Tafsir Surah Qaf Ayat 1 – 6 (Kebangkitan semula)

Pengenalan:

Surah ini adalah Surah Makkiyah dan ia diturunkan pada bahagian awal empat tahun pertama kenabian dan kerana itu surah ini pendek dan berirama, seperti surah-surah Makkiyah yang lain.

Surah sebelum ini adalah Surah Hujurat di mana ia menceritakan tentang hukum-hukum kenegaraan. Dan tujuh surah selepasnya dimulai dengan surah ini semuanya mempunyai tema tentang akhirat.

Ini kelebihan Al-Qur’an kalau dibandingkan dengan kitab-kitab lain. Tidak banyak diceritakan tentang akhirat di dalam kitab-kitab wahyu yang lain. Kerana itu di dalam Surah Qaf ini akan banyak menceritakan tentang akhirat dan lebih terperinci kalau dibandingkan dengan surah-surah lain.

Ini adalah bahagian ke-empat dari Al-Qur’an. Ianya adalah surah-surah yang bermula dari Surah Saba’. Bahagian ke-empat Al-Qur’an banyak menceritakan tentang akhirat kerana mewakili ayat maaliki yaumiddeen di dalam Fatihah. Ini telah diterangkan dalam bab bagaimana Surah Fatihah dikenali sebagai Ummul Kitab.

Surah ini juga kerap dibaca oleh Nabi ﷺ dalam solat jemaah yang besar seperti Hari Raya atau Raya Mingguan iaitu Hari Jumaat. Baginda baca Surah Qaf di dalam perhimpunan yang besar itu supaya ia didengari oleh ramai orang dan kerana surah ini mempunyai kelebihan. Ini kerana ia dibaca dalam solat yang jarang berlaku dan disertai oleh lebih ramai orang daripada biasa. Maka patut benar kalau kita dapat hafal surah ini.

Dalam surah ini Allah ﷻ menceritakan bagaimana manusia yang telah hancur akan dihidupkan kembali. Dan perkara ini susah untuk diterima oleh Musyrikin Mekah. Mereka boleh terima yang Allah itu Maha Pencipta, tetapi mereka tidak boleh terima yang manusia akan dihidupkan kembali dan ini adalah pelik sekali bagi mereka. Jadi kita kena lihat punca kenapa mereka tidak boleh terima perkara ini.

Dan ini penting untuk diketahui kerana kebangkitan semula adalah salah satu daripada perkara asas dalam agama. Seseorang yang beramal tanpa nampak akhirat maka tawar amalannya. Tidak ada roh di dalam amalannya sampaikan dia boleh tinggalkan agama begitu sahaja. Orang yang ada fikir akhirat maka dia ada roh di dalam amalannya. Jadi kita kena sematkan fahaman ini dalam diri kita.

Kenapa manusia tidak teringat atau terfikir sangat tentang akhirat? Jawapannya adalah kerana tidak biasa dengar tentang akhirat. Maka kerana itu apabila Nabi ﷺ memberitahu tentang akhirat, maka ramai Musyrikin Mekah dengan mudah menolak.

Kerana itulah dalam masyarakat sekarang kalau manusia tidak biasa dengar tentang perkara agama, maka mereka senang untuk tolak apa yang disampaikan kepada mereka tentang agama. Bagi mereka jikalau mereka tidak biasa dengar, maka ianya perkara pelik dan mereka senang dan tidak kisah untuk tolak. Maknanya masyarakat kita jadi sama dengan perangai orang Mekah seperti yang disebut di dalam Al-Qur’an.

Jadi untuk menyelesaikan masalah ini maka kita kena bawa mereka ke kelas pengajian untuk selalu dengar tentang agama. Apabila sudah dengar berkali-kali maka barulah hati mereka boleh menerima. Jadi kebanyakan dari masyarakat sekarang ini mereka menolak kerana mereka tidak biasa dengar lagi maka janganlah kita dengan mudah mengatakan mereka itu orang yang telah ditutup hatinya kepada kebenaran. Kita kena cuba sampaikan dahulu ajaran agama kepada mereka.

Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah kerana mereka tidak ada kitab dan mereka tidak ada Nabi yang menyampaikan agama kepada mereka. Maka Surah Qaf ini hendak memberitahu tentang tsabitnya kebangkitan selepas mati.

Dan selepas ini Surah Dzariyat pula akan menceritakan kejadian selepas kebangkitan itu, iaitu akan ada balasan. Kemudian Surah Tsur pula akan menceritakan tentang balasan azab. Jadi, surah-surah ini memang berkait.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 8 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi jawapan untuk pendustaan Musyrikin Mekah. Allah ﷻ beritahu kenapa mereka mendustakan hari akhirat.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ bersumpah dengan Al-Qur’an. Sumpah dinamakan ‘Qosam’. Allah ﷻ bersumpah dengan Al-Qur’an kerana Al-Qur’an itu mulia di sisi Allah ﷻ maka kerana itu ia dijadikan sebagai subjek sumpah.

ق ۚ وَالقُرءآنِ المَجيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Qāf: (the letter) qāf.

Qāf. By the honored Qur’ān…

(MELAYU)

Qaaf Demi Al-Qur’an yang sangat mulia.

 

ق

Allah ﷻ lebih tahu maknanya. Ini adalah salah satu dari Huruf-huruf Muqatta’ah yang digunakan dalam permulaan Al-Qur’an. Boleh rujuk perbincangan tentang perkara ini dalam surah-surah yang lain.

Yang pasti, kita tidak tahu apakah maknanya dan tidak perlu kita berpanjangan untuk mencari maknanya kerana ia adalah dalam rahsia Allah ﷻ. Jangan kita terbelit dengan cubaan mentafsirnya dengan akal kerana amat bahaya kalau kita buat begitu.

 

وَالقُرءآنِ المَجيدِ

Demi Al-Qur’an yang sangat mulia.

Allah ﷻ memulakan surah ini dengan memuji Al-Qur’an. Kalimah ‘Majid’ merujuk kepada sesuatu yang patut dimuliakan dan yang manusia takjub dengannya. Memang kalau kita belajar tafsir Al-Qur’an semakin lama kita akan melihat betapa hebatnya.


 

Ayat 2: Apabila ada qosam, maka adalah jawaabul qosam. Jawab sumpah adalah: memang benar Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasulullah.

Baginda adalah pilihan Allah ﷻ lagi seorang yang jujur. Maka baginda bukanlah orang biasa. Baginda bukan ahli sihir, penyair, gila dan sebagainya. Kerana apa yang dibacakan olehnya itu adalah bernilai tinggi, maka baginda juga adalah seorang yang bernilai.

Allah ﷻ hendak menekankan yang Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Rasul yang jujur dan kerana itu sepatutnya baginda diterima terus oleh umatnya. Tetapi Allah ﷻ hendak memberitahu tidak begitu yang terjadi kepada orang Mekah itu.

بَل عَجِبوا أَن جاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنهُم فَقالَ الكٰفِرونَ هٰذا شَيءٌ عَجيبٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they wonder that there has come to them a warner from among themselves, and the disbelievers say, “This is an amazing thing.

(MELAYU)

(Mereka tidak menerimanya) bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari (kalangan) mereka sendiri, maka berkatalah orang-orang kafir: “Ini adalah suatu yang amat ajaib”.

 

بَل عَجِبوا أَن جاءَهُم مُّنذِرٌ مِّنهُم

bahkan mereka tercengang kerana telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari (kalangan) mereka sendiri,

Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat sebagai Rasul kerana baginda adalah manusia biasa sahaja pada mereka. Dan baginda dari kalangan mereka sahaja. Sudahlah baginda manusia tetapi dari kampung mereka pula dan bukan orang luar. Jadi mereka tidak nampak kelebihan pada diri baginda.

Ini sebenarnya tidak patut kerana mereka pun tahu tentang ahli-ahli kitab yang berada di Madinah yang ada juga Nabi mereka iaitu Nabi Musa عليه السلام. Dan Nabi Musa عليه السلام itu pun manusia juga. Tetapi kenapa pula mereka tidak boleh menerima Nabi Muhammad ﷺ yang juga seorang manusia, sebagai Nabi?

Jawapannya adalah kerana mereka tidak biasa menerima Nabi yang datang daripada bangsa Arab. Mereka boleh pula terima Yahudi ada Nabi dari kalangan manusia dan ada pula kitab Taurat tetapi apabila dikatakan Nabi dari bangsa Arab, mereka tidak boleh terima pula. Kerana mereka biasa dengar Nabi dari kalangan Bani Israil sahaja.

Ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا أَنْ أَوْحَيْنَا إِلَى رَجُلٍ مِنْهُمْ أَنْ أَنْذِرِ النَّاسَ}

Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia bahawa Kami mewahyukan kepada seorang laki-laki di antara mereka, “Berilah peringatan kepada manusia.” (Yunus: 2)

Baginda membesar bersama mereka dan tiba-tiba apabila umur baginda mencapai 40 tahun, baginda telah memberitahu yang baginda adalah seorang Rasul. Maka kita fahamlah kenapa Arab Mekah susah hendak terima kedudukan baginda itu. Bayangkan kalau orang yang kita membesar dengan dia, tiba-tiba dia kata dia dapat wahyu? Tentulah kita susah hendak terima, bukan?

Tetapi dalam masa yang sama, telah banyak dalil-dalil dan mukjizat yang ditunjukkan oleh baginda. Begitu juga, mereka itu tahu yang Nabi Muhammad ﷺ itu seorang yang amat baik, tidak pernah berbohong. Dan Allah ﷻ mempunyai hak untuk memilih sesiapa sahaja untuk menjadi RasulNya. Sepatutnya mereka kena dengar dululah apa yang baginda sampaikan.

 

فَقالَ الكٰفِرونَ هٰذا شَيءٌ عَجيبٌ

maka berkatalah orang-orang kafir: “Ini adalah suatu yang amat ajaib”.

Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa orang Mekah itu adalah ‘orang darat’ kerana mereka terkejut dan rasa ajaib sungguh apabila Rasul diangkat dari kalangan manusia. Mereka itu sangka yang manusia tidak layak menjadi Rasul dan sepatutnya malaikat yang menjadi Rasul.

Inilah fahaman manusia yang jahil tentang agama. Sedangkan dalam agama-agama sebelum itu pun, semua Nabi dan Rasul diangkat dari kalangan manusia juga. Tetapi Arab Mekah itu orang darat yang tidak ada agama, begitulah.

Mereka melihat perkara itu sebagai perkara yang pelik kerana mereka tidak biasa sahaja. Begitulah manusia akan memusuhi perkara yang mereka tidak biasa dengar. Oleh kerana itu, kita kena mengajak manusia untuk biasa dengar Al-Qur’an ini supaya mereka boleh terima. Mungkin pertama kali mereka akan kehairanan tetapi lama-lama mereka akan jadi biasa.

Allah ﷻ hendak mengajar kita bahawa benda yang pelik dan tidak biasa itu adalah sementara sahaja dan bukannya kekal. Keadaan boleh berubah asalkan kita bersedia membiasakan yang tidak biasa. Kerana itulah pada tahun 8 Hijrah apabila baginda masuk kembali ke Mekah dan menaklukinya, kesemua Arab Mekah yang berada di situ boleh menerima agama Islam dengan molek.

Dulu apabila Nabi Muhammad ﷺ mula-mula berdakwah mereka tolak, tetapi selepas lapan tahun lebih, mereka boleh terima. Ini kerana dulu mereka tidak biasa sahaja dan apabila sudah beberapa tahun, mereka boleh terima hakikat yang memang Muhammad ﷺ itu seorang Rasul.

Dan mereka memang berpegang kuat dengan agama Nabi Muhammad ﷺ itu kerana apabila baginda wafat, memang ada di kalangan bangsa Arab yang murtad tetapi Arab Mekah tidak murtad. Ini kerana mereka sudah pegang kemas agama Islam itu.

Kerana itu tidaklah pelik jikalau ada manusia sekarang yang seperti Arab Jahiliah itu juga. Iaitu apabila kita mula-mula memberitahu tentang ajaran dari Al-Qur’an kepada mereka, mereka menolak tetapi lama kelamaan setelah didakwah dan diajar, mereka boleh terima dan akhirnya mereka akan terima ajaran tauhid ini dengan kemas.

Ini adalah perkara yang biasa sahaja. Dia mungkin tidak dapat terima pada hari pertama sahaja kerana dia tidak biasa dengar tetapi apabila dia memikirkan tentangnya maka lama kelamaan dia akan dapat menerimanya. Dan dia terima pula dengan sungguh-sungguh sampaikan dia juga yang mengajak dan mengajar kepada orang lain tentang Al-Qur’an ini. Kita yang mula-mula menyampaikannya kepada manusia yang kena sabar.

Maka janganlah kita terkejut sangat kalau orang yang kita dakwah dan terangkan tentang tauhid, tentang bidaah dan tentang Al-Qur’an ini tidak dapat menerimanya pada pertama kali. Ini kerana perkara ini amat pelik kepada mereka. Berikan masa kepada mereka. Jangan terus kita marah mereka dan kita terus rasa mereka itu bodoh sangat.


 

Ayat 3: Bukan sahaja mereka pelik manusia diangkat menjadi Rasul, tetapi berita yang disampaikan oleh Rasul itu juga mereka rasa pelik. Tema surah-surah yang awal diturunkan dalam Al-Qur’an adalah tentang hari akhirat dan kerana itu kita akan lihat perkara ini banyak dibincangkan di dalam surah ini.

أَءذا مِتنا وَكُنّا تُرابًا ۖ ذٰلِكَ رَجعٌ بَعيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When we have died and have become dust, [we will return to life]? That is a distant [i.e., unlikely] return.”

(MELAYU)

Apakah kami setelah mati dan setelah menjadi tanah (kami akan kembali lagi)?, itu adalah suatu pengembalian yang tidak mungkin.

 

أَءذا مِتنا وَكُنّا تُرابًا

Apakah kami setelah mati dan setelah menjadi tanah?

Ada muqaddar dalam ayat ini. Mereka hendak kata: “adakah kami akan dibangkitkan semula setelah kami menjadi tanah?”

Mereka tidak dapat menerima yang apabila mereka telah menjadi tanah nanti, mereka akan dihidupkan kembali. Mereka rasa pelik kerana Nabi Muhammad ﷺ beritahu mereka yang pada hari akhirat nanti semua manusia yang pernah hidup akan dibangkitkan sekaligus. Akal mereka rasa ini tidak masuk akal.

 

ذٰلِكَ رَجعٌ بَعيدٌ

itu adalah suatu pengembalian yang jauh.

Pada mereka, itu adalah:

    1. perkara yang amat jauh daripada akal manusia, tidak dapat diterima, ataupun
    2. ia bermaksud mereka telah jauh menjadi makhluk lain (tanah) lalu bagaimana akan menjadi manusia semula.

Jadi ada dua perkara yang orang Mekah itu tidak dapat terima:

    1. tentang kenabian Nabi Muhammad ﷺ, dan
    2. tentang kebangkitan semula.

Pertama mari kita bincangkan tentang Kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun kekeliruan yang diceritakan ini adalah kekeliruan Arab jahiliah dan Musyrikin Mekah, tetapi masyarakat kita pun ada masalah ini juga. Walaupun ramai yang menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul, tetapi kata-kata baginda tidak digunapakai dalam kehidupan dan dalam amalan agama kebanyakan daripada kita.

Kerana itulah banyak kekeliruan di dalam masyarakat kerana salah faham ini. Ramai yang tidak dapat menerima dengan sepenuhnya yang kata-kata baginda kena diikuti. Ramai yang tidak dapat bezakan antara kata manusia dan sabda Nabi ﷺ. Jadi sampaikan kadang-kadang kata manusia sama pula macam sabda Nabi ﷺ pula bagi mereka. Kita bagi hadis dari Nabi ﷺ, tetapi ada pula yang beri hujah dari kata-kata ulama’, tok guru, ustaz dan Habib mana-mana.

Ini tidak patut sama sekali. Mereka pakai kata-kata manusia itu dan tolak sabdaan Nabi ﷺ, hanya kerana penampilan orang yang disanjung itu sahaja. Dia sanggup jadikan kata-kata manusia itu sebagai sebahagian dari agama pula. Kita lihatlah teguran Ibn Abbas رضي الله عنهما kepada anak murid beliau:

يُوشِكُ أَنْ تَنْزِلَ عَلَيْكُمْ حِجِارَةٌ مِنَ السَّمَاءِ، أَقُولُ لَكُمْ: قَال النَّبِيُّ n، وَتَقُولُونَ: قاَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ!؟

“Aku khawatir turun hujan batu dari langit terhadap kalian. Aku mengatakan, ‘Rasulullah bersabda demikian’, dan kalian menyangkalnya dengan mengatakan, ‘Abu Bakr berkata demikian dan ‘Umar berkata demikian’?” (Majmu’ Fatawa 26/50)

Kalau kata-kata Abu Bakr dan Umar رضي الله عنهما pun tidak boleh melawan kata-kata baginda, apatah lagi kata-kata manusia lain? Maka kena belajar bezakan antara kata manusia dan sabdaan Nabi ﷺ. Kerana keduanya tidak sama dan ini adalah masalah orang Melayu.

Mereka memang terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul, tetapi tidak pandai hendak ikut kata baginda. Jadi macam tidak ada erti mereka mengaku Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Nabi lagi Rasul. Kerana mereka senang-senang sahaja tinggalkan kata-kata Nabi dan berpegang kepada kata-kata manusia.

Mereka tidak faham bahawa Nabi dan manusia lain tidak sama taraf. Kerana itu kelam kabut agama dalam masyarakat kita sekarang ini. Dan amat bahaya bagi akidah bila tidak pandai hendak bezakan kata manusia dan sabdaan Nabi ﷺ.

Oleh itu, kita boleh katakan orang Melayu tidak engkar kepada Nabi ﷺ tetapi engkar kepada sabdanya. Ini adalah kerana jahil sahaja, tidak belajar. Malangnya bila diajak belajar, mereka tidak mahu. Hasilnya, seperti yang kita boleh lihat sekarang.

Seterusnya tentang Kebangkitan Semula. Dan ramai manusia ada masalah untuk terima kebangkitan semula. Ada empat perkara dan fahaman manusia yang menolak tentang Kebangkitan Semula itu. Tidak lebih dari empat perkara ini:

1. Mereka rasa kebangkitan semula itu adalah perkara yang mustahil. Allah ﷻ  jawab salah faham mereka itu dalam surah ini. Mari kita lihat dari sudut pandangan mereka: Jadi ada tiga perkara yang memustahilkan Allah ﷻ membangkitkan semula makhluk:

a. Jika Allah ﷻ tidak mampu untuk bangkitkan jasad yang telah lama hancur.
b. Allah ﷻ tidak tahu mana jasad manusia itu kerana ia sudah hancur.
c. Allah ﷻ lemah setelah sekian lama makhluk itu mati. Iaitu dahulu masa cipta memang Allah ﷻ ada kuasa tetapi sekarang tidak boleh.

Kalau ketiga-tiga perkara di atas itu benar, maka benarlah Allah ﷻ mustahil hendak hidupkan semula. Tetapi tentulah semua perkara itu tidak benar. Ini akan dijawab satu persatu selepas ini.


 

Ayat 4: Maka Allah ﷻ jawab kekeliruan mereka itu.

قَد عَلِمنا ما تَنقُصُ الأَرضُ مِنهُم ۖ وَعِندَنا كِتٰبٌ حَفيظٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We know what the earth diminishes [i.e., consumes] of them, and with Us is a retaining record.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang dihancurkan oleh bumi dari (tubuh-tubuh) mereka, dan pada sisi Kami ada kitab yang memelihara (mencatat).

 

قَد عَلِمنا ما تَنقُصُ الأَرضُ مِنهُم

Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang dihancurkan oleh bumi dari mereka,

Musyrikin Mekah tidak dapat percaya yang mereka akan dihidupkan semula kerana mereka akan jadi hancur dan jadi tanah. Maka Allah ﷻ beritahu tidak payahlah hendak mengajar apa yang akan terjadi kepada mereka setelah mereka mati, kerana Allah ﷻ lebih tahu apa yang terjadi di dalam kubur itu. Allah ﷻ tahu yang tubuh mereka akan dimakan oleh tanah dan serangga dan binatang-binatang di dalamnya.

Ini adalah tentang kesempurnaan ilmu Allah ﷻ. Ia menolak kemungkinan (b) iaitu Allah ﷻ tidak tahu di manakah jasad makhluk yang telah hancur itu. Iktikad kita ialah Allah ﷻ tahu di mana setiap jasad manusia itu dan juzuk-juzuk manusia itu, untuk Allah ﷻ bangkitkan dia semula.

Kalau manusia memanglah tidak boleh untuk menghidupkan manusia yang telah hancur kerana kita pun sudah tidak tahu di manakah bahagian tubuhnya. Tetapi kesempurnaan ilmu Allah ﷻ membolehkan Allah ﷻ untuk menghidupkan manusia semula.

Jadi sebelum ini telah diberitahu bahawa mereka yang menolak Kebangkitan Semula itu kerana mereka rasa yang Kebangkitan Semula itu mustahil. Maka kita katakan yang memang ianya mustahil jika Allah ﷻ tidak tahu di manakah jasad manusia itu tetapi di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang Dia tahu tentang kedudukan dan keberadaan jasad manusia yang telah mati itu.

 

وَعِندَنا كِتٰبٌ حَفيظٌ

dan pada sisi Kami ada kitab yang memelihara

Allah ﷻ memberitahu yang walaupun mereka akan hancur, tetapi amalan-amalan mereka telah tetap tertulis di dalam kitab-kitab amalan yang akan dipersembahkan di hari akhirat kelak.

Mungkin ada yang bertanya apakah hikmah hidupkan semula manusia? Jawapannya adalah supaya Allah ﷻ boleh balas perbuatan yang mereka lakukan semasa mereka di dunia. Sama ada dibalas dengan baik ataupun dibalas dengan buruk.

Dan pembalasan ini penting kerana hendak menegakkan keadilan. Mereka akan dipertanggungjawabkan dengan segala amalan dan perbuatan mereka itu. Jangan mereka sangka yang mereka akan terlepas dari segala perbuatan mereka.

Dan segala kebaikan yang telah dilakukan tentulah sia-sia kalau tidak dibalas dengan pahala dan nikmat di akhirat. Kalau tidak dibalas dengan baik, tentu lebih menguntungkan kalau kita ikut nafsu kita sahaja, bukan?


 

Ayat 5: Ini adalah ayat jenis Jumlah Mu’taridah. Ia bukan dari rentetan ayat-ayat sebelum ini. Allah ﷻ keluar sebentar dari rentetan ayat-ayat tadi untuk memberitahu perkara yang penting. Apakah ia?

Sepatutnya manusia yang berakal sudah boleh terima tentang adanya Kebangkitan Semula. Tetapi tetap ada juga manusia yang menolak dan mereka menolak itu pun kerana degil sahaja, bukan sebab lain. Allah  ﷻ beritahu kenapa mereka engkar dengan berita tentang kebangkitan semula itu.

بَل كَذَّبوا بِالحَقِّ لَمّا جاءَهُم فَهُم في أَمرٍ مَّريجٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they denied the truth when it came to them, so they are in a confused condition.

(MELAYU)

Sebenarnya, mereka telah mendustakan kebenaran tatkala kebenaran itu datang kepada mereka, maka mereka berada dalam keadaan kacau balau.

 

بَل كَذَّبوا بِالحَقِّ لَمّا جاءَهُم

Bahkan, mereka telah mendustakan kebenaran tatkala kebenaran itu datang kepada mereka,

Allah ﷻ hendak beritahu bahawa Allah ﷻ tahu perangai mereka itu. Mereka mendustakan kebenaran dengan mengatakan kebenaran yang disampaikan itu adalah dusta. Mereka kata ianya dusta, sebab itu mereka tidak percaya.

 

فَهُم في أَمرٍ مَّريجٍ

maka mereka berada dalam keadaan kacau balau.

Kalimah مَريجٍ adalah apabila dua perkara yang bercampur baur. Apabila dua perkara bercampur baur sampaikan tidak dapat membezakan satu dengan lainnya maka itu menyebabkan kekeliruan. Mereka sendiri akan keliru, tambahan pula orang lain.

Ini terjadi kerana mereka menafikan perkara yang benar. Apabila menolak perkara yang benar, maka ia tidak kuat. Walaupun mereka menafikan, tetapi ianya adalah penafian yang tidak kuat. Ini macam menafikan benda yang ada di depan mata – nak tolak macam mana lagi?

Ini terjadi kerana mereka menolak perkara yang mereka tidak biasa dengar. Sedangkan mereka sendiri tahu yang Allah ﷻ mampu untuk mencipta mereka dari dulu lagi. Tetapi hanya kerana ianya pelik pada telinga mereka dan akal mereka, mereka terus tolak.

Kerana itulah masyarakat yang beramal tanpa dalil itu akhirnya akan rebah. Kerana mereka melakukan sesuatu yang tidak ada dalil. Katakanlah kita tawarkan mereka seribu ringgit untuk bawa keluar dalil tentang amalan mereka, tentu mereka tidak dapat nak bawa dalil. Tentu mereka akan kelam kabut kerana mereka tidak tahu mana hendak cari jawapan tepat. Mereka tanya ustaz lain pun mereka tidak akan dapat. Kita pun tanya lagi pada dia: “mana dalil? mana dalil?” Tentu dia akan resah.


 

Ayat 6: Ayat 6 – 11 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberi dalil adanya akhirat. Seperti kita telah sebut, ada yang tidak percaya dengan kebangkitan semula.

Mereka yang menolak kebangkitan semula itu menafikan Qudrat Allah ﷻ (alasan [a]). Pada mereka mustahil akan terjadi hari kebangkitan itu, seolah-olah Allah ﷻ tidak ada kuasa. Maka Allah ﷻ tsabitkan kuasaNya di sini. Tengoklah alam ini yang telah terbentang luas.

أَفَلَم يَنظُروا إِلَى السَّماءِ فَوقَهُم كَيفَ بَنَينٰها وَزَيَّنّٰها وَما لَها مِن فُروجٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not looked at the heaven above them – how We structured it and adorned it and [how] it has no rifts?

(MELAYU)

Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikit pun?

 

أَفَلَم يَنظُروا إِلَى السَّماءِ فَوقَهُم

Apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka?

Allah ﷻ suruh mereka menggunakan pancaindera mata mereka dan akal mereka. Allah ﷻ suruh lihat langit. Ini adalah kerana langit adalah sesuatu yang amat menakjubkan dan semua orang yang ada mata boleh melihatnya. Allah ﷻ tanya kepada mereka: tidakkah mereka lihat kepada langit itu?

Tengok memang semua orang tengok. Tetapi adakah yang melihat itu melihat dengan mata hati? Adakah mereka memikirkan tentang langit itu?

 

كَيفَ بَنَينٰها وَزَيَّنّٰها

bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya

Lihatlah berkali-kali bagaimana Allah ﷻ telah membina langit itu dan telah mencantikkannya. Allah ﷻ cantikkan langit itu dengan memberikan bintang-bintang bergemerlapan. Sampaikan orang Arab sendiri amat suka melihat kepada bintang-bintang itu.

Sampaikan mereka selalu berbaring di bumbung rumah mereka di malam hari sambil melihat bintang. Mereka pun tidak ada televisyen jadi melihat bintang adalah salah satu dari pengisi masa lapang mereka. Bumbung rumah mereka bukanlah macam bumbung rumah kita (yang berbentuk V kerana kita banyak hujan). Ianya datar, jadi mereka boleh berbaring atas bumbung rumah mereka.

Maknanya, memang mereka selalu tengok langit.

 

وَما لَها مِن فُروجٍ

dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikit pun?

Sudahlah langit itu indah, ia tidak ada langsung keretakan padanya. Bukan kata pecah, retak pun tidak. Langit itu tinggi lagi besar dan dihiasi, tetapi tidak ada retak sedikit pun. Maknanya, hebat sekali Allah ﷻ dalam penciptaan alam ini.

Orang-orang yang  mengkaji bintang, langit dan angkasa boleh mendapat maklumat yang lebih banyak apabila mereka mengkaji. Begitu punya luas langit itu, tidak ada keretakan satu pun padanya. Sudah lama teropong pun tidak nampak lagi mana hujung langit itu. Tetapi sepanjang-panjang yang mereka dapat lihat itu, tidak ada retak lagi, tidak ada cacat lagi yang mereka jumpa.

Yang mereka dapat lihat adalah keindahan yang tidak ada hujungnya. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَوَاتٍ طِبَاقًا مَا تَرَى فِي خَلْقِ الرَّحْمَنِ مِنْ تَفَاوُتٍ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَى مِنْ فُطُورٍ. ثُمَّ ارْجِعِ الْبَصَرَ كَرَّتَيْنِ يَنْقَلِبْ إِلَيْكَ الْبَصَرُ خَاسِئًا وَهُوَ حَسِيرٌ}

Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandanglah sekali lagi, nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itu pun dalam keadaan payah. (Al-Mulk: 3-4)

Jadi Allah ﷻ hendak memberitahu: kalau Allah ﷻ boleh membuat langit yang begitu hebat, malah lebih hebat dari manusia, jadi apakah susah sangat bagi Allah ﷻ untuk menghidupkan semula manusia itu? Ini perumpamaan, macam kalaulah orang Jepun boleh buat kereta, tentu buat basikal mereka lagi boleh. Tidak payah hendak cerita tentang basikal, sebab kereta yang lebih hebat pun mereka boleh buat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Qaf Ayat 1 – 6 (Kebangkitan semula)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s