ بْنِ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي الْأَشْعَثِ الصَّنْعَانِيِّ، عَنْ أَوْسِ بْنِ أَوْسٍ الثَّقَفِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “مَنْ غَسَّل وَاغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَبَكَّرَ وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ، وَدَنَا مِنَ الْإِمَامِ وَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خطوة أجر سنة، صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Adam, telah menceritakan kepada kami Ibnul Mubarak, dari Al-Auza’i, dari Hassan ibnu Atiyyah, dari Abul Asy’as As-San’ani, dari Aus ibnu Aus As-Saqafi yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Barang siapa yang mencuci dan mandi pada hari Jumaat dan berpagi hari, dan berangkat dengan segera serta jalan kaki tidak berkenderaan, dan mendekati imam, dan mendengarkan serta tidak melakukan hal yang lagha (melenyapkan pahala Jumaat), maka baginya untuk tiap langkahnya pahala satu tahun puasa dan qiyamnya. Sunan Abi Dawud 345. Darjatnya sahih.

Telah diriwayatkan pula dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غُسلَ الْجَنَابَةِ، ثُمَّ رَاحَ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الْإِمَامُ حَضَرَتِ الْمَلَائِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ”

Barang siapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandinya untuk jinabah, kemudian berangkat pada saat yang pertama, maka seakan-akan dia mengurbankan seekor unta. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang kedua, maka seakan-akan dia mengurbankan seekor sapi betina. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang ketiga, maka seakan-akan mengurbankan seekor kambing gibasy yang bertanduk. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang keempat, maka seakan-akan mengurbankan seekor ayam. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang kelima, maka seakan-akan mengurbankan sebiji telur. Dan apabila imam muncul, maka para malaikat hadir mendengarkan zikir. Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.


 

Ayat 10:

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the prayer has been concluded, disperse within the land and seek from the bounty of Allāh, and remember Allāh often that you may succeed.

(MELAYU)

Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

 

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ

Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi;

Bukanlah kita kena terus duduk di masjid pada hari Jumaat itu. Selepas selesai Solat Jumaat, maka boleh keluar dan sambung perniagaan, sambung buat kerja atau balik ke rumah kepada keluarga.

 

وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ

dan carilah kurnia Allah

Maka boleh terus sambung cari kerja selepas itu. Sebenarnya Hari Jumaat ini, kebanyakan manusia sudah mula dah ‘hari minggu’ mereka. Otak sudah mula ingat kepada cuti dah. Tapi dari ayat ini, kita dapat isyarat bawa itu bukan sifat orang Islam kerana orang Islam diingatkan untuk sambung kerja. Itu kepada orang yang kerja lah, kalau pencen tentulah lain pula hal dia. 

Walaupun ayat ini seperti arahan untuk bertebaran mencari rezeki, tetapi ia bukanlah ayat arahan. Kerana sebelum itu telah diberikan larangan, maka apabila ada arahan selepas larangan, maka ia membawa maksud ‘harus’. Bukanlah semua ayat arahan dalam Qur’an itu membawa kepada maksud ‘wajib’. 

Janganlah pula ada salah faham dengan ayat ini sampai paksa orang pergi bekerja selepas Solat Jumaat pula. Maka kalau ada orang yang sudah pencen nak duduk di masjid meneruskan ibadat baca Qur’an atau apa-apa ibadat lagi, janganlah halau mereka.

 

وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ

dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Dalam kamu mencari rezeki itu pun kamu hendaklah ingat Allah banyak-banyak. Maka dalam masjid kena ada suasana zikir tapi luar masjid pun kena ingat Allah. Tidaklah kita sebagai umat Islam hanya ingat kepada Allah semasa ibadat sahaja. Dalam segenap kehidupan kita, kita kena ingat Allah. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, apabila kita ingat kepada Allah, kita akan takut untuk melakukan dosa. 


 

Ayat 11: Sekarang kita masuk kepada ayat peringatan kepada pelajar ilmu. 

Latarbelakang ayat ini: Ini adalah kejadian semasa di Madinah dan waktu itu umat Islam sudah agak ramai dan ada berjenis-jenis golongan pula yang telah masuk Islam. Ada yang imannya kuat dan ada yang iman masih baru lagi berputik. Waktu ini Rasulullah sedang memberikan khutbah Jumaat kepada mereka. 

Waktu itu tiba-tiba datanglah rombongan perniagaan seperti Expo (atau para mujahidin yang baru pulang). Jarang datang perniagaan seperti expo itu ke Madinah maka tentulah ia menarik minat umat Islam waktu itu. Waktu itu sedang Khutbah Jumaat dan kedatangan peniaga itu telah menarik perhatian mereka yang ada di masjid. 

Boleh dikatakan bahawa mereka yang berminat kepada perkara begini ada dua jenis:
1. Iaitu yang pertama adalah golongan peniaga kerana ia memang kehidupan mereka, dan
2. ada juga orang yang tidak ada kerja dan suka untuk lihat-lihat sahaja. Ini macam orang kita yang suka ‘window shopping’.

Maka kedua-dua golongan itu ditegur dalam ayat ini.

وَإِذا رَأَوا تِجٰرَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها وَتَرَكوكَ قائِمًا ۚ قُل ما عِندَ اللَّهِ خَيرٌ مِّنَ اللَّهوِ وَمِنَ التِّجٰرَةِ ۚ وَاللَّهُ خَيرُ الرّٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But [on one occasion] when they saw a transaction or a diversion, [O Muḥammad], they rushed to it and left you standing. Say, “What is with Allāh is better than diversion and than a transaction, and Allāh is the best of providers.”

(MELAYU)

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhutbah). Katakanlah: “Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan”, dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki.

 

وَإِذا رَأَوا تِجٰرَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya

Ada pendapat lain yang mengatakan kejadian ini terjadi ‘selepas’ Solat Jumaat di mana Nabi Muhammad sedang memberikan khutbah Jumaat dan pada waktu itu khutbah Jumaat adalah sunat sahaja dan dilakukan selepas solat sebelum ia kemudianya ditukar dilakukan sebelum solat. Kalau sekarang kita boleh bayangkan khutbah Solat Eid dilakukan selepas solat, bukan? 

Semasa baginda sedang memberikan khutbah itu maka ada rombongan Mujahidin yang baru balik perang dengan harta rampasan dan selalunya itu seperti menjadi pesta kerana banyak barang-barang yang mereka bawa balik dan barang yang dulunya mahal boleh jadi murah dan ia adalah sesuatu yang amat menarik perhatian mereka. 

Apabila rombongan perniagaan itu telah sampai dan gendang telah dibunyikan, maka para sahabat yang berada di dalam masjid semasa baginda sedang memberikan khutbah telah meninggalkan baginda. Riwayat mengatakan hanya 12 orang sahaja yang tinggal.

Imam Bukhari dan Imam Muslim telah mengetengahkan hadis yang sama di dalam kitab sahih masing-masing.

قَالَ الْحَافِظُ أَبُو يَعْلَى: حَدَّثَنَا زَكَرِيَّا بْنُ يَحْيَى، حَدَّثَنَا هُشَيم، عَنْ حُصَين، عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ وَأَبِي سُفْيَانَ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَقَدِمَتْ عيرٌ إِلَى الْمَدِينَةِ، فَابْتَدَرَهَا أصحابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى لَمْ يَبْقَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ تَتَابَعْتُمْ حَتَّى لَمْ يَبْقَ مِنْكُمْ أَحَدٌ، لَسَالَ بِكُمُ الْوَادِي نَارًا” وَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا} وَقَالَ: كَانَ فِي الِاثْنَيْ عَشَرَ الَّذِينَ ثَبَتُوا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

Al-Hafiz Abu Ya’la mengatakan, telah menceritakan kepada kami Zakaria ibnu Yahya, telah menceritakan kepada kami Hasyim, dari Husain, dari Salim ibnu Abul Ja’d dan Abu Sufyan, dari Jabir ibnu Abdullah yang mengatakan bahawa ketika Rasulullah Saw. sedang berkhutbah Jumaat, datanglah iringan kafilah ke Madinah. Maka para sahabat bergegas menuju kepadanya, sehingga tiada yang tertinggal bersama Rasulullah Saw. selain dari dua belas orang lelaki. Maka Rasulullah Saw. bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan­Nya, seandainya kalian semua terpengaruh hingga tiada seorang pun dari kalian yang tersisa, niscaya lembah ini akan mengalirkan api membakar kalian semua. Lalu turunlah ayat berikut, yaitu firman-Nya: Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhotbah). (Al-Jumu’ah: 11) Jabir ibnu Abdullah melanjutkan, bahawa di antara dua belas orang yang tetap mendengarkan khutbah Rasulullah Saw. adalah Abu Bakar dan Umar r.a.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah تِجٰرَةً  dan juga لَهوًا. Jadi di dalam ayat ini diberi isyarat bahawa ada golongan yang berminat dengan perniagaan itu kerana mereka itu juga peniaga, dan ada juga yang hanya berminat dengan perkara lain yang melekakan.

Allah bukan sahaja kata mereka ‘pergi’ ke tempat perniagaan itu tetapi mereka انفَضّوا iaitu berpecah seperti berpecahnya kaca. Dan selepas pecah kaca, selalunya tidak dapat dibaiki lagi yang memberi isyarat bahawa mereka berpecah daripada perhimpunan khutbah Jumaat itu dan tidak dapat membaikinya lagi. Kesannya telah terjadi dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Golongan Syiah telah menggunakan insiden ini sebagai satu hujah untuk mengutuk para sahabat. Mereka kata lihatlah para sahabat yang sanggup meninggalkan Rasulullah berdiri berseorang semasa memberikan khutbah.

Syiah memang sesat dan benci kepada sahabat dan mereka sentiasa mencari peluang untuk memburuk-burukkan insan mulia seperti para sahabat itu. Tapi bagaimana nak menjawap hujah jahat mereka ini? Kalau tidak tahu jawaplah yang menyebabkan ramai orang jahil dari kalangan manusia yang termakan dengan diayah Syiah dan sampai masuk agama Syiah pula. Asalnya kerana jahil sahaja.

1. Kejadian ini terjadi sekali sahaja dan ia terjadi di awal kedatangan Islam di Madinah. Waktu itu latihan ketahanan kepada umat Islam masih baru lagi.

2. Musyrikin Mekah telah mengadakan sekatan perniagaan kepada Madinah menyebabkan harga barang melambung tinggi. Jadi apabila ada rombongan perniagaan datang, maka mereka tergesa-gesa hendak membeli sebelum barangan itu habis terjual. Mereka hendak mengambil peluang sahaja.

Maka jangan lihat insiden ini sahaja untuk menjatuhkan kedudukan para sahabat yang mulia itu. Kalau kita lihat pengorbanan mereka yang lain, maka insiden ini boleh dimaafkan lagi.

Sebagaimana insiden ini tidak boleh dijadikan hujah untuk memburukkan para sahabat, kita juga boleh belajar bagaimana mereka itu juga manusia dan ada salah dan silapnya. Mereka itu tidak maksum jadi kalau kita pun ada salah silap kita, maka kita tahulah yang kita juga manusia.

Yang kita patut lihat adalah bagaimana Nabi Muhammad mendidik mereka dari manusia biasa, menjadi manusia yang ‘luar biasa’ hebatnya. Apabila ada kelemahan para sahabat, maka Allah telah memberi teguran dan latihan kepada mereka. Dan inilah sebabnya Surah Jumuah ini diturunkan. Ayat akhir ini adalah penyebab ayat-ayat di awal surah ini.

Kerana mereka telah buat kesilapan seperti yang disebut dalam ayat ini, maka ayat-ayat awal itu adalah pemberi peringatan kepada mereka untuk berhati-hati dan memandang tinggi Solat Jumaat ini. Malah bukan surah ini sahaja, tapi ada banyak hadis-hadis tentang ajaran Nabi berkenaan Solat Jumaat ini.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

وَتَرَكوكَ قائِمًا

dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri

Dan kerana ia amat menarik perhatian mereka, maka para sahabat waktu itu telah pergi meninggalkan baginda keseorangan memberi khutbah dan ini adalah sifat pelajar yang tidak menghargai ilmu yang disampaikan oleh guru. 

Ini adalah satu perbuatan yang amat biadap. Bayangkan Rasulullah sedang memberikan khutbah baginda, tapi ramai-ramai bangun meninggalkan baginda? Kalau buat kepada orang lain pun sudah kurang ajar, apatah lagi kalau perkara itu dilakukan terhadap Rasulullah? 

Bayangkan di dalam satu ceramah, jikalau seorang dua bangun dan pergi meninggalkan ceramah itu, tidaklah mengapa lagi; tetapi jikalau ramai orang pergi, tidakkah itu mengganggu penceramah dan juga orang-orang yang hendak mendengar ceramah? Mereka tentu akan terkesan dengan keluarnya orang secara beramai-ramai, bukan? Dan bagaimana pula perasaan penceramah itu? Tidakkah dia terasa hati dengan perbuatan orang ramai itu?

Kita telah belajar bagaimana perhimpunan pada hari Jumaat dengan mendengar khutbah Jumaat itu amat penting di dalam usaha membentuk masyarakat Islam. Tapi bayangkan mereka ini meninggalkan Rasulullah yang sedang memberi khutbah pada hari Jumaat itu. 

Maka mereka telah kena tegur kerana sikap mereka itu dan kesalahan mereka itu menjadi pengajaran buat kita sampai ke hari Kiamat.

Ayat ini menjadi dalil bahawa Khatib membaca khutbah dalam keadaan berdiri.

 

قُل ما عِندَ اللَّهِ خَيرٌ مِّنَ اللَّهوِ وَمِنَ التِّجٰرَةِ

Katakanlah: “Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan”,

Allah suruh beritahu bahawa apa yang Allah ada itu lebih baik daripada hiburan dan perniagaan. Tidak boleh dibandingkan lagi kerana jauh sekali bandingannya. Permainan dan perniagaan itu hanya di dunia sahaja dan tidak kekal, tapi balasan dari Allah itu kekal abadi.

Balaghah: kita boleh lihat bagaimana pada awal ayat ini, telah disebut ‘perniagaan’ dahulu dan sekarang disebut ‘hiburan’ dahulu. Kenapa?

Ini kerana rombongan perniagaan yang datang itu memang menarik perhatian ramai orang, tetapi yang menghalang manusia untuk ingat kepada Allah lebih banyaknya adalah hiburan. Dan kerana ianya yang paling banyak melalaikan manusia dari mengingat Allah, maka ia disebut di awal (takdim) dalam potongan ayat ini.

Jadi di awal ayat ini Allah menceritakan tentang perkara yang spesifik: iaitu rombongan perniagaan yang datang tetapi sekarang Allah sudah menyebut tentang masalah yang umum yang melekakan manusia iaitu hiburan. Memang susunan ayat-ayat dan kalimah dalam Qur’an itu ada maknanya dan ia tepat sekali dan bukan susunan kosong sahaja. 

 

وَاللَّهُ خَيرُ الرّٰزِقينَ

dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki.

Allah menegur mereka yang mementingkan rezeki di dunia ini tetapi ada rezeki yang lebih penting dari Allah iaitu penyucian jiwa dengan Qur’an, hikmah dan juga agama ini. 

Maka jangan pentingkan rezeki di dunia ini sahaja, tapi kena lebihkan rezeki pemberian rahmah dari Allah.

Allahu a’lam.

Tarikh: 1 Mei 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s