Tafsir Surah Baqarah Ayat 94 – 97 (Suka Michael, benci Gabriel)

Ayat 94: Ayat ini adalah satu bentuk mubahalah. Ia berasal dari kata bahlah atau buhlah yang bermakna kutukan atau melaknat. Mubahalah menurut istilah adalah dua pihak yang saling memohon dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya Allah ‎ﷻ melaknat dan membinasakan pihak yang batil atau menyalahi pihak kebenaran.

Bani Israil perasan kaum mereka sahaja layak sahaja memasuki syurga. Mereka berasa begitu sebab mereka ramai yang dari keturunan Nabi. Memang beginilah sifat manusia. Selalu sebut keturunan mereka yang baik-baik. Kalau keturunan mereka orang-orang baik dan alim ulama’, maka mereka sangka mereka sudah pasti selamat. Itu memang perasan sahaja.

Ini tidak benar sama sekali. Sedangkan ada ahli keluarga Nabi pun masuk neraka. Lihatlah kisah anak Nabi Nuh  عليه السلام. Lihatlah juga bagaimana Musa Samiri telah dibela oleh Jibril pun membesar menjadi orang jahat. Jadi keturunan tidak ada nilai kalau jauh dari agama.

Ini kita ingatkan juga kepada kumpulan-kumpulan Habib yang sangka keturunan Nabi Muhammad ﷺ itu telah selamat dan benar. Belum tentu lagi – kita kena lihat sama ada apa yang mereka bawakan itu adalah sunnah ataupun tidak. Kalau tidak sunnah, kalau benar mereka keturunan Nabi pun, mereka tidak akan selamat.

Dan kalau kita tidak terima ajaran mereka itu, bukanlah kita menghina keturunan Nabi dan menghina Nabi sendiri – nauzubillah min zalik, sungguh jauh sekali dari sangkaan mereka. Kita sayangkan Nabi, tetapi tidaklah kita terus percaya kepada keturunan baginda membabi buta. Apa yang kita boleh lihat, golongan yang dipanggil Habib itu memang membawa ajaran yang salah, maka kita tolak dan kita sebarkan kepada masyarakat.

Satu lagi, Bani Israil merasakan mereka itu keturunan yang disayangi dan terpilih oleh Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana memang mereka itu keturunan yang cantik dan cerdik-cerdik belaka – ini tidak dapat dinafikan sama sekali, sampai sekarang pun. Dan kalau mereka masuk Islam, memang mereka akan jadi seorang Muslim yang amat baik sekali kerana mereka memang orang yang bijak-bijak.

Dan kalau mereka lawan Islam, merekalah yang jadi ketua. Oleh itu kita kena berhati-hati dengan mereka. Kita pun telah baca dengan banyak sekali perangai buruk mereka. Mereka akan sentiasa hendak menjatuhkan orang Islam dari luar atau dari dalam.

Dan kalau mereka memberi nasihat, ditakuti nasihat mereka itu untuk menjatuhkan kita. Maka kenalah berhati-hati dengan mereka. Malangnya, kerajaan kita pun pernah ambil penasihat dari kalangan mereka. Ditakuti kita telah tertipu dengan propaganda mereka.

Kepada Yahudi, agama Yahudi sahaja yang benar. Sampaikan mereka sanggup tolak orang lain. Macam kita juga, kita sangka puak kita sahaja yang betul, puak lain semua salah. Sampaikan ada masyarakat Islam kita yang tidak mahu berimamkan kepada imam Masjid Nabawi dan Masjidilharam kerana mereka kata imam-imam itu Wahabi dan tidak tahu baca Fatihah.

Padahal, mereka orang Arab dan kita bukan orang Arab. Itu dinamakan ‘perasan’. Ada pula yang kata tidak boleh mengikut imam Masjid Nabawi dan Masjidilharam kerana mereka itu sesat kerana mengikut Wahabi. Subhanallah! Begitulah juga orang Yahudi dalam ayat ini yang sangka mereka sahaja yang akan masuk syurga dan puak-puak lain adalah sesat.

قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِّن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صَـٰدِقِينَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “If the home of the Hereafter with Allah is for you alone and not the [other] people, then wish for death, if you should be truthful.

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwa itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

 

قُلْ إِنْ كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الْآخِرَةُ عِنْدَ اللَّهِ خَالِصَةً

Katakan kepada mereka: Sekiranya negara akhirat itu hanya khas untuk kamu sahaja di sisi Allah;

Inilah mubahalah yang dimaksudkan. Lafaz ini dikatakan kepada mereka kerana mereka sangka mereka sahaja yang dapat memasuki syurga. Yang yakin mereka akan masuk syurga antaranya adalah Orang Yahudi, Kristian dan juga Islam.

Orang Yahudi sangka merekalah sahaja yang akan memasuki syurga. Orang Kristian pula sangka merekalah sahaja yang akan memasuki syurga. Orang Islam pun sangka orang Islam sahajalah yang akan memasuki syurga.

Dalam ayat ini, ia adalah tentang orang Yahudi yang memang yakin benar bahawa apabila mereka mati nanti, mereka pasti akan memasuki syurga. Begitu juga dengan Orang Kristian, mereka sangka mereka akan memasuki syurga kerana mereka telah menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai Tuhan.

 

مِنْ دُونِ النَّاسِ

orang lain tak dapat masuk.

Mereka sangka mereka yang terpilih. Mereka sahaja yang masuk syurga, tidak dikongsi dengan orang dari agama lain.

 

فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ

Maka kamu mintalah mati;

Inilah cabaran yang diberikan kepada mereka: “Mintalah mati sekarang juga”. Cabaran ini logik, sebab kalau mereka kata mereka akan terus memasuki syurga, mintalah mati segera supaya mereka boleh terus memasuki syurga itu.

Sebab, bukankah kalau mereka mati sekarang, mereka kata mereka boleh terus masuk syurga? Maknanya, penghalang mereka dan syurga adalah kehidupan sahaja, bukan? Dan bukankah syurga itu lebih baik lagi dari dunia ini? Buat apa lagi mereka tinggal di dunia lagi kalau sudah pasti mereka akan masuk syurga? Sudah tentu kehidupan di syurga lebih baik dari kehidupan dunia, bukan?

Orang Islam juga rasa mereka akan masuk syurga. Jadi, mungkin ada yang berkata, ayat ini juga boleh ditujukan kepada orang Islam juga. Tetapi, sebenarnya, orang Islam yang sebenar, tidak berfahaman seperti orang Yahudi itu. Kita sebenarnya ‘mengharap’ untuk masuk syurga, tetapi dalam masa yang sama, kita ‘takut’ yang kita tidak dapat masuk syurga. Tidaklah kita yakin dan pasti yang kita akan masuk syurga.

Kita tidak boleh pasti sama ada kita secara individu adalah ahli syurga ataupun ahli neraka. Cuma kita tahu bahawa kalau Muslim yang sebenar – iaitu orang mukmin dan bertaqwa, orang itu pasti akan masuk syurga. Tetapi tidak ada sesiapa yang boleh kata mereka ahli syurga lagi. Kita cuma boleh tahu di akhirat nanti – selepas pengadilan dijalankan di Mahsyar kelak.

Kita sekarang sedang berusaha untuk berbuat kebaikan seperti yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Semoga dengan amalan kita itu, kita dapat masuk syurga. Namun kita kena sentiasa ada imbangan antara ‘takut’ dan ‘harap’. Takut masuk neraka dan mengharap untuk masuk syurga.

Tetapi lain sekali dengan Orang Yahudi. Mereka sudah ada fahaman yang mereka itu adalah umat terpilih. Mereka yakin mereka akan masuk syurga. Macam syurga itu mereka yang punya. Jadi, mereka itu perasan yang bangsa mereka itu sahaja yang akan masuk syurga.

Maka dengan orang yang jenis macam ini, memang susah untuk dakwah kepada mereka. Sebab mereka sudah yakin ahli syurga, jadi bagaimana hendak dakwah lagi? Maka kalau mereka berdegil juga, maka kita mubahalah dengan mereka seperti dalam ayat ini. Cabar dia untuk mati cepat. Ajak dia berdoa sekali.

 

إِنْ كُنْتُمْ صَـٰدِقِينَ

Sekiranya kamu benar dalam dakwaan kamu itu.

Sekiranya mereka berasa mereka betul, maka kita cabar kepada mereka untuk mintalah mati dengan segera. Ayat mubahalah ini akan diterangkan dalam Surah Ali Imran nanti.

Semoga dengan ini mereka akan terfikir dan tersentap: “Benarkah aku pasti masuk syurga?”


 

Ayat 95: Agak-agaknya adakah mereka akan meminta untuk dimatikan terus?

وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Sahih International

But they will never wish for it, ever, because of what their hands have put forth. And Allah is Knowing of the wrongdoers.

Malay

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

 

وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا

Dan tidak akan sekali-kali mereka itu akan meminta mati selama-lamanya

Nescaya mereka tidak akan berdoa begitu kerana mereka paling takut untuk mati. Kalau berperang pun mereka tidak mahu berperang di barisan hadapan kerana mereka itu memang jenis penakut.

 

بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ

dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan dengan tangan-tangan mereka;

Mereka tidak akan doa begitu kerana mereka tahu mereka banyak dosa. Bukan dosa-dosa tangan mereka sahaja tetapi termasuk jugalah segala dosa yang dilakukan oleh anggota mereka yang lain. Mereka tahu bahawa mereka tidak banyak amal yang baik yang mereka lakukan.

Dan mereka tahu bahawa mereka melebihkan dunia dari akhirat. Dan sebab mereka tahu yang amalan yang mereka buat itu tidak sesuai dengan syurga. Mereka tahu yang mereka banyak dosa. Maka mereka sendiri tidak yakin yang mereka akan masuk syurga.

Macam kita juga, kita sudah boleh agak kita banyak amalan dunia atau amalan akhirat. Kita sendiri pun takut kalau kita tiba-tiba mati, bukan? Sebab kita tahu banyak lagi dosa kita tidak minta ampun. Kita tahu amalan ibadat kita tidak banyak. Kita tahu yang banyak lagi perubahan yang kita tidak buat lagi.

 

وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِٱلظَّـٰلِمِينَ

Dan Allah Maha Mengetahui sifat-sifat jelek orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ maha tahu apa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Allah ‎ﷻ tahu siapa yang berbuat zalim di atas dunia ini. Ini memberi isyarat yang Yahudi itu telah berbuat zalim. Mereka zalim dalam hal agama, akidah dan juga hal keduniaan.


 

Ayat 96:

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَيَوٰةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Sahih International

And you will surely find them the most greedy of people for life – [even] more than those who associate others with Allah. One of them wishes that he could be granted life a thousand years, but it would not remove him in the least from the [coming] punishment that he should be granted. And Allah is Seeing of what they do.

Malay

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.

 

وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ

Kamu akan dapati mereka manusia yang paling tamak

Allah ‎ﷻ beritahu sifat orang Yahudi. Mereka itu manusia yang paling tamak dalam dunia.

 

عَلَىٰ حَيَوٰةٍ

dalam kehidupan dunia;

Mereka memang manusia yang mementingkan keduniaan. Apabila berdoa, mereka akan minta panjang umur. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk dapat kelebihan di dunia. Mereka mahu membolot semua sekali harta dalam dunia ini.

Kalimah حَيَوٰةٍ adalah dalam bentuk nakirah (bentuk umum). Maka ia bermaksud apa jenis kehidupan pun. Termasuklah kalau kehidupan yang penuh kehinaan. Asalkan terus hidup.

 

وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا

dan lebih teruk lagi daripada orang-orang musyrik;

Mereka lebih teruk lagi dari golongan Musyrikin Mekah yang membuat syirik itu. Mereka kutuk Musyrikin Mekah itu, tetapi mereka sebenarnya lebih teruk. Kenapa pula mereka lebih teruk dari golongan musyrik?

Kerana orang musyrik pun mengharap supaya mereka mati dalam peperangan yang boleh menaikkan nama mereka dan disebut-sebut orang. Maknanya orang musyrik pun sanggup mati mempertahankan sesuatu.

Dan orang Musyrikin Mekah tidak percaya kepada kehidupan selepas mati, jadi mereka tidak takut mati. Sedangkan orang Yahudi itu patutnya tahu tentang hari kebangkitan dan pembalasan. Jadi kerana mereka lebih tahu, maka mereka lebih teruk kalau tidak mengharap kepada akhirat.

Satu lagi kemungkinan adalah kerana puak Yahudi itu sendiri tahu apa yang mereka telah lakukan. Maka mereka takut kepada akhirat dan mereka berharap supaya kita hidup lagi lama, untuk melambatkan masuk neraka.

Tetapi orang Yahudi memang takut hendak berperang kerana mereka takut mati. Mereka akan cari peluang untuk elak dari berperang. Untuk mengelak berperang, mereka akan beri alasan mereka menunggu Rasul akhir zaman turun supaya mereka boleh mengalahkan orang-orang kafir dengan mudah.

Dan kalau pun mereka terpaksa berperang, mereka tidak akan duduk di barisan hadapan kerana mereka jenis takut mati.

 

 يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ

Setiap orang dari mereka amat berkeinginan kalau diberikan umur seribu tahun;

Begitulah mereka. Mereka berharap sangat supaya mereka dapat hidup lama. Ini kerana mereka lebih selesa dengan dunia yang indah bagi mereka. Begitulah, puak yang sesat memang hendak hidup lama. Kerana mereka sayang dengan dunia.

 

وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ

Dan tidaklah umur yang panjang itu boleh melepaskan mereka dari azab Sekiranya Allah panjangkan umur mereka

Kalau doa mereka supaya umur mereka dipanjangkan itu dimakbulkan Allah ‎ﷻ, ia tidak dapat melepaskan mereka dari azab Allah ‎ﷻ. Tidak ada kebaikan kalau umur mereka panjang beribu-ribu tahun pun. Ini kerana mereka akan gunakan masa itu untuk membuat keburukan dan kezaliman. Hanya menambah dosa mereka sahaja sebenarnya.

Memang ia tidak akan terjadi, tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu, kalau ia terjadi sekalipun, ia tidak bermanfaat untuk mereka. Ia akan jadi lebih buruk bagi mereka.

 

وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ

Dan Allah Maha Melihat terhadap apa yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ tetap memerhatikan sahaja apa yang mereka perbuat dan Allah ‎ﷻ akan membalas segala perbuatan mereka itu. Jangan sangka yang mereka akan terlepas.

Yang menjadikan kita susah hendak lupakan dunia ini adalah kerana kita sayang sangat kepadanya. Kerana kita sudah terpesona dengan keindahan dunia dan sudah tertipu dengan dunia. Padahal, kita semua akan pergi jua meninggalkannya. Ini semua orang tahu, termasuklah orang musyrik. Maka, kalau kita sudah tahu yang kita akan mati juga akhirnya, janganlah terpaut sangat kepada dunia.

Ingatlah yang tempat tinggal kita yang sebenarnya adalah di syurga nanti. Ke situlah kita hendak kembali. Maka sebagai seorang Islam, kita hendaklah mempersiapkan diri kita untuk sampai ke sana. Iaitu dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya.

Habis Ruku’ 11 dari 40 surah ini


 

Ayat 97: Allah ‎ﷻ menceritakan kesamaran-kesamaran yang ada pada Yahudi yang menghalang mereka mendekati ajaran dan arahan Al-Qur’an. Kalau hilang kesamaran-kesamaran itu, mungkin mereka boleh masuk Islam.

Macam juga orang kita yang tidak datang belajar ilmu secara sunnah sebab telah dimomokkan dengan gelaran ‘Wahabi’. Sudah masyhur dalam masyarakat Islam kita tentang Wahabi ini. Puak-puak bidaah telah memberikan peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan ‘ajaran Wahabi’ – diberikan dengan berbagai-bagai fakta yang tidak benar tentang beliau. Orang yang hendak mengamalkan sunnah pula yang digelar wahabi.

Ini telah menyebabkan masyarakat takut untuk belajar Sunnah kerana takut menjadi sesat (atau menjadi Wahabi). Tetapi, bila diperjelaskan dengan baik kepada mereka, baru mereka membuka hati dan mahu datang belajar. Maka dalam ayat-ayat ini Allah ‎ﷻ menceritakan apa yang puak Yahudi terkilan tentang Islam. Ada tiga perkara syubhat yang akan disebutkan.

Yang pertama, mereka kenal malaikat tetapi mereka suka Mikail sahaja dan mereka benci Jibril عليه السلام. Sebab pada mereka Jibril عليه السلام adalah malaikat yang membawa bala. Ini mereka dapat maklumat dari kitab-kitab yang ditulis oleh pendita-pendita mereka.

Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka tanya siapakah yang membawa wahyu kepada baginda. Apabila dikatakan Jibril عليه السلام, mereka kata yang Jibril عليه السلام adalah musuh mereka. Jadi mereka tolak segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Memang ada orang Yahudi dan Kristian yang tidak suka kepada Jibril ﷺ. Mereka hanya suka kepada Mikail. Sebab itu ada mereka buat dalam filem mereka, peperangan antara “Angel Michael” dan “Angel Gabriel”. Sebab itu juga mereka tidak namakan anak mereka Gabriel tetapi mereka banyak menamakan anak mereka Michael. Mari kita lihat apakah jawapan Allah ‎ﷻ kepada kebencian mereka itu.

قُل مَن كانَ عَدُوًّا لِّجِبريلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ

Sahih International

Say, “Whoever is an enemy to Gabriel – it is [none but] he who has brought the Qur’an down upon your heart, [O Muhammad], by permission of Allah, confirming that which was before it and as guidance and good tidings for the believers.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Qur’an ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.

 

قُلْ مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِّجِبْرِيلَ

Katakanlah: dan sesiapa yang memusuhi Jibrail;

Membenci mana-mana malaikat adalah kesalahan yang amat besar. Kita tidak boleh memusuhi mana-mana malaikat. Memang sia-sia kalau membenci para malaikat. Namun itulah yang ada di dalam fikiran orang Yahudi.

Antara sebab lain yang mereka marah dengan Jibril عليه السلام itu adalah kerana pada mereka, wahyu sepatutnya hanya sampai kepada Nabi dari kalangan Bani Israil sahaja. Orang lain tidak boleh menerima wahyu, lebih-lebih lagi orang Arab.

Mereka tahu bahawa yang menurunkan wahyu adalah Jibril عليه السلام. Jadi, mereka berkata Jibril عليه السلام telah salah bagi wahyu. Sepatutnya bagi kepada orang lain, tetapi Jibril عليه السلام telah bagi kepada Nabi Muhammad ﷺ dari bangsa Arab.

Macam sekarang, kita ada orang Syiah yang juga berkata yang Jibril عليه السلام salah bagi wahyu. Mereka berkata sepatutnya wahyu itu disampaikan kepada Ali رضي الله عنه tetapi Jibrail عليه السلام telah silap bagi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana semasa mencari-cari Ali رضي الله عنه semasa beliau sedang tidur di rumah, Jibril عليه السلام telah terberi wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ yang juga sedang tidur di rumah yang sama.

 

فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَىٰ قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ

sesungguhnya dia menurunkan Al-Qur’an itu ke atas hatimu dengan izin Allah;

Maknanya, dengan izin Allah ‎ﷻlah, masuknya Al-Qur’an ke dalam hati Nabi Muhammad ﷺ dengan perantaraan Jibril عليه السلام. Bukannya Jibril عليه السلام pandai-pandai pilih sendiri siapa yang patut mendapat wahyu. Ia bukan keputusan dari Jibril عليه السلام, tetapi dari Allah ‎ﷻ sendiri.

Dengan izin Allah ‎ﷻ sahaja Al-Qur’an itu sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebagaimana sekarang, apabila Al-Qur’an dibacakan kepada kita, yang boleh melekat apa yang diajar itu ke dalam hati dan akal kita, adalah kerana izin Allah ‎ﷻ jua. Oleh itu kenalah kita berdoa supaya Allah ‎ﷻ memberikan kita faham ajaran Al-Qur’an itu.

Kalau tidak, kita hanya dapat mendengar tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan. Berapa ramai yang sudah pergi ke kelas Tafsir, tetapi mereka tidak faham apa yang disampaikan. Atau, mereka salah faham maksud yang disampaikan oleh guru yang mengajar.

Orang Yahudi, apabila mereka mendengar bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat wahyu dari Jibril عليه السلام, mereka kata: “Jibril yang itukah yang sampaikan wahyu kepada Nabi kamu? Sebenarnya kami ada banyak masalah dengan Jibril itu.” Mereka hendak menjatuhkan kredibiliti Jibril عليه السلام. Mereka juga tahu bahawa Jibril عليه السلامlah yang telah menurunkan bala kepada umat-umat dahulu yang menentang ajaran Allah ‎ﷻ. Maka, mereka kata Jibril عليه السلام adalah seorang yang jahat.

Mereka kata, kalau Mikhail ‎عليه السلام yang membawakan wahyu itu turun, mereka akan terima Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana mereka sukakan Mikhail ‎عليه السلام sebab mereka tahu Mikhail عليه السلام‎ turun membawa rahmat dan rezeki kepada manusia. Itu semua hanya sebagai alasan mereka sahaja untuk menolak kebenaran kerana kedegilan mereka.

Dalam kitab mereka, mereka ada meletakkan kisah bagaimana malaikat-malaikat adalah ‘anak-anak Tuhan’ yang ‎berlawan sesama mereka untuk mendapatkan kuasa. Jadi, kita boleh tahu bahawa pemahaman mereka tentang para malaikat bukanlah pemahaman yang benar. Ilmu agama tentang perkara ghaib telah ditukar sampai mereka menjadikan malaikat ada nafsu pula untuk mendapatkan kuasa. Padahal, malaikat itu hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab bahawa Al-Qur’an itu walaupun dibawa oleh Jibril عليه السلام, tetapi dia turun dengan izin Allah ‎ﷻ. Bukanlah dia turun membawakan sendiri dan pilih kepada siapa dia hendak berikan wahyu itu.

 

مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ

Yang membenarkan kitab yang ada di hadapan mereka;

Dan bukanlah wahyu itu menyampaikan ajaran baru tentang tauhid, tetapi ia adalah sama seperti yang ada dalam kitab-kitab yang terdahulu. Jadi, apa bezanya sampaikan mereka tidak suka dengan apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu?

Kalau ia perkara yang lain dan salah, barulah ada sebab untuk melawan dan membenci, tetapi ia adalah benda yang sama sahaja dengan apa yang mereka ada. Tidak lain dan tidak bukan, itu adalah alasan-alasan mereka dan kesamaran yang ada dalam hati mereka sahaja. 

 

وَهُدًى

Dan ianya adalah kitab yang memberi pimpinan;

Apa salah wahyu itu sedangkan wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu memberi petunjuk. Maka kalau manusia mahukan petunjuk, kena dapatkan dari Al-Qur’an, bukan dari sumber lain. Ia hendaklah dijadikan sebagai sumber hidayah yang pertama. Kalau yang lain adalah sekunder sahaja. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis khatam 30 juzuk dan kemudian kena selalu tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an itu.

 

وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

dan berita gembira kepada orang mukmin;

Sesiapa yang mengikut ajaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an, akan mendapat petunjuk. Dan sesiapa yang mendapat petunjuk, akan mendapat berita gembira. Iaitu dia akan dibalas dengan syurga.

Oleh itu hendaklah kita belajar bersungguh-sungguh tafsir Al-Qur’an ini. Sesiapa yang berniat untuk belajar isi Al-Qur’an sepenuhnya sebanyak 30 juzuk, dia telah menempah tempatnya di syurga. Barulah ada peluang untuk masuk ke dalam syurga. Bukanlah tentu masuk syurga lagi kalau sudah belajar tafsir.

Kerana masih ada syarat iaitu kenalah istiqamah dalam belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau dia mati dan tidak sempat habis belajar, dia pun in sha Allah akan memasuki syurga juga kerana Allah ‎ﷻ akan memasukkan dia di dalam golongan orang yang telah belajar Al-Qur’an kerana dia telah berniat. Walaupun tidak sempat habis, tetapi Allah ‎ﷻ akan melengkapkan niatnya itu. Apabila sudah berniat sahaja, Allah ‎ﷻ sudah suruh malaikat tulis dengan lengkap perbuatannya itu.

Tetapi belajar sahaja pun belum tentu lagi, jika tidak mengamalkan apa yang dipelajari itu. Ini kerana kalau sudah belajar tetapi tidak mengamalkan apa yang dia belajar, maka tidak ada harapan untuk memasuki syurga.  Kenalah jadi orang mukmin terlebih dahulu. Jadi, berita baik itu adalah kepada orang yang mukmin sahaja. Kalau bukan mukmin, mereka tidak dapat terima berita baik itu. Oleh itu, berusahalah kita supaya kita termasuk dalam golongan mukmin.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 18 November 2019

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s