Tafsir Surah Baqarah Ayat 283 (Hukum Pajak)

HUKUM PAJAK

Baqarah Ayat 283: 

۞ وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ ۖ فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ ۗ وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ ۚ وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And if you are on a journey and cannot find a scribe, then a security deposit [should be] taken. And if one of you entrusts another, then let him who is entrusted discharge his trust [faithfully] and let him fear Allah , his Lord. And do not conceal testimony, for whoever conceals it – his heart is indeed sinful, and Allah is Knowing of what you do.

MALAY
Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

 

وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ

Dan jika kamu berada dalam musafir,

Dalam musafir pun kita menjalankan kehidupan biasa juga dan kadang-kadang kita berhutang juga atau memberi hutang yang bertempoh; juga kita berniaga, maka Islam juga menetapkan hukum dan panduan dalam situasi begini.

 

وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ

sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang 

Kalau dalam musafir mungkin payah sedikit sebab susah hendak mencari penulis dan saksi. Kena ingat yang zaman itu bukan semua boleh menulis. Maknanya, hukum asal masih berjalan, iaitu kena tulis juga surat perjanjian juga, dan kalau diri sendiri tidak boleh tulis, kena cari orang yang pandai menulis. Namun kalau susah hendak mencari penulis dan saksi, maka kena ada barang gadaian.

Kalimah رِهَـٰنٌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘barang gadaian’. Ia daripada kata dasar: ر ه ن yang bermaksud ikrar, tanggungjawab, sambung, gadai, bayar deposit, beri tawanan. Kerana itulah pusat pajak gadai Islamik dinamakan Ar-Rahn. Namun adakah itu sesuatu yang baik? Kita sedang belajar tentang memajak atau menggadai barang yang hak kita untuk diberikan kepada peminjam. Akan tetapi tidaklah di zaman Nabi ﷺ dan sahabat dulu ada buat Ar-Rahn pula. Sampai jadi satu industri yang mengenakan upah pula kepada orang yang hendak menggadai itu. Ia sama seperti ayat hutang. Memang dibenarkan hutang dalam Islam akan tetapi tidaklah dibuat bank pula dahulu. Begitu juga ada sahabat meruqyah orang lain akan tetapi setelah berjaya tidaklah beliau mendirikan Darul Syifa’ pula. Jadi mungkin ada kritikan terhadap institusi-institusi ini yang mengambil kaedah-kaedah di dalam Islam tetapi kerana hendak mencari wang, mereka jadikan satu industri pula.

Kalimah مّقبُوضَةٌ‌ pula adalah dalam bentuk isim sifah (adjektif) dan ia bermaksud ‘di dalam tangan’, ‘dipegang‘. Ia daripada kata dasar: ق ب ض yang bermaksud ambil dengan tangan, dekat, pegang, tangkap, ambil jadi hak milik, burung yang menarik sayapnya rapat ke badan, cepat semasa terbang. Maksudnya barang itu barang yang boleh dipegang seperti barang kemas, jam, kereta dan sebagainya; bukanlah barang yang tidak ada seperti buah durian atas pokok yang belum jatuh pun lagi.

Barang itu adalah barang yang mempunyai harga, selalunya ia lebih berharga daripada jumlah hutang itu. Sebagai contoh, mungkin hutang hanya seribu tetapi kita beri cincin yang harganya dua ribu. Diberi cagaran ini supaya mudah orang untuk beri hutang kepada kita sebab dia pegang barang yang lebih mahal daripada yang diberi. Apabila orang memegang barang yang lebih mahal, tentulah yang berhutang itu akan lebih terdesak untuk membayar hutang itu kembali.

Nota: Ayat ini bukanlah menghadkan pegangan barang hanya kalau semasa dalam perjalanan sahaja. Kalau bukan dalam musafir pun, kita boleh minta orang yang hendak berhutang itu memberikan kita memegang barang gadaian kalau kita tidak percaya sangat kepada dia. Dalilnya Nabi Muhammad ﷺ sendiri pernah menggadai baju besinya sedangkan baginda berada di Madinah ketika itu.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: “Rasulullah ﷺ wafat dan baju besinya tergadai pada seorang Yahudi dengan (harga) tiga puluh sha’ gandum.”
(Sahih Bukhari: No. 2916; Sahih Muslim: No. 1603)

Cuma ayat ini menyebut tentang musafir kerana kalau dalam musafir, mungkin tidak jumpa penulis maka waktu itu yang senang dilakukan adalah beri barang gadaian dan tidak dinyatakan penggunaannya di luar musafir kerana tidak mahu menyusahkan umat. Takut nanti kalau kena beri barang gadaian setiap kali berhutang, mungkin akan menyusahkan orang untuk berhutang pula.

Perlu juga diingatkan, kita memegang barang atau harta orang yang berhutang itu hanyalah untuk memastikan dia membayar hutang dia. Orang yang memegang barang gadaian itu tidak ada hak untuk mengambil kesempatan daripada harta itu. Sebagai contoh, kalau orang yang berhutang itu mencagarkan bangunan miliknya, kita tidak boleh sewakan bangunan itu dan makan duit sewa itu tetapi kalau harta yang diberikan sebagai gadaian itu adalah binatang ternakan, boleh digunakan binatang itu untuk kenderaan dan diambil susunya, kerana semasa kita memegang binatang itu, kita kena beri makan kepada binatang itu.

 

فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا

Maka kalau sebahagian kamu percaya kepada sebahagian yang lain

Jika saling mempercayai sesama sendiri, bolehlah beri hutang tanpa barang gadaian. Akan tetapi jangan ambil peluang dengan kepercayaan orang pula.

 

فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ

maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanahnya,  

Hendaklah orang yang berhutang itu sempurnakan amanah bayar hutang. Orang sudah beri kepercayaan dengan memberi hutang tanpa mengambil barang gadaian, janganlah ambil kesempatan pula. Sebelum tamat tempoh perjanjian, maka hendaklah dipulangkan hutang itu.

Atau ia juga bermaksud kedua-dua pihak memegang amanah. Kalau diberikan gadaian kepada pemberi hutang, pemberi hutang itu sedang memegang amanah orang, kenalah simpan barang itu, jangan dijual pula sebelum tiba masa yang dijanjikan oleh penghutang untuk bayar hutang itu. Yang berhutang pula, bayarlah hutang seperti yang dijanjikan (daripada segi jumlah dan tarikh pembayaran). Kalau sudah berjanji hendak bayar dalam masa tiga bulan, bayarlah dalam masa tiga bulan atau lebih awal.

 

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. 

Semua amanah ini dapat dipenuhi jikalau ada taqwa kepada Allah ‎ﷻ. Maka kena ada takut kepada Allah ‎ﷻ, takut kalau kita tidak memenuhi amanah dan janji itu, takut Allah ‎ﷻ akan murka kepada kita. Seandainya tidak ada perasaan taqwa ini, maka susah hendak tunaikan amanah. Perhatikan setelah disebut nama اللَّهَ kemudian ditambah sifat رَبَّ pula. Sepatutnya nama اللَّهَ sudah merangkumi semua sifat tetapi Allah ﷻ beri penekanan dengan sifat رَبَّ yang bermakna yang menguruskan semua urusan kehidupan kita. Maka kena ingat Allah ﷻ dan takut kepada Allah ﷻ. Apabila ada takut kepada Allah ﷻ, maka barulah kita tidak berani melanggar hukum Allah.

 

وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ

Dan janganlah kamu menyembunyikan persaksian

Ini pula khitab kepada saksi. Jangan apabila dipanggil persaksian mereka oleh qadi, dia sembunyikan penyaksian pula. Jangan dia mengaku tidak menjadi saksi, atau dia beri penyaksian yang tidak benar. Salah kalau dia buat begitu. Bila dipanggil, kena datang. Jangan jadi saksi palsu atau penipu pula.

 

وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ

dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya. 

Kalau sembunyikan persaksian, berdosa hati dia. Maknanya, hati dia ada masalah. Orang sebegini layak dikenakan azab oleh Allah ﷻ nanti. Disebut hati di sini kerana mungkin ada yang sangka lidah yang berdosa sebab tidak menjadi saksi (dia buat senyap sahaja) tetapi sebenarnya ia bermula daripada hati yang rosak dan berdosa.

Maka di sini mengajar kita untuk menjaga hati kita. Kena bersihkan hati daripada sifat-sifat yang buruk. Sekiranya hati baik, maka baiklah hidup kita. Jikalau buruk hati itu maka buruklah keseluruhan diri kita seperti disebut di dalam hadith yang terkenal,

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: ((إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ، وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ، أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”
(Sahih Bukhari No. 52 dan Muslim No. 1599)

Begitulah hati ini adalah perkara yang amat kita kena jaga kesihatannya. Akan tetapi adakah kita jaga hati kita sebagaimana kita selalu menjaga fizikal kita dengan bersenam dan jaga makan? Ya fizikal juga kita kena jaga tetapi yang lebih kita kena jaga adalah kesihatan hati kita. Orang munafik pun ada masalah dengan hati mereka kerana mereka ada keraguan tentang agama. Apabila ada ragu-ragu, maka Allah ‎ﷻ akan tambah keraguan itu yang Allah ‎ﷻ kata ia adalah penyakit seperti disebut di dalam Baqarah:10. Allah ‎ﷻ sebut tentang hati di awal surah dan di hujung surah juga Allah ‎ﷻ sebut tentang hati, menunjukkan kepentingan menjaga hati.

فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ ٱللَّهُ مَرَضًا‌
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; 

 

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Apa sahaja yang kita lakukan, kita pinjam, kita pegang barang gadaian orang, kita jadi saksi atau sembunyikan persaksian, Allah ‎ﷻ lihat dan Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan kita itu.

Sekian Ruku’ 39 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

9 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 283 (Hukum Pajak)”

  1. Mudah difahami kerana dikemaskini setiap masa mengikut keadaan atau situasi semasa . Bukan sekadar tafsir tapi dianggap Tadabbur ayat2 Al Qur’an .
    Ada juga salah typing pada perkataan2 tpi tak banyak …

    Like

    1. terima kasih. saya selalu edit sebagai pembetulan. tapi sebagai manusia, tentulah ada salah sifat. Allah tidak benarkan mana-mana penulisan lain yang sempurna melainkan Al-Qur’an sahaja.

      Like

  2. Alhamdulillah selesai… jutaan terima kasih kpd yg empunya website… moga usaha tuan diberkati & sentiasa dibawah lindunganNya

    Like

  3. alhamdulilah dan terima kasih. sy sekarang melakukan tafsir dan tadabbur setiap selepas suboh melalui blog ini. semoga tuan dan keluarga dilimpahi kerahmatan kerana membangunkan celiktafsir ini.

    Like

Leave a reply to norman Cancel reply