Pengenalan:
Surah ini menceritakan tentang hubungan dengan orang-orang Munafik. Memang kebanyakan dari surah-surah Musabbihaat ini ada mengandungi teguran tentang golongan munafik. Maka kita kena peka tentang perkara ini kerana ditakuti di kalangan kita ada orang munafik. Dan lebih menakutkan lagi, kalau-kalau kita sendiri ada sifat-sifat munafik!
Di dalam surah ini kita belajar bahawa di dalam Al-Qur’an Allah tidak panggil orang-orang munafik: “Wahai orang-orang Munafik” tetapi Allah masih panggil mereka dengan gelaran “wahai orang-orang yang beriman”. Bukanlah bermaksud mereka itu orang beriman, tapi kerana mereka itu mengaku mereka beriman.
Surah Saff ini juga ditujukan kepada golongan Mujahidin (para pejuang dalam perang) kerana dengan mereka inilah, agama dapat disebarkan ke serata dunia.
Selepas surah ini adalah Surah Jumuah di mana ia ditujukan kepada para ulama dan juga pelajar kerana dengan adanya mereka maka ilmu agama ini dapat diberi kepada masyarakat awam. Maka semua orang Islam ada tugasnya masing-masing. Yang penting kena ingat, tujuan hidup kita adalah untuk mengembangkan agama Allah kepada manusia. Kita lakukan apa yang kita mampu dalam menegakkan agama Allah ini.
Selepas Surah Jumuah pula adalah Surah Munafiqun di mana ianya ditujukan kepada para penderma atau orang yang beri sedekah. Iaitu golongan hartawan yang tidak sombong. Dengan mereka juga jihad dapat tertegak dan orang yang memerlukan bantuan akan mendapat bantuan.
Gabungan tiga golongan ini akan memastikan agama Islam ini sampai bila-bila akan terjaga. Maka semoga kita termasuk dalam salah satu dari tiga golongan itu.
Surah ini seperti juga Surah Mumtahanah sebelum ini adalah berkenaan perang. Akan disambung perbincangan tentang jihad di dalam surah ini. Dan surah ini adalah surah kelima dari rentetan sepuluh surah yang membincangkan dua perkara penting iaitu infak dan jihad. Ringkasannya:
1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak
Saff Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 ini adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu kita yang Allah itu bersifat Azizul Hakim.
سَبَّحَ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Aṣ-Ṣaff: The Row.
Whatever is in the heavens and whatever is on the earth exalts Allāh, and He is the Exalted in Might, the Wise.
(MELAYU)
Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
سَبَّحَ لِلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ
Telah bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi;
Surah ini bermula sekali lagi dengan tasbih di mana Allah memberitahu bahawa segala makhluk di alam ini telah bertasbih kepada Allah.
Kalimah sabaha dari segi bahasa bermaksud menimbulkan sesuatu, seperti seseorang yang berenang yang menimbulkan kepalanya di atas air. Maka perbuatan tasbih adalah menyebabkan sesuatu perkara itu timbul dan tidak tenggelam. Itu dari segi bahasa.
Maksud tasbih pada kita adalah apabila kita meninggikan Allah dan tidak merendahkan kedudukan Allah dari yang tidak sepatutnya. Apabila ada orang yang melakukan dosa, kita bertasbih; apabila orang melakukan syirik, kita bertasbih; apabila kita nampak benda yang buruk dan kita tidak suka, maka kita juga bertasbih.
Dan tasbih digunakan di dalam Al-Qur’an apabila ada manusia yang mengatakan sesuatu yang tidak patut bagi Allah. Maka apabila ada orang yang mengatakan sesuatu yang tidak patut tentang Allah, maka kita menolak kata-kata mereka itu dengan melakukan tasbih. Apabila mereka merendahkan Allah maka kita meninggikan Allah dengan mengatakan Allah itu sempurna dengan bertasbih.
Maka kalau kita juga merendahkan kedudukan Allah dan dalam masa yang sama kita bertasbih, ini adalah tidak patut sama sekali. Maksudnya kita tidak faham apa yang kita lafaz dengan mulut kita. Mulut kita bertasbih tapi perbuatan kita berlawanan dengan apa yang kita sebutkan.
Oleh itu surah ini dimulakan dengan kalimat pembesaran kepada Allah. Allah hendak mengingatkan kita yang seluruh alam ini bertasbih kepadaNya. Allah tidak memerlukan ketaatan dari manusia pun kerana Allah telah ada makhluk-makhluk lain yang taat kepadaNya. Maka segala arahan yang diberikan kepada kita ada untuk kebaikan kita sahaja sebenarnya. Allah tidak memerlukan pun amalan kita itu.
Akan tetapi apabila kita melakukannya, Allah balas dengan banyak sekali. Maka kena sedar perkara ini. Kena sedar yang arahan Allah adalah untuk kebaikan kita. Maka kenalah taat. Jangan degil sangat.
وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Kenapa kita bertasbih kepada Allah? Allah beritahu dalam ayat ini: Kita bertasbih kerana Allah itu bersifat Maha Gagah Perkasa dan juga Maha Bijaksana.
PerkasaNya Allah itu, Dia boleh azab sesiapa sahaja yang berdosa dan melakukan syirik. Kalau Allah nak beri azab itu, tidak ada sesiapa yang boleh halang sama sekali. Ini kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh mengalahkan Allah.
Tapi dalam masa yang sama, Allah bersifat bijaksana di mana Allah menangguhkan azab, tidak terus diberikan azab itu kepada manusia. Maka ada harapan bagi kita untuk bertaubat dan membetulkan amalan kita. Kalau tidak, tentulah kita telah lama mati kerana telah banyak kesalahan yang kita telah lakukan.
Saff Ayat 2: Ini adalah teguran Allah kepada orang mukmin yang minta berjihad tetapi apabila syariat jihad diberikan mereka tidak mahu berjihad. Diingatkan kembali yang tema surah ini adalah berkenaan jihad. Maka ayat ini menyentuh tentang jihad sebenarnya. Walaupun ada juga tafsiran yang lain.
Ayat 2 – 4 ini adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengajar kita yang kesanggupan berjihad itu adalah bukti cinta kepada Allah.
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
O you who have believed, why do you say what you do not do?
(MELAYU)
Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا
Wahai orang-orang yang beriman,
Sekarang Allah menegur manusia yang mulut mereka mengaku Muslim dan beriman, tetapi perbuatan mereka tidak ikut apa yang mereka katakan sebagaimana makhluk Allah yang lain. Telah disebutkan sebelum ini yang ‘orang-orang beriman’ di dalam Al-Qur’an boleh juga merujuk kepada orang munafik.
Makhluk Allah lain bertasbih dan dalam masa yang sama mereka taat kepada Allah, tidak seperti kebanyakan manusia. Ada manusia ucap tasbih tapi dalam masa yang sama mereka buat syirik. Ini adalah kerana mereka tak faham apa yang sebutkan.
لِمَ تَقولونَ ما لا تَفعَلونَ
kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
Maksud ayat ini secara umum adalah teguran Allah kepada manusia yang tidak sama perbuatan dengan percakapannya. Selalu kita kata: cakap tak serupa bikin.
Ini adalah sifat yang buruk. Kalau kita tidak mahu melakukan sesuatu atau tidak mampu, janganlah kita cakap. Janganlah jadi seperti orang munafik kerana ini adalah sifat mereka seperti yang disebut dalam hadis:
“آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّث كَذَبَ، إِذَا وَعَد أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ”Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jadi, orang mukmin dipegang pada kata-kata dan janjinya. Kalau dia berjanji kenalah dia tepati. Sampaikan dengan kanak-kanak pun kita kena tepati janji.
Imam Ahmad dan Imam Abu Daud telah meriwayatkan melalui Abdullah ibnu Amir ibnu Rabi’ah, yang telah menceritakan bahawa Rasulullah Saw. datang kepada keluarganya yang saat itu dia masih anak-anak. Lalu dia pergi untuk bermain-main, tetapi ibunya memanggilnya, “Hai Abdullah, kemarilah, aku akan memberimu sesuatu.” Rasulullah Saw. bertanya kepada ibunya, “Apakah yang hendak engkau berikan kepadanya?” Ibunya menjawab, “Kurma,” Rasulullah Saw. bersabda:
“أَمَا إِنَّكِ لَوْ لَمْ تَفْعَلِي كُتِبت عَلَيْكِ كِذْبة”
Ketahuilah, sesungguhnya andaikata engkau tidak memberinya, tentulah akan dicatat atas dirimu sebagai suatu kedustaan.
Selain dari makna umum seperti yang disebut di atas, dalam ayat ini Allah menegur lagi orang-orang beriman berkenaan jihad. Ini dapat difahami kalau kita melihat konteks surah ini nanti. Allah tanya kepada mereka kenapa dulu mereka minta untuk berjihad dan sekarang apabila syariat jihad telah diberikan, mereka masih tidak melakukannya lagi. Maka sekarang hendaklah mereka berjihad.
Ayat ini ada kaitan dengan ayat yang lain dalam Nisa:77 di mana para sahabat semasa duduk di Mekah dahulu mereka minta untuk balas dendam kepada Musyrikin Mekah. Akan tetapi waktu itu mereka ditahan dari membalas kekejaman itu. Akan tetapi apabila di Madinah dan mereka disuruh berjihad, hati mereka tidak mahu pula.
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ قِيلَ لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ إِذَا فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَخْشَوْنَ النَّاسَ كَخَشْيَةِ اللهِِِ أَوْ أَشَدَّ خَشْيَةً وَقَالُوا رَبَّنَا لِمَ كَتَبْتَ عَلَيْنَا الْقِتَالَ لَوْلَا أَخَّرْتَنَا إِلَىٰ أَجَلٍ قَرِيبٍ قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ لِّمَنِ اتَّقَىٰ وَلَا تُظْلَمُونَ فَتِيلًا
Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: “Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat”. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”.
Mereka kata: “Kenapalah Syariat jihad dipercepatkan?” Sedangkan dulu mereka juga yang minta jihad dibenarkan. Maka mereka itu sebenarnya adalah golongan munafik. Iaitu iman mereka lemah. Mereka cakap sahaja nak berperang dan berjihad, tapi bila disuruh berjihad mereka tak mahu pula. Mereka cakap tak serupa bikin.
Dan ada lagi teguran kepada umat Islam yang meminta-minta nak jihad, tapi bila jihad di depan mata, mereka takut pula. Ini disebut dalam Muhammad:20
وَيَقولُ الَّذينَ آمَنوا لَولا نُزِّلَت سورَةٌ ۖ فَإِذا أُنزِلَت سورَةٌ مُحكَمَةٌ وَذُكِرَ فيهَا القِتالُ ۙ رَأَيتَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَرَضٌ يَنظُرونَ إِلَيكَ نَظَرَ المَغشِيِّ عَلَيهِ مِنَ المَوتِ ۖ فَأَولىٰ لَهُم
Dan orang-orang yang beriman berkata: “Mengapa tiada diturunkan suatu surat?” Maka apabila diturunkan suatu surat yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya (perintah) perang, kamu lihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya memandang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan karena takut mati, dan kecelakaanlah bagi mereka.
Saff Ayat 3:
كَبُرَ مَقتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقولوا ما لا تَفعَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Great is hatred in the sight of Allāh that you say what you do not do.
(MELAYU)
Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.
Maksud مقت adalah sesuatu yang sangat buruk yang dilakukan oleh manusia dan sebelum ini telah pernah disebut dalam Surah Mujadilah bahawa perbuatan zihar itu adalah مقت. Jadi perbuatan meminta jihad tapi tidak mahu berjihad apabila diarahkan, maka itu adalah perbuatan yang amat buruk sekali. Allah amat murka kepada mereka yang ada sifat begitu. Mereka cakap dengan mulut, tapi tidak diikuti dengan perbuatan.
Secara umumnya pula, manusia memang selalu tidak melakukan apa yang dikatakan oleh mulutnya. Yang ini banyak dilakukan oleh manusia di mana kita selalu solat dan minta hidayah daripada Allah, tetapi apabila Allah beri hidayah dalam bentuk Al-Qur’an dan Sunnah kepada kita, maka kenapa tinggalkan?
Maka kita kena lakukan apa yang kita katakan. Kalau kita nasihat orang, maka hendaklah kita pun buat juga apa yang kita cakap. Jangan kita pandai nasihat orang tapi diri sendiri tidak lakukan apa yang kita sendiri cakap.
Tapi ada juga yang salah faham tentang ayat ini. Kerana ada orang yang salah tafsir ayat ini dengan mengatakan: Jangan kita beri dakwah ataupun ajar orang perkara yang kita sendiri tidak buat; seperti kita belum pergi Haji lagi tapi ajak orang untuk pergi Haji. Maka mereka kata tidak boleh berdakwah pula. Maka ini adalah tafsiran yang salah.
Sepatutnya apabila kita sudah cakap kepada orang, maka kita kenalah lakukan juga. Kita dakwah kepada orang tapi sebenarnya kita dakwah kepada diri kita sendiri. Apabila kita sudah cakap kepada orang lain, tentu kita malu kalau tidak buat, bukan? Maka bila kita dakwah, itu adalah anjakan untuk kita juga berbuat seperti yang kita sebut. Jadi ayat ini adalah ayat targhib (mengajak) bukan ayat tarhib (menghalang). Jadi jangan salah faham dengan ayat ini.
Yang menjadi salah adalah kalau kita cakap kepada orang, tapi kita tidak ada keinginan pun untuk melakukannya. Ini baru salah! Maka kalau kita dakwah orang lain, hendaklah kita juga ada keinginan untuk melakukannya.
Selain dari itu, kita kena ingat yang keinginan kita hendaklah kita lapik dengan keizinan dari Allah. Kalau kita hendak melakukan sesuatu, jangan berharap kepada kekuatan diri sahaja, tapi hendaklah sebut in sha Allah (kalau Allah berkehendak). Kerana kalau kita kata hendak buat, tapi Allah tidak benarkan, tidak beri kekuatan kepada kita, maka ia tidak akan terjadi.
Jadi, tidak salah kalau kita dakwah kepada orang lain tapi kita buat perkara yang salah. Kerana dakwah itu satu kebaikan, meninggalkan dosa juga satu kebaikan. Jangan kerana kita tidak boleh satu kebaikan (meninggalkan dosa) menyebabkan kita meninggalkan satu kebaikan lain (dakwah atau menegur orang lain). Kadangkala dengan menegur orang lain, memberi kekuatan kepada diri kita untuk meninggalkannya juga.
Saff Ayat 4: Ini adalah tentang perbarisan (saf) dalam jihad. Dari ayat ini jelas bahawa perkara yang dibincangkan adalah tentang jihad.
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذينَ يُقٰتِلونَ في سَبيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنيٰنٌ مَّرصوصٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, Allāh loves those who fight in His cause in a row as though they are a [single] structure joined firmly.
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذينَ يُقٰتِلونَ في سَبيلِهِ صَفًّا
Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur
Sekarang Allah sebut tentang jihad perang pula kerana peperangan ini melibatkan kesanggupan untuk tinggalkan nyawa kita. Kerana apabila berjihad, ada kemungkinan besar yang nyawa kita akan melayang.
Ini mengajar kita yang untuk taat kepada Allah, kita kena sanggup untuk berkorban. Dan Allah sebut pengorbanan yang terbesar sekali iaitu pengorbanan nyawa. Kerana inilah kemuncak pengorbanan dari manusia.
Dan Allah beritahu dengan jelas yang Dia suka mereka yang sebegini. Kita kalau manusia suka pun kita sudah gembira, apatah lagi kalau Allah yang suka. Tentulah berlebih-lebih lagi kita kena kejar.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “ثَلَاثٌ يَضْحَكُ اللَّهُ إِلَيْهِمُ: الرَّجُلُ يَقُومُ مِنَ اللَّيْلِ، وَالْقَوْمُ إِذَا صَفُّوا لِلصَّلَاةِ، وَالْقَوْمُ إِذَا صَفُّوا لِلْقِتَالِ”.
Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a. yang menceritakan bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Ada tiga macam orang yang Allah redha kepada mereka, iaitu seorang yang mengerjakan solat malam hari, dan kaum yang apabila solat mereka membentuk barisan dengan teratur, serta kaum yang apabila dalam medan perang mereka membentuk barisan dengan teratur. Riwayat Imam Ahmad.
Allah suka kepada mereka yang berjihad kerana bukan senang nak keluar perang. Ramai yang takut dan akan mencari alasan tidak ikut serta atau melarikan diri. Kerana yang dipertaruhkan adalah nyawa! Jadi orang yang keluar jihad perang itu sudah melepasi ujian nafsu dia untuk tidak berperang. Nafsu dia akan halang dia untuk keluar tapi bila dia sudah keluar, maka dia sudah melepasi ujian itu.
Dan kemudian Allah menyebut tentang ‘saf’ ataupun barisan kerana Allah suka tentera yang bersusun di dalam barisan.
Sa’id ibnu Jubair mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur. (Ash-Shaff: 4) Bahawa Rasulullah Saw. tidak sekali-kali berperang melawan musuh melainkan terlebih dahulu mengatur barisan pasukannya membentuk saf, dan ini merupakan strategi yang diajarkan oleh Allah Swt. kepada orang-orang mukmin. Dan firman Allah Swt.: seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. (Ash-Shaff: 4) Iaitu sebahagian darinya menempel dengan sebahagian lainnya dalam saf peperangan.
Dan ‘barisan’ ini kita selalu dapat bayangkan saf di dalam solat. Dan ini mengajar kita bahawa saf di dalam solat itu adalah ‘latihan’ kepada kita untuk barisan dalam perang. Kerana dalam solat ada imam di hadapan dan para makmum taat dan ikut apa yang dilakukan oleh imam. Imam rukuk dan makmum rukuk, imam sujud maka baru makmum sujud.
Dan begitu juga dalam barisan perang. Para tentera mempunyai panglima (jeneral) di depan dan barisan tentera bawahan kena taat kepada apa yang dilakukan oleh jeneral dan beginilah yang sepatutnya berlaku di dalam pasukan tentera.
Tidak boleh buat keputusan sendiri dan tidak boleh bergerak ke hadapan sebelum diarahkan oleh panglima. Tidak boleh nak lemparkan panah atau peluru sebelum diarahkan oleh panglima. Jadi ia adalah latihan untuk belajar ikut arahan.
Maka Allah jadikan ibadat solat itu sebagai latihan kepada kita untuk menjadi umat yang tersusun dalam barisan perang. Maka ini amat penting kerana apabila orang-orang Islam hidup tidak teratur, maka barisan kita dan kekuatan kita pun akan lemah.
Kerana itu kita dilatih disiplin dalam solat di mana tidak boleh mendahului imam dalam solat; kita diajar supaya meluruskan barisan dan merapatkan barisan; kita tidak boleh menegur imam begitu sahaja tapi ada syarat-syarat yang perlu diikuti; kita senyap dan taat sahaja dalam solat. Bukan tidak boleh tegur, tapi ada caranya.
Ini semua adalah latihan disiplin sebenarnya. Dan ini memberi kesan kepada diri kita sendiri dan membawa kepada kehidupan seharian kita. Juga mengajar kita untuk menghormati masa dan mengisi masa dengan perbuatan yang baik. Tentu ada banyak lagi kelebihan dan latihan di dalam solat yang tidak terkira banyaknya.
Kadangkala ia boleh dilihat pada benda yang kecil-kecil seperti parkir kereta sahaja. Di mana umat kita kadang-kadang tidak parkir kereta kita dengan baik dan tidak beratur di tempat yang sepatutnya kita parkir. Selalunya terjadi semasa Solat Jumaat sampai menyebabkan orang marah dengan kita kerana menghalang jalan.
Kalau dalam perkara kecil seperti parkir kereta, beratur di kedai dan luruskan barisan dalam solat pun tidak boleh jaga, bagaimana nak berjihad perang?
Allah menyebut tentang barisan di dalam ketenteraan kerana jikalau barisan itu pecah maka ia akan menyebabkan bahaya kepada seluruh tentera itu. Dan ini amat penting kerana pasukan tentera adalah pasukan yang paling berdisiplin di dalam dunia. Kerana itu ada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tentera (Military College) supaya anak itu dapat belajar disiplin.
Dan disiplin amat penting dalam tentera kerana kalau tidak ada, ia boleh menyebabkan kekalahan seperti mana yang telah berlaku semasa Perang Uhud. Nabi telah arahkan pasukan pemanah supaya tetap di tempat memanah tetap mereka tidak disiplin dan tinggalkan tempat itu. Ini telah disebut dengan panjang lebar dalam Surah Ali Imran dari ayat 121 hingga 171.
Tetapi di dalam ayat ini Allah bukan bercakap kepada pasukan tentera sahaja tetapi kepada keseluruhan umat Islam. Allah mengajar kita sebagai seorang Muslim kena ada disiplin seperti tentera. Bagaimana kita hendak menegakkan agama Allah ini di atas muka bumi jikalau kita tidak ada disiplin?
Maka walaupun perang tidak ada, kita tetap kena jaga disiplin dalam kehidupan kita. Semoga ayat ini memberi semangat kepada kita untuk taat kepada pemerintah dan jaga disiplin dalam kehidupan kita. Bukanlah hanya dalam bentuk ibadat sahaja.
Sebagai contoh, jaga disiplin di tempat kerja kita. Di tempat kerja kita, kita diajar untuk menghormati masa. Ada masa masuk dan ada masa yang boleh keluar. Begitulah juga dalam ibadat kita kerana di dalam ibadat Islam itu ada yang terikat dengan masa seperti waktu solat dan juga puasa; itu semua sebenarnya mengajar kita untuk menghormati masa. Maka menjaga masa ini boleh diikuti oleh mereka yang mempunyai disiplin ini adalah sebahagian daripada iman.
Kita umat Islam kenalah jaga disiplin kita dan menjadi contoh kepada umat yang lain. Jangan kita pula yang jadi orang yang tiada disiplin sampaikan kita dipandang rendah oleh orang lain. Amat memalukan kalau orang dari Barat atau dari Jepun yang terkenal dengan penjagaan waktu itu lebih hebat dari kita. Sedangkan kita kata Islam ini agama yang hebat; maka takkan kita tidak menjadi hebat kalau kita mengaku sebagai seorang Muslim?
كَأَنَّهُم بُنيٰنٌ مَّرصوصٌ
seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
Kalimah مَّرصوصٌ dari kata dasar ر ص ص yang bermaksud ‘simen’ atau tersusun bersama. Jadi kita dapat bayangkan dinding simen yang kukuh seperti gigi yang tersusun cantik. Kalau kita lihat kepada dinding simen itu kita boleh lihat semua batu-bata pada simen itu ada tempatnya dan tidak boleh dipindah-pindah atau letak semberono sahaja. Kalau tidak disusun dengan kemas, maka dinding itu akan jadi lemah.
Tapi kalau batu-batu itu disusun sahaja tetapi tidak ada simen sebagai pelekat batu bata itu di antaranya maka adakah dinding itu kuat? Tentu tidak sama sekali. Angin tiup pun boleh jatuh.
Kita pun tahu yang susunan bata tanpa simen, tidak kuat. Maka simen yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah ‘wahyu Allah’ atau dalam ayat lain ditafsirkan sebagai ‘tali Allah’. Kita semua kena berpegang dengan tali Allah, barulah penyatuan kita ini adalah penyatuan yang benar. Kerana kalau kita bersatu pun, tapi tidak dipandu oleh wahyu, maka penyatuan itu akan menuju ke arah kehancuran.
Dan sepertimana batu-bata bangunan itu ada tempatnya masing-masing, maka setiap orang Islam ada tugas yang perlu dilakukan dalam menegakkan agama Islam dan menjalankan dakwah. Tujuan kita adalah untuk menegakkan agama Allah dan kerana itu kena ada persatuan atau pergerakan. Bukanlah dalam persatuan itu kerana teringin untuk naik pangkat.
Jadi ini mengajar kita yang pergerakan dakwah juga tidak boleh bersendirian. Kita memang tidak akan mampu kalau nak buat kerja agama ini berseorangan. Kita memerlukan pertolongan, nasihat dan suntikan semangat dari orang lain juga.
Dan usaha yang dilakukan bersama-sama dengan orang lain itu dapat mendekatkan diri kita kepada sesama Muslim. Ini sebagaimana jika ada orang yang dapat musibah seperti tenggelam dalam kapal dan mereka berjaya untuk lepas musibah itu, maka mereka akan menjadi kawan selama-lamanya. Kerana mereka telah melalui perkara yang besar bersama.
Begitu jugalah kita dapat lihat bagaimana ahli di dalam satu-satu pasukan tentera itu memang begitu rapat di antara satu sama lain kerana mereka telah susah dan payah bersama di medan latihan dan medan peperangan. Mereka akan sanggup berkorban apa sahaja untuk rakannya itu.
Jadi ringkasnya, Allah suka mujahid yang mempunyai sifat-sifat berikut:
1. Mereka berperang kerana Allah dan bukan kerana sebab-sebab yang lain.
2. Tentera itu berdisiplin. Tidak kelam kabut dan berpecah belah.
3. Kuat dan teguh seperti simen. Barulah tidak dapat ditembusi oleh musuh.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 4 November 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an
Terima kasih Tuan. Mohon kebenaran untuk mengambil sebahagian dari penjelasan dalam celik tafsir untuk bahan pengajaran
LikeLike
silakan.
LikeLike