Ayat 27: Ini adalah jawapan kepada persoalan: kalau Allah itu Maha Kaya, kenapa Dia tidak beri semua makhlukNya jadi kaya?
۞ وَلَو بَسَطَ اللهُ الرِّزقَ لِعِبادِهِ لَبَغَوا فِي الأَرضِ وَلٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مّا يَشاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبادِهِ خَبيرٌ بَصيرٌ
And if Allah had extended [excessively] provision for His servants, they would have committed tyranny throughout the earth. But He sends [it] down in an amount which He wills. Indeed He is, of His servants, Acquainted and Seeing.
Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
وَلَوْ بَسَطَ اللهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ
Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi hambaNya,
Kalimah بَسَطَ bermaksud ‘mengembangkan sesuatu’. Bermakna dikembangkan rezeki sampai manusia jadi kaya dan mewah. Allah boleh sahaja nak buat apa sahaja, termasuk hendak memewahkan sesiapa sahaja, bukan?
Kadang-kadang Allah tak beri rezeki yang banyak kepada orang beriman. Kita pun kadang-kadang hairan kenapa orang yang baik dan orang yang beriman tidak dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Secara umumnya, kita boleh lihat yang kekayaan sekarang berada dengan kaum kafir dan bukannya orang Islam.
Orang Islam pula selalunya miskin, tidak berkuasa dan tidak berpengaruh dalam dunia. Sedangkan kepada mereka yang kufur dan musyrik, Allah beri banyak kelebihan keduniaan kepada mereka. Kenapa begitu? Allah jawab dalam ayat ini:
لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ
nescaya mereka akan melampaui batas di bumi
Orang-orang kaya ramai yang melampaui batas. Bukanlah semua, tapi kebanyakannya. Bayangkan kalau semua manusia ini kaya? Kita ada sikit sahaja yang kaya raya dalam dunia ini pun sudah berapa banyak masalah kita hadapi. Mungkin 5% sahaja orang kaya dalam dunia ini, tetapi dari merekalah yang menjadi punca kerosakan dalam dunia ini.
Sebagai contoh, siapakah pengusaha arak dalam dunia ini? Dengan arak itu, menyebabkan kadar jenayah yang tinggi di sesuatu kawasan dan negara itu. Sebagai contoh, apabila satu-satu komuniti mula dijualkan arak dengan terbuka, kadar jenayah akan meningkat di komuniti itu.
Hanya kerana mereka mahukan kekayaan yang banyak, mereka telah merosakkan masyarakat dan mereka tak kisah pun apa yang akan berlaku. Kerana pada mereka, yang lebih penting adalah menjadi kaya dan kaya lagi.
Begitu jugalah dengan Muslim pun. Ada yang semasa mereka susah atau biasa-biasa sahaja, mereka jadi baik dan beriman. Tetapi apabila dia mendapat kemewahan keduniaan, dia sudah mula lupakan agama. Mula sibuk nak menghabiskan wangnya, berjalan sana-sini, beli berbagai barang dan sebagainya.
Sudah mula kurang buat amal, sudah tidak datang ke kelas agama dan sebagainya. Bukanlah kita kata semua orang, tapi kebanyakan orang akan jadi begitu. Takut ada orang kaya yang baca ni, marah pula… janganlah marah, ini adalah kenyataan.
Kalau kita ada banyak barang, memang sifat kita akan membazir. Ada satu kereta, nak kereta satu lagi. Semua manusia kalau boleh nak hidup senang. Akhirnya jadi malas, jadi lemak. Kita tengoklah anak orang kaya, perangai mereka lain dengan perangai anak orang miskin.
Bandingkan dengan mereka yang kurang hartanya, terhad barang yang mereka ada. Mereka akan berdikit menggunakan harta yang Allah beri. Mereka bercakap baik sahaja dengan orang lain. Sebab itu Allah hadkan rezeki kepada kita. Allah mahu kita tetap jadi orang yang baik. Allah maha tahu tentang hambaNya, kerana Dia yang cipta kita, maka Dia buat keputusan dengan bijaksana.
Kalau semua orang kaya di dunia ini pun, susah juga, bukan? Siapa nak jadi kuli kerja di pejabat dan gudang?
Maka dari ayat ini, pengajaran yang kita boleh ambil adalah kemiskinan pasti akan ada. Ia tidak dapat dihapuskan kerana memang ianya adalah sifat di dunia ini. Kalau kekayaan diberikan kepada semua manusia, maka tentu dunia akan kacau bilau.
Mungkin timbul persoalan: kenapa nanti di syurga ada banyak kekayaan tapi tidak ada kacau bilau? Ini kerana di syurga nanti tidak ada hasad dengki kerana semua perasaan buruk dari diri manusia akan ditarik.
Kenapa pula tidak ditarik perasaan hasad dengki dari semua manusia supaya semua manusia boleh kaya dan hidup aman damai? Ini Allah tidak jadikan kerana memang dunia ini adalah tempat ujian. Memang ada manusia yang ada perasaan hasad dengki dalam hati mereka yang menyebabkan kegawatan dalam dunia ini.
Ada pendapat yang mengatakan ada para sahabat yang teringin untuk jadi kaya. Ini setelah mereka melihat kekayaan yang ada pada Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa’. Juga dikatakan merujuk kepada Ahli Suffah yang ada teringin untuk jadi kaya juga sampaikan mereka menyuarakan keinginan hati mereka kepada Nabi ﷺ. Maka kerana itulah ayat ini diturunkan.
وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ
akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya.
Allah ingatkan yang Dia yang beri rezeki. Sebagai penekanan bahawa semua rezeki dari Allah. Tidak ada yang selain Allah yang boleh beri rezeki.
Rezeki utama dalam bentuk air. Kerana kalau air tidak ada, habis semua kehidupan di atas muka bumi. Manusia akan susah atau mati terus kalau tidak ada air. Dan Allah beri air itu kadar keperluan kita. Kalau diberikan semua air sekali gus, tentu semua tempat akan banjir, bukan?
Allah tahu kadar mana yang diperlukan oleh makhlukNya. Allah tahu apa yang diperlukan hambaNya. Kalau Allah hendak menjaga agama hambaNya, maka Allah akan beri cukup-cukup sahaja untuknya. Kerana Allah tahu kalau diberikan lebih lagi, akan menyebabkan dia itu akan terpesong dari agamanya.
Dan ada orang yang Allah beri lebih dan ada orang yang Allah beri kurang. Allah tahu keperluan satu individu dan individu yang lain. Ada orang yang boleh tahan dengan ada harta yang banyak, dan ada yang tidak.
Ada orang yang sibuk bekerja, tidak banyak duit untuk berlibur, makan apa yang ada sahaja. Orang itu akan senyap sahaja, tak kacau orang dan tak buat kerosakan. Tapi kalau tiba-tiba dia diberikan harta yang banyak, tiba-tiba perangai dia sudah jadi lain macam. Banyak kita boleh lihat orang sebegini, bukan?
إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ
Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
Allah tahu keperluan hambaNya. Allah Maha Tahu manakah hamba yang boleh tahan dengan harta yang banyak dan mana yang tidak. Allah selamatkan manusia yang tidak boleh tahan dengan harta yang banyak dengan diberikan sedikit sahaja.
Jadi, kalaulah kita tidak diberikan dengan harta yang banyak, mungkin kita pun termasuk orang yang sebegini. Kerana Allah tahu kalau kita dapat harta yang banyak, kita akan melampaui batas. Maka bersyukurlah anda tidak kaya.
Jangan kita salahkan Allah kalau kita dapat kurang. Ingatlah kedudukan kita di sisi Allah. Kita ini hambaNya dan Dia adalah Tuhan. Kita gunakan setakat mana yang Allah berikan ini sebagai alat untuk kita jadi hamba kepada Allah.
Dan ingatlah yang Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan dengan rezeki yang Dia berikan. Sama ada kita gunakan rezeki itu untuk kebaikan atau tidak. Setiap perbelanjaan kita akan ditulis dan akan ditanya nanti.
Allah tahu apakah yang baik untuk kita. Perancangan Allah sangat hebat, maka kita kena percaya sahaja. Kerana Allah maha bijaksana. Bandingkan dengan pemerintah negara kita. Sebagai perumpamaan, tengoklah keputusan yang terpaksa dilakukan oleh mereka. Mereka kadangkala terpaksa buat keputusan yang akan menyebabkan sesetengah pihak akan kerugian atau kesusahan. Tapi mereka terpaksa buat keputusan itu untuk kepentingan negara.
Mereka yang terkesan dengan keadaan itu tentulah marah kerana mereka jadi susah. Mereka mungkin memberontak atau mengata sana sini kerana mereka tidak tahu bahawa keputusan yang pemimpin negara buat itu adalah untuk kebaikan negara bagi jangka masa panjang.
Kalau hal masa depan negara pun kita tidak dapat nak tahu sebagai rakyat biasa, takkan kita boleh tahu apakah perancangan Allah yang tentunya lebih tepat dan lebih hebat? Maka kenalah kita redha dengan apa yang ditentukan oleh Allah.
Ayat 28: Dalil Aqli
وَهُوَ الَّذي يُنَزِّلُ الغَيثَ مِن بَعدِ ما قَنَطوا وَيَنشُرُ رَحمَتَهُ ۚ وَهُوَ الوَلِيُّ الحَميدُ
And it is He who sends down the rain after they had despaired and spreads His mercy. And He is the Protector, the Praiseworthy.
Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.
وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ
Dan Dia lah yang menurunkan hujan
Kita yang hidup di Khatulistiwa ini, mungkin tak rasa sangat nikmat hujan ini. Kerana kita selalu dapat hujan sepanjang tahun. Sampaikan berlebih-lebih hujan sampai kadang-kadang banjir. Sekali sekala sahaja kemarau. Sampaikan kalau ada hujan turun, kita macam tidak suka, kita kata: “alaaa… hujan pula… susah lah nak….”.
Allah selalu sebut hujan dalam Al-Quran kerana ianya adalah nikmat yang amat besar sekali. Lihatlah bagaimana Allah turunkan hujan itu mengikut keperluan kita. Allah turunkan hujan sepanjang tahun, bukannya Allah turunkan semuanya sekali di awal tahun.
Kalau keseluruhan hujan untuk tahun itu diberikan satu masa, maka tentulah akan banjir sesuatu tempat itu dan tidak elok pula. Antara nikmat Allah adalah Allah turunkan sedikit demi sedikit hujan itu. Maka, ianya dapat dimanfaatkan oleh kehidupan.
Dalam ayat ini, perkataan الْغَيْثَ digunakan. Sedangkan ada perkataan lain juga untuk hujan – مَطَر contohnya. Ini adalah kerana الْغَيْثَ adalah hujan yang diturunkan selepas kemarau. Iaitu waktu yang manusia amat mengharap kepadanya. الْغَيْثَ dari katadasar غ و ث yang bermaksud ‘kelegaan’.
Dan الْغَيْثَ juga bermaksud hujan itu turun dengan banyak. Selepas kemarau, tiba-tiba hujan turun, teramatlah suka manusia dengan hujan itu. Sedangkan kalau hari biasa hujan turun, sampai ada yang merungut bila hujan turun. Sampai ada yang kata: “alamak, hujan turun la pulak, aku nak keluar ni. Kenapalah hujan pagi-pagi ni? Tak tahu ke aku nak keluar?” Nauzubillah, kalau kita bercakap tanpa ilmu dan iman, memang boleh jadi macam ni.
Tapi kalau hujan turun selepas kemarau, ramai-ramai akan keluar menari-nari dalam hujan itu. Begitulah bezanya sikap manusia dengan hujan.
Balaghah: Selalunya Allah menggunakan kalimah ماء untuk menyebut air hujan dalam keadaan normal, iaitu apabila menceritakan rahmat Allah dalam bentuk hujan yang diberikan kepada manusia. Akan tetapi kadangkala Allah menggunakan kalimah lain seperti dalam ayat ini.
Penggunaan kalimah غيث di dalam ayat ini memberi konotasi lebih kuat kepada hujan. Iaitu tentang hujan yang diperlukan oleh manusia untuk menyuburkan tanaman dan memberikan kehidupan.
مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا
setelah mereka berputus asa,
Allahlah yang menurunkan hujan selepas manusia sudah tidak tahu nak buat apa untuk menurunkan hujan atau menghentikan kemarau itu. Kerana mereka tahu yang mereka tidak ada kuasa untuk menurunkan hujan. Memang hanya berharap kepada Allah sahaja. Bayangkan perasaan manusia apabila diberikan dengan hujan selepas lama hujan tak turun. Tentu amat lega.
Putus asa yang boleh adalah putus asa dengan usaha manusia. Sudah buat macam-macam tapi akhirnya tak tahu nak buat apa lagi. Jangan putus asa dengan Allah kerana putus asa dengan Allah adalah sifat kufur.
Negara kita jarang mengalami masalah kekurangan hujan. Tetapi sekali sekala ianya berlaku juga. Masalahnya, masyarakat kita tidak tahu bagaimana hendak memohon kepada Allah apabila hujan lama tidak turun. Kerana jahil, masyarakat kita masih juga mahu melakukan Solat Hajat.
Solat Hajat berjemaah adalah amalan yang bidaah. Sepatutnya yang dilakukan adalah Solat Istisqa’ – Solat Minta Hujan. Itulah cara solat yang diajar dan diamalkan oleh Nabi. Ada negara Islam yang apabila dua minggu sahaja hujan tak turun, mereka terus Solat Istisqa’.
Solat ini dilakukan di tempat umum seperti padang terbuka. Jemaah solat hendaklah memakai pakaian yang lusuh untuk menggambarkan kesusahan yang mereka sedang alami. Bawa sekali dengan binatang ternakan kerana binatang ternakan juga memerlukan hujan. Feqah Solat Istisqa’ ini boleh dipelajari di tempat lain.

Kadangkala satu-satu nikmat itu berlainan penerimaannya oleh manusia. Kadang-kadang Allah beri pertolongan di saat-saat seseorang itu sudah putus harap. Waktu itu, terasa sungguh nikmat itu.
Hikmahnya, apabila pertolongan itu diberikan waktu itu, mereka akan rasa teramat lega, dan teramat bersyukur. Kalau sebut ‘alhamdulillah’ waktu itu pun, bunyi sudah lain – disebut dengan penuh kelegaan dan dengan penuh syukur kepada Allah.
Ayat ini mengajar kita yang sekali sekala Allah akan tangguhkan penurunan hujan kepada manusia supaya mereka akan berharap lebih kepadaNya. Mungkin mereka telah melakukan kesalahan kepada Allah sebelum itu dan Allah tahan hujan sebagai peringatan kepada mereka untuk mengenang kembali apakah salah mereka dan bertaubat atas kesalahan mereka itu.
Perangai manusia, kalau selalu sahaja dapat apa yang dikehendaki, manusia tidak menghargai nikmat itu. Orang yang selalu makan sedap, dia tak kisah pun bila dia dapat makan makanan yang sedap. Tapi orang kampung yang jarang dapat makan sedap, sekali dapat makan steak, dia akan teruja sangat. Begitulah perumpamaannya.
وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ
dan Dia menyebarkan rahmatNya merata-rata.
Allahlah yang menyebarkan rahmatNya kepada seluruh makhlukNya. Semua makhluk akan dapat rahmat dari Allah. Sema ada manusia, binatang, serangga, semua sekali. Semua akan dapat rezeki masing-masing. Dalam bentuk yang mereka perlukan. Makanan untuk lembu lain dengan makanan untuk semut kerana Allah beri bahagian ikut keperluan masing-masing.
Begitulah, rezeki dalam bentuk hujan jatuh ke merata-rata kawasan yang luas. Bandingkan kalau air dari dalam bumi, seperti mata air dan telaga, ianya hanya terhad dalam kawasan yang kecil sahaja. Tapi apabila hujan turun, ianya pergi ke merata tempat.
Rezeki itu bukan dalam bentuk hujan sahaja. Macam-macam jenis rezeki yang Allah berikan. Cuma Allah selalu beri contoh hujan dalam Al-Quran untuk isyarat kepada rezeki.
Seperti yang selalu disebut, surah-surah Hamim Tujuh ini adalah berkenaan Tauhid dalam berdoa. Kita disuruh berdoa hanya kepada Allah, dan terus kepada Allah sahaja. Kerana Dia sahaja yang dapat memberi apa yang kita perlukan. Begitulah yang ditekankan dalam ayat ini. Kalau hujan sudah lama tak turun, maka doalah kepada Allah. Jangan pergi jumpa Bomoh Hujan pula – ini syirik.
Kalau hanya Allah sahaja yang boleh beri rezeki kepada kita, dalam bentuk hujan dan lain-lain bentuk rezeki, maka minta kepada Allah lah sahaja, jangan pula minta kepada yang lain.
وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ
Dan Dia lah pelindung, lagi Yang Maha Terpuji.
Ayat ini mengajar kita bagaimana Allah memberikan rezeki mengikut kadar keperluan. DiberikanNya sedikit demi sedikit harta dan keperluan kepada manusia. Kerana Allah tahu, kalau hambaNya diberikan dengan harta yang banyak sekaligus, akan menyebabkan manusia itu terpesong, jadi tak tentu arah.
Ini seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Macam juga hujan, diberikan sedikit demi sedikit, kerana kalau diberi banyak terus, bukannya jadi nikmat, tapi jadi musibah.
Manusia akan jadi lain kalau tiba-tiba jadi kaya. Kalau kita lihat budak-budak selepas kira duit raya mereka pun cukuplah. Perangai mereka sudah jadi lain macam: nak beli itu lah, ini lah. Nak makan itu, makan ini. Sibuk mereka dengan duit raya mereka itu.
Orang dewasa pun begitu juga. Kalau ada duit banyak, selalunya mereka boleh jadi hanyut dengan kemewahan. Jadi, ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah telah ‘menyusun’ rezeki yang hendak diberikan kepada kita. Allah tidak beri banyak untuk keselamatan iman kita juga sebenarnya.
Ayat 29: Dalil aqli sebagai alamat kepada Qudrat Allah. Kenapa kita kena sembah Allah sahaja.
وَمِن ءآيٰتِهِ خَلقُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَثَّ فيهِما مِن دابَّةٍ ۚ وَهُوَ عَلىٰ جَمعِهِم إِذا يَشاءُ قَديرٌ
And of his signs is the creation of the heavens and earth and what He has dispersed throughout them of creatures. And He, for gathering them when He wills, is competent.
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki (melakukannya).
وَمِنْ ءآيٰتِهِ
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya
Allah menyebut-nyebut tanda-tanda kekuasaanNya untuk mengingatkan kita yang Dialah Tuhan kita dan kita kena sembah dan seru hanya Dia. Tanda-tanda itu boleh dilihat pada alam ini. Dengan melihat alam ini akan mengingatkan kita kepada Allah.
خَلْقُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ
ialah kejadian langit dan bumi
Allah selalu menyebut langit dan bumi kerana itulah dua makhluk besar yang kita selalu boleh lihat. Tidak mustahil ada lagi makhluk-makhluk Allah yang lain yang kita tidak dapat lihat. Sebagai contoh, Arasy adalah lebih besar lagi dari langit dan bumi, tapi kita tidak nampak.
Allah hendak memberitahu, begitu punya besar langit dan bumi itu, Dia sahaja yang mencipta keduanya, tidak berkongsi dengan sesiapa pun dalam penciptaannya.
وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَابَّةٍ
serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata;
Lihatlah berapa banyak makhluk Allah yang melata di bumi dan terbang di langit. Kalimah دَابَّةٍ bermaksud sesuatu yang bergerak sendiri dan selalunya digunakan untuk binatang. Termasuk juga sama ada manusia atau kehidupan yang lain. Apabila kita lihat segala makhluk itu, kita ingat dalam hati kita yang Allahlah yang menjadikan semua makhluk itu.
Semua yang ada atas bumi ini, binatang dan manusia dan apa sahaja, tidak terjadi sendiri. Tidaklah kita dan mereka membiak sendiri, melainkan Allah juga yang membiakkan kita. Kena ingat perkara ini.
Binatang dan makhluk di bumi kita boleh nampak. Tapi bagaimana dengan makhluk yang bergerak di langit? Mungkin yang dimaksudkan adalah para malaikat atau mungkin juga ada makhluk-makhluk lain yang melata yang kita tidak tahu kerana ilmu kita terhad terhadap alam ini. Oleh kerana itu, ada juga yang menggunakan ayat ini sebagai dalil ada makhluk di planet-planet lain. Ini adalah kerana kalimah دَابَّةٍ adalah makhluk yang melata di tanah. Kalau malaikat, mereka mungkin terbang sahaja.
وَهُوَ عَلَىٰ جَمْعِهِمْ إِذَا يَشَاءُ قَدِيرٌ
dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki
Walaupun makhluk itu merata-rata, ada di langit dan ada di bumi, tapi Allah mampu untuk mengumpulkan semua makhlukNya itu apabila tiba masanya. Kita nak kumpul anak beranak kita yang duduk di negeri lain pun sudah susah, tapi Allah mampu nak mengumpulkan makhlukNya walau di mana mereka berada. Semua makhluk nanti mati berlainan tempat dan berlainan masa, tapi Allah boleh kumpul semuanya sekali di Mahsyar.
Bila Allah yang jadikan dan menghidupkan makhluk, tentu Dia juga boleh matikan. Jadi kenapa Musyrikin Mekah tak boleh terima yang makhluk akan dihidupkan? Kerana mereka pun terima yang Allah sahaja yang boleh menjadikan. Mereka sepatutnya kena terima kerana itu semua dari Qudrat yang sama juga. Bila terima tentang Qudrat, maka syariat pun kena terimalah juga.
Habis Ruku’ ke 3 dari 5 ruku’ surah ini.
Ayat 30: Takhwif duniawi. Ayat ini adalah tentang bala yang menimpa manusia. Allah menceritakan kenapa manusia ditimpa bala itu. Ianya adalah kerana kesalahan yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Ini mungkin satu pemahaman yang ramai tidak tahu.
وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم وَيَعفو عَن كَثيرٍ
And whatever strikes you of disaster – it is for what your hands have earned; but He pardons much.
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
وَمَا أَصٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana),
Macam-macam kesusahan dan musibah yang kita alami dalam kehidupan dunia ini. Itulah namanya kehidupan, tidak sunyi dari masalah, tidak sunyi dari musibah. Sama ada berbentuk kesihatan, kewangan, pekerjaan, perhubungan antara manusia, malah apa-apa sahaja. Ada musibah yang besar dan ada musibah yang kecil. Apa yang Allah kata tentang musibah itu?
فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ
maka ia adalah disebabkan apa yang tangan kamu lakukan
Musibah-musibah itu ditimpakan kepada kita kerana perbuatan tangan kita sendiri. Manusia mendapat musibah kerana amalan dosa yang dilakukan. Bukan dosa tangan sahaja tapi dosa yang dilakukan oleh semua anggota walaupun disebut hanya tangan sahaja.
Ianya terjadi kerana kesalahan kita. Iaitu perbuatan dosa yang banyak kita lakukan. Perbuatan yang baik akan membawa kebaikan, dan perbuatan buruk akan membawa kepada keburukan.
Allah hendak memberitahu kita, apabila derhaka, di dunia lagi Allah boleh boleh beri azab sikit-sikit. Kalau orang kafir, apa sahaja musibah yang menimpa mereka itu sudah dikira azab. Iaitu azab yang kecil sebelum kena azab lebih teruk di neraka. Maka kalau nak selamatkan diri dari musibah, perbaiki amalan dari jahat kepada baik. Jangan jadi zalim, contohnya, taat kepada Allah dan serahkan diri kepada Allah.
Kepada orang mukmin yang ada buat dosa, ianya adalah peringatan atau sebagai asbab gugur dosa. Diberi musibah supaya orang itu insaf. Allah beri musibah-musibah itu untuk memberi peringatan kepada kita. Supaya selalunya apabila kita jatuh terduduk kerana masalah, baru kita teringat dengan Allah. Baru teringat dosa-dosa yang kita telah lakukan.
Selalunya orang bila sudah kena musibah, baru dia teringat nak istighfar, baru nak buat amal kebaikan. Masa kita kaya, masa kita ada kuasa dulu, kita menikmati kehidupan ini tanpa mengingati Allah. Sembahyang pun pakai mana yang mampu sahaja, kelas agama tak sempat nak pergi sebab sibuk nak belanja harta, pergi sana pergi sini.
Oleh kerana itu, kalau ada musibah dikenakan kepada diri kita, kena ingat baliklah: “apalah dosa yang aku telah lakukan? Apa yang Allah murka dengan aku?”
Tapi bagaimana dengan orang mukmin yang tidak buat dosa seperti para Nabi? Kenapa mereka kena musibah juga? Kepada mereka, dengan musibah yang mereka dapat itu, mereka akan naik darjat. Dan mereka akan diberikan pahala tambahan kerana sabar. Kerana kalau mereka tak diuji, macam mana orang mukmin nak dapat pahala sabar? Dan pahala sabar ini tidak ada had.
Maka musibah diberikan kepada mereka sebagai tambahan pahala kepada mereka. Jadi janganlah kita gatal mulut pula cakap dengan orang yang kena musibah: “ini tentu ada salah kau kat mana-mana ni… bertaubatlah…”. Jangan kita cakap begitu kerana musibah itu mungkin bukan kerana dosa dia, tapi kerana Allah nak beri pahala tambahan kepada dia.
وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ
dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
Allah dengan Sifat RahmatNya, tak hukum kita terus dengan segala dosa-dosa yang kita lakukan. Kalau nak dikirakan, banyak sekali dosa-dosa yang kita lakukan. Tapi, musibah yang dikenakan kepada kita itu bukanlah atas semua dosa-dosa itu. Allah beri sikit sahaja. Ini istilah yang selalu gunakan: “Allah bayar cash terus ni…”
Maksud ayat ini, dosa-dosa yang kecil yang manusia lakukan, banyak yang Allah sudah ampunkan. Dosa itu diampunkan apabila kita solat, wuduk, buat kebaikan dan lain-lain ibadat. Kerana kalau Allah nak balas dengan semua dosa yang kita lakukan, tentu kita tidak mampu menanggungnya.
Oleh kerana itu, bukan semua amalan jahat terus dibalas di dunia. Allah maafkan begitu sahaja. Atau, Allah tangguh azab musibah itu kerana Allah beri peluang untuk bertaubat. Tapi kalau terlepas tidak kena azab di dunia, dan dia pun tidak minta ampun sampai dia mati, maka di akhirat akan kena juga. Maka jangan sangka akan terlepas begitu sahaja.
Tapi ada jenis dosa yang tidak diampunkan kerana pembuatnya kena minta ampun secara spesifik kepada Allah. Itulah dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik. Ini bukan jenis dosa yang akan terhapus dengan wuduk, solat dan buat kebaikan yang biasa. Ini termasuk dalam perbuatan syirik adalah amalan-amalan dan fahaman bidaah. Ini adalah kerana amalan bidaah adalah amalan menambah dalam agama, ianya adalah syirik juga. Ini kita telah belajar dalam tafsir ayat 21 surah ini.
Tetapi, kerana tidak belajar tafsir Al-Quran, tidak belajar sunnah, manusia tidak tahu manakah amalan bidaah dan syirik yang mereka lakukan. Oleh kerana mereka tak tahu, maka mereka tidaklah meminta ampun atas dosa-dosa itu. Kerana kalau mereka tahu, tentulah mereka akan meminta ampun.
Kesimpulan ayat ini, kerana ada dosa yang manusia lakukan, dan mereka tidak mohon keampunan lagi, maka Allah telah menjatuhkan musibah ke atas mereka. Musibah itu dikenakan untuk mengingatkan manusia apakah kesalahan yang mereka telah lakukan. Apa yang patut kita lakukan adalah memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa kita itu. Bukannya dengan buat Solat Tolak Bala, Doa Tolak Bala, Solat Hajat dan amalan-amalan bidaah yang lain.
Oleh kerana dosa-dosa yang tidak diminta ampun itulah yang menyebabkan kita dikenakan dengan musibah itu. Maka, kita kenalah sentiasa istighfar dan minta ampun kepada Allah supaya Allah terus ampunkan sahaja dosa kita dan tidak diganti dengan balasan musibah.
Manusia pertama yang melakukan dosa dan dikenakan musibah adalah Nabi Adam a.s. Baginda telah dihukum dengan diturunkan ke dunia dari syurga tempat tinggal asalnya. Itu adalah musibah yang amat besar. Bayangkan, setelah duduk di syurga dengan segala kenikmatannya, terpaksa tinggal di dunia yang serba tak cukup, serba kurang dan serba payah.
Maka, apakah yang baginda telah lakukan? Baginda telah memohon keampunan dari Allah. Walaupun baginda seorang yang amat bijak, tapi doa-doa taubat baginda tidak diterima oleh Allah. Sampailah Allah sendiri ajar baginda bagaimana memohon ampun. Doa yang diajar oleh Allah dan diamalkan oleh Nabi Adam ada tertulis dalam A’raf:23
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.
Nabi Adam dan Hawa mengaku kesalahan yang mereka lakukan dan memohon keampunan dari Allah. Selepas mengamalkan doa ini, barulah Allah maafkan baginda dan Hawa. Maka, tidaklah benar yang Nabi Adam bertawasul dengan nama Nabi Muhammad yang belum lahir, seperti yang diajar oleh puak-puak bidaah dan puak-puak tarekat.
Sedangkan telah jelas dalam ayat ini bagaimana cara Nabi Adam memohon ampun dari Allah. Maka, kalau kita ditimpa musibah, ada kemungkinan ianya adalah dari kesalahan yang kita lakukan, maka moleklah kalau kita amalkan doa ini juga.
Kalau kita tidak rasa kita ada buat dosa pun, sepatutnya kita kena selalu istighfar kepada Allah. Kerana kita tidak tahu apakah dosa yang kita telah lakukan. Tentunya kita ada sahaja dosa yang kita lakukan. Jangan nak tipu lah.
Ayat 31: Kalau Allah nak kenakan musibah atau azab, kita tidak akan mampu untuk menyelamatkan diri.
وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ فِي الأَرضِ ۖ وَما لَكُم مِّن دونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ
And you will not cause failure [to Allah ] upon the earth. And you have not besides Allah any protector or helper.
Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.
وَمَا أَنتُم بِمُعْجِزِينَ فِي الْأَرْضِ
Dan kamu tidak akan dapat melemahkan (kuasa Allah) di muka bumi;
Tidak ada tempat untuk kita lari dari apa yang Allah telah tetapkan kepada kita. Kita tidak boleh lemahkan atau tahan kuasa Allah untuk mengenakan musibah kepada kita. Kerana kita tinggal dalam bumiNya. Kalau Allah nak kenakan musibah kepada kita, ianya pasti akan kena.
Kalau kesalahan jenayah dunia, edar dadah atau bunuh orang, boleh lagi nak lari sampai polis tak tangkap dan tak kena penjara. Tapi tidak akan boleh lari kalau dengan Allah. Kerana kita tidak dapat melemahkan qudrat Allah untuk balas segala dosa kita.
Kenapa Allah kenakan musibah itu kepada kita? Adakah Allah benci kepada kita? Tentunya tidak. Bala dan musibah itu adalah sebagai amaran dari Allah. Allah nak ingatkan kita bahawa ada kesalahan yang kita telah lakukan. Allah nak beritahu kepada kita bahawa kita telah lupa kepada Allah. Yang kita telah buat kesalahan. Kita kena periksa balik, apakah kesalahan yang kita lakukan. Kalau Allah beri peringatan sebegini, ia adalah rahmat dari Allah. Kerana azab di akhirat lebih teruk lagi, bukan?
Ini adalah tentang musibah di dunia. Bagaimana pula di akhirat kelak? Allah sambung dengan potongan seterusnya pula, iaitu keadaan di akhirat kelak:
وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ
dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain dari Allah. – sebagai pelindung
Tidak ada mana-mana guru, ustaz, Tok Sheikh, wali atau sesiapa sahaja yang boleh menyelamatkan kita dari azab Allah. Kalau di dunia, ada orang boleh tolong kita, atau kita rasuah orang tolong kita, atau upah mereka, atau paksa mereka; tapi segala itu tidak akan terjadi di akhirat kelak.
Hanya Allah sahaja yang boleh melindungi kita dan menyelamatkan kita. Minta ampunlah kepada Allah. Mintalah pertolongan kepada Allah.
وَلَا نَصِيرٍ
atau pemberi pertolongan.
Allah sahaja yang boleh memberi pertolongan kepada kita apabila kita ada musibah, ada masalah. Kalau satu dunia berusaha untuk tolong menyelesaikan masalah kita, tapi kalau Allah tidak membenarkannya, masalahnya itu tidak akan selesai.
Lafaz وَلِيٍّ untuk penolong untuk selamatkan kita dari kena musibah. Atau untuk menghalang dari masuk ke dalam neraka. Tidak ada yang boleh halang.
Lafaz نَصِيرٍ pula untuk penolong selepas kita kena musibah atau azab. Juga tidak ada yang akan dapat keluarkan kita dari neraka tanpa izin Allah kalau kita dimasukkan ke dalam neraka.
Maka, kita sepatutnya pergi kepada Allah, bukannya lari dari Allah. Malangnya, ada orang kita yang apabila ditimpa kesusahan, contohnya bisnes jatuh bangkrap, isteri lari dengan orang lain, anak tinggalkan mereka, mereka bukan kembali kepada Allah tapi sebaliknya menjauhkan diri lagi daripada Allah.
Mereka ada yang hisap dadah, minum arak sebab nak lupakan masalah, ada yang bunuh diri, pukul orang lain dan macam-macam lagi kesalahan yang mereka lakukan. Itu adalah cara yang salah untuk menghadapi musibah yang telah dikenakan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 22 Oktober 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani