Tafsir Surah Jumuah Ayat 5 – 8 (Perangai macam keldai)

Ayat 5: Ini adalah apa yang yang akan berlaku apabila ilmu agama tidak diamalkan dan lebih teruk lagi, kalau tidak dipelajari. 

مَثَلُ الَّذينَ حُمِّلُوا التَّورىٰةَ ثُمَّ لَم يَحمِلوها كَمَثَلِ الحِمارِ يَحمِلُ أَسفارًا ۚ بِئسَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The example of those who were entrusted with the Torah and then did not take it on¹ is like that of a donkey who carries volumes [of books].² Wretched is the example of the people who deny the signs of Allāh. And Allāh does not guide the wrongdoing people.

  • i.e., neglected their responsibility towards it by not putting its teachings into practice.
  • But does not benefit from their contents.

(MELAYU)

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

مَثَلُ الَّذينَ حُمِّلُوا التَّورىٰةَ ثُمَّ لَم يَحمِلوها

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya

Ayat ini merujuk kepada golongan Yahudi. Kaum Yahudi itu telah diberatkan dengan tanggungjawab menanggung Kitab Taurat. Tanggungjawab itu adalah untuk belajar dan menyampaikannya kepada umat manusia.

Kemudian Allah beritahu yang mereka tidak menanggungnya walaupun sedikit. Mereka buat tidak tahu sahaja. Mereka terus jadi bangsa yang jahil dengan wahyu.

Allah ingatkan kisah mereka ini kepada kita supaya kita jangan jadi seperti orang-orang Yahudi itu yang tidak belajar pun Kitab Taurat dan tidak mengamalkan ajaran dalam Taurat. 

Maka begitulah juga orang kita yang tidak belajar tafsir Qur’an. Hanya berbangga kerana digelajar orang Muslim, ada Qur’an, umat akhir zaman dan akan masuk syurga. Tapi bagaimana nak masuk syurga kalau tidak belajar tafsir Qur’an?

Orang kita juga kuat mengutuk orang Yahudi. Dikatakan mereka itu teruklah, tolak Nabi mereka lah dan macam-macam lagi. Tapi ketahuilah, kalau tidak belajar tafsir Qur’an, maka sama sahaja dengan Yahudi yang tidak belajar Taurat dan tidak menegakkan Taurat itu.

Satu lagi maksud ayat ini: golongan Yahudi itu telah ada Kitab Taurat pada mereka. Mereka sepatutnya tahu dan kenal siapa Nabi Muhammad itu kerana ianya telah disebut dalam Taurat. Sepatutnya merekalah yang berada di hadapan untuk beriman dan membantu baginda kerana mereka telah kenal dan tahu. Tapi sebaliknya yang berlaku (mereka menentang baginda). Maka mereka telah tidak menjalankan ajaran dalam Taurat seperti yang sepatutnya.

كَمَثَلِ الحِمارِ يَحمِلُ أَسفارًا

adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. 

Allah beri perumpamaan yang Yahudi itu seperti keldai yang bawa kitab di atas belakangnya tapi tidak ambil manfaat pun dari kitab-kitab itu. Ini adalah kerana keldai itu tidak tahu baca kitab yang dibawanya di atas belakangnya.

Ini adalah ejekan yang amat keras. Kalau kita kata kepada seseorang: “kamu ini bodoh macam keldai!”, tentu orang itu akan marah, bukan? Tapi ini adalah kutukan dan ejekan dari Allah! Kalau tak suka, maka jangan marah kepada kita, tapi marahlah kepada Allah (kalau berani)!

Jadi ini adalah ejekan yang amat pedas kepada mereka yang tidak tahu kitab wahyu. Mereka hanya jaga lafaz dalam kitab wahyu itu sahaja tapi tidak faham pengajaran dalamnya. Ini samalah dengan orang kita yang tidak tahu apa-apa pun pasal Qur’an dan ajaran di dalam Qur’an itu. Kebanyakan dari orang kita hanya tahu baca Qur’an sahaja (itu pun merangkak). Ini macam Yahudi yang jaga Kitab Taurat dalam simpanan mereka, tapi tak faham apa di dalamnya. Kalau faham pun tidak, maka jauh lagilah untuk diamalkan. 

Kita kata mereka yang dimaksudkan itu adalah golongan Yahudi, tetapi sebenarnya kalau kita lihat ayat ini, Allah tidak sebut pun secara khusus tentang golongan Bani Israil ataupun Yahudi. Jadi bukanlah dimaksudkan semua mereka itu. 

Ini adalah kerana Bani Israil itu sendiri bukanlah nama yang menunjukkan kepada mereka yang tidak endahkan Taurat itu kerana ianya bangsa yang memang hebat dan banyak para nabi dari kalangan mereka. Dan ramai juga orang-orang yang baik daripada kalangan mereka jadi kalau dipanggil seseorang itu dari bangsa Bani Israil, ia bukanlah sesuatu yang menghina. 

Tetapi Allah banyak menceritakan tentang hal mereka kerana ramai juga di kalangan mereka yang telah melakukan kesilapan dalam agama dan dalam amalan mereka. Maka kita kena belajar tentang kesalahan-kesalahan mereka itu supaya kita tidak lakukan. Kerana kalau tidak, kita pun jadi seperti mereka. 

Dan sebagaimana kebanyakan dari mereka itu tidak mengamalkan agama yang sebenarnya, maka begitulah juga kebanyakan dari kalangan orang Islam pun tidak mengamalkan agama dengan sebenarnya. Ini adalah kerana ilmu tentang wahyu Allah, samada dalam bentuk Qur’an atau hadis, amat jauh dari fikiran umat Islam sekarang.

Salah satu dari sifat Bani Israil ini adalah mereka berbangga dengan sejarah mereka, kerana mereka ada ilmu, ada kitab dan ada ramai Nabi dari kalangan mereka. Tetapi Allah ingatkan mereka supaya jangan lupa bahawa ada perkara yang memalukan di dalam sejarah mereka.

Maka ini juga pengajaran kepada kita yang jangan sangka semua sejarah kita itu adalah sejarah Islam yang baik-baik sahaja kerana ada juga perkara yang memalukan dan kita kena terima fakta itu. Memang ada sejarah yang membanggakan kita, seperti kejayaan umat terdahulu mengislamkan ramai orang; tapi dalam masa yang sama, ada juga kehancuran yang dilakukan oleh orang Islam setelah jauh dari ajaran agama. 

Kalimah أَسفار bermaksud buku yang banyak dan digunakan kalimah yang sama digunakan untuk safar (perjalanan) kerana kita sebenarnya apabila sedang membaca buku, kita sedang ‘bermusafir’ di dalam buku itu. 

Allah menggunakan perumpamaan satu bangsa yang ada banyak buku dan juga banyak ilmu, tetapi mereka tidak manfaatkan ilmu itu. Alangkah ruginya, alangkah malangnya!

بِئسَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللَّهِ

Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. 

Dalam ayat ini kita diberitahu bagaimana mereka yang ada wahyu dari Allah tetapi tidak mengamalkannya maka mereka itu juga dikira sebagai mendustakan ayat-ayat Allah. 

Kezaliman yang Yahudi lakukan adalah kerana mereka diberikan dengan wahyu tetapi mereka tidak mengamalkannya, sedangkan sepatutnya mereka mengajar wahyu itu ke seluruh umat manusia. Dan jikalau kita pun ada Qur’an ini tetapi kita tidak mengamalkannya dan tidak menunjukkan contoh yang baik tentangnya, maka kita pun dikira zalim juga.

Memang ejekan dari Allah ini amat pedas sekali kerana mereka disamakan seperti keldai. Tapi sebenarnya ia lebih pedas dari itu lagi. Mereka itu lebih teruk dari keldai! Kerana keldai itu tidak ada otak, maka ia boleh dimaafkan. Tapi manusia ada otak!

Ini seperti yang disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat yang lain:

{أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ}

Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebihsesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Al-A’raf: 179)

Dan lebih teruk lagi, mereka sepatutnya telah belajar dan patutnya tahu apa yang mereka perlu lakukan. Apabila orang yang tahu tapi tidak jalankan apa yang dia sepatutnya tahu, maka itu lebih teruk lagi.

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

Orang yang zalim adalah orang yang tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Wahyu itu tinggi dan sepatutnya ditinggikan dengan diikuti ajaran di dalamnya. Tapi kalau mendustakan wahyu itu, orang itu dikira sebagai zalim.

Dan Allah murka kepada orang yang zalim. Apabila Allah murka, Allah tidak beri hidayah petunjuk kepada orang itu dan orang itu akan dimasukkan ke dalam neraka.


Ayat 6: Salah satu kesilapan golongan Yahudi itu adalah kerana mereka perasan mereka itu golongan ‘terpilih’. Mereka sangka mereka itu Kekasih Allah. Mereka sangka mereka suci dan tidak akan dimasukkan ke dalam neraka.

Maka Allah cabar mereka dalam ayat ini. Kalau benar mereka itu kekasih Allah dan akan terus masuk syurga bila mati, maka Allah suruh mereka doa supaya cepat mati. 

قُل يٰأَيُّهَا الَّذينَ هادوا إِن زَعَمتُم أَنَّكُم أَولِياءُ لِلَّهِ مِن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “O you who are Jews, if you claim that you are allies of Allāh, excluding the [other] people, then wish for death, if you should be truthful.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi, jika kamu mendakwa bahawa sesungguhnya kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar”.

قُل يٰأَيُّهَا الَّذينَ هادوا

Katakanlah: “Hai orang-orang yang menganut agama Yahudi

Sekarang disebut golongan Yahudi secara khusus.

Balaghah: Kita boleh lihat dalam ayat ini bagaimana Allah memanggil mereka ‘wahai yang menjadi Yahudi’. Ini adalah kerana mereka sendiri yang reka agama Yahudi itu. Sepatutnya mereka beragama Islam sahaja kerana tidak ada ‘agama Yahudi’ sebenarnya. Tapi kerana mereka telah ubah agama mereka, maka nama agama sendiri pun mereka ubah juga.

Nama Yahudi ini pula datang dari mana? Ia diambil dari nama anak keempat Nabi Yaakob iaitu Yahuda. Selepas Nabi Sulaiman, kerajaan Bani Israil telah berpecah kepada beberapa puak, ikut kepada keturunan 12 anak Nabi Yaakob. Kemudian mereka telah diserang dan yang tinggal hanya kerajaan keturunan Yahuda dan keturunan Bunyamin.

Tapi kerana keturunan Yahuda lebih kuat, maka yang tinggal hanyalah nama Yahuda itu sahaja. Mereka telah menamakan agama mereka dengan nama Yahuda itu pula sedangkan itu bukanlah nama asal agama mereka.

إِن زَعَمتُم أَنَّكُم أَولِياءُ لِلَّهِ مِن دونِ النّاسِ

jika kamu mendakwa bahawa sesungguhnya kamu sajalah kekasih Allah bukan manusia-manusia yang lain, 

Golongan Yahudi itu sangka mereka sahaja ‘kekasih Allah’ dan orang lain tidak layak menjadi kekasih Allah walaupun orang lain itu beramal banyak mana pun.

Begitulah sangkaan mereka terhadap orang lain, selain mereka. Sedangkan pada sangkaan mereka, jikalau orang Yahudi buat banyak dosa pun tetap kekasih Allah. Ini disebut dalam beberapa ayat Qur’an yang lain: 

وَقالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَعدودَةً ۚ قُل أَتَّخَذتُم عِندَ اللَّهِ عَهدًا فَلَن يُخلِفَ اللَّهُ عَهدَهُ ۖ أَم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?” Baqarah:80

 

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَؤا اللهِ وَأَحِبَّؤُهُ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami ini adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya”. Maidah:18

Salah faham ini telah juga dimasukkan dalam kitab-kitab tulisan pendeta dan ahli agama mereka, menyebabkan persangkaan salah ini berterusan sampailah ke hari ini.

فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صٰدِقينَ

maka harapkanlah kematianmu, jika kamu adalah orang-orang yang benar”.

Allah cabar mereka: Kalau kamu rasa kamu memang akan masuk syurga walau apapun, maka mintalah mati segera. Kenapa nak tinggal di dunia ini lagi kerana dunia ini banyak sakit, banyak susah dan sebagainya. Maka kalau nak terus dapat nikmat di syurga itu, maka eloklah kamu mati sahaja sekarang. Kerana yang menghalang kamu dapat nikmat syurga itu adalah kerana kamu masih hidup di dunia sahaja, kan?

Makna yang dimaksud ialah mereka diminta untuk melakukan sumpah dengan musuh mereka bahawa siapa yang sesat dari mereka semoga ditimpa oleh laknat Allah; apakah diri mereka ataukah musuh mereka.

Sebagai­mana telah disebutkan pula dalam pembahasan mubahalah terhadap orang-orang Nasrani dalam surat Ali Imran melalui firman-Nya:

{فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ}

Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan) kamu, maka katakanlah (kepadanya), “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.” (Ali Imran: 61)

Tetapi tidak pun pernah nampak orang Yahudi minta dimatikan cepat. Mereka memang takut mati dan ini telah disebut dalam ayat yang lain: 

قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صادِقينَ

وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّالِمينَ

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَياةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan. Baqarah:94-96

Ayat dari Surah Baqarah ini telah diturunkan sebelum ada pertembungan perperangan antara Yahudi dan Muslim. Dan ayat-ayat ini terbukti apabila ada pertembungan itu, mudah sahaja bagi umat Islam mengalahkan mereka. Kerana mereka itu takut mati, maka walaupun mereka ada banyak kelengkapan, mereka senang menyerah kalah.

Antaranya apabila umat Islam menyerang Khaibar, mereka serah sahaja tempat tinggal mereka itu. Mereka pun tidak berani nak berlawan dengan tentera Muslim yang berani mati kerana mereka percaya dengan janji syurga oleh Allah.

Orang Islam memang tiada diajar untuk minta mati cepat. Yang kita semua diajar untuk meminta dimatikan ‘bersama dengan orang-orang yang beriman’. Itulah doa yang sepatutnya kita amalkan.

Maka begitulah salah faham golongan Yahudi. Dan malangnya, salah faham tentang kepastian masuk syurga ini juga ada dikalangan orang-orang Islam juga. Ramai yang sangka kalau mengucap Syahadah sahaja sudah pasti akan masuk ke syurga.

Mereka pun pakailah hadis Nabi yang mengatakan jikalau mengucap syahadah, maka pasti akan masuk syurga. Akan tetapi tidakkah mereka baca dan belajar hadis-hadis yang lain? Tidaklah senang sahaja untuk masuk syurga. Sedangkan sahabat-sahabat yang mendengar hadis itu sendiri daripada Nabi pun tidaklah mereka yakin sangat yang mereka akan masuk syurga. Lalu bagaimana golongan yang lagi rendah dari golongan sahabat itu boleh pasti pula yang mereka akan masuk syurga? Ada kesilapan dalam fahaman sebenarnya. 


Ayat 7:

وَلا يَتَمَنَّونَهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۚ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they will not wish for it, ever, because of what their hands have put forth. And Allāh is Knowing of the wrongdoers.

(MELAYU)

Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

وَلا يَتَمَنَّونَهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم

Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri.

Mereka tidak akan minta kematian dengan segera selama-lamanya kerana mereka pun tahu yang mereka itu ada buat salah. Dan mereka tahu yang mereka tidak sediakan saham pahala mereka untuk akhirat. 

Kerana mereka sendiri tahu apa amalan salah yang mereka buat dan mereka juga tahu yang kalau mereka mati, mereka akan ada masalah. Maka kerana itu mereka takut mati.

Maka kita janganlah jadi begitu; hendaklah kita bersedia dengan saham akhirat kita yang terutama sekali boleh dilakukan dengan sedekah. Ini kerana sedekah itu adalah saham yang amat banyak untuk akhirat dan juga segala apa yang kita berikan itu akan dikembalikan kepada kita semasa di dunia lagi, Maka kita memang tidak akan rugi apa-apa. Kalau sedekah, kita akan dapat balasan di dunia dan juga balasan di akhirat. Maka memang tidak rugi langsung. 

وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ

Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

Hanya Allah tahu siapa yang buat zalim dan kerana itu Dia sahaja yang layak menghukum. 


Ayat 8: Allah nak ingatkan yang walaupun mereka tak minta mati cepat pun, mereka akan tetap mati juga. 

قُل إِنَّ المَوتَ الَّذي تَفِرّونَ مِنهُ فَإِنَّهُ مُلٰقيكُم ۖ ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Indeed, the death from which you flee – indeed, it will meet you. Then you will be returned to the Knower of the unseen and the witnessed, and He will inform you about what you used to do.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

قُل إِنَّ المَوتَ الَّذي تَفِرّونَ مِنهُ فَإِنَّهُ مُلٰقيكُم

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,

Allah memberi isyarat di dalam ayat ini yang orang Yahudi yang tidak berpegang dengan Taurat itu ada takut kepada mati dan itu adalah kesan kerana tidak berpegang dengan Taurat. 

Menariknya ada satu hadis dimana disebut yang umat Islam akan jadi lemah di akhir zaman sedangkan mereka ramai. Dan apabila sahabat tanya bagaimanakah cara untuk menyelesaikannya maka Nabi kata kena selalu ingat kepada mati dan baca Qur’an. 

Dan di dalam ayat-ayat yang menceritakan tentang Yahudi ini mereka mempunyai dua-dua masalah: iaitu mereka tidak belajar Taurat dan mereka lari daripada mati kerana mereka mahu hidup selama-lamanya di atas dunia.

Mereka takut mati, tapi mati pasti akan datang juga kepada mereka. Ini semakna dengan firman Allah Swt. yang disebutkan di dalam surat An-Nisa, iaitu:

{أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكُكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ}
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (An-Nisa: 78)

ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ

kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,

Mereka dan kita kena sedar yang kembalian kita akhirnya akan bertemu dengan Allah.

Dan Allah Maha Tahu segala apa yang kita lakukan kerana Dia tahu yang ghaib dan yang nyata.

فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.

Dan kerana Allah tahu segala-galanya yang kita lakukan, maka nanti Dia akan ceritakan kembali segala rekod perbuatan kita semasa di dunia.

Dan ingatlah yang Allah bukan sengaja nak mengenangkan kita dengan perbuatan kita dulu tapi Allah nak balas perbuatan itu itu. Yang baik dibalas baik dan yang buruk akan dibalas buruk. Maka kita nak balasan yang mana?

Habis Ruku’ 1 dari 2 ruku’ di dalam surah ini.

Allahu a’alam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 29 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s