Tafsir Surah Ghafir Ayat 26 – 28 (Kisah Lelaki Mukmin)

Ayat 26: Firaun adalah seorang individu yang licik dan pandai berhujah dalam menolak kebenaran. Dia dapat jadi raja pun sebab dia pandai. Allah memasukkan kisah Firaun dalam ayat ini, supaya kita tahu, kalau ada manusia yang pandai menolak pun, itu sebenarnya dia ikut cara Firaun.

Allah sebut kisah Firaun kepada mereka yang belajar tafsir Al-Qur’an sebab akan sentiasa ada orang yang jenis Firaun dalam dunia dari dulu sampai sekarang. Mereka pandai berhujah sampai ramai yang ikut dia macam rakyat Firaun ikut Firaun.

Ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana dia hendak merosakkan kehidupan mereka yang beriman. Sekarang disebut cara kedua Firaun. Dia gunakan cara politik.

وَقالَ فِرعَونُ ذَروني أَقتُل موسىٰ وَليَدعُ رَبَّهُ ۖ إِنّي أَخافُ أَن يُبَدِّلَ دينَكُم أَو أَن يُظهِرَ فِي الأَرضِ الفَسادَ

Sahih International

And Pharaoh said, “Let me kill Moses and let him call upon his Lord. Indeed, I fear that he will change your religion or that he will cause corruption in the land.”

Malay

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi”. 

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى

Dan Firaun berkata: “Biarkan aku bunuh Musa.”

Firaun kata biar dia bunuh Nabi Musa. Ini adalah kali kedua dia hendak bunuh Nabi Musa – kali pertama semasa Nabi Musa dilahirkan. Masa dia kata hendak bunuh Nabi Musa itu, dia sebenarnya kenal yang Nabi Musa itu adalah Rasul. Cuma tak nak percaya sahaja.

Sekarang dia kata dia hendak membunuh Nabi Musa. Kerana keadaan sudah jadi teruk, ramai sudah mahu percaya kepada Nabi Musa. Dia nak tunjukkan kekuasaannya. Tapi dia kata begitu, dalam nada hendak ke arah kebaikan, dia nak bunuh itu untuk kebaikan penduduk Mesir sahaja. Bukanlah dia nak bunuh sangat, tapi sebab dia nampak ada kononnya ada keburukan yang ada pada Nabi Musa itu.

Dan mungkin itu kata-kata dia sahaja, bukan nak bunuh kerana seperti telah disebut sebelum ini, dia sendiri takut hendak bunuh Nabi Musa kerana dia sendiri tahu yang Nabi Musa adalah seorang Nabi. Kerana fikirkanlah, kalau benar-benar dia nak bunuh Nabi Musa, senang sahaja dia nak bunuh, bukan?

Dia kata dia nak bunuh Nabi Musa kerana dia kata dia nampak Musa adalah penyebab masalah. Nabi Musa pandai berdakwah dan Firaun sudah rasa takut kerana orang sudah mula percaya. Dia rasa masalah akan selesai kalau Nabi Musa mati. Dalam ayat sebelum ini, dia nak ganggu pengikut, sekarang dia nak serang kepala yang diikuti. Boleh nampak strategi dia? Hebat strategi dia.

Kenapakah dia gunakan perkataan ذَرُونِي (biarkan aku) untuk bunuh Nabi Musa? Padahal, bukankah dia sendiri kata yang dia adalah ‘tuhan Mesir’? Bila dia kata macam itu, nampak macam dia minta kebenaran untuk bunuh Nabi Musa pula, padahal selalunya dia buat keputusan sendiri sahaja, tak perlu nak minta kebenaran. Kenapa begitu agaknya?

Dia cakap macam itu supaya nampak macam penduduk Mesirlah yang menghalang dia membunuh Musa. Macam kalau orang Mesir tak halang dia, dia sudah bunuh Nabi Musa lagi lama dulu. Jadi, dia nak kata, jangan halang dan kacau dia dari membunuh Nabi Musa. Dia memang pandai main politik.

Maknanya, ada rasa takut juga dalam dirinya. Dia sebenarnya pengecut juga. Di luar, dia tunjukkan keberanian, tapi dalam hati, dia takut juga. Ada riwayat yang mengatakan bagaimana semasa dia cakap begini, dia terkencing kerana takut sangat. Tapi, kenapakah dia takut nak bunuh Nabi Musa? Sepatutnya senang sahaja untuk dia bunuh Nabi Musa, bukan?

Dia ada rasa takut kerana dia tidak pernah berjaya bunuh Musa. Setiap kali dia nak bunuh, ada sahaja halangan. Perkara ini dari masa Nabi Musa kecil lagi. Itu adalah kerana baginda telah dijaga oleh Allah. Begitu jugalah Nabi Muhammad telah dijaga oleh Allah.

Walaupun Nabi Muhammad dibenci oleh Musyrikin Mekah, mereka rasa dia penyebab segala masalah, mereka juga sudah buat rancangan nak bunuh baginda, tapi tidak berjaya. Begitu jugalah dengan Nabi Isa a.s. tidak berjaya dibunuh oleh kaumnya.

Dikatakan juga, setiap kali Firaun hendak membunuh Nabi Musa, pembesar-pembesarnya akan menghalang. Mereka kata Firaun kena kalahkan Nabi Musa dalam hujah. Kerana selama hari ini asyik kalah dalam hujah sahaja. Berbagai-bagai tuduhan dan tohmahan yang telah diberikan oleh Firaun, tapi dapat dijawab oleh Nabi Musa.

Memang nampak macam Firaun dalam kedudukan yang lemah. Kalau Firaun bunuh terus, nanti akan nampak kelemahan dia. Nanti orang akan kata Firaun bunuh Nabi Musa itu hanya kerana tidak dapat mematahkan hujah baginda.

Ataupun ada pemimpin dalam kalangan pembesar yang rasa Nabi Musa adalah benar. Tapi mereka tidak mahu beriman kerana mereka mementingkan kedudukan mereka. Dan mereka tidak mahu Firaun bunuh Nabi Musa kerana mereka tahu yang kalau Nabi Musa dibunuh, akan menyebabkan bencana akan jatuh kepada mereka kerana membunuh seorang Rasulullah.

 

وَلْيَدْعُ رَبَّهُ

“dan biar dia menyeru kepada Tuhan dia”

Firaun berlagak, dia kata biar Nabi Musa berdoa kepada Tuhannya agar diselamatkan darinya, dia tidak peduli dengan Tuhan Nabi Musa itu.

Firaun kata begini kerana kononnya nak tengok macam mana Nabi Musa nak buat bila dia nak bunuh baginda. Begitulah kurang ajarnya Firaun.

 

إِنِّي أَخَافُ أَن يُبَدِّلَ دِينَكُمْ

Sesungguhnya aku ini bimbang dia akan mengubah ugama kamu ini

Ini adalah alasan yang digunakan oleh Firaun untuk membunuh Musa. Dia kononnya risau Nabi Musa akan mengubah agama mereka yang telah lama diamalkan mereka kepada ugama lain. Firaun kononnya hendak menjaga amalan agama mereka yang telah lama mereka amalkan turun temurun. Dia nak kata, Musa ini bawa agama baru yang entah datang dari mana.

Semua manusia takut kalau agama mereka diubah. Sama ada orang Islam atau tidak. Ianya menjadi benda yang besar kepada manusia kalau fahaman mereka sudah rosak. Bila Firaun sebut macam itu, gelabah habis rakyatnya. Macam sekarang, beza fahaman khalaf dan salaf. Yang amal khalaf pun marah betul kalau puak sunnah masuk. Sampai tak bagi masuk masjid mengajar agama. Kerana mereka nampak golongan salaf nak ubah agama yang telah lama diamalkan turun temurun. Mereka nak pakai agama tok nenek juga.

Begitulah pengamal bidaah di negara ini, apabila kita bawa ajaran Sunnah, ada yang menentang kita dengan mengatakan kita bawa ajaran baru, dan mereka hanya hendak menjaga amalan lama yang diajar oleh ulama-ulama dulu sahaja. Mereka kata amalan bidaah itu telah lama diamalkan, maka tentulah tidak salah.

Sama sahaja hujah yang digunakan oleh Firaun dan pelampau bidaah negara ini. Sedangkan kita bukan nak kena jaga amalan yang sudah lama, yang penting kita kena pastikan yang amalan itu benar. Kalau ianya salah, dan walaupun sudah lama diamalkan oleh masyarakat, kena ditinggalkan. Kadang-kadang kita pun tidak faham dengan fahaman mereka ini. Mereka sanggup nak pertahan amalan yang sudah lama walaupun amalan itu salah.

 

أَوْ أَن يُظْهِرَ فِي الْأَرْضِ الْفَسَادَ

Atau dia akan melahirkan keganasan di atas muka bumi ini.

Firaun tuduh Nabi Musa hendak menjadi terrorist di bumi Mesir. Dia tuduh Nabi Musa hendak melakukan kerosakan di muka bumi Mesir yang aman damai. Firaun tuduh Nabi Musa hendak memecahkan penduduk Mesir kepada dua puak, supaya pecah belah dan senanglah Nabi Musa hendak mengambilalih kerajaan Mesir.

Ini idea kedua dia. Kalau agama tidak rosak pun, kesan dari dakwah Nabi Musa itu, rakyat akan pecah belah. Ini dia sebut dari segi politik. Sebab nanti akan ada yang ikut Nabi Musa dan ada yang tidak. Kesannya nanti ada dua puak di negara.

Inilah hujah yang digunakan pemimpin dunia. Mereka gunakan tuduhan pengganas kepada penentang mereka. Kalau yang mereka tolak adalah kebathilan, memanglah elok. Macam kerajaan kita tolak ajaran Syiah dan cara hidup Barat, itu memang elok. Yang tidak elok adalah kalau kebenaran yang ditolak.

Alasan ini juga banyak digunakan sekarang. Inilah juga kata-kata orang kafir kepada orang Islam. Mereka label orang Islam sebagai pengganas di mata dunia. Malangnya, pemimpin negara Islam pun kata begitu kepada rakyat yang nak bela agama. Iaitu apabila ajaran sunnah ini semakin kuat, mereka kata inilah golongan pelampau agama yang membunuh orang.

Mereka tuduh, inilah gerakan yang mengebom negara itu dan ini, menangkap orang itu dan ini dan sebagainya. Baru-baru ini, kita pun tahu bagaimana ada tuduhan: ajaran Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ wa Sifat akan menyebabkan mereka yang mempelajarinya akan jadi terrorist. Ini memang tidak  masuk akal sama sekali. Berapa ramai yang sudah belajar Tauhid 3T ini, tapi tidak jadi terrorist pun?

Lihatlah alasan Firaun ini – dia kata Musa nak buat kerosakan di bumi Mesir. Tapi, selama hari ini, siapakah yang buat kerosakan dan kejahatan di Mesir, bukankah dia? Bukankah dia yang memerintah dengan cara kuku besi? Bukankah dia yang telah mengarahkan dibunuh anak-anak lelaki tanpa belas kasihan lagi?

Tidakkah dia telah membunuh ahli-ahli sihir yang telah beriman dengan Nabi Musa? Tidakkah dia telah mengeluarkan perintah untuk membunuh sesiapa yang beriman dengan Nabi Musa dan anak-anak lelaki mereka sekali? Dan entah berapa kali kerosakan yang dilakukan oleh Firaun ini. Lihatlah bagaimana dia yang buat kerosakan, tapi dia salahkan Nabi Musa pula.


 

Ayat 27: Setelah Firaun berkata begitu, apa yang Nabi Musa lakukan? Allah ajar bagaimana cara menghadapi dugaan. Tidak payah gelabah, hanya mengadu sahaja kepada Allah. Tidak perlu buat apa-apa yang susah. Firaun yang besar itu pun, serah kepada Allah sahaja.

Allah sudah cukup bagi kita, kita kena yakin sahaja. Inilah jalan para Nabi dalam melakukan doa. Mereka mengadu terus kepada Allah.

Jangan lawan dengan cara mereka. Jangan lawan kekerasan dengan kekerasan. Kita pun kena pakai cara yang ditunjukkan oleh baginda ini. Macam kita sekarang diserang bertubi-tubi oleh puak yang memusuhi sunnah. Mereka gunakan cara yang tidak elok contohnya cacian dan makian. Jangan kita pula guna cara mereka.

وَقالَ موسىٰ إِنّي عُذتُ بِرَبّي وَرَبِّكُم مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لّا يُؤمِنُ بِيَومِ الحِسابِ

Sahih International

But Moses said, “Indeed, I have sought refuge in my Lord and your Lord from every arrogant one who does not believe in the Day of Account.”

Malay

Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu – dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!” 

 

وَقَالَ مُوسَىٰ

Dan telah berkata Musa:

Ini adalah kata-kata jawapan balas dari Nabi Musa. Lihatlah bagaimana Nabi Musa menjawab dengan tenang sahaja ancaman Firaun itu. Ini adalah juga doa kepada sesiapa yang sebar agama dan kalau dapat ancaman orang nak bunuh atau nak penjara.

Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, Allah akan berikan jalan keluar dari masalah. Lihatlah nanti bagaimana Allah membantu Nabi Musa dengan diberikan bantuan dari seorang Lelaki Mukmin dari kalangan keluarga Firaun sendiri.

Nabi Musa berkata ini kepada pengikut-pengikut baginda.

 

 

إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُم

Sesungguhnya aku berlindung dengan Tuhanku dan Tuhanmu juga

Dalam ayat sebelum ini, Firaun cabar dan hendak melihat Nabi Musa meminta tolong kepada Tuhannya. Dan memang Nabi Musa berdoa dan berharap kepada Allah sahaja. Tidak ada tempat lain yang hendak diharapnya.

Begitu jugalah kita, kena mengharap kepada Allah. Gunakan pendekatan doa – minta Allah zahirkan qudratNya dengan beri pertolongan kepada kita. Kalau ada orang nak serang kita, nak kacau kita, minta tolong kepada Allah sahaja.

Allah bukan sahaja Tuhan kepada Nabi Musa, tapi Tuhan kepada Firaun dan semua orang. Walaupun mereka tidak percaya kepada Allah, Allah tetap Tuhan mereka juga. Tidak ada Tuhan yang lain.

Begitulah juga kita dengan orang kafir sekarang – walaupun mereka tidak mengaku Allah itu Tuhan mereka, tapi tetap Allah itu Tuhan mereka. Allahlah yang memberi kehidupan dan rezeki kepada mereka. Walaupun mereka berdoa kepada tuhan sembahan mereka, tapi Allahlah yang memakbulkan doa-doa mereka itu. Tidak ada Tuhan yang lain. Sembahan-sembahan mereka itu bukan boleh beri apa-apa pun.

Lihatlah bagaimana Nabi Musa berharap dan menyerahkan urusannya kepada Allah. Beginilah pendakwah ajaran Tauhid kena serahkan diri kepada Allah. Kalau ada yang menentang kita, doa kepada Allah. Kena tawakal kepada Allah.

Kerana itulah disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa r.a., bahwa Rasulullah Saw. apabila merasa takut terhadap kejahatan suatu kaum mengucapkan doa berikut:

“اللَّهُمَّ، إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ، وَنَدْرَأُ بِكَ فِي نُحُورِهِمْ”

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan mereka dan menjadikan Engkau berada pada leher mereka.

 

مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ

dari setiap orang yang sombong

Nabi Musa memohon perlindungan kepada Allah dari mereka yang sombong. Mereka itu dikatakan ‘sombong’ kerana tidak mahu menerima kebenaran, mereka hanya memandang diri mereka sahaja yang penting. Begitulah Firaun. Dan begitulah juga orang-orang yang tidak mahu menerima kebenaran.

 

لَّا يُؤْمِنُ بِيَوْمِ الْحِسَابِ

yang tidak beriman kepada Hari Perkiraan

Orang yang sombong dan rasa diri besar tidak hiraukan pun dengan Hari Perkiraan (Hari Kiamat). Mereka hanya nampak dunia sahaja dan tidak memikirkan apa yang akan terjadi di Hari Kiamat nanti. Kerana itu mereka sanggup buat apa sahaja.

Hari Kiamat itu juga dipanggil dengan ‘Hari Perkiraan’ kerana waktu itu akan dikira apakah amalan manusia semasa di dunia dan mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan. Ini adalah antara nama-nama yang Allah gunakan untuk merujuk kepada Hari Kiamat.

Habis Ruku’ ke 3 dari 6 ruku’ surah ini.


 

Ayat 28: Lihatlah bagaimana Allah membalas doa Nabi Musa itu. Allah telah memberikan sokongan dari kalangan Firaun sendiri. Ayat 28 – 54 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menceritakan hujah seorang mukmin daripada kerabat Firaun sendiri.

Ini adalah jawapan hasil dari makbul doa Nabi Musa. Allah zahirkan kebenaran dengan cara yang luar biasa. Allah terima doa Nabi Musa dan beri satu jalan untuk menyelamatkan baginda dan kaumnya.

Kisah ini bermula dari ayat ini sampai ke ayat 44 adalah ucapan satu orang lelaki. Tidak ada lagi ucapan seorang manusia yang dimasukkan dalam Al-Qur’an panjang begini. Sebab memang indah ucapannya tentang penjelasan agama. Kalau nak ikut teks pidato dia pun boleh.

Ada tiga peringkat dalam kata-kata lelaki Mu’min ini: permulaan, pertengahan dan penutup. Sekarang dibawakan Bahagian Pertama/Permulaan.

 

وَقالَ رَجُلٌ مُّؤمِنٌ مِّن ءآلِ فِرعَونَ يَكتُمُ إيمٰنَهُ أَتَقتُلونَ رَجُلًا أَن يَقولَ رَبِّيَ اللهُ وَقَد جاءَكُم بِالبَيِّنٰتِ مِن رَّبِّكُم ۖ وَإِن يَكُ كٰذِبًا فَعَلَيهِ كَذِبُهُ ۖ وَإِن يَكُ صادِقًا يُصِبكُم بَعضُ الَّذي يَعِدُكُم ۖ إِنَّ اللهَ لا يَهدي مَن هُوَ مُسرِفٌ كَذّابٌ

Sahih International

And a believing man from the family of Pharaoh who concealed his faith said, “Do you kill a man [merely] because he says, ‘My Lord is Allah ‘ while he has brought you clear proofs from your Lord? And if he should be lying, then upon him is [the consequence of] his lie; but if he should be truthful, there will strike you some of what he promises you. Indeed, Allah does not guide one who is a transgressor and a liar.

Malay

Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang dia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. 

 

وَقَالَ رَجُلٌ مُّؤْمِنٌ مِّنْ ءآلِ فِرْعَوْنَ

Dan berkata seorang lelaki beriman dari keluarga Firaun

Mengikut riwayat dia adalah Tengku Mahkota Firaun. Ada yang kata dia adalah sepupu Firaun (anak pakcik kepada Firaun). Kerana Firaun tidak ada anak lelaki, maka kalau Firaun mati, dialah yang akan mengambil tahta Raja Mesir. Setengah pula kata dia adalah salah seorang menteri. Allahu a’lam, kita tidak perlu tekankan siapa dia kerana ia tidak ditekankan oleh Allah.

Apabila dia dengar yang Firaun hendak membunuh Nabi Musa, dia tampil ke hadapan mempertahankan Nabi Musa. Tidaklah dia buat senyap sahaja. Dan jihad yang paling utama itu ialah mengutarakan kalimat keadilan di hadapan penguasa yang zalim, seperti yang telah disebutkan di dalam hadis.

Dikatakan yang hanya ada tiga orang sahaja yang beriman dengan Nabi Musa dari kalangan keluarga Firaun:

1. Asiah, isteri Firaun

2. Lelaki yang disebut dalam ayat ini

3. Seorang lagi lelaki yang telah memberitahu Nabi Musa yang Firaun hendak membunuhnya. Selepas Nabi Musa terbunuh seorang lelaki Qibti di pasar, Firaun telah mengeluarkan arahan untuk menangkap Nabi Musa kerana hendak membunuhnya.

Maka, ada seorang lelaki dari keluarga Firaun yang telah menyampaikan beritahu itu kepada Musa yang menyebabkan Nabi Musa telah melarikan diri dari Mesir. Ini adalah disebut dalam ayat Qasas:20

Ada juga pendapat yang mengatakan orang yang memberitahu Nabi Musa itu adalah Lelaki Mukmin yang sama. Jadi kalau begitu, ada dua orang sahaja dari bangsa Qibti yang beriman.

 

يَكْتُمُ إِيمٰنَهُ

yang menyembunyikan imannya

Padahal dia dudah lama beriman, tapi dia tidak memberitahu keimanannya itu. Kerana bahaya kalau menyatakan keimanan waktu itu. Kerana Firaun telah mengeluarkan undang-undang bahawa sesiapa yang beriman, akan dibunuh.

Keadaan waktu itu tidak membenarkan pernyataan iman di khalayak ramai. Macam juga semasa awal Islam di Mekah, sesiapa yang beriman, merahsiakan keislaman mereka. Dalam keadaan ini, kena tengok keadaan. Kalau menyatakan iman membahayakan nyawa kita, bolehlah kita sembunyikan.

Jadi, lelaki ini tidaklah pengecut. Kalau dia pengecut, tentulah dia tidak cakap apa-apa sampai bila-bila.

Tambahan lagi, apabila dia tidak menyatakan keislamannya, kata-katanya didengar oleh orang ramai. Macam dia tidak ada kena mengena dengan Nabi Musa. Kalau dia sudah memberitahu yang dia telah beriman dari dulu lagi, tentulah orang akan kata yang dia hanya menyokong pemimpinnya sahaja. Tapi, apabila dia tidak menyatakan imannya, nampak macam dia bercakap sebagai pihak ketiga sahaja. Jadi, lebih didengari oleh orang ramai.

Jadi, ada tiga sifat lelaki Mukmin ini yang disebut dalam ayat ini:

  1. Dia seorang Mukmin.
  2. Dia dari keluarga Firaun, itu sebab dia boleh duduk majlis Firaun.
  3. Dia waktu itu masih sembunyikan iman dia dari diketahui oleh orang lain. Tiada siapa yang tahu, malah mungkin Nabi Musa sendiri tidak tahu.

Bila dia sudah habis cakap nanti di hujung kisah ini barulah dia akhirnya sebut tentang dia sebenarnya telah beriman.

Allah hendak mengajar kita, mungkin dalam kalangan musuh, ada kawan kita. Kadangkala Allah zahirkan pembantu agama dari kalangan musuh. Dalam kisah ini, lelaki Mukmin itu telah membantu dengan beri pesanan dan nasihat.

 

أَتَقْتُلُونَ رَجُلًا

Patutkah kamu membunuh satu lelaki”

Lelaki Mukmin ini mempersoalkan tindakan Firaun untuk membunuh Nabi Musa. Oleh kerana kata-kata Lelaki Mukmin inilah yang menyebabkan Firaun membatalkan rancangannya untuk membunuh Nabi Musa.

Ringkasnya dia memperingatkan kepada Firaun dan pembantu-pembantunya bahawa pembunuhan terhadap diri Musa tiada beralasan sama sekali, hanya oleh kerana baginda menyampaikan keyakinannya yaitu “Tiada Tuhan melainkan Allah”.

Kenapa lafaz ayat ini digunakan dalam lafaz jamak أَتَقْتُلُونَ sedangkan yang mahu membunuh Nabi Musa hanyalah Firaun sahaja? Ini adalah kerana kalau mereka bersetuju dengan tindakan Firaun membunuh Nabi Musa, ianya seperti mereka juga membunuh baginda.

 

أَن يَقُولَ رَبِّيَ اللهُ

“yang hanya berkata, Tuhannya Allah“.

Dia persoalkan: Hanya kerana itu sahaja Firaun hendak membunuh Musa? Bukan dia buat pengganas pun. Maka langsung tidak patut bunuh Nabi Musa. Kalau benar Nabi Musa itu buat kesalahan, patutlah kalau nak bunuh dia, tapi apa salah Nabi Musa?

Kalau kamu tidak setuju pun dengan kata-kata Nabi Musa, maka biarkanlah Nabi Musa itu untuk berdakwah kepada kaumnya, jangan kacau dia. Dan memang Nabi Musa minta lepaskan beliau dan kaumnya Bani Israil untuk meninggalkan Mesir pun. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat lain:

وَإِنْ لَمْ تُؤْمِنُوا لِي فَاعْتَزِلُونِ

dan jika kamu tidak beriman kepadaku, maka biarkanlah aku.” (Dukhan: 21)

Hal yang sama telah dikatakan oleh Rasulullah terhadap orang-orang Quraisy, beliau meminta agar mereka membiarkannya menyeru hamba-hamba Allah untuk menyembah-Nya, dan janganlah mereka mengganggunya dan hendaklah mereka tetap menghubungkan tali persaudaraan yang telah ada antara dia dan mereka, tiada yang saling menyakiti. Allah Swt. berfirman menceritakan hal ini:

{قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى}

Katakanlah, “Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” (Syura: 23)

Ayat ini juga mengandungi sindiran kepada pengikut Firaun yang mengaku Firaun sebagai tuhan, sedangkan apa yang mereka katakan itu adalah salah. Kerana ajaran tauhid Nabi Musa bukanlah kata-kata kosong sahaja, tapi baginda bawa dalil dan bukti.

Dan beginilah juga yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakr malah beliau lebih baik dari Lelaki Mukmin itu. Ini kita boleh baca dari kisah yang disampaikan oleh Saidina Ali.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Ah bin Abu Talib terlibat dalam percakapan dengan para sahabat. Beliau bertanya: “Tahukah anda siapa di antara kita yang paling berani?”. Mereka menjawab: “Engkau hai Ali. “Tidak, aku sekadar mengambil hakku dari orang yang aku tandingi”, jawab Ali. “Siapa orang yang paling berani? tanya Ali lagi. Kami tidak tahu, jawab para sahabat.

Kemudian Ali menceritakan bahawa orang yang paling berani itu ialah Abu Bakar. “Aku lihat, Rasulullah tengah dikeroyok oleh segerombolan orang Quraisy. “Apakah engkau yang menjadikan tuhan-tuhan itu menjadi Tuhan Yang Maha Esa?” bentak mereka.

Maka beliau melanjutkan, demi Allah tiada seorang pun di antara kami yang berani menolong Rasul, kecuali Aba Bakar. Dia segera memisahkan orang banyak itu dari Rasul. Ada yang ditabrak, dan ada yang didorong oleh Abu Bakar sampai Rasul bebas sama sekali. Celaka kalian semua, apakah kalian hendak membunuh seorang yang mengatakan “Tuhanku Allah?”, herdik Aba Bakar kepada gerombolan itu.

Kemudian Ali membuka shal yang dipakainya seraya menangis sampai basah janggutnya. Lalu Ali bertanya kepada para sahabat tersebut: “Manakah yang lebih baik imannya laki-laki mukmin dari keluarga Firaun atau Abu Bakar?”. Para sahabat diam tak menjawab. Kenapa kamu tidak menjawab? Tanya Ali lagi.

Demi Allah, sesaat saja dari kehidupan Abu Bakar lebih berharga dari laki-laki mukmin dari keluarga Firaun itu. Laki-laki mukmin itu menyembunyikan keimanannya (kepada Nabi Musa), sehingga Allah memujinya dalam Alquran, sedang laki-laki ini (sambil menunjuk Abu Bakar) mengiklankan imannya dan berjuang dengan harta dan darahnya”.

 

وَقَدْ جَاءَكُم بِالْبَيِّنٰتِ مِن رَّبِّكُمْ

dan dia datang kepada kamu dengan bawa dalil bukti dari Tuhan kamu”.

Lelaki Mukmin itu sambung lagi hujahnya: Bukan Nabi Musa datang dengan kata-kata kosong, tapi Nabi Musa telah datang dengan membawa berbagai-bagai bukti dan hujah.

Pernah dalam satu peristiwa di Mekah, seorang lelaki yang bernama Uqbah hendak mencekik Nabi Muhammad. Abu Bakr telah melihat apa yang terjadi dan beliau telah menolak Uqbah dan beliau telah berkata sama dengan kata-kata lelaki yang beriman dalam ayat ini. Begitulah tingginya iman Abu Bakr. Kerana bahaya juga apa yang dilakukannya kerana Islam waktu itu amat lemah dan Abu Bakr telah membahayakan nyawanya.

Begitulah kita kena berani mempertahankan Islam. Jangan kita buat senyap sahaja kalau agama sedang dipersendakan. Tambahan pula dalam keadaan sekarang dimana ada pertentangan antara jalan Sunnah dan jalan Bidaah. Adakah kita berani untuk mempertahankan jalan Sunnah? Adakah iman kita kuat atau lemah? Atau kita tengok sahaja tanpa menyatakan pendirian kita?

Ini penting kerana pemimpin negara akan melihat pihak mana yang lebih ramai pengikut. Kalau mereka lihat pengikut Sunnah pun ramai juga, maka tentu mereka akan lebih berhati-hati dari mengambil tindakan yang tidak patut terhadap pejuang Sunnah. Tapi kalau mereka lihat kumpulan Sunnah ini tidak ramai, itulah yang menyebabkan mereka ambil mudah sahaja tentang kita.

 

وَإِن يَكُ كٰذِبًا فَعَلَيْهِ كَذِبُهُ

dan kalau dia berdusta, maka dustanya untuk dirinya sendiri”.

Lelaki Mukmin itu berhujah lagi: Kalau Nabi Musa menipu, biar Tuhan sahaja balas kesalahannya. Dia akan menerima kesannya kalau dia menipu. Kerana Tuhan tidak akan biarkan agamaNya dimain-mainkan.

Orang yang berbohong atas nama Tuhan, kita sebenarnya tidak perlu susah nak fikir hal dia. Sebab kalau dia menipu, dia yang kena tanggung dosa itu. Kita tidak perlu buat apa-apa kerana Allah yang akan hukum dia sendiri.

Dalam ayat ini, Lelaki Mukmin itu menggunakan lafaz ‘kalau dia berdusta’… sedangkan lelaki ini adalah lelaki yang beriman, dan tentu dia tahu yang Nabi Musa tidak berdusta. Tapi beliau berkata begitu sebagai cara berdakwah. Supaya nampak macam dia adalah orang pihak ketiga. Tidaklah nampak dia sokong baginda kerana dia orang Islam.

 

وَإِن يَكُ صَادِقًا

Tetapi kalau dia itu benar, 

Tapi, kalau apa yang Nabi Musa kata itu benar, macam mana? Cubalah kamu fikir sikit.

 

يُصِبْكُم بَعْضُ  الَّذِي يَعِدُكُمْ

akan menimpa kamu setengah azab yang dijanjikan ke atasmu.

Lelaki ini sedang berdakwah kepada kaumnya. Kalau Nabi Musa itu benar, macam mana? Banyak ancaman yang telah diberikan oleh Nabi Musa dan kalau dia benar, masalah kita nanti.

Lelaki itu sedang menggunakan logik untuk berdakwah kepada kaumnya termasuk dengan Firaun sendiri. Bayangkan yang dia sedang bercakap dengan Firaun dan pembesar-pembesar Mesir di istana Firaun.

Ini mengajar kita, kadang-kadang kita dakwah kepada seorang, mungkin yang didakwah tidak terima tapi yang dengar pula yang terima. Mungkin orang yang dengar itu duduk di belakang kita semasa duduk-duduk bersembang sambil berdakwah di kedai makan, tapi dari kata-kata kita itu, dia boleh menerima. Jadi, walaupun Firaun tidak terima, mungkin ada di kalangan mereka itu yang terima.

Lihatlah bagaimana hebat kata-kata lelaki yang beriman ini. Beliau telah berkata dengan berani mempertahankan Nabi Musa di hadapan raja yang zalim. Kata-kata beliau ini lahir dari imannya kepada Allah. Inilah tingginya kedudukan iman. Iman boleh memberikan keberanian kepada manusia.

Walaupun bahaya untuk memberitahu yang dia seorang Muslim, tapi dia berani juga untuk berkata. Walaupun dia boleh kehilangan kedudukan dalam istana Firaun, malah boleh kehilangan nyawanya, tapi beliau berkata juga untuk mempertahankan seorang Rasul. Semakin tinggi iman seseorang, semakin kuat dia mempertahankan kebenaran.

 

إِنَّ اللهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak akan memberi pimpinan kepada orang yang melampaui batas, dusta dalam percakapannya.

Mungkin timbul soalan: adakah ucapan lelaki mukmin ini memberi kesan kepada pendengarnya? Allah jawap dalam ayat ini yang mereka tetap tidak mahu beriman. Sebab mereka masih kufur dalam hati mereka. Allah tak buka hati mereka kerana mereka degil, melampau dan dusta dalam percakapan mereka.

Maka mereka itu tidak beriman adalah kerana mereka ada dua sifat buruk:

  1. musrif – melampau dalam agama. Mereka melakukan syirik. Selagi ada syirik dalam fahaman, selagi itu tidak dapat menerima kebenaran agama. Sebab itu kena bersihkan fahaman syirik dari diri manusia.
  2. pembohong – kerana mereka pembohong besar. Nabi Musa yang Nabi pun mereka tidak mahu mengaku baginda Nabi.

Ayat ini sampai ayat 29 adalah peringkat pertama. Ada tiga bentuk ucapan dalam peringkat awal ini:

1. Apa yang mereka nak buat itu adalah jauh dari kewarasan akal – kesilapan yang kecil tapi hukuman besar. Tak musahabah langsung. Macam hukum bunuh penyapu sampah kerana tidak sapu sampah.

2. Kesalahan yang dikatakan itu adalah hanya mengatakan yang Tuhan adalah Allah. Jadi tidak patut dibunuh atau dihukum kerana dia tidak buat salah.

3. Dakwaan Nabi Musa bukan kosong sahaja tapi baginda bawa dalil. Kena tengoklah bukti itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 17 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s