Ayat 14: Ayat 14 – 15 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menyebut perbezaan antara Muslim dan Mukmin. Kita sudah masuk ke Bahagian Kedua surah ini.
Ayat ini syikayah (rungutan Allah) tentang manusia yang mengaku Muslim tetapi tidak ada iman. Sedikit pengenalan tentang latar belakang ayat ini:
Pada tahun 9 H, negara Islam Madinah telah kukuh. Sampaikan kerajaan Parsi pun tidak berani hendak lawan Islam. Rombongan dari puak-puak Arab sudah mula ramai datang ke Madinah untuk bertemu dengan Rasulullah ﷺ sebagai ketua negara.
Salah satu rombongan itu datang dari Bani Asad ibn Khuzaimah dan mereka telah masuk Islam. Mereka sebenarnya telah ditimpa kemarau dan mereka memang susah waktu itu. Maka pemimpin masyarakat itu telah buat keputusan untuk datang ke Madinah meminta pertolongan.
Apabila mereka sampai, mereka terus mengaku yang mereka telah beriman. Mereka kata mereka masuk dengan aman, tidak susah hendak Islamkan mereka. Mereka bandingkan dengan puak-puak lain yang kena diperangi baru hendak masuk Islam.
Mereka sebenarnya masuk Islam kerana hendak dapatkan zakat kerana mereka telah dilanda kemarau. Maknanya mereka masuk Islam kerana sebab keduniaan. Maka Khalifah Islam kena jaga-jaga dengan keadaan sebegini. Kerana apabila Islam sudah kuat, akan ada orang luar yang masuk Islam dan minta sedikit kesenangan dengan kerajaan Islam.
Apabila mereka masuk Islam dan mengadap Rasulullah ﷺ, mereka mendakwa dengan lidah mereka mengaku yang telah berjasa kepada agama Islam. Ini adalah kerana mereka fahami Islam itu dengan cara mereka sahaja. Mereka pakai otak mereka sahaja. Padahal hendak faham Islam, kenalah mengaji dari wahyu supaya dapat fahaman yang sebenar.
Tetapi ramai yang mengaku sudah faham agama, tetapi faham yang salah macam Arab Badwi dalam ayat ini. Begitulah kita kena tahu perkara ini kerana akan ada jenis manusia yang tidak belajar tetapi rasa mereka sudah faham agama. Tetapi mereka buat fahaman sendiri sahaja. Sedangkan agama ini ada kitab wahyunya. Maka kenalah tahu agama dari wahyu.
۞ قالَتِ الأَعرابُ ءآمَنّا ۖ قُل لَّم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا وَلَمّا يَدخُلِ الإيمٰنُ في قُلوبِكُم ۖ وَإِن تُطيعُوا اللهَ وَرَسولَهُ لا يَلِتكُم مِّن أَعمٰلِكُم شَيئًا ۚ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The bedouins say, “We have believed.” Say, “You have not [yet] believed; but say [instead], ‘We have submitted,’ for faith has not yet entered your hearts. And if you obey Allāh and His Messenger, He will not deprive you from your deeds¹ of anything. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.”
•i.e., the reward thereof.
(MELAYU)
Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu; dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun pahala amalanmu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
قالَتِ الأَعرابُ ءآمَنّا
Orang-orang Arab Badwi itu berkata: “Kami telah beriman”.
Dari asbabun nuzul, Arab Badwi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Bani Asad. Tetapi ayat ini secara umum berkenaan golongan yang baru masuk Islam. Jadi, ada golongan ‘Badwi Moden’. Mereka ini adalah orang yang jauh dari wahyu. Jadi hakikat agama tidak sampai kepada mereka lagi. Bani Asad ini sebagai contoh sahaja. Ditakuti orang kita pun Badwi Moden juga.
Jadi mereka telah mengaku beriman di hadapan Nabi ﷺ. Mereka sangka mereka telah beriman kerana mereka telah solat, puasa dan lain-lain amalan yang mereka rasa sudah cukup menjadikan mereka ‘mukmin’. Mereka sangka senang sahaja hendak beriman.
Mereka mengaku beriman sedangkan hal dalaman tidak payah cakap dan mengakulah. Kerana ia tidak boleh dibuktikan kerana ia perkara dalam hati. Tetapi itulah jenis orang Badwi yang jauh dari wahyu.
Maka Allah ﷻ tegur mereka dalam ayat ini. Allah ﷻ memang sebut golongan ‘Badwi’ dalam ayat ini tetapi takut kita pun ada juga perangai yang sebegini, maka kenalah kita ambil iktibar. Kerana kalau jauh dari wahyu, maka memang banyak kesalahan yang mungkin dilakukan.
Mungkin bab akidah pun ada masalah kerana tidak belajar betul. Maka sesiapa sahaja yang ada perangai seperti yang disebut di dalam ayat ini maka kenalah berhati-hati. Kena baiki amalan dan fahaman kita.
قُل لَّم تُؤمِنوا وَلٰكِن قولوا أَسلَمنا
Katakanlah: “Kamu belum beriman, tapi katakanlah ‘kami telah tunduk’,
Katakanlah kepada mereka yang mereka sebenarnya belum beriman. Mereka cuma baru ‘terima’ Islam sahaja. Mereka baru sahaja belajar dan belum faham lagi agama ini maka janganlah mengaku sudah alim. Memang boleh jadi alim, tetapi tidaklah awal sangat.
Maka kena betulkan fahaman mereka. Jangan biarkan masyarakat jahil mendakwa macam-macam. Kena fahamkan mereka apakah maksud Islam dan apakah maksud iman. Bukannya kena ikut fahaman mereka. Kalau ikut kepala kita sahaja, macam-macam boleh jadi kerana akal fikiran kita semua berlainan.
Iman bukan mudah untuk diperolehi. Ia memerlukan pemahaman dan amalan. Ini macam orang yang baru masuk Islam, takkan dia terus faham agama ini dalam setahun dua, bukan?
Begitulah juga kalau orang yang baru kenal sunnah, ambil masa juga hendak ambil pemahaman. Maka di awalnya, janganlah cepat sangat hendak beri komen di media kerana takut kalau-kalau salah cakap – nanti menyesal kerana tercakap benda yang salah. Buat malu golongan sunnah sahaja.
وَلَمّا يَدخُلِ الإيمٰنُ في قُلوبِكُم
kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu;
Iman yang sebenar belum masuk ke dalam hati mereka. Oleh itu cukuplah kata mereka baru sahaja masuk Islam. Ini baru betul. Jadi jangan sebut kata sudah beriman lagi. Macam mana nak kata beriman kalau sifat-sifat iman belum ada lagi. Entah-entah, apakah sifat orang beriman pun belum tahu lagi.
Kalimah لمّا bermaksud dahulu tidak ada iman dan sekarang pun belum ada lagi. Maka kena dalami lagi ayat-ayat sebelum ini. Supaya kita tahu apakah yang dituntut dalam iman. Maksudnya, kena belajar lagilah dan mula beramal.
وَإِن تُطيعُوا اللهَ وَرَسولَهُ لا يَلِتكُم مِّن أَعمٰلِكُم شَيئًا
dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun pahala amalanmu;
Kalau beriman kepada Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ, Allah ﷻ takkan siakan amalan mereka. Syarat sah amal adalah Muslim dulu. Dan syarat jadi Muslim adalah taat kepada kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Barulah amal ibadat dikira, ada markah.
Sebagai contoh, kalau orang bukan Islam cuba-cuba ‘puasa’ tidak makan dari pagi sampai malam, mereka takkan dapat pahala. Kerana walaupun amal mereka itu benar, tetapi mereka bukan Muslim, tentunya tidak beriman kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ.
Seorang itu sudah masuk ke dalam Islam apabila dia sudah melafazkan syahadah. Namun waktu itu baru sahaja masuk Islam, jadi banyak perkara tentang agama lagi yang orang itu tidak tahu, bukan? Akan tetapi apabila sudah lafaz syahadah dan telah terima secara pukal (iman mujmal), maka amalan sudah dikira sebagai sah.
Memang semua hal agama belum tahu lagi kerana tidak belajar lagi. Tetapi dia sudah mengaku Muslim dan telah menyatakan kesanggupan untuk terima segala hukum dari Allah ﷻ dan Rasul ﷺ. Maka teruskan buat amalan dan sama ada diterima atau tidak, terpulang kepada Allah ﷻ. Kita tidak boleh kata terus diterima lagi, kerana kena tengok sama ada amalan itu ikhlas atau tidak. Seperti yang kita tahu, amalan yang dilakukan kenalah ikhlas.
Tetapi jangan pula tidak beramal, konon kerana hendak tunggu betul-betul beriman, betul-betul ikhlas. Ini pun fahaman karut juga.
Maka taatlah kepada Allah ﷻ dan Rasul ﷺ, dan buatlah amalan baik dan jagalah agama setakat yang kita mampu. Maka Allah ﷻ tidak akan sia-siakan segala amalan kita itu. Pahala tetap akan ada.
Kadang-kadang kita dengar orang sebut ‘iman’ dan kadangkala orang sebut ‘Islam’. Maka, apakah beza antara Islam dan iman? Pengetahuan tentang beza antara kedua perkara ini juga amat penting. Kerana ia melibatkan masalah sosial.
Untuk kita cuba memahaminya, mari kita buat perbandingan seorang imam masjid yang ada dua anak; seorangnya yang hebat dalam agama dan seorang lagi yang buat perangai yang tidak elok.
Jadi dua anaknya itu beza macam antara langit dan bumi, tetapi jikalau imam itu meninggal dunia, adakah kita akan beri harta yang lebih banyak kepada anak yang baik dan menidakkan hak anak yang tidak baik itu? Tentu tidak boleh, kerana kita menilai seseorang itu pada luaran sahaja iaitu kita hanya boleh menilai ‘Islam’ seseorang dan bukan ‘iman’ seseorang.
Namun bagaimana kita boleh tahu yang seseorang itu seorang Muslim? Dengan dakwaan dia sahaja sudah cukup. Tidak perlu hendak korek dalam-dalam lagi. Tetapi malangnya kebanyakan dari kita ini jenis orang yang suka hendak menilai seseorang dan kita cuba untuk membuat keputusan jikalau orang itu ada iman ataupun tidak, sedangkan kita telah sebut yang perkara itu tidak dapat dinilai kerana ianya adalah perkara ghaib pada kita.
Maka, selepas ini tidak payahlah kita hendak sibuk-sibuk nilai seseorang itu ‘beriman’ atau ‘tidak beriman’. Itu antara dia dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ telah beritahu kita di dalam surah yang lain, yang kita tidak boleh menilai seseorang sama ada beriman atau tidak dan cukup jikalau mereka telah beri salam kepada kita sahaja maka kita kena terima yang mereka itu adalah orang Islam.
Ini penting kerana masalah yang buruk akan timbul di dalam masyarakat kita jikalau kita suka menilai orang dan melabel ribuan orang itu beriman atau tidak, Muslim atau tidak, munafik dan sebagainya. Sedangkan berkali-kali Allah ﷻ sebut di dalam Al-Qur’an yang hanya Dia sahaja yang mengetahui isi hati manusia.
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَنْبَأَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ أَعْطَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رِجَالًا وَلَمْ يُعْطِ رَجُلًا مِنْهُمْ شَيْئًا فَقَالَ سَعْدٌ : يَا نَبِيَّ اللَّهِ أَعْطَيْتَ فُلَانًا وَفُلَانًا وَلَمْ تُعْطِ فُلَانًا شَيْئًا وَهُوَ مُؤْمِنٌ ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوْ مُسْلِمٌ حَتَّى أَعَادَهَا سَعْدٌ ثَلَاثًا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : أَوْ مُسْلِمٌ ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنِّي لَأُعْطِي رِجَالًا وَأَدَعُ مَنْ هُوَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْهُمْ فَلَا أُعْطِيهِ شَيْئًا مَخَافَةَ أَنْ يُكَبُّوا فِي النَّارِ عَلَى وُجُوهِهِمْ
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Razzaq, telah menceritakan kepada kami Ma’mar, dari Az-Zuhri, dari Amir ibnu Sa’d ibnu Waqqas, dari ayahnya yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ memberi bahagian kepada banyak laki-laki, tetapi tidak memberi seseorang dari mereka barang sedikit pun. Maka Sa’d ibnu Abu Waqqas bertanya: “Wahai Nabi Allah, engkau telah memberi Fulan dan Fulan, tetapi engkau tidak memberi si Fulan barang sedikit pun, padahal dia seorang mukmin?” Maka Rasulullah ﷺ kembali bertanya, “Bukankah dia seorang Muslim?” Sa’d mengulangi pertanyaannya sebanyak tiga kali, dan selalu dijawab oleh Nabi ﷺ dengan pertanyaan, “Bukankah dia seorang Muslim?” Kemudian Nabi ﷺ bersabda: Sesungguhnya aku benar-benar memberi bahagian kepada banyak laki-laki dan aku tinggalkan seseorang yang lebih aku sukai daripada mereka (yang kuberi bahagian) tanpa memberinya sesuatu pun, kerana aku merasa khawatir bila kelak Allah akan menyeret mereka ke dalam neraka dengan muka di bawah. [Musnad Ahmad no. 1440. Dinilai sahih sanadnya sesuai syarat syaikhain oleh Syaikh Syuaib al-Arnauth; An- Nasai no. 4906 dan Abu Daud no. 4063 dengan lafaz sama. Sahih Imam Bukhari no. 26 dan Imam Muslim no. 214 mengetengahkan hadis ini melalui Az-Zuhri dengan sanad yang sama].
Nota: Maksud hadis ini, Allah ﷻ hendak mengingatkan para sahabat yang mereka tidak tahu hati manusia – maka tidak tahu sama ada orang itu ‘mukmin’ atau tidak. Jadi Nabi ﷺ sarankan – hanya kata dia seorang ‘Muslim’ sudahlah.
Malangnya ada orang yang kononnya sudah kenal agama tetapi senang sahaja mengatakan orang lain sebagai ‘munafik’. Ini masalah yang amat besar kerana jikalau kita boleh menilai seseorang itu munafik atau tidak, maka bolehlah kita menyerang mereka kerana orang-orang munafik ini boleh diperangi. Kerana bukankah munafik itu orang-orang kafir sebenarnya?
Dan ini amat bahaya sekali kalau terjadi. Maka jangan kita ada berurusan lagi dengan orang-orang yang mulut mereka senang sahaja mengatakan orang lain munafik. Kerana kalau kita bersama dengan mereka lagi, takut kita pun akan terikut dengan perangai mereka yang buruk. Orang yang melakukan perkara itu ada masalah hati dan perbuatan mereka itu boleh memecahbelahkan masyarakat dan jemaah.
إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Allah ﷻ Maha Pengampun. Oleh itu, kalau seseorang itu sudah sanggup terima agama Islam, maka Allah ﷻ sanggup terima taubatnya. Segala kesalahan dan amalan salah sebelum dia masuk Islam itu akan dihapuskan.
Dan mungkin selepas dia masuk Islam, semasa sedang belajar agama, tentu ada salah silap kerana tidak tahu lagi agama dengan lengkap. Dan selepas dia sudah belajar pun, tentu ada juga kesilapan dan kesalahan yang dilakukannya. Maka semua itu Allah ﷻ sanggup untuk ampunkan kerana Dia Maha Pengampun.
Ada ulama’ kata, amal dia semasa dia baru masuk Islam itu akan disimpan dahulu oleh Allah ﷻ. Dan apabila imannya sudah lengkap, maka amalnya yang awal dulu, akan diluluskan dan diberikan dengan markah penuh. Maka ini bermakna yang Allah ﷻ tidak buang amalan awal mereka dulu semasa mereka masih jahil lagi. Maka dia tidak akan kerugian langsung.
Ayat 15: Sekarang Allah ﷻ hendak menjelaskan siapakah orang-orang yang sebenarnya beriman. Jadi ini adalah Ayat Tabshir.
Inilah neraca mukmin sebenarnya. Kalau hendak tahu kita mukmin atau tidak, lihatlah kriteria yang ada dalam ayat ini dan bandingkan dengan diri kita. Maka tidak perlulah untuk mendakwa kita beriman tetapi lihatlah tanda yang Allah ﷻ berikan ini dan bandingkan dengan apa yang ada pada diri kita.
إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ ثُمَّ لَم يَرتابوا وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The believers are only the ones who have believed in Allāh and His Messenger and then doubt not but strive with their properties and their lives in the cause of Allāh. It is those who are the truthful.
(MELAYU)
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.
إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ ءآمَنوا بِاللهِ وَرَسولِهِ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya,
Ini adalah salah satu dari hanya beberapa ayat Al-Qur’an yang memberikan kriteria orang-orang mukmin. Tidak banyak di dalam Al-Qur’an dan hanya ada di dalam Surah al-Anfal dan satu lagi di Surah an-Noor.
Jadi yang pertama, kenalah beriman dengan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ. Sebelum kata beriman itu, kenalah tahu apa yang perlu diimani. Jangan kata beriman, beriman… tetapi tidak tahu apakah iman itu sendiri.
Jadi kenalah tahu tentang wahyu Al-Qur’an ini kerana apa yang perlu diimani ada dalam Al-Qur’an ini. Jadi kalau kata beriman, tetapi tafsir Al-Qur’an pun tidak belajar lagi, kita susah hendak percaya sama ada iman seseorang itu benar atau tidak.
Beriman dengan Allah ﷻ itu maksudnya kena kenal siapakah Allah ﷻ itu. Dan SifatNya disebut dalam Al-Qur’an, bukan? Jadi kalau hendak kenal Allah ﷻ, kenalah belajar tafsir Al-Qur’an juga. Hendak tak hendak, kena juga belajar tafsir Al-Qur’an ini sampai habis.
Dan kalau kata beriman dengan Rasulullah ﷺ, kenalah terima ajaran baginda dan tidak menyelisihi baginda. Amalan kena ambil amalan dari baginda. Maka tidak boleh hendak reka amalan baru atau pakai amalan rekaan dari manusia. Itu dinamakan amalan bidaah dan amalan bidaah tidak diterima.
Dan beriman dengan Rasulullah ﷺ, tidaklah melebihkan kedudukan baginda dari yang sepatutnya dan tidaklah merendahkan kedudukan baginda. Maka kena hargai baginda seperti yang sepatutnya.
Jangan jadi orang kafir yang tidak pandang Nabi Muhammad ﷺ langsung, dan jangan jadi golongan ghuluw yang terlalu memuliakan kedudukan baginda melebihi kedudukan baginda sebagai Rasul, malah ada yang memberi sifat Tuhan pula kepada baginda!
ثُمَّ لَم يَرتابوا
kemudian mereka tidak ragu-ragu
Selepas mereka beriman, mereka tidak ragu-ragu lagi. Maksudnya, mereka mempunyai iman yang sempurna. Mereka tahu apa yang perlu diimani dan mereka menerimanya. Bukan setakat tahu sahaja.
Kerana ada orang bukan Islam tahu tentang akidah islamiyyah tetapi tidak menerima. Mereka tahu tentang agama Islam setelah mereka buat kajian. Mereka kaji agama Islam sebagai perbuatan ilmiah sahaja – mungkin sampai telah buat Ph.D. tentang agama Islam atau sebagainya.
Begitu juga, ada orang Islam telah tahu tentang perkara akidah dalam Islam. Kerana mungkin ada orang yang telah sampaikan. Tetapi ada dari kalangan umat Islam yang tidak terima pun kerana mereka ragu-ragu. Mereka tidak terima kerana mereka belajar lain, dan yang disampaikan kepada mereka lain.
Sebagai contoh, bila dikatakan tawassul kepada Nabi ﷺ, wali dan malaikat tidak boleh, mereka ragu-ragu. Mereka kata: “tapi guru aku ajar amalan itu, takkan salah pula? Takkan guru aku salah ajar pula? Lama dia belajar… banyak anak murid dia.. takkan salah? Ini pendapat lain ni….ini pendapat wahabi ni….” Jadi kita tidak mahu iman yang sebegini. Kita hendak iman yang sempurna – percaya kepada apa yang perlu dipercayai dan tolak fahaman syirik.
Maka kena terima semua rukun iman. Itu maksud بِاللهِ (dengan Allah) kerana semua rukun iman itu Allah ﷻ yang beritahu. Dan selepas itu mereka tidak ragu-ragu lagi. Iaitu mereka terima sepenuhnya.
Seperti yang kita tahu, iman itu kadang-kadang tinggi dan kadang-kadang turun. Kalau begitu keadaannya, belum tahap yakin lagi. Kerana itu ada yang sudah mengaku amalkan sunnah, tetapi di hadapan puak bidaah, mereka masih buat bidaah lagi sebab takut dikatakan begitu dan begini.
Maknanya mereka itu terganggu dengan suasana dan resam masyarakat setempat. Mereka itu jenis tunggu dan lihat siapakah yang di atas – kalau puak sunnah yang popular, mereka ikut; tetapi kalau tidak, mereka buat senyap sahaja.
Ini tidak boleh dan kerana itu ayat ini memberitahu kita yang kita tidak boleh ada ragu dalam apa sahaja suasana. Kalau ada perasaan ragu-ragu itu, kena ada usaha untuk dapatkan keyakinan. Kena belajar dan hilangkan keraguan itu.
Iman yang sempurna adalah iman yang telah yakin dan iman yang yakin itu kenalah dengan pendalilan. Bila tahu dalil dari Allah ﷻ dan Rasul ﷺ, barulah perasaan yakin itu akan datang. Kalau setakat kata-kata dari ulama’ sahaja, belum tentu lagi kebenarannya. Tambahan pula kalau kata-kata itu dari ustaz. Kerana ustaz itu mungkin cuma ulang apa yang gurunya kata, tetapi sebenarnya tidak beri dalil pun. Maka kita kena minta dalil dari mereka.
وَجٰهَدوا بِأَموٰلِهِم وَأَنفُسِهِم في سَبيلِ اللهِ
dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah.
Kadang-kadang hati telah terima tetapi itu belum cukup lagi kerana itu baru dalam hati sahaja. Yang ada dalam hati belum diuji lagi. Maka kena tunjuk iman yang telah ada dalam hati itu dalam amalan luaran.
Mereka yang benar-benar beriman itu adalah orang yang sanggup berjuang dan sanggup mengeluarkan harta mereka untuk meneruskan misi dakwah Rasulullah ﷺ kepada umat manusia.
Bani Asad datang masuk Islam kerana hendakkan sesuatu. Kalau dalaman sudah ada iman, maka akan nampak pada luaran. Maka patutnya mereka datang untuk beri bantuan kepada Islam dan bukan datang untuk ambil. Maka kita kena bantu Islam dengan jihad. Dan jihad yang kita dapat lakukan sekarang adalah jihad lisan – sampaikan ajaran tauhid ini kepada manusia.
Jihad itu maksudnya sanggup mendahulukan agama dan ketepikan dunia. Maknanya sanggup korbankan harta dan diri. Bila ada sifat ini barulah tanda yang iman itu tulen.
أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
Mereka itulah orang-orang yang benar.
Kalau ada sifat di atas, mereka itulah yang benar dalam dakwaan mereka yang mereka telah beriman. Tidaklah macam Bani Asad dari Badwi itu yang tahu mengaku dengan mulut sahaja.
Orang Muhajirin dan Ansar sanggup mati kerana agama tetapi tidak jaja mengaku mereka beriman pun. Bani Asad baru datang dan baru masuk Islam tetapi sudah mengaku? Inilah masalah dengan mereka dan kebanyakan orang.
Ramai yang mengaku Muslim tetapi tidak belajar lagi pun apakah agama Islam itu sebenarnya. Maka apa yang mereka faham? Dakwa sahaja beriman tidak cukup. Tengoklah para sahabat. Mereka tidak mendakwa pun mereka beriman padahal mereka sudah banyak berkorban. Kerana itu para sahabat ramai, tetapi tidak ada pun yang berebut hendak jadi Khalifah. Mereka buat kerja sahaja tanpa minta apa-apa kedudukan.
Maka jikalau telah ada sifat-sifat yang disebut di atas, barulah orang itu benar-benar seorang mukmin; maknanya tidak perlu dakwa diri itu mukmin tetapi kena periksa dengan syarat-syarat yang telah diberikan oleh Allah ﷻ ini.
Ayat 16: Ayat 16 – 18 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia mengajar rawatan munafik pada sifat-sifat Allah ﷻ.
Ayat 16 ini adalah Ayat Zajrun (teguran). Ada yang telah mengaku beriman. Tapi iman adalah soal hati dan Allah ﷻ sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati. Oleh itu kalau hendak cakap, cakap hal zahir sahajalah. Maka jangan hendak cakap perkara dalam hati. Janganlah mengaku ikhlas atau tidak. Umat Islam tidak diajar perkara yang tidak pasti.
قُل أَتُعَلِّمونَ اللهَ بِدينِكُم وَاللهُ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۚ وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Say, “Would you acquaint Allāh with your religion while Allāh knows whatever is in the heavens and whatever is on the earth, and Allāh is Knowing of all things?”
(MELAYU)
Katakanlah: “Apakah kamu akan memberitahukan kepada Allah tentang agamamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu?”
قُل أَتُعَلِّمونَ اللهَ بِدينِكُم
Katakanlah: “Apakah kamu akan memberitahu kepada Allah tentang agamamu,
Allah ﷻ suruh cakap pada mereka yang suka mengaku itu. Adakah kamu hendak mengajar agama kepada Allah ﷻ dengan mengatakan kamu beriman seolah-olah kamu tahu apakah Iman itu? Adakah kamu hendak memberitahu apa yang ada dalam hati kamu, seolah-olah Allah ﷻ tidak tahu tentang agama dan apa yang dalam hati kamu?
Ini adalah kerana ada orang yang pandai-pandai sendiri meletakkan kriteria apakah maksud Iman itu tanpa merujuk dalil dan nas yang Allah ﷻ sendiri sampaikan. Mereka kata mereka beriman kerana mereka begini dan begitu. Padahal itu adalah dari fikiran mereka sahaja. Mereka sahaja pandai-pandai reka apakah maksud ‘mukmin’ itu. Padahal Allah ﷻ sendiri sudah beri kriterianya.
وَاللهُ يَعلَمُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ
padahal Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi
Takkan Allah ﷻ tidak tahu sampaikan kamu hendak kena ajar Dia sedangkan Allah ﷻ memiliki alam ini dan Allah ﷻlah yang tahu segala-galanya dan kamu tidak tahu apa-apa pun. Termasuk apa yang dalam hati kamu.
Maka tidak payah hendak mengaku sudah beriman. Sebaliknya belajarlah dan cubalah dapatkan sifat-sifat orang beriman itu. Semoga Allah ﷻ terima iman kita dan Allah ﷻ letak diri kita di dalam golongan mukmineen.
وَاللهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليم
dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”
Maka tidak dibenarkan umat Islam cakap perkara dalaman. Tidak payah cakap amalannya ikhlas tetapi buat sahaja amalan itu. Allah ﷻ sendiri yang akan menilai apakah amalan kita itu ikhlas atau tidak.
Ayat 17: Allah ﷻ ingatkan supaya jangan sebut jasa kita kepada agama. Kita bukan berjasa kepada agama pun.
يَمُنّونَ عَلَيكَ أَن أَسلَموا ۖ قُل لّا تَمُنّوا عَلَيَّ إِسلٰمَكُم ۖ بَلِ اللهُ يَمُنُّ عَلَيكُم أَن هَدىٰكُم لِلإيمٰنِ إِن كُنتُم صٰدِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They consider it a favor to you that they have accepted Islām. Say, “Do not consider your Islām a favor to me. Rather, Allāh has conferred favor upon you that He has guided you to the faith, if you should be truthful.”
(MELAYU)
Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah: “Janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu, sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar”.
يَمُنّونَ عَلَيكَ أَن أَسلَموا
Mereka merasa telah memberi nikmat kepadamu dengan keislaman mereka.
Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Bani Asad seperti yang telah disebut sebelum ini. Kisahnya, mereka telah datang kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kata yang mereka telah berjasa dengan masuk Islam. Mereka kata begitu kerana mereka masuk Islam dengan sukarela.
Oleh itu mereka rasa mereka telah berjasa kepada agama Islam kerana mereka rasa yang mereka menambah umat Islam dengan bilangan mereka konon-kononnya. Lihat bagaimana jawapan Allah ﷻ kepada mereka yang sebegini.
قُل لّا تَمُنّوا عَلَيَّ إِسلٰمَكُم
Katakanlah: “Janganlah kamu merasa telah memberi nikmat kepadaku dengan keislamanmu,
Tolong beritahu kepada mereka yang rasa sudah berjasa kepada agama itu: ketahuilah yang kita ini tidak bernilai sangat pun. Kita semua akan mati dan Islam akan tetap kekal tanpa bantuan kita pun. Adakah kamu rasa Islam berkembang kerana kamu? Adakah kamu rasa yang jikalau kamu tidak ada, agama ini tidak akan berkembang?
Maka tolonglah jangan perasan. Jangan perasan diri anda itu ada kelebihan. Kalau agama ini dan dunia ini terus berkembang apabila Rasulullah ﷺ sudah tiada, maka jangan kita sangka yang dunia ini dan agama Islam akan jadi lemah atau berkurangan sedikit pun tanpa kita. Siapalah kita kalau dibandingkan dengan Rasulullah ﷺ?
بَلِ اللهُ يَمُنُّ عَلَيكُم أَن هَدىٰكُم لِلإيمٰنِ
sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan
Jangan kamu rasa yang kamu telah berjasa kepada Allah ﷻ dan Islam dengan kamu berada di dalamnya, sedangkan Allah ﷻlah yang telah memberikan nikmatNya kepada kamu dengan memasukkan kamu ke dalam agama Islam. Maka, bukannya kamu yang telah berjasa tapi Allah ﷻlah yang telah berjasa kepada kamu. Kerana Dialah beri hidayah kepada kamu.
Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Nabi ﷺ kepada orang-orang Ansar di hari Perang Hunain:
“يَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ، أَلَمْ أَجِدْكُمْ ضُلَّالًا فَهَدَاكُمُ اللَّهُ بِي؟ وَكُنْتُمْ مُتَفَرِّقِينَ فَأَلَّفَكُمُ اللَّهُ بِي؟ وَعَالَةً فَأَغْنَاكُمُ اللَّهُ بِي؟ ” كُلَّمَا قَالَ شَيْئًا قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمَنُّ
Hai golongan orang-orang Ansar, bukankah aku jumpai kalian dalam keadaan sesat, lalu Allah memberi petunjuk kepada kalian melaluiku? Dan kalian dalam keadaan berpecah belah, lalu Allah mempersatukan kalian melaluiku? Dan kalian dalam keadaan miskin, kemudian Allah menjadikan kalian berkecukupan melaluiku? Setiap kalimat yang diucapkan oleh baginda Nabi. dijawab oleh mereka dengan ucapan, “Hanya kepada Allah dan Rasul-Nya kami beriman.” [Sahih Bukhari no. 3985 dengan lafaz ini; Sahih Muslim 1758; Musnad Ahmad no. 11583, sanad sahih sesuai syarat syaikhain oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth]
إِن كُنتُم صٰدِقينَ
jika kamu adalah orang-orang yang benar”.
Kalau memang kamu beriman betul pun, itu adalah jasa dari Allah ﷻ juga. Bukan kamu buat sendiri. Allah ﷻ yang tarik kamu ke dalam iman dan beri taufik kepada kamu. Maka dalam hal iman ini pun, kena kembalikan kepada Allah ﷻ.
Ayat 18:
إِنَّ اللهَ يَعلَمُ غَيبَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَاللهُ بَصيرٌ بِما تَعمَلونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, Allāh knows the unseen [aspects] of the heavens and the earth. And Allāh is Seeing of what you do.
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
إِنَّ اللهَ يَعلَمُ غَيبَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan bumi.
Manusia tidak tahu perkara ghaib, jadi jangan hendak bercakap perkara ghaib. Termasuk ghaib adalah apa yang ada dalam hati manusia. Jangan kita mahu buat agak-agak.
وَاللهُ بَصيرٌ بِما تَعمَلونَ
Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Maka Allah ﷻ boleh hukum apa yang Dia lihat. Dan Allah ﷻ akan hukum dengan setimpal dengan apa yang Dia lihat. Kita lihat pun tidak nampak dan hendak hukum pun tidak mampu. Maka serah sahaja kepada Allah ﷻ.
Allahu a’lam. Tamat Tafsir Surah al-Hujurat ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Qaf.
Kemaskini: 24 Jun 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
أَتُعَلِّمونَ اللهَ بِدينِكُم
Katakanlah: “Apakah kamu akan memberitahukan kepada Allah tentang agamamu,
Allah surah cakap pada mereka yang suka mengaku itu. Adakah kamu hendak mengajar agama kepada Allah dengan mengatakan kamu beriman seolah-olah kamu tahu apakah Iman itu? Adakah kamu hendak memberitahu apa yang ada dalam hati kamu, seolah-olah Allah tak tahu tentang agama dan apa yang dalam hati kamu?
Perkataan Surah….sepatutnya suruh.
Minta pembetulan.
LikeLike
baik, terima kasih.
LikeLike