Ayat 31: Ini adalah Bahagian Kedua Surah Rahman. Sekarang sudah masuk ke bahagian takhwif (penakutan). Allah hendak menakutkan pembaca Al-Qur’an, iaitu kalau berani buat salah dan dosa, maka kena berani tanggung.
Jadi ayat ini bermula dengan keadaan di waktu hisab amal di Mahsyar nanti. Allah nak kita bayangkan keadaan di sana nanti.
سَنَفرُغُ لَكُم أَيُّهَ الثَّقَلانِ
We will attend to you, O prominent beings.
Kami akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!
سَنَفْرُغُ لَكُمْ
Kami akan beri perhatian sepenuhnya kepada kamu
Maksud فرغ adalah ‘terluang’. Seperti seseorang yang ada masa untuk diluangkan. Maksud ayat ini adalah, Allah akan meluangkan masa untuk beri perhatian kepada kita. Jangan kita sangka Tuhan sibuk dengan perkara lain dalam menguruskan alam ini (seperti telah disebut dalam ayat sebelum ini), sampai Allah tidak boleh meluangkan masa untuk kita.
Lihatlah bagaimana tidak ada sesiapa pun yang boleh meluangkan masa sepenuhnya untuk kita. Kalau seorang guru tidak mampu, seorang ayah tidak mampu, seorang pemimpin pun tidak akan mampu. Semakin tinggi seseorang itu, semakin tidak ada masa untuk kita. Tapi Allah yang Maha Tinggi, sentiasa ada masa untuk kita. Kita sentiasa di dalam pengawasanNya.
Dan di akhirat nanti, kita akan berurusan sendiri dengan Allah. Kita akan ada session one-on-one dengan Allah nanti di akhirat kelak. Waktu itu kita akan dihadapkan dengan segala amalan kita yang kita telah lakukan semasa di dunia dan kita akan disoal tentang perbuatan kita itu.
أَيُّهَ الثَّقَلَانِ
wahai dua yang berat!
Kalimah الثَّقَلَانِ dari perkataan ث ق ل yang bermaksud ‘berat’. Mereka yang dimaksudkan adalah dua jenis makhluk yang jadi pemberat sahaja di atas muka bumi ini kerana mereka orang/jin tidak menjalankan tanggungjawab yang Allah telah tetapkan ke atas diri mereka. Mereka itu buat berat bumi sahaja, tidak berguna langsung.
Atau, ia bermaksud dua makhluk yang ‘diberatkan’ dengan tanggungjawab. Iaitu tanggungjawab syariat. Binatang, langit, gunung-ganang tidak ada tanggungjawab ini. Oleh itu mereka tidak dipersoalkan di akhirat kelak. Tapi manusia dan jin akan disoal tentang amalan dan perbuatan mereka semasa di dunia. Oleh itu, ingatlah bahawa segala perbuatan kita di dunia ini akan ditanya di hadapan Allah nanti.
Ayat 32:
فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Seperti yang kita telah bincangkan sebelum ini, kalimah ءآلَاءِ boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ atau sebagai ‘kuasa’.
Nanti apabila sampai masa apabila Allah akan menimbang segala perbuatan manusia semasa di bumi, Allah akan buat penghakiman atas segala kesalahan yang manusia telah lakukan. Allah berkuasa untuk melakukannya. Allah akan periksa satu persatu, manakah nikmat-nikmat Allah yang mereka salahgunakan semasa di dunia.
Tafsiran yang kedua, Allah hendak memberitahu jin dan manusia yang tidak yakin dengan kebangkitan semula: kamu sekarang tidak percaya dengan kuasa Allah untuk membangkitkan semula semua makhluk dan menjadikan hari kebangkitan.
Nanti kamu akan lihat nanti perkara yang aku tidak yakini itu akan berlaku betul-betul di hadapan kamu. Kamu tunggulah sahaja. Adakah kamu sangka Allah tidak berkuasa untuk menjadikan hari itu? Waktu itu, kamu rasa kamu akan percaya atau tidak?
Ayat 33: Akan dikatakan semasa hisab amal itu. Tidak ada sesiapa yang boleh lari. Memang semasa di dunia ada manusia yang cuba lari dan boleh lari dari keadilan Allah.
يٰمَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا ۚ لا تَنفُذونَ إِلّا بِسُلطٰنٍ
O company of jinn and mankind, if you are able to pass beyond the regions of the heavens and the earth, then pass. You will not pass except by authority [from Allah].
Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!
يٰمَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ
Wahai sekalian golongan jin dan manusia!
Di sini, Allah menyebut jin sebelum manusia. Kenapa? Kadang-kadang, Allah akan sebut manusia dulu sebelum jin. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut jin dahulu. Ada sebab kenapa Allah buat begitu.
إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Kalau kamu ada kemampuan untuk menembus keluar dari penjuru-penjuru langit dan bumi
Kalimah تَنفُذوا dari kata dasar ن ف ذ yang bermaksud menembusi sesuatu, melepasi.
Kalimah أَقطارِ pula dari kata dasar ق ط ر yang bermaksud tepian. Maksud ayat ini, Allah cabar jin dan manusia untuk menembusi alam ini untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasanNya. Iaitu apabila Allah hendak buat keputusan terhadap kesalahan mereka semasa di dunia.
فَانفُذُوا
maka cubalah kamu menembus keluar.
Larilah cari tuhan lain sekiranya ada. Selamatkanlah diri kamu dari Allah kalau kamu mampu. Lari jauh-jauh, terbanglah jauh-jauh.
Siapa yang rasa mereka boleh buat begini? Yang rasa mereka boleh terbang melepasi sempadan-sempadan alam Allah? Tentunya Jin yang rasa mereka boleh buat begitu. Kerana mereka boleh terbang, manusia tidak boleh terbang. Sebab itulah Allah sebut jin dahulu sebelum menyebut manusia dalam ayat ini.
Kalau Allah beri cabaran begini, bermaksud apa? Bermaksud Allah sudah tahu yang manusia dan jin memang tidak boleh lari ke mana-mana. Tidak ada yang akan mampu.
لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطٰنٍ
Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan kekuasaan;
Kalau kamu ada Qudrat melampaui Qudrat Allah, bolehlah. Masakan dapat! Sedangkan para malaikat akan menjaga mereka dari melepaskan diri. Penjenayah di dunia mungkin boleh lari dari polis yang nak tangkap mereka, tapi manusia dan jin tidak boleh lari dari kekuasaan Allah. Ke mana lagi kita nak lari? Allah sebut dalam ayat lain:
{يَقُولُ الإنْسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ. كَلا لَا وَزَرَ. إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ}
Pada hari itu manusia berkata, “Ke manakah tempat lari?” Sekali-kali tidak! Tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali. (Al-Qiyamah: 10-12)
Ayat ini menceritakan keadaan di Hari Akhirat nanti. Jin dan manusia tidak boleh lari dari kekuasaan Allah. Mereka tidak boleh lari dari hukuman Allah. Mereka memang kena hadap.
Ayat 34:
فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Kuasa Allah yang mana lagi kamu nak dustakan? Kamu tidak percaya kepada kuasa Allah yang akan dapat mengumpul kamu walau di mana sahaja kamu berada? Memang kalau kamu berfikiran begitu, kamu akan mengalami nasib yang amat buruk!
Ayat 35: Ini apabila telah bermula hukuman di akhirat. Ada balasan azab dan ada balasan rahmat. Ini adalah Takhwif ukhrawi. Sebelum ini telah disebut bahawa penghakiman akan ada dan makhluk tidak boleh lari. Sekarang mula beritahu apakah azab yang akan dikenakan kepada mereka yang gagal.
يُرسَلُ عَلَيكُما شُواظٌ مِّن نّارٍ وَنُحاسٌ فَلا تَنتَصِرانِ
There will be sent upon you a flame of fire and smoke, and you will not defend yourselves.
Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan asap tebal; dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);
يُرسَلُ عَلَيكُما شُواظٌ مِّن نّارٍ
Kamu berdua akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang
Akan dikenakan dengan api yang kuat. Kalimah شُواظٌ bermaksud nyalaan-nyalaan. Kalau nak bayangkan, ia macam welding di bengkel. Kalau kita lihat api welding itu, api di hadapan yang paling panas.
Ada juga pendapat yang mengatakan, ini kalau ada yang cuba lari dari penjuru langit dan bumi. Mereka akan dikenakan dengan api yang menjulang-julang. Iaitu macam meteor yang akan mengenai mereka.
وَنُحَاسٌ
dan asap tebal;
Kalau manusia atau jin cuba juga nak lari, mereka akan dikenakan dengan api dan asap tebal. Mereka memang tidak akan ada peluang untuk melarikan diri langsung.
Ada juga pendapat yang mengatakan ini adalah cairan tembaga. Akan dicurahkan ke atas mereka.
فَلَا تَنتَصِرَانِ
kamu tidak akan mampu menolong diri kamu;
Makhluk tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka dari Allah. Manusia dan jin juga tidak akan dapat membantu satu sama lain.
Kalau dalam filem, bila ada meteor yang hendak menimpa bumi, kononnya manusia boleh buat sesuatu untuk menyelamatkan diri mereka. Nanti, apabila Allah benar-benar hendak menjatuhkan meteor kepada manusia, manusia tidak boleh buat apa-apa.
Ayat 36:
فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Adakah kamu nak menidakkan kuasa Allah? Apakah kamu sangka Allah tidak berkuasa untuk melakukannya terhadap kamu?
Ayat 37: Allah menerangkan kejadian pada Hari Kiamat nanti. Iaitu suasana waktu hisab. Allah beri gambaran untuk menakutkan kita. Allah berikan maklumat ini untuk bagi manusia dan jin berfikir. Maka ayat 37 – 40 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia menceritakan suasana Hari Kiamat.
فَإِذَا انشَقَّتِ السَّماءُ فَكانَت وَردَةً كَالدِّهانِ
And when the heaven is split open and becomes rose-colored like oil –
Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;
فَإِذَا انشَقَّتِ السَّمَاءُ
Ketika langit terbelah
Langit akan terbelah dan terbuka pada hari Kiamat itu kerana ramai sekali malaikat turun. Ini adalah pada hari ditiupkan Sangkakala iaitu pada Hari Kiamat nanti. Waktu itu tidak sempat nak buat apa lagi.
Manusia akan amat terkejut pada hari itu. Sampaikan seorang ibu yang sedang mengandung akan tergugur anaknya kerana amat takut dan terkejut. Yang sedang menyusukan anak pula, akan buang anak mereka kerana takut sangat, sampaikan anak mereka yang mereka sayangi pun mereka tidak hiraukan lagi.
فَكَانَتْ وَرْدَةً
lalu menjadilah ia berwarna merah,
Bayangkan apabila kita menyiat kulit binatang. Ianya akan berwarna merah darah. Waktu itu langit akan menjadi kemerahan. Warnanya adalah merah mawar. Ia dari kata dasar و ر د dan bila ditambah ة ia menjadi ‘bunga Ros’. Ia menggambarkan kemarahan Allah pada waktu itu.
كَالدِّهَانِ
berkilat seperti minyak;
Dan ia akan berkilat-kilat. Ini adalah kerana apabila makhluk melihat ke langit, mereka akan nampak langit itu terbakar dengan dahsyatnya. Atau, ia akan seperti minyak yang dipanaskan.
Ayat 38:
فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Kamu sekarang menidakkan kuasa Allah untuk menjadikan hari kiamat itu, bukan? Nanti kamu akan lihat sendiri yang ianya terjadi dengan sebenar. Maka waktu itu adalah kamu hendak dustakan lagi kuasa Allah?
Ayat 39:
فَيَومَئِذٍ لّا يُسئَلُ عَن ذَنبِهِ إِنسٌ وَلا جانٌّ
Then on that Day none will be asked about his sin among men or jinn.
Pada masa itu tiada sesiapa pun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);
فَيَوْمَئِذٍ
Pada masa itu
Iaitu pada hari Mahsyar.
لَّا يُسْئَلُ عَن ذَنبِهِ
tiada sesiapa pun yang akan ditanya tentang dosanya
Kenapa pula tidak ditanya? Kita kena faham yang hari Akhirat dijelaskan dalam fasa-fasa di dalam Al-Qur’an ini. Tidaklah semua ayat menyatakan keseluruhan tentang Hari Kiamat. Satu ayat mungkin menerangkan satu fasa dan satu ayat lagi tentang fasa yang lain.
Ayat yang kita sedang baca ini berlaku dalam fasa awal Hari Kiamat. Pada hari itu, tidak perlu ditanya tentang dosa yang telah dilakukan manusia dan jin, kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya masing-masing; Macam penjenayah yang baru ditangkap dan dibawa ke balai polis, tidak ditanya pun kita sudah tahu mereka muka bersalah. Kerana kita boleh lihat dari air muka mereka.
Mujahid (salah seorang ulama’ tafsir) telah mengatakan sehubungan dengan ayat ini, bahawa para malaikat tidak menanyakan tentang orang-orang yang berdosa, melainkan para malaikat mengetahui mereka dengan sendirinya melalui tanda-tanda yang ada pada mereka.
Macam juga muka pelajar yang ambil keputusan peperiksaan mereka. Mereka sendiri sudah dapat agak apakah yang mereka akan dapat – sama ada baik atau buruk. Jelas di muka mereka. Sekali pandang sahaja kita boleh tahu siapa yang berjaya dan siapa yang tidak.
Mereka yang berdosa itu sudah tahu apa yang mereka buat semasa mereka di dunia. Maka, akan nampak jelas kekesalan dan kekhuatiran pada wajah mereka. Tambahan pula, Allah akan jadikan tanda pada muka mereka, apakah dosa utama yang mereka telah lakukan.
Selepas fasa ini, maka akan diteruskan dengan fasa seterusnya dimana mereka akan ditangkap dan akan ditanya dan dipersoalkan satu persatu tentang apakah yang mereka telah lakukan di dunia dulu. Seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:
{فَوَرَبِّكَ لَنَسْأَلَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ . عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ}
Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu. (Al-Hijr: 92-93)
Allah tidak perlu tanya pun kerana Allah sudah tahu apa yang manusia telah buat. Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan bahawa Allah tidak menanyai mereka, “Apakah kamu telah melakukan anu dan anu?” Kerana Dia lebih mengetahui hal itu daripada mereka sendiri, melainkan Allah bertanya kepada mereka, “Mengapa kalian melakukan anu dan anu?” Ini merupakan pendapat yang kedua.
Satu lagi tafsiran: mereka tidak akan ditanya kerana tidak diberi peluang untuk mereka mempertahankan diri mereka. Kerana kalau tanya, bolehlah pula yang ditanya itu beri alasan. Tapi tidak, mereka tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri mereka pada waktu itu. Ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:
{هَذَا يَوْمُ لَا يَنْطِقُونَ. وَلا يُؤْذَنُ لَهُمْ فَيَعْتَذِرُونَ}
Inilah hari, ketika mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu), dan tidak diizinkan kepada mereka mengemukakan alasan agar mereka dimaafkan. (Al-Mursalat: 35-36)
إِنسٌ وَلَا جَانٌّ
sama ada manusia atau jin,
Sekarang Allah sebut ‘manusia’ dulu pula sebelum disebut ‘jin’. Ada kalanya Allah akan menyusun dengan cara berlainan. Susunan itu mengikut keperluan dan mengikut keadaan.
Ayat 40:
فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka tidak menghargai nikmat Allah semasa mereka hidup di dunia dulu. Maka sekarang, rasailah azab yang akan menimpa mereka.
Ayat 41:
يُعرَفُ المُجرِمونَ بِسيمٰهُم فَيُؤخَذُ بِالنَّوٰصي وَالأَقدامِ
The criminals will be known by their marks, and they will be seized by the forelocks and the feet.
Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);
يُعرَفُ المُجرِمونَ بِسيمٰهُم
Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dengan tanda-tandanya,
Macam kalau di dunia pun kita sudah dapat tahu siapa yang bersalah dari air mukanya. Dan pekerja sesuatu syarikat juga ada tanda dia pada baju uniform atau pada lanyard dia. Dan kalau banduan di penjara juga ada uniform dia dan tidak sama dengan warden penjara.
Maka, di neraka nanti mereka yang berdosa akan diberi tanda. Malaikat dan makhluk yang lain akan kenal mereka kerana muka mereka hitam dan mata mereka biru. Dengan bau yang busuk lagi. Dan tanda-tanda yang lain. Memang tidak boleh disorok lagi.
Jadi ini menjawab persoalan dalam ayat sebelum ini, kenapa di Mahsyar tidak ditanya apakah dosa orang yang berdosa itu – kerana telah ada tanda. Semua sudah tahu siapakah orang yang berdosa.
فَيُؤْخَذُ بِالنَّوٰصِي
lalu dipegang dari atas kepala
Semasa hendak dilemparkan ke dalam neraka, mereka akan dipegang di kepalanya dan akan dilemparkan ke dalam neraka.
Kalimah بِالنَّوٰصِي dari kata dasar ن ص ي yang bermaksud ubun-ubun kepala. Mereka akan dilempar ke dalam neraka dan mengambil masa 70 tahun lamanya baru sampai ke dasar neraka. Semasa jatuh, badannya dibakar sepanjang perjalanan ke dasar neraka itu. Seksa yang amat sangat!
وَالْأَقْدَامِ
dan kakinya;
Kepala dan kakinya akan diikat dan dia akan diheret dan dilemparkan ke dasar neraka. Mereka dilayan macam binatang, macam sampah. Al-A’masy telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa ubun-ubun seseorang dari mereka dipegang bersama kedua kakinya hingga patah sebagaimana kayu bakar dipatahkan di dalam pembakaran roti.
Kita boleh tafsir begini: Kadang malaikat akan pegang pesalah dan ahli neraka itu dengan kaki, kadang dengan kepala. Maknanya malaikat akan capai mana-mana dulu. Ini macam buang sampah, asal dapat pegang sahaja dan akan terus dihumban. Tidak perlu nak beriya-iya cara pegang kerana benda hina yang nak dibuang.
Tapi ada juga tafsiran kedua: satu malaikat pegang kepala dan satu malaikat lagi pegang kaki untuk dihumban. Ini adalah kerana walaupun mereka itu berdosa, tapi roh mereka itu mulia, maka malaikat pun hormatlah juga. Allahu a’lam.
Mereka dilayan macam ini kerana mereka dulu semasa di dunia macam binatang. Mereka nak lihat tanda-tanda kebenaran dengan mata baru mereka kononnya nak percaya. Mereka nak lihat Allah, mereka nak lihat malaikat, mereka nak lihat Al-Qur’an diturunkan dan sebagainya. Padahal, mereka itu adalah manusia, tidak memerlukan tanda-tanda yang boleh dilihat dengan mata pun sudah boleh faham.
Kerana telah disebutkan di awal surah ini yang manusia itu telah diberi dengan ‘bayan’, iaitu kebolehan untuk faham idea, tulisan dan kata-kata. Tidak perlu lihat dengan mata pun sudah boleh faham. Yang kena lihat dengan mata baru nak buat tindakan, adalah binatang sahaja. Kalau ada kebakaran hutan, bila nampak hutan itu betul-betul terbakar di hadapan mata mereka, baru mereka nak terima dan lari dari situ.
Tapi manusia sepatutnya dengan hanya diberitahu ada hutan yang terbakar di hadapan, mereka sudah boleh tinggalkan tempat itu. Jadi kalau manusia nak tengok tanda depan mata juga baru nak ikut, mereka telah meletakkan kedudukan mereka sama dengan binatang lah maknanya.
Oleh itu, manusia telah diberitahu dengan peringatan-peringatan dalam bentuk nasihat dan ayat-ayat Al-Qur’an. Sepatutnya penjelasan dalam Al-Qur’an ini sudah cukup. Tapi mereka degil, tidak mahu percaya. Hasilnya, mereka akan dilayan macam binatang. Itulah layanan yang layak untuk mereka terima.
Ayat 42:
فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
Maka masihkah kamu tidak mahu menghargai nikmat-nikmat Allah ke atas kamu? Kalau sudah hargai itu, maka kenalah taat kepada Allah. Kalau tidak taat, maka kamu akan dimasukkan ke dalam neraka dan kamu akan mengalami segala perkara yang telah disebut di atas.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 April 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Syeikh Nasir Jangda
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi