Ayat 55: Ini adalah Ayat Tasliah untuk memujuk hati Nabi Isa عليه السلام. Ini sebelum baginda diangkat ke langit.
إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ وَرافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا وَجاعِلُ الَّذينَ اتَّبَعوكَ فَوقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ ۖ ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم فَأَحكُمُ بَينَكُم فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ
SAHIH INTERNATIONAL
[Mention] when Allah said, “O Jesus, indeed I will take you and raise you to Myself and purify you from those who disbelieve and make those who follow you [in submission to Allah alone] superior to those who disbelieve until the Day of Resurrection. Then to Me is your return, and I will judge between you concerning that in which you used to differ.
MALAY
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutimu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan”.
إِذ قالَ اللَّهُ يٰعيسىٰ إِنّي مُتَوَفّيكَ
(Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna,
Allah ﷻ berfirman yang Dia akan ambil semua sekali roh dan jasad Nabi Isa عليه السلام. Itulah maksud lafaz مُتَوَفّيكَ dalam ayat ini. Ayat ini sebagai dalil yang Allah ﷻ tidak mematikan Nabi Isa عليه السلام tetapi telah mengangkat baginda ke langit.
Malangnya ada pula yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk hujah dangkal mereka untuk mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah mati. Kalau yang kata itu orang kafir, tidaklah mengapa, kita tahu mereka bagaimana tetapi apabila orang Islam yang kata begitu, kita kena jelaskan.
Yang mereka salah faham adalah kerana penggunaan lafaz مُتَوَفِّيكَ yang datangnya dari katadasar وفي yang boleh membawa banyak maksud. Maksud yang selalu digunakan dalam Al-Qur’an adalah ‘beri dengan penuh’ atau ‘ambil dengan penuh’. Orang yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah mati itu keliru kerana mereka kata perkataan وفي itu bermaksud ‘wafat’. Memang kalimah ‘wafat’ digunakan juga untuk mati, tapi ia adalah lafaz kiasan sahaja (untuk mati dan untuk tidur). Maknanya, tidur pun ada Allah ﷻ gunakan kalimah ‘wafat’ juga.
Ini tidak benar kerana kalau hendak memberikan makna mati, dalam Al-Qur’an digunakan perkataan mawt/maut. Apabila mawt, Allah ﷻ tidak ambil semua sekali, kerana Allah ﷻ akan tinggalkan jasad di bumi, bukan? Tapi dalam kes Nabi Isa عليه السلام, Allah ﷻ ambil roh dan jasad sekali.
وَرافِعُكَ إِلَيَّ
dan mengangkatmu ke sisi-Ku,
Allah ﷻ mengangkat Nabi Isa عليه السلام kepada-Nya. Ini juga dalil yang Allah ﷻ mengangkat Nabi Isa عليه السلام ke langit (untuk satu tempoh). Yang kata Nabi Isa عليه السلام telah mati itu berhujah, ayat ini kononnya bermaksud ‘darjat’ Nabi Isa عليه السلام yang diangkat.
Ini tidak benar kerana kalau darjat yang dimaksudkan, perkataan ‘darjat’ akan diletakkan sekali seperti yang ada dalam banyak ayat-ayat tentang darjat. Namun begitu tidak ada kalimah ‘darjat’ digunakan dalam ayat ini, kerana Allah ﷻ kata Dia angkat baginda ke Sisi-Nya sahaja.
Oleh itu, berhati-hatilah apabila membaca ajaran atau teori yang pelik-pelik walaupun datang daripada orang Islam sendiri kerana ada yang keliru kerana salah belajar. Tambahan pula sekarang banyak sangat maklumat yang dibaca di internet yang tidak dipantau oleh ilmuan yang layak.
Dalam akidah ahli sunnah, kita berakidah yang Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit dan akan diturunkan semula. Ini disokong oleh hadis-hadis yang amat banyak. Baginda bukan turun sahaja tapi diberitahu yang baginda akan membunuh Dajjal. Jadi walaupun ia adalah termasuk dalam furu’ aqidah (cabang akidah), tapi inilah akidah yang benar. Pandangan yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام telah wafat adalah pandangan yang amat lemah.
وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذينَ كَفَروا
dan membersihkanmu daripada orang-orang kafir,
Allah ﷻ mensucikan Nabi Isa عليه السلام daripada tohmahan orang kafir Yahudi yang kata baginda adalah anak zina. Golongan Yahudi kata baginda bukan Nabi, sebaliknya adalah anak zina kerana lahir tanpa bapa. Padahal itu adalah mukjizat Nabi. Maka, dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ telah membersihkan nama Nabi Isa عليه السلام.
Dan berbagai-bagai lagi tuduhan yang tidak benar tentang baginda yang dibersihkan oleh Allah ﷻ dalam Al-Qur’an. Antaranya, tuduhan Nasara yang mengatakan baginda itu tuhan atau anak tuhan. Itu pun disucikan oleh Allah ﷻ.
‘Sucikan’ juga bermaksud Allah ﷻ menyucikan baginda dalam kalangan mereka yang menentang baginda. Allah ﷻ mengangkat baginda dalam kalangan mereka yang jahat itu. Allah ﷻ selamatkan baginda dari golongan yang hendak membunuh baginda. Kemudian nanti baginda akan diberikan dengan kalangan yang lebih baik daripada mereka.
وَجاعِلُ الَّذينَ اتَّبَعوكَ فَوقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ يَومِ القِيٰمَةِ
dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir, hingga ke hari kiamat.
Allah ﷻ akan meninggikan kedudukan mereka yang mengikuti baginda lebih daripada orang kafir. Mereka yang ikut Nabi Isa عليه السلام akan menjadi ahli syurga dan selamat di akhirat kelak. Apakah maksudnya? Ini penting ditafsirkan kerana kalau tidak, kalau dibaca literal sahaja, akan menyebabkan kekeliruan pula. Memang ayat ini disebut-sebut oleh golongan Kristian bila berhujah dengan umat Islam.
Kalau pada zamannya, mereka yang dimaksudkan adalah pengikut baginda seperti golongan Hawariyyun itu. Untuk zaman kita pula, yang dimaksudkan adalah pengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Isa عليه السلام pun akan mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ juga nanti apabila baginda diturunkan kembali ke dunia.
Kalau Nabi Isa عليه السلام sendiri pun akan mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka yang mengaku sebagai pengikut Nabi Isa عليه السلام pun kenalah begitu juga. Sedangkan dalam Kitab Injil sendiri pun ada tertulis, yang apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat sebagai Rasul, semua kena ikut Nabi Muhammad ﷺ. Kita dapat tahu tentang perkara ini sebab ada disebut di dalam Surah Saff. Kalau dalam Bible sekarang, mungkin tidak jelas kerana Bible sekarang bukanlah Kitab Injil yang sebenar.
Jadi jangan percaya dengan kaum Kristian yang mengatakan ini bukti merekalah yang benar. Mereka menggunakan ayat ini dan mereka kata mereka lebih tinggi daripada orang Yahudi kerana mereka pengikut Nabi Isa عليه السلام. Mereka juga berhujah, ‘Lihatlah dalam Qur’an pun kata kedudukan mereka tinggi sampai Hari Kiamat’.
Namun ini adalah sangkaan mengarut mereka sahaja kerana mereka langsung tidak mengikut ajaran Nabi Isa عليه السلام, malahan membuat syirik dengan memuja baginda pula. Lalu bagaimana pula boleh dikatakan mereka mengikut baginda? Memang mereka sayangkan baginda, tidak dinafikan, tetapi mereka tidak mengikut pun ajaran baginda. Ada beza antara ‘sayang’ dan ‘ikut’.
ثُمَّ إِلَيَّ مَرجِعُكُم
Kemudian kepada Aku-lah tempat kembalinya kamu,
Allah ﷻ mengingatkan semua manusia dan jin bahawa akhirnya kita semua akan mati dan dikembalikan kepada Allah ﷻ. Apa yang Allah ﷻ akan lakukan terhadap kita waktu itu?
فَأَحكُمُ بَينَكُم فيما كُنتُم فيهِ تَختَلِفونَ
lalu Aku memberi keputusan tentang apa yang kamu perselisihkan”.
Allah ﷻ akan membuat keputusan secara ‘amali’ (secara praktikal, bukan secara teori) dan memisahkan mana pihak yang benar dan mana yang salah. Jadi perselisihan ini adalah antara golongan engkar dan golongan yang di atas al-haq (kebenaran). Yang benar akan dimasukkan ke syurga dan yang salah akan dimasukkan ke neraka.
Itulah cara amali untuk tunjuk mana yang benar dan mana yang salah. Waktu itu, tidak boleh hendak berbuat apa-apa lagi, kerana kalau kita berada di pihak yang salah, kita tidak dapat kembali ke dunia untuk memperbetulkannya. Kerana itu sudah di akhirat dan tidak akan kembali lagi ke dunia.
Namun secara teori, Allah ﷻ telah menunjukkan mana benar dan mana yang salah dalam Al-Qur’an. Ini penting, kerana takkan hendak kena tunggu di akhirat nanti baru tahu mana yang benar dan mana yang salah, bukan? Allah ﷻ sudah beritahu di dunia lagi, dengan sejelas-jelasnya (kepada yang belajar) maka tidak perlu tunggu sampai akhirat untuk tahu mana yang benar.
Kalau ikut hujah yang disampaikan oleh Al-Qur’an semasa di dunia, maka akan masuk syurga. Maka hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an dengan kemas, supaya ia menjadi hujah dan panduan bagi kita.
Ayat 56: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.
فَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَأُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ
SAHIH INTERNATIONAL
And as for those who disbelieved, I will punish them with a severe punishment in this world and the Hereafter, and they will have no helpers.”
MALAY
Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.
فَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَأُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ
Adapun orang-orang kafir, maka Aku akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat,
Ini pula adalah nasib mereka yang kafir kerana kedegilan mereka menolak kebenaran. Mereka juga tidak hiraukan ilmu wahyu maka mereka jadi sesat di dunia. Mereka akan diseksa di dunia dan di akhirat.
Di dunia lagi mereka akan mendapat seksaan jiwa secara individu dan secara kelompok, mereka akan dikalahkan dalam peperangan. Hati mereka juga tidak tenang kerana mereka menolak kebenaran yang sudah ada dalam diri mereka.
وَما لَهُم مِّن نّٰصِرينَ
dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.
Tidak ada sesiapa pun yang akan membantu mereka apabila Allah ﷻ telah buat keputusan terhadap mereka. Ramai yang salah sangka termasuklah golongan Krisian/Nasara. Mereka sangka Nabi Isa عليه السلام tentu akan bantu mereka kerana mereka sentiasa memuja baginda, namun itu semua adalah sangkaan yang tersasar jauh.
Ayat 57: Ini pula adalah ayat tabshir.
وَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ
SAHIH INTERNATIONAL
But as for those who believed and did righteous deeds, He will give them in full their rewards, and Allah does not like the wrongdoers.
MALAY
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
وَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَيُوَفّيهِم أُجورَهُم
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka;
Sekali lagi digunakan kalimah ‘wafat’ dalam ayat ini. Maksudnya adalah pemberian yang sempurna. Balasan kebaikan akan diberi dengan sempurna – malah akan diberi lebih daripada amalan hamba itu. Bayangkan, kita hidup 60 tahun sahaja di dunia dan beramal pun bukan sepanjang kita hidup pun, tetapi kita dapat tinggal di syurga selama-lamanya. Memang lebih sangatlah apa yang ahli syurga dapat.
وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ
dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
Iaitu zalim yang tidak meletakkan perkara pada tempatnya. Zalim yang biasa kita faham adalah seperti menindas orang lain. Namun begitu, zalim yang paling besar adalah syirik kepada Allah ﷻ. Mereka akan mendapat balasan yang buruk.
Ayat 58: Ayat ini adalah jenis yang dinamakan Jumlah Mu’taridah. Iaitu dimasukkan perkara yang seperti tidak ada kena mengena dengan rentetan ayat-ayat yang sebelumnya. Tiba-tiba sahaja semasa sebut kisah Nabi Isa, masuk kepada firman Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad.
Allah hendak menegaskan bahawa Nabi Muhammad adalah benar seorang rasul kerana kalau baginda bukan Nabi, baginda tidak akan tahu kisah kisah ini semua. Orang biasa tidak akan dapat tahu kisah ini.
ذٰلِكَ نَتلوهُ عَلَيكَ مِنَ الآيٰتِ وَالذِّكرِ الحَكيمِ
SAHIH INTERNATIONAL
This is what We recite to you, [O Muhammad], of [Our] verses and the precise [and wise] message.
MALAY
Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat – (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara).
ذٰلِكَ نَتلوهُ عَلَيكَ مِنَ الآيٰتِ
Demikianlah, Kami bacakan ke atas engkau dari ayat-ayat
Segala kisah yang telah disampaikan itu diberikan kepada Nabi Muhammad sebagai hujah baginda berhadapan dengan Kristian Najran. Allah telah beri hujah-hujah kepada baginda dari wahyuNya.
وَالذِّكرِ الحَكيمِ
dan dari Al-Qur’an yang penuh dengan hikmat-hikmat
Ianya hujah yang datang dari Al-Qur’an yang mengandungi kebijaksanaan. Ianya mengandungi jawapan-jawapan yang bernas terhadap pertanyaan dan tohmahan dari Kristian Najran yang datang hendak berhujah dengan Nabi Muhammad.
Dengan mempelajari ayat-ayat itu, sepatutnya orang Kristian tahu bahawa apa yang mereka anuti itu adalah salah sama sekali. Maka kerana itu ramai orang Kristian yang masuk Islam setelah diberikan dengan hujah-hujah wahyu.
Ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi nasihat-nasihat yang bijaksana tentang kebenaran dan bagaimana cara menjalani kehidupan di dunia ini dengan baik. Maka hendaklah kita mengambil pengajaran dari ayat-ayat Al-Qur’an ini.
Ayat 59: Ini sebagai jawapan bagi kemusykilan tentang kejadian Nabi Isa. Memanglah kejadian kelahiran Nabi Isa itu ajaib, dilahirkan tanpa bapa. Tapi tidaklah kerana kelahiran ajaib itu boleh dijadikan sebab untuk sembah dan seru kepada Nabi Isa pula.
Tambahan pula, bukanlah Nabi Isa sahaja yang pelik dan ajaib dari segi kelahiran. Kerana tidaklah kelahiran Nabi Isa itu lebih pelik dari kejadian Nabi Adam. Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa, tapi Nabi Adam lahir tanpa ibu dan bapa sekali. Itu lebih pelik, bukan? Oleh itu, kenapa tak sembah Nabi Adam pula?
إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ ۖ خَلَقَهُ مِن تُرابٍ ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ
SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, the example of Jesus to Allah is like that of Adam. He created Him from dust; then He said to him, “Be,” and he was.
MALAY
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.
إِنَّ مَثَلَ عيسىٰ عِندَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءآدَمَ
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam.
Pada Allah, sama sahaja kejadian Nabi Isa dan Nabi Adam. Kerana tidaklah lebih susah Allah buat Nabi Adam dari Nabi Isa dan dari kita. Kerana itu pada Allah, sama sahaja semua kejadian. Tapi dalam ayat ini, Allah bandingkan penciptaan Nabi Adam dengan Nabi Isa.
خَلَقَهُ مِن تُرابٍ
Allah telah menciptakan Adam dari tanah
Badan Nabi Adam itu yang dijadikan dari tanah. Kisahnya ada banyak disebut dalam ayat lain dan hadis-hadis. Memang diambil dari tanah di dunia ini. Di dalam hadis disebut baginda terus dijadikan dalam bentuk baginda setinggi 60 hasta (tidaklah dijadikan seperti bayi dahulu dan membesar kemudian).
ثُمَّ قالَ لَهُ كُن فَيَكونُ
lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.
Dari tanah itu, Nabi Adam dijadikan manusia dengan lafaz kun fayakun dari Allah, terus baginda terjadi manusia. Nabi Isa pun terjadi dari lafaz kun fayakun juga, maka sama sahaja kejadian mereka berdua pada sisi Allah.
Ayat 60:
الحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلا تَكُن مِّنَ المُمتَرينَ
SAHIH INTERNATIONAL
The truth is from your Lord, so do not be among the doubters.
MALAY
Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.
الحَقُّ مِن رَّبِّكَ
Kebenaran ialah yang datang dari Tuhanmu.
Kejadian Nabi Isa yang luar biasa itu memang benar dari Allah. Kita tidak dapat menyaksikannya dengan mata kita, tapi sekarang Allah beritahu dalam Al-Qur’an, maka hendaklah kita terima kebenarannya.
Dan benarlah baginda itu adalah makhluk, bukannya tuhan.
فَلا تَكُن مِّنَ المُمتَرينَ
Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.
Kalau ianya benar dari Allah, maka jangan kamu ragu ragu. Kalau ragu, tidak selamat. Kalimah الْمُمْتَرِينَ adalah apabila sesuatu fakta yang jelas tapi apabila dengar kata-kata hujah yang panjang lebar untuk menolak sesuatu perkara, kita pula jadi ragu-ragu. Kadangkala kita pun kalau dengar hujah orang lain, mungkin boleh goyang, bukan?
Begitulah, kalau kita berhujah dengan orang Kristian, mereka akan menggunakan berbagai-bagai hujah yang mengarut sebenarnya. Tapi kalau iman tak kuat, ilmu pun ke laut, entah-entah boleh terkeliru pula. Allah sudah pesan siap-siap sekarang, jangan ragu-ragu dan terpedaya dengan dakyah mereka.
Ayat 61: Ini adalah ayat tentang Mubahalah. Nanti akan disebutkan konsepnya selepas ini. Mubahalah ini adalah doa yang disertai dengan sumpah laknat. Mubahalah ini dibenarkan kalau pihak kafir masih tak mahu dengar kata juga.
Begitulah yang terjadi kepada Kristian Najran itu, masih lagi tidak mahu beriman dan tidak mahu mengaku kalah walaupun setelah dijelaskan dengan 60 ayat sebelum ini. Maka, Allah ajar Nabi untuk ajak mereka mubahalah.
فَمَن حاجَّكَ فيهِ مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ فَقُل تَعالَوا نَدعُ أَبناءَنا وَأَبناءَكُم وَنِساءَنا وَنِساءَكُم وَأَنفُسَنا وَأَنفُسَكُم ثُمَّ نَبتَهِل فَنَجعَل لَّعنَتَ اللَّهِ عَلَى الكٰذِبينَ
SAHIH INTERNATIONAL
Then whoever argues with you about it after [this] knowledge has come to you – say, “Come, let us call our sons and your sons, our women and your women, ourselves and yourselves, then supplicate earnestly [together] and invoke the curse of Allah upon the liars [among us].”
MALAY
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.
فَمَن حاجَّكَ فيهِ مِن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ
Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,
Kalau mereka yang menentang masih bantah lagi tentang Nabi Isa setelah berhujah lama dan sesudah dibacakan ayat Al-Qur’an yang jelas kepada mereka. Maka sekarang Allah ajar macam mana nak buat dengan mereka. Sudah tidak perlu teruskan lagi hujah dan perdebatan dengan mereka.
فَقُل تَعالَوا نَدعُ أَبناءَنا وَأَبناءَكُم
maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu,
Ini kalimah terakhir bagi mereka. Ajak mereka berhimpun ramai-ramai di padang (tempat awam). Kerana Panggil anak-anak kamu dan kami akan panggil anak-anak kami.
وَنِساءَنا وَنِساءَكُم وَأَنفُسَنا وَأَنفُسَكُم
dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu,
Bukan anak-anak sahaja, panggil sekali dengan isteri-isteri kamu dan kamu sendiri pun kenalah datang juga. Kenapa panggil anak beranak? Kerana manusia itu selalunya gelap hati kerana cinta dunia, antaranya dengan anak isteri. Maka kena bawa anak isteri yang mereka kasih itu.
Ayat ini menunjukkan kepentingan kaum wanita dimana mereka pun terlibat dalam kegiatan agama. Tidaklah mereka hanya duduk di belakang sahaja.
Malah, kita tahu dari hadis, bagaimana kaum wanita juga terlibat dalam medan perang semasa zaman Nabi. Maka jangan rendahkan kedudukan wanita jadi kelas kedua pula. Mereka pun ada kepentingan dalam masyarakat dan dalam beragama.
ثُمَّ نَبتَهِل
kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh,
Ibtihal maksudnya merayu dengan menangis. Minta kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Biarkan Allah yang tentukan mana pihak yang benar.
Pernah kedengaran juga mubahalah ini diajak di negara kita. Tapi konsep itu tidak betul kerana hendak dilakukan sesama Muslim. Mubahalah ini hanya dilakukan dengan orang kafir sahaja.
فَنَجعَل لَّعنَتَ اللَّهِ عَلَى الكٰذِبينَ
serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.
Akhir sekali, doa supaya Allah laknat siapa yang salah. Biar nampak mana pihak yang salah di hadapan mata kita terus. Biar Allah buat sesuatu supaya nampak manakah pihak yang benar. Antaranya, Allah akan matikan pihak yang salah itu.
Mubahalah ini tidak terjadi pada zaman Nabi itu. Pihak Kristian dari Najran itu tidak berani dan mereka balik begitu sahaja. Kerana mereka pun takut juga. Ketua mereka kata, kalau Rasulullah itu benar Nabi, tentu apa sahaja doa baginda akan makbul. Maka mereka mengalah dan pulang ke tempat mereka.
Dalam riwayat ada disebut, sekiranya jadi, Nabi akan panggil semua sahabat dan isteri masing-masing ke padang. Ini pasti terjadi kerana mereka sanggup meletakkan nyawa mereka untuk mempertahankan Islam. Mereka yakin dengan kebenaran sedangkan puak Najran itu tidak yakin.
Ayat 62:
إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا اللَّهُ وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, this is the true narration. And there is no deity except Allah . And indeed, Allah is the Exalted in Might, the Wise.
MALAY
Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْقَصَصُ الْحَقُّ
Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar;
Segala cerita yang telah disampaikan sebelum ini adalah kisah benar tentang Nabi Isa. Kesimpulan yang boleh diambil adalah: Mereka itu semua hamba Allah yang mulia. Tapi tidak layak untuk dipuja sebagai ilah.
وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا اللَّهُ
dan tiadalah ilah melainkan Allah;
Allah tekankan sekali lagi bahawa Ilah hanya Allah sahaja. Perbincangan tentang ilah boleh baca di sini. Kenalah faham tentang ilah dahulu barulah boleh kemas dalam beragama.
Maka Nabi Isa bukan ilah, ibunya bukan ilah, Nabi Uzair bukan ilah. Tidak ada selain Allah yang boleh menjadi ilah.
وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah Maha Gagah. Allah boleh nak azab hambaNya pada bila-bila masa. Cuma Allah juga Maha Bijaksana, menangguhkan azab memberi peluang untuk hamba bertaubat. Kalau Allah tak tangguhkan azab, entah tidaklah ada manusia yang masih hidup di dunia ini kerana semuanya berdosa belaka.
Ayat 63:
فَإِن تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ
SAHIH INTERNATIONAL
But if they turn away, then indeed – Allah is Knowing of the corrupters.
MALAY
Maka kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.
فَإِن تَوَلَّوْا
Kemudian kalau mereka berpaling
Ini pula jikalau yang menolak kebenaran itu masih berpaling, masih tidak mahu menerima kebenaran walaupun telah diberikan dengan berbagai dalil. Kita telah lakukan usaha untuk menyampaikan kebenaran kepada mereka, tapi tentu akan ada sahaja yang tetap menentang. Lalu bagaimana kalau begitu?
فَإِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِالْمُفْسِدِينَ
maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.
Kepada mereka yang berpaling, Allah akan bertindak kepada golongan yang buat kerosakan. Mereka sebabkan kerosakan kerana mereka yang sampaikan ajaran yang salah kepada manusia. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia bukan di dalam bidang kuasa kita. Hidayah milik Allah dan diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Sekian Ruku’ 6 dari 20 ruku’ surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 28 September 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir al-Azhar – Hamka