Ayat 12: Takhwif Ukhrawi.
وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صٰلِحًا إِنّا موقِنونَ
Sahih International
If you could but see when the criminals are hanging their heads before their Lord, [saying], “Our Lord, we have seen and heard, so return us [to the world]; we will work righteousness. Indeed, we are [now] certain.”
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ
Dan sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu
Sungguh ngeri sekali keadaan mereka kalau kita melihat keadaan mereka waktu mereka dipersoalkan di akhirat kelak. Ini belum masuk neraka lagi. Ini Allah baru menyebut tentang keadaan di Mahsyar. Seorang Muslim sepatutnya mengetahui bagaimana keadaan di Mahsyar supaya mereka takut melakukan dosa.
نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ
mereka menundukkan kepala mereka di hadapan Tuhan mereka.
Mereka waktu itu sudah menyesal sangat. Mereka menyesal sangat di atas kesalahan dan kelalaian mereka semasa di dunia dulu. Kita takut kita pun termasuk antara mereka yang macam begini. Semoga Allah memberi kita ilmu pengetahuan dan taufiq untuk beramal dengan amalan yang sunnah. Semoga Allah selamatkan kita dari menjadi sebahagian dari orang-orang sebegini.
رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا
“Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya
Mereka tunduk penyesalan sambil mereka berkata. Ini adalah kata-kata rayuan mereka. Mereka sudah sedar tentang segala yang mereka ingkari dahulu. Baru sekarang mereka nak panggil Tuhan dan mengaku beriman. Baru nak panggil Tuhan dengan panggilan رَبَّنَا (Wahai Tuhan kami). Sebelum ini semasa di dunia, mereka tidak mengaku Allah itu Tuhan mereka.
Apa yang mereka nampak?: Mereka telah nampak neraka yang ditarik ke Mahsyar untuk ditunjukkan kepada semua makhluk. Semua sekali ada 7 neraka. Satu neraka akan ditarik dengan 70,000 rantai. Setiap satu rantai itu pula ditarik oleh 70,000 malaikat. Oleh kerana beratnya neraka itu, memerlukan begitu ramai malaikat untuk menariknya.
Satu persatu neraka akan ditarik keluar dan ditunjukkan kepada semua makhluk. Kemudian Allah akan suruh neraka itu semuanya dipanaskan lagi sekali ganda. Sebelum ini dalam ayat 9 telah disebut bagaimana Allah telah memberikan penglihatan kepada mereka. Tapi mereka tidak gunakan penglihatan itu untuk mendapat iman. Maka, sekarang telah jelas kepada mereka apakah kebenaran itu.
Mereka sudah nampak segala benda yang diingatkan oleh Nabi itu adalah benar belaka. Neraka itu benar, syurga itu benar, soalan di Mahsyar itu adalah benar.
Apa yang mereka sudah dengar?: Mereka sudah dengar bunyi gelegak api neraka. Kalau air menggelegak, kita faham. Tapi ini ‘api’ yang menggelegak! Ma sha Allah. Begitu juga, dalam ayat 9 surah ini juga telah disebut bagaimana Allah telah menjadikan pendengaran untuk mereka. Tapi mereka tidak gunakan untuk mendapatkan kebenaran. Maka, sekarang mereka akan dengar bunyi neraka!
Oleh itu, kita kena gunakan penglihatan dan pendengaran itu untuk kebaikan. Mereka semasa di dunia telah diberikan dengan penglihatan dan pendengaran tapi mereka tak gunakan untuk beriman. Waktu di Mahsyar, mereka amat menyesal sekali.
فَارْجِعْنَا
maka kembalikanlah kami
Mereka minta supaya dikembalikan ke dunia. Tidak ada dalam Al-Qur’an menceritakan orang-orang berdosa meminta diampunkan dosa mereka. Kerana mereka sedar bahawa dosa mereka tidak akan diampunkan lagi.
Tapi banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an menceritakan yang mereka minta sangat-sangat supaya mereka diberikan peluang untuk kembali ke dunia. Mereka nak kembali kerana kononnya mereka nak hidup dengan cara yang baik pula. Mereka nak tinggalkan segala kesalahan mereka dulu.
Mereka nak jadi orang yang paling beriman. Kerana mereka memang sudah benar-benar percaya dengan apa yang dijanjikan dulu kerana mereka sudah nampak. Mereka minta sangat peluang untuk menebus kesalahan mereka akan tetapi tidak ada peluang ini. Allah telah berikan banyak peluang selama mana mereka hidup dulu di dunia.
Kenapa mereka hendak kembali ke dunia?
نَعْمَلْ صٰلِحًا
supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik;
Sekarang baru mereka nak buat amal yang soleh, amal yang sunnah. Tak mahu lagi buat amalan syirik dan bidaah lagi. Tak mahu langsung nak buat dosa. Mereka benar-benar bertekad untuk jadi orang yang baik pula sekarang. Akan jadi lebih baik dari manusia yang paling baik dalam dunia.
إِنَّا مُوقِنُونَ
sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Sekarang baru mereka yakin dengan kebenaran. Mereka sudah yakin yang amal soleh sahaja yang memberi kebaikan di akhirat. Mereka yakin yang syurga neraka itu benar. Kerana mereka sudah nampak dengan mata mereka sendiri.
Sekarang baru mereka nak mengaku tapi sudah terlambat. Kerana mereka telah melihat dan mendengar sendiri kebenaran yang dulu mereka di dunia tidak yakin. Baru di akhirat nak yakin. Itulah sifat-sifat orang-orang yang degil dan jahil wahyu.
Tapi orang beriman, mereka semasa di dunia lagi sudah yakin. Mereka tak tunggu lihat dan dengar baru nak yakin. Dengan dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an, mereka sudah yakin. Maka, beruntunglah mereka yang telah beriman dengan Al-Qur’an. Beruntunglah mereka yang belajar Al-Qur’an dan belajar tafsir Al-Qur’an.
Ketahuilah yang hanya dengan belajar tafsir Al-Qur’an baru akan mendapat keyakinan itu. Kerana Al-Qur’an itu dipelihara oleh Allah, yang tidak dijanjikanNya untuk kitab-kitab yang lain.
Ayat 13: Kalau sudah sampai hari akhirat, baru mereka hendak kembali dan baru nak buat amal soleh, sudah tidak boleh. Tidak ada harapan lagi. Tadi, telah disebut permintaan mereka untuk dikembalikan ke dunia. Maka, Allah jawab permintaan mereka itu dalam ayat ini:
وَلَو شِئنا لَآتَينا كُلَّ نَفسٍ هُدٰها وَلٰكِن حَقَّ القَولُ مِنّي لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ
Sahih International
And if we had willed, We could have given every soul its guidance, but the word from Me will come into effect [that] “I will surely fill Hell with jinn and people all together.
Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: `Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”.
وَلَوْ شِئْنَا
“Kalaulah Kami mahu,
Allah hendak memberitahu qudrat Dia. Kerana ada juga yang tidak faham dan bertanya: “kenapa ya Tuhan jadikan ada orang-orang yang tidak beriman? Kenapa Tuhan tidak jadikan semua orang baik-baik, sahaja?”
Allah nak beritahu, Dia memang boleh buat, bukannya tidak boleh. Jangan sangka Allah tidak mampu.
لَآتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدٰهَا
nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya
Allah boleh sahaja paksa semua makhlukNya beriman dan buat amal soleh sahaja tanpa ada dosa. Allah sudah buat begitu kepada Malaikat pun. Mereka semuanya beriman dan taat kepada Allah sahaja. Tapi bukan itu cara yang Allah pilih.
Ini kerana Allah nak beri pilihan kepada manusia dan jin. Allah tak paksa kita semua. Kerana Allah telah menjadikan manusia dan jin dalam penciptaan yang hebat. Allah telah berikan pendengaran dan penglihatan dan hati. Sepatutnya ketiga-tiga pancaindera itu digunakan dengan sebaiknya. Allah nak kita beriman dengan kehendak sendiri. Itulah baru ujian namanya. Kalau memang Allah sudah paksa semua jadi baik, mana ujiannya?
Allah tidak tunjukkan DiriNya kepada manusia dan jin. Kemudian Allah beri ujian kepada manusia dalam kehidupan dunia. Dan Allah hendak melihat sama ada manusia melepasi ujian yang diberikan itu berpandukan tanda-tanda yang diberikanNya dalam alam dan juga dengan pemberitahuan dari para Rasul. Allah mahu melihat sama ada manusia menggunakan intelek dan pancaindera yang telah diberikanNya kepada manusia dan jin.
Dan Allah mahu melihat sama ada manusia dan jin selepas tahu mana salah dan mana benar, adakah mereka dapat ikut ajaran dari wahyu itu? Kerana ada juga yang sudah tahu mana salah dan benar setelah diberitahu dan setelah belajar; tapi gagal juga akhirnya dengan pujukan nafsu dan bisikan syaitan. Jadi tidak terlepas langsung manusia dari dugaan dan ujian sepanjang dia hidup di atas muka bumi ini.
وَلَٰكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّي
tetapi telah tetap keputusan dariKu:
Allah telah buat ketetapan janji kepada DiriNya. Apakah الْقَوْلُ ketetapan kata Allah itu?
Allah memang jadikan dunia ini sebagai tempat ujian. Allah bukan nak paksa semua manusia dan jin beriman. Allah mahu kita semua beriman dengan sendiri, bukan kerana paksaan dariNya.
لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ
Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam
Inilah juga الْقَوْلُ itu. Allah sudah sediakan neraka dan akan penuhi neraka itu dengan makhluk yang engkar. Dan Allah telah berjanji dalam Sad:85
لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنكَ وَمِمَّن تَبِعَكَ مِنهُم أَجمَعينَ
Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya.
مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
dengan jin dan manusia
Neraka itu akan diisi dengan jin dan manusia. Bukanlah semua jin dan dan manusia akan dimasukkan ke neraka. Cuma mereka yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh.
Jin disebut dahulu kerana manusia banyak yang ikut jin jadi sesat. Mereka sepatutnya mengikut malaikat, tapi mereka ikut jin. Ramai manusia yang minta tolong kepada jin. Mereka taat kepada jin. Ini termasuklah mereka yang berubat guna jin, mereka yang minta tolong jin berkhidmat untuk mereka – jaga rumah, jaga kebun dan sebagainya.
Ada juga yang guna jin untuk mendapat kuasa – boleh jadi kebal, boleh terbang, boleh bergerak pantas, boleh bersilat dan sebagainya. Penerangan tentang jin ini akan diterangkan dengan lebih lanjut lagi dalam Surah Jin.
Maknanya, kita tidak boleh gunakan jin ini kerana jin ini akan menyesatkan manusia. Tapi ada juga ustaz yang kata boleh bela jin!? Datang dari mana ajaran itu? Malangnya yang beritahu ini adalah ustaz yang masuk tv, banyak mengajar perubatan kepada manusia. Dia kata ilmu perubatan itu adalah ‘perubatan Islam’, tapi betulkah?
Maka ingatlah yang bukan semua jin dan manusia akan masuk neraka. Allah kata مِنَ (sebahagian) sahaja. Yang masuk neraka adalah mereka yang tidak mengikut perintah Allah. Mereka yang gagal dalam ujian yang Allah berikan.
Allah telah berikan penglihatan, pendengaran dan hati untuk menjalani ujian dalam dunia ini. Allah telah beri keperluan untuk digunakan. Bukannya Allah biarkan sahaja kita tanpa alat dan ilmu pengetahuan. Tapi kita sahaja yang tak pakai.
Sebagai contoh, dalam peperiksaan, pensyarah sudah bagi kita pakai kalkulator untuk buat pengiraan, tapi kita degil tak pakai. Maka, kalau kita gagal, siapakah yang patut dipersalahkan? Tidak ada orang lain tapi diri kita sendiri. Maka kalau kita tidak jadikan Al-Qur’an sebagai panduan hidup kita, salah siapa?
Ayat 14:
فَذوقوا بِما نَسيتُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا إِنّا نَسينٰكُم ۖ وَذوقوا عَذابَ الخُلدِ بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Sahih International
So taste [punishment] because you forgot the meeting of this, your Day; indeed, We have [accordingly] forgotten you. And taste the punishment of eternity for what you used to do.”
(Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
فَذُوقُوا بِمَا نَسِيتُمْ
maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai
Ini menunjukkan permintaan mereka untuk pulang ke dunia tidak akan dipenuhi. Bila sudah dimasukkan ke dalam neraka, maka itu adalah tempat untuk diseksa. Bukannya neraka itu untuk menyedarkan mereka. Memanglah kalau sudah nampak neraka, semua percaya belaka. Tapi maknanya, mereka sudah gagal dalam ujian semasa di dunia. Sekarang masa untuk diseksa, bukan bagi kesedaran.
Rasakan seksaan kerana dulu lupa di dunia untuk buat amal soleh. Mereka disuruh amalkan tauhid dan amalkan sunnah, tapi sebaliknya mereka melakukan amalan syirik dan amalan bidaah.
‘Lupa’ itu bermaksud mereka tidak menghiraukan arahan Allah. Allah sudah suruh buat amal soleh, jangan buat amalan bidaah, tapi degil. Nak melawan juga lagi. Mereka ‘lupa’ perjanjian mereka dengan Allah untuk taat; dan orang yang mengaku Muslim pula, ramai buat-buat ‘lupa’ perjanjian syahadah mereka untuk taat kepada Allah dan ikut Rasul. Maka rasakanlah sekarang azab yang telah pernah dijanjikan kepada mereka.
Apakah yang mereka lupa?
لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا
pertemuan kamu hari ini.
Mereka juga lupa tentang pertemuan dengan Allah pada hari akhirat. Mereka buat tidak tahu dan tidak buat persediaan.
Ada yang memang lupa bahawa mereka akan mati. Oleh itu, apabila mereka tiba-tiba jatuh sakit teruk, mereka terkejut sangat. Maka, janganlah kita jadi macam mereka. Bersedialah untuk mati pada bila-bila masa sahaja. Kalau kita sakit, ingat mati. Bila nak tidur, ingat mati. Bila tengok ada orang mati, ingatlah bahawa masa kita akan sampai tidak lama lagi.
Apabila mereka lupa kepada kematian, maka mereka tidak bersedia untuk hari kematian itu. Mereka tentunya tidak melakukan amalan soleh sebagai persediaan menghadapi kematian. Ini macam pelajar yang lupa ada peperiksaan hujung tahun, tentulah mereka tak buat persediaan.
Kita diingatkan tentang kematian apabila kita melawat kubur. Lebih-lebih lagi, apabila kita menghantar keluarga dan kenalan kita yang kematian. Itulah sebabnya kita disuruh menghantar jenazah ke kubur. Bila kita lihat orang lain mati, kita kena fikirkan bilakah masa kita nanti kerana kita pasti akan bertemu dengan kematian itu. Begitu juga digalakkan untuk melawat kubur (untuk ingat mati, bukan untuk baca Al-Qur’an di kuburan). Bukan juga hanya melawat pada Hari Raya sahaja seperti yang dilakukan masyarakat kita.
Kita juga diingatkan dengan mati setiap hari apabila kita tidur. Kerana apabila kita tidur, roh kita diangkat sebenarnya. Dan kita tidur itu pada malam hari, sebagai ingatan kepada gelapnya keadaan dalam kubur nanti. Tapi orang yang tidak ada hubungan dengan wahyu, tidak ingat kepada peringatan ini.
إِنَّا نَسِينٰكُمْ
Sesungguhnya Kami melupakan kamu;
Kerana mereka lupa pertemuan dengan Allah, maka Allah sengaja lupa nak ingat kepada mereka.
Ini bukanlah bermaksud Allah ‘lupa’ seperti kita lupa. Kerana Allah tidak pernah lupa. Tapi maksud ‘lupa’ di sini adalah Allah akan buat tak endah sahaja kepada mereka. Dulu semasa mereka di dunia, mereka buat tak kisah kepada Allah. Sekarang Allah balas dengan melakukan perkara yang sama kepada mereka.
Ingatlah, kalau kita lupa kepada Allah, tidak ada kesan kepada Allah. Tapi, apabila Allah lupa kepada kita, bermakna kita tidak akan mendapat rahmat. Bila tidak mendapat rahmat, maka tempat kita tentulah di neraka.
وَذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ
dan rasalah azab yang kekal
Dua kali Allah cakap begini. Dua kali Allah suruh mereka rasakan azab seksaan itu. Maknanya, berat sangat peringatan dari Allah ini. Allah beri penekanan kalau Allah ulang satu-satu perkataan itu.
Azab itu adalah azab yang kekal. Mereka tidak akan keluar sampai bila-bila. Orang kita yang Muslim, selalu cakap: “Kalau orang Islam, akhirnya akan masuk syurga.” Mereka lupa, kalau mereka Muslim pun, tapi kalau mereka ada melakukan perkara syirik, mereka akan kekal dalam neraka.
Mereka yang masuk neraka dan akhirnya keluar adalah mereka yang tidak pernah buat syirik, tapi ada dosa yang mereka telah lakukan – sebab itulah mereka dimasukkan ke dalam neraka. Maka, mereka kena cuci dosa mereka di neraka dulu sebelum dimasukkan ke syurga. Tapi, kalau ada buat syirik, dan tidak minta ampun sebelum mati, mereka akan kekal dalam neraka.
بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.
Mereka itu dimasukkan ke dalam neraka disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri. Bukan Allah yang zalim yang sengaja nak masukkan mereka ke dalam neraka. Tidak ada yang lain yang boleh dipersalahkan melainkan diri sendiri.
Ayat 15: Ayat 15 – 19 adalah Perenggan Makro 3a. Ia menceritakan sifat golongan yang menerima Al-Qur’an. Mereka yang tunduk sujud, beramal soleh, tidak menyombong diri, infaq sebahagian rezeki akan mendapat syurga sebagai tempat kediaman.
Ayat 15 ini adalah Tabshir Ukhrawi. Selepas menceritakan tentang orang yang celaka, Allah sekarang hendak menceritakan tentang orang yang beriman dan beramal soleh pula. Iaitu mereka yang benar-benar beriman dengan Al-Qur’an. Ramai yang kata mereka beriman dengan Al-Qur’an tapi apakah tanda mereka?
إِنَّما يُؤمِنُ بِأيٰتِنَا الَّذينَ إِذا ذُكِّروا بِها خَرّوا سُجَّدًا وَسَبَّحوا بِحَمدِ رَبِّهِم وَهُم لا يَستَكبِرونَ ۩
Sahih International
Only those believe in Our verses who, when they are reminded by them, fall down in prostration and exalt [ Allah ] with praise of their Lord, and they are not arrogant.
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِأيٰتِنَا
Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami
Yang ingat adalah mereka yang beriman sempurna sahaja. ‘Beriman sempurna’ itu bermaksud tidak melakukan syirik langsung. Agak-agaknya, iman kita sudah sempurna belum? Ini penting, kerana ramai yang sangka mereka tidak buat syirik. Tapi sebenarnya mereka ada buat syirik.
Mereka cuma tidak tahu sahaja kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka mereka tidak tahu yang mereka ada buat syirik. Kerana, perkara berkenaan dengan syirik banyak diceritakan dalam Al-Qur’an. Kalau tak belajar tafsir, memanglah tidak akan tahu.
Ini adalah tentang orang yang betul-betul beriman dengan ayat-ayat Allah. Ramai yang kata mereka beriman, tapi betulkah mereka beriman? Tentu ada tanda yang menunjukkan orang itu benar-benar beriman. Tanda itu disebut dalam bahagian yang seterusnya:
الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا
ialah orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat itu,
Iaitu apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Al-Qur’an, mereka tunduk patuh.
Perkataan ذُكِّرُوا bermaksud ‘mereka diperingatkan’. Manusia memang memerlukan peringatan sentiasa. Untuk mengingatkan kita dengan perkara yang kita memang sudah tahu. Kerana kadang-kadang atau selalunya, kita terlupa. Kadang-kadang kita diingatkan bahawa apa yang kita sedang buat adalah salah.
Maka kita kena terima bahawa kita ada buat salah. Janganlah lawan pula kalau ada orang ingatkan kita. Mengaku sahajalah dan ubahlah mana yang patut diubah. Memang baik kalau ada orang ingatkan kita; tapi malangnya, ramai yang marah kalau diberi peringatan. Kita yang beri peringatan pula yang dimarahi.
Kalimah ذُكِّرُوا juga bermaksud kita diberitahu dengan perkara yang kita tak pernah tahu. Macam orang yang jarang baca Al-Qur’an, maka mereka diberitahu dengan benda yang mereka tak pernah tahu. Banyak juga masyarakat kita sebegini. Langsung tak tahu maksud ayat Al-Qur’an.
Dan apabila belajar tafsir, barulah tahu mereka ada buat banyak kesalahan. Selepas tahu itu pula, ada yang terima, tapi ada juga yang menentang. Ada yang terus belajar dan ubah perangai mereka. Tapi ramai juga yang tidak tahan dan keluar dari kelas. Kerana tak tahan dengan teguran demi teguran dari Al-Qur’an itu.
Dan ada yang lebih teruk, mereka melawan. Mereka kata kita pula yang salah tafsir. Padahal mereka yang tidak belajar, tapi apabila kena dengan ayat-ayat yang tidak sesuai dengan amalan mereka, mereka kata kita salah tafsir. Ada yang kata kita pula yang sesat. Ini adalah orang yang jahil sangat dan susah untuk terima kebenaran kalau disampaikan kepada mereka.
خَرُّوا سُجَّدًا
mereka terus rebah diri sambil sujud,
Inilah kesan kepada orang beriman. Mereka akan terima ayat-ayat Al-Qur’an dan terus tunduk. Bukannya mereka buat tak tahu sahaja. Maka ini mengajar kita yang kita kena tunjukkan yang kita beriman dengan perbuatan dan kata-kata. Mereka kena ubah perbuatan mereka selama ini.
Perkataan خَرُّ bermaksud ‘jatuh sampai berbunyi’. Juga bermaksud ‘jatuh dengan tiba-tiba’. Apabila mereka dengar ayat-ayat Al-Qur’an, mereka jadi lemah dan mereka terus sujud sebagai tanda taat kepada suruhan dalam ayat itu. Mereka terus tunduk kepada ayat-ayat Allah. Untuk tunduk dan taat kepada ayat Allah, kenalah faham apa yang ayat itu kata. Kalau tak belajar tafsir, takkan tahu.
Kita rendahkan diri kita kepada Allah semasa kita di dunia lagi. Kita tidak boleh lagi berdiri dengan sombong. Bandingkan dengan orang-orang yang berdosa yang merendahkan kepala mereka seperti yang diceritakan dalam ayat ke 12. Mereka itu rendahkan kepala mereka hanya di akhirat sahaja. Waktu itu tidak berguna lagi taat mereka itu kerana telah terlambat. Maka rendahkan diri kita semasa kita di dunia lagi. Supaya tidak menyesal dan hanya tunduk di akhirat sahaja.
Apabila orang-orang yang beriman dengar ayat-ayat Allah, mereka tak lawan, mereka tak debat lagi. Kerana kadang-kadang ayat Al-Qur’an akan memberitahu kesalahan-kesalahan kita dalam agama – dan ada kalangan orang Islam yang tidak mahu terima dan mereka akan debat dengan memberi dalil yang tidak benar. Tapi orang yang beriman akan sedar. Malah mereka gembira dan bersyukur sangat kerana mereka sempat dapat peringatan sebelum mereka mati.
Entah berapa banyak manusia yang walaupun mereka telah dibacakan dengan ayat Al-Qur’an, telah diberi hujah dengan ayat Al-Qur’an, tapi mereka masih lagi menentang, masih lagi menolak? Masih lagi nak bagi hujah-hujah mereka yang tentunya tidak boleh melawan hujah Al-Qur’an. Ma sha Allah! Jenis Muslim apakah mereka ini?
Apabila kita سُجَّدًا (sujud), itu akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Kerana Allah telah beritahu kita bahawa kita paling rapat denganNya dalam sujud kita.
Surah ini dinamakan Surah Sajdah kerana ada Ayat Sajdah ini di dalamnya. Maka selepas kita baca ayat ini, maka kita disunatkan untuk Sujud Sajdah. Senang sahaja untuk sujud: tidak perlu tutup aurat, tidak perlu wuduk dan malah tidak perlu tahu mana arah kiblat.
وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ
dan bertasbih serta memuji Tuhan mereka,
Mereka bukan sahaja sujud dengan kosong tanpa berkata apa-apa, tapi lidah mereka bertasbih dan memuji Allah dalam sujud itu. حَمْدِ bermaksud mereka bersyukur dengan Allah. Kerana ada maksud ‘syukur’ dalam perkataan حَمْدِ itu.
Mereka bersyukur dengan peringatan yang Allah berikan kepada mereka dalam Al-Qur’an itu. Kita kena bersyukur kalau ayat Al-Qur’an memberitahu kesalahan dan kesilapan kita kerana itu memberi peluang untuk kita mengubah cara kita. Apabila mereka bersyukur, Allah akan tambah dengan taufiq kepada mereka.
Maksud سَبَّحُ (bertasbih) adalah ‘menyucikan’ Allah. Apakah maksudnya? Bukankah Allah sudah sedia suci? Bukan begitu maksudnya. Maksud kita bertasbih adalah kita menidakkan perbuatan-perbuatan syirik yang dilakukan oleh orang-orang kafir dan orang-orang yang sesat. Dalam orang Hindu menyembah berhala, kita kata ‘subhanallah, Maha Suci Allah, Allah tidak begini…” Begitu juga kita menidakkan pemahaman salah masyarakat Islam kita yang tidak faham agama.
Contohnya, mereka akan bertawasul kepada wali, malaikat dan Nabi. Apabila kita nampak ada masyarakat kita yang buat begitu, kita pun cepat-cepat mengucapkan tasbih (subhanallah), menyucikan Allah dari perkara itu. Kita katakan kepada mereka dan diri kita, yang Allah tidak memerlukan perantaraan dalam berdoa kepadaNya. Allah maha suci dari semua itu.
وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.
Mereka tidak sombong untuk menerima kebenaran wahyu. Perasaan sombong menyebabkan susah nak terima yang kita ada buat salah. Ramai yang rasa mereka sahaja yang benar. Ini amat malang sekali.
Untuk kita mendapat ilmu, kadang-kadang kita kena tinggalkan ilmu yang kita sudah belajar dulu. Jangan kita sangka yang semestinya semua yang kita belajar dulu benar belaka. Kena periksa balik dan bandingkan dengan wahyu. Sekarang banyak sangat perkara salah yang diajar. Tidak mustahil banyak yang kita belajar dulu salah belaka.
Kalau kita ada buat salah, kita kena terima. Sebagai contoh, Saidina Umar pun dengar pendapat seorang perempuan. Umar hendak menghadkan mahr kepada 400 dirham sahaja. Seorang perempuan telah bangun dan membacakan ayat Al-Qur’an yang memberi isyarat bahawa mahr itu boleh diberikan dengan harta yang banyak.
Umar juga pernah tidak dapat terima yang Nabi sudah wafat. Sampailah Abu Bakr membacakan ayat Al-Qur’an yang mengatakan Nabi akan mati juga. Umar kata bila Abu Bakr baca ayat itu, seolah-olah dia tidak pernah dengar ayat itu. Baru dia perasan dan sedar kembali apabila diperingatkan. Lemah dia serta merta dan terus dia terima. Bayangkan Umar yang kita pun tahu seorang yang keras dan garang, tapi apabila dibacakan ayat Allah, dia terus terima.
Ini adalah kerana mereka tidak sombong dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka terima ayat-ayat itu dan beriman dengannya. Mereka terkesan dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Mereka taat dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Mereka amalkan dengan ajaran-ajaran dalam ayat itu. Inilah sifat-orang-orang yang beriman. Mereka tak menentang ayat-ayat Al-Qur’an itu. Hanya yang sombong sahaja yang akan menentang.
Malangnya, apabila orang membacakan ayat Al-Qur’an sebagai dalil, ramai yang menentang dengan beri hujah mereka sendiri. Mereka akan gunakan akal mereka yang dangkal. Ataupun mereka akan pakai hujah tok guru mereka.
Dalam solat, ada ayat Al-Qur’an, ada sujud, ada tasbih dan ada tahmid. Ini bermakna, orang yang solat adalah orang yang tak sombong. Orang yang tak solat adalah orang yang sombong, dan orang yang sombong, tempatnya dalam neraka. Sombong adalah ‘pakaian Allah’. Kalau kita sombong, bermakna kita telah mengambil pakaian Allah dan ‘seperti’ kita membogelkan Allah.
Orang yang tak mahu belajar tafsir Al-Qur’an juga dikira sebagai sombong. Mereka tidak mahu mempelajari ayat-ayat Al-Qur’an yang Allah telah turunkan kepada kita melalui Jibril dan disampaikan kepada NabiNya yang paling mulia, Nabi Muhammad. Tapi, apabila sampai kepada mereka yang sombong itu, mereka buat tak tahu sahaja.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
💜🌻
LikeLike