Tafsir Surah Baqarah Ayat 254 – 256 (Ayat Kursi)

Ayat 254: Selepas sebut jihad, Allah ‎ﷻ terus sebut tentang infak, kerana infak dan jihad memang berkait rapat.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا أَنفِقوا مِمّا رَزَقنٰكُم مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ وَلا خُلَّةٌ وَلا شَفٰعَةٌ ۗ وَالكٰفِرونَ هُمُ الظّٰلِمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

O you who have believed, spend from that which We have provided for you before there comes a Day in which there is no exchange and no friendship and no intercession. And the disbelievers – they are the wrongdoers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman! 

Kalau kita rasa kita ini orang yang beriman, kita kena dengar dan amalkan ayat ini betul-betul dan kena amalkan apa yang akan disebut nanti.

 

أَنفِقوا مِمّا رَزَقنٰكُم

infakkanlah dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, 

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita dalam ayat ini bahawa rezeki yang kita dapat itu adalah daripada pemberian Dia juga. Ada yang kata, Allah ‎ﷻ beri rezeki dengan banyak supaya kita boleh perbanyakan infak. Maka jangan perasan sangat yang harta dan wang yang kita ada itu hanya untuk kita sahaja.

 

مِّن قَبلِ أَن يَأتِيَ يَومٌ لّا بَيعٌ فيهِ

sebelum tibanya hari yang tidak ada jual-beli padanya,

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk infak sebelum datang hari yang usaha kita tidak berguna lagi. Semasa dalam dunia, kita boleh dapat rezeki dengan usaha kita dan dengan pertolongan daripada orang lain. Maka pada waktu inilah yang kita patut infak kerana nanti bila sudah mati, tidak ada peluang lagi.

Allah ‎ﷻ mengingatkan ada banyak perkara yang kita tidak boleh buat bila kita sudah mati nanti. Semua ini adalah punca-punca untuk dapat pendapatan.

Usaha yang pertama adalah usaha jual beli – berniaga. Disebut berjual-beli di dalam ayat ini kerana berjual-beli atau pun berniaga adalah cara usaha yang paling menguntungkan sekali untuk mendapatkan harta dan punca pendapatan. Selain daripada itu termasuklah usaha lain seperti bekerja dan sebagainya.

 

وَلا خُلَّةٌ

dan tidak ada kawan

Yang kedua, kita boleh mendapat harta dan pendapatan adalah daripada orang lain iaitu kawan-kawan kita, keluarga kita. Mungkin kita ada kawan yang pemurah dan sanggup bantu dan beri wang kepada kita.

 

وَلا شَفٰعَةٌ

serta tidak ada pula pertolongan syafaat.

Yang ketiga, adalah pertolongan daripada orang-orang yang tidak kenal kita tetapi mereka mempunyai simpati kepada kita. Selalunya kawan rapat kita yang tolong kita; namun ada kalanya, bantuan boleh datang daripada orang lain juga.

Jadi melalui ketiga-tiga cara itu bolehlah kita mendapat harta semasa di dunia. Namun Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa tiga-tiga cara ini tidak akan ada lagi di akhirat. Oleh itu hendaklah kita infak semasa di dunia ini lagi supaya ia yang menjadi bekal untuk kita di akhirat nanti.

1. Sebab di akhirat nanti, tidak ada jual beli. Memang ada yang cuba jual keluarga mereka tetapi tidak diterima nanti.

2. Di akhirat, kawan-kawan atau kenalan rapat kita langsung tidak dapat tolong kerana mereka pun ada masalah mereka sendiri.

3. Di akhirat, memang ramai yang mengharapkan syafaat nanti di akhirat. Ramai juga yang perasan mereka akan dapat syafaat. Sebagai contoh, Bani Israil sangka Nabi mereka akan menyelamatkan mereka sebab kedudukan mereka, tetapi tidak.

Orang kita pun ada masalah kefahaman tentang syafaat ini, kerana mereka sangka Nabi Muhammad ﷺ tentu akan tolong, tetapi tidak semestinya. Hal syafaat ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam ayat-ayat lain.

Ketiga-tiga lafaz yang digunakan: شَفاعَةٌ, خُلَّةٌ ,بَيعٌ, digunakan dalam bentuk yang umum, maksudnya bukanlah menidakkan terus adanya jual beli, persahabatan dan syafaat. Memang ada juga, tetapi dalam bentuk-bentuk yang dibenarkan sahaja.

Sebagai contoh, memang Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat di akhirat kelak tetapi tidaklah dalam pemahaman yang banyak difahami oleh masyarakat kita. Nanti apabila sampai ke tempatnya, kita akan berbincang bagaimana jual beli, persahabatan dan syafaat ini akan ada di akhirat kelak.

 

وَالكٰفِرونَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.

Orang-orang yang kufur ingkar (tidak kiralah sama ada non-Muslim atau Muslim sendiri) adalah mereka yang tidak beriman dengan Allah ‎ﷻ dan perasan yang harta yang mereka ada itu adalah hak mereka dan bukan pemberian daripada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak mahu beriman dengan ayat ini dan tidak mengeluarkan infak kerana mereka tidak percaya kepada hari akhirat.

Ramai dalam kalangan mereka ada salah faham yang mereka boleh menyelamatkan diri mereka kerana mereka boleh berjual beli, kerana mereka ada kaitan dengan orang-orang alim atau mereka yang hanya berharap kepada syafaat sahaja.


 

Ayat 255: Ini adalah ayat yang terkenal sebagai Ayat Kursi. Memang ramai yang hafal ayat ini dan diamalkan dalam berbagai-bagai keadaan dan keperluan.

Dalam ayat ini diulangi semula tajuk Tauhid atau Dakwa Surah dalam ayat ini untuk kali yang ketiga. Cuma di dalam ayat ini diberikan Dakwa dahulu kemudian disertakan dalilnya sekali.

Dakwa ayat ini adalah: Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh diminta pertolongan untuk masalah kecil ataupun besar. Dalilnya adalah Sifat-Sifat-Nya yang sempurna yang Allah ‎ﷻ akan sebut satu persatu.

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ ۚ لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ ۚ لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ ۚ يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم ۖ وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِّن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ ۚ وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ ۖ وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما ۚ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of [all] existence. Neither drowsiness overtakes Him nor sleep. To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. Who is it that can intercede with Him except by His permission? He knows what is [presently] before them and what will be after them, and they encompass not a thing of His knowledge except for what He wills. His Kursi extends over the heavens and the earth, and their preservation tires Him not. And He is the Most High, the Most Great.

MALAY

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

 

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah, dicintai, ditaati dan diibadati) melainkan Dia,

Kita selalu terjemah ayat ini sebagai tidak ada yang layak ‘disembah’ melainkan Allah ‎ﷻ tetapi bukan itu sahaja. Ini kerana ada orang yang beribadah kepada Allah ‎ﷻ tetapi tidak taat kepada-Nya. Tidak lengkap apa yang mereka lakukan.

Sebagai contoh, mereka tidak pernah tinggal salat, mereka pergi mengerjakan ibadah Haji, tetapi mereka tidak taat dalam hal perniagaan berlandaskan riba. Maknanya mereka tidak taat sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak sebenar-benarnya menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ.

Potongan ayat ini hendak mengingatkan kita kembali kepada kalimah syahadah kita yang menjadi pegangan kita seumur hidup. Kita telah menerangkan dengan panjang lebar sebelum ini apakah maksud ‘ilah‘ itu dan tidak perlu diulangi lagi di sini.

Selepas memberitahu Dakwa ayat, Allah ‎ﷻ meneruskan dengan memberikan dalil-dalil kenapa Dia sahaja ilah iaitu sekarang Allah ‎ﷻ akan menceritakan Sifat-sifat-Nya.

 

الحَيُّ القَيّومُ

Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan

Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Hidup. Selain daripada Allah ‎ﷻ akan mati belaka. Maka, oleh kerana semua selain Allah ‎ﷻ akan mati, kenapa hendak meminta kepada yang akan mati? Itu adalah sia-sia sahaja kerana kalau kita minta pertolongan kepada yang mati, apakah yang dia boleh bantu kita?

Maka hendaklah kita meminta kepada Allah ‎ﷻ yang Maha Hidup dan tidak akan mati-mati, sampai bila-bila pun dan kena tahu bahawa Allah ‎ﷻ sahaja yang sebenar-benar hidup. Walaupun kita lihat makhluk itu hidup, tetapi segala kehidupan yang lain itu adalah kerana Dia sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan makhluk itu hidup, maka makhluk itu akan mati.

Maka bergantunglah kepada Allah ‎ﷻ sahaja, Dzat yang sebenar hidup. Kenapa kita hendak bergantung kepada entiti yang kehidupan dia sendiri pun bergantung kepada Allah ‎ﷻ?

Allah ‎ﷻlah sahaja yang bersedia dan mampu untuk mengurus dan mentadbir untuk segala hamba. Dia sentiasa menjaga segala makhluk supaya makhluk itu dapat terus berdiri. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beri sokongan, maka tentu alam ini terus roboh dan berantakan. Maknanya, Allah ‎ﷻ yang jadikan alam dan kemudian Dia meneruskan kewujudan alam ini.

Maknanya Allah ‎ﷻ sentiasa mentadbir alam ini tanpa henti. Bukanlah Allah ‎ﷻ cipta dan jadikan alam ini dan tinggalkan begitu sahaja. Maka kalau ada apa-apa keperluan, kena minta kepada Allah ‎ﷻ kerana Dia juga yang sediakan segala keperluan makhluk.

 

لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ

Yang tidak ada permulaan rasa mengantuk, dan tidak tidur.

Allah ‎ﷻ tidak ada rasa mengantuk pun. Jangan kata hendak mengantuk, mula hendak mengantuk pun tidak ada. Ini adalah kerana perkataan yang digunakan bukan ‘mengantuk’ tetapi ‘permulaan untuk mengantuk’.

Yang dimaksudkan dengan سِنَةٌ adalah mula-mula rasa mengantuk, kerana kalau ‘mengantuk’, ada perkataan lain yang digunakan dalam Al-Qur’an. Apabila kita mengantuk, orang yang ada di depan kita pun kita sudah tidak berapa cam lagi tetapi sebelum betul-betul mengantuk itu, akan ada rasa hendak mengantuk dan itulah yang dinamak سِنَةٌ. Mengantuk dan mula-mula rasa mengantuk pun tidak ada pada Allah ‎ﷻ.

Ada Ilmu Balaghah dalam ayat ini iaitu tentang takdim (diawalkan) dan ta’khir (diakhirkan). Ada perkataan yang dimulakan dan ada yang dikemudiankan. Allah ‎ﷻ sebut mengantuk dahulu sebab mengantuk datang sebelum tidur.

Allah ‎ﷻ juga tidak pernah tidur. Tidur pun banyak peringkat juga kerana ada tidur-tidur ayam, ada yang tidur nyenyak, dan ada yang ‘tidur mati’. Tidur mati itu sampai kalau kena sepak pun tidak bangun kerana sudah tidur nyenyak sangat. Ada tidur yang lebih lagi hebat iaitu seperti tidur Ashabul Kahfi yang tidur selama lebih 300 tahun.

Semua jenis tidur ini tidak ada langsung pada Allah ‎ﷻ. Bandingkan dengan pengawal keselamatan yang menjaga sesuatu bangunan. Walaupun mereka sepatutnya menjaga bangunan itu tetapi selalunya kita pun tahu yang mereka itu sama ada tidur ataupun mengantuk dan tidak memberikan perhatian yang sepatutnya.

Allah ‎ﷻ tidak begitu, Dia tetap menjaga alam ini kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah tidur-tidur. Maka kerana itu kita boleh berharap kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ sentiasa beri perhatian.

 

لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Yang memiliki segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi.

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa alam ini adalah kepunyaan Dia. Kalau kita ada barang, agaknya cara penjagaan kita kepada barang itu berbeza jikalau barang itu kita punya ataupun orang lain punya?

Tentu ada beza kalau kita menjaga barang orang lain dengan menjaga barang kita. Tentunya kita lebih sayang barang kita dan akan memberi perhatian yang lebih kepadanya. Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang alam ini kepunyaan Dia dan dari situ, kita dapat tahu bahawa Allah ‎ﷻ akan menjaga alam ini dengan sebaik-baiknya.

 

مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ

Sesiapakah yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izinNya?

Soalan ini adalah soalan retorik. Macam kita cakap kepada orang: “kalau aku tak tolong dia, siapa lagi yang boleh tolong dia?” Allah ‎ﷻ beri soalan ini kerana memang tidak ada sesiapa pun yang boleh memberi syafaat tanpa izin daripada Allah ‎ﷻ.

Tidak ada, walaupun yang diharapkan syafaat itu adalah daripada Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun kita tahu yang baginda akan meminta syafaat untuk manusia tetapi baginda pun tidak berani membuka mulut baginda melainkan setelah diizinkan oleh Allah ‎ﷻ dan baginda pun hanya akan mengatakan perkara-perkara yang dibenarkan oleh Allah ‎ﷻ sahaja.

Kena faham yang keputusan beri syafaat itu bukan hak Nabi ﷺ. Ini kita dapat faham daripada ayat ini. Semua umat Islam baca ayat ini tetapi mereka tidak faham maksudnya. Apakah salah faham mereka? Mereka tidak faham kerana jahil wahyu.

Ramai tidak sedar yang Nabi Muhammad ﷺ hanya boleh memberi syafaat kepada mereka yang dibenarkan menerima syafaat sahaja. Maknanya, Allah ‎ﷻ sahaja yang menentukan siapakah yang boleh terima syafaat itu, bukannya Nabi ﷺ. Maka golongan sesat yang minta syafaat daripada Nabi ﷺ sekarang ini adalah sia-sia sahaja.

Ini kerana baginda bukan dengar pun permintaan kita dan kalau baginda dengar pun, baginda bukan boleh bagi. Maka sia-sia sahajalah nyanyian Ya Hanana golongan Habib yang sentiasa meminta syafaat kepada Rasulullah. Ini termasuk juga dengan permintaan mana-mana golongan pun yang berharap sangat syafaat daripada baginda.

Kenapa baginda tidak dapat beri syafaat kepada kita? Kerana sebelum kita membantu (atau beri syafaat) seseorang dengan meminta pertolongan untuk mereka hendaklah kita tahu kedudukan seseorang itu. Kita bawakan satu contoh di sini untuk mudah faham.

Katakanlah seorang ketua syarikat telah marah kepada seorang pekerja dan dia telah memecat pekerja itu. Mungkin kerana pada pengetahuan ketua itu, pekerja itu telah melakukan satu kesalahan berat. Katakanlah kita tahu keadaan sebenar, yang pekerja itu tidak lakukan pun kesalahan yang dituduh itu, dan kita hendak membantu pekerja yang telah dipecat itu.

Maka kita pun pergilah berjumpa dengan ketua syarikat itu untuk tidak memecat pekerja itu kerana kita kata ada perkara yang ketua syarikat itu tidak tahu. Maka kita pun menjelaskan kepada beliau kedudukan perkara yang sebenar. Maknanya ketua syarikat itu telah membuat keputusan kerana ada perkara yang dia tidak tahu dan kita telah membantu pekerja yang telah dipecat itu dengan menjelaskan kedudukan yang sebenar kerana kita ada maklumat itu.

Tetapi bagaimana kita hendak memberitahu Allah ‎ﷻ kedudukan seseorang yang dimurkai oleh Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ sendiri tahu perkara yang sedang berlaku dan yang telah berlaku. Semua perkara tentang seseorang itu Allah ‎ﷻ ketahui, lalu bagaimana kita hendak hendak rekomen orang itu kepada Allah ‎ﷻ?

 

يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم

yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, 

Allah ‎ﷻ Maha Tahu dengan apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Tidak ada yang mengetahui apa yang sedang berlaku dan yang telah berlaku seperti yang ilmu yang ada pada Allah ‎ﷻ. Melainkan sekadar apa yang Allah ‎ﷻ beritahu kepada mereka.

Maka kita tidak dapat hendak rekomen (beri syafaat) untuk sesiapa kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ lebih tahu. Ilmu Allah ‎ﷻ lebih luar daripada kita. Allah ‎ﷻ tahu segala-gala tentang apa-apa perkara pun.

 

وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِّن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ

sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki 

Ilmu yang ada pada Allah ‎ﷻ tidak dapat diliputi atau difahami oleh manusia. Apa yang Allah ‎ﷻ beri adalah sedikit sahaja kepada manusia. Sebagai contoh, ilmu tentang roh. Allah ‎ﷻ kata Dia beri pengetahuan sedikit sahaja. Begitu juga dengan ilmu-ilmu lain.

Maka banyak sangat benda yang kita tidak faham. Kadang-kadang manusia mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan dan lakukan. Mereka kata kenapa jadi begini dan kenapa jadi begitu? Macamlah Allah ‎ﷻ salah buat keputusan. Kita tidak layak untuk mempersoalkan tindakan Allah ‎ﷻ. Kita tidak tahu kenapa Allah ‎ﷻ buat sesuatu perkara maka hendaklah kita redha sahaja.

 

وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi;

Maha luas kekuasaan-Nya meliputi langit dan bumi. Bila sebut ‘kursi’, mungkin akal kita tertanya, apa maksudnya? Bagaimana rupanya? Kalau besar, berapa besar? Apakah hakikatnya dan macam-macam lagi soalan yang bermain dalam akal fikiran kita.

Jawapannya dalam potongan ayat sebelum ini: iaitu kita tidak dapat menjangkau ilmu itu. Kita tidak akan dapat faham. Bukan dalam jangkauan akal kita yang cetek ini.

 

وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما

dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.

Sebelum Allah ‎ﷻ beritahu yang alam ini semua milik-Nya dan dengan begitu hebat alam ini, tetapi Allah ‎ﷻ tidak rasa berat pun untuk menguruskan segalanya. Qudrat Allah ‎ﷻ tidak dapat dibayangkan oleh akal kita.

Mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ mentadbir alam ini. Maka segala apa yang terjadi adalah dalam jangkauan ilmu Allah ‎ﷻ. Maka tidak ada apa pun tentang kita yang Allah ‎ﷻ tidak tahu. Sebagai contoh, setiap helai daun yang jatuh adalah dalam pengetahuan-Nya dan dalam urusan-Nya. Bukanlah daun itu terjatuh sendiri melainkan dengan izin-Nya juga.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ mudah sahaja untuk mentadbir alam ini, maka jangan malu untuk minta kepada Allah ‎ﷻ apa-apa sahaja. Jangan rasa kita memberatkan Allah ‎ﷻ untuk beri apa yang kita minta. Kalau Allah ‎ﷻ berkenan hendak kabulkan permintaan kita itu, mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk beri.

 

وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

Dan Dia lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Agung

Kalau langit itu tinggi dan Arash itu lebih tinggi dari langit, Allah ‎ﷻ lebih tinggi daripada Arash itu. Keagungan Allah ‎ﷻ tidak ada tolok bandingnya.


 

Ayat 256:

لا إِكراهَ فِي الدّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ ۚ فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ وَيُؤمِن بِاللَّهِ فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

There shall be no compulsion in [acceptance of] the religion. The right course has become clear from the wrong. So whoever disbelieves in Taghut and believes in Allah has grasped the most trustworthy handhold with no break in it. And Allah is Hearing and Knowing.

MALAY

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

لا إِكراهَ فِي الدّينِ

Tidak ada paksaan dalam ugama

Selepas Allah ‎ﷻ memberitahu Sifat-sifat-Nya, Allah ‎ﷻ kata tidak ada paksaan dalam agama. Kalau selepas diberitahu sifat-Nya sebegitu hebat, tetapi masih tidak mahu beriman, tidak ada gunanya untuk memaksa sesiapa. Sepatutnya selepas tahu sifat Allah ‎ﷻ, siapakah Allah ‎ﷻ itu, manusia kena datang taat kepada Allah ‎ﷻ dengan rela.

Memang tidak boleh paksa sesiapa pun untuk masuk agama Islam. Tidak boleh tangkap orang dan suruh mereka mengucap. Tidak ada gunanya kalau iman itu dipaksa. Maknanya, bukan dia beriman pun.

Tetapi apabila telah masuk agama Islam, mereka boleh dipaksa dalam perkara-perkara hukum. Maka kita kena bezakan dua jenis paksaan ini. Perumpamaan kalau sudah masuk sekolah, kena taat kepada guru. Selagi belum masuk sekolah, guru tidak boleh paksa pelajar itu untuk masuk kelas atau mendendanya untuk mengutip sampah yang berselerakan di padang.

Tetapi apabila pelajar sekolah itu sudah mula belajar di sekolah itu, maka guru-guru boleh memaksa pelajar itu untuk melakukan sesuatu kerana telah ada perjanjian daripada pelajar itu untuk taat kepada guru. Sememangnya pelajar kena ikut undang-undang sekolah.

Oleh kerana itu tidak boleh paksa sesiapa pun masuk Islam tetapi apabila sudah masuk Islam, ada undang-undang yang perlu ditaati. Jangan pula bila kita suruh anak kita salat, dia jawab tidak boleh paksa salat pula. Atau ada yang kata tidak boleh paksa pakai Hukum Hudud kerana ‘tidak ada paksaan dalam agama’. Apabila sudah masuk Islam, maka kewajipan beramal dengan undang-undang suruh dalam Islam sudah menjadi wajib bagi orang itu.

Allah ‎ﷻ tidak mahu manusia beriman kepada-Nya jika di atas dasar paksaan. Ini kerana iman adalah perkara hati dan hati itu tidak boleh dipaksa oleh manusia lain. Yang kena paksa masuk Islam ini, dan katakanlah mereka mengaku masuk Islam, ia adalah seumpama telur yang luarnya nampak cantik tetapi di dalamnya sudah busuk iaitu telur tembelang.

Mungkin ada hujah yang kata bukankah Islam mengembangkan agama dengan pedang? Ini kerana mereka baca dalam sejarah, umat Islam banyak menjalankan jihad perang semenjak zaman Nabi Muhammad ﷺ lagi. Kalau ada yang berkata begitu, mereka telah mendapat maklumat yang salah tentang peperangan dalam Islam.

Nabi ﷺ dan Islam tidak pernah memaksa manusia masuk Islam. Nabi ﷺ berperang untuk menegakkan keadilan. Agama Islam menjalankan jihad perang untuk membebaskan rakyat yang ditindas, bukannya memaksa mereka masuk Islam. Yang selalu menghalang dakwah Islam sampai adalah para pemimpin mereka, maka mereka itu yang kena ditentang supaya dakwah Islam boleh sampai.

Tetapi selepas negara itu dibebaskan daripada cengkaman pemerintah zalim, kerajaan Islam tidak paksa rakyat negara itu beriman. Terpulang kepada mereka sama ada hendak beriman atau kekal dalam agama asal mereka. Islam tidak perlukan manusia masuk Islam dalam paksaan. Allah ‎ﷻ mahu hamba-Nya yang ikhlas hati menyembah dan taat kepada-Nya.

Buktinya, kita boleh lihat dalam sejarah. Memang ramai yang masuk Islam selepas negara mereka dibebaskan tetapi selepas negara itu bebas daripada kerajaan Islam, mereka tidak pula tukar agama, bukan? Ini menunjukkan memang mereka masuk Islam kerana ikhlas dan mereka tidak tinggalkan Islam kerana mereka tahu yang Islam itu adalah agama yang benar.

 

قَد تَّبَيَّنَ الرُّشدُ مِنَ الغَيِّ

kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kesesatan

Fahaman tauhid ini sangat jelas kebenarannya sampai tidak perlu dipaksa manusia untuk masuk Islam. Sangat jelas yang petunjuk tauhid itulah yang benar, kalau dibandingkan dengan kesesatan syirik.

Mereka yang tidak jelas itu adalah kerana mereka jahil tidak belajar. Maka hendaklah mereka itu belajar tafsir Al-Qur’an barulah jelas. Ataupun mereka sudah nampak tetapi mereka menutup hati mereka kepada Islam. Ini kerana mereka tetap hendak ikut hawa nafsu mereka.

Apabila tauhid sudah jelas, maka syirik itu juga jelas sepertimana juga apabila hitam telah jelas maka putih pun jelas. Namun kalau yang tidak belajar ilmu wahyu, mereka tidak akan tahu mana satu tauhid dan mana satu syirik. Oleh itu, apabila kita memberitahu tentang apakah akidah yang benar dan lawannya syirik, masyarakat Islam banyak yang jadi keliru kerana tidak biasa mendengar tentangnya.

 

فَمَن يَكفُر بِالطّٰغوتِ

Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada Taghut,

Taghut itu bermaksud segala apa yang dipuja selain daripada Allah ‎ﷻ. Tidak kira apa benda pun. Boleh jadi manusia, kerajaan, fahaman, wang dan sebagainya. Orang yang beriman akan menolak taghut itu. Mereka tidak akan sembah selain daripada Allah ‎ﷻ.

Definisi taghut dijelaskan dalam Nisa’: 51.

 

وَيُؤمِن بِاللَّهِ

dan dia pula beriman kepada Allah, 

Kena benar-benar beriman dengan Allah ‎ﷻ. Itulah ‘iman yang sempurna’ iaitu tidak menyembah dan taat kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Ini penting kerana manusia ada yang beriman dengan Allah ‎ﷻ, namun dalam masa yang sama, mereka beriman dengan ilah-ilah yang lain lagi. Boleh rujuk An’am:82 dan Yusuf:106.

Lihatlah susunan dalam ayat ini – Kena tolak taghut dahulu baru sebut beriman dengan Allah ‎ﷻ. Macam kalimah la ilaaha illallah – kena tolak ilah selain Allah ‎ﷻ dahulu. Selepas sudah tolak, barulah kita terima masuk iman itu.

Begitulah kalau kita hendak memasukkan air ke dalam gelas, kita kena pastikan yang gelas itu bersih daripada kekotoran dahulu. Jangan terus masukkan air yang baru kerana itu akan menyebabkan air itu akan bercampur dengan kekotoran yang sudah ada.

Malangnya, masyarakat Islam kita sekarang banyak yang mencampur adukkan iman dan fahaman syirik. Ini adalah kerana mereka itu jahil dengan wahyu dan tidak dapat membezakan mana tauhid dan mana syirik.

 

فَقَدِ استَمسَكَ بِالعُروَةِ الوُثقىٰ لَا انفِصامَ لَها

sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.

Kalimah عُروَةِ bermaksud sesuatu yang boleh dipegang. Macam stereng kereta pun boleh dikatakan sebagai salah satu عُروَةِ juga kerana kita pegang padanya. Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan tali yang disimpul kuat sampaikan boleh dipegang.

Begitulah dalam keadaan yang bergolak, seperti kapal yang dilanda badai lautan, kita kena pegang kepada sesuatu yang boleh meneguh dan menyelamatkan kita. Antaranya adalah tali tetapi tali yang boleh dipegang mestilah yang ada simpul, baru senang dipegang.

Ada tafsir yang mengatakan bahawa عُروَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Maknanya kita kena berpegang dengan Al-Qur’an. Maka, kenalah belajar sampai habis tafsir Al-Qur’an ini dan terus mempelajari dan mendalami pemahamannya.

 

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Ini satu lagi sifat Allah ‎ﷻ yang Dia beritahu kepada kita. Dia Maha Mendengar segalanya. Kita pun mendengar juga, tetapi tidaklah pendengaran kita seperti pendengaran Allah ‎ﷻ. Kalau orang jauh sedikit, kita pun sudah tidak dengar.

Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui apa sahaja yang kita lakukan. Maka kita kena sedar dan berhati-hati dengan kata-kata kita kerana Allah ‎ﷻ tahu. Kalau kata-kata dan perbuatan kita itu salah, maka Allah ‎ﷻ akan buat penilaian dan buat pembalasan di akhirat kelak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Januari 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 254 – 256 (Ayat Kursi)”

  1. soalan : Betulkah syaitan takut dengan bacaan ayatul kursi? Yang saya faham , syaitan tidak takut tapi syaitan takut kalau manusia itu mentauhidkan Allah swt…

    Like

    1. soalan yang bagus dan jawapan anda betul. perkara ini mungkin ramai tidak faham kerana ia agak halus.
      kita baca ayat kursi itu bukannya untuk takutkan syaitan, tapi untuk ingatkan kita kembali kepada perkara tauhid. maka kalau kita sudah kembali sedar tentang tauhid, maka syaitan pun takut dengan kita.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s