Tafsir Surah Baqarah Ayat 283 – 286 (Doa yang hebat)

Ayat 283: 

۞ وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ ۖ فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ ۗ وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ ۚ وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you are on a journey and cannot find a scribe, then a security deposit [should be] taken. And if one of you entrusts another, then let him who is entrusted discharge his trust [faithfully] and let him fear Allah , his Lord. And do not conceal testimony, for whoever conceals it – his heart is indeed sinful, and Allah is Knowing of what you do.

MALAY

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ

Dan jika kamu berada dalam musafir

Dalam musafir pun kita menjalankan kehidupan biasa juga dan kadang-kadang kita berhutang juga atau memberi hutang yang bertempoh, juga berniaga, maka Islam juga menetapkan hukum dalam situasi begini.

وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ

sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang 

Kalau dalam musafir mungkin payah sedikit sebab susah hendak mencari penulis dan saksi. Kena ingat yang zaman itu bukan semua boleh menulis. Maknanya, hukum asal masih berjalan, iaitu kena tulis juga surat perjanjian juga, dan kalau diri sendiri tidak boleh tulis, kena cari orang yang pandai menulis. Namun kalau susah hendak mencari penulis dan saksi, maka kena ada barang gadaian.

Barang itu adalah barang yang ada harga, selalunya ia lebih berharga daripada jumlah hutang itu. Sebagai contoh, mungkin hutang hanya seribu tetapi kita beri cincin yang harganya dua ribu. Diberi cagaran ini supaya mudah orang untuk beri hutang kepada kita sebab dia pegang barang yang lebih mahal daripada yang diberi. Apabila orang pegang barang yang lebih mahal, tentulah yang berhutang itu akan lebih terdesak untuk membayar hutang itu kembali.

Nota: Ayat ini bukanlah menghadkan pegangan barang hanya kalau semasa dalam perjalanan sahaja. Kalau bukan dalam musafir pun, kita boleh minta orang yang hendak berhutang itu memberikan kita memegang barang gadaian kalau kita tidak percaya sangat kepada dia.

Cuma ayat ini menyebut tentang musafir kerana kalau dalam musafir, mungkin tidak jumpa penulis maka waktu itu yang senang dilakukan adalah beri barang gadaian dan tidak dinyatakan penggunaannya di luar musafir kerana tidak mahu menyusahkan umat. Takut nanti kalau kena beri barang gadaian setiap kali berhutang, mungkin akan menyusahkan orang untuk berhutang pula.

Perlu juga diingatkan, kita memegang barang atau harta orang yang berhutang itu hanyalah untuk memastikan dia membayar hutang dia. Orang yang memegang barang gadaian itu tidak ada hak untuk mengambil kesempatan daripada harta itu.

Sebagai contoh, kalau orang yang berhutang itu mencagarkan bangunan miliknya, kita tidak boleh sewakan bangunan itu dan makan duit sewa itu tetapi kalau harta yang diberikan sebagai gadaian itu adalah binatang ternakan, boleh digunakan binatang itu untuk kenderaan dan diambil susunya, kerana semasa kita memegang binatang itu, kita kena beri makan kepada binatang itu.

فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا

Kemudian kalau satu pihak memberi amanah kepada pihak yang satu lagi   

Jika saling mempercayai sesama sendiri, bolehlah beri hutang tanpa barang gadaian.

فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ

maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanah yang diamanahkan kepadanya,  

Hendaklah orang yang berhutang itu sempurnakan amanah bayar hutang. Orang sudah beri kepercayaan dengan beri hutang tanpa ambil barang gadaian, janganlah ambil kesempatan pula.

Atau ia juga bermaksud kedua-dua pihak memegang amanah. Kalau diberikan gadaian kepada pemberi hutang, pemberi hutang itu sedang memegang amanah orang, kenalah simpan barang itu, jangan dijual pula sebelum tiba masa yang dijanjikan oleh penghutang untuk bayar hutang itu.

Yang berhutang pula, bayarlah hutang seperti yang dijanjikan (daripada segi jumlah dan tarikh pembayaran). Kalau sudah berjanji hendak bayar dalam masa tiga bulan, bayarlah dalam masa tiga bulan atau lebih awal.

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. 

Semua amanah ini dapat dipenuhi jikalau ada taqwa kepada Allah ‎ﷻ. Takut kepada Allah ‎ﷻ, takut kalau kita tidak memenuhi amanah dan janji itu, takut Allah ‎ﷻ akan murka kepada kita. Kalau tidak ada perasaan taqwa ini, maka susah hendak tunaikan amanah.

وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ

Dan janganlah kamu menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.

Ini pula khitab kepada saksi. Jangan apabila dipanggil persaksian mereka oleh qadi, dia sembunyikan penyaksian pula. Salah kalau dia buat begitu. Bila dipanggil, kena datang.

وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ

dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. 

Kalau sembunyikan persaksian, berdosa hati dia. Maknanya, hati dia ada masalah.

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Apa sahaja yang kita lakukan, kita pinjam, kita pegang barang gadaian orang, kita jadi saksi atau sembunyikan persaksian, Allah ‎ﷻ lihat dan Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan kita itu.

Habis Ruku’ 39 dari 40 surah ini


Ayat 284: Ayat ini sehingga ke hujung adalah Perenggan Makro Keempat surah ini yang menjadi Penutup surah ini. Ia memberi janji kejayaan dan keselamatan jika ikut syari’at Nabi yang terakhir. Umat Nabi Muhammad ﷺ akan jadi bangsa yang memimpin dunia.

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

To Allah belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth. Whether you show what is within yourselves or conceal it, Allah will bring you to account for it. Then He will forgive whom He wills and punish whom He wills, and Allah is over all things competent.

MALAY

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. 

Ini adalah dalil aqli ke-empat kepada Dakwa Surah. Kita kena puja, taat dan ibadat hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kerana langit dan bumi ini milik Allah ‎ﷻ sahaja, tidak ada entiti lain yang memiliki alam ini.

Allah ‎ﷻ memiliki langit dan bumi, dan bukankah kita juga duduk atas bumi? Maka kita pun milik Allah ‎ﷻ juga. Kalau kita milik Dia, Dia boleh berbuat apa-apa sahaja yang Dia hendak dengan kita.

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم

Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu

Jika kamu zahirkan dengan perbuatan apa yang ada dalam hati kamu, sama ada dizahirkan dengan lidah ataupun anggota,

أَو تُخفوهُ

atau kamu menyembunyikannya, 

Atau kamu sembunyikan niat yang ada dalam hati kamu, Allah‎ ﷻ tetap tahu.

Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kepada kita yang segala lintasan hati kita Allah ‎ﷻ tahu dan memang banyak sekali lintasan hati kita: kadang melihat orang, kita benci atau dengki; kadang kita tengok orang buat kebaikan, kita pun hendak ikut juga. Jadi perasaan kita berbolak balik antara kebaikan dan keburukan. Allah ‎ﷻ sentiasa memerhati.

يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ

nescaya Allah akan menghitungnya

Kalau zahirkan atau sembunyikan, Allah ‎ﷻ tahu dan dalam dua-dua keadaan itu, Allah ‎ﷻ masih akan hisab amalan kita. Maknanya, Allah ‎ﷻ ambil kira juga apa yang di dalam hati kita.

Bila diturunkan ayat ini, para sahabat amat risau kerana mereka kata kalau lidah dan anggota mereka, bolehlah mereka jaga lagi, tetapi kalau hati, mereka susah hendak jaga kerana lintasan hati yang buruk banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kawal. Jadi mereka tanya kepada Nabi ﷺ, bagaimana hendak amalkan ayat ini? Sebab akan ada sahaja lintasan-lintasan hati kita yang tidak baik.

Nabi ﷺ menjawab bahawa yang Allah ‎ﷻ akan azab bukanlah lintasan di dalam hati tetapi apa yang telah ada ‘azam’ di dalam hati. Kalau memang telah ada kesungguhan di dalam hati untuk melakukan sesuatu, barulah diambil kira. Kalau setakat lintasan hati sahaja, tidak dikira lagi. Alhamdulillah kalau begitu, kerana kalau tidak, susah kita.

فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya

Allah ‎ﷻ mampu untuk mengampunkan segala dosa kita, kalau Dia kehendaki. Maka hendaklah kita selalu meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Lafaz غفرُ daripada segi bahasa maksudnya menutup. Dari sini, kita dapat faham bahawa kalau ada perasaan tidak elok dalam diri kita, tetapi kita tidak jalankan, tidak ada azam untuk teruskan, Allah ‎ﷻ akan tutup sahaja dan tidak ada sesiapa yang tahu, hanya antara kita dan Allah ‎ﷻ sahaja.

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya

Kalau Allah ‎ﷻ hendak seksa kita, kita tidak boleh buat apa untuk menghalangnya tetapi ingatlah yang Allah ‎ﷻ maha adil.

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kenapa kita tidak boleh buat apa? Kerana Allah ‎ﷻ berkuasa atas segala sesuatu. Kena sedar yang kita ini hamba dan Dia adalah Tuhan. Dia boleh buat apa sahaja kepada hamba-Nya. Kita kena terima dan redha sahaja.


Ayat 285: Dalam hadith ada disebut bahawa dua ayat terakhir Surah Baqarah ini telah diberikan kepada Nabi ﷺ semasa baginda mi’raj bertemu Allah ‎ﷻ. Maka ia adalah ayat yang amat penting sekali sampaikan diberikan kepada baginda semasa pertemuan dengan Allah ‎ﷻ.

Ayat ini adalah Ayat Tabshir. Ia adalah  tentang golongan yang Allah ‎ﷻ beri janji kepada mereka kerana mereka beriman. Beriman yang bagaimana? Seperti dalam ayat ini.

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ ۚ كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۖ غُفرانَكَ رَبَّنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL

The Messenger has believed in what was revealed to him from his Lord, and [so have] the believers. All of them have believed in Allah and His angels and His books and His messengers, [saying], “We make no distinction between any of His messengers.” And they say, “We hear and we obey. [We seek] Your forgiveness, our Lord, and to You is the [final] destination.”

MALAY

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, 

Nabi Muhammad ﷺ sendiri percaya kepada wahyu yang diturunkan kepadanya. Nabi ﷺ kenalah percaya terlebih dahulu sebelum baginda sampaikan kepada orang lain.

Kita mungkin rasa yang baginda terus sahaja percaya kepada wahyu yang diberikan kepada baginda, tetapi bayangkan keadaan Nabi ﷺ pada waktu itu. Apa yang baginda terima adalah amat berlawanan dengan fahaman masyarakat ketika itu sampaikan ramai yang menuduh baginda gila.

Baginda pun begitu terkejut pada mulanya. Ingat kembali peristiwa bagaimana takutnya baginda sehingga menggigil kesejukan ketika pertama kali menerima wahyu. Tiba sahaja di rumah baginda perlu diselimutkan dan ditenangkan oleh isteri tercinta baginda, Khadijah رضي الله عنها.

Oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ percaya kepada kerasulannyalah yang menyebabkan baginda sanggup menghadapi segala tentangan dan cabaran dalam menyampaikan agama ini. Sekiranya baginda tidak yakin, tentulah baginda tidak sanggup.

وَالمُؤمِنونَ

dan juga orang-orang yang beriman; 

Begitu juga mukmin yang sempurna iman, beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada baginda. Iman yang kita mahu adalah ‘iman mujmal’, iaitu menerima belaka wahyu yang disampaikan.

Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘Orang Mukmin’. Maknanya, kita juga disebut dalam ayat ini jikalau kita ini adalah orang mukmin. Bayangkan kita disebut di Langit Ketujuh semasa Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Allah ‎ﷻ.

كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ

semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya.

Sebelum ini disebut iman secara umum, sekarang disebut secara tafsili, disebut satu persatu perkara yang perlu diimani. Daripada susunan ayat ini, kita boleh susun – Allah ‎ﷻ beri wahyu, disampaikan melalui malaikat, dalam kitab dan kepada rasul. Itulah proses bagaimana wahyu disampaikan kepada kita.

Disebut dalam ayat ini perkara-perkara yang penting untuk diimani. Kita telah percaya kepada Allah ‎ﷻ. Bagaimana percaya kepada malaikat? Antaranya, kita percaya yang Malaikat itu hanyalah hamba Allah ‎ﷻ, bukan wakil Allah ‎ﷻ. Oleh itu, tidak boleh puja Malaikat, tidak boleh minta pertolongan kepada malaikat dan tidak boleh seru malaikat.

Kita percaya bahawa semua kitab itu daripada Allah ‎ﷻ tetapi yang kena kita ikuti adalah Al-Qur’an sahaja. Maksudnya, bukanlah kita kena terima ajaran-ajaran yang dibawa oleh kitab-kitab lain.

Surah ini bermula dengan iman dan sekarang lihatlah yang ia juga ditutup dengan topik tentang iman juga.

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

“Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.

Maksud ayat ini adalah semua rasul kita terima. Kita terima semua Nabi-Nabi عليهم السلام itu adalah utusan Allah ‎ﷻ juga tetapi kepada Nabi Muhammad ﷺ, kita ikut sepenuhnya syari’at baginda.

Oleh itu, kita hendaklah ada hubungan dengan hadith. Mesti mempelajari hadith-hadith Nabi. Tidak boleh bezakan mana-mana rasul. Jangan jadi seperti Yahudi yang menolak Nabi Isa عليه السلام dan jangan jadi seperti Nasara yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi.

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Inilah yang perlu kita lakukan: Dengar wahyu dan ikut apa yang disampaikan dalam wahyu itu. Kalau setakat dengar sahaja, tetapi tidak taat, tidak ikut, juga langsung tidak berguna. Berapa ramaikah dalam kalangan kita tahu tentang kewajipan yang perlu mereka lakukan, tetapi mereka tidak melakukannya? Semoga kita tidak menjadi orang yang sebegitu.

Dalam ayat ini, orang beriman dengar dan taat. Bandingkan dengan Yahudi yang dengar, tetapi mereka tidak taat. Maka kalau kita tidak taat setelah mendengar kewajipan, maka samalah kita dengan orang-orang Yahudi itu.

Ini juga mengajar kita yang kita mestilah mendengar wahyu Allah ‎ﷻ – mestil belajar. Orang kita selalu kata mereka taat, tetapi apa yang mereka hendak taat, kalau wahyu itu sendiri mereka belum belajar lagi? Maka, kenalah kita pergi ke kuliah agama dan mempelajari wahyu Allah ‎ﷻ ini. Hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an, belajar syarah hadith-hadith kerana hadith adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ juga.

Golongan yang selamat adalah golongan yang dengar dan taat. Jika susah untuk taat kepada arahan, maka akan ada masalah. Antaranya, golongan Ateis yang susah untuk terima ada kuasa di atas mereka yang mereka kena taat.

غُفرانَكَ رَبَّنا

keampunan-Mu wahai Tuhan kami,

Kita minta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana kita banyak dosa. Lihatlah bagaimana doa ini tentang mereka yang telah mendengar dan telah kata mereka akan taat tetapi kenapa kita kena meminta ampun lagi?

Kerana kalau kita sudah taat pun, kita kena sedar yang entah-entah kewajipan yang kita perlu lakukan itu tidak seperti yang Allah ‎ﷻ harapkan. Maka, kita minta ampun kalau-kalau ada salah dan kurang dalam amalan kita. Beginilah halusnya mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, langsung tidak kisah tentang perkara ini.

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.

Kita sedar bahawa kita semua akan mati akhirnya dan akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Maka kita kenalah sentiasa ingat hal ini dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.


Ayat 286: Ini adalah huraian bahawa Allah ‎ﷻ tidak mengenakan azab kerana lintasan hati yang buruk kerana lintasan hati bukan perkara mukallaf – yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Namun akidah dan sifat mazmumah tidak boleh ada walaupun dalam hati.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت ۗ رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا أَو أَخطَأنا ۚ رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا ۚ رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ ۖ وَاعفُ عَنّا وَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۚ أَنتَ مَولَٮٰنَا فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Allah does not charge a soul except [with that within] its capacity. It will have [the consequence of] what [good] it has gained, and it will bear [the consequence of] what [evil] it has earned. “Our Lord, do not impose blame upon us if we have forgotten or erred. Our Lord, and lay not upon us a burden like that which You laid upon those before us. Our Lord, and burden us not with that which we have no ability to bear. And pardon us; and forgive us; and have mercy upon us. You are our protector, so give us victory over the disbelieving people.”

MALAY

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Allah ‎ﷻ tidak membebani manusia dengan apa yang mereka tidak sanggup. Semua manusia mempunyai kapasiti untuk menanggung beban yang berbeza. Ada orang yang boleh terima banyak beban dan ada orang yang tidak mampu.

Oleh itu, kita kena lihat kemampuan diri kita. Kita kena tanya diri kita, apakah usaha kita cukup dengan kebolehan kita? Kita kena lakukan sebaik mungkin untuk berkhidmat dalam dunia ini. Kemampuan itu kenalah mengikut peredaran zaman dan suasana. Juga kena ikut kemampuan diri kita.

Ayat ini juga bermakna yang syari’at yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah yang mampu ditanggung oleh manusia. Tidaklah Allah ‎ﷻ berikan syariat yang manusia tidak mampu tanggung. Allah ‎ﷻ maha tahu kemampuan diri kita. Maka, Allah ‎ﷻ berikan kepada kita syari’at agama yang praktikal.

Maka ini bermakna tidak ada amalan agama yang tidak boleh dilakukan. Malah, sekiranya kita dalam keadaan susah untuk mengamalkan sesuatu syari’at, ia akan dimudahkan untuk kita. Sebagai contoh, kalau kita sakit, kita dibolehkan untuk salat duduk atau berbaring; zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu; haji kepada mereka yang boleh sampai sahaja; dan macam-macam lagi kemudahan dalam ibadat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Tidak diberati kepada mereka yang tidak mampu.

Ini juga bermakna yang kita boleh menanggung segala arahan yang dimasukkan oleh Allah ‎ﷻ ke dalam Al-Qur’an ini dan hadith daripada Nabi ﷺ. Kita boleh bawa Al-Qur’an dan amalkan ajarannya dalam kehidupan kita. Jangan kita rasa ia berat sangat kerana ia adalah sesuai dengan diri kita. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang cakap kita boleh.

Yang tidak rasa berat adalah orang yang beriman. Kalau tidak beriman, memang semua arahan agama mereka akan rasa berat.

لَها ما كَسَبَت

Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, 

Kita akan dapat pahala daripada segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Dari segi bahasa yang digunakan, kalimah كَسَبَت menunjukkan yang amalan kebaikan itu mudah untuk dibuat. Maknanya, Allah ‎ﷻ mudahkan untuk kita mengerjakan pahala.

وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت

dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. 

Manusia akan menanggung dosa daripada amalan keburukan yang dia lakukan. Daripada penggunaan bahasa, perkataan اكتَسَبَت memberi isyarat bahawa dosa itu susah untuk dibuat.

Mungkin ada yang rasa hairan. Sebenarnya, dosa itu susah untuk dilakukan sebab ia bertentangan dengan naluri diri kita sebagai manusia. Manusia memang tahu (dalam dirinya) yang perkara itu salah dan mereka yang melakukan dosa, sebenarnya melawan naluri fitrah manusia. Sebagai contoh, kalau menipu, bukankah hati kita akan berasa gundah gulana dan berdebar-debar?

Satu lagi, ia bermaksud susah, kerana jika kita embuat dosa, Allah ‎ﷻ akan beri peringatan kepada kita dengan diberikan musibah. Maka, kalau ada musibah yang dikenakan kepada kita, maka fikirkanlah mungkin ada kesalahan yang kita telah lakukan.

رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ ajar doa kepada kita. Hamba yang mendapat taufiq, akan berdoa dan dia akan diberikan dengan apa yang dia minta. Doa amat penting kerana semua amalan agama dimulakan dengan doa.

Untuk buat segala amal agama dan taat dalam agama, mesti ada usaha. Sudah banyak hukum kita pelajari dalam Surah Baqarah ini dan sekarang kita tentunya sudah mula berasa berat. Maka Allah ‎ﷻ ajarkan tentang doa di hujung surah untuk memberi ‘kunci’ bagi mengamalkan hukum yang telah diberikan-Nya. Untuk memudahkan segalanya adalah dengan doa.

Inilah doa yang kita selalu baca: Jangan kira lagi dosa kami kalau kami buat dengan sengaja (sebab dalam hadith, Nabi ﷺ terjemah perkataan نَسينا dengan maksud ‘sengaja’) atau ia juga boleh mengambil maksud daripada lafaz terjemah ayat ini: terlupa.

Ini kerana kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita terlupa. Iaitu yang benar-benar terlupa, bukan buat-buat lupa! Sebagai contoh, salat empat raka’at tetapi terbuat tiga raka’at sahaja.

أَو أَخطَأنا

atau kami tersalah. 

Begitu juga, kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita tersalah. Tidak sengaja kita hendak menentang Allah ‎ﷻ, tetapi kerana tersalah sahaja.

Jangan jadikan ini sebagai alasan tidak berdosa kerana ‘tidak tahu’ hukum kerana kita kena belajar agama dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak tersalah. Kalau kita tidak belajar, nanti takut kita dipersalahkan kerana tidak belajar pula.

رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Jangan pikulkan kepada kami bebanan beragama – mudahkanlah agama kepada kami dengan beri tauhid kepada kami.

Maksud ayat ini, kita minta supaya agama tidak disusahkan untuk kita. Daripada sejarah kita dapat tahu yang syari’at yang diberikan kepada bangsa Bani Israel itu adalah amat berat dan terbeban sekali. Kita doa kepada Allah ‎ﷻ supaya jangan jadikan kita seperti mereka, kerana mereka tidak mampu hendak menanggung bebanan syariat itu.

Syari’at kepada Bani Israel itu amat berat. Antaranya, mereka langsung tidak boleh bekerja pada hari Sabtu – hari kita adalah Hari Jumaat, tetapi tidaklah kita sampai langsung tidak boleh bekerja. Allah ‎ﷻ suruh berhenti kerja waktu salat Jumaat sahaja.

Kita juga telah belajar dalam surah ini bagaimana hukuman kerana mengerjakan amalan syirik menyembah lembu adalah hukuman bunuh, sedangkan syari’at Nabi Muhammad ﷺ tidaklah sampai begitu; mereka telah diharamkan daripada memakan banyak jenis makanan; dan macam-macam lagi syari’at yang berat-berat dikenakan kepada mereka.

Allah ‎ﷻ telah mengabulkan doa orang Islam sebenarnya kerana Allah ‎ﷻ telah sebut yang Allah ‎ﷻ tidak memberati manusia melainkan yang dia sanggup sahaja.

رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. 

Sebelum ini tentang bebanan dalam syari’at agama. Kali ini kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya jangan bebankan ujian dalam kehidupan yang kita tidak mampu untuk tanggung. Ini dalam hal takwini seperti sakit, hutang, anak yang degil dan macam-macam lagi.

وَاعفُ عَنّا

Dan maafkanlah kesalahan kami,

Lafaz وَاعْفُ عَنَّا adalah jawapan bagi ayat لَا تُؤَاخِذْنَا. Janganlah hukum kita dalam bebanan agama. Afwun adalah memaafkan seseorang kerana rasa sayang pada seseorang itu. Kita kata kepada Allah ‎ﷻ: Kerana sayang Kau kepada kami, maafkanlah kami kalau ada syari’at agama yang kami tidak dapat penuhi.

وَاغفِر لَنا

serta ampunkanlah dosa kami,

Lafaz وَاغْفِرْ لَنَا untuk ayat وَلَا تُحَمِّلْنَا. Ampunlah kami kalau ada hukum kami tidak mampu buat dan larangan kami tidak mampu tinggalkan. Tutuplah kesalahan kami itu supaya orang lain tidak nampak.

وَارحَمنا

dan berilah rahmat kepada kami.

Berilah rahmat kepada kami dengan beri kami taufiq untuk menjalankan segala suruhan Engkau dan meninggalkan segala larangan Engkau, ya Allah.

Kasihanilah kami, ya Allah. Jangan beri ujian yang kami tidak mampu tanggung. Maka ini ada hubungan dengan وَلَا تُحَمِّلْنَا. Dibawa semula dalam potongan ayat ini.

أَنتَ مَولَٮٰنَا

Engkaulah Penolong kami;

Kita telah pernah sebut sebelum ini yang wali beza dengan mawla. Wali adalah mereka yang mahu menolong kita dan tidak semestinya boleh menolong tetapi mawla adalah yang memang boleh menolong. Maksudnya, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu melindungi kita, membantu kita dan menyelesaikan masalah kita.

فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Bantulah kami menegakkan agama Engkau, ya Allah kerana kadang-kadang dalam menjalankan tugas dakwah, ada orang yang tidak suka, sampaikan mungkin ke tahap kita terpaksa lawan berperang dengan orang kafir. Maka kita memerlukan nasrun daripada Allah ‎ﷻ.

Nasrun adalah pertolongan yang besar. Maka, apabila berhadapan dengan orang kafir, maka kita hanya dapat mengharapkan bantuan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita telah belajar, beginilah doa tentera Talut semasa hendak melawan tentera Jalut.

Allahu a’lam. Habislah sudah tafsir Surah Baqarah ini, alhamdulillah. Selepas ini kita akan mula belajar tafsir Surah Ali Imran. Surah Ali Imran adalah surah yang berpasangan dengan Baqarah. Kita akan lihat ada persamaan antara keduanya. Keduanya saling lengkap melengkapi sesama sendiri.

Kemaskini: 1 Februari 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

7 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 283 – 286 (Doa yang hebat)”

  1. Mudah difahami kerana dikemaskini setiap masa mengikut keadaan atau situasi semasa . Bukan sekadar tafsir tapi dianggap Tadabbur ayat2 Al Qur’an .
    Ada juga salah typing pada perkataan2 tpi tak banyak …

    Like

    1. terima kasih. saya selalu edit sebagai pembetulan. tapi sebagai manusia, tentulah ada salah sifat. Allah tidak benarkan mana-mana penulisan lain yang sempurna melainkan Al-Qur’an sahaja.

      Like

  2. Alhamdulillah selesai… jutaan terima kasih kpd yg empunya website… moga usaha tuan diberkati & sentiasa dibawah lindunganNya

    Like

  3. alhamdulilah dan terima kasih. sy sekarang melakukan tafsir dan tadabbur setiap selepas suboh melalui blog ini. semoga tuan dan keluarga dilimpahi kerahmatan kerana membangunkan celiktafsir ini.

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s