Tafsir Surah Saff Ayat 6 – 9 (Nabi Isa memberitahu kedatangan Nabi Muhammad)

Ayat 6: Dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu yang Nabi Isa juga ajak umat baginda untuk berjihad. Jadi ayat ini adalah targhib kepada jihad. Seperti yang telah disebut di pengenalan surah ini, Surah Saff ini adalah tentang jihad.

وَإِذ قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ يٰبَني إِسرٰءيلَ إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم مُّصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّورىٰةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ ۖ فَلَمّا جاءَهُم بِالبَيِّنٰتِ قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when Jesus, the son of Mary, said, “O Children of Israel, indeed I am the messenger of Allāh to you confirming what came before me of the Torah and bringing good tidings of a messenger to come after me, whose name is Aḥmad.”¹ But when he came to them with clear evidences, they said, “This is obvious magic.”²

  • Another name of Prophet Muḥammad (ṣ).
  • i.e., fraud or deception.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, yaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”. Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata”.

وَإِذ قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: 

Sebelum ini disebut Rasul yang pertama Bani Israil itu adalah Nabi Musa dan sekarang disebut Rasul terakhir bagi mereka iaitu Nabi Isa a.s. Dan sekarang akan disebut apakah syarah baginda kepada kaum baginda.

Allah menceritakan pula sekarang kesalahan besar yang Bani Israil lakukan terhadap Rasul mereka sendiri. Sebelum ini telah disebut sikap mereka terhadap Nabi Musa. Nabi Musa adalah Nabi mereka yang pertama dan sekarang disebut Nabi mereka yang terakhir pula, iaitu Nabi Isa a.s. Kerana kesalahan besar mereka yang menolak Rasul dan Nabi mereka inilah yang menyebabkan mereka menjadi bangsa yang dimurkai sampai ke hari kiamat.

Selalu sekali apabila Allah sebut nama Nabi Isa, Allah akan sebut nama emaknya sekali. Tidak disebut sebegini bagi nama Nabi-nabi yang lain. Jadi ini adalah penghormatan kepada Maryam sebenarnya.

Dan Allah hendak menekankan yang Nabi Isa itu adalah anak kepada Siti Maryam dan bukannya anak Allah. Maka ini adalah penekanan yang penting.

يٰبَني إِسرٰءيلَ

“Hai Bani Israil,

Kalau Nabi-nabi yang lain, mereka akan sebut “wahai kaumku”, tapi apabila dinaqalkan kata-kata Nabi Isa kepada kaum baginda, yang digunakan adalah “wahai Bani Israil”. Ini adalah kerana kalau nak masuk ke dalam sesuatu kaum itu, kenalah ayah seseorang itu adalah dari kaum itu.

Tetapi memandangkan Nabi Isa tidak mempunyai ayah, maka baginda tidak dikira sebagai ahli kaum itu secara rasmi. Tapi baginda tetap datang dari kaum itu dan baginda memang diutus kepada kaum itu.

Dan mungkin ada golongan Bani Israil yang berhujah: di dalam Bani Israil yang menjadi pegangan mereka adalah ibu mereka. Maksudnya hendak menjadi golongan Bani Israil, kenalah emak dari Bani Israil. Akan tetapi ini tidak masuk akal kerana keseluruhan kaum itu pun dipanggil ‘Bani Israil’ (anak-anak Israil) iaitu merujuk kepada Nabi Yaakob. Israil adalah nama lain bagi Nabi Yaakob.

إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم

sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, 

Nabi Isa menekankan yang baginda adalah Rasul kepada mereka. Mereka kena iktiraf baginda. Dan baginda adalah Rasul hanya kepada Bani Israil sahaja. Malangnya golongan Yahudi menolak baginda dan tidak mengiktiraf baginda sebagai Nabi mereka.

مُّصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّورىٰةِ

membenarkan kitab sebelumku, yaitu Taurat,

Sebenarnya apabila digunakan kalimat بَينَ يَدَيَّ ia bermaksud ‘di antara dua tanganku’. Dan yang diantara dua tangan kita adalah di hadapan kita, bukan? Maknanya Nabi Isa memberitahu yang Kitab Taurat itu ada di depan baginda.

Walaupun Kitab Taurat itu dipegang oleh rabbi Yahudi, tapi Allah telah ajar baginda terus dan bukannya baginda dapat maklumat itu dari rabbi Yahudi. Dan memang tidak patut baginda ambil dari mereka pun Kitab Taurat itu kerana mereka sudah ubah kandungan kitab itu sampaikan ianya tidak tulen lagi.

Dan Nabi Isa pula telah mendapat Kitab Injil. Jadi dari sini kita tahu bahawa Injil itu membenarkan ajaran yang ada di dalam Kitab Taurat. Maknanya Kitab Injil itu adalah penyempurnaan kepada Taurat.

Maka, kita dapat tahu yang Nabi Isa membenarkan apa yang ada di dalam Taurat. Maknanya, baginda hendak memberitahu yang baginda bukannya bawa ajaran agama yang baru, tapi menegakkan ajaran Nabi Musa juga. Beginilah juga hujah yang dibawa oleh Nabi Muhammad.

Satu lagi perkara yang Nabi Isa benarkan adalah kandungan Taurat yang mengatakan kedatangannya (Nabi Isa) sendiri. Jadi kedatangan baginda itu membenarkan apa yang telah disebut dalam Taurat.

Dan perkara penting lain yang Nabi Isa benarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman iaitu Nabi Muhammad. Kedatangan baginda telah disebut dalam Taurat, dan sekarang Nabi Isa pun membenarkannya. Kedatangan Nabi Akhir Zaman memang ada dalam Bible pun antaranya seperti:

“And this is the record of John (the Prophet John: Yahya) when the Jews sent priests and Levites from Jerusalem to ask him, Who art thou? And ho confessed, and denied not; but confessed, I am not the Christ. And they asked him What then? Art thou Elias? And be saith, I am not. Art thou that prophet? And he answered, No. Then said they unto him, Who art thou? that we may give an answer to them that sent us. What sayest thou of thyself? He said, I am the voice of one crying in the wilderness! Make straight the way of the Lord as said the prophet Esaias. And they which were sent were of the Pharisees. And they asked him, and said unto him, Why baptizest thou then, if thou be not that Christ, nor Elias, neither that prophet?” (John, 1: 19-25)

وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ

dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”.

Nabi Isa sendiri beritahu yang Nabi Muhammad akan datang selepas baginda.

Tapi kita boleh lihat yang Qur’an menyebut nama baginda sebagai ‘Ahmad’. Kenapa bukan Muhammad? Kerana digunakan nama inilah yang menyebabkan perbincangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Ada yang mempersoalkan kenapa nama Ahmad yang digunakan dan tidak Muhammad?

Ini sebenarnya tidak ada masalah kerana kalimah ‘Ahmad’ sighah tafdhil (isyarat kepada keutamaan). Maksudnya ‘yang paling banyak memuji Allah’, ‘yang paling terpuji di kalangan manusia’. Dan inilah sifat Nabi Muhammad.

Ini memberi isyarat yang Nabi Muhammad lebih baik dari Nabi Isa. Memang Nabi Muhammad itu terpuji tapi baginda terbaik dari segi dipuji. Allah puji Nabi Muhammad lebih dari orang lain.

Ia juga bermaksud yang Nabi Isa tahu yang Nabi Muhammad itu lebih mulia dari baginda. Kerana itu baginda mengatakan nama Nabi selepas baginda itu adalah Ahmad.

Nama ‘Ahmad’ juga tidaklah sepatutnya menjadi isu kerana ia juga adalah salah satu dari nama Nabi Muhammad pun. Ini kita dapat tahu dari hadis yang ada yang diketengahkan oleh Imam Bukhari, yaitu:

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ، حَدَّثَنَا شُعَيْبٌ، عَنِ الزُّهْرِيِّ قَالَ: أَخْبَرَنِي مُحَمَّدِ بْنِ جُبَير بْنِ مُطعم، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “إِنَّ لِي أَسْمَاءٌ: أَنَا مُحَمَّدٌ، وَأَنَا أَحْمَدُ، وَأَنَا الْمَاحِي الَّذِي يَمحُو اللَّهُ بِهِ الْكُفْرَ، وَأَنَا الْحَاشِرُ الَّذِي يُحْشَرُ النَّاسُ عَلَى قَدَمِي، وَأَنَا الْعَاقِبُ”.
telah menceritakan kepada kami Abul Yaman, telah menceritakan kepada kami Syu’aib, dari Az-Zuhri yang mengatakan bahawa telah menceritakan kepadaku Muhammad ibnu Jubair ibnu Mut’im, dari ayahnya yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Sesungguhnya aku mempunyai banyak nama, akulah Muhammad, akulah Ahmad, akulah Penghapus yang melaluiku Allah menghapus kekufuran, dan akulah Penggiring yang semua umat manusia digiring di atas kakiku, dan akulah Penggiring.

Malah, apabila rombongan Hijrah yang pertama berjumpa dengan Najasyi yang bertanya tentang agama Islam dan mereka menceritakan tentang agama Islam dan tentang Nabi Muhammad, Najasyi mengiyakan kerasulan baginda. Potongan hadis yang panjang itu adalah seperti ini:

Maka Raja Najasyi memungut sebuah kayu dari tanah, kemudian berkata, “Hai orang-orang Habsyah dan para pendeta serta para rahib, demi Allah, apa yang dikatakan oleh mereka tidaklah melampaui apa yang dikatakan oleh kita mengenainya. Selamat datang untukmu dan orang-orang yang datang bersamamu dari sisinya. Aku bersaksi bahawa dia (Nabi Saw.) adalah utusan Allah, dan bahawa dialah orang yang kami jumpai beritanya dalam kitab Injil, dan dialah orangnya yang diberitakan oleh Isa putra Maryam. Sekarang tinggallah kalian di mana pun kalian sukai di negeri ini. Demi Allah, seandainya aku bukan dalam keadaan seperti sekarang sebagai raja, niscaya aku akan datang kepadanya dan aku rela menjadi pelayannya yang membawa terompahnya dan mengambilkan air wudunya.”

فَلَمّا جاءَهُم بِالبَيِّنٰتِ قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata”.

Dan Nabi Isa memberitahu apakah penolakan yang akan dilakukan oleh kaum Nabi Muhammad. Baginda menceritakan tuduhan yang akan dikenakan kepada Nabi Muhammad.

Kaum Nabi Muhammad yang tidak mahu menerima dakwah tauhid dari baginda menggunakan berbagai cara dan tuduhan yang dikenakan kepada baginda. Antaranya mereka kata baginda adalah seorang ahli sihir dan apa yang baginda bawa itu adalah sihir semata-mata.

Sekarang, apabila manusia yang sudah degil macam itu, maka mereka memang layak diperangi. Mereka memang kena diperangi.


Ayat 7:

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more unjust than one who invents about Allāh untruth while he is being invited to Islām. And Allāh does not guide the wrongdoing people.

(MELAYU)

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah

Bohongan atas nama Allah adalah mereka-reka perkara baru di dalam agama. Sebagai contoh, mengatakan Nabi Isa Anak Allah dan lain-lain lagi fahaman dan amalan syirik dan bidaah yang direka dalam agama.

Bukan golongan Kristian yang mengubah agama mereka yang termasuk dalam ayat ini. Kalau orang Islam pun reka dan tambah amalan dalam agama Islam pun, termasuk dalam ayat ini juga. Berapa ramai yang selamba sahaja tambah amalan dalam agama, tambah fahaman baru dalam agama tanpa dalil? Begitu ramai sekali dan mereka tidak segan silu melakukannya.

Mereka itulah yang paling zalim kerana tidak ada  yang lebih zalim dari mereka. Zalim memang banyak jenis, tapi tidak ada zalim yang lebih teruk dari mereka ini. Mereka kata Allah ada anak, ada wakil untuk menyampaikan doa kepadaNya. Maka itu adalah zalim yang amat teruk.

Kalau menipu sesama manusia pun sudah teruk. Kalau menipu atas nama orang pun, orang itu akan marah. Kalau kita kata si A cakap begini dan begitu, tapi si A tidak cakap pun, tentu A marah kalau dia dapat tahu, bukan?

Lalu bagaimana kalau menipu atas nama Allah? Tentu lagi teruk, bukan? Inilah yang terjadi apabila Allah tidak pernah ajar satu fahaman dan amalan agama, Nabi Muhammad tidak pernah sampaikan pun, tapi ada orang yang kata: “Allah suka dengan amalan ini; Allah terima amalan ini; amalan ini baik di mata Allah… ” dan sebagainya lagi hujah-hujah bathil yang dibawakan oleh golongan bidaah. Apakah ini tidak termasuk ‘menipu atas nama Allah”?

وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ

sedang dia diajak kepada Islam? 

Mereka amat teruk reka fahaman dan amalan baru dalam agama sedangkan mereka waktu itu sedang diajak kepada agama Islam yang berteraskan Tauhid. Mereka amat teruk kerana bukanlah mereka diabaikan begitu sahaja. Tidaklah mereka dibiarkan tanpa dakwah. Ada sahaja yang telah dakwah kepada mereka.

Tapi mereka tetap juga berdegil. Kalau mereka diabaikan tidak diajak kepada Islam yang sebenar dan tidak didakwah, maka lainlah cerita. Walaupun mereka telah diajar kepada ajaran Tauhid tetapi mereka masih tetap juga mahu melakukan syirik. Mereka tetap juga mahu melakukan amalan-amalan bidaah.

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

Mereka tidak akan diberi petunjuk lagi kerana mereka degil sangat. Apabila mereka degil, maka Allah buat keputusan untuk tidak beri hidayah lagi kepada mereka. Kerana mereka telah diberi bukti dan dalil tapi mereka tetap menentang juga. Mereka telah diberi peluang dan sekarang peluang mereka telah ditarik.


Ayat 8: Sekarang Allah memberitahu yang pernyataan dusta mereka itu adalah kerana hendak mematikan agama. Ini adalah rancangan yang amat teruk. Maka kerana mereka ada niat begitulah yang mereka kena diperangi.

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They want to extinguish the light of Allāh with their mouths, but Allāh will perfect His light, although the disbelievers dislike it.

(MELAYU)

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, 

Mereka itu untuk menjatuhkan agama Islam dengan kata-kata mereka dan propaganda yang mereka ada-adakan. Macam-macam yang mereka kata untuk memburukkan Islam. Mereka menggunakan media massa yang mereka kuasai untuk memburukkan Islam.

Bukan itu sahaja, kerana ada yang menipu dalam hal agama. Iaitu mereka menipu dalam agama dengan mengatakan ajaran mereka itu adalah dari Tuhan tapi tidak sebenarnya. Ini seperti golongan Kristian yang sebenarnya tidak pun pakai Kitab Injil yang sebenar lagi. Akan tetapi mereka telah buat kitab yang baru dan mereka kata itulah Kitab Injil/Bible/Gospel. Ini adalah perbuatan yang amat buruk sekali dan begitu juga jika dilakukan kepada kitab taurat dan juga Qur’an.

Itulah perbuatan yang amat buruk. Iaitu dengan reka sendiri agama tetapi kata ianya dari Allah, dari rasul. Mereka reka dan ajar dari mulut mereka tetapi mereka kata Allah suka sedangkan mereka pakai sumber bukan dari wahyu.

Kenapa digunakan kalimat ‘cahaya Allah’ pula dalam ayat ini? Ini adalah kerana apa-apa sahaja ibadat yang dilakukan oleh umat Islam itu adalah seumpama cahaya. Sebagai contoh apabila seorang Mukmin sedang solat, sedang baca Qur’an dan sebagainya. Begitu juga wanita yang sedang berjalan dan menutup auratnya adalah cahaya.

Dan orang-orang kafir tidak suka melihat cahaya-cahaya ini berada di mana-mana. Mereka rasa tidak suka dan gelisah jikalau ada orang Islam di sekeliling mereka dan tambahan pula jikalau orang-orang lslam itu melakukan amalan-amalan agama. Padahal tak kacau pun mereka, tapi mereka yang rasa tak selesa. Ini adalah kerana ada masalah dengan hati mereka.

وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

Allah beritahu di dalam ayat ini yang Dia tetap akan menyempurnakan cahayaNya itu walaupun orang kafir tidak suka. Maknanya usaha jahat orang-orang kafir itu untuk memadam cahaya itu tidak akan berhasil. Agama takkan padam. Dan ikhtiar mereka akan dihancurkan. Mereka yang akhirnya akan rugi.

Ayat ini diturunkan dalam tahun 3 Hijrah dimana umat Islam waktu itu lemah dan tidak ramai pengikutnya. Hanya di Madinah sahaja dan waktu itu baru sahaja menerima kekalahan di Perang Uhud. Jadi tidak nampak sangat yang Islam akan berkembang waktu itu tapi Allah telah memberi janjiNya kepada umat Islam yang agama Islam akan berkembang pesat.

Dan dari ayat ini kita boleh bayangkan yang cahaya Allah itu berkembang sedikit demi sedikit pada setiap orang. Oleh itu di mana usaha kita walau sedikit pun akan memberi bekas sebenarnya. Kita sahaja yang tidak nampak kesannya. Maka kita cuma perlu lakukan apa yang kita mampu walaupun sedikit dan Allah akan sempurnakan cahaya itu nanti.


Ayat 9: Ini pula ada cara Allah hidupkan wahyu. Allah akan pilih rasul untuk menyampaikannya.

Ayat ini selalu sahaja ditulis didalam penulisan tentang perkembangan dakwah dari dulu lagi. Ianya mengajar kita bahawa Islam ini perlu dikembangkan dan dipraktikkan di dalam segenap kehidupan kita.

Shah waliyullah kata jikalau kita faham ayat ini maka kita akan faham Qur’an. Begitu pentingnya ayat ini untuk kita sematkan dan cuba amalkan.

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion, although those who associate others with Allāh dislike it.

(MELAYU)

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar 

Allah akan bangkitkan Rasul dan diberikan wahyu kepada Rasul itu untuk disampaikan. Rasul itu akan diberi cara penghayatan wahyu. Jadi, kita dapat tahu yang tujuan Rasul adalah untuk menyampaikan wahyu dan cara mengamalkannya.

Deenul Haq pula adalah cara hidup berasaskan Qur’an setelah Qur’an itu dihayati. Maka kita kena faham ‘cara hidup’ bukan setakat ibadah sahaja. Ianya meliputi segenap kehidupan kita.

Dan begitulah ajaran Islam ini tidak terhad kepada ibadah sahaja. Ianya adalah agama yang ‘syumul’ (lengkap) dan memang praktikal untuk diamalkan. Ini tidak ada dalam agama-agama lain yang terhad sahaja. Agama mereka memang tidak dapat diamalkan dalam kehidupan bila-bila masa pun (samada zaman dulu atau zaman sekarang).

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama seluruhnya

Allah telah menurunkan agama ini untuk menutup agama-agama yang lain. Maknanya agama Islam ini adalah agama yang utama dan sepatutnya menjadi pegangan kesemua umat manusia.

Agama lain tidak halal, tidak boleh diamalkan. Maka kita tidak boleh kata agama lain pun sama sahaja. Ini penting kerana ada orang yang jahil berkata: agama dalam dunia ini sama sahaja, semuanya mengajak ke arah kebaikan.

Maka agama Islam akan menang kerana Allah akan memenangkannya. Tapi kalau salah faham dengan ayat ini, maka ada Muslim yang jadi ganas. Mereka marah dengan apa yang terjadi dalam dunia Islam dan mereka ambil pendekatan yang keras kononnya untuk memenangkan agama ini. Tapi itu adalah cara yang salah. Kita kena guna cara dakwah yang berhemah.

Jadi pergerakan untuk mengembangkan agama Islam ini boleh jadi dalam beberapa wajah, beberapa cara. Dan ini sedang dilakukan oleh banyak kumpulan seperti memberi ilmu pengetahuan pengenalan kepada Islam, menjalankan kerja-kerja keamanan yang dilakukan di seluruh dunia, dan macam-macam lagi.

Tapi kita kena ingat perkara yang penting. Salah satu perkara penting yang perlu kita lakukan adalah dengan belajar faham Qur’an dan menyebarkan ilmu Qur’an ini kepada manusia seluruhnya. Kerana itu memang kita kena kembangkan pengetahuan tafsir Qur’an ini kepada manusia kerana sebelum manusia terbuka kepada perbincangan-perbincangan lain seperti falsafah, sejarah dan juga hadis dan juga ilmu fekah dan sebagainya, manusia kena tahu tafsir Qur’an.

Ia adalah ilmu yang paling utama kerana Qur’an ini akan mengajar kita cara berfikir dan ia akan menjadi kayu pengukur untuk menilai manakah pemahaman yang benar ataupun tidak.

وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

meskipun orang musyrik membenci.

Agama ini tetap akan menang walaupun orang kaifr tak suka. Allah tak kira kehendak mereka kerana Allah tetap akan hidupkan agama tauhid ini. Maka jangan kita risau tentang penerimaan masyarakat sekarang. Lama kelamaan ia akan berlaku di mana lebih ramai manusia akan menerima ajaran tauhid.

Sekian Ruku’ 1 dari 2 ruku yang ada dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 18 April 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s