Ayat 23: Ayat 23 – 43 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia tentang pahala yang akan diberikan kepada orang mukmin dan sifat-sifat mereka. Ayat 23 ini adalah Ayat Tabshir Ukhrawi
ذٰلِكَ الَّذي يُبَشِّرُ اللهُ عِبادَهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ ۗ قُل لّا أَسئلُكُم عَلَيهِ أَجرًا إِلَّا المَوَدَّةَ فِي القُربىٰ ۗ وَمَن يَقتَرِف حَسَنَةً نَّزِد لَهُ فيها حُسنًا ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ شَكورٌ
It is that of which Allah gives good tidings to His servants who believe and do righteous deeds. Say, [O Muhammad], “I do not ask you for this message any payment [but] only good will through kinship.” And whoever commits a good deed – We will increase for him good therein. Indeed, Allah is Forgiving and Appreciative.
(Limpah kurnia yang besar) itulah yang Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)”. Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik, Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).
ذَٰلِكَ الَّذِي يُبَشِّرُ اللهُ عِبَادَهُ
Itulah yang Allah gembirakan hamba-hambaNya
Iaitu mereka diberikan dengan berita gembira bahawa mereka yang beriman dan beramal soleh akan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka akan ditempatkan di tempat yang paling subur dan paling cantik di taman-taman syurga itu. Dan mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka mahukan.
Maka, apabila Allah telah beri berita gembira itu, hendaklah kita berusaha ke arahnya. Janganlah kita buat tidak tahu sahaja macam ianya tidak ada apa-apa. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya. Dan jalan pertama adalah dengan belajar ilmu agama dimulai dengan tafsir Al-Qur’an dan kemudian hadis Nabi.
Kepada siapakah berita gembira ini diberikan? Adakah kepada semua orang?
الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
yang beriman dan beramal soleh.
Tapi hanya kepada hambaNya yang beriman dan beramal soleh sahaja yang diberikan dengan berita gembira ini. Kepada mereka yang engkar, mereka pun akan mendapat berita juga, tapi berita buruk, iaitu mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Iman itu kena iman yang sempurna, iaitu amalkan tauhid dan tidak melakukan syirik; dan amal soleh adalah amal yang sunnah, ada contoh dari Nabi dan sahabat dan bukan amal yang bidaah.
قُل لَّا أَسْئلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا
Katakanlah: “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu,
Nabi ﷺ tidak pernah meminta upah kepada umatnya. Dan inilah sunnah dalam mengajar ajaran agama. Ayat ini dengan jelas memberitahu kepada kita bahawa kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama.
Kerana apabila seseorang melakukan kerja baik kerana Allah, dia hanya mengharapkan balasan dari Allah, bukan dari manusia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas usaha mereka. Pahala mengajar pun sudah amat banyak, tidak terkira banyaknya. Maka, kenapa kita perlu balasan dari manusia?
Ini adalah satu perkara yang amat penting diketahui oleh mereka yang mengajar. Mengajar ilmu agama itu adalah WAJIB kepada mereka yang berilmu. Begitu juga, belajar agama itu adalah juga WAJIB bagi setiap orang yang sudah baligh.
Maka, kalau orang yang berilmu menetapkan bayaran untuk mengajar agama, akan ada masalah kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menuntut ilmu, sedangkan belajar agama itu WAJIB. Maka mereka tidak dapat datang belajar kerana mereka tidak ada kemampuan. Maka tentulah mereka itu akan terus berada dalam kejahilan sampai bila-bila. Amat malang sekali kalau begitu.
Allah tidak benarkan meminta upah dalam mengajar, kerana kalau tidak, mereka yang tidak mahu belajar akan ada alasan pula untuk tidak belajar agama. Mereka akan kata: “bagaimana kami nak belajar, nak masuk kelas sahaja kena bayar RM100, setiap kali belajar kena bayar RM10 (dan apa-apa bayaran)”. Jadi Allah tutup alasan ini dengan melarang guru agama minta upah dalam mengajar. Supaya semua orang ada peluang untuk belajar.
Ini tidaklah menghalang guru agama untuk menerima pemberian dari anak muridnya. Anak murid yang berkemampuan sepatutnya memberi imbuhan kepada guru setakat yang mereka mampu. Hendaklah kita menghargai ilmu yang disampaikan oleh guru dengan memberi sedekah atau hadiah kepada guru.
Dan mereka memang layak untuk menerima pemberian itu. Cuma, guru itu TIDAK boleh menetapkan berapakah bayaran yang dikenakan. Kalau tidak ada sesiapa pun memberi pemberian, dia masih tetap perlu meneruskan pengajaran kerana itu sudah menjadi kewajipan kepadanya untuk mengajar. In sha Allah, Allah akan memberi rezeki kepadanya dengan cara yang lain.
Malangnya, banyak sangat ustaz di negara ini yang meminta upah dalam mengajar. Sampaikan ada yang menetapkan upah mengajar setiap kali RM5,000. Paling kurang, sekali mengajar selama sejam dua, mereka mengenakan bayaran sebanyak RM500. Selalunya, ia bergantung kepada ‘populariti’ ustaz itu.
Ustaz sebegini memang hendak mengajar agama untuk membuat duit sahaja. Dan selalunya apa yang mereka ajarkan itu bukanlah dari ajaran sunnah. Kerana memang mereka bukan berfahaman sunnah pun. Kalau mereka Sunnah, mereka tidak letak yuran pun.
Dan apabila mereka diberi bayaran, mereka tidak berani untuk menceritakan perkara yang akan menyebabkan anak murid marah. Jadi, mereka tidak tegur pun kesalahan anak-anak murid itu kerana mereka takut kalau mereka tegur, anak murid akan berasa hati dan tidak panggil mereka datang mengajar lagi.
Jadi, realiti sekarang adalah ramai guru yang meminta dan menetapkan bayaran upah dalam mengajar. Padahal, cara pengajaran salaf dari dahulu lagi adalah tidak mengenakan bayaran. Dan memang ada sampai sekarang, guru-guru agama yang mengajar agama tanpa mengenakan bayaran dan mereka boleh sahaja hidup sempurna.
Allah masih lagi memberi mereka dengan rezeki dengan cara lain. Tapi tidaklah ramai mereka itu, sampaikan jarang sekali kita dengar guru yang tidak meminta atau menetapkan bayaran dalam mengajar.
Ada satu lagi tafsir untuk lafaz أَجْرًا itu. Selain daripada upah dalam bentuk kewangan dan harta, ia juga boleh diterjemahkan kepada ‘sanjungan’. Kerana ada orang yang tidak mengharapkan harta, kerana mungkin mereka sudah kaya, tapi mereka mengharapkan sanjungan dari orang ramai.
Mereka suka kalau orang kata mereka pandai, bijak, berilmu dan sebagainya. Maka, ini pun kita kena jaga juga. Kerana takut kalau kita tidak mengharap upah dalam bentuk wang, tapi kita mengharapkan أَجْرًا dalam bentuk sanjungan manusia pula.
إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ
melainkan hanyalah kasih mesra dalam pertalian kerabat
Maksud ayat ini adalah: Nabi ﷺ tidak mengharapkan balasan upah daripada umatnya kecuali hanya mengharapkan pertalian rapat antara baginda dan umatnya sahaja. Baginda hanya mengharapkan semoga umatnya menghargai pertalian persaudaraan sesama mereka.
Tambahan lagi, Nabi ﷺ memang ada pertalian persaudaraan dengan mereka. Boleh dikatakan semua yang tinggal di Mekah itu ada pertalian persaudaraan dengan baginda. Walaupun mereka tak mahu terima, tapi sekurang-kurangnya sokonglah baginda.
Kalau tak mahu beriman pun, janganlah menentang baginda dan menyakiti baginda. Cubalah dengar apa yang baginda hendak katakan, kerana baginda bukan orang lain dengan mereka, tapi saudara mereka juga.
Dalam adat bangsa Arab, mereka amat mementingkan pertalian persaudaraan. Kalau seseorang itu dari puak mereka, mereka akan beri sokongan dalam semua hal. Tapi, apabila Nabi ﷺ membawa ajaran tauhid, mereka tidak menghargai langsung pertalian persaudaraan itu.
Malah, mereka yang rapat dengan baginda pun menentang baginda seperti Abu Lahab. Maka Nabi ﷺ memohon mereka supaya mengingati kembali pertalian antara mereka itu.
Tidaklah juga baginda berharap upah dari kerabat baginda. Seperti kita dengan anak beranak kita, takkan nak minta upah kepada mereka dalam mengajar, bukan? Takkan selepas memberi nasihat kepada anak beranak dan saudara mara, kita minta upah kepada mereka pula, bukan? Itu amat tidak patut kalau kita lakukan.
Ini juga sebagai isyarat yang kita kena sampaikan dakwah dan ajaran agama kepada kalangan kaum kerabat kita dahulu. Jangan sibuk dakwah kepada orang lain, tapi keluarga sendiri tidak diberi galakan sunnah.
Keduanya, perkataan الْقُرْبَىٰ boleh diterjemahkan sebagai ‘rapat’. Ianya adalah dari katadasar yang sama yang kita gunakan perkataan ‘karib’ yang kita gunakan dalam perkataan ‘sahabat karib’ kita yang bermaksud sahabat kita yang paling rapat.
Ini bermaksud Nabi ﷺ tidaklah mahukan upah daripada mereka sebaliknya Nabi ﷺ mahu mereka itu jadi rapat dengan Allah SWT. Kerana tugas setiap Rasul dibangkitkan adalah untuk mendekatkan manusia dengan Allah.
Apabila manusia sudah rapat dengan Allah dan menganggap Allah kekasih mereka, apa-apa sahaja arahan dari Allah akan mudah ditaati kerana ianya seumpama permintaan dari kekasih kita. Bukankah kita akan mudah penuhi permintaan kekasih? Oleh itu, Nabi Muhammad ﷺ tidak mengharapkan أَجْرًا dari umatnya, asalkan mereka jadi rapat dengan Allah, sudah cukup untuk baginda.
Maksud ketiga yang diberikan oleh para mufassir adalah baginda tidak meminta upah melainkan hanya mengharap supaya mereka melayan baginda seperti kaum kerabat mereka yang rapat. Apabila dengan kerabat yang rapat, tidaklah sepatutnya menyakiti sesama sendiri, sebaliknya bantu membantu. Itulah harapan baginda. Kerana waktu itu, banyak yang melayan baginda dengan teruk sekali.
Maksud keempat yang dibincangkan oleh mufassir adalah yang dimaksudkan oleh الْقُرْبَىٰ adalah ahli keluarga baginda. Iaitu Ali, Fatimah dan keluarga mereka atau selalu dipanggil dengan gelaran Ahl Bayt. Tetapi, ayat ini diturunkan di Mekah di mana Fatimah masih kecil dan belum lagi berkahwin dengan Ali.
Dan ahli keluarga Nabi bukanlah mereka sahaja, malahan ada ramai lagi. Kalau tanya kepada kebanyakan orang Islam, mereka hanya tahu anak baginda ada Fatimah, dan cucu baginda adalah Hassan dan Husein sahaja. Padahal banyak lagi. Jadi, pendapat yang mengatakan ayat ini tentang mereka berlima adalah lemah.
Dan hujah itu digunakan oleh kumpulan Syiah dan kita pun tahu yang mereka itu memang penipu. Maka kita tidak boleh gunakan hujah ini. Kita memang mesti menghormati ahli keluarga Nabi ﷺ tapi bukanlah seperti yang dilakukan oleh puak Syiah itu. Allahu a’lam.
وَمَن يَقْتَرِفْ حَسَنَةً
Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik,
Kata يَقْتَرِفْ terbit dari katadasar ق ر ف yang bermaksud ‘mengupil kulit pokok’. Atau ‘kopek luka yang sudah kering’ yang selalu dilakukan oleh kanak-kanak. Maka maksudnya adalah ‘melakukan sesuatu’. Dalam ayat ini, ianya tentang melakukan kebaikan.
Dan untuk melakukan sesuatu, memerlukan usaha. Nak solat, nak tolong orang lain, nak belajar, semua itu memerlukan usaha. Oleh itu, iqtarif adalah perbuatan yang bersungguh-sungguh dan ada sedikit kesusahan dalam melakukan – memerlukan usaha dari seseorang. Macam nak umpil pokok bukannya senang, bukan?
نَّزِدْ لَهُ فِيهَا حُسْنًا
Kami tambahi kebaikan baginya dalam kebaikannya itu.
Allah beri ganjaran berganda-ganda dari amalan orang yang melakukan kebaikan itu. Allah akan balas lebih lagi dari apa yang dilakukan semasa di dunia. Bukan itu sahaja, malah dia akan diberikan dengan taufik untuk melakukan kebaikan lagi.
Iaitu, seseorang yang melakukan amalan baik akan timbul dalam hatinya untuk melakukan lagi kebaikan. Perasaan yang dinamakan taufik itu diberikan oleh Allah. Dengan itu, orang itu akan mendapat lebih banyak lagi kebaikan.
Sebab itu kadang-kadang kita hairan memikirkan bagaimana ada orang yang boleh melakukan banyak perkara ibadat. Dia boleh belajar, dia boleh mengajar, dan dalam masa yang sama, sempat lagi menulis kitab. Ini adalah kerana Allah telah memberikan taufik kepadanya untuk melakukan amalan-amalan ibadat itu.
Allah telah memberikan nikmat kepada orang itu untuk merasai kemanisan dalam melakukan amalan-amalan baik itu. Sampaikan orang itu merasa gembira dan ‘ringan tulang’ untuk melakukannya.
Tetapi hendaklah kita ingat bahawa Allah memberi perasaan ini kepada mereka yang mula melakukan ibadat itu sedikit demi sedikit. Apabila dia sudah mula melakukan sedikit amal kebaikan, dan istiqamah dalam melakukannya. Allah akan beri dia rasa nikmat melakukannya. Oleh itu, mulakan dengan melakukan amalan yang ringan-ringan dahulu dan istiqamah. Jangan nak terus buat banyak kerana akan melemahkan diri sendiri.
Apabila kita sudah mula rasa kemanisan melakukan ibadah itu, maka tambah lagi dengan amalan yang lain. Janganlah terus hendak ikut orang lain yang melakukan amalan yang banyak. Mereka yang istiqamah melakukan amalan yang banyak, mereka pun bermula dengan sedikit dahulu.
Ini adalah targhib (rangsangan) untuk umat memperbanyakkan amal mereka. Bila kita sudah tahu kebaikan yang amat banyak dalam mengerjakan amal soleh, maka rebutlah peluang dan jangan tunggu lagi. Banyak kali Allah sebut dalam Al-Qur’an mengajak kita beramal dengan kebaikan.
Amat rugi kalau berlengah dan menangguh untuk melakukan amal kebaikan. Kerana ramai yang sudah tahu tapi masih tunggu lagi. Mereka telah ditipu oleh syaitan. Syaitan pada awalnya tak bagi kita belajar, tapi bila kita sudah belajar, syaitan bisikkan kepada kita untuk tangguhkan pula amal kebaikan itu.
Inilah senjata Talbis Iblis yang dinamakan taswif (melengahkan kebaikan). Syaitan tak boleh nak kata amal itu salah sebab orang itu sudah belajar, tapi mereka masih boleh lagi bisikkan supaya orang itu tangguhkan amal itu. Ramai yang mati dalam menjadi mangsa kepada senjata syaitan ini.
إِنَّ اللهَ غَفُورٌ شَكُورٌ
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Amat Menghargai
Allah Maha Menghargai makhluk yang beribadat kepadaNya dan Dia akan membalas dengan lebih baik lagi. Allah amat suka dengan amalan yang kita lakukan dan Allah tidak akan mensia-siakannya.
Kenapa ada disebut sifat Allah yang Maha Pengampun dalam ayat ini pula? Kerana walaupun kita hendak taat kepada arahan dan suruhan Allah, tapi kadang-kadang kita cuai dalam amal. Ini adalah penawar bagi penyakit ujub iaitu salah satu dari Talbis Iblis. Ujub ini terjadi apabila seseorang itu rasa hebat dengan amal yang dia telah lakukan. Maka Allah ajar supaya minta ampun selepas beribadat, untuk mengingatkan kita yang ada amalan kita yang tidak cukup dan tidak sempurna. Jangan pandang hebat amalan kita itu.
Maka oleh kerana itu kita kena minta maaf dan ampun kepada Allah. Dan kerana itulah Allah beritahu yang Dia Maha Pengampun. Oleh itu, ada anjuran minta ampun dari dosa dalam ayat ini.
Kita memang selalu dianjurkan untuk minta ampun kepada Allah kerana kalau amalan kita sikit, tapi dosa kita banyak, nanti ada masalah untuk kita di dunia dan di akhirat kelak. Maka, kita minta ampun supaya dosa kita tidak ada lagi dan yang tinggal adalah pahala amalan kita walaupun ianya sedikit.
Dan Allah memang suka makhlukNya minta ampun dan sebab makhlukNya minta maaflah Allah beri taufik untuk melakukan kebaikan lagi dan lagi. Allah suka kita minta ampun kerana Dia suka mendengar kita mengaku lemah.
Ayat 24: Ayat Syikayah. Ini adalah tuduhan Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad. Dan tuduhan yang sama juga diberikan kepada penyebar tauhid sekarang. Allah beri jawapan kepada tuduhan itu dalam ayat ini.
أَم يَقولونَ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا ۖ فَإِن يَشَإِ اللهُ يَختِم عَلىٰ قَلبِكَ ۗ وَيَمحُ اللهُ البٰطِلَ وَيُحِقُّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
Or do they say, “He has invented about Allah a lie”? But if Allah willed, He could seal over your heart. And Allah eliminates falsehood and establishes the truth by His words. Indeed, He is Knowing of that within the breasts.
(Orang-orang kafir tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad) bahkan mereka mengatakan: “Dia telah mereka-reka perkara dusta terhadap Allah” (Sebenarnya tidak patut mereka berkata demikian) kerana Allah berkuasa – jika Dia menghendaki – menutup hatimu (dan ingatanmu daripada menyatakan apa yang engkau telah nyatakan itu, tetapi Allah tidak menghendaki yang demikian, bahkan Dia memberi kuasa menyampaikan perintahNya, maka semua kenyataan yang engkau sampaikan adalah benar belaka). Dan sememangnya Allah tetap menghapuskan perkara yang salah serta Ia menetapkan yang benar dengan kalimah-kalimah wahyuNya dan keputusanNya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا
Adakah mereka mengatakan: “Dia telah mereka-reka dusta terhadap Allah”
Musyrikin Mekah memegang agama ajaran dari tok nenek mereka. Pada mereka, itulah ajaran yang benar. Dan mereka sangka ianya ajaran peninggalan dari Nabi Ibrahim.
Apabila Nabi Muhammad datang dan mengatakan bahawa pegangan mereka itu salah, maka mereka mengatakan Nabi Muhammad mereka-reka agama yang baru. Mereka juga menuduh yang Nabi Muhammad reka sendiri Al-Qur’an itu. Mereka pula yang kata Nabi Muhammad sesat sedangkan mereka yang sesat.
Mereka menuduh tanpa mendengar dulu pun apa yang hendak disampaikan oleh baginda. Mereka buat tuduhan melulu. Begitulah juga dengan kebanyakan dari kalangan masyarakat kita. Sebelum dengar dakwah dari kita, mereka terus label kita sebagai ‘wahabi’.
Musyrikin Mekah sebenarnya kenal Allah dan menerima Allah sebagai Tuhan. Tapi apabila Nabi datang dan membawakan ajaran tauhid la ilaaha illallah, (tidak ada ilah yang lain selain Allah), maka mereka melenting marah. Kerana mereka menyembah sembahan yang lain sebagai perantara (tawasul) kepada Allah. Mereka bukan sahaja sembah Allah, tapi mereka juga mahu sembah tuhan-tuhan yang lain yang mereka terima anggap sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ kepada Allah.
Begitulah juga dengan sesetengah dari masyarakat Islam kita. Mereka itu terima bahawa Allah itu adalah Tuhan yang mencipta alam ini, tapi mereka menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara antara mereka dan Allah dalam berdoa dan dalam ibadat.
Maka apabila kita katakan bahawa itu adalah cara berdoa yang salah, melentinglah mereka. Dan mereka kata kita bawa ajaran yang baru. Kerana mereka telah lama menerima ajaran bertawasul itu dari guru-guru dan tok nenek kita yang lama dulu sampaikan mereka sangka itulah agama.
فَإِن يَشَإِ اللهُ يَخْتِمْ عَلَىٰ قَلْبِكَ
jika Allah menghendaki, Dia boleh menutup hatimu
Jika Nabi Muhammad itu benar-benar berdusta atas nama Allah, bawa ajaran baru, bawa ajaran yang tidak benar, Allah akan tutup hati baginda. Allah boleh kunci mati hati Nabi. Iaitu baginda tidak akan ingat lagi apa yang telah baginda sampaikan dari Al-Qur’an itu.
Tapi lihatlah bagaimana walaupun Al-Qur’an itu telah diturunkan dalam masa selama 23 tahun, baginda tidak lupa langsung apa yang baginda telah sampaikan pada awal Islam.
Dan baginda tidak lupa pun apa yang telah baginda katakan pada awal Islam sampailah ke hujung hayat baginda. Bandingkan dengan penulis buku zaman sekarang. Hanya selepas beberapa tahun sahaja, mereka akan keluarkan edisi baru untuk memperbetulkan edisi asal tulisan mereka, kerana mereka jumpa maklumat baru, atau mereka nampak ada kesalahan dalam tulisan mereka yang dahulu.
Tapi itu tidak berlaku kepada Nabi, kerana baginda bukanlah penulis kepada Al-Qur’an. Itu adalah tanda bahawa Nabi menyampaikan ajaran yang benar.
Kalau Nabi pun akan dikunci mati hatinya kalau baginda reka agama, bagaimana pula kalau kita sendiri yang memandai reka agama, atau tambah amalan agama? Kita pun akan kena azab nanti. Cuma manusia yang menyebar ajaran salah tidaklah terjadi seperti Nabi Muhammad kerana kalau manusia ajar ajaran salah, ia tidaklah seteruk kalau Nabi yang ajar ajaran salah.
Ayat ini juga boleh bermaksud, kalau seseorang yang bukan Nabi tapi mengaku sebagai Nabi, orang itu akan dimatikan terus. Allah tidak beri peluang ada seseorang yang mengaku Nabi dan orang ikut Nabi palsu itu. Kerana Allah tidak mahu ada kekeliruan dalam kalangan manusia.
Tapi ini adalah sebelum Nabi Muhammad dibangkitkan. Maksudnya kalau selepas Nabi Isa diangkat dan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi, kalaulah ada yang mengaku sebagai Nabi, orang itu akan dimatikan terus. Kalau ada yang mengaku sebagai Nabi palsu selepas Nabi Muhammad, tidaklah orang itu terus dimatikan.
Sebab itu kita boleh dengar ramai sahaja yang mengaku sebagai Nabi selepas Nabi Muhammad wafat. Sebab penutup Nabi sudah dibangkitkan, maka kalau ada lagi mengaku sebagai Nabi, sudah pasti mereka itu menipu. Maka mereka tidak perlu dimatikan langsung. Yang percaya hanyalah mereka yang jahil dan gila sahaja.
Oleh itu, kalau Nabi Muhammad telah mengaku sebagai Nabi, dan baginda hidup sahaja, itu adalah dalil yang baginda ada Nabi yang sebenar.
وَيَمْحُ اللهُ الْبٰطِلَ
Dan Allah menghapuskan perkara yang salah
Ini adalah kaedah Allah untuk memastikan agama yang benar sahaja yang kekal. Dia akan menghapuskan ajaran yang salah. Kalaulah benar apa yang Nabi sampaikan itu adalah dari kata-kata baginda sendiri, Allah akan menghapuskannya lama dulu lagi. Tetapi lihatlah bagaimana selepas 1,400 tahun, ayat-ayat Al-Qur’an itu masih sama sahaja sampai ke hari ini.
Allah juga menghapuskan ajaran yang salah dengan membangkitkan Nabi Muhammad untuk membawa ajaran yang benar. Dan pada zaman sekarang, agama yang benar akan tetap dibawa oleh guru yang akan mengajar kepada manusia ajaran yang benar supaya manusia ada yang berada atas landasan yang benar.
Itulah mereka yang belajar tafsir Al-Qur’an dan hadis yang sahih, dan mengajar ajaran yang benar itu kepada manusia supaya dapat menghapuskan ajaran yang salah. Akan ada sahaja golongan ini yang Allah akan bangkitkan.
وَيُحِقُّ الْحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ
Dia menetapkan yang benar dengan kalimah–kalimah wahyuNya.
Allah menyampaikan kebenaran kepada manusia melalui ayat-ayat Al-Qur’an. Hujah-hujah yang disampaikan adalah dengan dalil-dalil yang jelas dan mantap. Tapi ianya hanya jelas kepada mereka yang belajar dan membuka hati mereka kepada kebenaran.
Ayat ini juga bermaksud Allah akan jaga mereka yang menyatakan kebenaran. Allah akan beri ketetapan hati kepada mereka.
Satu lagi pendapat, Allah membantu para Rasul عليهم السلام untuk menguatkan hujah mereka dengan diberikan mukjizat. Oleh kerana para Rasul عليهم السلام itu membawa hujah yang besar, maka mereka dibantu dengan sesuatu yang dapat mengalahkan kebatilan dari kalangan masyarakat. Maka itulah diberikan dengan mukjizat.
Dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah Al-Qur’an. Ia dikira terbesar kerana ia masih kekal sampai sekarang. Kita sendiri boleh lihat mukjizat di hadapan mata kita. Sedangkan mukjizat Nabi-nabi lain kita tidak dapat tengok, bukan?
إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
Allah tahu apa yang ada dalam hati Musyrikin Mekah itu. Mereka tuduh Nabi mereka-reka Al-Qur’an. Tetapi Allah tahu bahawa mereka sebenarnya percaya yang Al-Qur’an itu bukanlah buatan manusia. Cuma mereka sombong untuk menerimanya.
Allah juga Maha Tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam amalan ibadat kita. Hanya Allah sahaja yang tahu. Malaikat pencatat amal kita pun tidak tahu. Malangnya, ada kalangan masyarakat kita yang kata tok guru tahu niat dalam hati kita pula.
Itu adalah fahaman yang syirik. Kerana hanya Allah sahaja yang tahu dalam hati kita dan kalau kita kata ada makhluk yang tahu juga, maka itu menyamakan sifat makhluk dengan Allah. Itu adalah fahaman syirik.
Allah juga Maha Tahu sama ada kita ada syak atau tidak dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ada Muslim yang membaca ayat-ayat Al-Qur’an tapi mereka masih ragu dengan apa yang disampaikan dalam ayat-ayat itu. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka tidak nampak apakah yang Allah hendak sampaikan dalam Al-Qur’an itu.
Dan walaupun mereka belajar tafsir, ada yang tidak belajar dengan ikhlas untuk mencari kebenaran. Oleh itu, apabila mereka berjumpa dengan ayat-ayat yang tidak kena dengan amalan dan fahaman mereka, mereka tolak ayat-ayat itu.
Ayat 25: Kenapa kena seru Allah sahaja?
وَهُوَ الَّذي يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَعفو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعلَمُ ما تَفعَلونَ
And it is He who accepts repentance from His servants and pardons misdeeds, and He knows what you do.
Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.
وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ
Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya
Mereka yang menentang Nabi Muhammad ﷺ diingatkan dalam ayat ini yang mereka masih ada harapan untuk bertaubat dan menerima baginda. Allah sanggup untuk menerima taubat mereka.
Sebelum ini Allah telah mengajar tentang syirik dalam berdoa. Maka ada orang yang setelah belajar tauhid, setelah belajar tafsir Al-Qur’an, barulah tahu yang mereka selama ini telah melakukan amalan dan fahaman yang syirik. Maka tentunya mereka hendak bertaubat dan meninggalkan amalan dan fahaman salah mereka itu. Inilah yang sepatutnya berlaku. Maka, Allah beritahu dalam ayat ini, Allah sanggup menerima taubat mereka.
Allah sahaja yang mampu menerima taubat dari hambaNya. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu menerima taubat dari makhluk. Oleh kerana itu, kita kena taubat terus kepada Allah.
Ini berlawanan dengan ajaran yang sesat seperti Nasara yang mengajar penganutnya untuk memberitahu dosa-dosa kepada paderi mereka dan paderi itu pula yang ampunkan dosa mereka. Itu adalah ajaran salah. Sepatutnya kita sendiri yang kena minta ampun kepada Allah.
‘Taubat’ bermaksud ‘kembali kepada Allah’. Allah suka untuk menerima taubat hambaNya. Walau banyak mana pun dosa manusia. Allah telah sebut dalam Zumar:53
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Jangan putus harap dengan Allah. Allah mampu untuk mengampunkan segala dosa kita tidak kira berapa banyak pun. Jangan ada perasaan dalam hati kita yang dosa kita telah banyak sangat sampaikan Allah tidak akan ampunkan dosa kita yang banyak itu. Berapa banyak pun dosa kita, rahmat dari Allah lebih besar lagi.
Ayat ini juga bermaksud yang Allah ‘senang’ untuk menerima taubat kita. Allah tidaklah macam manusia yang susah untuk menerima permohonan maaf dari orang lain. Kadang-kadang mulut manusia kata dia maafkan, tapi kalau orang itu buat salah lagi, kesilapan yang telah dimaafkan sebelum ini pun akan diungkit balik, bukan?
Syaratnya, kita kena minta ampun sendiri kepada Allah. Syarat taubat adalah menyesal dengan dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.
Satu lagi syarat penting: Ianya mesti dilakukan sebelum pintu taubat ditutup – kalau Malaikat Maut sudah sampai, nyawa sudah di kerongkong, taubat itu tidak akan diterima.
Syarat lagi satu adalah ikhlas dalam taubat itu. Bukan kita sebut sahaja dengan mulut tetapi hendaklah hati kita juga mahu bertaubat. Kenalah betul-betul mahu bertaubat, bukannya sambil lewa sahaja. Sebab itu kena menyesal benar-benar dengan dosa yang telah dilakukan. Barulah boleh datang perasaan ikhlas itu.
Ada dua jenis taubat yang dibahagikan oleh ulama untuk pemahaman kita:
1. Taubatul Kul – iaitu taubat ‘keseluruhan’ dosa. Sebagai contoh, seorang yang baru masuk Islam. Dia akan memohon ampun atas segala dosanya semasa dia musyrik dahulu. Dan Allah akan ampunkan segala dosanya itu, sampaikan dia adalah seperti kain bersih yang tidak ada kekotoran langsung.
2. Taubatul Juz. Taubat ‘sebahagian’ sahaja. Sebahagian sahaja dosa yang diampunkan. Mungkin sebab seseorang itu tak ingat apakah dosa yang telah dilakukan. Atau dia sendiri tidak tahu apakah dosa yang dilakukan kerana dia tidak tahu ada perbuatannya yang berdosa. Atau ada dosanya yang tidak diampunkan kerana tidak cukup syarat.
Taubat jenis manakah yang Allah terima? Allah terima kedua-duanya sekali. Yang penting, kita kenalah selalu bertaubat. Kerana kita tidak tahu sama ada taubat kita diterima atau tidak. Maka kena teruskan bertaubat tanpa henti.
وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ
serta memaafkan kejahatan-kejahatan
Taubat menghapuskan semua dosa sebelum itu jika Allah terima taubat itu. Apabila Allah terima taubat hamba itu, segala dosa-dosanya akan dihapuskan.
Sebagai contoh, apabila seseorang masuk Islam, segala dosanya akan diampunkan dan tidak sedikit pun tinggal (taubatul kul). Begitu juga kalau kita banyak dosa dan kita minta ampun dengan ikhlas. Kalau Allah terima taubat itu, Allah boleh ampunkan berapa banyak pun dosa kita. Walau sebanyak buih di lautan. Walaupun dosa itu adalah dosa syirik.
Atau Allah boleh sahaja bersihkan dosa yang tidak diminta ampun kerana kita tak ingat atau tak tahu yang kita berdosa. Allah boleh sahaja lakukan kalau Allah kehendaki.
Ataupun kita dalam proses belajar, maka ada dosa-dosa yang kita lakukan kerana kita tak tahu ianya adalah dosa. Maka, kerana kita sudah mula belajar, Allah akan maafkan kita.
Kita memang ada banyak dosa, tapi tidak semua Allah beri musibah. Mafhum dari ayat-ayat yang lain, segala musibah yang kita hadapi semasa di dunia adalah kerana kesalahan dosa kita. Sebagai contoh, hidup kita susah, hati tidak tenang, kerja tidak dapat diselesaikan dan macam-macam lagi.
Kalau Allah balas segala dosa kita dengan musibah di dunia ini lagi, tentulah lagi susah hidup kita. Tapi banyak yang Allah telah maafkan begitu sahaja tanpa kita minta maaf pun. Tapi ada yang Allah kenakan musibah juga untuk mencuci dosa itu semasa kita di dunia.
Oleh itu, kalau kita ada masalah dengan musibah yang bertimpa-timpa, kenalah kita kenang balik apakah dosa kita dan minta ampunlah atas segala dosa-dosa kita. Kalau Allah ampunkan dosa kita semuanya, maka tidak adalah musibah lagi.
Ada yang membezakan potongan ayat ini dengan potongan ayat sebelum ini. Taubat untuk dosa-dosa yang besar dan beri maaf adalah untuk dosa-dosa yang kecil. Allahu a’lam.
Dan ada dosa-dosa yang Allah ampunkan melalui syafaat Nabi Muhammad nanti di akhirat. Tapi kena tunggu di akhirat, jangan minta syafaat dari Nabi sekarang.
Allah sanggup ampunkan semua dosa manusia termasuk dosa syirik pun. Tapi dosa syirik, tidak akan diampunkan melainkan kita sendiri minta ampun. Tidak boleh harapkan ahli keluarga kita minta ampun selepas kita mati nanti. Dan tidak boleh harapkan doa pengampunan dari manusia lain.
وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ
dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.
Semuanya Allah tahu. Allah tahu apa kita telah buat, segala kesalahan kita, berapa banyak kesalahan dan dosa yang kita lakukan. Allah tahu betapa teruknya kita tapi Allah masih mahu ampunkan semua dosa-dosa itu. Begitulah sayangnya Allah kepada kita. Kalau emak dan ayah kita tahu segala dosa kita, belum tentu mereka masih mengaku kita anak mereka. Tapi Allah yang tahu segalanya tentang kita, masih tetap sayang kepada kita.
Sama ada kita sendiri tahu atau tidak tahu apakah dosa yang kita lakukan, Allah Maha Mengetahui. Tidak ada dosa yang kita boleh sembunyikan dari Allah. Allah juga tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam bertaubat dan meminta ampun.
Ayat 26: Ayat Tabshir. Targhib kepada doa. Allah galakkan manusia berdoa terus kepadaNya tanpa menggunakan perantaraan. Juga terdapat takhwif ukhrawi dalam ayat ini.
وَيَستَجيبُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَيَزيدُهُم مِّن فَضلِهِ ۚ وَالكٰفِرونَ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ
And He answers [the supplication of] those who have believed and done righteous deeds and increases [for] them from His bounty. But the disbelievers will have a severe punishment.
Dan Dia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Dia menambahi mereka dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.
وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ
Dan Dia menerima dari orang-orang yang beriman serta beramal soleh,
Menerima apa? Bermaksud Allah menerima dan ‘menjawab’ doa manusia. Hanya Allah sahaja yang mampu menerima doa kita. Tidak ada makhluk lain yang mampu mendengar dan menerima dan memakbulkan doa-doa itu. Oleh itu, permohonan doa kepada selain Allah adalah syirik.
Sama ada permintaan doa itu terus memohon kepada entiti selain Allah, ataupun menggunakan entiti selain Allah sebagai perantara dalam berdoa (tawasul). Sebagai contoh, ramai yang dari kalangan kita yang meminta pertolongan dari Nabi Muhammad untuk sampaikan doa kepada Allah. Tapi mampukah baginda mendengar permintaan kita, sedangkan baginda sudah mati?
Tidak ada dalil yang menyuruh kita meminta kepada baginda, sama ada dari Al-Qur’an atau hadis. Yang mengajar kita meminta pertolongan kepada Nabi itu adalah guru-guru yang sesat sahaja.
Allah suka untuk memakbulkan doa kita. Cuma tidaklah semua doa dimakbulkan di dunia ini. Ada yang dimakbulkan di akhirat kelak. Tapi kena ada dua syarat itu. Pertama, kena beriman sempurna dan beramal soleh.
‘Beriman sempurna’ bermaksud tidak melakukan syirik. Kalau orang yang buat syirik, tidak diterima doanya.
Keduanya, ibadat itu mestilah ibadat yang diajar oleh Nabi. Itulah baru dikatakan amal yang soleh. Ibadat yang tidak soleh adalah amalan yang bidaah dan akan menambah dosa sahaja, bukannya pahala seperti yang diharapkan.
Ayat ini juga boleh bermaksud Allah ‘menerima amal manusia’, asalkan amalan itu dilakukan oleh orang yang beriman dan amal itu kenalah amal yang soleh. Walaupun kita melakukan sebanyak mana amal ibadat dan amal kebaikan, tetapi jika kita tidak beriman sempurna, ada mengamalkan syirik, maka sia-sia sahaja amalan itu.
Entah berapa ramai yang tidak tahu tentang akidah tauhid dan manakah amalan yang syirik. Padahal mereka itu rajin beribadah. Mereka sangka amalan mereka itu menambah pahala, tapi sebenarnya amalannya itu tidak dikira lagi kerana mereka tidak ‘beriman sempurna’. Seumpama orang kafir yang solat, adakah dia mendapat pahala? Tentu tidak.
Dan entah berapa ramai manusia yang melakukan amalan dengan banyak, tapi amalan itu tidak diajar oleh Nabi, atau tidak dengan cara yang diajar Nabi. Mereka berusaha dan bertungkus lumus melakukan amalan itu, tetapi ianya adalah amalan yang bidaah yang bukan dari amalan sunnah. Amalan bidaah pun tidak diterima oleh Allah. Maka, sia-sia sahaja amalan mereka.
Pengajaran yang penting dalam ayat ini adalah: hendaklah kita belajar tentang tauhid dan lawannya: syirik; dan hendaklah kita belajar tentang amalan soleh dan lawannya: bidaah.
Kekeliruan timbul dalam masyarakat kerana tidak belajar wahyu Allah. Memang ada yang kononnya sudah belajar, tapi bukan dari aliran sunnah. Maka itulah sebabnya mereka punah.
وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِ
dan Dia menambahi mereka dari limpah kurniaNya
Selepas Allah terima amal ibadat hambaNya itu, Allah akan balas berganda-ganda. Allah bukan balas sama banyak dengan amalan, tapi berganda-ganda. Kerana Allah Maha Pemurah. Allah nak beri lebih kepada hambaNya.
Dan apabila Allah menerima doa hambaNya, Allah boleh beri lebih lagi dari apa yang diminta oleh hamba itu. Kita pun tak sangka kita akan dapat apa yang kita dapat itu. Kita harapkan sikit sahaja, tapi Allah beri lebih lagi. Semuanya bergantung kepada Allah. Sebagai contoh, mungkin kita minta basikal, tapi Allah boleh sahaja beri kereta kepada orang itu.
Memang doa manusia terhad sahaja. Kerana kita hanya boleh minta apa yang kita nampak sahaja. Pengetahuan kita terhad dalam bab doa. Sebab itu kalau kita lihat doa-doa yang diajar Nabi, baginda ajar untuk minta perkara-perkara yang kita sendiri tidak terfikir untuk minta.
Sebagai contoh, Nabi ajar kita minta ‘afiat’. Maksud afiat itu adalah tidak didatangi ujian-ujian – contohnya, tidak jatuh sakit. Ini permintaan sebelum sakit lagi. Ini adalah permintaan yang baik sekali, kerana diselamatkan dari musibah. Selalunya kita minta tolong Allah apabila sudah kena masalah, bukan? Maka kali ini minta jangan dikenakan musibah pun lagi. Maka mintalah afiat di dunia dan akhirat.
Satu lagi contoh, Nabi pernah ajar kita untuk minta terus Syurga Firdaus. Maknanya, minta terus perkara yang paling balik sekali, jangan malu-malu nak minta kerana Allah mampu nak berikan. Kalau Allah kabulkan doa kita untuk masuk ke Firdaus, maka tentulah Allah akan beri kita amalan-amalan baik untuk memasukkan kita ke dalam Syurga Firdaus itu. Allah beri kita taufik supaya kita jadi orang yang beramal yang layak masuk Syurga Firdaus.
Atau, kalau tidak dapat Syurga Firdaus pun, kita dapat masuk syurga yang rendah sedikit, tapi dapat jugalah masuk syurga, bukan? Tapi lihatlah bagaimana Nabi ajar kita untuk berharap kepada sesuatu yang tinggi supaya usaha kita pun jadi tinggi. Kita kena aim higher.
وَالْكٰفِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.
Ini pula adalah ayat takhwif. Kalau tak beriman dan tak beramal dengan amal yang soleh, balasan bagi mereka adalah azab seksa.
Dan kalau engkar dalam berdoa, iaitu berdoa dengan cara orang kafir, pun mereka akan mendapat azab seksa juga. Contohnya, mereka yang menggunakan tawasul yang dilarang. Bukan semua tawasul yang dilarang. Maka kena belajar mana tawasul yang digalakkan dan tawasul yang dilarang.
Atau mereka meminta kepada selain dari Allah. Sebagai contoh, sekarang ramai dari masyarakat kita yang menerima ajaran sesat dari golongan Habib yang mengajar meminta doa kepada orang mati di kubur. Alangkah ruginya manusia yang sebegitu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 23 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani