Tafsir Surah Saff Ayat 5 – 9 (Nabi Isa عليه السلام memberitahu kedatangan Nabi Muhammad ﷺ)

Saff Ayat 5: Ini adalah ayat zajrun (ayat teguran) supaya umat akhir zaman jangan terpengaruh seperti umat-umat dahulu. Iaitu hati mereka tidak lagi berminat untuk sebar agama. Maka Allah ﷻ sambung surah ini dengan bawa kisah yang paling popular dalam Al-Qur’an iaitu kisah Nabi Musa عليه السلام.

Ayat 5 – 6 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia mengajar supaya jangan khianati Rasul seperti kaum Yahudi dengan Nabi-nabi mereka.

وَإِذ قالَ مو  سىٰ لِقَومِهِ يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم ۖ فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Moses said to his people, “O my people, why do you harm me while you certainly know that I am the messenger of Allāh to you?” And when they deviated, Allāh caused their hearts to deviate. And Allāh does not guide the defiantly disobedient people.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

 

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya:

Nabi Musa عليه السلام telah diuji dengan dapat kaum yang amat degil. Mungkin tidak salah kalau dikatakan Bani Israil itu adalah umat yang paling degil dalam dunia ini. Apabila mereka telah melakukan banyak sekali masalah kepada baginda, maka baginda menegur mereka.

 

يٰقَومِ لِمَ تُؤذونَني

“Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku,

Menyakiti baginda itu boleh jadi macam-macam bentuk seperti kata-kata kesat kepada baginda, tidak taat kepada baginda, tidak berusaha untuk menegakkan agama Allah ﷻ bersama baginda, dan lain-lain lagi.

Seperti yang telah disebut, mereka ini amat degil maka banyaklah kedegilan yang mereka tunjukkan. Banyak sekali disebut dalam Al-Qur’an dan entah berapa banyak lagi yang tidak disebut dalam Al-Qur’an.

Ada pendapat yang mengatakan, yang dimaksudkan ‘menyakiti’ hati Nabi Musa عليه السلام adalah tidak mengikut arahan baginda untuk berjihad seperti yang disebut di dalam Al-Qur’an. Apabila Nabi Musa عليه السلام arahkan mereka untuk masuk ke dalam Kota Jurusalem dan mengambil kota itu daripada Puak Amaliqah, mereka berani ingkar malah menyuruh Nabi Musa عليه السلام pula untuk pergi masuk berperang bersama dengan Tuhan sedangkan mereka akan duduk menunggu. Itu adalah perkataan yang menyakitkan hati baginda. Pendapat ini bertepatan dengan tema surah ini iaitu jihad.

 

 

وَقَد تَّعلَمونَ أَنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم

sedangkan kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” 

Nabi Musa عليه السلام menegur mereka kerana masih lagi menyakiti hati baginda walaupun mereka tahu bahawa baginda itu adalah Rasul kepada mereka. Mereka tidaklah menolak baginda sebagai Rasul, tetapi dalam terima baginda sebagai Rasul itu, masih juga tidak taat.

Begitulah degilnya Bani Israil itu sampaikan kepada Rasul mereka pun mereka sanggup layan sampai begitu sekali. Ada banyak sekali ayat-ayat di dalam Al-Qur’an berkenaan kedegilan mereka itu. Seperti kita tahu, Al-Qur’an banyak mengandungi kisah Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil.

Ayat ini juga adalah sebagai tasliah (pujukan) kepada Rasulullah ﷺ yang ditolak oleh umat baginda. Baginda pernah bersabda tentang Nabi Musa عليه السلام:

“رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَى مُوسَى: لَقَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ”

Semoga Allah merahmati Musa, sesungguhnya dia telah disakiti lebih dari ini dan dia tetap bersabar.

(Hadith Bukhari No 2917)

 

 

Ini adalah adalah peringatan daripada Allah ﷻ kepada umat Islam. Jangan mereka ikut perangai Bani Israil kepada Nabi Musa عليه السلام itu. Allah ﷻ beri peringatan dalam ayat lain:

 

 

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ آذَوْا مُوسَى فَبَرَّأَهُ اللَّهُ مِمَّا قَالُوا وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا}

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa; maka Allah membersihkannya daripada tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah. (Al-Ahzab: 69)

 

 

Jangan umat Islam melakukan perkara yang sama kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana kalau mereka buat begitu juga, maka mereka pun akan mengalami nasib yang sama seperti Bani Israil itu. Apakah nasib mereka?

 

 

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم

Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka;

Ini adalah balasan kepada mereka di atas kedegilan mereka. Maka ini mengajar kita yang jikalau kita tidak ikut arahan Rasulullah ﷺ, tidak ikut arahan agama, maka Allah ﷻ akan pesongkan hati kita.

Yakni ketika mereka menyimpang dari jalan kebenaran, padahal mereka mengetahuinya, maka Allah ﷻ memalingkan hati mereka daripada hidayah dan menempatkan di hati mereka keraguan, kebimbangan, dan kehinaan. Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

 

{وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ}

Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti mereka belum pernah beriman kepadanya (Al-Qur’an) pada permulaannya, dan Kami biarkan mereka bergelumang dalam kesesatannya yang sangat. (Al-An’am: 110)

 

 

Seperti telah disebut, satu pendapat mengatakan yang mereka tolak itu adalah untuk berjihad. Dan apabila mereka berpaling daripada mengikuti arahan Nabi Musa عليه السلام untuk berjihad, maka Allah ﷻ palingkan hati mereka daripada menerima hidayah. Ini ada disebut dalam Surah Maidah.

 

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Kepada mereka yang tidak mengikut arahan dan berterusan berbuat dosa, maka Allah ﷻ tidak akan beri hidayah kepada mereka. Ini dinamakan khatmul qalbi (penutupan hati).

Daripada ayat ini dan banyak lagi ayat lain, kita dapat tahu yang bukanlah Allah ﷻ yang menyesatkan manusia yang ingkar itu. Allah ﷻ tidak memaksa manusia menjadi ingkar. Allah ﷻ telah beri segala peluang kepada manusia, tetapi mereka yang ingkar dahulu dan selepas itu barulah Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka dan menjadikan mereka sesat.

Allah ﷻ telah beri pilihan kepada manusia untuk memilih jalan yang mereka hendak lalui. Allah ﷻ tidak memaksa manusia beriman; manusia kena pilih jalan itu sendiri. Kepada mereka yang memilih jalan kebenaran, maka Allah ﷻ akan beri kebenaran itu kepada mereka; akan tetapi kepada mereka yang memilih jalan kesesatan, maka mereka pun boleh pilih jalan itu. Terpulang kepada manusia.


 

Saff Ayat 6: Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberitahu yang Nabi Isa عليه السلام juga mengajak umat baginda untuk berjihad. Oleh itu ayat ini adalah targhib (ajakan) kepada jihad. Seperti yang telah disebut di pengenalan surah ini, Surah Saff ini adalah tentang jihad.

وَإِذ قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ يٰبَني إِسرٰءيلَ إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم مُّصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّورىٰةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ ۖ فَلَمّا جاءَهُم بِالبَيِّنٰتِ قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] when Jesus, the son of Mary, said, “O Children of Israel, indeed I am the messenger of Allāh to you confirming what came before me of the Torah and bringing good tidings of a messenger to come after me, whose name is Aḥmad.”¹ But when he came to them with clear evidences, they said, “This is obvious magic.”²

  • Another name of Prophet Muḥammad (ṣ).
  • i.e., fraud or deception.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: “Hai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat, dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”. Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata”.

 

وَإِذ قالَ عيسَى ابنُ مَريَمَ

Dan (ingatlah) ketika Isa ibnu Maryam berkata: 

Sebelum ini disebut Rasul utama Bani Israil itu iaitu Nabi Musa عليه السلام dan sekarang disebut Rasul terakhir bagi mereka iaitu Nabi Isa عليه السلام. Dan sekarang akan disebut apakah syarah baginda kepada kaum baginda.

Allah ﷻ menceritakan sekarang kesalahan besar yang Bani Israil lakukan terhadap Rasul mereka sendiri. Sebelum ini telah disebut sikap mereka terhadap Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi mereka yang utama dan sekarang disebut Nabi mereka yang terakhir pula, iaitu Nabi Isa عليه السلام kerana kesalahan besar mereka yang menolak Rasul dan Nabi mereka inilah yang menyebabkan mereka menjadi bangsa yang dimurkai sehingga ke hari Kiamat.

Selalunya apabila Allah ﷻ sebut nama Nabi Isa عليه السلام, Allah ﷻ akan sebut nama ibunya sekali. Tidak disebut sebegini bagi nama Nabi-nabi yang lain. Maka ini merupakan penghormatan kepada Maryam sebenarnya. Dan Allah ﷻ hendak menekankan yang Nabi Isa عليه السلام itu adalah anak kepada Siti Maryam dan bukannya anak Allah ﷻ. Maka ini adalah penekanan yang penting. Ini kerana terdapat salah faham dalam kalangan golongan Kristian yang mengatakan baginda anak Tuhan.

 

يٰبَني إِسرٰءيلَ

“Hai Bani Israil,

Kalau Nabi-nabi yang lain, mereka akan sebut “wahai kaumku”, tetapi apabila dinaqalkan kata-kata Nabi Isa عليه السلام kepada kaum baginda, yang digunakan adalah “wahai Bani Israil”. Ini adalah kerana kalau hendak masuk ke dalam sesuatu kaum itu, kenalah ayah seseorang itu adalah daripada kaum itu.

Tetapi memandangkan Nabi Isa عليه السلام tidak mempunyai ayah, maka baginda tidak dikira sebagai ahli kaum itu secara rasmi. Namun baginda tetap datang daripada kaum itu dan baginda memang diutus kepada kaum itu.

Mungkin juga ada golongan Bani Israil yang berhujah: di dalam Bani Israil yang menjadi pegangan mereka adalah ibu mereka. Maksudnya hendak menjadi golongan Bani Israil, kenalah ibu daripada Bani Israil. Akan tetapi ini tidak masuk akal kerana keseluruhan kaum itu pun dipanggil ‘Bani Israil’ (anak-anak Israil) iaitu merujuk kepada Nabi Yaakob عليه السلام. ‘Israil’ adalah nama lain bagi Nabi Yaakob عليه السلام.

 

إِنّي رَسولُ اللَّهِ إِلَيكُم

sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, 

Nabi Isa عليه السلام menekankan yang baginda adalah Rasul kepada mereka. Mereka kena iktiraf baginda sebagai seorang Rasul. Baginda adalah Rasul hanya kepada Bani Israil sahaja. Malangnya golongan Yahudi menolak baginda dan tidak mengiktiraf baginda sebagai Nabi mereka.

 

مُّصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ التَّورىٰةِ

membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat,

Sebenarnya apabila digunakan kalimat بَينَ يَدَيَّ ia bermaksud ‘di antara dua tanganku’. Yang di antara dua tangan kita adalah di hadapan kita, bukan? Maknanya Nabi Isa عليه السلام memberitahu yang Kitab Taurat itu ada di depan baginda iaitu ia telah ada dan digunakan sebagai rujukan bagi Bani Israil pada zaman itu.

Ini bermakna Nabi Isa عليه السلام memberitahu yang baginda bukanlah datang membawa ajaran baru, tetapi ajaran sama sahaja dengan para Nabi lain yang sebelum baginda. Kerana itu baginda juga membenarkan Taurat.

Walaupun Kitab Taurat itu dipegang oleh rabbi Yahudi, tetapi Allah ﷻ telah ajar baginda terus dan bukannya baginda mendapat maklumat itu daripada rabbi Yahudi. Sememangnya tidak patut baginda ambil daripada mereka pun Kitab Taurat itu kerana mereka sudah mengubah isi kandungan kitab itu sampaikan ia tidak tulen lagi.

Nabi Isa عليه السلام pula telah mendapat Kitab Injil. Dari sini kita tahu bahawa Injil itu membenarkan ajaran yang ada di dalam Kitab Taurat. Maknanya Kitab Injil itu adalah penyempurna kepada Taurat.

Maka, kita dapat tahu yang Nabi Isa عليه السلام membenarkan apa yang ada di dalam Taurat. Maknanya, baginda hendak memberitahu yang baginda bukannya membawa ajaran agama yang baru, tetapi menegakkan ajaran Nabi Musa عليه السلام juga. Beginilah juga hujah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Satu lagi perkara yang Nabi Isa عليه السلام benarkan adalah kandungan Taurat yang mengatakan kedatangannya (Nabi Isa عليه السلام) sendiri. Maka kedatangan baginda itu membenarkan apa yang telah disebut dalam Taurat.

Perkara penting lain yang Nabi Isa عليه السلام benarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman iaitu Nabi Muhammad ﷺ. Kedatangan baginda telah disebut dalam Taurat, dan sekarang Nabi Isa عليه السلام pun membenarkannya. Kedatangan Nabi Akhir Zaman memang ada dalam Bible pun antaranya seperti:

 

 

“And this is the record of John (the Prophet John: Yahya) when the Jews sent priests and Levites from Jerusalem to ask him, Who art thou? And ho confessed, and denied not; but confessed, I am not the Christ. And they asked him What then? Art thou Elias? And be saith, I am not. Art thou that prophet? And he answered, No. Then said they unto him, Who art thou? that we may give an answer to them that sent us. What sayest thou of thyself? He said, I am the voice of one crying in the wilderness! Make straight the way of the Lord as said the prophet Esaias. And they which were sent were of the Pharisees. And they asked him, and said unto him, Why baptizest thou then, if thou be not that Christ, nor Elias, neither that prophet?” (John, 1: 19-25)

 

 

وَمُبَشِّرًا بِرَسولٍ يَأتي مِن بَعدِي اسمُهُ أَحمَدُ

dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)”.

Nabi Isa عليه السلام sendiri beritahu yang Nabi Muhammad ﷺ akan datang selepas baginda. Maka ini bermakna para pengikut Nabi Isa عليه السلام pun kenalah ikut Nabi Muhammad ﷺ apabila baginda muncul nanti.

Akan tetapi kita boleh lihat yang Al-Qur’an menyebut nama baginda sebagai ‘Ahmad’ dalam ayat ini. Kenapa bukan ‘Muhammad’? Kerana digunakan nama inilah yang menyebabkan perbincangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Ada yang mempersoalkan kenapa nama Ahmad yang digunakan dan tidak Muhammad?

Ini sebenarnya tidak ada masalah kerana kalimah ‘Ahmad’ adalah dalam bentuk sighah tafdhil (isyarat kepada keutamaan). Maksudnya ‘yang paling banyak memuji Allah’, ‘yang paling terpuji dalam kalangan manusia’. Dan inilah sifat Nabi Muhammad ﷺ .

Ini memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ lebih baik daripada Nabi Isa عليه السلام. Memang Nabi Muhammad ﷺ itu terpuji tetapi baginda terbaik dari segi dipuji. Allah ﷻ puji Nabi Muhammad ﷺ lebih daripada yang lain.

Ia juga bermaksud yang Nabi Isa عليه السلام tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu lebih mulia daripada baginda. Kerana itu baginda mengatakan nama Nabi selepas baginda itu adalah Ahmad.

Nama ‘Ahmad’ juga tidaklah sepatutnya menjadi isu kerana ia juga adalah salah satu daripada nama Nabi Muhammad ﷺ pun. Ini kita dapat tahu daripada hadith yang ada yang diketengahkan oleh Imam Bukhari, iaitu:

لِي خَمْسَةُ أسْماءٍ: أنا مُحَمَّدٌ، وأَحْمَدُ وأنا الماحِي الذي يَمْحُو اللَّهُ بي الكُفْرَ، وأنا الحاشِرُ الذي يُحْشَرُ النّاسُ على قَدَمِي، وأنا العاقِبُ

“Aku mempunyai lima nama iaitu aku adalah Muhammad dan Ahmad, Aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah ﷻ menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku dan aku juga adalah al-‘Aqib (iaitu tiada lagi selepasnya nabi).”

(Riwayat al-Bukhari (3532))

 

Satu lagi pendapat mengatakan kalau nama Muhammad itu adalah umum di Tanah Arab, maka digunakan nama Ahmad di dalam Injil sebagai pengkhususan.

Maka jelaslah di sini, Nabi Muhammad ﷺ telah disebut oleh Nabi Isa عليه السلام dan ia ada di dalam pengetahuan golongan Nasrani. Malah, apabila rombongan Hijrah yang pertama berjumpa dengan Najasyi yang bertanya tentang agama Islam dan mereka menceritakan tentang agama Islam dan tentang Nabi Muhammad ﷺ, Najasyi mengiyakan kerasulan baginda. Potongan hadith yang panjang itu adalah seperti ini:

 

 

Maka Raja Najasyi memungut sebuah kayu dari tanah, kemudian berkata, “Hai orang-orang Habsyah dan para pendeta serta para rahib, demi Allah, apa yang dikatakan oleh mereka tidaklah melampaui apa yang dikatakan oleh kita mengenainya. Selamat datang untukmu dan orang-orang yang datang bersamamu dari sisinya. Aku bersaksi bahawa dia (Nabi ﷺ) adalah utusan Allah, dan bahawa dialah orang yang kami jumpai beritanya dalam kitab Injil, dan dialah orangnya yang diberitakan oleh Isa putra Maryam. Sekarang tinggallah kalian di mana pun kalian sukai di negeri ini. Demi Allah, seandainya aku bukan dalam keadaan seperti sekarang sebagai raja, nescaya aku akan datang kepadanya dan aku rela menjadi pelayannya yang membawa terompahnya dan mengambilkan air wudhu’nya.”

(Shahihus-Siratin-Nabawiyyah, hlm. 166)

فَلَمّا جاءَهُم بِالبَيِّنٰتِ قالوا هٰذا سِحرٌ مُّبينٌ

Maka tatkala rasul itu datang kepada mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata, mereka berkata: “Ini adalah sihir yang nyata”.

Nabi Isa عليه السلام memberitahu apakah penolakan yang akan dilakukan oleh kaum Nabi Muhammad ﷺ. Baginda menceritakan tuduhan yang akan dikenakan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Kaum Nabi Muhammad ﷺ yang tidak mahu menerima dakwah tauhid dari baginda menggunakan berbagai cara dan tuduhan yang dikenakan kepada baginda. Antaranya mereka kata baginda adalah seorang ahli sihir dan apa yang baginda bawa itu adalah sihir semata-mata.

Sekarang, apabila manusia yang sudah degil seperti itu, maka mereka memang layak diperangi. Mereka sememangnya mesti diperangi.


Saff Ayat 7: Ayat 7 – 9 adalah Perenggan Makro Keempat dan ia memberitahu berita kemenangan Islam.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And who is more unjust than one who invents about Allāh untruth while he is being invited to Islām. And Allāh does not guide the wrongdoing people.

(MELAYU)

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

 

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah

Pembohongan atas nama Allah ﷻ adalah dengan mereka-reka perkara baru di dalam agama. Sebagai contoh, mengatakan Nabi Isa عليه السلام Anak Allah dan lain-lain lagi fahaman dan amalan syirik dan bid’ah yang direka dalam agama.

Bukan golongan Kristian yang mengubah agama mereka sahaja yang termasuk dalam ayat ini. Kalau orang Islam yang suka reka dan tambah amalan dalam agama Islam pun, termasuk dalam ayat ini juga. Berapa ramai yang selamba sahaja tambah amalan dalam agama, tambah fahaman baru dalam agama tanpa dalil? Begitu ramai sekali dan mereka tidak segan silu melakukannya.

Mereka itulah yang paling zalim kerana tidak ada yang lebih zalim daripada mereka. Zalim memang banyak jenis, tetapi tidak ada zalim yang lebih teruk daripada mereka ini. Mereka kata Allah ﷻ ada anak, ada wakil untuk menyampaikan doa kepada-Nya (tawasul). Maka itu adalah zalim yang amat teruk.

Kalau menipu sesama manusia pun sudah teruk. Kalau menipu atas nama orang pun, orang itu akan marah. Kalau kita kata si A cakap begini dan begitu, tetapi si A tidak cakap pun, tentu A marah kalau dia dapat tahu, bukan?

Lalu bagaimana kalau menipu atas nama Allah ﷻ? Tentu lagi teruk, bukan? Inilah yang terjadi apabila Allah ﷻ tidak pernah ajar satu fahaman dan amalan agama, Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah sampaikan pun, tetapi ada orang yang kata: “Allah suka dengan amalan ini; Allah terima amalan ini; amalan ini baik di mata Allah…” dan berbagai lagi hujah-hujah bathil yang dibawakan oleh golongan bidaah. Apakah ini tidak termasuk ‘menipu atas nama Allah”?

 

وَهُوَ يُدعىٰ إِلَى الإِسلٰمِ

sedang dia diajak kepada Islam? 

Mereka itu amat teruk sampai sanggup reka fahaman dan amalan baru dalam agama sedangkan mereka ketika itu sedang diajak kepada agama Islam yang berteraskan Tauhid. Mereka amat teruk kerana bukanlah mereka diabaikan begitu sahaja. Tidaklah mereka dibiarkan tanpa dakwah. Ada sahaja yang telah dakwah kepada mereka.

Akan tetapi mereka tetap juga berdegil. Kalau mereka diabaikan tidak diajak kepada Islam yang sebenar dan tidak didakwah, maka lainlah cerita. Walaupun mereka telah diajar kepada ajaran Tauhid tetapi mereka masih tetap juga mahu melakukan syirik. Mereka tetap juga mahu melakukan amalan-amalan bid’ah.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الظّٰلِمينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim.

Mereka tidak akan diberi petunjuk lagi kerana mereka degil sangat. Apabila mereka degil, maka Allah ﷻ membuat keputusan untuk tidak beri hidayah lagi kepada mereka (khatmul qalbi) kerana mereka telah diberi bukti dan dalil tetapi mereka tetap menentang juga. Mereka telah diberi peluang dan sekarang peluang mereka telah ditarik.


Saff Ayat 8: Sekarang Allah ﷻ memberitahu yang pernyataan dusta mereka itu adalah kerana hendak mematikan agama. Ini adalah rancangan yang amat teruk. Maka kerana mereka ada niat begitulah yang mereka mesti diperangi.

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They want to extinguish the light of Allāh with their mouths, but Allāh will perfect His light, although the disbelievers dislike it.

(MELAYU)

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

 

يُريدونَ لِيُطفِئوا نورَ اللَّهِ بِأَفوٰهِهِم

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, 

Mereka itu hendak menjatuhkan agama Islam dengan kata-kata mereka dan propaganda yang mereka ada-adakan. Macam-macam yang mereka kata untuk memburukkan Islam. Mereka menggunakan media massa yang mereka kuasai untuk memburukkan Islam.

Bukan itu sahaja, kerana ada yang menipu dalam hal agama. Iaitu mereka menipu dalam agama dengan mengatakan ajaran mereka itu adalah daripada Tuhan tetapi tidak sebenarnya. Ini seperti golongan Kristian yang sebenarnya tidak pun menggunakan Kitab Injil yang sebenar lagi. Akan tetapi mereka telah menghasilkan kitab yang baru dan mereka kata itulah Kitab Injil/Bible/Gospel. Ini adalah perbuatan yang amat buruk sekali dan begitu juga jika dilakukan kepada kitab Taurat dan juga Al-Qur’an.

Itulah perbuatan yang amat buruk di mana mereka reka sendiri agama kemudian mengatakan ia daripada Allah ﷻ, daripada rasul. Mereka reka dan ajar daripada mulut mereka kemudian mereka kata Allah ﷻ suka sedangkan mereka menggunakan sumber bukan daripada wahyu.

Kenapa digunakan kalimat ‘cahaya Allah’ pula dalam ayat ini? Ini adalah kerana apa-apa sahaja ibadat yang dilakukan oleh umat Islam itu adalah seumpama cahaya. Sebagai contoh apabila seorang Mukmin sedang solat, sedang baca Al-Qur’an dan sebagainya. Begitu juga wanita yang sedang berjalan dan menutup auratnya adalah cahaya.

Orang-orang kafir tidak suka melihat cahaya-cahaya ini berada di mana-mana. Mereka rasa tidak suka dan gelisah jikalau ada orang Islam di sekeliling mereka dan tambahan pula jikalau orang-orang lslam itu melakukan amalan-amalan agama. Padahal tidak kacau pun mereka, tetapi mereka yang rasa tidak selesa. Ini adalah kerana ada masalah dengan hati mereka.

 

وَاللَّهُ مُتِمُّ نورِهِ وَلَو كَرِهَ الكٰفِرونَ

tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya”.

Allah ﷻ beritahu di dalam ayat ini yang Dia tetap akan menyempurnakan cahaya-Nya itu walaupun orang kafir tidak suka. Maknanya usaha jahat orang-orang kafir itu untuk memadam cahaya itu tidak akan berhasil. Agama Islam takkan padam. Dan ikhtiar mereka akan dihancurkan. Mereka yang akhirnya akan rugi.

Ayat ini diturunkan dalam tahun 3 Hijrah di mana umat Islam waktu itu lemah dan tidak ramai pengikutnya. Ketika itu mereka baru sahaja menerima kekalahan di Perang Uhud. Maka tidak nampak sangat yang Islam akan berkembang tetapi Allah ﷻ telah memberi janji-Nya kepada umat Islam yang agama Islam akan berkembang pesat.

Daripada ayat ini kita boleh bayangkan yang cahaya Allah ﷻ itu berkembang sedikit demi sedikit pada setiap orang. Oleh itu di mana sahaja usaha kita walau sedikit pun akan memberi bekas sebenarnya. Kita sahaja yang tidak nampak kesannya. Maka kita cuma perlu lakukan apa yang kita mampu walaupun sedikit dan Allah ﷻ akan sempurnakan cahaya itu nanti.


Saff Ayat 9: Ini pula adalah cara Allah ﷻ hidupkan wahyu di mana Allah ﷻ akan memilih Rasul untuk menyampaikannya dan akan memberi kemenangan kepadanya.

Ayat ini selalu sahaja ditulis di dalam penulisan tentang perkembangan dakwah semenjak dulu lagi. Ia mengajar kita bahawa Islam ini perlu dikembangkan dan dipraktikkan di dalam segenap kehidupan kita.

Shah Waliyullah berkata jikalau kita faham ayat ini maka kita akan senang faham Al-Qur’an. Begitu pentingnya ayat ini untuk kita sematkan dan cuba amalkan.

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who sent His Messenger with guidance and the religion of truth to manifest it over all religion, although those who associate others with Allāh dislike it.

(MELAYU)

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci.

 

هُوَ الَّذي أَرسَلَ رَسولَهُ بِالهُدىٰ وَدينِ الحَقِّ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar 

Allah ﷻ akan bangkitkan Rasul dan diberikan wahyu kepada Rasul itu untuk disampaikan kepada manusia. Rasul itu akan diberi cara penghayatan wahyu. Maka, kita dapat tahu yang tujuan Rasul adalah untuk menyampaikan wahyu dan cara mengamalkannya.

Deenul Haq pula adalah cara hidup berasaskan Al-Qur’an setelah Al-Qur’an itu dihayati. Maka kita kena faham ‘cara hidup’ bukan setakat ibadah sahaja. Ia meliputi segenap kehidupan kita.

Begitulah ajaran Islam ini tidak terhad kepada ibadah sahaja. Ia adalah agama yang ‘syumul’ (lengkap) dan memang praktikal untuk diamalkan. Ini tidak ada dalam agama-agama lain yang terhad sahaja. Agama mereka memang tidak dapat diamalkan dalam kehidupan bila-bila masa pun (sama ada zaman dulu atau zaman sekarang).

 

لِيُظهِرَهُ عَلَى الدّينِ كُلِّهِ

agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama seluruhnya

Allah ﷻ telah menurunkan agama ini untuk mengalahkan agama-agama yang lain. Maknanya agama Islam ini adalah agama yang utama dan sepatutnya menjadi pegangan kesemua umat manusia.

Agama lain tidak halal, tidak boleh diamalkan. Maka kita tidak boleh kata agama lain pun sama sahaja. Ini penting kerana ada orang yang jahil berkata: agama dalam dunia ini sama sahaja, semuanya mengajak ke arah kebaikan.

Maka agama Islam akan menang kerana Allah ﷻ akan memenangkannya. Namun begitu kalau salah faham dengan ayat ini, maka ada Muslim yang menjadi ganas. Mereka marah dengan apa yang terjadi dalam dunia Islam dan mereka ambil pendekatan yang keras kononnya untuk memenangkan agama ini. Namun itu adalah cara yang salah. Kita hendaklah menggunakan cara dakwah yang berhemah.

Oleh sebab itu pergerakan untuk mengembangkan agama Islam ini boleh jadi dalam beberapa wajah, beberapa cara. Dan ini sedang dilakukan oleh banyak kumpulan seperti memberi ilmu pengetahuan pengenalan kepada Islam, menjalankan kerja-kerja keamanan yang dilakukan di seluruh dunia, dan macam-macam lagi.

Akan tetapi kita kena ingat perkara yang penting. Salah satu perkara penting yang perlu kita lakukan adalah dengan belajar memahami Al-Qur’an dan menyebarkan ilmu Al-Qur’an ini kepada manusia seluruhnya. Kerana itu memang kita kena kembangkan pengetahuan tafsir Al-Qur’an ini kepada manusia kerana sebelum manusia terbuka kepada perbincangan-perbincangan lain seperti falsafah, sejarah dan juga hadith dan juga ilmu fiqh dan sebagainya, manusia kena tahu tafsir Al-Qur’an.

Ia adalah ilmu yang paling utama kerana Al-Qur’an ini akan mengajar kita cara berfikir dan ia akan menjadi kayu pengukur untuk menilai manakah pemahaman yang benar ataupun tidak.

 

وَلَو كَرِهَ المُشرِكونَ

meskipun orang musyrik membenci.

Agama ini tetap akan menang walaupun orang kafir tidak suka. Allah ﷻ tidak mengambil kira kehendak mereka kerana Allah ﷻ tetap akan menghidupkan agama tauhid ini. Maka jangan kita risau tentang penerimaan masyarakat sekarang. Lama kelamaan ia akan berlaku di mana lebih ramai manusia akan menerima ajaran tauhid.

 

Sekian Ruku’ 1 daripada 2 ruku yang ada dalam surah ini.

Ringkasan Peta Minda surah

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 11 November 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Saff Ayat 5 – 9 (Nabi Isa عليه السلام memberitahu kedatangan Nabi Muhammad ﷺ)”

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply