Tafsir Surah an-Nisa Ayat 163 – 165 (Tugas para Rasul)

Ayat 163: Ini adalah jawapan dari Allah ‎ﷻ tentang hujah puak Yahudi yang kononnya mahukan kitab Qur’an turun sekaligus.

Allah ‎ﷻ jawab bahawa kebanyakan kitab kalamullah diturunkan sedikit demi sedikit sampailah kepada Kitab Zabur. Nabi Musa عليه السلام pun mendapat wahyu lain selain dari Taurat kerana baginda telah mendapat dua jenis wahyu. Ada wahyu yang tertulis seperti Taurat dan ada wahyu lain yang diterima baginda sebelum Taurat diturunkan.

Kemudian Allah ‎ﷻ menyenaraikan semua Nabi di bawah ini mendapat wahyu sedikit demi sedikit, beransur-ansur.

۞ إِنّا أَوحَينا إِلَيكَ كَما أَوحَينا إِلىٰ نوحٍ وَالنَّبِيّينَ مِن بَعدِهِ ۚ وَأَوحَينا إِلىٰ إِبرٰهيمَ وَإِسمٰعيلَ وَإِسحٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطِ وَعيسىٰ وَأَيّوبَ وَيونُسَ وَهٰرونَ وَسُلَيمٰنَ ۚ وَءآتَينا داوودَ زَبورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have revealed to you, [O Muḥammad], as We revealed to Noah and the prophets after him. And We revealed to Abraham, Ishmael, Isaac, Jacob, the Descendants,¹ Jesus, Job, Jonah, Aaron, and Solomon, and to David We gave the book [of Psalms].

  • Al-Asbāṭ. See footnote to 2:136.

MALAY

Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayyub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud, kitab Zabur.

 

إِنّا أَوحَينا إِلَيكَ كَما أَوحَينا إِلىٰ نوحٍ وَالنَّبِيّينَ مِن بَعدِهِ

Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; 

Cara Allah ‎ﷻ memberikan wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ sama sahaja sebagaimana cara yang diberikan kepada Nabi Nuh عليه السلام dan Nabi-nabi lain sebelum baginda. Bukanlah baginda manusia pertama yang menerima wahyu, tetapi sudah ramai para Nabi dahulu yang menerima wahyu. Jadi tidak ada apa yang hendak dihairankan. Mereka pun percaya dengan para Nabi yang disebutkan ini.

Disebutkan nama Nabi Nuh عليه السلام kerana bagindalah Nabi yang menjadi Rasul yang pertama. Nabi Adam عليه السلام tidak dikira sebagai Rasul tetapi sebagai Nabi sahaja. Zaman Nabi Adam عليه السلام wahyu juga diturunkan, tetapi tidaklah seperti yang diberikan kepada Nabi Nuh عليه السلام kerana waktu itu manusia sudah membuat banyak kesalahan dan dosa. Maka wahyu yang diberikan sudah mengandungi ancaman di dalamnya.

 

وَأَوحَينا إِلىٰ إِبرٰهيمَ وَإِسمٰعيلَ وَإِسحٰقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطِ وَعيسىٰ وَأَيّوبَ وَيونُسَ وَهٰرونَ وَسُلَيمٰنَ

dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayyub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman;

Sebelum ini telah disebut ‘semua Nabi-nabi’ tetapi Allah  ‎ﷻ telah menyebut satu persatu Nabi yang terkenal. Secara umumnya, Kitab Qur’an tidak banyak menyebut nama para Nabi. Tidak seperti Kitab Injil yang ada sekarang, kalau disebutkan nama Nabi, berjela-jela panjangnya.

Para Nabi ini disebut kerana Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan manusia, bukanlah Nabi Muhammad ﷺ Nabi dan Rasul yang pertama, tetapi baginda adalah sambungan dari Nabi-nabi yang terdahulu. Ajaran tauhid yang baginda sampaikan adalah sama sahaja dengan para Nabi-nabi itu.

 

وَءآتَينا داوودَ زَبورًا

dan Kami telah memberikan kepada Nabi Daud, Kitab Zabur.

Zabur adalah nama kitab yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ. kepada Na­bi Daud عليه السلام. Ia adalah kitab yang tidak mengandungi ayat-ayat hukum tetapi mengandungi kata-kata pujian kepada Allah ‎ﷻ dan nasihat-nasihat kepada manusia.

Di dalam ayat Qur’an yang lain, ada disebut bagaimana apabila Nabi Daud عليه السلام membaca Kitab Zabur, burung dan gunung akan turut membaca bersama baginda.


 

Ayat 164:

وَرُسُلًا قَد قَصَصنٰهُم عَلَيكَ مِن قَبلُ وَرُسُلًا لَّم نَقصُصهُم عَلَيكَ ۚ وَكَلَّمَ اللهُ موسىٰ تَكليمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We sent] messengers about whom We have related [their stories] to you before and messengers about whom We have not related to you. And Allāh spoke to Moses with [direct] speech.

MALAY

Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).

 

وَرُسُلًا قَد قَصَصنٰهُم عَلَيكَ مِن قَبلُ

Dan beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini,

Ada dari Rasul-rasul itu yang sudah diceritakan oleh Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam Surah-surah Makiyyah.

 

وَرُسُلًا لَّم نَقصُصهُم عَلَيكَ

dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. 

Ada Rasul-rasul yang belum diceritakan lagi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Semua mereka itu telah mendapat wahyu sedikit demi sedikit juga. Jadi kenapakah Yahudi ingin mempersoalkan penurunan Qur’an yang sedikit demi sedikit itu?

Nama-nama Rasul dan Nabi tidak banyak disebut di dalam Qur’an. Tetapi sebenarnya bilangan mereka amat banyak sehingga beribu-ribu, cuma tidak disebut di dalam Qur’an sahaja.

 

وَكَلَّمَ اللهُ موسىٰ تَكليمًا

Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata yang sebenar

Dan Allah ‎ﷻ juga telah bercakap dengan Nabi Musa عليه السلام dan ini bukanlah wahyu di dalam bentuk Taurat. Maknanya Nabi Musa عليه السلام pun ada menerima wahyu sedikit demi sedikit juga. Jadi, kenapakah Yahudi mahu membuat kecoh mengenainya? Mereka pun mengetahui tentang perkara ini kerana Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi mereka yang utama. Maka hujah mereka mahu Qur’an diturunkan terus sekaligus itu adalah hujah dan helah mereka sahaja.

Dalam ayat ini, ditambah dengan lafaz تَكليمًا untuk menekankan yang Allah ‎ﷻ memang berkata-kata dengan Nabi Musa عليه السلام secara terus. Tidak ada ‘orang tengah’ antara Allah ‎ﷻ dan baginda. Ini adalah kelebihan yang diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام sampaikan baginda diberi dengan gelaran Kalimullah. Kisah ini terdapat antara lain bermula dari ayat Taha:11.

Ia juga ada disebut di dalam Exodus 33:11

Dan TUHAN berbicara kepada Musa dengan berhadapan muka seperti seorang berbicara kepada temannya; kemudian kembalilah dia ke perkhemahan. Tetapi abdinya, Yosua bin Nun, seorang yang masih muda, tidaklah meninggalkan khemah itu.

Malangnya, ada juga orang Islam yang tidak mempercayai Allah ‎ﷻ berkata-kata terus dengan Nabi Musa عليه السلام. Mereka telah mengubah bacaan ayat ini sampai ia berbunyi: “Musa yang berkata terus dengan Allah ‎ﷻ”. Ini adalah bacaan yang salah dan bacaan yang kufur.

Ini adalah kerana dalam akidah sesat mereka, Allah ‎ﷻ tidak berkata-kata. Ini adalah fahaman yang amat salah sekali. Allah ‎ﷻ mampu berbuat apa sahaja. Kalau Dia boleh memberikan kita kemampuan untuk berkata-kata, sudah pasti Dia sendiri boleh berkata-kata lebih dari itu?


 

Ayat 165:

رُّسُلًا مُّبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ لِئَلّا يَكونَ لِلنّاسِ عَلَى اللهِ حُجَّةٌ بَعدَ الرُّسُلِ ۚ وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[We sent] messengers as bringers of good tidings and warners so that mankind will have no argument against Allāh after the messengers. And ever is Allāh Exalted in Might and Wise.

MALAY

Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

رُّسُلًا مُّبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ

Rasul-rasul itu sebagai pembawa khabar gembira dan pembawa amaran

Semua para rasul itu memberikan berita gembira dan ancaman kepada manusia. Semua mereka membawa tugas yang sama. Kepada yang mengikut wahyu, akan mendapat berita gembira dan kepada mereka yang kufur, akan diberikan dengan berita ancaman.

Ini mengajar kita, dalam kita berdakwah kita haruslah menyampaikan kedua-dua perkara ini. Jangan hanya menceritakan yang sedap dan manis sahaja, tetapi meninggalkan ancaman dari Allah ‎ﷻ. Begitu juga  sebaliknya.

لِئَلّا يَكونَ لِلنّاسِ عَلَى اللهِ حُجَّةٌ بَعدَ الرُّسُلِ

supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. 

Tujuan wahyu diturunkan kepada manusia adalah supaya tiada alasan hujah untuk menghalang Allah ‎ﷻ menyeksa mereka di akhirat kelak kerana Allah ‎ﷻ sudah memberikan wahyu semasa manusia hidup di dunia. Jangan ada di kalangan manusia yang berhujah: mereka ingin mengikut wahyu tetapi mereka tidak mendapat wahyu. Mereka tidak boleh berkata yang mereka menjadi sesat kerana mereka tidak tahu manakah yang benar dan manakah yang salah.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ sudah memberikan kita dengan pancaindera, otak, roh dan tanda-tanda pada alam. Itu sebenarnya sudah cukup kepada mereka yang mahu berfikir. Tetapi dengan rahmatNya Dia berikan pula Nabi dan wahyu kepada kita. Allah ‎ﷻ menurunkan wahyu dan para Nabi itu sebagai rahmat kerana tidak wajib bagi Allah ‎ﷻ untuk menurunkan Nabi dan wahyu pun.

Maka memang tidak ada alasan lagi bagi manusia yang degil. Kalau tidak ikut juga, itu adalah kerana kedegilan atau kejahilan sahaja. Dan tiada maaf lagi kalau mereka hanya menggunakan alasan itu sahaja. Alasan itu tidak  akan laku di akhirat kelak.

Pada zaman sekarang, boleh dikatakan semua manusia telah mendengar tentang Allah ‎ﷻ dan juga Qur’an. Tidak dapat difikirkan adakah lagi terdapat manusia yang tidak mengetahui tentang Allah ‎ﷻ sedangkan di zaman sekarang, maklumat boleh sampai ke mana-mana sahaja di dalam masa yang singkat. Kecualilah mereka yang tinggal di dalam hutan belantara dan langsung tidak bergaul dengan manusia luar. Itu pun mungkin hanya sedikit sahaja bilangannya.

Fikirkan bagaimana ramai di kalangan kita yang mampu untuk menuntut pelbagai cabang ilmu sehingga ke peringkat ijazah dan PhD, tetapi apabila terdapat saudara atau kawan yang mengajak untuk mempelajari tafsir Qur’an di hujung minggu, pelbagai alasan yang akan diberikan. Cuba renungkan di manakah manusia meletakkan prioriti untuk mempelajari firman Allah ‎ﷻ berbanding dengan ilmu keduniaan yang lain?

 

وَكانَ اللهُ عَزيزًا حَكيمًا

Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Perkasa, Dia boleh menyuruh manusia taat kepadaNya dengan cara apa sekali pun.

Tetapi Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana telah memilih dengan cara diberikan Rasul kepada kita. Itulah cara yang telah Allah ‎ﷻ pilih di atas kebijaksanaanNya yang pasti tiada bandingannya.

Pasti ada kehebatannya apabila Allah ‎ﷻ menggabungkan kedua-dua namaNya. Kalau satu nama pun sudah hebat, apatah lagi kalau digabungkan dua nama. Ia menambah keindahan nama-nama itu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita yang walaupun Allah ‎ﷻ berkuasa untuk berbuat apa-apa sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ tidaklah menyalahgunakan kuasaNya itu. Allah ‎ﷻ mentadbir dan menghukum manusia dengan penuh kebijaksanaan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 September 2018

Ringkasan Surah Nisa’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s