Tafsir Surah Qaf Ayat 16 – 26 (Raqib Atid)

Ayat 16: Ayat 16 – 30 adalah Perenggan Makro Kelima. Allah ﷻ memberitahu yang ada manusia yang dimasukkan ke dalam neraka tepat dengan prinsip keadilan.

Dalam ayat 16 Allah ﷻ hendak memberitahu qudratNya. Iaitu qudrat Allah ﷻ dalam menjadikan manusia kali pertama sebelum mematikannya.

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسٰنَ وَنَعلَمُ ما تُوَسوِسُ بِهِ نَفسُهُ ۖ وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِن حَبلِ الوَريدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have already created man and know what his soul whispers to him, and We are closer¹ to him than [his] jugular vein

  • In absolute knowledge of everything about him. “We” has also been interpreted to mean the angels who are mentioned in the following verse.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,

 

وَلَقَد خَلَقنَا الإِنسٰنَ

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia

Allah ﷻ yang telah menjadikan manusia dengan qudratNya. Kita kena nafikan yang manusia jadi sendiri (seperti Teori Evolusi yang sesat itu). Kena tekankan bahawa Allah ﷻ yang jadikan manusia. Berlawanan dengan pihak yang tidak percaya Tuhan yang mengatakan manusia terjadi sendiri. Mana boleh manusia yang begini punya hebat terjadi sendiri?

Semua insan berlainan rupa dan sifat. Tidak pernah ada yang serupa. Paling hebat sekali, manusia yang mula dicipta dan terakhir dilahirkan, semua cap jari berlainan. Kalau yang kembar dan rupa serupa pun, cap jari mereka tidak sama. Kita tidak tahu entah berapa banyakkah manusia yang telah dicipta dan yang akan dicipta. Memang hebat kuasa Allah ﷻ dan tidak dapat dibayangkan.

 

وَنَعلَمُ ما تُوَسوِسُ بِهِ نَفسُهُ

dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya,

Sudahlah Allah ﷻ cipta insan itu, kemudian Allah ﷻ tahu was-was yang ada dalam nafsu setiap manusia. Allah ﷻ tahu apa yang dibisikkan oleh hati manusia. Ibubapa, kawan-kawannya pun tidak tahu, tetapi Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Jadi ayat ini adalah tentang ilmu Allah ﷻ. Amat sempurna ilmu Allah ﷻ. Kalau manusia boleh terima perkara ini, maka akan mudah untuk terima yang Allah ﷻ boleh lakukan apa sahaja.

Mari kita bercakap tentang hati manusia pula. Dalam diri manusia ada hati, dan hati itu menjadi tempat perebutan antara ruh dan nafs. Al-Qur’an mengajar kita yang kena ada sama rata antara ruh dan nafs itu. Kedua-dua nafsu dan ruh cuba untuk menarik perhatian hati supaya memberinya makan. Nafsu juga mahu makanan dan ada kehendaknya juga dan ia juga menarik perhatian hati.

Nafsu melakukan was-was dalam diri manusia dengan mengajak kepada benda-benda yang tidak baik. Kerana nafsu ada keinginan seperti keinginan untuk makan, seks dan sebagainya.

Makanan nafsu adalah dari dunia ini dan makanan ruh adalah dari wahyu. Diri yang seimbang akan memberikan keperluan nafsu dan ruh mengikut syariat. Kerana nafsu bukanlah untuk ditolak kehendaknya semua melainkan kena diberikan juga. Tetapi kenalah sesuai dengan kehendak syariat. Tak semua boleh ikut.

Dan kehendak ruh juga perlu dipenuhi. Ruh mahukan pengisian dari wahyu. Maka kerana itu kita kena dapatkan dengan Al-Qur’an kerana itulah makanan untuk ruh. Maka kena selalu baca Al-Qur’an dan memahami apa yang disampaikan di dalamnya. Maka kena belajar tafsir Al-Qur’an.

Oleh kerana Allah ﷻ yang jadikan manusia maka Allah ﷻ tahu apa yang dibisikkan dalam hati manusia. Hati ini yang selalunya membawa manusia ke arah melakukan kebaikan atau keburukan.

Setiap perbuatan itu dimulai dengan niat. Dan niat itu mulanya dimulai dengan ‘lintasan hati’. Tetapi lintasan dalam hati tidak dipersalahkan lagi. Di dalam hadis sahih disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

” إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ  “

“Sesungguhnya Allah memberi kelonggaran kepadaku tentang ummatku, mereka tidak dianggap melakukan dosa dari apa yang dibisikkan dalam dadanya (hatinya) selama tidak dikerjakan atau diucapkannya.” [Sahih Bukhari no. 2343]

 

وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِن حَبلِ الوَريدِ

dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,

Dan Allah ﷻ beritahu yang Dia lebih dekat dengan kita daripada urat leher kita sendiri. Disebut ‘urat leher’ kerana itulah benda yang paling rapat dengan manusia. Kalau putus urat leher maka akan matilah manusia. Bukanlah ayat ini hendak mengatakan Allah ﷻ dalam leher kita pula.

Apakah maksudnya pada kita? Ayat ini mengajar kita tentang  tingginya ilmu Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang diri kita. Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah ﷻ dalam ayat lain sehubungan dengan orang yang sedang meregang nyawanya:

{وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ وَلَكِنْ لَا تُبْصِرُونَ}

dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu. Tetapi kamu tidak melihat. (Al-Waqi’ah: 85)

Tetapi bukanlah ayat ini digunakan untuk membincangkan di manakah Allah ﷻ: sama ada dalam diri kita ada Allah ﷻ atau berada di mana-mana pula. Apabila Allah ﷻ mengatakan yang Dia dekat dengan kita, bukanlah itu untuk memberitahu tentang keberadaan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak boleh dijelaskan dalam bentuk dimensi. Allah ﷻ dekat dengan kita adalah dari segi ilmuNya, bukan DzatNya.

Satu pendapat mengatakan yang dekat itu adalah malaikat. Kerana walaupun Allah ﷻ mengatakan ‘Kami’ tetapi yang dimaksudkan adalah para malaikat yang ditugaskan kepada manusia itu. Iaitu  sebagaimana pengertian yang terdapat di dalam firman-Nya:

{إِنَّا نَحْنُ نزلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ}

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya. (Al-Hijr: 9)

Seperti yang kita tahu para malaikatlah yang ditugaskan untuk turun membawa wahyu Al-Qur’an dengan seizin Allah ﷻ. Demikian pula para malaikatlah yang lebih dekat kepada manusia daripada urat lehernya berkat kekuasaan Allah ﷻ yang diberikan kepada mereka untuk hal tersebut. Maka malaikat itu mempunyai jalan masuk ke dalam manusia sebagaimana syaitan pun mempunyai jalan masuk ke dalam manusia melalui aliran darahnya, seperti yang telah diberitakan oleh Nabi ﷺ.

Kerana itulah maka disebutkan oleh firman-Nya dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 17: Allah ﷻ beritahu cara Dia rekod amalan manusia. Iaitu dengan mengarahkan malaikat seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Jadi segala perbuatan makhluk dalam makrifah Allah ﷻ.

إِذ يَتَلَقَّى المُتَلَقِّيانِ عَنِ اليَمينِ وَعَنِ الشِّمالِ قَعيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When the two receivers [i.e., recording angels] receive,¹ seated on the right and on the left.

  • And record each word and deed.

(MELAYU)

(iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.

 

إِذ يَتَلَقَّى المُتَلَقِّيانِ

ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya,

Kalimah يَتَلَقَّى dari katadasar ل ق ي yang mempunyai 45 makna dalam bahasa Arab. Salah satunya bermaksud ‘menerima’. Diterjemahkan ayat ini bermaksud ‘yang menerima untuk menulis’. Yang dimaksudkan ada malaikat pencatat perbuatan kita. Ada dua malaikat yang ditugaskan untuk mencatat segala apa yang kita lakukan.

 

عَنِ اليَمينِ وَعَنِ الشِّمالِ قَعيدٌ

di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri duduknya.

Satu malaikat itu duduk di kanan kita dan satu lagi di kiri. Keduanya tidak akan pergi ke mana-mana lagi. Kalau amalan baik yang dilakukan, malaikat yang kanan akan tulis dan jika perbuatan itu buruk, ia akan direkod oleh malaikat yang di kiri.

Setiap hari dan ketika, mereka akan tetap menulis. Tidak pernah tinggal satu pun dari perbuatan kita. Mereka tidak ada ambil cuti macam manusia. Mereka tidak akan lalai dan tidak akan penat dalam menjalankan kerja mereka.

Tujuan mereka tulis dan rekod adalah sebagai saksi. Jadi kita kena fikirkan, nak bagi malaikat mana yang banyak buat kerja? Nak bagi malaikat yang tulis amal atau malaikat yang tulis dosa banyak kerja?


 

Ayat 18:

مّا يَلفِظُ مِن قَولٍ إِلّا لَدَيهِ رَقيبٌ عَتيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He [i.e., man] does not utter any word except that with him is an observer prepared [to record].

(MELAYU)

Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

 

Tidak ada apa-apa sahaja yang disebutkan oleh seorang manusia itu melainkan ada malaikat yang di sisinya yang sentiasa hadir untuk menuliskan apa yang disebut oleh manusia itu. Mereka sentiasa bersedia untuk menulis. Sama ada dosa atau pahala.

Maka dalam ayat yang Allah ﷻ hendak beritahu adalah amalan kita sentiasa diawasi dan direkod. Semoga kita jadikan segala perbuatan kita sebagai pahala untuk akhirat.

Bukanlah perkataan sahaja, tetapi perbuatan pun akan ditulis juga. Dan sebenarnya dalam hati pun akan dikira juga. Tetapi itu hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Malaikat penulis tidak tahu apa yang hati kita katakan. Ini kerana kalimah لفط itu boleh jadi ucapan yang ada makna atau tidak. Kerana ada kalimah yang tidak ada makna, tetapi ia difahami oleh orang sebagai membawa sesuatu maksud.

Itu juga akan ditulis oleh malaikat sama ada dosa atau pahala. Iaitu apa sahaja yang diluahkan oleh manusia. Macam kita makan kurma tetapi biji kita luahkan kerana kita tidak suka. Itu semuanya akan dibalas nanti.

Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:

{وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ كِرَامًا كَاتِبِينَ يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ}

Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu), yang mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu), mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Infithar: 10-12)

Maka kenalah kita berhati-hati dengan perkataan yang kita keluarkan dan perbuatan yang kita lakukan. Semoga semua perbuatan kita membawa pahala dan bukannya dosa.

Nota: selalunya ramai yang sangka nama dua malaikat itu seorang Raqib dan seorang lagi Atid. Tetapi kalau kita lihat dalam ayat ini dan pendapat yang lebih kuat, Raqib dan Atid bukanlah nama, tetapi sifat dua malaikat itu. Allah ﷻ hendak memberitahu sifat mereka.

Pertama, kalimah رَقيبٌ dari katadasar ر ق ب yang bermaksud sentiasa memerhatikan. Dua malaikat ini melihat sahaja setiap kata, perbuatan yang kita lakukan.

Kedua, kalimah عَتيدٌ dari katadasar ع ت د yang bermaksud bersedia.

Jadi kalimah رَقيبٌ dan عَتيدٌ adalah adalah merujuk kepada sifat dua malaikat itu yang sentiasa hadir dekat kita bersedia untuk menulis apa sahaja yang kita kata dan lakukan. Apabila ia berlaku sahaja, maka mereka akan tulis. Malaikat yang kanan tulis pahala dan yang kiri tulis dosa.


 

Ayat 19: Akhirnya manusia yang berkata-kata itu akan mati. Allah ﷻ sekarang hendak menceritakan tentang keadaan apabila sampai masa untuk mati.

Jadi ayat ini mengingatkan kepada kematian. Ingatlah yang kita tetap akan mati. Ia pasti datang, cuma tidak tahu bila. Jadi banyak kali diingatkan kepada manusia tentang kematian. Pembaca Al-Qur’an sentiasa akan diingatkan dengan mati sampaikan tidak ada alasan untuk dia lupa.

وَجاءَت سَكرَةُ المَوتِ بِالحَقِّ ۖ ذٰلِكَ ما كُنتَ مِنهُ تَحيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the intoxication of death will bring the truth; that is what you were trying to avoid.

(MELAYU)

Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.

 

وَجاءَت سَكرَةُ المَوتِ بِالحَقِّ

Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya.

Maksudnya sakarat adalah kesakitan sewaktu hendak mati. Kalimah سَكرَةُ dari katadasar س ك ر yang bermaksud ‘mabuk’. Ini adalah apabila datang sakitnya kematian itu, ketika roh hendak dikeluarkan dari tubuh kita, kita mengalami kesakitan yang amat sangat, sampaikan kita tidak sedar dengan keadaan sekeliling. Ia seperti orang yang mabuk yang sudah tidak betul akalnya.

Nabi Muhammad ﷺ pun mengalami sakaratul maut. Di dalam hadis sahih dari Nabi ﷺ disebutkan bahawa ketika baginda mengalami sakaratul maut, maka baginda mengusap keringat dari wajahnya, kemudian bersabda:

” لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ إِنَّ لِلْمَوْتِ سَكَرَاتٍ “.

“Laailaaha Illallah sesungguhnya kematian itu memiliki sekarat (mabuk).”[Sahih Bukhari no. 4094]

 

ذٰلِكَ ما كُنتَ مِنهُ تَحيدُ

Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.

Inilah kalimat yang akan dikatakan kepada mereka pada waktu mereka sedang merasa sakaratul maut itu. Kalimah تحد dari kata dasar ت ح د yang bermaksud mengelak, membuang, berpusing, tidak suka. Inilah maut yang kamu hendak larikan diri darinya, tetapi tidak boleh hendak lari ke mana pun.

Biasalah semua orang takut mati. Kita elak dari kemalangan dan jaga kesihatan kita untuk panjangkan nyawa kita, bukan? Tetapi mati itu tetap datang juga. Begitulah juga dengan sakaratul maut itu.

Allah ﷻ tahu kita takut mati kerana Dia yang jadikan kita. jadi Dia tahu kita takut mati dan sebab itu Allah ﷻ boleh beritahu kembali kepada kita walaupun ia perkara dalam hati kita.

Malangnya ada yang mati dalam keadaan hati mereka sayang kepada dunia. Ini yang bahaya. Sebab kalau begitu mereka tidak buat persiapan untuk akhirat. Mereka itu ‘mati’ sebelum mati. Orang yang jenis sebegitu, tunggu mati sahaja untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka kita kenalah mati dalam keadaan kita buat sesuatu yang Allah ﷻ redha kepada kita. Kenalah belajar agama dan amalkan agama dengan baik.


 

Ayat 20: Allah ﷻ teruskan lagi tentang penceritaan hari akhirat. Allah ﷻ hendak beritahu yang apabila mati, tidak habis begitu sahaja. Sekarang disebut kejadian apabila bermula Kiamat nanti.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ ۚ ذٰلِكَ يَومُ الوَعيدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Horn will be blown. That is the Day of [carrying out] the threat.

(MELAYU)

Dan ditiuplah sangkakala. Itulah hari terlaksananya ancaman.

 

وَنُفِخَ فِي الصّورِ

Dan ditiuplah sangkakala.

Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ memberitahu tentang kematian individu dan sekarang Allah ﷻ memberitahu tentang kematian seluruh kehidupan yang bernyawa. Iaitu apabila sangkakala ditiupkan.

Sangkakala pertama menyebabkan keseluruhan makhluk dimatikan dan sangkakala kedua akan menghidupkan mereka kembali. Ayat ini adalah tentang tiupan sangkakala kedua iaitu apabila semua makhluk dihidupkan semula.

Di dalam sebuah hadis disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدْ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَاسْتَمَعَ الْإِذْنَ مَتَى يُؤْمَرُ بِالنَّفْخِ فَيَنْفُخُ فَكَأَنَّ ذَلِكَ ثَقُلَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُمْ قُولُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا

Rasulullah ﷺ shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Bagaimana aku bersenang-senang sementara malaikat peniup sangkakala telah menelan tanduk (terompet) dan mendengar izin bilakah diperintahkan untuk meniup lalu ia akan meniup.” Sepertinya hal itu terasa berat oleh para sahabat nabi ﷺ lalu baginda bersabda kepada mereka: “Ucapkan: HASBUNALLAAH WA NI’MAL WAKILL ‘ALALLAAHI TAWAKKALNAA (Cukuplah Allah Penolong kami, Dia adalah sebaik-baik pelindung. Kepada Allah kami berserah).”

Berkata Abu Isa: Hadits ini hasan dan hadits ini diriwayatkan melalui beberapa sanad dari ‘Athiyah dari Abu Sa’id Al Khudri dari Nabi ﷺ sepertinya. [Riwayat at-Tirmizi no. 2355. Sahih menurut Syaikh al-Albani, hasan menurut Syaikh Abu Thahir Zubair ‘Ali Zai ]

 

ذٰلِكَ يَومُ الوَعيدِ

Itulah hari terlaksananya ancaman.

Ada muqaddar: “dikatakan kepada mereka”. Selalunya dalam majlis besar akan ada pengumuman. Maka inilah pengumuman yang akan disampaikan.

Itulah hari yang telah dijanjikan. Telah berkali-kali diberitahu kepada manusia dan jin. Sama ada percaya atau tidak dengan kebangkitan semula semasa mereka hidup dulu, mereka kena terima juga. Walaupun tidak percaya, tetapi ia tetap akan terjadi juga.

Maka akan terkejutlah dan takutlah mereka yang tidak percaya kebangkitan semula. Kerana perkara yang mereka tidak percaya dulu benar-benar terjadi dan sekarang mereka sedang mengalaminya. Dan kerana mereka tidak percaya atau tidak yakin, mereka tidak buat persiapan untuk menghadapinya.


 

Ayat 21: Bagaimana keadaan waktu itu?

وَجاءَت كُلُّ نَفسٍ مَّعَها سائِقٌ وَشَهيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And every soul will come, with it a driver and a witness.¹

  • i.e., one angel driving the soul to the Judgement and one to testify as to its deeds.

(MELAYU)

Dan datanglah tiap-tiap diri, bersama dengan dia seorang malaikat penggiring dan seorang malaikat penyaksi.

 

Diri yang dimaksudkan adalah diri yang derhaka kerana ayat ini adalah ayat takhwif. Setiap orang yang derhaka itu akan ada malaikat yang akan memandunya. Kalimah سائق dari kata dasar س و ق yang bermaksud memandu, menggesa.

Malaikat itu akan duduk di belakang dan mengawalkan supaya dia tidak lari dan akan menyuruh orang itu untuk berjalan dengan cepat. Macam polis membawa banduan yang akan dipaksa-paksa bergerak dengan cepat. Kalau orang itu adalah ahli  neraka, maka dia akan di tolak-tolak untuk cepat berjalan menuju ke Mahsyar.

Kalau orang itu adalah ahli syurga, maka dia akan ada pengawal yang duduk bersama dengannya sebagai bodyguard dia dan peneman dia.

Selain dari malaikat yang menjadi pemandu itu, malaikat yang menulis amal perbuatan manusia semasa dia hidup juga akan mengiringinya sebagai شَهيدٌ. Maknanya dia akan ikut sebagai saksi. Dan juga akan ditemani dengan amalannya yang disangkutkan ke lehernya.


 

Ayat 22: Nasib orang yang degil.

لَّقَد كُنتَ في غَفلَةٍ مِّن هٰذا فَكَشَفنا عَنكَ غِطاءَكَ فَبَصَرُكَ اليَومَ حَديدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It will be said], “You were certainly in unmindfulness of this, and We have removed from you your cover,¹ so your sight, this Day, is sharp.”

  • Of heedlessness, or that which had sealed your hearing, your vision and your heart from guidance.

(MELAYU)

Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan lalai dari (hal) ini, maka Kami singkapkan daripadamu tutup (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam.

 

لَقَد كُنتَ في غَفلَةٍ مِّن هٰذا

Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan lalai dari (hal) ini,

Ini adalah kata-kata penghinaan kepada mereka yang lalai dengan akhirat. Ini adalah sebagai azab emosi. Kerana mereka waktu itu sudah menyesal tapi ditambah penyesalan mereka itu dengan kata-kata penghinaan dari malaikat itu. Mereka dikutuk kerana sengaja melupakan akhirat buat tidak tahu atau tidak ingin mengetahui.

Kerana tidak mementingkan akhirat maka mereka lalai leka dengan kehidupan dunia. Kerana itu mereka tidak buat persiapan untuk akhirat. Kalau mereka sedar, tentunya mereka akan belajar wahyu Allah ﷻ dan membuat persediaan untuk akhirat dengan melakukan amal yang baik.

Dan kalau mereka takut dengan akhirat, tentu mereka akan belajar agama dengan benar, dimulai dengan belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana in sha Allah kalau mari belajar, itu adalah tanda orang itu akan selamat. Maka kena belajar dan sampaikan kepada orang lain. Barulah tidak ghaflah.

 

فَكَشَفنا عَنكَ غِطاءَكَ

maka Kami singkapkan daripadamu penutupmu

Penutup yang dimaksudkan adalah penutup mata. Semasa di dunia, manusia tidak nampak perkara ghaib. Dan di akhirat nanti Allah ﷻ mengangkat penutup mata manusia dari melihat perkara ghaib. Kita sekarang tidak dapat melihat alam ghaib kerana ada penutup maknawi (penutup dari segi makna, bukan penutup fizikal) pada mata kita tetapi nanti apabila akhirat bermula, penutup itu akan diangkat. Sampaikan ada yang boleh melihat Allah ﷻ.

Kepada mereka yang menolak wujudnya akhirat, waktu itu mereka akan terbungkam kerana apa yang mereka tolak dulu, sekarang berada di depan mata mereka.

 

فَبَصَرُكَ اليَومَ حَديدٌ

maka penglihatanmu pada hari ini amat tajam.

Pandangan akan jadi jelas tajam kerana sudah tidak ada penutup. Tidak boleh nafikan lagi akhirat itu kerana sudah ada di depan mata. Dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:

{أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ يَوْمَ يَأْتُونَنَا}

Alangkah terangnya pendengaran mereka dan alangkah tajamnya penglihatan mereka pada hari mereka datang kepada Kami. (Maryam: 38)

Masa di dunia memang mereka tolak tetapi nanti di akhirat memang sudah tidak boleh hendak ditolak lagi kerana sudah nampak depan mata. Tetapi kalau di akhirat baru nampak, tidak ada gunanya lagi. Lihatlah firman Allah ﷻ:

{وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ}

Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (As-Sajdah: 12)

Maka kita dapat lihat bagaimana banyak ayat tentang akhirat kerana hendak ingatkan manusia. Tetapi kalau tidak baca dan faham Al-Qur’an, macam mana nak ingat?


 

Ayat 23:

وَقالَ قَرينُهُ هٰذا ما لَدَيَّ عَتيدٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And his companion, [the angel], will say, “This [record] is what is with me, prepared.”

(MELAYU)

Dan yang menyertai dia berkata: “Inilah (catatan amalnya) yang tersedia pada sisiku”.

 

Semua manusia ada Qarin yang bersamanya. Ada Qarin dari kalangan malaikat dan ada Qarin dari kalangan jin. Qarin itu membawa sekali kitab amalan kita. Sekali lagi digunakan kalimah عتيد seperti dalam ayat 19 sebelum ini. Ia bermaksud ‘sedia’ yang bermaksud kitab amalan kita sudah tersedia.

Jadi Qarin manakah yang dimaksudkan di dalam ayat ini? Ulama khilaf tentang Qarin jenis mana yang dimaksudkan. Jadi ada dua tafsiran:

1. Qarin dalam bentuk jin syaitan. Ini yang biasa ditafsirkan dengan ‘qarin’. Kalau ini yang dimaksudkan, maka ayat dalam ini bermaksud: “inilah dia azab bersama kami telah tersedia untuk diberi. Maka terimalah. Awak dan saya akan kena sekali kerana kita di dunia dulu duduk sekali dan sekarang masuk neraka pun sekali.”

2. Atau ia boleh juga bermaksud malaikat pencatat amal. Kalau begitu, ayat ini bermaksud: “ini dia buku amal kamu tersedia untuk dibaca dan dihukum”. Jadi kalau Qarin yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah malaikat yang sentiasa duduk bersamanya yang mencatatkan segala amalannya, maka pada hari akhirat nanti, Qarin itu akan mengeluarkan catatan amal orang itu.

Oleh itu, kita boleh lihat yang akan beza tafsir kalau bawa lain maksud.


 

Ayat 24:

أَلقِيا في جَهَنَّمَ كُلَّ كَفّارٍ عَنيدٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh will say], “Throw into Hell every obstinate disbeliever,

(MELAYU)

Allah berfirman: “Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam neraka semua orang yang sangat ingkar dan keras kepala,

 

Kita telah beritahu bahawa setiap manusia ada Qarin dari kalangan jin yang hidup bersamanya dari kecil lagi. Qarin itu akan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik dan menjauhkan dari agama yang benar. Kalau manusia itu ikut bisikan Qarin itu, maka manusia itu dan Qarinnya sekali akan dihumban bersama-sama ke dalam neraka. Allah ﷻ akan beri arahan kepada malaikat untuk memasukkan orang jenis itu ke dalam neraka.

Siapa yang akan dimasukkan ke dalam neraka? Kalimah كَفّارٍ dalam ayat ini merujuk orang yang ada sifat syirik dan yang rosak akidah.

Kalimah عَنيدٍ bermaksud lelaki degil dan menentang kebenaran. Sudahlah akidahnya telah rosak, tetapi bila diajak belajar dan beriman, mereka akan menolak. Apabila diajak kepada kebenaran, mereka akan tolak dan mereka menentang kebenaran itu. Kalau ada orang yang berdakwah kepada mereka, merekalah yang tolak dan mereka beri macam-macam perkataan buruk terhadap pendakwah itu.


 

Ayat 25:

مَّنّاعٍ لِّلخَيرِ مُعتَدٍ مُّريبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Preventer of good, aggressor, and doubter,

(MELAYU)

yang sangat menghalangi kebajikan, melanggar batas lagi ragu-ragu,

 

مَّنّاعٍ لِّلخَيرِ

yang sangat menghalangi kebajikan,

Qarin dari golongan jin itu akan sentiasa membisikkan perkara buruk kepada manusia itu untuk melalaikan manusia itu dari melakukan ibadah dan kebaikan. Mereka akan bisikkan perkara-perkara yang berlanggaran dari agama. Maka mereka itu telah menghalang kebaikan.

Dan orang yang telah mendengar kata-kata Qarin, mereka pula kemudiannya menjadi orang yang menghalang orang lain dari melakukan kebaikan. Mereka juga menghalang orang lain dari belajar wahyu dan mengamalkan agama.

Kita boleh lihat perkara ini kerana ada orang yang tidak suka kalau ahli keluarga mereka tutup aurat dan jika ada ahli keluarganya yang mahu belajar agama atau belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka akan perli, kutuk dan larang orang itu dari belajar.

Ada ulama’ yang mentafsirkan maksud kalimah الخير itu sebagai ‘akidah yang sahih’. Atau ‘memberi harta’ kepada orang miskin atau orang yang berhak. Tetapi kita juga boleh menerjemahkannya kepada maksud yang umum. Iaitu merujuk kepada apa-apa sahaja kebaikan.

 

مُعتَدٍ مُّريبٍ

melanggar batas lagi ragu-ragu,

Kalimah مُعتَدٍ bermaksud mereka itu telah melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama. Mereka sudah tidak ikut apa yang Allah ﷻ sampaikan dalam wahyu dan mereka buat ikut suka mereka sahaja.

Dan kalimah مُّريبٍ bermaksud mereka sentiasa dalam ragu-ragu dan menyebabkan orang lain pun ragu-ragu juga dengan kata-kata mereka. Jadi bukan sahaja mereka ragu-ragu dengan agama dan wahyu (kerana tidak belajar), tetapi mereka menjadi penyebab kepada orang lain pun ragu-ragu dengan agama.

Ini adalah kerana kata-kata mereka telah ‘dimakan’ oleh orang lain. Mereka mungkin orang yang dipandang tinggi dalam masyarakat dan apa yang mereka terima dan amalkan menjadi pegangan masyarakat lain pula. Mereka itu mungkin orang yang pandai berkata-kata atau pandai menulis sampai boleh menyebabkan orang lain percaya dengan pendapat mereka.


 

Ayat 26: Allah ﷻ menceritakan sifat ahli neraka yang paling besar yang menyebabkan dia kekal dalam neraka.

الَّذي جَعَلَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ فَأَلقِياهُ فِي العَذابِ الشَّديدِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who made [as equal] with Allāh another deity; then throw him into the severe punishment.”

(MELAYU)

yang menyembah sembahan yang lain berserta Allah maka lemparkanlah dia ke dalam seksaan yang sangat”.

 

الَّذي جَعَلَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ

yang menjadikan sembahan yang lain berserta Allah

Dan yang paling teruk sekali dia menjadikan ilah-lain yang dipuja bersama dengan Allah ﷻ. Mereka seru dan puja Allah ﷻ, tetapi dalam masa yang sama mereka puja ilah-ilah lain, mereka seru ilah lain dalam doa. Iaitu para Nabi, wali dan malaikat.

Ini paling teruk sekali kerana mereka telah melakukan syirik. Ini terjadi kerana mereka jauh dari ajaran wahyu. Kerana ajaran tauhid dan syirik ada dalam wahyu. Dan kalau jauh dari wahyu, memang syaitan akan hasut mereka untuk buat perkara syirik.

Sebab itu kita katakan, sesiapa yang tidak ada ilmu wahyu Al-Qur’an, tidak akan masuk syurga. Kerana syaitan akan ambil kesempatan atas kejahilan itu untuk hasut mereka buat syirik.

 

فَأَلقِياهُ فِي العَذابِ الشَّديدِ

maka lemparkanlah dia ke dalam seksaan yang sangat”.

Maka natijahnya mereka akan dicampakkan ke dalam api neraka yang sangat teruk. Azab seksa di dalamnya tidak dapat dibayangkan. Mereka tidak akan tahan untuk menerimanya. Semoga kita dijauhkan dari azab neraka itu. Aameen.

Satu tafsiran mengatakan yang mencampakkan itu adalah malaikat yang bersama dengan orang itu iaitu seorang akan pegang kepala dan seorang lagi akan pegang kakinya. Ini seperti isyarat yang ada di dalam Rahman:41

فَيُؤخَذُ بِالنَّواصي وَالأَقدامِ

lalu dipegang ubun-ubun dan kaki mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s