Ayat 117: Mereka sesat dengan mengorbankan harta mereka untuk menentang Islam. Infaq mereka itu akan memberi musibah kepada mereka.
مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The example of what they spend in this worldly life is like that of a wind containing frost which strikes the harvest of a people who have wronged themselves [i.e., sinned] and destroys it. And Allāh has not wronged them, but they wrong themselves.
MALAY
Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini
Dalam kitab tafsir disebut infaq dalam ayat ini adalah apabila orang bawahan bayar kepada orang atasan iaitu anak murid bayar kepada guru ulama’ su’ mereka. Sebagai contoh, kalau dalam kumpulan tarekat, anak-anak murid akan beri banyak duit kepada guru mereka kerana mengharapkan guru mereka itu akan menyelamatkan mereka.
Memang begitulah keadaan kalau ajaran sesat. Kita boleh lihat ada guru-guru tarekat kaya raya tapi anak murid miskin sahaja. Ini kerana proses pengambilan duit dari anak murid. Anak murid punyalah berkhidmat dengan tok guru mereka tapi amalan yang diajar adalah ajaran sesat.
Kalau dalam ajaran Syiah pula, pengikut kena bayar 1/5 dari pendapatan mereka kepada ketua agama mereka. Ini dipanggil ‘khumus’. Khumus memang ada dalam Islam tapi tidaklah seperti yang mereka pesongkan. Begitulah kalau anak murid yang jahil, mereka terus terima sahaja ajaran tok guru yang sesat. Mereka sendiri yang akan rugi.
Atau ia juga boleh dikatakan tentang Musyrikin Mekah yang mengumpul duit untuk menyerang kembali umat Islam selepas mereka kalah di Badr. Mereka ramai-ramai mengumpul duit keuntungan mereka tahun itu untuk membiayai peperangan menentang umat Islam di Madinah. Mereka infaq tetapi infaq itu akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka.
Jadi, ini mengajar kita bahawa infaq yang diterima hanyalah infaq dalam perkara yang baik. Kita pun selalu keluarkan duit juga, tetapi persoalannya, ke manakah kita infaq duit kita itu? Adakah ke tempat hiburan? Buat majlis bid’ah? Itu semua tidak akan memberi pulangan baik kepada diri kita.
كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ
samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;
Seperti angin yang sangat kuat, di dalamnya ada udara yang sangat sejuk. Angin dan udara itu sampai membinasakan tanaman.
Lafaz حَرْثَ bermaksud tanaman yang sudah sedia untuk dituai. Kalau tanaman yang sudah boleh dituai, tentunya amat bernilai sekali, dan tuan punya tanaman itu mengharapkan kepada tuaian itu. Namun ia dibinasakan. Maka amatlah malang sekali. Bayangkan perasaan tuan tanaman itu apabila melihat tanaman yang dijaganya setelah sekian lama, dibaja, dipelihara, tetapi musnah begitu sahaja.
Sudah tentu dia sedih. Dia akan lebih menyesal lagi apabila melihat bagaimana infaqnya yang diberi kepada tempat yang tidak patut, akan menjadi sia-sia sahaja. Begitulah nanti perasaan orang-orang sesat apabila melihat ‘hasil’ dari infaq mereka yang salah itu.
وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri.
Bukanlah Allah ﷻ zalim tetapi mereka dikenakan dengan balasan itu kerana mereka mengabaikan arahan Allah ﷻ. Kita kena ingat yang Allah ﷻ tidak pernah zalim. Segala perbuatan Allah ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim.
Ayat 118: Untuk mengelakkan Yahudi Nasara membinasakan umat Islam, kita mesti bersatu dalam dakwah kepada makruf dan nahi mungkar. Barulah kita dapat menjaga agama kita. Ini satu lagi nasihat yang Allah ﷻ berikan kepada kita supaya kita jaga betul-betul.
يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوٰهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيٰتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, do not take as intimates those other than yourselves [i.e., believers], for they will not spare you [any] ruin. They wish you would have hardship. Hatred has already appeared from their mouths, and what their breasts conceal is greater. We have certainly made clear to you the signs, if you will use reason.
MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
يَـٰٓأَيُّہَا الَّذِينَ ءآمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam”
Jangan ambil bukan orang Islam sebagai teman rapat kita. Maksudnya, jangan jadikan mereka teman rapat, penasihat, setiausaha kita dan sebagainya. Maksudnya, jangan jadikan mereka sebagai orang yang dipercayai.
Ini kerana kalimah بِطَانَةً ada kena mengena dengan ‘perut’ kerana بَطنٌ adalah perut. Ia adalah istilah dalam bahasa Arab mengenai kawan yang boleh simpan rahsia kita dalam perut. Itulah tempat kita mengadu dan kita ceritakan kepada mereka rahsia yang kita tidak cerita kepada orang biasa. Allah ﷻ mengingatkan umat Islam supaya jangan beritahu rahsia tentang Islam kepada orang bukan Islam.
Kita kena faham bahawa Arab Madinah mempunyai ramai kawan-kawan dalam kalangan Yahudi dan Nasara yang mereka telah kenal lama, sebelum masuk Islam lagi. Mereka berkongsi kehidupan, berkongsi cerita dan berkongsi rahsia sebelum itu. Namun apabila mereka sudah masuk Islam, persahabatan dengan mereka tidak sama lagi kerana sudah berlainan agama.
Jangan salah anggap pula. Masih boleh lagi berkawan dengan mereka, tetapi berkawan biasa sahajalah. Jangan sampai menceritakan berita-berita rahsia dalam perancangan Islam. Lebih-lebih lagi waktu-waktu peperangan kerana rahsia peperangan adalah rahsia yang amat besar. Kita tidak tahu kalau kita beritahu kepada orang luar Islam, kepada siapakah lagi yang mereka akan beritahu. Entah-entah mereka akan sampaikan kepada musuh kita pula. Maka, Allah ﷻ beri peringatan kepada orang Islam dalam ayat ini.
Kita mungkin sangka mereka itu masih rapat dan baik lagi dengan kita, tetapi perbezaan agama bukanlah perkara mudah. Sebagai satu kisah, ada yang masih ingat lagi bagaimana kehidupan di Palestin sebelum Israel mengambil alih. Orang Islam, orang Kristian dan Yahudi hidup bersama-sama dan bercampur gaul.
Dulunya mereka duduk berjiran dan boleh bergelak ketawa, anak-anak mereka main bersama-sama, membesar bersama-sama. Namun, sebaik sahaja Israel mengambil alih Palestin, mereka tiba-tiba sudah menjadi lain. Mereka tutup pintu rumah mereka, tidak bertegur sapa malah mengambil alih tanah kawan-kawan mereka yang Muslim.
لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا
Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu.
Orang kafir yang jahat hati itu tidak putus-putus hendak menimbulkan kesusahan kepada kamu umat Islam. Mereka sentiasa berusaha untuk menjatuhkan Islam dari luar atau dari dalam. Mereka akan buat pelbagai cara untuk menyusahkan umat Islam. Kita mungkin tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka, tetapi sekarang Allah ﷻ beritahu kita.
وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ
Mereka suka apa yang menyusahkan kamu.
Mereka suka kalau kita ditimpa bencana. Sebab mereka memang benci kepada kita. Dalam hati mereka berkeinginan hendak menyusahkan kita, baik dunia atau akhirat. Jadi jangan ambil mereka rapat dengan kita.
Sebagai contoh, orang-orang Syiah memang diajar untuk berbuat khianat kepada ahlus sunnah. Pernah sampai cerita kepada kita bagaimana mereka jamu makan di rumah mereka, tapi mereka letak najis dalam makanan.
Maka kena berhati-hati dengan orang kafir. Bukan tidak berkawan langsung, tetapi jangan kongsi rahsia dengan mereka kerana kita diajar untuk berbaik dengan semua orang, jangan caci maki orang lain walaupun berlainan agama. Kita diajar untuk hidup harmoni dengan semua agama. Namun kita kena tahu batas-batas kita.
قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوٰهِهِمْ
Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya,
Dengan lidah mereka telah menzahirkan kebencian mereka. Lihatlah di media massa sekarang, bagaimana mereka kata kita adalah agama yang menyebabkan teroris, agama yang menekan orang perempuan, ada yang suruh bakar Al-Qur’an, mereka ada yang tidak suka orang Islam tinggal di negara mereka sampaikan mereka ingin menghalau orang Islam, ada yang mengharamkan pakai tudung kepada orang perempuan, dan banyak lagi. Ini baru yang kita dengar di media massa.
Kalau kita tidak mengamalkan Islam, mereka tidak kisah kepada kita, tidak kacau kita, malah mereka suka kalau ada orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam. Namun kalau kita mengamalkan agama Islam seperti yang sepatutnya, mereka akan benci kita. Dalam percakapan mereka pun mereka sudah zahirkan. Daripada kata mereka pun kita sudah dapat agak.
وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ
dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.
Apa yang dalam hati mereka lagi teruk dari apa yang mereka luahkan di dunia nyata. Selalunya orang tidak akan keluarkan apa yang dalam hati mereka di khalayak ramai. Namun bayangkan kalau sudah terkeluar di media massa, tentu dalam hati mereka lebih teruk lagi kerana apa yang mereka keluarkan di media tentulah mereka tidak meluahkan sepenuhnya, mereka tidak keluarkan semua kerana mereka segan juga dengan masyarakat dunia.
Kita memang tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia. Namun begitu, Allah ﷻ beritahu kita, dalam hati mereka lebih teruk lagi benci mereka kepada kita. Kalau boleh mereka hendak bunuh kita dan lenyapkan kita dan agama Islam dari dunia.
قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيٰتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ
Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
Alamat kebencian mereka kepada kita, Allah ﷻ sudah tunjukkan dalam ayat-ayat ini. Maka kitalah kena fikir-fikirkan sendiri. Allah ﷻ suruh kita gunakan akal kita.
Ayat 119:
هَـٰٓأَنتُم أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتٰبِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا ءآمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Here you are loving them but they are not loving you, while you believe in the Scripture – all of it.¹ And when they meet you, they say, “We believe.” But when they are alone, they bite their fingertips at you in rage. Say, “Die in your rage. Indeed, Allāh is Knowing of that within the breasts.”
- That of it revealed by Allāh, not what was subsequently altered by men.
MALAY
Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Qur’an). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
هَـٰٓأَنتُم أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ
Kamu ini adalah orang-orang, kamu sahajalah yang suka mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu.
Allah ﷻ menegur kita dalam ayat ini. Kamu sahaja yang kasih kepada mereka (penentang Islam) tetapi mereka tidak kasih pun kepada kamu. Kamu sahaja yang tergila-gilakan kepada mereka, tiru cara hidup mereka, cara pakaian mereka, cara pemikiran mereka dan sebagainya. Namun mereka bencikan kamu.
وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتٰبِ كُلِّهِ
kamu beriman kepada segala Kitab Allah
Kamu beriman kepada semua kitab suci, asalkan daripada Allah ﷻ kamu pasti terima, tetapi mereka menggunakan kitab mereka sahaja dan yang lain mereka tolak. Yahudi terima Taurat dan tolak Injil dan Nasara terima Taurat dan Injil, tetapi tolak Al-Qur’an.
Antara lain, sebab kita beriman kepada semua kitablah yang mereka benci kita. Mereka tidak beriman dengan ikhlas. Mereka beriman dengan perkara yang akan memenangkan mereka sahaja.
وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا ءآمَنَّا
Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”,
Cuma mereka itu pandai berkawan dan berhelah. Bila dengan kita, mereka kata mereka suka agama Islam, agama Islam ada persamaan dengan mereka, agama Islam dan agama mereka lebih kurang sahaja, sama-sama mengajak kepada kebaikan, dan banyak lagi mereka kata supaya kita lembut kepada mereka. Mulut mereka manis sahaja kalau di hadapan kita.
وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ
tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah
Namun kalau sesama mereka, mereka akan kutuk kita. Entah apalah mereka akan katakan dan gelakkan tentang kita, kita pun tidak tahu. Kadang-kadang kita terdengar juga sebab mereka sangka kita tidak dengar apa yang mereka kata. Mereka tengok kita dengan geram sahaja. ‘Gigit hujung jari’ itu adalah perumpamaan marah sangat dengan kita.
قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ
katakanlah: “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”.
Kita disuruh cakap kepada mereka begini: Kamu semua pergi matilah dengan kebencian kamu itu.
Keras sekali apa yang Allah ﷻ katakan ini.
إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati mereka, dan sekarang Allah ﷻ telah beritahu kita. Begitu juga, Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati kita. Jadi kalau kita ada simpan kasih sayang lagi kepada mereka, itu sudah salah.
Ayat 120: Kalau tidak jelas kebencian mereka kepada kita orang Islam, maka Allah ﷻ berikan lagi alamat tanda kebencian mereka.
إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If good touches you, it distresses them; but if harm strikes you, they rejoice at it. And if you are patient and fear Allāh, their plot will not harm you at all. Indeed, Allāh is encompassing of what they do.
MALAY
Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ
Kalau kamu beroleh kebaikan, ia akan menyakitkan hati mereka;
Jika umat Islam dapat kebaikan, mereka akan sakit hati. Kebaikan itu boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Antaranya kalau umat Islam menang dalam peperangan, atau bersatu hati dan bekerjasama sesama sendiri. Mereka berbulu sahaja mata bila nampak kita maju atau semakin ramai dan kuat.
وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا
dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.
Kalau umat dapat musibah, mereka akan bergembira. Ini adalah kerana kebencian mereka yang amat sangat terhadap kita. Katakanlah kita dapat bencana alam contohnya, mereka akan suka, mereka akan kata padan muka orang Islam itu.
Kalau orang Islam ramai mati mereka tidak kisah pun. Tengoklah bagaimana kalau penduduk Islam mati di Palestin dan sudah entah berapa ramai yang telah mati, mereka buat tidak kisah sahaja. Namun kalaulah ada seorang sahaja mati dalam kalangan orang Israel itu dibaling batu sahaja pun, mereka akan bising satu dunia.
Jadi apa yang kita perlu lakukan?
وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا
Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun.
Kalau kita sudah tidak baik dengan mereka, mereka tentu tidak suka dan mungkin akan melakukan sesuatu seperti boikot kita dan sebagainya. Kalau jadi begitu, Allah ﷻ suruh kita bersabar.
Maksud sabar adalah dengan ikut syari’at Allah ﷻ. Biar sahaja dengan apa yang mereka lakukan. Serahkan segalanya kepada Allah ﷻ kerana apa sahaja yang berlaku, bukan atas tangan mereka tetapi Allah ﷻ yang menentukan apa yang akan terjadi. Kita tidak akan rugi kerana kita tetap terus ikut syari’at. Maka kena ingat yang sabar itu dengan ikut syari’at. Bukanlah sabar kosong sahaja.
Daripada ayat ini, kita kena yakin yang apa-apa sahaja tindakan mereka tidak akan membahayakan kita. Jadi tidak perlu bimbang. Ini mengajar kita bagaimana tindakan kita apabila baca pelbagai kisah konspirasi daripada musuh Islam. Kita hendak buat apa pun tidak tahu kerana mereka bergerak secara rahsia. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.
إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.
Allah ﷻ tahu apa mereka yang buat, bukannya Allah ﷻ tidak tahu. Kita sendiri jangan risau. Allah ﷻ akan uruskan, bukan Allah ﷻ tidak boleh buat apa, bukannya Allah ﷻ sengaja hendak biarkan kita dalam kesusahan. Apa yang mereka lakukan itu adalah ujian daripada Allah ﷻ, dan sekarang cuma beritahu sahaja yang Dia mengepung mereka.
Maknanya kita sudah boleh tenang-tenang sahaja kerana mereka dan usaha mereka tidak akan ke mana. Ke mana lagi mereka hendak pergi? Apa lagi yang mereka boleh buat kalau Allah ﷻ tidak benarkan usaha mereka berjaya?
Sekian Ruku’ 12 dari 20 ruku’ surah ini
KISAH PERANG UHUD
Ayat 121: Ayat ini adalah jawapan kepada syubhat (persoalan) kenapa kadang-kadang umat Islam kalah perang. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa kekalahan itu adalah kerana kecuaian umat Islam sendiri. Bukanlah kekalahan itu kerana Allah ﷻ tidak mahu bantu. Allah ﷻ tentu akan bantu umat Islam tetapi umat Islam sendiri kenalah memenuhi syarat-syarat untuk mendapat bantuan daripada Allah ﷻ. Jadi, ini mengajar kita bahawa bila perang, kena ikut syarat.
Salah satu yang kena diikuti adalah: taat kepada Nabi dan pemimpin. Dalam perang Uhud, Nabi ﷺ sudah susun kedudukan tentera dengan cara spesifik. Ada yang ditugaskan menjaga kedudukan yang strategik; antaranya Nabi ﷺ meletakkan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat mengawal medan peperangan.
Namun begitu, ada yang tidak taat dan tidak tetap di kedudukan yang telah diletakkan oleh Nabi ﷺ itu. Nabi Muhammad ﷺ sudah pesan kepada pasukan pemanah yang di atas bukit, jangan tinggalkan tempat itu walau apa pun yang terjadi. Dalam riwayat disebut ‘walaupun burung mematuk mayat orang Islam’. Namun apabila pihak musuh lari bertempiaran, mereka telah turun untuk menolong kumpul harta yang ditinggalkan pihak musuh.
Itulah kesilapan fatal mereka. Padahal bukan boleh ambil terus pun harta itu kerana hanya Nabi ﷺ sahaja boleh bahagikan. Mereka langgar pesanan Nabi ﷺ kerana mereka sangka mereka sudah menang. Antara hujah mereka, Nabi ﷺ melarang turun kalau mereka kalah, tetapi sekarang mereka sedang menang, jadi tidaklah salah kalau mereka turun.
Ini sudah jadi satu salah faham yang besar. Di mana salah mereka? Mereka menggunakan akal mereka dan melanggar arahan Nabi ﷺ. Dari segi teknikal, bolehlah dikatakan yang mereka tidak salah namun sebenarnya mereka salah fikir juga. Inilah bahaya kalau guna akal dan menolak wahyu. Ini seperti puak Muktazilah juga yang menggunakan akal dalam hal agama.
Jadi ada yang melanggar arahan Nabi ﷺ pada waktu itu. Memang mereka melakukan kesalahan. Namun Allah ﷻ sudah maafkan mereka seperti yang disebut dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ takdirkan mereka melakukan kesalahan supaya menjadi contoh kepada kita. Namun begitu, sekali lagi kena ingat yang Allah ﷻ sudah maafkan mereka.
Maka janganlah kita ikut seperti golongan yang benci kepada para sahabat sampai mencaci mereka disebabkan perkara ini. Siapa kita hendak menghina sahabat Nabi ﷺ? Kena sedar kedudukan kita kalau dibandingkan dengan mereka. Jangan lebih sudu daripada kuah pula.
Jadi sekarang kita akan masuk kepada kisah Perang Uhud yang terjadi pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah. Tahun sebelumnya puak Musyrikin Mekah telah kalah dalam Perang Badr. Jadi kali ini mereka datang dengan lebih ramai bala tentera lagi dengan tujuan untuk balas dendam. Mereka sudah sangka mereka akan menang kali ini kerana persediaan mereka lebih hebat lagi.
Semasa Badr, mereka terdiri daripada seribu orang dan kali ini yang datang adalah seramai tiga ribu orang. Tahun lepas, ketua perang mereka adalah Abu Jahal dan dia telah mati. Tahun ini, pasukan tentera diketuai oleh antaranya Abu Sufyan dan Khalid al Walid. (Mereka berdua akhirnya masuk Islam).
وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقٰعِدَ لِلْقِتَالِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [remember] when you, [O Muḥammad], left your family in the morning to post the believers at their stations for the battle [of Uḥud] – and Allāh is Hearing and Knowing –
MALAY
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu
Ketika baginda keluar dari rumah isteri baginda Aisyah رضي الله عنها pada pagi hari.
تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقٰعِدَ لِلْقِتَالِ
dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang
Tujuannya adalah untuk mengatur tentera Islam bagi meletakkan mereka di tempat yang strategik untuk berperang dengan musuh. Nabi ﷺ susun mereka satu persatu. Arahan yang diberikan kepada mereka adalah mereka kena tetap duduk di situ.
Daripada sejarah, kita dapat tahu bahawa peletakan kedudukan itu amat penting. Yang paling terkenal adalah kedudukan pemanah. Nabi ﷺ telah meletakkan kedudukan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat memanah musuh dari kedudukan tinggi itu. Nabi ﷺ sudah pesan, walaupun nampak burung mematuk mayat tentera Islam sekalipun, mereka tidak dibenarkan meninggalkan tempat itu. Maknanya, walaupun umat Islam kalah, mereka tidak boleh tinggalkan tempat itu sebelum mendapat arahan daripada Nabi ﷺ.
Pertempuran awalnya telah menyebelahi tentera Islam. Walaupun mereka sedikit, tetapi mereka sedang memenangi pertempuran itu. Mereka telah membunuh seorang demi seorang tentera musuh dengan mudah. Sampaikan tentera bertempiaran lari dan mula meninggalkan medan peperangan.
Waktu itulah sebahagian daripada pasukan pemanah telah membuat kesalahan besar meninggalkan kedudukan strategik mereka untuk membantu mengumpulkan harta rampasan perang. Alasan mereka adalah kerana tentera Islam telah menang. Mereka telah lupa pesanan Nabi ﷺ. Mereka juga telah ingkar kepada arahan ketua mereka yang berada di atas bukit sekali. Sampaikan hanya beliau seorang sahaja yang tinggal kerana orang bawahannya telah turun mengumpul harta di medan perang.
Malangnya semasa musuh Islam melarikan diri, panglima perang musuh, Khalid al Walid nampak daripada ekor matanya yang pasukan pemanah telah meninggalkan tempat mereka. Beliau telah nampak peluang keemasan untuk menukar nasib mereka. Maka beliau telah mengumpulkan semula tentera Musyrikin Mekah dan telah pusing kembali dan menyerang dari arah belakang dan mengambil tempat pasukan pemanah.
Keadaan telah beralih. Sekarang tentera Islam pula yang digasak oleh pihak Musyrikin Mekah. Sampaikan Nabi Muhammad ﷺ sendiri tercedera dan patah gigi baginda (walaupun perkara ini ada dikritik juga kerana dalam Hadith Syamail Nabi ﷺ, tidak disebut gigi Nabi ﷺ rongak). Sehinggakan keluar khabar angin yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ telah terbunuh. Ia memberi kesan negatif kepada tentera Islam sampaikan Umar رضي الله عنه sendiri telah patah semangat untuk terus berjuang.
وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ mendengar apa yang mereka sedang katakan. Allah ﷻ tahu apa yang terjadi. Semua yang terjadi adalah dalam pengetahuan dan perancangan Allah ﷻ. Tidak ada yang terlepas daripada pengetahuan Allah ﷻ.
Ayat 122:
إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا وَاللَّهُ وَلِيُّهُما ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
When two parties among you were about to lose courage, but Allāh was their ally; and upon Allāh the believers should rely.
MALAY
(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا
(Ingatlah) ketika dua puak daripada kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat
Terdapat dua suku daripada tentera Islam yang terasa (هَمَّت) ingin mundur dan tidak mahu meneruskan peperangan kerana takut. Satu daripada Bani Harithah daripada Aus dan satu lagi Bani Salamah daripada Khazraj. Mereka mulanya hendak melarikan diri apabila mula perang. Mereka hilang semangat untuk berperang. Namun mereka selepas itu masuk balik dalam barisan peperangan.
وَاللَّهُ وَلِيُّهُما
padahal Allah Pelindung mereka;
Sebenarnya Allah ﷻ yang akan memberi perlindungan kepada mereka tetapi mereka tidak mahu ikut serta pada asalnya. Mesti yakin dahulu dalam hati yang Allah ﷻ akan beri perlindungan. Mesti rela serahkan diri kepada Allah ﷻ.
وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
Orang beriman akan bertawakal kepada Allah ﷻ. Mereka akan taat untuk menunaikan arahan berperang kerana mereka tahu yang mereka akan tetap mendapat kebaikan. Kalau menang perang itu, mereka akan mendapat harta rampasan dan kalau kalah dan terbunuh, akan dapat mati syahid. Maknanya, apa sahaja yang terjadi, mereka tidak akan rugi.
Inilah pengajaran yang ada dalam jihad perang. Memang orang yang sudah di medan jihad telah melalui banyak dugaan. Untuk hadir ke medan perang itu pun sudah berperang dengan jiwa dan menolak kehendak nafsu yang banyak. Mereka yang berjaya datang itu sebenarnya sudah serahkan segalanya kepada Allah ﷻ.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 21 Disember 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan