Ayat 16: Allah ﷻ suruh Rasulullah ﷺ beritahu kepada mereka.
قُل لَّن يَنفَعَكُمُ الفِرارُ إِن فَرَرتُم مِّنَ المَوتِ أَوِ القَتلِ وَإِذًا لّا تُمَتَّعونَ إِلّا قَليلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say, [O Muḥammad], “Never will fleeing benefit you if you should flee from death or killing; and then [if you did], you would not be given enjoyment [of life] except for a little.”
(MELAYU)
Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja”.
قُل لَّن يَنفَعَكُمُ الفِرارُ إِن فَرَرتُم مِّنَ المَوتِ أَوِ القَتلِ
Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan,
Allah ﷻ beritahu yang tidak ada gunanya jikalau mereka hendak lari daripada peperangan kalau Allah ﷻ takdirkan yang mereka akan mati juga. Kerana mati tetap datang juga. Tidak ada sesiapa yang boleh lari dari ketetapan Allah ﷻ.
وَإِذًا لّا تُمَتَّعونَ إِلّا قَليلًا
dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja”.
Dan kalau pun mereka dapat lari dan dapat menyelamatkan diri itu hanyalah sekejap sahaja. Allah ﷻ juga yang benarkan mereka dapat lari dan selamat sementara. Kerana kalau Allah ﷻ tidak benarkan, mereka tidak dapat lari juga. Maka mereka itu dapat keluar kerana Allah ﷻ yang benarkan. Jangan pula kita sangka yang mereka dapat lari dari ketentuan Allah ﷻ.
Allah ﷻ benarkan mereka lari hanya untuk menghabiskan baki umur sahaja. Dan masa itu bukannya lama pun. Kerana sedikit sahaja lagi mereka akan mati. Sebagai contohnya, ajal mereka sebenarnya 65 tahun sahaja. Tetapi mereka mereka hanya dapat lari pada umur 63 tahun. Maknanya mereka habiskan masa 2 tahun sahaja lagi. Bukannya lama pun.
Jadi tidak berbaloi mereka berbuat dosa lari dari medan perang sedangkan nanti di Akhirat mereka tidak akan senang. Maka hanya hendak selamat dua tahun sahaja, mereka merana di akhirat selama-lamanya.
Ayat 17:
قُل مَن ذَا الَّذي يَعصِمُكُم مِّنَ اللهِ إِن أَرادَ بِكُم سوءًا أَو أَرادَ بِكُم رَحمَةً ۚ وَلا يَجِدونَ لَهُم مِّن دونِ اللهِ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say, “Who is it that can protect you from Allāh¹ if He intends for you an ill or intends for you a mercy?” And they will not find for themselves besides Allāh any protector or any helper.
- i.e., prevent the will of Allāh from being carried out.
(MELAYU)
Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu atau menghendaki rahmat untuk dirimu?” Dan mereka itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.
قُل مَن ذَا الَّذي يَعصِمُكُم مِّنَ اللهِ إِن أَرادَ بِكُم سوءًا
Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (takdir) Allah jika Dia menghendaki bencana atasmu
Allah ﷻ suruh tanya balik: siapakah yang dapat menahan kehendak Allah ﷻ jika Allah ﷻ hendak memberikan bencana kepada mereka? Mereka boleh tahankah? Tentu tidak.
أَو أَرادَ بِكُم رَحمَةً
atau menghendaki rahmat untuk dirimu?”
Ataupun adakah sesiapa yang boleh tahan Allah ﷻ jika Dia hendak memberi rahmat kepada sesiapa? Pun tidak boleh tahan juga. Kehendak Allah ﷻ pasti akan berlaku.
وَلا يَجِدونَ لَهُم مِّن دونِ اللهِ وَلِيًّا وَلا نَصيرًا
Dan mereka itu tidak memperoleh bagi mereka pelindung dan penolong selain Allah.
Mereka tidak ada wali dan tidak ada penolong lagi selain daripada Allah ﷻ. Ini disebut kerana mereka itu hendak menjadikan Quraisy dan golongan Ahzab itu sebagai penolong mereka tetapi ia tidak akan berjaya. Itu adalah pengharapan yang amat salah.
Ayat 18:
۞ قَد يَعلَمُ اللهُ المُعَوِّقينَ مِنكُم وَالقائِلينَ لِإِخوٰنِهِم هَلُمَّ إِلَينا ۖ وَلا يَأتونَ البَأسَ إِلّا قَليلًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Already Allāh knows the hinderers¹ among you and those [hypocrites] who say to their brothers, “Come to us,”² and do not go to battle, except for a few,³
- Those who dissuade others from supporting the Prophet (ṣ) in battle.
- Rather than joining the Prophet (ṣ).
- Who went out of ulterior motives.
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi di antara kamu dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: “Marilah kepada kami”. Dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar.
قَد يَعلَمُ اللهُ المُعَوِّقينَ مِنكُم
Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang menghalang-halangi di antara kamu
Kalimah المُعَوِّقينَ dari katadasar ع و ق yang bermaksud menahan, melengahkan, menghalang. Jadi kalimah المُعَوِّقينَ bermaksud ‘mereka yang menghalang’. Iaitu yang hendak merosakkan moral orang lain, hendak menghilangkan semangat orang lain. Maksudnya mereka yang hendak menghalang jihad dijalankan. Golongan munafik itu sanggup menghasut orang lain supaya jangan pergi berperang.
وَالقائِلينَ لِإِخوٰنِهِم هَلُمَّ إِلَينا
dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: “Marilah kepada kami”.
Mereka mengajak saudara yang sefahaman dengan mereka jangan keluar berjihad. Mereka ajak duduk dengan mereka. Ia daripada katadasar ل م م yang bermaksud mengumpul, mengambil dengan tamak.
وَلا يَأتونَ البَأسَ إِلّا قَليلًا
dan mereka tidak mendatangi peperangan melainkan sebentar.
Mereka tidak akan datang ke medan perang kecuali sekejap sahaja. Mereka datang pun untuk tunjuk muka sahaja. Kalau sekarang ini macam pekerja yang datang tulis nama sahaja kemudian lari keluar pejabat. Golongan munafik ini lagi teruk kerana bukan sahaja mereka lari, malah mereka ajak orang lain pula.
Maka ini menunjukkan yang Rasulullah ﷺ ada masalah dalaman juga yang kena ditangani. Sudahlah ada serangan dari luar, dari dalam pun ada masalah juga. Itulah dugaan yang Nabi Muhammad ﷺ kena hadapi. Maka jangan kata suasana di Madinah lebih mudah dari Mekah.
Kalau dahulu baginda di Mekah, baginda hanya hadapi golongan Quraish sahaja. Tapi di Madinah baginda kena hadapi musuh dari luar seperti dari Mekah, musuh dalaman seperti Yahudi dan musuh yang lagi dalam iaitu golongan munafik.
Ayat 19: Allah ﷻ terangkan sifat golongan munafik itu.
أَشِحَّةً عَلَيكُم ۖ فَإِذا جاءَ الخَوفُ رَأَيتَهُم يَنظُرونَ إِلَيكَ تَدورُ أَعيُنُهُم كَالَّذي يُغشىٰ عَلَيهِ مِنَ المَوتِ ۖ فَإِذا ذَهَبَ الخَوفُ سَلَقوكُم بِأَلسِنَةٍ حِدادٍ أَشِحَّةً عَلَى الخَيرِ ۚ أُولٰئِكَ لَم يُؤمِنوا فَأَحبَطَ اللهُ أَعمٰلَهُم ۚ وَكانَ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indisposed¹ toward you. And when fear comes, you see them looking at you, their eyes revolving like one being overcome by death. But when fear departs, they lash you with sharp tongues, indisposed toward [any] good. Those have not believed, so Allāh has rendered their deeds worthless, and ever is that, for Allāh, easy.
- Literally, “stingy,” i.e., unwilling to offer any help.
(MELAYU)
Mereka bakhil terhadapmu, apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati, dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam, sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan. Mereka itu tidak beriman, maka Allah menghapuskan (pahala) amalnya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
أَشِحَّةً عَلَيكُم
Mereka bakhil terhadapmu,
Kalimah ini mengandungi dua maksud di dalamnya iaitu ‘kedekut’ dan ‘hendak kepada harta’. Iaitu ‘bukhul’ dan juga ‘hirs’. Ia dari katadasar ش ح ح yang bermaksud bersungguh-sungguh, kedekut, tamak, mementingkan diri sendiri.
Begitulah sikap orang-orang munafik terhadap kamu iaitu kepada orang-orang mukmin. Kalau orang mukmin menang, maka mereka mahu berpihak kepada orang Islam kerana mereka mahu sebahagian daripada harta rampasan perang. Tetapi jikalau orang Islam kalah, mereka tidak mahu kena mengena dengan orang mukmin yang lain.
Maksud ‘kedekut’ pula adalah kedekut hendak menolong orang mukmin. Hendak infak pun mereka tidak mahu. Dan tidak mahu membantu dengan tenaga mereka. Mereka hendak duduk senang sahaja di rumah goyang kaki dan tunggu kejayaan datang bergolek.
فَإِذا جاءَ الخَوفُ رَأَيتَهُم يَنظُرونَ إِلَيكَ
apabila datang ketakutan (bahaya), kamu lihat mereka itu memandang kepadamu
Dan mereka itu golongan penakut. Kalau datang perkara yang menakutkan seperti diserang oleh orang-orang kafir, maka mereka merenung tajam kepada Rasulullah ﷺ seolah-olah apa yang terjadi itu adalah kesalahan baginda.
تَدورُ أَعيُنُهُم كَالَّذي يُغشىٰ عَلَيهِ مِنَ المَوتِ
dengan mata yang terbalik-balik seperti orang yang pengsan kerana akan mati,
Mereka memusingkan, membeliakkan mata mereka seperti mata orang yang hendak mati. Mereka takut sangat dengan ujian dari Allah ﷻ padahal itu adalah ujian sahaja. Memang dunia ini tempat ujian pun, jadi apa yang hendak ditakutkan? Takut sikit-sikit itu tidaklah mengapa, tetapi janganlah takut sangat.
Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata).
Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.
فَإِذا ذَهَبَ الخَوفُ سَلَقوكُم بِأَلسِنَةٍ حِدادٍ
dan apabila ketakutan telah hilang, mereka mencaci kamu dengan lidah yang tajam,
Dan apabila ketakutan itu hilang, mereka berbuat masalah lagi.
Lihat Allah ﷻ tidak berkata ‘jika’ ketakutan itu hilang, tetapi Allah berkata ‘apabila’ ketakutan itu hilang. Ini menunjukkan yang Allah ﷻ telah memberikan indikasi bahawa walaupun waktu itu keadaan sedang tegang tetapi ia pasti akan berlalu. Kesusahan itu tidak lama dan tidak akan berkekalan musibah yang mereka sedang hadapi itu.
Kalimah سلق maksudnya ‘cakap yang tidak patut’. Ia dari katadasar س ل ق yang bermaksud menyakiti dengan kata-kata, memarahi, menyerang dengan perkataan. Maknanya golongan munafik itu menggunakan perkataan yang menyakitkan hati. Maksudnya mereka mencaci Nabi ﷺ. Apabila keadaan bahaya telah berlalu maka mereka akan mengutuk Nabi Muhammad ﷺ dengan mengatakan kesusahan yang mereka alami sebelum itu adalah kerana baginda.
Antara yang disebut adalah mereka berkata yang mereka tidak mendapat bahagian daripada harta rampasan perang. Mereka bukannya tidak dapat langsung, tetapi tidak diberi sama rata dengan orang lain. Itu pun mereka tidak puas hati. Padahal Nabi ﷺ berikan mengikut keperluan. Dan kalau orang munafik itu sudah kaya, maka bahagian yang dia dapat itu tidaklah banyak kalau dibandingkan dengan orang miskin yang lebih memerlukan.
Allah ﷻ kata lidah mereka seperti ‘besi’ yang bermaksud lidah mereka itu seperti pisau yang memotong. Kadang-kadang kita pun ada berjumpa manusia seperti ini yang kalau mereka marah mereka akan kutuk dan cakap dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Mereka pandai pula menggunakan kata-kata yang tajam kerana hati mereka memang busuk.
Qatadah mengatakan bahawa adapun bila saat pembahagian ghanimah, mereka adalah orang-orang yang paling kikir dan paling buruk dalam menerima pembahagiannya. Mereka mengatakan, “Berilah kami bahagian, berilah kami bahagian, sesungguhnya kami ikut serta bersama kalian dalam peperangan.”
Dan ada pun di kala keadaan sedang gawat dan tersepit, mereka adalah orang-orang yang paling pengecut dan paling menghina perkara yang hak. Selain itu mereka kikir akan kebaikan, yakni dalam diri mereka tidak terdapat suatu kebaikan pun. Di dalam diri mereka terhimpun sifat pengecut, dusta, dan jauh dari kebaikan.
أَشِحَّةً عَلَى الخَيرِ
sedang mereka bakhil untuk berbuat kebaikan.
Dan mereka itu memang orang yang malas membuat amal kebaikan, untuk tolong orang dan untuk membuat kebajikan kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi mereka tidak angkat tangan dalam menegakkan agama. Tetapi dalam masa yang sama jikalau ada kebaikan yang mereka boleh dapat, mereka mahu juga seperti jika ada harta rampasan perang.
أُولٰئِكَ لَم يُؤمِنوا
Mereka itu tidak beriman,
Allah ﷻ berkata mereka itu bukannya orang yang beriman walaupun mulut mereka mengaku Muslim. Inilah sifat-sifat orang munafik.
Dan Allah ﷻ menggunakan kalimah لم (tidak pernah) yang bermaksud mereka itu bukan baru sahaja tidak beriman tetapi dari dahulu lagi tidak pernah beriman. Mereka mengaku mereka Muslim kerana mereka hendak kebaikan sahaja atau untuk menyelamatkan diri mereka.
فَأَحبَطَ اللهُ أَعمٰلَهُم
maka Allah menghapuskan (pahala) amal mereka.
Allah ﷻ berkata amalan mereka tidak mendapat pahala. Walaupun mereka itu munafik tetapi tentu mereka ada membuat amal ibadah juga. Jangan kita lupa yang mereka itu solat pun di belakang Nabi ﷺ.
Tetapi walaupun mereka solat dan sebagainya akan tetapi pahala tiada. Dari dulu lagi pahala tidak pernah ada. Allah ﷻ tidak menilai pun amal kebaikan mereka kerana semua ibadah mereka itu tidak sah. Ini adalah kerana untuk dapat pahala kena ada syarat: iaitu telah beriman. Maka kalau tidak beriman, bagaimana pula mereka dapat pahala?
Ini sama sahaja seperti orang kafir yang solat – adakah pahala? Tentu tidak. Atau orang kafir yang cuba-cuba berpuasa kerana hendak merasakan bagaimana orang Islam berpuasa. Mereka lapar dan dahaga sahaja tetapi pahala tidak ada pun.
وَكانَ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرًا
Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Senang sahaja bagi Allah ﷻ untuk menghapuskan pahala mereka kerana mereka tidak beriman. Ini menunjukkan yang jikalau kita melakukan amal ibadah tetapi hati kita tidak bersih dari syirik, maka itu tidak berguna. Kerana kalau ada syirik dalam hati kita, maka kita sebenarnya tidak beriman sempurna lagi.
Maka jangan kita terus sangka yang semua amal ibadat kita terus diterima oleh Allah ﷻ. Ada banyak sekali syarat-syarat yang kita kena lepasi dahulu sebelum ibadat itu diterima. Oleh kerana itulah kita ada baca bagaimana harapan para ulama’ adalah kalau ada amal ibadat mereka yang diterima. Kerana mereka takut entah-entah tidak ada amal ibadat mereka yang diterima lagi.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 28 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani