Tafsir Surah Jumuah Ayat 9 – 11 (Adab Solat Jumaat)

Ayat 9: Ayat 9 – 11 adalah Perenggan Makro Ketiga dan terakhir surah ini. Ia memberitahu yang Hari Jumaat orang Islam tidak seperti Hari Sabtu Kaum Yahudi.

Ia juga mengajar kita untuk menjaga keseimbangan antara dunia dan akhirat.

Kita kena hargai wahyu yang Allah berikan. Jangan jadi macam Yahudi yang buat tidak kisah sahaja kepada Taurat yang telah dianugerahkan kepada mereka. Mereka hanya setakat jaga lafaz sahaja (seperti kebanyakan orang kita juga). Maka untuk selamat dunia dan akhirat, kita kena hidupkan suasana mengajar dan belajar. 

Bagaimana cara untuk kita mencapai kejayaan? Dari segi individu kita boleh baca Al-Qur’an dan menambahkan ilmu pengetahuan kita tetapi daripada segi kolektif, Allah telah menjanjikan satu hari di mana semua umat Islam (lelaki) berkumpul ramai-ramai. Dan perjumpaan ini tidak perlu diiklankan dan tidak perlu ajak orang datang kerana semua memang Allah sudah ajak.

Itulah hebatnya waktu itu kerana Solat Jumaat ini dihadiri oleh semua lapisan masyarakat: Iaitu dari yang pandai dan yang tidak, dari yang warak dan tidak, dari yang muda dan yang tua; semuanya akan datang kerana semua sudah tahu yang ianya wajib. Dan kalau mereka tidak datang, mereka akan malu sendiri.

Jadi ramai akan datang sampai penuh masjid setiap Jumaat. Walaupun mereka itu waktu lain tidak solat di masjid (malah ada yang tidak solat kecuali Solat Jumaat sahaja). Maknanya setiap Hari Jumaat itu ada satu perjumpaan umat Islam. Dan kalau kita perhatikan, tidak ada agama-agama lain yang ada perjumpaan seperti ini. Kalau ugama Kristian ada perjumpaan Hari Ahad, tapi perjumpaan itu tidak sama dengan perjumpaan umat Islam Hari Jumaat. Kerana tidak semua masyarakat mereka pergi ke gereja Hari Ahad itu. 

Walaupun khutbah Jumaat yang diberikan tidak menarik, tetapi manusia akan tetap datang juga minggu depannya. Begitulah umat Islam masih lagi menjaga Solat Jumaat. 

Dan ini adalah satu masalah yang kita kena cakap juga: khutbah Jumaat itu hendaklah dinaiktaraf bagi menarik. Kita sudah ada satu medan untuk beri pengajaran kepada umat Islam yang datang dari semua tempat. Kalau kita nak ajak mereka datang ceramah pun belum tentu mereka akan datang. Tapi bila mereka sudah datang pada setiap Jumaat, pihak masjid hendaklah ambil peluang keemasan ini untuk beri pengajaran yang utama dan menyentuh masyarakat.

Malangnya, kita perhatikan dari dulu sampai sekarang, teks khutbah ini tidak menarik langsung. Ianya sangat membosankan sampaikan kalau nak tidur, waktu itulah waktu paling sedap untuk tidur kerana khatib itu memang baca sahaja teks itu tanpa semangat, tanpa pengajaran, tanpa kata-kata yang menarik.

Dan topik yang disampaikan amatlah membosankan. Tidak menyentuh kehendak masyarakat, tidak beri semangat kepada mereka, tidak menarik perhatian mereka kepada pelajaran agama. Amatlah ruginya waktu itu tidak digunakan sepenuhnya.

Allah sudah letakkan satu masa untuk beri pelajaran kepada manusia pada Hari Jumaat. Ini peluang yang Allah telah berikan kepada guru agama kerana ulama’ kena sampaikan ilmu yang dia ada. Dan masyarakat kena dengar waktu itu. Ini memberi isyarat yang suasana ilmu kena diwujudkan.

Dan pelajar pula kena hargai masa belajar. Kerana jikalau dia tidak hargai masa belajar itu maka dia tidak akan dapat ilmu untuk dia sendiri ajar kepada ahli keluarga dia. Kita kena faham yang semua umat Islam kena ada ilmu agama sekurang-kurangnya ilmu asas.

Ilmu agama ini bukanlah untuk para ulama’ dan ustaz sahaja, tapi semua orang. Dan seorang ketua keluarga kena sampaikan ilmu itu kepada ahli keluarga di bawahnya. Kalau dia sendiri tidak tahu, maka susahlah kalau begitu. Kerana itulah masyarakat Islam kita terus lemah kerana ilmu yang mereka patut dapat tidak disampaikan kepada mereka. 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ وَذَرُوا البَيعَ ۚ ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, when [the adhān] is called for the prayer on the day of Jumu‘ah [Friday], then proceed to the remembrance of Allāh and leave trade. That is better for you, if you only knew.

(MELAYU)

Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman, 

Sekarang Allah hendak mengajar orang Islam bagaimana hendak memanfaatkan masa untuk belajar ilmu agama. Maka orang beriman kena perhatikan perkara ini. Kerana ilmu amat penting. Kalau setakat beriman, tapi tidak ada ilmu, boleh hanyut dan buat perkara yang salah pula.

إِذا نودِيَ لِلصَّلوٰةِ مِن يَومِ الجُمُعَةِ

apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat,

Sebagai umat Islam lelaki, diwajibkan untuk berhenti untuk Solat Jumaat setiap minggu. Tidak ada alasan untuk tidak pergi jikalau dia boleh pergi. Ianya hanya sebahagian daripada Hari Jumaat itu sahaja dan tidaklah seperti agama Yahudi yang kena bercuti sepanjang hari menahan diri dari bekerja untuk menumpukan kepada ibadah.

Maka sudah ada keringanan yang diberikan kepada umat Islam dalam perkara ini.

Dalam ayat ini, hanya disebut secara ringkas sahaja. Tidak disebut bagaimana cara azan itu dikumandangkan, tidak disebut bagaimana perjalanan Solat Jumaat itu perlu dilakukan. Semua itu terdapat dalam Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Maka ini mengajar kita bahawa agama ini tidak lengkap tanpa Hadis dan Sunnah dari baginda. Maka kalau ada yang kata cukuplah agama ini dengan berlandaskan Al-Qur’an sahaja (seperti yang dikatakan oleh golongan Anti-Hadis dan Qur’aniyyun/Quranist), maka itu adalah kata-kata yang amat bodoh sekali.

Sedikit pengetahuan tentang Hari Jumaat ini:

1. Jumaat dari kalimah ج م ع yang bermaksud ‘kumpul’. Nama ‘Jumaat’ mula digunakan setelah Islam bangkit dengan Nabi Muhammad SAW. Terma ini baru digunakan oleh Nabi Muhammad sebagai wahyu dari Allah. Sebelum itu, tiada hari Jumaat tapi yang digunakan adalah hari ‘Arabah’.

2. Sebelum Islam, hari utama dalam agama telah ada pada Ahli Kitab. Yahudi ada Hari Sabtu sebagai hari ibadah khusus untuk mereka kerana hari itulah Bani Israil diselamatkan dari perhambaan Firaun.

Dan puak Nasrani pula menjadikan hari Ahad sebagai hari agama mereka. Ini tidak ada diajar oleh Nabi Isa dan juga dalam Injil pun, tapi mereka reka sendiri kerana mereka hendak membezakan dari Yahudi. Mereka mengambil hari Ahad ini sebagai hari agama kerana mereka kata apabila Nabi Isa wafat, baginda telah hidup semua pada hari Ahad dan diangkat ke langit.

Apabila Islam kembali naik, maka Allah telah pilih hari Jumaat sebagai hari utama bagi agama Islam. Sebenarnya memang kepada Ahli Kitab pun sepatutnya mereka memuliakan Hari Jumaat, tapi mereka yang telah mengubahnya. Ini kerana Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“نَحْنُ الْآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بِيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا. ثُمَّ هَذَا يَومُهم الَّذِي فَرض اللَّهُ عَلَيْهِمْ، فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ لَهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا، وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ”

Kita adalah orang-orang yang terakhir, tetapi yang paling terdahulu kelak di hari kiamat, hanya saja mereka diberi kitab sebelum kita. Kemudian sesungguhnya hari (Jumaat) ini adalah hari mereka yang telah difardukan oleh Allah atas mereka, tetapi mereka berselisih pendapat mengenainya. Dan Allah menunjuki kita padanya, maka orang-orang lain mengikut kita padanya; orang-orang Yahudi esok dan orang-orang Nasrani sesudah esok.

3. Perhimpunan solat berjemaah pada hari Jumaat telah diwajibkan kepada Rasulullah semasa di Mekah lagi. Tapi ia tidak dapat diamalkan kerana umat Islam lemah waktu itu dan tidak dapat mengadakan solat berjemaah. Jadi apabila sudah ada umat Islam di Madinah yang sudah mahu beriman, maka Nabi Muhammad telah mengarahkan mereka untuk mengadakan Solat Jumaat di Madinah.

Maka Mus’ab bin Umair yang menjadi ketua umat Islam yang awal di Madinah telah mengadakan Solat Jumaat yang pertama dengan 12 orang makmum. Waktu itu Rasulullah belum berhijrah lagi.

4. Solat Jumaat adalah antara perkara pertama yang Nabi Muhammad jalankan semasa baginda sampai di Madinah. Baginda telah sampai di Quba’ pada hari Isnin dan pada hari Jumaat, baginda telah bergerak ke Madinah. Dalam perjalanan ke Madinah, ketika sampai di perkampungan Bani Salim, telah masuk waktu Solat Jumaat dan baginda telah mengadakan Solat Jumaat yang pertama di situ.

5. Waktu Solat Jumaat ini dari dulu lagi adalah sama dengan waktu Zuhur.

6. Walaupun Solat Jumaat dilakukan sama waktu dengan Solat Zuhur, tapi jumlah rakaatnya adalah dua. Ini adalah kerana adanya Khutbah dan dua rakaat itu diganti dengan Khutbah.

7. Azan yang dimaksudkan dalam ini adalah satu azan yang dilaungkan apabila khatib telah naik mimbar. Dan ini diteruskan pada zaman Abu Bakr dan Umar. Tapi pada zaman pemerintahan Saidina Uthman, dan masyarakat Islam telah berkembang, beliau telah menambah satu azan lagi untuk menandakan waktu Solat Jumaat sudah dekat dan azan ini dilaungkan di Madinah berdekatan rumahnya iaitu di Pasar az-Zaura’.

عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ قَالَ كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ c فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ. قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الزَّوْرَاءُ مَوْضِعٌ بِالسُّوقِ بِالْمَدِينَةِ

Dari as-Saib bin Yazid, dia berkata, “Dahulu pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, Abu Bakar dan ‘Umar Radhiyallahu anhuma, adzan pada hari Jum’at pertama kalinya adalah ketika imam sudah duduk di atas mimbar. Tatkala ‘Utsmân Radhiyallahu anhu (menjadi khalifah, Pen.) orang-orang bertambah banyak, beliau Radhiyallahu anhu menambah adzan ketiga di Zaura”. Abu Abdillah (Imam al-Bukhâri rahimahullah ) berkata, “Az-Zaura’ adalah nama satu tempat di pasar Madinah”. [HR al-Bukhâri, no. 870].

8. Hari Jumaat ini memang hari yang sudah mulia dari dulu lagi sebelum diwajibkan solat Jumaat padanya. Pada hari Jumaat semua makhluk telah sempurna diciptakan, dan sesungguhnya hari Jumaat itu merupakan hari keenam dari tahun yang Allah menciptakan padanya langit dan bumi.

Pada hari Jumaat Allah menciptakan Adam, pada hari Jumaat Adam dimasukkan ke dalam syurga, pada hari Jumaat Adam dikeluarkan dari syurga, dan pada hari Jumaat pula hari kiamat terjadi.

Di dalam hari Jumaat terdapat suatu saat yang tiada seorang hamba pun yang beriman dapat menjumpainya, sedangkan dia dalam keadaan memohon kebaikan kepada Allah di dalamnya, melainkan Allah akan mengabulkan apa yang dimintanya.

 

فَاسعَوا إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ

maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah

Maka apabila azan waktu Jumaat sudah dikumandangkan, maka kena terus pergi ke masjid. ‘Mengingati Allah’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini bermaksud ‘sembahyang dan mendengar khutbah’. Iaitu mengingati Allah semasa di dalam solat dan kemudian mengingati Allah di dalam mendengar khutbah. 

Maka khutbah ini penting untuk didengari. Dalam hadis diberitahu bahawa malaikat tidak tulis kedatangan selepas khutbah bermula:

Daripada Abu Hurairah dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya bermaksud: “Apabila tiba Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid – malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, malaikat itu melipat lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah.” (Hadis riwayat Bukhari, Nasa’i dan Ibn Majah)

Apabila dikatakan ذِكرِ اللَّهِ (mengingati Allah) itu bermaksud ‘khutbah’, maka kandungan khutbah itu hendaklah mengandungi peringatan tentang Allah, memuji Allah, berdoa kepada Allah, mengingatkan kepada syariat Allah, dan seumpamanya.

Maka semasa kita di dalam perjalanan ke masjid dan selepas itu hendaklah kita banyak melakukan zikir. Hendaklah kita ingat bahawa Allah hanya mengingatkan kita kepada perkara-perkara yang kita sudah tahu.

Maka hendaklah para lelaki Muslim bersegera untuk pergi mengerjakan Jumaat kerana Allah bukan suruh tiap-tiap hari berkumpul seperti itu, tetapi hanya seminggu sekali sahaja. Bayangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang Yahudi dan Kristian dahulu yang ibadat mereka lebih berat lagi.

Dan kita disuruh bersegera untuk ‘mengingat kepada Allah’ dan bukannya disuruh untuk ‘dengar khutbah’ ataupun berjumpa umat Islam yang lain, tetapi kita hendaklah tahu bahawa semua itu membawa kepada memberi ingat kepada Allah.

Apabila ayat ini mengatakan ‘bersegeralah’, bukanlah bermaksud kena berlari-lari dalam keadaan tergesa-gesa ke masjid. Maksudnya bila sudah dengar azan, maka kena bersiap dengan segera. Tapi jangan tergocoh-gocoh kerana bukan ini yang dikehendaki. Kita kena datangi solat jemaah dengan tenang. Seperti disebut dalam satu hadis:

إذا سمتم الإقامة فامشوا إلى الصلاة وعليكم بالسكينة والوقار ولا تسارعوا فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا

Maksudnya: Apabila kamu mendengar Iqamat, pergilah bersolat dengan melangkah dengan tenang dan bersahaja. Janganlah tergopoh-gopoh. Mana yang sempat kalian teruskan, dan yang mana kalian tertinggal maka kalian sempurnakanlah. (Hadis riwayat: Jamaah kecuali Tirmizi)

Dan memang sudah ada larangan tergopoh-gopoh menuju solat.

Dalam hadis yang lain, Abu Qatadah telah mencerikatan: ” Ketika kami sedang bersolat dengan Rasulullah, tiba-tiba baginda mendengar bunyi hingar bingar orang yang bergegas di belakang. Selesai solat, baginda bertanya: “Apa halnya kamu tadi?” Mereka menjawab: ” Kami tergesa-gesa sebentar tadi untuk mengikuti solatmu” Baginda bersabda: ” Jangan ulangi lagi perbuatan itu, Sekiranya kamu datang untuk bersolat, datanglah dengan tenang. Apa yang kamu dapat teruskan, Manakala apa yang tertinggal sempurnakanlah” (Hadis riwayat: Bukhari & Muslim)

 

وَذَرُوا البَيعَ

dan tinggalkanlah jual beli.

Waktu itu tinggalkanlah segala urusan terutama sekali perniagaan dan jual beli. Disebut ‘berjual beli’ di dalam ayat ini kerana inilah perkara yang paling kuat menarik perhatian manusia kerana ianya ada keuntungan di dalamnya. Kerana waktu jual beli itu orang suka sangat dan susah nak meninggalkannya untuk beribadah. Tapi Allah sudah beri arahan kena tinggalkan. 

Dalam ayat ini, Allah sebut ‘jual’ sahaja kerana dalam urusan perniagaan jual beli itu, jual lah yang paling untung dan susah penjual untuk tinggalkan. Kalau setakat beli sahaja, tak untung lagi. Maka kerana itu kalau sedang berniaga dan tiba-tiba ada orang datang nak beli, waktu itulah yang amat susah untuk ditinggalkan. Kalau azan sudah berkumandang pun, ada yang sanggup teruskan perniagaan kerana duit sudah datang. 

Maka tinggalkan ‘jualan’ dan bukannya tinggalkan ‘perniagaan’ kerana di dalam perniagaan itu ada jualan dan itulah yang susah untuk ditinggalkan. Bayangkan kalau kita hendak tutup kedai untuk pergi solat Jumaat dan tiba-tiba ada orang datang dan nampak macam nak beli barang yang banyak tentu kita susah hati nak tutup kedai, bukan? Maka orang yang beriman sebenar, akan sanggup untuk tinggalkan.

Hari Jumaat ini juga sebagai peringatan kepada kita kepada ‘hari perhimpunan’ Mahsyar kerana waktu itulah semua manusia akan berhimpun. Jadi hari Jumaat ini adalah sebagai latihan kepada kita untuk ingat kepada Hari Mahsyar. Dan begitu juga perhimpunan Haji itu lebih besar peringatannya daripada Hari Jumaat kerana lebih ramai orang yang datang berkumpul dan lebih memberi kesan.

Tapi Haji itu setahun sekali sahaja dan bukan semua boleh merasai pengalaman itu. Tetapi kita tiap-tiap minggu ada diberi peringatan tentang Mahsyar ini.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana puak Yahudi itu lari daripada mati dan tidak mahu memikirkan tentang mati; tetapi untuk umat Islam kita diberikan dengan hari Jumaat di mana setiap minggu kita diingatkan dengan mati. Tapi kalau tidak tahu perkara ini, maka setiap kali pergi itu tidak terkesan pun. Maka amatlah malang. 

Walaupun ayat ini menyebut meninggalkan ‘berjual beli’ tapi bukanlah tinggalkan itu sahaja. Kerana ramai orang yang tidak berniaga, maka mereka pun kena tinggalkan apa sahaja urusan mereka yang lain. Disebut ‘berjual beli’ kerana Hari Jumaat ramai yang ambil peluang untuk berniaga kerana ramai orang.

Maka apabila azan Jumaat telah dikumandangkan, maka segala urusan selain darinya diharamkan. Kena tinggalkan semua sekali. Ini menambahkan hujah kewajipan Solat Jumaat sampaikan perkara yang harus seperti perniagaan dan pekerjaan lain pun sampai diharamkan.

Dalil kewajipan Solat Jumaat, antara lain adalah sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam :

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوْ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Jum’at itu wajib bagi setiap Muslim dengan berjama’ah, kecuali empat (golongan), iaitu; hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit. HR Abu Dawud, no. 1069. Al-Hakim di dalam al-Mustadrak, no. 1062. Dishahîhkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan al-Albani.

Meninggalkan Solat Jumaat sampai tiga kali sampai boleh menyebabkan Allah kunci mati hati orang yang wajib menghadirinya. Ini berdasarkan hadis riwayat Abu al-Ja`d bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya.” Hadis riwayat al-Tirmidzi (500). Beliau menyatakan hadis ini hadis hasan.

Maka kita kena hormati hari Jumaat ini dan jadikan hari ini hari yang istimewa bagi kita di mana kita pagi-pagi kena banyak baca Al-Qur’an dan kita kena pergi awal ke masjid dan kita kena pakai pakaian yang indah-indah dan cantik sebagai menghormati hari ini. Kita juga kena Mandi Wajib pada hari ini dan berkemas semampu kita.

 

ذٰلِكُم خَيرٌ لَّكُم إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Segala nasihat dari Allah ini adalah untuk kebaikan kita, bukannya untuk menyusahkan kita. Mungkin kita nampak macam menyusahkan, tapi tidak menyusahkan sebenarnya. Kita sahaja yang mungkin tidak nampak lagi kepentingannya. Kita sekarang sebut secara ilmu sahaja, tapi nanti di akhirat kelak kita akan nampak kebaikan yang besar yang kita telah lakukan.

Banyak sekali kelebihan yang akan diberikan oleh Allah berkenaan Solat Jumaat ini. Antaranya hadis riwayat Imam Ahmad, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Hibban.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ آدَمَ، حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ، عَنِ الْأَوْزَاعِيِّ، عَنْ حَسَّانِ بْنِ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي الْأَشْعَثِ الصَّنْعَانِيِّ، عَنْ أَوْسِ بْنِ أَوْسٍ الثَّقَفِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “مَنْ غَسَّل وَاغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَبَكَّرَ وَابْتَكَرَ، وَمَشَى وَلَمْ يَرْكَبْ، وَدَنَا مِنَ الْإِمَامِ وَاسْتَمَعَ وَلَمْ يَلْغُ كَانَ لَهُ بِكُلِّ خطوة أجر سنة، صِيَامِهَا وَقِيَامِهَا”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Adam, telah menceritakan kepada kami Ibnul Mubarak, dari Al-Auza’i, dari Hassan ibnu Atiyyah, dari Abul Asy’as As-San’ani, dari Aus ibnu Aus As-Saqafi yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Barang siapa yang mencuci dan mandi pada hari Jumaat dan berpagi hari, dan berangkat dengan segera serta jalan kaki tidak berkenderaan, dan mendekati imam, dan mendengarkan serta tidak melakukan hal yang lagha (melenyapkan pahala Jumaat), maka baginya untuk tiap langkahnya pahala satu tahun puasa dan qiyamnya. Sunan Abi Dawud 345. Darjatnya sahih.

Telah diriwayatkan pula dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غُسلَ الْجَنَابَةِ، ثُمَّ رَاحَ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً، فَإِذَا خَرَجَ الْإِمَامُ حَضَرَتِ الْمَلَائِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ”

Barang siapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandinya untuk jinabah, kemudian berangkat pada saat yang pertama, maka seakan-akan dia mengurbankan seekor unta. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang kedua, maka seakan-akan dia mengurbankan seekor sapi betina. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang ketiga, maka seakan-akan mengurbankan seekor kambing gibasy yang bertanduk. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang keempat, maka seakan-akan mengurbankan seekor ayam. Dan barang siapa yang berangkat pada saat yang kelima, maka seakan-akan mengurbankan sebiji telur. Dan apabila imam muncul, maka para malaikat hadir mendengarkan zikir. Hadis diketengahkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.


 

Ayat 10:

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the prayer has been concluded, disperse within the land and seek from the bounty of Allāh, and remember Allāh often that you may succeed.

(MELAYU)

Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

 

فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِي الأَرضِ

Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi;

Bukanlah kita kena terus duduk di masjid pada hari Jumaat itu. Selepas selesai Solat Jumaat, maka boleh keluar dan sambung perniagaan, sambung buat kerja atau balik ke rumah kepada keluarga.

Ini pun sudah satu nikmat kepada umat Islam. Ini kerana bagi Ahli Kitab dahulu, mereka tidak dibenarkan kerja langsung pada hari itu. Memasak pun tidak boleh. Tapi bagi umat Nabi Muhammad, kita disuruh pergi ke masjid pada waktu solat sahaja. Dan dilarang untuk berniaga dan bekerja pada waktu solat itu sahaja, bukannya sepanjang hari.

Ayat ini bukanlah mewajibkan keluar dari masjid. Ini bukannya ayat arahan, walaupun sekali baca nampak begitu. Ia tidak menjadi ayat suruhan kerana sebelum ini telah disuruh pergi ke masjid. Maka apabila kemudian disuruh bertebaran, maka ia sebenarnya ayat membenarkan keluar dari masjid setelah selesai solat. Tapi kalau sudah pencen dan hendak terus duduk beribadat di masjid, tidaklah menjadi halangan.

 

وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ

dan carilah kurnia Allah

Maka boleh terus sambung cari kerja selepas selesai solat Jumaat. Sebenarnya Hari Jumaat ini, kebanyakan manusia sudah mula ‘hari minggu’ mereka. Otak kebanyakan orang pun sudah mula ingat kepada cuti. Tapi dari ayat ini, kita dapat isyarat bahawa itu bukan sifat orang Islam kerana orang Islam diingatkan untuk sambung kerja. Itu kepada orang yang kerja, kalau pencen tentulah lain pula hal dia. 

Diingatkan sekali lagi, walaupun ayat ini seperti arahan untuk bertebaran mencari rezeki, tetapi ia bukanlah ayat arahan. Kerana sebelum itu telah diberikan larangan, maka apabila ada arahan selepas larangan, maka ia membawa maksud ‘harus’. Bukanlah semua ayat arahan dalam Al-Qur’an itu membawa kepada maksud ‘wajib’. 

Janganlah pula ada salah faham dengan ayat ini sampai paksa orang pergi bekerja selepas Solat Jumaat pula. Maka kalau ada orang yang sudah pencen nak duduk di masjid meneruskan ibadat baca Al-Qur’an atau apa-apa ibadat lagi, janganlah halau mereka.

 

وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَّعَلَّكُم تُفلِحونَ

dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Dalam kamu mencari rezeki itu pun kamu hendaklah ingat Allah banyak-banyak. Maka dalam masjid kena ada suasana zikir tapi luar masjid pun kena ingat Allah. Tidaklah kita sebagai umat Islam hanya ingat kepada Allah semasa ibadat sahaja. Dalam segenap kehidupan kita, kita kena ingat Allah. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, apabila kita ingat kepada Allah, kita akan takut untuk melakukan dosa. 


 

Ayat 11: Sekarang kita masuk kepada ayat peringatan kepada pelajar ilmu. 

Latar belakang ayat ini: Ini adalah kejadian semasa di Madinah dan waktu itu umat Islam sudah agak ramai dan ada berjenis-jenis golongan pula yang telah masuk Islam. Ada yang imannya kuat dan ada yang iman baru lagi berputik. Waktu ini Rasulullah sedang memberikan khutbah Jumaat kepada mereka. 

Waktu itu tiba-tiba datanglah rombongan perniagaan seperti Expo (atau para mujahidin yang baru pulang). Banyak barang-barang dagangan yang dibawa kalau begitu. Jarang datang perniagaan seperti expo itu ke Madinah maka tentulah ia menarik minat umat Islam waktu itu. Waktu itu sedang Khutbah Jumaat dan kedatangan peniaga itu telah menarik perhatian mereka yang ada di masjid. 

Boleh dikatakan bahawa mereka yang berminat kepada perkara begini ada dua jenis:

1. Iaitu yang pertama adalah golongan peniaga kerana ia memang kehidupan mereka, dan
2. ada juga orang yang tidak ada kerja dan suka untuk lihat-lihat sahaja. Ini macam orang kita yang suka ‘window shopping’.

Maka kedua-dua golongan itu ditegur dalam ayat ini.

وَإِذا رَأَوا تِجٰرَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها وَتَرَكوكَ قائِمًا ۚ قُل ما عِندَ اللَّهِ خَيرٌ مِّنَ اللَّهوِ وَمِنَ التِّجٰرَةِ ۚ وَاللَّهُ خَيرُ الرّٰزِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But [on one occasion] when they saw a transaction or a diversion, [O Muḥammad], they rushed to it and left you standing. Say, “What is with Allāh is better than diversion and than a transaction, and Allāh is the best of providers.”

(MELAYU)

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhutbah). Katakanlah: “Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan”, dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki.

 

وَإِذا رَأَوا تِجٰرَةً أَو لَهوًا انفَضّوا إِلَيها

Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya

Ada pendapat lain yang mengatakan kejadian ini terjadi ‘selepas’ Solat Jumaat di mana Nabi Muhammad sedang memberikan khutbah Jumaat dan pada waktu itu khutbah Jumaat adalah sunat sahaja dan dilakukan selepas solat sebelum ia kemudiannya ditukar dilakukan sebelum solat. Kalau sekarang kita boleh bayangkan khutbah Solat Eid dilakukan selepas solat, bukan? 

Semasa baginda sedang memberikan khutbah itu maka ada rombongan Mujahidin yang baru balik perang dengan harta rampasan dan selalunya itu seperti menjadi pesta kerana banyak barang-barang yang mereka bawa balik dan barang yang dulunya mahal boleh jadi murah dan ia adalah sesuatu yang amat menarik perhatian manusia. 

Apabila rombongan perniagaan itu telah sampai dan gendang telah dibunyikan, maka para sahabat yang berada di dalam masjid semasa baginda sedang memberikan khutbah telah meninggalkan baginda. Riwayat mengatakan hanya 12 orang sahaja yang tinggal.

Imam Bukhari dan Imam Muslim telah mengetengahkan hadis yang sama di dalam kitab sahih masing-masing.

قَالَ الْحَافِظُ أَبُو يَعْلَى: حَدَّثَنَا زَكَرِيَّا بْنُ يَحْيَى، حَدَّثَنَا هُشَيم، عَنْ حُصَين، عَنْ سَالِمِ بْنِ أَبِي الْجَعْدِ وَأَبِي سُفْيَانَ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَقَدِمَتْ عيرٌ إِلَى الْمَدِينَةِ، فَابْتَدَرَهَا أصحابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى لَمْ يَبْقَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا اثْنَا عَشَرَ رَجُلًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ تَتَابَعْتُمْ حَتَّى لَمْ يَبْقَ مِنْكُمْ أَحَدٌ، لَسَالَ بِكُمُ الْوَادِي نَارًا” وَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انْفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا} وَقَالَ: كَانَ فِي الِاثْنَيْ عَشَرَ الَّذِينَ ثَبَتُوا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

Al-Hafiz Abu Ya’la mengatakan, telah menceritakan kepada kami Zakaria ibnu Yahya, telah menceritakan kepada kami Hasyim, dari Husain, dari Salim ibnu Abul Ja’d dan Abu Sufyan, dari Jabir ibnu Abdullah yang mengatakan bahawa ketika Rasulullah Saw. sedang berkhutbah Jumaat, datanglah iringan kafilah ke Madinah. Maka para sahabat bergegas menuju kepadanya, sehingga tiada yang tertinggal bersama Rasulullah Saw. selain dari dua belas orang lelaki. Maka Rasulullah Saw. bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan­Nya, seandainya kalian semua terpengaruh hingga tiada seorang pun dari kalian yang tersisa, nescaya lembah ini akan mengalirkan api membakar kalian semua. Lalu turunlah ayat berikut, iaitu firman-Nya: Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri (berkhutbah). (Al-Jumu’ah: 11) Jabir ibnu Abdullah melanjutkan, bahawa di antara dua belas orang yang tetap mendengarkan khutbah Rasulullah Saw. adalah Abu Bakar dan Umar r.a.

Di dalam ayat ini digunakan kalimah تِجٰرَةً  dan juga لَهوًا. Jadi di dalam ayat ini diberi isyarat bahawa ada golongan yang berminat dengan perniagaan itu kerana mereka itu juga peniaga, dan ada juga yang hanya berminat dengan perkara lain yang melekakan.

Allah bukan sahaja kata mereka ‘pergi’ ke tempat perniagaan itu tetapi mereka انفَضّوا iaitu berpecah seperti berpecahnya kaca. Dan selepas pecah kaca, selalunya tidak dapat dibaiki lagi yang memberi isyarat bahawa mereka berpecah daripada perhimpunan khutbah Jumaat itu dan tidak dapat membaikinya lagi. Kesannya telah terjadi dan tidak dapat diperbaiki lagi.

Golongan Syiah telah menggunakan insiden ini sebagai satu hujah untuk mengutuk para sahabat. Mereka kata lihatlah para sahabat yang sanggup meninggalkan Rasulullah berdiri berseorangan semasa memberikan khutbah.

Syiah memang sesat dan benci kepada sahabat dan mereka sentiasa mencari peluang untuk memburuk-burukkan insan mulia seperti para sahabat itu. Tapi bagaimana nak menjawab hujah jahat mereka ini? Kalau tidak tahu jawaplah yang menyebabkan ramai orang jahil dari kalangan manusia yang termakan dengan diayah Syiah dan sampai masuk agama Syiah pula. Asalnya kerana jahil sahaja.

1. Kejadian ini terjadi sekali sahaja dan ia terjadi di awal kedatangan Islam di Madinah. Waktu itu latihan ketahanan jiwa kepada umat Islam masih baru lagi.

2. Musyrikin Mekah telah mengadakan sekatan perniagaan kepada Madinah menyebabkan harga barang melambung tinggi. Jadi apabila ada rombongan perniagaan datang, maka mereka tergesa-gesa hendak membeli sebelum barangan itu habis terjual. Mereka hendak mengambil peluang sahaja.

Maka jangan lihat insiden ini sahaja untuk menjatuhkan kedudukan para sahabat yang mulia itu. Kalau kita lihat pengorbanan mereka yang lain, maka insiden ini boleh dimaafkan lagi.

Sebagaimana insiden ini tidak boleh dijadikan hujah untuk memburukkan para sahabat, kita juga boleh belajar bagaimana mereka itu juga manusia dan ada salah dan silapnya. Mereka itu tidak maksum jadi kalau kita pun ada salah silap kita, maka kita tahulah yang kita juga manusia.

Yang kita patut lihat adalah bagaimana Nabi Muhammad mendidik mereka dari manusia biasa, menjadi manusia yang ‘luar biasa’ hebatnya. Apabila ada kelemahan para sahabat, maka Allah telah memberi teguran dan latihan kepada mereka. Dan inilah sebabnya Surah Jumuah ini diturunkan. Ayat akhir ini adalah penyebab ayat-ayat di awal surah ini.

Kerana mereka telah buat kesilapan seperti yang disebut dalam ayat ini, maka ayat-ayat awal itu adalah pemberi peringatan kepada mereka untuk berhati-hati dan memandang tinggi Solat Jumaat ini. Malah bukan surah ini sahaja, tapi ada banyak hadis-hadis tentang ajaran Nabi berkenaan Solat Jumaat ini.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

 

وَتَرَكوكَ قائِمًا

dan mereka tinggalkan kamu sedang berdiri

Dan kerana rombongan perniagaan itu amat menarik perhatian mereka, maka para sahabat waktu itu telah pergi meninggalkan baginda keseorangan memberi khutbah dan ini adalah sifat pelajar yang tidak menghargai ilmu yang disampaikan oleh guru. 

Ini adalah satu perbuatan yang amat biadab. Bayangkan Rasulullah sedang memberikan khutbah baginda, tapi ramai-ramai bangun meninggalkan baginda? Kalau buat kepada orang lain pun sudah kurang ajar, apatah lagi kalau perkara itu dilakukan terhadap Rasulullah? 

Bayangkan di dalam satu ceramah, jikalau seorang dua bangun dan pergi meninggalkan ceramah itu, tidaklah mengapa lagi; tetapi jikalau ramai orang pergi, tidakkah itu mengganggu penceramah dan juga orang-orang yang hendak mendengar ceramah? Mereka tentu akan terkesan dengan keluarnya orang secara beramai-ramai, bukan? Dan bagaimana pula perasaan penceramah itu? Tidakkah dia terasa hati dengan perbuatan orang ramai itu?

Kita telah belajar bagaimana perhimpunan pada hari Jumaat dengan mendengar khutbah Jumaat itu amat penting di dalam usaha membentuk masyarakat Islam. Tapi bayangkan mereka ini meninggalkan Rasulullah yang sedang memberi khutbah pada hari Jumaat itu. Maka mereka telah kena tegur kerana sikap mereka itu dan kesalahan mereka itu menjadi pengajaran buat kita sampai ke hari Kiamat.

Ayat ini menjadi dalil bahawa Khatib membaca khutbah dalam keadaan berdiri.

 

قُل ما عِندَ اللَّهِ خَيرٌ مِّنَ اللَّهوِ وَمِنَ التِّجٰرَةِ

Katakanlah: “Apa yang di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan”,

Allah suruh beritahu bahawa apa yang Allah ada itu lebih baik daripada hiburan dan perniagaan. Tidak boleh dibandingkan lagi kerana jauh sekali bandingannya. Permainan dan perniagaan itu hanya di dunia sahaja dan tidak kekal, tapi balasan dari Allah itu kekal abadi.

Balaghah: kita boleh lihat bagaimana pada awal ayat ini, telah disebut ‘perniagaan’ dahulu dan sekarang disebut ‘hiburan’ dahulu. Kenapa?

Ini kerana rombongan perniagaan yang datang itu memang menarik perhatian ramai orang, tetapi yang menghalang manusia untuk ingat kepada Allah lebih banyaknya adalah hiburan. Dan kerana ianya yang paling banyak melalaikan manusia dari mengingat Allah, maka ia disebut di awal (takdim) dalam potongan ayat ini.

Jadi di awal ayat ini Allah menceritakan tentang perkara yang spesifik: iaitu rombongan perniagaan yang datang tetapi sekarang Allah sudah menyebut tentang masalah yang umum yang melekakan manusia iaitu hiburan. Memang susunan ayat-ayat dan kalimah dalam Al-Qur’an itu ada maknanya dan ia tepat sekali dan bukan susunan kosong sahaja. 

 

وَاللَّهُ خَيرُ الرّٰزِقينَ

dan Allah Sebaik-baik Pemberi rezeki.

Allah menegur mereka yang mementingkan rezeki di dunia ini tetapi ada rezeki yang lebih penting dari Allah iaitu penyucian jiwa dengan Al-Qur’an, hikmah dan juga agama ini. Maka jangan lebihkan rezeki di dunia ini sahaja, tapi kena lebihkan rezeki pemberian rahmah dari Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Munafiqun.

Tarikh: 30 Ogos 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Jumuah Ayat 5 – 8 (Perangai macam keldai)

Ayat 5: Ini adalah apa yang yang akan berlaku apabila ilmu agama tidak diamalkan dan lebih teruk lagi, kalau tidak dipelajari. 

مَثَلُ الَّذينَ حُمِّلُوا التَّورىٰةَ ثُمَّ لَم يَحمِلوها كَمَثَلِ الحِمارِ يَحمِلُ أَسفارًا ۚ بِئسَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The example of those who were entrusted with the Torah and then did not take it on¹ is like that of a donkey who carries volumes [of books].² Wretched is the example of the people who deny the signs of Allāh. And Allāh does not guide the wrongdoing people.

  • i.e., neglected their responsibility towards it by not putting its teachings into practice.
  • But does not benefit from their contents.

(MELAYU)

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

مَثَلُ الَّذينَ حُمِّلُوا التَّورىٰةَ ثُمَّ لَم يَحمِلوها

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya

Ayat ini merujuk kepada golongan Yahudi. Kaum Yahudi itu telah diberatkan dengan tanggungjawab menanggung Kitab Taurat. Tanggungjawab itu adalah untuk belajar dan menyampaikannya kepada umat manusia.

Kemudian Allah beritahu yang mereka tidak menanggungnya walaupun sedikit. Mereka buat tidak tahu sahaja. Mereka terus jadi bangsa yang jahil dengan wahyu. Allah ingatkan kisah mereka ini kepada kita supaya kita jangan jadi seperti orang-orang Yahudi itu yang tidak belajar pun Kitab Taurat dan tidak mengamalkan ajaran dalam Taurat. 

Maka begitulah juga orang kita yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Hanya berbangga kerana digelar orang Muslim, ada Al-Qur’an, umat akhir zaman dan akan masuk syurga. Tapi bagaimana nak masuk syurga kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an?

Orang kita juga kuat mengutuk orang Yahudi. Dikatakan mereka itu teruklah, tolak Nabi merekalah dan macam-macam lagi. Tapi ketahuilah, kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka sama sahaja dengan Yahudi yang tidak belajar Taurat dan tidak menegakkan Taurat itu.

Satu lagi maksud ayat ini: golongan Yahudi itu telah ada Kitab Taurat pada mereka. Mereka sepatutnya tahu dan kenal siapa Nabi Muhammad itu kerana ianya telah disebut dalam Taurat. Sepatutnya merekalah yang berada di hadapan untuk beriman dan membantu baginda kerana mereka telah kenal dan tahu siapa Rasulullah. Tapi sebaliknya yang berlaku (mereka menentang baginda). Maka mereka telah tidak menjalankan ajaran dalam Taurat seperti yang sepatutnya.

كَمَثَلِ الحِمارِ يَحمِلُ أَسفارًا

adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. 

Allah beri perumpamaan yang Yahudi itu seperti keldai yang bawa kitab di atas belakangnya tapi tidak ambil manfaat pun dari kitab-kitab itu. Ini adalah kerana keldai itu tidak tahu baca kitab yang dibawanya di atas belakangnya. Walaupun ada banyak kitab di belakangnya, tapi keldai itu tak tahu pun apa yang dalam kitab-kitab itu.

Ini adalah ejekan yang amat keras. Kalau kita kata kepada seseorang: “kamu ini bodoh macam keldai!”, tentu orang itu akan marah, bukan? Tapi ini adalah kutukan dan ejekan dari Allah! Kalau tak suka, maka jangan marah kepada kita, tapi marahlah kepada Allah (kalau berani)!

Jadi ini adalah ejekan yang amat pedas kepada mereka yang tidak tahu kitab wahyu. Mereka hanya jaga lafaz dalam kitab wahyu itu sahaja tapi tidak faham pengajaran dalamnya. Ini samalah dengan orang kita yang tidak tahu apa-apa pun pasal Al-Qur’an dan ajaran di dalam Al-Qur’an itu. Kebanyakan dari orang kita hanya tahu baca Al-Qur’an sahaja (itu pun merangkak). Ini macam Yahudi yang jaga Kitab Taurat dalam simpanan mereka, tapi tak faham apa di dalamnya. Kalau faham pun tidak, maka jauh lagilah untuk diamalkan. 

Kita kata mereka yang dimaksudkan itu adalah golongan Yahudi, tetapi sebenarnya kalau kita lihat ayat ini, Allah tidak sebut pun secara khusus tentang golongan Bani Israil ataupun Yahudi. Jadi bukanlah dimaksudkan semua mereka itu secara khusus. Jadi ayat ini boleh diumumkan (termasuk kena kepada kita). 

Ini adalah kerana Bani Israil itu sendiri bukanlah nama yang menunjukkan kepada mereka yang tidak endahkan Taurat itu kerana ianya bangsa yang memang hebat dan banyak para nabi dari kalangan mereka. Dan ramai juga orang-orang yang baik daripada kalangan mereka jadi kalau dipanggil seseorang itu dari bangsa Bani Israil, ia bukanlah sesuatu yang menghina. 

Tetapi Allah banyak menceritakan tentang hal mereka kerana ramai juga di kalangan mereka yang telah melakukan kesilapan dalam agama dan dalam amalan mereka. Maka kita kena belajar tentang kesalahan-kesalahan mereka itu supaya kita tidak lakukan. Kerana kalau tidak, kita pun jadi seperti mereka. 

Dan sebagaimana kebanyakan dari mereka itu tidak mengamalkan agama yang sebenarnya, maka begitulah juga kebanyakan dari kalangan orang Islam pun tidak mengamalkan agama dengan sebenarnya. Ini adalah kerana ilmu tentang wahyu Allah, sama ada dalam bentuk Al-Qur’an atau hadis, amat jauh dari fikiran umat Islam sekarang.

Salah satu dari sifat Bani Israil ini adalah mereka berbangga dengan sejarah mereka, kerana mereka ada ilmu, ada kitab dan ada ramai Nabi dari kalangan mereka. Tetapi Allah ingatkan mereka supaya jangan lupa bahawa ada perkara yang memalukan di dalam sejarah mereka.

Maka ini juga pengajaran kepada kita yang jangan sangka semua sejarah kita itu adalah sejarah Islam yang baik-baik sahaja kerana ada juga perkara yang memalukan dan kita kena terima fakta itu. Memang ada sejarah yang membanggakan kita, seperti kejayaan umat terdahulu mengislamkan ramai orang; tapi dalam masa yang sama, ada juga kehancuran yang dilakukan oleh orang Islam setelah jauh dari ajaran agama. 

Kalimah أَسفار dari katadasar س ف ر yang bermaksud menulis, meninggalkan, mengembara. Kalimah أَسفار menjadi maksud buku yang banyak. Kalau perasan, katadasar ini juga digunakan safar (perjalanan) kerana kita sebenarnya apabila sedang membaca buku, kita sedang ‘bermusafir’ di dalam buku itu. Mata kita akan ‘mengembara’ di mukasurat-mukasurat buku itu.

Allah menggunakan perumpamaan satu bangsa yang ada banyak buku dan juga banyak ilmu, tetapi mereka tidak manfaatkan ilmu itu. Alangkah ruginya, alangkah malangnya!

بِئسَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللَّهِ

Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. 

Dalam ayat ini kita diberitahu bagaimana mereka yang ada wahyu dari Allah tetapi tidak mengamalkannya maka mereka itu juga dikira sebagai mendustakan ayat-ayat Allah. 

Kezaliman yang Yahudi lakukan adalah kerana mereka diberikan dengan wahyu tetapi mereka tidak mengamalkannya, sedangkan sepatutnya mereka mengajar wahyu itu ke seluruh umat manusia. Dan jikalau kita pun ada Al-Qur’an ini tetapi kita tidak mengamalkannya dan tidak menunjukkan contoh yang baik tentangnya, maka kita pun dikira zalim juga.

Memang ejekan dari Allah ini amat pedas sekali kerana mereka disamakan seperti keldai. Tapi sebenarnya ia lebih pedas dari itu lagi. Mereka itu lebih teruk dari keldai! Kerana keldai itu tidak ada otak, maka ia boleh dimaafkan. Tapi manusia ada otak! Ini seperti yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain:

{أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ}

Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raf: 179)

Dan lebih teruk lagi, mereka sepatutnya telah belajar dan patutnya tahu apa yang mereka perlu lakukan. Apabila orang yang tahu tapi tidak jalankan apa yang dia sepatutnya tahu, maka itu lebih teruk lagi.

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Orang yang zalim adalah orang yang tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Wahyu itu tinggi dan sepatutnya ditinggikan dengan diikuti ajaran di dalamnya. Tapi kalau mendustakan wahyu itu, orang itu dikira sebagai zalim.

Dan Allah amat murka kepada orang yang zalim. Apabila Allah murka, Allah tidak beri hidayah petunjuk kepada orang itu dan orang itu akan dimasukkan ke dalam neraka.


Ayat 6: Salah satu kesilapan golongan Yahudi itu adalah kerana mereka perasan mereka itu golongan ‘terpilih’. Mereka sangka mereka itu Kekasih Allah. Mereka sangka mereka suci dan tidak akan dimasukkan ke dalam neraka.

Maka Allah cabar mereka dalam ayat ini. Kalau benar mereka itu kekasih Allah dan akan terus masuk syurga bila mati, maka Allah suruh mereka doa supaya cepat mati. 

قُل يٰأَيُّهَا الَّذينَ هادوا إِن زَعَمتُم أَنَّكُم أَولِياءُ لِلَّهِ مِن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O you who are Jews, if you claim that you are allies of Allāh, excluding the [other] people, then wish for death, if you should be truthful.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi, jika kamu mendakwa bahawa sesungguhnya kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar”.

قُل يٰأَيُّهَا الَّذينَ هادوا

Katakanlah: “Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi

Sekarang disebut golongan Yahudi secara khusus.

Balaghah: Kita boleh lihat dalam ayat ini bagaimana Allah memanggil mereka ‘wahai yang menjadi Yahudi’. Ini adalah kerana mereka sendiri yang reka agama Yahudi itu. Sepatutnya mereka beragama Islam sahaja kerana tidak ada ‘agama Yahudi’ sebenarnya. Tapi kerana mereka telah ubah agama mereka, maka nama agama sendiri pun mereka ubah juga.

Nama Yahudi ini pula datang dari mana? Ia diambil dari nama anak keempat Nabi Yaakob iaitu Yahuda. Selepas Nabi Sulaiman, kerajaan Bani Israil telah berpecah kepada beberapa puak, ikut kepada keturunan 12 anak Nabi Yaakob. Kemudian mereka telah diserang dan yang tinggal hanya kerajaan keturunan Yahuda dan keturunan Bunyamin.

Tapi kerana keturunan Yahuda lebih kuat, maka yang tinggal hanyalah nama Yahuda itu sahaja. Mereka telah menamakan agama mereka dengan nama Yahuda itu pula sedangkan itu bukanlah nama asal agama mereka.

إِن زَعَمتُم أَنَّكُم أَولِياءُ لِلَّهِ مِن دونِ النّاسِ

jika kamu mendakwa bahawa sesungguhnya kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, 

Golongan Yahudi itu sangka mereka sahaja ‘kekasih Allah’ dan orang lain tidak layak menjadi kekasih Allah walaupun orang lain itu beramal banyak mana pun.

Begitulah sangkaan mereka terhadap orang lain yang selain mereka. Pada sangkaan mereka, jikalau orang Yahudi buat banyak dosa pun tetap kekasih Allah. Ini disebut dalam beberapa ayat Al-Qur’an yang lain: 

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?” Baqarah:80

 

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”. Maidah:18

Salah faham ini telah juga dimasukkan dalam kitab-kitab tulisan pendeta dan ahli agama mereka, menyebabkan persangkaan salah ini berterusan sampailah ke hari ini.

فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar”.

Allah cabar mereka: Kalau kamu rasa kamu memang akan masuk syurga walau apapun, maka mintalah mati segera. Kenapa nak tinggal di dunia ini lagi kerana dunia ini banyak sakit, banyak susah dan sebagainya. Maka kalau nak terus dapat nikmat di syurga itu, maka eloklah kamu mati sahaja sekarang. Kerana yang menghalang kamu dapat nikmat syurga itu adalah kerana kamu masih hidup di dunia sahaja, bukan?

Makna yang dimaksudkan ialah mereka diminta untuk melakukan sumpah dengan musuh mereka bahawa siapa yang sesat dari mereka semoga ditimpa oleh laknat Allah; apakah diri mereka ataukah musuh mereka. Sebagai­mana telah disebutkan pula dalam pembahasan mubahalah terhadap orang-orang Nasrani dalam Surah Ali Imran melalui firman-Nya:

{فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ}

Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan) kamu, maka katakanlah (kepadanya), “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.” (Ali Imran: 61)

Tetapi tidak pun pernah nampak orang Yahudi minta dimatikan cepat. Mereka memang takut mati dan ini telah disebut dalam ayat yang lain: 

قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صادِقينَ

وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّالِمينَ

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَياةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan. Baqarah:94-96

Ayat dari Surah Baqarah ini telah diturunkan sebelum ada pertembungan peperangan antara Yahudi dan Muslim. Dan ayat-ayat ini terbukti apabila ada pertembungan itu, mudah sahaja bagi umat Islam mengalahkan mereka. Kerana mereka itu takut mati, maka walaupun mereka ada banyak kelengkapan, mereka senang menyerah kalah.

Antaranya apabila umat Islam menyerang Khaibar, mereka serah sahaja tempat tinggal mereka itu. Mereka pun tidak berani nak berlawan dengan tentera Muslim yang berani mati kerana mereka percaya dengan janji syurga oleh Allah. Begitu juga apabila terjadi pengepungan Bani Nadhir seperti yang telah disebut dalam Surah Hashr.

Orang Islam memang tidak diajar untuk minta mati cepat. Yang kita semua diajar untuk meminta dimatikan ‘bersama dengan orang-orang yang beriman’. Itulah doa yang sepatutnya kita amalkan. Kita pun tidak pernah mengaku yang kita pasti akan menjadi ahli syurga. Kerana kita tidak tahu nasib kita di akhirat kelak.

Maka begitulah salah faham golongan Yahudi. Dan malangnya, salah faham tentang kepastian masuk syurga ini juga ada di kalangan orang-orang Islam juga. Ramai yang sangka kalau mengucap Syahadah sahaja sudah pasti akan masuk ke syurga. Maka kerana itu mereka tidak bersungguh-sungguh dalam beragama, kerana mereka sangka mereka pasti akan masuk syurga.

Mereka pun pakailah hadis Nabi yang mengatakan jikalau mengucap syahadah, maka pasti akan masuk syurga. Akan tetapi tidakkah mereka baca dan belajar hadis-hadis yang lain? Tidaklah senang sahaja untuk masuk syurga. Sedangkan sahabat-sahabat yang mendengar hadis itu sendiri daripada Nabi pun tidaklah mereka yakin sangat yang mereka akan masuk syurga. Lalu bagaimana golongan yang lagi rendah dari golongan sahabat itu boleh pasti pula yang mereka akan masuk syurga? Ada kesilapan dalam fahaman sebenarnya. 


Ayat 7:

وَلا يَتَمَنَّونَهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۚ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they will not wish for it, ever, because of what their hands have put forth. And Allāh is Knowing of the wrongdoers.

(MELAYU)

Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

وَلا يَتَمَنَّونَهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم

Mereka tidak akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri.

Allah beritahu yang golongan Yahudi itu tidak akan minta kematian dengan segera selama-lamanya kerana mereka pun tahu yang mereka itu ada buat salah. Dan mereka tahu yang mereka tidak sediakan saham pahala mereka untuk akhirat. 

Kerana mereka sendiri tahu apa amalan salah yang mereka buat dan mereka juga tahu yang kalau mereka mati, mereka akan ada masalah. Maka kerana itu mereka takut mati. Maka kata-kata mereka yang mereka pasti akan masuk syurga kerana mereka kekasih Allah adalah angan-angan sahaja.

Maka kita janganlah jadi begitu; hendaklah kita bersedia dengan saham akhirat kita terutama sekali yang boleh dilakukan adalah sedekah. Ini kerana sedekah itu adalah saham yang amat banyak untuk akhirat dan juga segala apa yang kita berikan itu akan dikembalikan kepada kita semasa di dunia lagi, Maka kita memang tidak akan rugi apa-apa. Kalau sedekah, kita akan dapat balasan di dunia dan juga balasan di akhirat. Maka memang tidak rugi langsung. 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

Hanya Allah tahu siapa yang buat zalim dan kerana itu Dia sahaja yang layak menghukum.  Kerana itu Allah tahu yang golongan Yahudi itu sebenarnya takut mati.


Ayat 8: Allah nak ingatkan yang walaupun mereka tak minta mati cepat pun, mereka akan tetap mati juga. 

قُل إِنَّ المَوتَ الَّذي تَفِرّونَ مِنهُ فَإِنَّهُ مُلٰقيكُم ۖ ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Indeed, the death from which you flee – indeed, it will meet you. Then you will be returned to the Knower of the unseen and the witnessed, and He will inform you about what you used to do.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

قُل إِنَّ المَوتَ الَّذي تَفِرّونَ مِنهُ فَإِنَّهُ مُلٰقيكُم

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,

Allah memberi isyarat di dalam ayat ini yang orang Yahudi yang tidak berpegang dengan Taurat itu ada takut kepada mati dan itu adalah kesan kerana tidak berpegang dengan Taurat. 

Menariknya ada satu hadis di mana disebut yang umat Islam akan jadi lemah di akhir zaman sedangkan mereka ramai. Dan apabila sahabat tanya bagaimanakah cara untuk menyelesaikannya maka Nabi kata kena selalu ingat kepada mati dan baca Al-Qur’an. 

Dan di dalam ayat-ayat yang menceritakan tentang Yahudi ini mereka mempunyai dua-dua masalah: iaitu mereka tidak belajar Taurat dan mereka lari daripada mati kerana mereka mahu hidup selama-lamanya di atas dunia.

Mereka takut mati, tapi mati pasti akan datang juga kepada mereka. Ini semakna dengan firman Allah Swt. yang disebutkan di dalam surat An-Nisa, iaitu:

{أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكُكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ}
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa: 78)

ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,

Mereka dan kita kena sedar yang kembalian kita akhirnya akan bertemu dengan Allah. Dan Allah Maha Tahu segala apa yang kita lakukan kerana Dia tahu yang ghaib dan yang nyata.

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

Dan kerana Allah tahu segala-galanya yang kita lakukan, maka nanti Dia akan ceritakan kembali segala rekod perbuatan kita semasa di dunia. Dan ingatlah yang Allah bukan sengaja nak mengenangkan kita dengan perbuatan kita dulu tapi Allah nak balas perbuatan itu itu. Yang baik dibalas baik dan yang buruk akan dibalas buruk. Maka kita nak balasan yang mana?

Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ di dalam surah ini.

Allahu a’alam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 30 Ogos 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Jumuah Ayat 1 – 4 (Siapakah goyim?)

Pengenalan:

Di dalam Surah Saff sebelum ini telah diberitahu bahawa tugas Nabi dibangkitkan adalah untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Dan dalam Surah Jumuah ini akan memberi tahu bagaimana cara ianya dapat dijalankan.

Maka kita sebagai umat baginda yang telah ditugaskan untuk meneruskan tugas baginda, kenalah tahu perkara ini dan menjalankan tanggungjawab ini. Maka kena ikut cara yang Allah ajar dalam surah ini.

Tema utama surah ini terdapat di dalam ayat kedua tetapi di hujung surah ini akan diberitahu tentang solat Jumaat. Ini menunjukkan kepentingan solat Jumaat ini di dalam menegakkan agama Allah. Maka kita akan dapat belajar nanti.

Surah Jumuah ini juga adalah permulaan kepada rentetan surah-surah berkenaan infak di dalam surah-surah musabbihat. Sebelum ini kita sudah belajar rentetan surah-surah berkenaan jihad dan sekarang dibincangkan ‘rakan’ kepada jihad, iaitu infak. Ringkasannya:

1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak

Surah ini juga mengajar dan sentuh tentang pembelajaran ilmu. Tamadun Islam akan berkembang apabila pembelajaran ilmu dijalankan.  Kita boleh lihat masalah salah faham agama dalam masyarakat kita sekarang ini adalah kerana budaya ilmu amat lemah. Semua perkara agama diserahkan kepada para ustaz dan semua pakai percaya sahaja.

Sampaikan bila para ustaz itu mengajar perkara yang karut pun, terus dipercayai. Tapi sekarang ilmu semakin mudah untuk didapati, dan kerana itu rakyat semakin celik agama. Ini adalah perkembangan yang amat bagus. Maka kita kena wujudkan suasana ilmu yang lebih hebat lagi.


Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu kita yang diutuskan Nabi itu adalah untuk membersih jiwa manusia.

يُسَبِّحُ ِللَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ المَلِكِ القُدّوسِ العَزيزِ الحَكيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Jumu‘ah: Friday.

Whatever is in the heavens and whatever is on the earth is exalting Allāh,¹ the Sovereign, the Pure, the Exalted in Might, the Wise.

  • See footnote to 57:1.

(MELAYU)

Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

يُسَبِّحُ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.

Sekali lagi disebut tentang tasbih di dalam ayat ini di mana diberitahu yang seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi ini bertasbih kepada Allah. Dan ada banyak lagi makhluk yang kita tidak tahu maka kerana itu digunakan kalimah ما (apa sahaja) kerana jikalau kita tahu kalimah ataupun benda yang dimaksudkan maka kalimah الّذي yang digunakan. Jadi kerana kita tidak tahu, kita gunakan kata tunjuk dalam bentuk umum sahaja, iaitu ما.

Sama ada kamu tahu atau pun tidak tahu jenis makhluk Allah yang bertasbih itu, ketahuilah yang mereka semua bertasbih kepada Allah. Dan ini adalah perli Allah kepada manusia – makhluk semua bertasbih kepada Allah, kamu pula bagaimana, wahai manusia?

Surah ini juga dimulai dengan tasbih kerana hendak mengingatkan manusia bahawa tujuan melakukan infaq dan juga jihad adalah untuk membersih dan menyucikan nama Allah di dalam diri manusia. Iaitu tujuan jihad adalah Tauhid dan tasbih adalah kalimah tauhid. Kalau tidak faham perkara ini, maka sia-sia sahaja berjihad kerana akan masuk neraka juga akhirnya. 

Permulaan ayat ini juga hendak menolak fahaman Yahudi yang menolak kerasulan Nabi Muhammad hanya kerana baginda bukan dari Bani Israil. Mereka sudah nampak yang Nabi Muhammad itu adalah memang betul seorang Nabi, tapi mereka masih juga menolak. Mereka sangka yang hanya bangsa mereka sahaja yang layak jadi Nabi kerana mereka itu ‘umat pilihan’.

Maka Allah suruh kita bertasbih membersihkanNya dari sifat pilih kasih. Allah tidak pilih kasih dalam memberi nikmat kepada manusia. Allah beri rahmatNya kepada semua makhluk. Allah tidak zalim dengan menahan rahmat kepada mana-mana bangsa.

Ayat ini agak unik kerana ada 4 fawaasil (jamak kepada faasilah). Iaitu nama-nama sifat Allah yang selalu disebut di hujung ayat. Selalunya kita biasa lihat di penghujung ayat hanya ada dua faasilah sahaja.

المَلِكِ

Raja, 

Allah adalah Raja segala raja. Ini adalah pemerintahan Allah secara makro (secara keseluruhan).

Apabila ada raja di dalam satu-satu kerajaan maka mereka mahu ditunjukkan ketaatan kepada rajanya itu. Ini sebagaimana pada zaman sekarang setiap pejabat ataupun kedai ada gambar raja. Mereka hendak meletakkan tanda raja itu ada di segenap tempat. (Saya tidaklah menggalakkan gambar digantung pula). 

Jadi apabila kita terima yang kita ada Raja iaitu Allah, maka kita kenalah menunjukkan ketaatan kita kepada Raja itu. Maka kita hendaklah menjadi hambaNya, taat kepadaNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Apabila seorang Raja itu perlu ditaati, maka tentulah Raja Segala Raja kena ditaati juga. Jadi kalau puak Yahudi masih nak melawan lagi keputusan Allah melantik Rasul dari bangsa Arab, maka mereka tentu akan dikenakan dengan balasan buruk – lagi teruk dari balasan seorang rakyat yang menentang rajanya.

القُدّوسِ

Yang Maha Suci,

Faasilah kedua yang disebut di dalam ayat ini adalah al-Quddus. Quddus dari segi bahasa bermaksud suci dari bercampur dengan bahan-bahan. Ia bermaksud suci dari asal lagi.

Dan ini berbeza dengan kalimah zakah (yang juga bermaksud suci) kerana ia bermaksud kesucian yang datang kemudian iaitu setelah dibersihkan. Kalau zakah digunakan, ia bermaksud sebelum itu tidak bersih tetapi setelah melakukan sesuatu, maka ia jadi bersih.

Tapi quds bermaksud suci dari asal lagi. Jadi apabila kita melakukan taqdis (penyebutan penyucian), bukanlah kita menyucikan sesuatu tetapi kita menyebut tentang kesucian sesuatu itu. Kita cuma ithbatkan sahaja kesucian yang telah ada.

Kalimah Quddus pula adalah dalam bentuk mubalaghah (bersangatan, ekstrem) kerana ada syaddah pada huruf د itu. Maknanya, Allah bukan sahaja suci, tapi Dia menjadi sumber kepada semua kesucian di dalam alam. Jadi apabila kita melakukan taqdis kepada Allah, maka kesannya adalah ia akan menyucikan diri kita.

Allah suci dari melakukan kesilapan. Jadi segala perbuatan Allah tidak pernah salah. Manusia memang buat banyak kesilapan dan kesalahan, tapi Allah tidak sama sekali. Maka janganlah Yahudi kata Allah salah pilih Nabi Muhammad sebagai Rasul pula. Itu menghina Allah namanya.

العَزيزِ

Yang Maha Perkasa 

Kalimah al Aziz mempunyai dua makna di dalamnya: iaitu hormat dan kuasa. Ianya selalu diterjemahkan dengan ‘Maha Perkasa’ atau ‘Maha Kuat’ dan ini tidak berapa tepat lagi kerana kalau begitu, kalimah yang digunakan adalah al-Qawi. 

Jadi dua elemen hormat dan kuasa ini penting kerana ada orang yang dihormati tetapi dia tidak ada kuasa dan ada orang yang ada kuasa tetapi dia tidak dihormati tetapi al-aziz ada kedua-dua elemen. Maka Allah ditaati dan juga dihormati. 

Kerana kedudukan Allah sebagai al-Aziz, maka Allah boleh buat sahaja ikut kehendakNya. Kalau Allah nak azab hamba yang engkar, Allah boleh buat bila-bila masa sahaja kerana Dia ada kuasa itu. Tidak ada sesiapa yang boleh halang atau persoalkan sekali pun.

الحَكيمِ

Maha Bijaksana.

Allah boleh beri hukuman bila-bila masa sahaja tapi Allah juga bersifat al-Hakeem. Yang mempunyai kebijaksanaan dan juga yang membuat hukum. Segala undang-undang yang Allah berikan kepada kita adalah atas kebijaksaanNya, maka ianya amat sesuai kepada kita. Tidak rugi kalau kita ikut dan taat kepada segala hukum yang Allah telah buat itu. 

Dan kerana kebijaksanaan Allah, Allah tidak terus hukum kita dengan azab walaupun hamba itu telah melakukan kesalahan walaupun besar. Ini kerana Allah bijaksana dan memberi tangguh kepada hamba itu untuk memperbetulkan dirinya. Jadi kerana sifat inilah kita ada peluang untuk menjadi ahli syurga. Kalaulah kita buat salah sahaja terus kena azab, maka tidaklah ada manusia di atas muka bumi ini (kerana semuanya akan mati).

Sekian penerangan ringkas tentang sifat-sifat Allah itu. Jadi ayat pertama ini adalah ayat yang memperkenalkan Allah.


Ayat 2: Sekarang Allah memberitahu tugas kenabian dan kemudian ianya menjadi tugas ulama’ setelah baginda tiada. 

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلاٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who has sent among the unlettered [Arabs] a Messenger from themselves reciting to them His verses and purifying them and teaching them the Book [i.e., the Qur’ān] and wisdom [i.e., the sunnah] – although they were before in clear error –

(MELAYU)

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf, seorang Rasul dari kalangan mereka

Di dalam surah-surah musabbihat sebelum ini Allah telah memulakan surah-surah itu dengan menegur manusia tetapi tidak di dalam surah ini. Di dalam surah ini, selepas Allah menyebut tentang DiriNya dan memuji DiriNya, Allah menyebut tentang Rasulullah.

Allah beritahu dengan jelas sekali dalam ayat ini yang Dialah yang memilih Nabi Muhammad, Dialah yang membangkitkan baginda dari kalangan bangsa Arab. Bukanlah baginda itu bangkit dan hidup sendiri menjadi Nabi. Tapi ianya adalah pilihan Allah. Maka Yahudi atau sesiapa sahaja janganlah hendak mempersoalkan keputusan Allah pula dalam pelantikan itu. Tidak selamat kalau mempersoalkan keputusan Allah!

Dalam ayat ini, Allah menyebut yang Rasulullah itu adalah seorang ummiy kerana kaumnya juga ummiy. Kalimah الأُمِّيّينَ ini dari kalimah أ م م yang bermaksud ‘ibu’ (umm). Oleh itu, kalimah ummiy bermaksud seseorang yang tidak tahu membaca sebagaimana dia baru sahaja keluar daripada perut ibu. Kerana seseorang yang keluar dari perut ibunya, tentu tidak tahu apa-apa, bukan? 

Memang sudah terkenal yang orang-orang Arab ini kebanyakan dari mereka adalah buta huruf kalau dibandingkan dengan golongan ahli kitab. Kerana mereka tidak ada kitab dalam sejarah mereka. Kerana itu mereka dipandang rendah oleh golongan Ahli Kitab. Mereka gelar golongan yang tidak tahu kitab itu sebagai goyim dan dalam Bible telah ditulis sebagai gentiles. Ia merujuk kepada mereka yang bukan dari kalangan Bani Israil. 

Mereka memang memandang rendah golongan yang mereka panggil goyim ini seolah-olah goyim ini sub-human (bawah dari manusia). Pada mereka, goyim ini kotor, tidak beragama, tidak bertamadun dan dibenci sangat-sangat. Pada mereka goyim tidak boleh dijadikan teman dalam musafir dan kalau sedang kelemasan dalam air, tidak boleh dibantu! Dan pada mereka, Messiah akan turun dan membunuh semua goyim. Begitulah teruknya layanan dan pandangan mereka terhadap orang yang bukan Bani Israil (ini adalah kita).

Dan memang surah ini nanti ada menyentuh tentang golongan Ahli Kitab dan salah satu daripada penolakan mereka kepada Rasulullah adalah kerana baginda seorang ummiy dan mereka rasa itu adalah sesuatu yang memalukan. Akan tetapi Allah hendak memberitahu bahawa ianya adalah satu penghormatan kepada baginda dan Allah janjikan perkara ini dalam bentuk ayat Al-Qur’an. Nanti kita akan jelaskan.

Kalimah ummiy ini ada juga disebut di tempat-tempat yang lain seperti:
Ali Imran:20
Baqarah:78
Ali Imran:75

Jadi, Allah telah bangkitkan Nabi Muhammad dari kalangan bangsa yang ummiy. Apakah tujuan atau tugas baginda dibangkitkan? Sekarang disenaraikan satu persatu.

يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ

yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka,

Tadi Allah sebut yang Nabi Muhammad tidak tahu membaca tapi sekarang Allah sebut yang baginda ‘membacakan’ ayat-ayat Al-Qur’an kepada manusia pula. Jadi ini ada satu mukjizat kepada Rasulullah kerana baginda boleh membacakan Al-Qur’an kepada manusia walaupun asalnya baginda tidak boleh membaca.

Maksud ‘bacakan’ ayat-ayat Al-Qur’an itu kepada manusia adalah tanpa tambah dan tanpa kurangkan apa sahaja yang sampai dalam bentuk wahyu. Apa sahaja ayat Al-Qur’an yang baginda dapat dari Allah, baginda kena sampaikan. Baginda tidak tambah dan tidaklah baginda boleh membuang mana-mana ayat Al-Qur’an walaupun ianya berat bagi baginda. 

Dan kita kena faham bahawa ‘membacakan’ dan ‘bercakap’ tidak sama kerana jikalau kita bacakan sesuatu kepada orang, maka orang itu akan tahu yang kita sedang membacakan tulisan orang lain kepada mereka. Ini adalah kerana bahasa yang digunakan adalah lain antara ‘baca’ dan ‘cakap’. Memang kita dapat bezakan orang yang bercakap dan orang yang membaca. Kalau kita baca kisah dari buku kepada anak kita, tentu anak kita tahu kerana bahasa kita bercakap dan baca adalah berlainan sama sekali. 

Maka apabila Rasulullah membacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada umat baginda, maka mereka yang mendengar itu tahu bahawa apa yang baginda bacakan itu bukan dari kata-kata baginda kerana bentuk bahasa dan kata-kata baginda itu lain daripada percakapan baginda.

Mereka amat tahu kerana mereka memang telah kenal baginda lama kerana baginda tinggal dengan mereka selama 40 tahun. Jadi apabila mereka kata Nabi Muhammad reka ayat-ayat Al-Qur’an itu, itu adalah tuduhan yang melampau sebenarnya.

Jadi tugas pertama Nabi yang disebut di dalam ayat ini adalah untuk membacakan ayat-ayat Allah kepada manusia. Tujuannya adalah untuk mengajak manusia beriman kepada Allah. Jadi maksud ’tilawah’ adalah baca dalam rangka untuk mengajak orang ataupun berdakwah.

Kerana itu dalam dakwah kita, kita kena bacakan Al-Qur’an kepada manusia. Kerana Al-Qur’an ini ada mukjizat dan dapat membuka hati manusia. Kita tidak tahu mana satu ayat yang akan menyebabkan mereka terkesan, maka kita kena bacakan banyak ayat kepada mereka.

وَيُزَكّيهِم

dan mensucikan mereka

Dengan membaca dan memahami ayat-ayat Al-Qur’an itu, dapat membersihkan pemahaman kita tentang dunia dan alam ini; tentang apa yang kita patut lakukan dan apa yang kita tidak patut lakukan. Maka ianya memerlukan pembelajaran yang berterusan iaitu dengan belajar tafsir di mana kita kena memahami satu persatu ayat-ayat yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini dan mengetahui apakah kehendak Allah.

Yang paling penting adalah membersihkan manusia dari fahaman syirik. Ini penting kerana mereka yang jauh dari wahyu akan senang terpengaruh dengan fahaman-fahaman syirik. Dan fahaman mereka hanya boleh dibersihkan dengan belajar tafsir dengan cara yang benar. Kerana perkara utama yang diajar dalam Al-Qur’an adalah tauhid dan larangan syirik. Dan diperjelaskan apakah syirik itu satu persatu. Jadi kalau tak belajar tafsir, memang tidak akan tahu perkara ini.

Itu adalah pada peringkat intelektual di mana kita sudah tahu, tetapi satu peringkat lagi kita hendaklah membersihkan pemahaman kita dari segi rohani. Ini adalah satu perkara yang hebat sekali sampaikan kadangkala ada manusia yang menangis apabila membaca ayat-ayat Al-Qur’an kerana kerana mereka terkesan dengan apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an. Hati mereka tersentuh dengan apa yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu.

Itu terjadi kepada mereka yang mengisi kekosongan dalam diri mereka dengan Al-Qur’an seperti yang sepatutnya. Kita kena rapat dengan Al-Qur’an dan selalu baca Al-Qur’an dan tadabbur Al-Qur’an. Hidup kita kena seharian dengan Al-Qur’an. Tetapi jikalau otak dan jiwa kita diisi dengan benda lain seperti filem, sukan, permainan, politik, keluarga dan benda-benda lain sahaja, maka mereka tidak terkesan langsung dengan Al-Qur’an. Kalau kita bacakan kepada mereka yang sebegitu, mereka tidak tersentuh sangat pun. Tapi kita kena cubalah juga. 

Dan apabila manusia tidak dekat dengan Al-Qur’an maka yang mahu pengalaman kerohanian akan melakukan perkara-perkara lain seperti zikir yang direka-reka dan juga nanyi-nyanyian seperti nasyid dan Qasidah. Ketahuilah yang itu semua telah lari daripada kehendak Al-Qur’an kerana Al-Qur’an ini adalah amalan yang paling tinggi.

Mereka yang mencari-cari perkara sebegitu adalah kerana mereka belum mengisi diri mereka dengan pemahaman Al-Qur’an. Kerana jikalau mereka sudah dekat dengan Al-Qur’an maka mereka akan tahu kedudukan perkara lain yang rendah kalau dibandingkan dengan Al-Qur’an yang tidak ada tandingnya. 

Jadi tugas Nabi yang kedua adalah untuk membersihkan umat manusia daripada fahaman-fahaman syirik dan fahaman-fahaman yang salah tentang agama. 

وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ

dan mengajarkan mereka al-Kitab 

‘Ajar kitab’ itu bermaksud mengajar tentang hukum hakam. Iaitu tentang perkara yang boleh buat dan yang tidak boleh buat. Makanan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan dan sebagainya. Apabila manusia sudah terima Al-Qur’an dan terima tauhid, maka teruskan dengan mengajar hukum kepada mereka.

Dalam kitab wahyu juga mengajar tentang perhubungan sesama masyarakat, pergaulan di dalam keluarga, nikah dan cerai dan lain-lain lagi. Maka ini semua kenalah dipelajari untuk menjalani kehidupan yang baik di dunia. Kerana kita memerlukan peraturan dan undang-undang untuk mengawal keluarga, masyarakat dan negara. 

Tanpa peraturan hidup di dunia ini, maka manusia akan jadi kacau bilau dan mengganggu kehidupan. Kalau kehidupan terganggu, maka susahlah untuk hidup dengan tenang dan memikirkan agama. Kerja-kerja dakwah tidak dapat dijalankan dengan baik.

Maka telah disebut tiga perkara utama: Tilawah – Tazkiyah – Ta’lim. Nabi kena jalankan tiga-tiga perkara ini. Dan kita sebagai penyambung tugas Nabi juga kena jalankan tiga-tiga perkara ini.

Akan tetapi untuk dapat menerima hukum-hukum yang Allah berikan ini maka manusia itu perlu membersihkan inteleknya dan juga rohaninya dengan menggunakan Al-Qur’an dahulu. Kerana hanya setelah itu berlaku barulah mereka boleh taat kepada hukum Allah ini. Kalau tidak, ia tidak akan terjadi kerana mereka tidak lalui proses tazkiyah lagi. 

Kerana itu ramai yang tidak kisah pun dengan hukum hakam Allah kerana perkara utama mereka tidak terima lagi. Mereka tidak terima Al-Qur’an dan kepentingan taat kepada arahan Al-Qur’an itu, maka tentulah mereka tidak kisah pun dengan hukum hakam dalam Al-Qur’an ini. 

Maka kita kena sampaikan Al-Qur’an kepada manusia kerana Al-Qur’an ini ada mukjizat. Tentulah nasihat dari akal kita tidak laku dengan manusia. Kita tidak boleh berhujah dan mengubah perangai manusia sebagaimana yang boleh dilakukan oleh Al-Qur’an. Al-Qur’an boleh mengubah manusia yang lalai menjadi insan yang baik.

Ini sebagaimana yang terjadi kepada Umar seorang gangster sebelum itu. Beliau sampai hendak membunuh Nabi tapi apabila dibacakan ayat Al-Qur’an kepadanya, dia telah berubah. Begitu juga puak Aus dan Khazraj di Yathrib: mereka telah beratus tahun berperang; tapi apabila disampaikan Al-Qur’an kepada mereka dan mereka terima, mereka telah bersatu dan menjadi penyokong kuat agama Islam sampailah Islam tertegak di Madinah.

وَالحِكمَةَ

dan al-Hikmah

Dan selepas ketiga-tiga perkara di atas itu telah dijalankan, barulah seseorang itu mendapat ‘hikmah’; dan apakah hikmah itu?

Ia bermaksud ilmu yang bermanfaat dan beramal dengannya. Oleh itu jikalau kita sudah ada ilmu tentang benda yang betul tapi kita tidak beramal dengannya, maka itu bukannya hikmah. Oleh itu jikalau seseorang yang tahu hukum sesuatu perkara dalam agama tetapi dia tidak mengamalkan dalam kehidupannya, maka dia tidak ada hikmah. 

Macam seorang yang tahu api itu membakar tapi dia pegang juga. Tentulah orang itu tidak ada hikmahnya. Maka samalah juga kalau sudah tahu solat itu wajib, tapi tidak mengerjakannya. Tentulah tidak ada hikmah.

Ada juga pendapat yang bermaksud ‘hikmah’ itu adalah ‘sunnah’ iaitu bagaimana Nabi Muhammad mempraktikkan ajaran-ajaran di dalam Al-Qur’an. Ini kerana kalau kita baca sendiri Al-Qur’an, tentu kita tidak tahu bagaimana untuk aplikasi ayat-ayat Al-Qur’an itu. Maka kenalah Nabi Muhammad menunjukkannya kepada kita. Inilah yang terdapat dalam Sunnah. 

Ada juga yang menafsirkan maksud al-kitab sebagai unsur-unsur akidah dan al-hikmah adalah cara-cara untuk beramal ibadat. Ini pun boleh juga kerana memang ada banyak pemahaman tentang perkara ini. 

Empat sifat Nabi Muhammad ini disebut dalam ayat-ayat lain:
Baqarah:129
Baqarah:151
Ali Imran:164

وَإِن كانوا مِن قَبلُ لَفي ضَلاٰلٍ مُّبينٍ

Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

Keempat-empat perkara yang disebut ini telah diberikan kepada Nabi Muhammad untuk digunakan untuk mengubah manusia. Dan itulah sumber yang telah digunakan oleh Nabi Muhammad untuk mengubah penduduk Mekah yang asalnya memang orang yang paling teruk dalam dunia kepada insan yang  mulia yang disebut-sebut sampai ke hari ini.

Dan dengan formula yang hebat ini maka Islam telah mengubah kaum yang dulunya memang menunggu untuk mati sahaja untuk dimasukkan ke dalam neraka. Kerana kesesatan mereka itu amat jelas dan bukan samar-samar lagi.

Mereka itu jelas dalam sesat kerana mereka tidak ada kitab wahyu dan tidak ada Rasul. Tapi apabila mereka diberikan dengan wahyu dan Rasul dan mereka taat kepada keduanya, maka mereka telah selamat dari neraka. Maka orang kita pun kenalah diselamatkan dari neraka juga dengan disampaikan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah ini.  

Ini juga menjadi dalil bagi puak Bani Israil. Mereka sendiri melihat bagaimana keadaan bangsa Arab itu dahulu, dan hinanya mereka dalam mengamalkan syirik dan tanpa undang-undang kehidupan. Tapi mereka sendiri lihat bagaimana dalam beberapa tahun sahaja selepas menerima dakwah Nabi Muhammad, bangsa Arab itu telah bertukar menjadi satu bangsa yang hebat. Takkan mereka tidak nampak di hadapan mata mereka sendiri? Maka mengapa mereka masih menolak lagi?


Ayat 3: Nabi Muhammad bukan sahaja dibangkitkan untuk penduduk Mekah sahaja tetapi untuk orang-orang yang lain juga. Baginda diutuskan kepada semua umat manusia di seluruh dunia. 

وَءآخَرينَ مِنهُم لَمّا يَلحَقوا بِهِم ۚ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [to] others of them who have not yet joined them. And He is the Exalted in Might, the Wise.

(MELAYU)

dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

وَءآخَرينَ مِنهُم لَمّا يَلحَقوا بِهِم

dan (juga) kepada kaum yang lain dari mereka yang belum berhubungan dengan mereka.

Kalau ayat tadi sebut Arab Mekah, sekarang ini menyebut tentang orang-orang yang lain seperti orang Ansar dan kita juga. Maka ayat ini membuka hidayah kepada semua manusia jadi ini bertentangan dengan fahaman Bani Israil yang mengatakan yang mereka sahaja yang terselamat, mereka sahaja umat pilihan, mereka sahaja yang layak dapat kitab wahyu.

Yang belum lagi menyertai penduduk Mekah itu adalah mereka yang belum menerima dakwah agama Islam. Tetapi dakwah akan tetap sampai kepada mereka dan mereka akan beriman. Islam itu berkembang dari Mekah dan kemudian dari Madinah. Kemudian ia dikembangkan lagi pada zaman Nabi dan kemudian pada zaman sahabat. Akhirnya Islam telah dikenali di seluruh dunia zaman berzaman sampailah ianya telah sampai kepada kita. 

Ayat ini juga menjadi dalil bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi akhir zaman untuk manusia dan jin sampailah hari Kiamat nanti. Tidak ada Nabi yang lain.

‘Menyertai’ itu bukan sahaja bermaksud menyertai mereka beriman dengan agama Islam semasa di dunia ini sahaja, tetapi juga boleh bermaksud ‘menyertai mereka’ di syurga. Iaitu masuk dan duduk bersama mereka dalam syurga. Waktu itu kita boleh berkenalan dengan mereka dan tahu apakah dugaan dan perjuangan orang-orang terdahulu sebelum kita.

Inilah salah satu dari nikmat di syurga nanti. Kerana kita akan berjumpa dengan semua penghuni syurga dan dapat bersembang dengan mereka. 

وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Kepada mereka yang enggan untuk beriman, Allah akan bersifat al-Aziz dengan mereka. Allah akan kenakan azab kepada mereka dan mereka tidak dapat menghalang azab itu.

Tapi Allah tidak terus mengenakan azab kepada mereka yang engkar. Kerana atas sifat kebijaksaanNya, Allah beri tangguh kepada manusia untuk mengubah sikap dan pegangan mereka. Kalaulah Allah tidak beri tangguh, maka tidaklah ada makhluk yang hidup di atas muka bumi ini kerana ada sahaja salah dan silap kita.


Ayat 4: Ayat 4 – 8 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi teguran keras kepada Kaum Yahudi. Mereka itu sombong dengan keturunan dan kelebihan ilmu. Maka kita kena belajar dari kesalahan yang mereka lakukan tidak terjatuh ke dalam sifat ini.

ذٰلِكَ فَضلُ اللَّهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is the bounty of Allāh, which He gives to whom He wills, and Allāh is the possessor of great bounty.

(MELAYU)

Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

ذٰلِكَ فَضلُ اللَّهِ يُؤتيهِ مَن يَشاءُ

Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya; 

Makna yang dimaksudkan ialah pemberian yang dianugerahkan Allah kepada Muhammad Saw. berupa kenabian yang besar dan apa yang diberikan oleh Allah secara khusus kepada umatnya, yaitu diutus-Nya Nabi Muhammad Saw. kepada mereka.

Itulah kurnia iman yang Allah berikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan bukannya diberikan kepada kaum-kaum dan puak-puak tertentu sahaja. Maka kalau ada orang yang sangka mereka sahaja yang layak masuk syurga (seperti golongan Yahudi), mereka itu telah salah sama sekali. 

Maka pengetahuan agama Islam ini terbuka untuk semua manusia dan bukan kepada golongan ulama atau golongan-golongan ustaz sahaja, tetapi semua boleh belajar. Dan ini berlainan dengan fahaman agama-agama lain sebelum Islam di mana mereka berpendapat bahawa pengetahuan agama itu hanya kepada ahli-ahli agama sahaja. 

Jadi setiap orang Islam sebenarnya kena tahu tafsir Al-Qur’an dan bukan ianya hanya perlu ada pada golongan ustaz sahaja. Jangan jadi seperti agama Yahudi dan Kristian yang golongan agama sahaja yang boleh baca kitab Taurat dan Injil dan orang-orang bawahan tidak tahu apa-apa. Maka jangan kita outsource pengetahuan agama ini pada orang tertentu sahaja.

Kita pun kena tahu agama ini secara mendalam. Mungkin tidaklah ke tahap para ustaz dan ulama, tapi kita kena tahu asasnya. Kerana kita nak masuk syurga dan orang berilmu sahaja yang masuk syurga. Kalau orang yang tidak berilmu, senang ditipu oleh manusia yang jahat dan senang ditipu oleh syaitan (Talbis Iblis). Kerana itu kalau tidak berilmu agama, tempatnya di neraka. 

وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

dan Allah mempunyai kurnia yang besar.

Allah ada banyak pemberian kurnia lagi kepada manusia. Asalkan manusia itu mahu mempelajari agama dan kenal dengan wahyu itu. Ilmu agama ini penting dan kerana itu Khalifah Umar selalu memeriksa masjid-masjid supaya ada pengajian tafsir Al-Qur’an yang dijalankan di masjid-masjid itu kerana ianya amat penting. 

Maka kita pun kena jalankan dan hidupkan suasana ilmu di negara kita. Mulakan dengan keluarga kita dan kemudian dalam masyarakat kita. Dan kemudian jadikan pembelajaran agama ini terutama tafsir Al-Qur’an ini di seluruh negara. Kerana ianya perkara yang amat-amat penting. Sebelum belajar perkara-perkara agama yang lain, kena faham tafsir Al-Qur’an dahulu.

Malangnya ada manusia yang jahil mengatakan orang awam tidak layak untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka kata golongan ulama sahaja yang boleh faham. Maka kerana itulah manusia ramai yang jahil dan senang ditipu. Ini adalah kerana ilmu asas pun mereka tidak tahu. Maka janganlah kita jadi begitu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 30 Ogos 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi