Ayat 22: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang mereka yang telah dikenakan dengan azab kerana mereka berbuat dosa. Dosa apakah yang mereka lakukan? Ianya dijelaskan dalam ayat ini. Dosa mereka adalah dosa tolak wahyu. Itulah dosa paling berat sekali.
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانَت تَّأتيهِم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ فَكَفَروا فَأَخَذَهُمُ اللهُ ۚ إِنَّهُ قَوِيٌّ شَديدُ العِقابِ
That was because their messengers were coming to them with clear proofs, but they disbelieved, so Allah seized them. Indeed, He is Powerful and severe in punishment.
(Kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu Allah menyeksa mereka, sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat lagi Maha berat azab seksaNya.
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانَت تَّأْتِيهِمْ رُسُلُهُم
Demikianlah mereka dulu telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka
Allah ingatkan kepada Musyrikin Mekah dan mereka yang seperti mereka, kaum-kaum itu dihancurkan kerana mereka buat perangai mereka yang salah, yang sama seperti yang sedang dilakukan oleh Musyrikin Mekah dan musyrik mana-mana dalam dunia.
Mereka yang telah diazab di dunia seperti Tsamud, Aad, Firaun dan kaumnya itu, mereka juga telah didatangi oleh para Rasul. Bukannya mereka tidak diingatkan dengan ajaran tauhid.
Kalau orang-orang dahulu telah didatangi oleh Rasul mereka, bagaimana dengan kita? Kita tidak ada rasul dan Nabi lagi, tapi akan ada penyebar tauhid yang akan menceritakan hal tauhid kepada kita. Maka kita pun telah didatangi dengan penyampai risalah tauhid. Jangan guna alasan tidak ada Rasul pula untuk kita. Kerana Rasul kita adalah Nabi Muhammad dan ajaran baginda telah sampai kepada kita.
بِالْبَيِّنٰتِ
dengan bawa bukti-bukti jelas
Rasul-rasul itu telah datang membawa bukti-bukti yang jelas dari Allah. Mereka bawa wahyu, bawa hujah, bawa mukjizat. Segala itu dibawa untuk membuktikan kepada kaum mereka bahawa apa yang mereka bawa adalah kebenaran dari Allah.
فَكَفَرُوا
tapi mereka engkar.
Mereka engkar untuk terima dakwah dan ajakan tauhid itu. Kerana engkar, mereka jadi ‘kafir degil’.
Ini bermakna, bila Al-Qur’an dibacakan kepada orang dan orang itu tak nak terima, mereka akan menjadi kafir terus. Tak perlu pijak Al-Qur’an pun boleh dikira kufur. Iaitu apabila mereka faham maksud ayat Al-Qur’an, tapi masih tak mahu terima. Mereka menutup kebenaran dengan enggan terima.
فَأَخَذَهُمُ اللهُ
Maka Allah azab mereka
Allah beri azab kepada mereka kerana mereka engkar, bukan kerana Allah suka nak beri azab.
إِنَّهُ قَوِيٌّ
Sesungguhnya Allah itu Dzat yang Maha Gagah Perkasa
Oleh kerana Allah Maha Gagah Perkasa, Allah boleh sahaja menurunkan apa sahaja azab yang dikehendakiNya kepada makhluk.
شَدِيدُ الْعِقَابِ
amat keras balasanNya.
Apabila Allah mengenakan azabNya kepada makhluk, azab itu amat keras. Memang tidak akan tertanggung.
Ayat 23: Sebelum ini telah disebut ayat-ayat Takhwif Ukhrawi. Sekarang Allah membawakan kisah Nabi Musa a.s. sebagai contoh takhwif duniawi. Sebelum ini telah disebut bagaimana kaum-kaum dahulu telah didatangi dengan para Rasul mereka, tapi mereka menolak dakwah para Rasul itu.
Ayat 23 – 27 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah peringatan kepada pembesar Quraish supaya jangan jadi seperti Firaun. Firaun pernah merancang membunuh Nabi Musa tetapi siapa yang kecundang?
Sekarang disebut Kisah Nabi Musa sebagai bandingan supaya manusia boleh melihat bagaimana Nabi Musa telah mendatangi Firaun dan telah ditolak oleh Firaun. Ini adalah Allah menggunakan pendekatan bercerita kepada manusia.
Kerana Allah tahu sifat manusia yang suka kepada cerita. Manusia boleh duduk lama kalau dengar cerita, sampaikan kalau cerita hantu pun mereka suka dengar dan percaya. Maka, Allah nak beritahu kisah yang benar kepada mereka supaya menjadi pengajaran yang berguna.
وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا وَسُلطٰنٍ مُّبينٍ
And We did certainly send Moses with Our signs and a clear authority
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى
Sesungguhnya Kami telah utus Musa
Nabi Musa adalah salah satu Nabi yang Ulul Azmi. Banyak kisah baginda dalam Al-Qur’an. Baginda telah diutus kepada Firaun dan bangsa Qibti, dan juga Bani Israil.
بِئآيٰتِنَا
dengan bawa tanda-tanda Kami,
Iaitu wahyu Allah. Ini adalah jenis wahyu sebelum Kitab Taurat kerana Nabi Musa hanya terima Kitab Taurat selepas baginda seberang laut. Wahyu Allah dalam ayat ini adalah wahyu-wahyu yang baginda terima di Bukit Tursina. Atau pun mungkin boleh bermaksud wahyu-wahyu lain yang diterimanya sebelum mendapat Kitab Taurat.
Tanda-tanda selain daripada wahyu, ia juga boleh bermaksud mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa. Antaranya tongkat yang menjadi ular, tangannya yang bercahaya, tongkatnya yang membelah laut, tongkatnya yang mengeluarkan air dan berbagai-bagai lagi mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda kepada kaumnya dan kepada Firaun.
Mukjizat adalah suatu kejadian yang luar biasa sebagai tanda kenabian. Ianya diberikan kepada para Nabi, kerana apabila hendak menyuruh manusia ikut mereka, mereka kena tunjuk bukti. Zaman Nabi Musa, masyarakat waktu itu kagum kepada sihir, jadi baginda diberikan dengan mukjizat yang nampak macam sihir, tapi bukan sihir.
وَسُلْطٰنٍ مُّبِينٍ
dan bukti-bukti yang jelas nyata
Yang dimaksudkan adalah mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa. Mukjizat pertama yang ditunjukkan adalah tongkat yang boleh menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya.
Nabi Musa juga telah diberikan dengan kebolehan untuk berhujah dengan baik. Bayangkan, baginda telah diberikan kekuatan untuk pergi berdakwah dan berhujah dengan Firaun di istana Firaun! Itu adalah sesuatu yang berat.
Berhujah dengan Firaun bukanlah senang kerana Firaun amat bijak dan pandai berdalih. Tapi Nabi Musa dapat memberikan hujah baginda dengan jelas dan kemas. Soal jawab hujah antara Firaun dan Nabi Musa itu banyak terdapat dalam surah-surah yang lain. Dan memang patut kita belajar hujah-hujah Firaun dan bagaimana Nabi Musa menjawabnya kerana penentang wahyu ada juga menggunakan hujah Firaun sampai sekarang.
Ayat 24: Kepada siapakah Nabi Musa diutus?
إِلىٰ فِرعَونَ وَهٰمٰنَ وَقٰرونَ فَقالوا سٰحِرٌ كَذّابٌ
To Pharaoh, Haman and Qarun; but they said, “[He is] a magician and a liar.”
Kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Dia seorang ahli sihir, lagi pendusta!”
إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَهٰمٰنَ وَقٰرُونَ
Kepada Firaun dan Haman dan Qarun.
Firaun adalah Raja Mesir waktu itu. Dia memerintah bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Dia memerintah dengan cara menyeluruh. Maknanya, dia bukan sahaja memerintah dari segi politik tapi dari segi agama juga, kerana dia mengaku sebagai tuhan – maka semua kena ikut dia.
Haman pula adalah penasihat Firaun. Yang menariknya, Yahudi kata nama ini tidak ada dalam sejarah mereka, sedangkan Nabi Musa adalah Nabi utama mereka. Jadi mereka kata Al-Qur’an salah dan menipu sahaja. Tapi apabila dikaji tulisan-tulisan peninggalan Mesir Purba, memang ada nama Haman ini. Maka dengan cara begitulah Allah menunjukkan kebenaran Al-Qur’an ini.
Qarun pula dikatakan sebagai penjaga khazanah kerajaan. Qarun sebenarnya bukan orang Qibti tetapi dari Bani Israil. Tapi kerana dia tidak mahu bayar zakat, dia sanggup duduk bersama dengan Firaun kerana Firaun kata tidak perlu bayar zakat. Dia sebenarnya adalah sepupu Nabi Musa, maka dia sebenarnya adalah dari Bani Israil. Dalam ayat Qasas:76 ada disebut bagaimana dia adalah dari bani Israil.
۞ إِنَّ قارونَ كانَ مِن قَومِ موسىٰ فَبَغىٰ عَلَيهِم ۖ وَآتَيناهُ مِنَ الكُنوزِ ما إِنَّ مَفاتِحَهُ لَتَنوءُ بِالعُصبَةِ أُولِي القُوَّةِ إِذ قالَ لَهُ قَومُهُ لا تَفرَح ۖ إِنَّ اللهَ لا يُحِبُّ الفَرِحينَ
Sesungguhnya Qarun adalah dia dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).
Dan kerana dia amat kaya, dia dapat kedudukan dalam kerajaan Firaun. Atau dia jadi kaya kerana memang dia bersetuju jadi talibarut Firaun dalam masyarakat Bani Israil. Dia dilantik oleh Firaun untuk menjadi wakil Bani Israil. Dan sifat dia seperti Firaun juga. Maka sebab itu Tuhan simpulkan tiga-tiga sekali dalam ayat ini. Mereka itu adalah kepala-kepala penjahat. Tentunya di bawah mereka ada ramai lagi kuncu-kuncu mereka.
Qibti itu adalah nama satu bangsa. Keturunan mereka ramai yang beragama Kristian dan sekarang mereka dipanggil Coptic Christian. Firaun dan Haman telah mati menyeberangi laut Merah semasa mengejar Nabi Musa. Qarun tu mati selepas seberang, sebab dia dapat seberang bersama Nabi Musa. Kerana semua bangsa Yahudi diperintah pergi seberang.
Tapi kemudian dia telah mati tenggelam dalam bumi. Dia telah bawa harta yang banyak semasa menyeberangi laut Merah itu. Bayangkan tiga perempuan diperlukan untuk pegang baju dia semasa dia berjalan. Tapi bila Nabi Musa minta zakat dia tak mahu beri. Sebab itu dia dimatikan dengan cara ditenggelamkan di bawah Bukit Tursina.
Dalam ayat ini, dikatakan bahawa Nabi Musa dihantar kepada mereka bertiga. Tentulah bukan kepada mereka bertiga sahaja, kerana baginda juga adalah Rasul kepada Bani Israil dan juga kepada bangsa Qibti. Tapi mereka bertiga disebut secara khusus kerana mereka adalah pemuka masyarakat Mesir waktu itu. Kalau mesej diberikan kepada ketua kerajaan, itu bermaksud mesej dakwah itu juga kepada orang bawahan mereka juga.
Nabi Musa jumpa mereka dan dakwah kepada mereka tentang tiga perkara penting – tauhid, risalah dan akhirat. Inilah ringkasan agama. Kalau kita nak dakwah kepada manusia pun, kena sebut tentang tiga perkara ini. Mula ajar mereka tentang Allah sikit, kemudian tentang Sunnah Nabi sikit dan kemudian ingatkan tentang syurga neraka.
فَقَالُوا سٰحِرٌ كَذَّابٌ
Maka mereka berkata: Musa ini tukang sihir, amat pendusta.
Jawapan mereka bertiga sama sahaja. Mereka bukan kata dia pendusta sikit-sikit. Mereka kata dia ‘amat pendusta’. Mereka mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah sihir sahaja; dan ajakan dakwah Nabi Musa itu hanyalah tipuan sahaja. Itulah tohmahan mereka.
Sebelum ini telah disebut bahawa Nabi Musa menyampaikan mukjizat dan hujah, bukan? Jadi mereka menolak dengan memberi bantahan kepada dua perkara itu:
1. Untuk tolak Mukjizat – mereka katakan itu adalah sihir belaka. Apabila Nabi Musa dan Nabi Harun datang berdakwah kepada mereka, Firaun minta Nabi Musa tunjukkan dalil. Maka Nabi Musa telah tunjukkan mukjizat tongkat menjadi ular dan tangan baginda yang bercahaya.
Tapi Firaun kata apa yang Nabi Musa tunjuk itu adalah sihir belaka. Mereka kata begitu supaya rakyat yang tengok mukjizat yang Nabi Musa tunjukkan itu, tidaklah mereka percaya. Rakyat memang terpegun dengan mukjizat yang ditunjukkan, tapi apabila dituduh ianya sihir, maka rakyat tidaklah rasa takjub lagi.
2. Untuk tolak Hujah yang Nabi Musa sampaikan – mereka katakan hujah-hujah Nabi Musa a.s. itu adalah tipuan sahaja. Mereka tuduh Nabi Musa dan Nabi Harun sebagai penipu supaya rakyat tidak percaya kepada kata-kata mereka berdua.
Rakyat yang mula hendak percaya kepada dua Rasul itu pun telah tertutup untuk menerima dakwah dengan label dan tuduhan yang diberikan. Tambahan pula yang kata itu adalah Firaun, Haman dan Qarun. Iaitu orang-orang yang berkuasa dan kaya dalam masyarakat dan kerana itu mereka dipercayai.
Inilah kelemahan manusia – apabila yang berkata-kata itu adalah mereka yang berkuasa lagi kaya, mereka mudah percaya dan ikut. Padahal, tidaklah mereka yang berkedudukan itu semestinya benar. Segala kata-kata manusia perlu diteliti dahulu barulah diterima. Tidaklah terus terima sahaja.
Begitulah yang terjadi dalam masyarakat Islam kita sekarang. Kalau yang berkata tentang agama itu orang-orang besar, orang-orang yang masuk suratkhabar dan media massa seperti TV, senang masyarakat nak terima apa yang mereka katakan.
Walaupun mereka tidak memberikan dalil pun dalam hujah mereka. Tapi kebanyakan manusia memang akan terkesan dengan mereka yang ada kuasa dan terkenal. Ada juga yang terkesan dengan perawakan dan pakaian. Itu adalah perkara luaran sahaja. Yang penting kenalah tengok dan teliti apakah hujah dan dalil yang mereka bawa.
Ayat 25: Nabi Musa tidak berhenti dakwah walaupun ditolak oleh Firaun dan pengikutnya. Maknanya kita pun kalau menjalankan dakwah, tidak boleh berhenti walaupun ditentang. Nabi Musa tidak terikat dan terkesan dengan kata-kata manusia. Ini dinamakan sifat istiqlal. Jangan kita kena tuduh sebagai wahabi, sudah takut hendak berdakwah.
Kenapa Allah suruh Nabi Musa berdakwah kepada Firaun sedangkan Allah tahu yang Firaun tidak akan beriman? Kerana walaupun Firaun tidak akan beriman, dakwah yang dilakukan oleh Nabi Musa itu akan memberi kesan kepada baginda. Macam mengasah pisau – batu tidak jadi apa-apa, tapi pisau itu akan jadi semakin tajam.
Dan walaupun Firaun tidak akan beriman, tapi ada orang lain yang mendengar dakwah itu yang terkesan. Begitulah kadangkala kita dakwah kepada orang lain tapi dia tidak terima, sedangkan orang lain yang mendengar pula yang terima.
Apabila Nabi Musa datang lagi untuk berdakwah, Firaun telah buat satu rancangan untuk memporak perandakan Bani Israil yang mula ikut Nabi Musa dengan mengeluarkan arahan bunuh kepada Bani Israil yang beriman dengan Nabi Musa. Itulah cara Firaun yang menggunakan kekerasan.
Ini adalah arahan bunuh kali kedua. Kali pertama dulu adalah semasa Nabi Musa dilahirkan. Firaun memang seorang pemimpin yang ganas dan perangai ganas ini ada zaman berzaman. Tapi mungkin pemimpin ganas sekarang tidaklah seganas Firaun sahaja. Kerana Firaun ini bapak ganas.
فَلَمّا جاءَهُم بِالحَقِّ مِن عِندِنا قالُوا اقتُلوا أَبناءَ الَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ وَاستَحيوا نِساءَهُم ۚ وَما كَيدُ الكٰفِرينَ إِلّا في ضَلٰلٍ
And when he brought them the truth from Us, they said, “Kill the sons of those who have believed with him and keep their women alive.” But the plan of the disbelievers is not except in error.
Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya): “Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka”. (Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja.
فَلَمَّا جَاءَهُم بِالْحَقِّ
Dan apabila sudah datang kepada mereka kebenaran,
Apabila Nabi Musa datang berdakwah berkali-kali kepada Firaun. Maknanya, Nabi Musa dan Nabi Harun tidak terkesan dengan penolakan Firaun dan pengikutnya sebelum itu. Nabi Musa tetap datang berdakwah lagi.
Nabi Musa dan Nabi Harun datang bukannya dengan tangan kosong. Tapi mereka datang dengan bawa wahyu dan bawa mukjizat. Jadi yang menolak baginda itu hanya kerana degil sahaja.
مِنْ عِندِنَا
daripada Kami.
Dalil-dalil itu semua adalah dari Allah sendiri. Nabi Musa telah bawa dalil yang jelas nyata dari Allah, bukannya dari hujah mereka. Setelah berdakwah dan memberitahu kebenaran, Nabi Musa telah meminta Firaun untuk membebaskan Bani Israil. Firaun tidak mahu menurut.
Ini adalah cerita sebelum mereka semua ditenggelamkan dalam laut. Sebelum itu ada cerita panjang lagi. Firaun pernah merancang untuk membunuh Nabi Musa. Nabi Musa telah angkat doa bila baginda nak bunuh. Dan baginda telah diselamatkan.
Dari kerana keengganan mereka untuk menerima kebenaran, Allah telah beri mereka azab dalam bentuk belalang. Berjuta belalang telah menjelma. Tanaman semuanya habis dimakan oleh belalang-belalang itu. Kerana tidak ada cara lain lagi, maka Firaun telah menghantar utusan untuk Nabi Musa doa kepada Allah.
Firaun telah berjanji untuk beriman kalau bala itu diangkat. Akan tetapi apabila bala itu diangkat, dia masih nak bunuh Nabi Musa juga lagi. Maka Allah turunkan bala dengan katak pula. Berjuta katak puru berada di mana-mana. Sekali lagi dia minta Musa doakan kepada Allah. Sekali lagi dia berjanji untuk beriman jikalau bala itu diangkat.
Sembilan bala besar semuanya sekali. Ada hama yang menyebabkan gatal, sampai tak boleh tidur; Ribut petir; Air semuanya jadi darah, sampai air untuk diminum pun jadi darah; Ini adalah cerita yang akhir sebelum menyeberangi laut. Sebelum itu, cerita Nabi Musa bertanding dengan ahli-ahli sihir. Akan disebutkan apabila kita sampai kepada ayat itu nanti.
قَالُوا اقْتُلُوا أَبْنَاءَ الَّذِينَ ءآمَنُوا مَعَهُ
Mereka berkata: bunuhlah anak-anak lelaki yang beriman bersamanya.
Mereka (Firaun dan pemimpin Qibti yang lain) telah memberi arahan untuk membunuh anak lelaki Bani Israil yang telah beriman dengan Nabi Musa. Supaya tidak ada lagi keturunan Bani Israil lagi. Mereka sanggup keluarkan arahan itu kerana marah sangat dia atas dakwah tauhid Nabi Musa itu.
Ini menunjukkan bahawa Firaun dan mereka yang bersekongkol dengannya telah menggunakan keganasan untuk mengawal rakyat mereka. Mereka menggunakan kekerasan dan pembunuhan untuk mematikan kebenaran. Mereka telah menjadikan perbuatan beriman dengan Nabi Musa sebagai satu jenayah yang boleh menyebabkan mereka dibunuh.
Mereka sanggup lakukan ini untuk menghalang rakyat dari menerima dakwah Islam. Ini tentunya telah menyebabkan ramai yang takut masuk Islam.
Ini adalah kenyataan kedua yang Firaun buat untuk bunuh anak lelaki. Pertama, semasa Nabi Musa dilahirkan. Yang kali ini arahan Firaun ini tidak sempat dijalankan. Tak sempat bunuh sesiapa pun kerana mereka akan dilemaskan dalam laut nanti.
Kenapa Firaun nak bunuh pengikut pula? Kerana dia hendak halang Nabi Musa dari datang berdakwah sahaja. Dan supaya pengikut baginda tinggalkan baginda. Tapi kenapa tidak disuruh bunuh sahaja Nabi Musa sahaja? Bukankah lagi senang begitu? Kerana sebenarnya, dia takut juga kepada Nabi Musa.
Dia sedar yang kalau dia ganggu Nabi Musa, akan ada masalah kepada dirinya. Dia bukan tidak tahu yang Nabi Musa itu adalah Nabi kerana dia seorang yang cerdik. Tapi dia tidak boleh terima dakwah Nabi Musa sahaja.
وَاسْتَحْيُوا نِسَاءَهُمْ
dan biarkan perempuan-perempuan mereka hidup
Dan anak anak perempuan pula dibiarkan hidup. Tapi bukan biarkan sahaja, kerana mereka akan dijadikan sebagai kuli, hamba, malah sebagai hamba seks sekali. Jadi ianya lebih menyakitkan hati lagi dari kena bunuh.
Kerana apabila anak lelaki dibunuh, terus tanam dan lama-lama mungkin boleh lupa dan hilang kesedihan. Tapi apabila melihat anak-anak perempuan mereka dijadikan hamba dan terseksa sepanjang hidup mereka, itu lebih menyakitkan.
Mereka dibiarkan hidup supaya boleh jadi gundik-gundik orang lelaki bangsa Qibti. Supaya keturunan Bani Israil itu hilang, kerana tiada lelaki lagi dari kalangan mereka. Kerana semua wanita mereka ada baka Qibti sahaja nanti. Ini adalah seksaan secara mental dengan memalukan dan merendahkan kedudukan bangsa Israil itu. Supaya anak yang keluar bukan lagi bangsa Israil sepenuhnya.
وَمَا كَيْدُ الْكٰفِرِينَ إِلَّا فِي ضَلٰلٍ
Dan tidaklah rancangan orang kafir itu melainkan sia-sia sahaja.
Ini sebenarnya adalah ayat jawapan dari Allah. Allah jawab dalam ayat ini kerana tentu ada timbul persoalan: Adakah segala rancangan dan usaha Firaun itu berjaya? Maka ada idkhal ilahi (pencelahan Tuhan) di sini. Idkhal ilahi adalah jawapan dari Allah kepada persoalan yang mungkin timbul dalam fikiran manusia. Allah jawab terus supaya tidak ada anggapan yang salah.
Kerana mungkin ada yang tertanya adakah berjaya rancangan Firaun itu? Allah terus memberitahu dalam ayat ini bahawa rancangan Firaun itu tidak berjaya. Tujuan mereka melakukan arahan itu adalah supaya Nabi Musa menghentikan dakwah baginda. Tapi tujuan mereka itu tidak berjaya. Apa yang mereka rancangkan itu telah gagal. Masih ada juga yang beriman dan masuk Islam.
Dalam bentuk pemahaman yang umum, apa-apa rancangan untuk menjatuhkan agama Islam akan dimusnahkan oleh Allah. Allah akan memberi pertolongan dan bantuan kepada agamaNya. Walaupun begitu ramai yang ingin menjatuhkan Islam, ianya tetap subur.
Kalau seseorang itu telah ditakdirkan akan beriman, Islam akan sampai kepadanya juga. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana orang kafir mahu menyalahkan agama Islam dengan mengatakan orang Islamlah yang menyebabkan runtuhnya World Trade Center pada 9/11.
Tetapi rancangan itu telah memakan diri mereka – ramai yang hendak mengetahui tentang Islam kerana kejadian itu dikaitkan dengan agama Islam – maka mereka telah mencari maklumat tentang agama Islam dan akhirnya apabila mereka mengetahui betapa indahnya Islam, sampaikan ramai yang telah menganut agama Islam!
Maka rancangan jahat mereka adalah untuk menjatuhkan Islam, tapi Allah telah menggagalkan rancangan itu, sebaliknya ramai pula yang masuk Islam kerana rancangan jahat mereka itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 17 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair