Ayat 110: Umat Islam kena jadi umat seperti sahabat Nabi. Dan sekarang disampaikan kepada kita ayat ini yang menceritakan keadaan para sahabat sebagai motivasi kepada kita.
Ayat ini adalah tentang amar makruf nahi mungkar. Kita boleh masuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini kalau kita buat sama seperti apa yang mereka lakukan.
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ ءآمَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
You are the best nation produced [as an example] for mankind. You enjoin what is right and forbid what is wrong and believe in Allāh. If only the People of the Scripture had believed, it would have been better for them. Among them are believers, but most of them are defiantly disobedient.
MALAY
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
Ayat ini ditujukan kepada para sahabat. Kita belum tentu lagi seperti mereka. Sahabat adalah sebaik-baik umat yang boleh dijadikan sebagai contoh. Mereka terbaik dari segi akidah dan amalan. Oleh itu, neraca kita adalah sahabat.
Oleh sebab itu, dalam amalan agama, kita kena selalu tanya, adakah sahabat buat amalan-amalan sebegitu? Kerana mereka belajar sendiri dari Nabi dan mereka lebih faham agama dari kita. Oleh itu, ada amalan-amalan yang kita kena periksa periksa. Adakah amalan itu ada dibuat oleh mereka?
Sebagai contoh, adakah mereka melakukan Solat Hajat berjemaah? Adakah mereka buat Majlis Tahlil, Talqin, berdoa di kubur dan sebagainya? Kalau tidak ada, maka ada masalah kalau masyarakat kita ada mengamalkan amalan-amalan sebegitu. Kerana orang yang terbaik dalam agama tidak buat, jadi kenapa kita pula ada buat?
Para sahabat telah diberi kedudukan yang tinggi kerana Allah pilih mereka untuk jadi sahabat. Perkataan ‘dikeluarkan’ dalam ayat ini maksudnya ‘dipilih’. Dalam banyak-banyak manusia dalam alam ini, mereka yang diberi peluang untuk duduk berjuang dan berdakwah bersama dengan Nabi.
Lalu, kalau kedudukan mereka tinggi sebegitu sampai dipuji oleh Allah, bagaimana mungkin ada golongan seperti Syiah yang sanggup untuk mengatakan mereka murtad setelah Nabi wafat? Ini memang amat karut sekali? Tapi bagaimana puak-puak Syiah ini boleh dapat tempat di negara kita yang kita cintai ini?
Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kelemahan ilmu agama masyarakat kita. Mereka sampai senang ditipu dan diperdaya oleh diayah-diayah golongan sesat sebegitu. Mereka pandai memutar-belitkan fakta agama dan kerana orang kita sendiri tidak ada pengetahuan agama, mereka sedang terpedaya. Oleh itu, tingkatkanlah ilmu agama tuan-tuan. Dan ajarlah anak beranak dan sahabat handai supaya tidak senang ditipu.
تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah
Para sahabat itu sebar agama. Mereka sampai telah mengembara ke serata dunia untuk menyampaikan agama Islam ini kepada umat manusia. Sampaikan ramai sahabat yang mati di negara yang jauh dari Mekah dan Madinah.
Bukan sahaja mereka berdakwah tapi mereka menegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Kita pun kenalah juga buat apa yang mereka lakukan juga. Kena jalankan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat kita. Kena tegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana memang banyak yang ada masalah.
Kita tidak boleh biarkan sahaja kerana kalau kita biarkan, mereka sangka apa yang mereka lakukan itu tidaklah salah. Malangnya, ustaz-ustaz di negara kita memang segan nak tegur anak murid kerana takut mereka lari dari belajar. Mereka jaga sangat hati anak-anak murid.
Memang mereka nak jaga sensitiviti masyarakat, tapi kesannya amat bahaya. Bila tidak dijalankan amar makruf nahi mungkar, maka anak murid akan rasa: “takkan salah, kerana kalau salah tentu ustaz aku dah tegur!”
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
serta kamu pula beriman kepada Allah
Para sahabat itu benar-benar beriman dengan Allah dengan sebenar-benar iman. Iman yang sempurna adalah tidak melakukan syirik atau mempunyai fahaman yang syirik. Ini penting untuk difahami kerana ada orang yang beriman dengan Allah, dengan Rasul dan lengkap Rukun Iman mereka, tapi dalam masa yang sama, mereka ada kepercayaan kepada fahaman syirik.
Maka kena belajar apakah iman para sahabat, bagaimana mereka faham tentang tauhid, tentang akidah. Janganlah pakai pegangan yang direka lama selepas mereka tidak ada!
وَلَوْ ءآمَنَ أَهْلُ الْكِتٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم
Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah itu baik bagi mereka.
Ini kelebihan bagi Ahli Kitab. Kalau mereka beriman, mereka akan dapat dua ganjaran. Ganjaran pertama kerana mereka percaya kepada Kitab Suci mereka. Dan kedua, ganjaran kerana beriman dengan Nabi Muhammad.
Ini adalah kelebihan mereka, yang tidak ada pada Bangsa Arab kerana mereka tidak ada kepercayaan kepada Kitab Suci sebelum itu. Kita pun tidak ada kelebihan itu kerana kita lahir-lahir sudah beragama Islam. Maka ayat ini adalah ayat motivasi hendak memujuk mereka ke arah Islam.
مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ
di antara mereka ada yang beriman
Ada yang baik dari kalangan mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad. Maka jangan kita terus pukul rata semua Ahli Kitab itu buruk-buruk belaka. Ada juga yang beriman. Antara yang terkenal adalah seorang sahabat yang bernama Ibnu Salam.
وَأَكْثَرُهُمُ الْفٰسِقُونَ
dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Tetapi majoriti dari mereka adalah yang fasik. Fasik itu bermaksud tidak taat kepada arahan Allah.
Amar makruf nahi munkar ini kena mulakan dengan diri sendiri, kemudian kepada keluarga kita sendiri. Sebelum kita nasihat kepada orang lain, kena mula dengan diri kita sendiri dulu. Dan kemudian mulakan dengan menasihati ahli keluarga dan sahabat handai (kadang kala inilah yang paling sukar).
Dan kena ingat yang kita nasihat orang lain adalah kerana kita sayang kepada mereka, bukannya kerana kita lebih baik dari mereka. Jangan ada perasaan tak elok macam itu. Jangan simpan perasaan kita lebih baik dari orang lain.
Begitu juga kalau kita sudah terima sunnah – alhamdulillah. Tapi jangan kutuk orang lain yang belum terima. Kerana kita dulu pun macam mereka juga, buat syirik, buat bidaah. Cuma kita dapat hidayah dahulu dari mereka. Entah-entah mereka kalau terima hidayah, mereka jadi lebih baik dari kita, lebih pandai dari kita, lebih warak dari kita.
Ayat 111:
لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى وَإِن يُقٰتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They will not harm you except for [some] annoyance. And if they fight you, they will show you their backs [i.e., retreat]; then they will not be aided.
MALAY
Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan dibantu.
لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى
Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti
Apabila mereka majoritinya fasik, mereka ada kemungkinan akan buat perkara yang jahat. Kerana yang pasti akan buat perkara yang baik adalah orang beriman sahaja kerana mereka dipandu oleh iman mereka. Kalau fasik, mereka dipandu oleh hati mereka.
Walaupun mereka akan buat jahat kepada kita, Allah nak beritahu kita dalam ayat ini, jangan takut dan risau. Kerana mereka tidak akan dapat beri mudharat kepada kita melainkan dari segi kata-kata sahaja. Seperti menyakitkan hati kita, buat propaganda buruk dan sebagainya. Jangan risau kerana Allah janji akan jaga.
Tapi janji itu syaratnya adalah sekiranya ikut cara sahabat. Kalau kita pun porak peranda, agama entah ke mana, wahyu pun tidak kenal, memang tidaklah akan dapat bantuan dari Allah. Kerana ayat sebelum ini telah disebut kita kena ikut jalan mereka.
وَإِن يُقٰتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ
Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu
Mereka tidak akan sanggup memerangi orang mukmin. Kalau mereka ada niat nak perang pun, mereka sudah akan ada rasa takut dan akan lari. Tapi sekali lagi, kenalah kita sendiri betul dahulu.
ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ
sesudah itu mereka tidak akan dibantu
Mereka tidak dibantu kerana Allah murka dengan mereka. Allah akan hancurkan mereka kalau mereka berani hendak menentang umat Islam (yang kuat imannya).
Ayat ini diturunkan sebelum orang Islam berperang dengan ahli kitab. Allah sudah beritahu siap-siap apa yang akan terjadi. Jadi ayat-ayat sebegini adalah bekal kekuatan bagi para mujahideen.
Ayat 112: Ini adalah jenis ayat ta’liliyah (penjelasan sebab sesuatu itu terjadi). Allah memberitahu kenapa Puak Ahli Kitab itu ditimpa kehinaan.
ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They have been put under humiliation [by Allāh] wherever they are overtaken, except for a rope [i.e., covenant] from Allāh and a rope [i.e., treaty] from the people [i.e., the Muslims].¹ And they have drawn upon themselves anger from Allāh and have been put under destitution. That is because they disbelieved in [i.e., rejected] the verses of Allāh and killed the prophets without right. That is because they disobeyed and [habitually] transgressed.
- Once they have surrendered, the People of the Scripture retain their rights and honor (in spite of their refusal of Islām) through payment of the jizyah tax in place of zakāh and military service due from Muslims. They are then under the protection of the Islāmic state.
MALAY
Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa melampau (hukum-hukum Allah).
ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا
Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada,
Mereka tidak dihormati walau kaya macam mana pun. Mereka dihina walau di mana sahaja mereka berada. Kalau orang nampak macam hormat kepada mereka pun, kerana mereka ada kuasa kekayaan dan terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.
إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ
kecuali dengan adanya sebab tali Allah
Mereka selamat kerana syariat Allah yang tahan mereka dari dibunuh atau diperangi. Macam kalau perang dengan mereka, tidak boleh bunuh ahli ibadat mereka. Atau Allah ada tolong mereka sedikit sebanyak.
وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ
dan adanya sebab tali dengan manusia.
Atau kerana mereka ada perjanjian perdamaian sesama manusia. Ada juga yang bantu mereka. Mereka dibantu, tapi sebenarnya mereka bukan dihormati.
وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ
Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah,
Mereka ini memang layak mendapat kemurkaan dari Allah. Banyak sekali kesalahan-kesalahan yang mereka telah lakukan dan ini banyak disebut dalam Surah Baqarah sebelum ini. Mereka akan mati dalam kemurkaan dari Allah kalau mereka tidak terus beriman dengan segera.
وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ
dan mereka ditimpakan kemiskinan
Lafaz الْمَسْكَنَةُ yang dimaksudkan dalam ayat ini, bukanlah kemiskinan dari segi harta, tapi mereka ditimpa hilang semangat untuk agama. Tidak ada Yahudi dijadikan contoh dalam hal agama.
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ
Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah
Kenapa mereka dikenakan dengan balasan yang buruk-buruk itu? Inilah yang dimaksudkan dengan ayat ta’liliyah itu. Allah hendak memberitahu sebab. Kerana mereka sentiasa kufur dengan ayat-ayat Allah. Mereka bukan sahaja engkar dengan ayat dari Al-Qur’an, tapi dari Kitab Suci mereka pun mereka engkar juga.
وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ
dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar.
Dan kerana mereka bunuh Nabi. Ramai dari kalangan Nabi mereka yang mereka bunuh. Teruk sekali perbuatan mereka itu. Kalau bunuh orang biasa pun sudah teruk, tambahan pula kalau bunuh Nabi.
Tentulah tidak ada sebab yang benar untuk bunuh mana-mana Nabi pun. Kalau ada orang yang buat kesalahan yang layak mereka dibunuh, barulah ada sebab yang benar untuk membunuh orang itu. Tapi takkan Nabi ada buat benda yang salah pula sampai boleh mereka dibunuh?
ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا
Semuanya itu disebabkan mereka derhaka
Ayat ta’liliyah lagi. Kenapa mereka sampai sanggup bunuh para Nabi? Sebab sebelum itu mereka sudah banyak langgar hukum dari Allah. Apabila sudah banyak kali langgar, tidak kena balasan terus dari Allah, maka mereka jadi terbiasa buat dosa yang lebih teruk lagi.
وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ
dan mereka sentiasa melampau
Asal mereka jadi begitu adalah kerana mereka melampau, melanggar batasan dalam agama. Mereka bukannya tidak tahu mana batasan tapi mereka itu jenis yang amat degil.
Ayat 113:
لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They are not [all] the same; among the People of the Scripture is a community¹ standing [in obedience], reciting the verses of Allāh during periods of the night and prostrating [in prayer].
- Of people who accepted Islām.
MALAY
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).
لَيْسُوا سَوَاءً
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama semuanya.
Tidak sama mereka semuanya. Oleh itu, jangan kita pukul rata mereka semuanya dengan kata mereka semua jahat belaka. Ada yang masuk Islam dan menjadi umat yang baik.
Ada yang memang menanti Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi kerana mereka tahu dari kitab-kitab mereka yang mengatakan Nabi akhir zaman akan datang ke Madinah. Antara mereka itu, macam Waraqah bin Naufal, Salman al Farisi, Abdullah bin Salam dan banyak lagi.
Zaman sekarang pun masih ada orang Yahudi yang masuk Islam dan selalunya, kalau mereka masuk Islam, mereka akan jadi umat Islam yang baik, kerana mereka memang jenis manusia yang bijak dan pandai. Malah mereka lebih baik lagi dari kita.
Begitulah, yang dikutuk dalam ayat-ayat Al-Qur’an ini adalah sifat-sifat Yahudi itu, bukan mereka sendiri. Kalau ada orang yang sifat macam sifat-sifat Yahudi itu, mereka pun dikutuk juga, bukanlah kerana bangsa mereka itu. Ini kena tahu bezakan. Jangan kita tengok Bani Israil sahaja, terus kita kutuk mereka. Kerana ada antara mereka yang memang baik. Dan ingatlah, ada isteri Nabi yang dari Bani Israil itu. Takkan kita nak kutuk ummul mukminin pula?
Dan jangan kutuk Bani Israil sedangkan entah kita ada sifat mereka pula. Sebab itu kena belajar sifat mereka dan bandingkan dengan kita. Allah ajar sifat mereka dalam Al-Qur’an supaya kita boleh elak dari sifat mereka.
مِّنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ
Di antaranya ada golongan yang tetap tegak dalam taat
Ada antara mereka yang menegakkan kebenaran. Mereka masuk Islam dan menjadi insan yang baik.
يَتْلُونَ ءآيٰتِ اللَّهِ ءآنَاءَ اللَّيْلِ
mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) pada waktu malam,
Lihatlah bagaimana mereka membaca ayat-ayat Allah di malam hari. Mereka itu kalau masuk Islam, memang menjadi insan yang taat. Mereka baca dan faham dan mereka amalkan. Tapi orang kita, baca Al-Qur’an tapi tak faham-faham. Bila orang luar kutuk Al-Qur’an, melenting habis satu kampung, tapi apa yang dalam Al-Qur’an pun mereka tidak tahu.
وَهُمْ يَسْجُدُونَ
dan mereka sujud
Maksudnya, mereka mendirikan Solat. Sebenarnya, dalam syariat mereka pun ada sujud juga kerana mereka juga asalnya mendirikan solat. Cuma zaman sekarang sahaja mereka sudah tidak solat kerana mereka telah tukar agama mereka.
Cuma cara solat mereka dahulu pun memang lain sedikit dari syariat Islam. Antaranya, dikatakan yang mereka akan sujud dulu, baru rukuk sedangkan dalam syariat kita, akan rukuk dulu. Atau pun, dalam syariat mereka, tidak ada rukuk pun.
Ayat 114: Apakah lagi sifat-sifat mereka?
يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُسٰرِعُونَ فِي الْخَيْرٰتِ وَأُولَٰئِكَ مِنَ الصّٰلِحِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They believe in Allāh and the Last Day, and they enjoin what is right and forbid what is wrong and hasten to good deeds. And those are among the righteous.
MALAY
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat,
Ada juga dalam kalangan mereka dahulu yang tidak berbuat syirik walaupun Nabi Muhammad ﷺ belum diangkat menjadi Nabi. Mereka terdiri daripada mereka yang meneruskan amalan agama mereka tanpa ditokok tambah. Contohnya, ada antara mereka yang tidak menyembah Isa عليه السلام sebagai ilah dan tidak menganggap Nabi Isa عليه السلام sebagai ‘Anak Tuhan’.
Apabila mereka memeluk Islam, mereka benar-benar beriman dengan Allah ﷻ dan juga dengan Hari Akhirat – Ini adalah kerana maklumat tentang hari akhirat telah diberi kepada semua Nabi. Umat mereka sepatutnya tahu. Sampai sekarang pun, kita boleh lihat bagaimana dalam agama mereka masih tahu tentang perkara kehidupan selepas mati.
Maklumat yang ada pada mereka sekarang tidaklah banyak. Mereka tidak tahu bagaimana keadaan di akhirat kelak sampaikan mereka mengagak-agak sahaja. Lihatlah bagaimana dalam filem-filem mereka tentang syurga dan neraka, pelbagai cara mereka persembahkan. Antaranya, mereka membayangkan bagaimana di syurga nanti, semuanya akan memakai baju putih, jalan-jalan dengan gembira dan sebagainya. Lain filem, lain cara mereka persembahkan.
Oleh kerana tidak ada maklumat, maka setiap orang daripada mereka akan membayangkan cara syurga dan neraka yang berlainan. Ini semua kerana maklumat tentang akhirat telah tidak ditekankan lagi dalam agama mereka.
وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah
Malah ada yang hebat di antara mereka yang menjalankan amar makruf nahi mungkar. Semenjak dahulu lagi sudah ada puak yang menjalankan amar makruf nahi mungkar dalam kalangan mereka.
Ini memang satu kerja yang amat sukar sebenarnya. Kita kadangkala mudah untuk beramal dan menjadi orang baik, namun bab menegur orang memang susah. Tambahan pula manusia memang tidak suka ditegur. Habis melenting kalau perbuatan atau amalan mereka ditegur.
Kerana itulah ajaran Sunnah di negara kita ini amat dibenci sampai dituduh-tuduh ajaran Wahabi. Padahal kita hendak mengamalkan sunnah sahaja. Dalam sunnah memang ada perbuatan menegur kerana manusia kalau tidak ditegur, memang akan ke laut jadinya.
Oleh kerana manusia tidak suka ditegur, maka banyak dalam kalangan kita senyapkan sahaja amalan salah masyarakat. Ini kerana kalau kita tegur, nanti mereka bermasam muka dengan kita. Kita pun malas hendak melayan perangai sebegitu.
Masalah dengan para ustaz pun tidak berani hendak menegur kerana kalau ditegur, nanti anak murid tidak suka, sudah tidak panggil mereka untuk datang ke kelas pengajian, majlis makan-makan dan sebagainya. Buatlah apa sahaja, asalkan jangan ditegur. Pernah seorang ustaz yang agak popular dalam masyarakat kerana beliau datang dari negara luar namun fasih berbahasa Melayu. Pada mulanya ramai suka, tetapi sejak dia mula menegur amalan bid’ah masyarakat, teruk dia dikutuk. Sampai ada yang membuat laporan polis terhadap beliau.
Kerana itulah juga ajaran salah senang bercambah di negara ini. Ini kerana ajaran-ajaran sesat itu tidak menegur amalan masyarakat. Mereka hanya ‘tambah’ amalan baru sahaja. Ini tidak mengapa bagi masyarakat kerana kalau tambah, masih ok lagi. Jangan tegur sahaja.
Maka janganlah kita segan dan takut untuk menegur. Biarlah manusia tidak suka, asalkan Allah ﷻ suka. Kita bukan hendak mencari redha manusia, tetapi mencari redha Allah ﷻ. Dengan manusia, akan ada sahaja masalah yang akan membezakan kita. Kalau tidak kerana politik, kerana beza pasukan bola sahaja. Jadi biarlah kita berbeza dan menegur bab agama.
وَيُسٰرِعُونَ فِي الْخَيْرٰتِ
dan mereka pula bersegera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan.
Ini adalah tambahan yang ada pada golongan mereka: mereka bersegera kepada melakukan kebajikan. Mereka sentiasa mencari peluang untuk melakukan kebaikan. Ini mengajar kita juga supaya jangan menjadi malas. Kita hendaklah mencari peluang juga. Niatkan setiap hari selepas bangun tidur: “Apa kebaikan aku nak buat hari ini? Siapa yang aku nak tolong? Siapa yang aku nak ajar? Apa yang aku boleh baiki kehidupan manusia lain hari ini?”
وَأُولَٰئِكَ مِنَ الصّٰلِحِينَ
Mereka (yang demikian sifatnya), adalah daripada orang-orang yang soleh.
Mereka itulah orang-orang yang soleh. Malangnya, banyak daripada ajaran yang benar dalam agama mereka telah ditukar dan kerana itu agama mereka telah rosak. Mereka kemudian tidak lagi menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, maka mereka telah ditukar dengan umat Islam yang lain.
Kita kena jadikan mereka sebagai peringatan untuk kita. Kalau kita pun meninggalkan tanggungjawab kita sebagai umat Islam, maka Allah ﷻ boleh menukar kita dengan puak yang lain yang akan menjalankan tugas itu. Tidak sukar untuk Allah ﷻ untuk menukarkan kita dengan umat yang lain. Jangan perasan kita ini istimewa sangat.
Agama Islam sedang berkembang pesat di negara barat seperti di Eropah. Mereka itu lebih hebat daripada kita kerana apabila mereka memeluk Islam, mereka belajar dengan betul. Kita kebanyakannya agama warisan sahaja, tidak faham pun tentang agama Islam sebenarnya. Jadi mereka yang baru masuk Islam yang lebih hebat daripada kita sebenarnya.
Ayat 115: Sebelum ini ada disebut tentang ahli kitab yang beriman dan beramal soleh. Kepada mereka itu, tidak perlu bimbang, kerana tidak hilang penghargaan daripada Allah ﷻ. Tidak sia-sia amalan mereka itu. Asalkan baik, mereka akan dibalas oleh Allah ﷻ di akhirat kelak.
وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And whatever good they do – never will it be removed from them. And Allāh is Knowing of the righteous.
MALAY
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari
Maksudnya, amalan ahli-ahli kitab itu diterima oleh Allah ﷻ. Ini adalah tentang mereka yang mengamalkan ajaran agama mereka dengan benar, walaupun Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Nabi. Ini kerana mereka tidak mengamalkan syirik, cuma mereka tidak dapat bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, maklumat tidak sampai kepada mereka, maka mereka tidak masuk Islam lagi pada waktu itu.
Ini adalah munasabah kerana maklumat ketika zaman itu tidaklah selaju zaman sekarang. Ayat ini memberitahu, bahawa amalan mereka diterima asalkan mereka tidak bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah syarat, kerana kalau mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ telah sampai, mereka tidak ada pilihan lain selain daripada beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ.
وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ
Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
Selalu ada persoalan, bagaimana dengan mereka yang tidak sampai kepada mereka ajaran Nabi Muhammad ﷺ? Mungkin mereka tinggal di kawasan pedalaman yang tidak memungkinkan mereka tahu tentang Islam? Pertamanya, ini bukan perkara yang patut kita bimbangkan, kerana yang kita kena bimbangkan adalah hal diri kita, bukan diri orang lain.
Keduanya, kita kena yakin yang Allah ﷻ itu adil. Apa-apa sahaja yang Allah ﷻ buat, Allah ﷻ tidak akan sesekali berlaku zalim.
Ada satu riwayat hadith, bagaimana ada manusia yang tidak berpeluang sampai kepada mereka dakwah Islam. Di akhirat nanti, mereka pun kata bahawa kalaulah sampai dakwah kepada mereka, mereka tentunya akan masuk Islam. Maka Allah ﷻ arahkan mereka lompat ke dalam neraka. Ada yang lompat dan ada yang berhujah lagi dengan Allah ﷻ.
Maka, kepada mereka yang berhujah itu, Allah ﷻ akan kata bagaimana mereka kata mereka akan percaya kepada Dia, sedangkan arahan Dia pun mereka tidak ikut? Maksud daripada riwayat ini, itu adalah ujian daripada Allah ﷻ. Mereka yang taat kepada Allah ﷻ dengan melompat ke dalam neraka sebenarnya melompat masuk ke dalam syurga. Mereka yang tetap berhujah itu, mereka itu telah gagal dalam ujian itu. Maksudnya, Allah ﷻ tetap akan uji dan Allah ﷻ tidak zalim, percayalah.
Ayat 116: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوٰلُهُمْ وَلَا أَوْلٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا وَأُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allāh at all, and those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.
MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikit pun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوٰلُهُمْ وَلَا أَوْلٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka daripada (azab) Allah sedikit pun,
Oleh kerana tamakkan harta dan pengaruhlah yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur. Sedangkan harta dan anak pinak mereka itu tidak dapat menolong mereka pun. Di dunia lagi pun sudah tidak dapat tolong mereka, apatah lagi di akhirat.
وَأُولَٰئِكَ أَصْحٰبُ النَّارِ
dan mereka itu ialah ahli neraka;
Di akhirat nanti akan masuk neraka. Mereka pegang geran Neraka. Itulah maksud ‘sahabat neraka’ iaitu kekal dalam neraka. Tidak sama dengan golongan yang masuk neraka tapi tidak kekal. Mereka ini dinamakan ‘jahannamiyyun’.
هُمْ فِيهَا خٰلِدُونَ
mereka kekal di dalamnya.
Mereka bukan duduk tinggal di neraka sekejap sahaja, tetapi mereka akan kekal selama-lamanya di sana kerana mereka pemegang geran Neraka. Kalau orang mukmin, tetapi ada dosa, dia akan masuk neraka dahulu dan kemudian akan masuk ke syurga akhirnya, kerana dia pemegang geran Syurga. Dia cuma duduk di neraka untuk cuci dosa sahaja.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 7 Disember 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan