Tafsir Surah Qaf Ayat 7 – 15 (Allah tidak letih)

Ayat 7: Dan ini pula adalah kajian yang boleh dijalankan oleh golongan geologist. Mereka boleh buat kajian tanah dan gunung ganang.

وَالأَرضَ مَدَدنٰها وَأَلقَينا فيها رَوٰسِيَ وَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ بَهيجٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the earth – We spread it out and cast therein firmly set mountains and made grow therein [something] of every beautiful kind,

(MELAYU)

Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata,

 

وَالأَرضَ مَدَدنٰها

Dan Kami hamparkan bumi itu

Allah ﷻ jadikan bumi ini luas mendatar. Tetapi ini tidaklah bermakna yang bumi ini datar/leper; bumi ini tetap bulat (sfera) tetapi kerana ianya amat luas, sampaikan pada pandangan mata kita, ianya nampak seperti datar sahaja.

Allah ﷻ jadikan bumi ini datar bagi kita supaya senang kita hidup di atas muka bumi ini. Kalau melengkuk-lengkuk di sana sini, susah kita hendak hidup. Walaupun ada banyak kawasan susah nak hidup, seperti lautan dan kawasan berbukit, tetapi banyak kawasan yang boleh didiami oleh manusia. Allah ﷻ jadikan mudah untuk kita hidup di atas muka bumi ini.

 

وَأَلقَينا فيها رَوٰسِيَ

dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kukuh

Kita boleh lihat ada banyak gunung ganang di bumi ini. Kepada orang Arab yang mula-mula mendengar ayat ini dibacakan pun, mereka pun suka melihat kepada gunung ganang itu. Kerana mereka terpesona dengan keindahan dan kekukuhan gunung ganang itu.

Allah ﷻ hendak beritahu yang gunung ganang itu tidak terjadi sendiri tetapi Allah ﷻlah yang menjadikannya sebagai paku/pasak bagi bumi. Ini adalah kerana tanah daratan kita ini di atas plat bumi yang bergerak. Kalau tidak ada pasak, ia akan lagi laju bergerak dan susah untuk kita hidup. Maka Allah ﷻ jadikan gunung sebagai pasak yang meneguhkan plat tempat kita tinggal ini.

 

وَأَنبَتنا فيها مِن كُلِّ زَوجٍ بَهيجٍ

dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata,

“Bahij” ertinya sesuatu yang indah dipandang mata. Dan ini pula adalah bidang untuk botanist. Allah ﷻ telah tumbuhkan segala jenis tumbuhan. Dan tumbuhan itu memang sedap dipandang mata dan menenangkan hati kita bila melihatnya. Begitu banyak sekali spesis tumbuhan di alam ini, dan ada sahaja spesis baru yang timbul kerana perkahwinan antara spesis-spesis yang lain.

Maka ianya amat menarik sekali kerana tumbuhan yang berbagai-bagai itu ada kelebihan-kelebihan tertentu dan keindahan bersangatan dengan warna-warna yang menarik. Sebagai contoh, bidang herba akan mencari khasiat daun-daun dan pokok-pokok dan boleh dijadikan ubat. Tidaklah kita bergantung kepada ubat chemical sahaja kerana ia tidak elok.


 

Ayat 8:

تَبصِرَةً وَذِكرىٰ لِكُلِّ عَبدٍ مُّنيبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Giving insight and a reminder for every servant who turns [to Allāh].

(MELAYU)

untuk menjadi pandangan dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat Allah).

 

Semua yang telah disebut itu adalah sebagai tanda-tanda untuk kita lihat. Iaitu kebenaran kepada berita akhirat dan azab di akhirat itu adalah benar. Kerana Allah ﷻ boleh buat semua ini, bermakna Allah ﷻ pasti mampu hendak buat hari akhirat itu nanti.

Bukan sia-sia Allah ﷻ jadikan alam ini tetapi ianya menjadi pengajaran yang boleh dilihat sendiri oleh manusia. Maka kita kena lihat alam ini untuk kita mengenal Tuhan. Kita akan sedar betapa hebatnya Tuhan kita kerana mampu melakukan semua keindahan di alam dunia ini.

Tetapi alam ini memang sentiasa kita nampak, bukan? Tetapi kenapa ramai lagi yang masih tidak ambil pengajaran? Ini adalah kerana ‘pandangan’ yang dimaksudkan bukanlah pandangan mata fizikal, tetapi dengan pandangan mata hati. Kalau buta mata hati, memang tidak nampak.

Dan sebagai peringatan kepada عبد منيب hamba yang mahu ‘kembali’ kepada Allah ﷻ. Orang yang hendak mengenal Tuhan itu, apabila mereka melihat alam ini ia akan memberi faedah kepada mereka. Iaitu mereka yang hendak kepada kebenaran dan hendak menjadi dekat dengan Tuhan. Kalau ada keinginan ini dalam hati manusia, maka manusia itu akan ditarik oleh Allah ﷻ kepada kebenaran. Segala keindahan alam ini mereka kembalikan kepada Allah ﷻ. Mereka ingat yang Allah ﷻ yang jadikannya.

Kalau عبد منيب, mereka akan ada sifat ‘inabah’. Iaitu mereka yang kembali, condong kepada Allah ﷻ. Kebenaran itu diberikan kepada semua orang tetapi yang ada sifat inabah sahaja yang mahu terima. Dan majoriti dari manusia tidak mahu terima. Sebab itulah majoriti dari manusia bukan Muslim. Ini kerana kebanyakan manusia tidak مُنيبٍ.

Sifat مُنيبٍ adalah orang yang condong kepada kebenaran. Malangnya ramai yang tidak ada sifat ini dan Al-Qur’an memang sudah sebut dari dulu lagi. Semoga kita tidak termasuk golongan mereka. Maka hendaklah kita selalu tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an ini supaya mata hati kita lebih cerah lagi.

Sifat مُنيبٍ ini tidak semestinya bagi orang yang asalnya Muslim. Kerana ramai dari agama lain yang masuk ke dalam Islam kerana mereka ada sifat inabah ini. Walaupun mereka lahir agama lain, tetapi ada keinginan dalam hati mereka kepada kebenaran, maka Allah ﷻ akan tarik mereka kepada Islam. Apabila kebenaran disampaikan kepada mereka, mereka senang terima.


 

Ayat 9:

وَنَزَّلنا مِنَ السَّماءِ ماءً مُّبٰرَكًا فَأَنبَتنا بِهِ جَنّٰتٍ وَحَبَّ الحَصيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have sent down blessed rain from the sky and made grow thereby gardens and grain from the harvest

(MELAYU)

Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak barakahnya lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-biji tanaman yang dituai,

 

وَنَزَّلنا مِنَ السَّماءِ ماءً مُّبٰرَكًا

Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak barakahnya

Air hujan yang diturunkan oleh Allah ﷻ itu mempunyai barakah kerana dengannya dapat mengeluarkan potensi daripada tanah itu. Kerana tanah memang telah ada potensi, tetapi ia tidak dapat mengeluarkan tumbuhan dengan sendiri. Kena ada air baru menjadi.

Barakah maksudnya sesuatu yang ada banyak kelebihan dan kelebihan itu bertambah dan bertambah. Begitulah sifat air yang ada keberkatan di dalamnya.

Maka Allah ﷻ turunkan air hujan kerana dengannya dapat menjalankan proses fotosintesis untuk menjadikan tumbuh-tumbuhan. Lihatlah bagaimana air yang sama boleh menumbuhkan rumput yang rendah dan pokok cengal yang tinggi. Air yang sama melahirkan pokok yang berlainan rupa dan rasa juga berlainan. Inilah barakah.

Dan ianya hanya datang dari Allah ﷻ. Segala keberkatan dari Allah ﷻ, bukan dari manusia. Manusia tidak ada berkat dan tidak boleh berkat. Maka jangan kata ada guru-guru boleh memberkati tempat dan anak murid pula. Kalau ada fahaman ini, maka ada masalah syirik dalam hati.

Memang kehidupan memerlukan air dan kerana itu kalau ada eksplorasi ke planet lain, saintis akan cari sama ada planet itu ada kesan air atau tidak. Kerana kalau ada kesan air, maka itu menunjukkan ada kehidupan di planet itu. Atau pernah ada kehidupan di planet itu.

 

فَأَنبَتنا بِهِ جَنّٰتٍ وَحَبَّ الحَصيدِ

lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun dan biji-biji tanaman yang dituai,

Hebat tidak hebat air yang Allah ﷻ turunkan itu, dengan satu jenis saja boleh menumbuhkan berbagai-bagai jenis tanaman. Ada tumbuhan yang mudah mati seperti gandum, dan ada yang boleh hidup beratus tahun. Air yang sama sahaja, tapi tumbuh berbagai jenis.

Ada tanaman yang jenis biji-bijian yang kemudiannya dituai. Memang selalu dituai dan kalau tidak dituai apabila cukup tempohnya, ia akan mati. Selalunya biji-bijian ini dijadikan makanan ruji pada sesuatu tempat itu seperti beras kalau di Malaysia ini.

Memang tumbuhan lain ada juga, tetapi Allah ﷻ sebut yang dituai kerana itulah yang banyak manusia makan. Tanaman macam epal ada juga, tetapi tidak semua orang makan epal. Akan tetapi semua orang makan nasi dan gandum.


 

Ayat 10:

وَالنَّخلَ باسِقٰتٍ لَّها طَلعٌ نَّضيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And lofty palm trees having fruit arranged in layers –

(MELAYU)

dan pohon kurma yang tinggi-tinggi yang mempunyai mayang yang bersusun-susun,

 

Dan ada jenis tanaman seperti pohon kurma yang jenis naik tinggi. Dan ia bermayang-mayang, berpelepah-pelepah. Buahnya pula bergugus-gugus, setandan-setandan. Kalau di Malaysia, ini adalah seperti pokok kelapa.


 

Ayat 11:

رِزقًا لِّلعِبادِ ۖ وَأَحيَينا بِهِ بَلدَةً مَّيتًا ۚ كَذٰلِكَ الخُروجُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

As provision for the servants, and We have given life thereby to a dead land. Thus is the emergence [i.e., resurrection].

(MELAYU)

untuk menjadi rezeki bagi hamba-hamba (Kami), dan Kami hidupkan dengan air itu tanah yang mati (kering). Seperti itulah terjadinya kebangkitan.

 

رِزقًا لِّلعِبادِ

untuk menjadi rezeki bagi hamba-hamba

Segala yang telah disebut sebelum ini – air, tumbuhan, pokok – adalah rezeki yang Allah ﷻ berikan kepada hamba-hambaNya. Ia adalah kurniaan dari Allah ﷻ. Allah ﷻ sahaja pemberi rezeki kepada makhluk. Maka kena kenang ini dan bersyukur kepada Allah ﷻ.

 

وَأَحيَينا بِهِ بَلدَةً مَّيتًا

dan Kami hidupkan dengan air itu tanah yang mati

Kalau satu kawasan itu telah lama tidak dapat air, maka ia akan jadi gersang  – dan ini diibaratkan sebagai ‘tanah yang mati’. Akan tetapi apabila Allah ﷻ takdirkan hujan turun di kawasan itu, kehidupan kembali tumbuh. Maka dengan cara itu Allah ﷻ dan menghidupkan tanah dan tumbuhan yang mati.

 

كَذٰلِكَ الخُروجُ

Seperti itulah terjadinya pengeluaran (kebangkitan semula).

Allah ﷻ beri penerangan tentang bagaimana tanah yang mati boleh dihidupkan kembali dengan air. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ nak hidupkan tanah itu kembali.

Dan begitulah juga manusia akan dihidupkan apabila telah sampai hari kiamat. Bukanlah dengan air, tetapi Allah ﷻ hendak menunjukkan mudah sahaja Allah ﷻ hendak hidupkan kembali manusia ini – semudah Allah ﷻ hidupkan tanah yang gersang itu kembali kepada kehidupan.

Allah ﷻ suruh lihatlah bagaimana Dia boleh jadikan benda yang telah mati boleh hidup kembali. Semua itu mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk jadikan kerana Qudrat Allah ﷻ. Maka janganlah rasa Allah ﷻ tidak mampu pula.

Ayat ini adalah Maksud Surah ini. Allah ﷻ hendak beritahu yang senang sahaja Allah ﷻ jadikan makhluk dan senang sahaja Allah ﷻ hendak hidupkan kembali dari kematian. Senang sahaja Allah ﷻ hendak keluarkan manusia dari kubur masing-masing.

Tidak perlulah fikirkan macam mana cara Allah ﷻ melakukannya kerana akal kita tidak dapat nak mendalaminya. Cuma kena ingat sahaja yang kalau Allah ﷻ boleh jadikan makhluk dari tidak ada kepada ada, dan kemudian Allah ﷻ boleh hidupkan tanah yang mati dengan air sahaja, maka kalau Allah ﷻ hendak hidupkan kita kembali pun senang sahaja – kerana dari kuasa yang sama. Maka kenapa tidak boleh hendak terima hakikat ini?


 

Ayat 12: Ayat 12 – 14 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu kisah empat kaum yang dibinasakan. Setelah diberikan dengan berbagai hujah dan dalil, tetapi memang ramai manusia yang menentang wahyu. Dari dulu sampailah sekarang.

Jadi ini adalah ayat takhwif duniawi (penakutan tentang azab di dunia). Sepatutnya manusia terima ajaran wahyu ini dan kalau tidak, Allah ﷻ takutkan dengan ayat-ayat takhwif ini.

Kalau mereka tidak terima, maka mereka kena ingat yang mereka bukan makhluk istimewa. Mereka tetap akan kena azab seperti kaum-kaum yang Musyrikin Mekah sendiri pun tahu mereka telah kena azab.

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ وَأَصحٰبُ الرَّسِّ وَثَمودُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The people of Noah denied before them,¹ and the companions of the well and Thamūd

  • i.e., before the disbelievers of Makkah.

(MELAYU)

Sebelum mereka telah mendustakan (pula) kaum Nuh dan penduduk Rass dan Tsamud,

 

كَذَّبَت قَبلَهُم قَومُ نوحٍ

Sebelum mereka, telah mendustakan (pula) kaum Nuh

Bukan Musyrikin Mekah sahaja yang menolak dan mendustakan Rasul mereka, tetapi sebelum mereka itu pun telah ada kaum-kaum lain yang menolak Rasul-rasul mereka. Yang terkenal seperti kaum Nabi Nuh عليه السلام.

Jadi kamu orang Mekah bukanlah yang mula-mula sekali menolak.

 

وَأَصحٰبُ الرَّسِّ وَثَمودُ

dan penduduk Rass dan Tsamud,

Kalimah الرَّسِّ dari kata dasar ر س س yang bermaksud telaga dan selalu digunakan untuk telaga yang sudah lama dan usang. Mereka yang dimaksudkan adalah kaum yang menolak dakwah Rasul mereka dan mereka telah membunuh Rasul mereka dengan membuangnya ke dalam telaga. Dan kerana itu mereka digelar sebagai أَصحابُ الرَّسِّ (sahabat telaga). Ada pendapat yang mengatakan mereka itu adalah kaum Nabi Syuaib عليه السلام .

Kaum Tsamud selalu disebut dalam Al-Qur’an. Tempat tinggal mereka tidak jauh dari Arab Mekah iaitu di Syam dan kerana itulah Arab Mekah kenal kaum Tsamud itu. Mereka pun tahu yang Kaum Tsamud itu dihancurkan kerana kesalahan mereka.

Jadi Allah ﷻ ingatkan balik kepada mereka supaya jangan jadi seperti Kaum Tsamud itu.


 

Ayat 13:

وَعادٌ وَفِرعَونُ وَإِخوٰنُ لوطٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And ‘Aad and Pharaoh and the brothers [i.e., people] of Lot

(MELAYU)

dan kaum Aad, kaum Fir’aun dan saudara Luth,

 

وَعادٌ وَفِرعَونُ

dan kaum Aad, kaum Fir’aun

Selepas Kaum Tsamud, kaum yang seterusnya adalah Kaum Aad dan Rasul mereka adalah Nabi Hud عليه السلام. Arab Mekah pun kenal mereka kerana kawasan penempatan mereka tidak jauh dari Mekah iaitu di Yaman dan mereka melalui kawasan penempatan lama itu di dalam musafir mereka. Maka Allah ﷻ cuma ingatkan balik sahaja.

Dan mereka juga pernah dengar tentang Firaun dan apa yang terjadi kepada Firaun dan kaumnya yang menentang Nabi Musa عليه السلام. Cuma mungkin kerana mereka hanya dengar-dengar sahaja kisah lama itu, maka maklumat tentang kisah Firaun itu tidak lengkap. Kerana itu banyak kisah Nabi Musa عليه السلام dan Firaun dalam Al-Qur’an kerana hendak memberi maklumat sebenar tentang mereka.

 

وَإِخوٰنُ لوطٍ

dan saudara Luth,

Nabi Luth عليه السلام adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Nabi Luth عليه السلام telah dihantar kepada Kaum Sadum/Sodom dan Al-Gur (Gomorah), iaitu mereka yang mengamalkan homoseksual (sodomi).

Oleh kerana Nabi Luth عليه السلام bukanlah dari kaum mereka, maka mereka hanya dikatakan sebagai ‘saudara Luth’ sahaja, bukan ‘Kaum Luth’.


 

Ayat 14: Ayat takhwif duniawi.

وَأَصحٰبُ الأَيكَةِ وَقَومُ تُبَّعٍ ۚ كُلٌّ كَذَّبَ الرُّسُلَ فَحَقَّ وَعيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the companions of the thicket and the people of Tubba‘. All denied the messengers, so My threat was justly fulfilled.

(MELAYU)

dan penduduk Aikah serta kaum Tubba’ semuanya telah mendustakan rasul-rasul maka sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.

 

وَأَصحٰبُ الأَيكَةِ

dan penduduk Aikah

Yang dimaksudkan adalah penduduk Madyan. Rasul yang dihantar kepada mereka adalah Nabi Syu’aib عليه السلام. Aikah maksudnya ‘pokok besar’ sebab di kawasan itu ada pokok besar yang tumbuh.

 

وَقَومُ تُبَّعٍ

serta kaum Tubba’

Kaum Tubba’ ini berasal dari Yaman. Kisah mereka telah ada dalam Surah Dukhan jadi tidak perlu diulang di sini.

 

كُلٌّ كَذَّبَ الرُّسُلَ

semuanya telah mendustakan rasul-rasul

Mereka semuanya mengatakan rasul-rasul mereka sebagai pendusta jadi mereka tidak terima dakwah dari para Rasul عليهم السلام itu. Dan barang siapa yang mendustakan seorang rasul, maka seakan-akan sama saja dengan mendustakan semua rasul, seperti yang disebutkan dalam firman-Nya:

{كَذَّبَتْ قَوْمُ نُوحٍ الْمُرْسَلِينَ}

Kaum Nuh telah mendustakan para rasul. (Asy-Syu’ara: 105)

Padahal sesungguhnya yang datang kepada mereka hanyalah seorang rasul. Tetapi seandainya datang semua rasul عليهم السلام kepada mereka, maka mereka akan bersikap sama, iaitu mendustakan semuanya. Oleh itu, mereka dikatakan telah mendustakan semua rasul-rasul.

 

فَحَقَّ وَعيدِ

sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.

Maka layaklah mereka dikenakan dengan azab yang Allah ﷻ pernah janjikan kepada mereka. وَعيدِ adalah janji yang menakutkan dan kerana itu ia bukan janji yang biasa.

Oleh kerana mereka itu telah menolak Rasul-rasul mereka dan mereka mengatakan Rasul itu pendusta, maka layaklah mereka dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi. Dan di akhirat mereka akan dikenakan dengan azab yang lebih teruk.

Jadi Allah ﷻ hendak ingatkan manusia, kalau mereka pun seperti kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu, mereka pun boleh dikenakan dengan azab seperti kaum-kaum itu juga.


 

Ayat 15: Ayat 15 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia adalah Ayat Zajrun (teguran). Boleh jadi terlintas pada fikiran Musyrikin Mekah itu yang Allah ﷻ itu lemah. Mereka tidak sangka Allah ﷻ boleh buat kebangkitan semula kerana mereka kiaskan Allah ﷻ dengan makhluk pula. Kerana kalau makhluk memanglah kalau dulu kuat, tetapi bila sudah tua, sudah tidak boleh buat apa.

Tetapi adakah Allah ﷻ begitu? Takkan Allah ﷻ hendak disamakan dengan makhluk, maka Allah ﷻ adakan ayat ini.

أَفَعَيِينا بِالخَلقِ الأَوَّلِ ۚ بَل هُم في لَبسٍ مِّن خَلقٍ جَديدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Did We fail in the first creation? But they are in confusion over a new creation.

(MELAYU)

Maka apakah Kami letih dengan penciptaan yang pertama? Sebenarnya mereka dalam keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.

 

أَفَعَيِينا بِالخَلقِ الأَوَّلِ

Maka apakah Kami letih dengan penciptaan yang pertama?

Adakah Allah ﷻ rasa penat mencipta makhluk-makhluk yang awal seperti langit, bumi dan makhluk-makhluk yang dahulu? Adakah Allah ﷻ sudah lemah sebab sudah kerahkan segala tenagaNya dulu kerana cipta manusia pada penciptaan yang pertama? Tentunya tidak kerana Allah ﷻ berkuasa dan tidak letih dalam penciptaan. Kalau manusia memanglah ada penat. Tetapi Allah ﷻ bukan manusia.

Ini menolak akidah Bani Israil yang kata Allah ﷻ penat dalam mencipta alam dan kerana itu pada hari ke tujuh (Sabtu), Allah ﷻ berehat. Ini sudah menghina Allah ﷻ. Maka kalau Allah  ﷻ hendak menjadikan makhluk pada mulanya pun tidak meletihkan Allah ﷻ, maka kalau Allah ﷻ hendak mengembalikan semuanya kembali, itu lebih mudahlah sebenarnya bagi Allah ﷻ, bukan? Seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ}

Dan Dialah yang menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan) nya kembali, dan menghidupkan kembali itu adalah lebih mudah. (Ar-Rum: 27)

 

بَل هُم في لَبسٍ مِّن خَلقٍ جَديدٍ

Sebenarnya mereka dalam keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.

Mereka yang menentang wahyu itu celaru sebenarnya. Digunakan kalimah لَبسٍ yang membawa maksud ‘misteri’. Asalnya ia bermakna ‘baju’. Tetapi ada yang keliru kerana tidak tahu mana tubuh dan mana baju. Juga bermaksud ada yang sembunyi apa yang ada di dalam baju itu.

Mereka hairan dan di dalam ragu-ragu bagaimana mereka akan menjadi kejadian yang baru. Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab. Kerana itu ilmu tentang akhirat dan kebangkitan semula adalah benda asing bagi mereka.

Keraguan itulah yang menyebabkan keengkaran mereka. Kerana itu apabila ada ragu-ragu, kena pelajari dan dekati perkara yang boleh hilangkan keraguan. Iaitu dengan dengar dan tadabbur wahyu Ilahi berkali-kali. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an supaya mampu nak tadabbur Al-Qur’an ini. Jangan terus duduk dalam keragu-raguan. Kena hilangkan keraguan dengan dapatkan maklumat yang benar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Qaf Ayat 7 – 15 (Allah tidak letih)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s