Tafsir Surah Rahman Ayat 68 – 78 (Allah yang Maha Berkat)

Ayat 68:

فيهِما فاكِهَةٌ وَنَخلٌ وَرُمّانٌ

Sahih International

In both of them are fruit and palm trees and pomegranates.

Malay

Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,

فِيهِمَا فَاكِهَةٌ

Pada keduanya juga terdapat buah-buahan,

Allah menggunakan contoh buah-buahan kerana orang Arab amat suka kepada buahan. Mereka tinggal di kawasan padang pasir yang tidak banyak buah-buahan. Jadi, ianya adalah satu nikmat yang amat besar bagi mereka. Sampaikan kalau mereka makan buah-buahan, mereka akan tersenyum. Dan kerana itulah lafaz fakihah digunakan yang dari segi literal bermaksud ‘gembira’.

 

وَنَخْلٌ

serta pohon-pohon kurma

Contoh pohon kurma digunakan kerana bangsa Arab banyak makan kurma. Ianya adalah makan ruji bagi mereka.

 

وَرُمَّانٌ

dan delima,

Dalam syurga sebelum ini pun telah disebut ada buah juga. Tapi kali ini Allah spesifik menyebut dua jenis buahan. Disebut dua jenis buah ini kerana ianya adalah jenis buah yang biasa kepada masyarakat Arab. Ianya juga adalah buah kegemaran mereka.

Kenapakah disebut perkara yang spesifik kepada bangsa Arab pula? Kerana Al-Qur’an mula disampaikan kepada mereka. Kerana merekalah yang mula-mula beriman dengan Nabi. Merekalah yang mula-mula berkorban dalam Islam. Merekalah yang mula-mula berdakwah kepada Islam. Merekalah golongan yang ‘mula-mula’ – musaabiqoon. Ayat-ayat sebegini adalah sebagai penghormatan kepada mereka. Kerana disebut buah yang jadi kegemaran mereka.

Lihat bagaimana Allah angkat kedudukan mereka. Tapi golongan Syiah yang tak tahu Islam, telah mengatakan merekalah manusia paling jahat. Syiah kata ramai dari kalangan sahabat telah murtad selepas kewafatan Nabi.

Pernah orang Yahudi bertanya Nabi tentang buah-buahan dalam syurga:

قَالَ عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ: حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ عَبْدِ الْحَمِيدِ، حَدَّثَنَا حُصَيْنُ بْنُ عُمَرَ، حَدَّثَنَا مُخَارِقٌ، عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ: جَاءَ أُنَاسٌ مِنَ الْيَهُودِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا: يَا مُحَمَّدُ، أَفِي الْجَنَّةِ فَاكِهَةٌ؟ قَالَ: “نَعَمْ، فِيهَا فَاكِهَةٌ وَنَخْلٌ وَرُمَّانٌ”. قَالُوا: أَفَيَأْكَلُونَ كَمَا يَأْكُلُونَ فِي الدُّنْيَا؟ قَالَ: “نَعَمْ وَأَضْعَافٌ”. قَالُوا: فَيَقْضُونَ الْحَوَائِجَ؟ قَالَ: “لَا وَلَكِنَّهُمْ يَعْرَقُونَ وَيَرْشَحُونَ، فَيُذْهِبُ اللَّهُ مَا فِي بطونهم من أذى”

Abdu ibnu Humaid mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Abdul Hamid, telah menceritakan kepada kami Husain ibnu Umar, telah menceritakan kepada kami Mukhariq, dari Tariq ibnu Sahl, dari Syihab, dari Umar ibnul Khattab yang menceritakan bahawa pernah beberapa orang Yahudi datang kepada Rasulullah Saw., lalu mereka bertanya, “Hai Muhammad, apakah di dalam syurga terdapat buah-buahan?” Rasulullah Saw. menjawab: Ya. di dalam syurga terdapat buah-buahan, dan buah kurma serta buah delima. Mereka bertanya, “Apakah mereka (penghuni syurga) makan sebagaimana penduduk dunia makan?” Rasulullah Saw. menjawab: Ya. dan berkali-kali ganda banyaknya. Mereka bertanya, “Kalau begitu, mereka menunaikan hajatnya pula (buang air besar dan air kecil)?” Rasulullah Saw. menjawab: Tidak, tetapi mereka hanya berkeringat dan beringus, maka Allah melenyapkan gangguan yang ada pada perut mereka.


 

Ayat 69:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka nikmat dari Allah yang manakah yang kamu hendak dustakan? Tidak pernah berhenti nikmat yang Allah telah berikan. Kenapa kamu tidak menilainya dan menjadi taat kepada Allah? Supaya kamu boleh dapat menikmati semua yang disebut nikmat dalam surah ini.


 

Ayat 70: Dalam syurga jenis ini juga ada bidadari.

فيهِنَّ خَيراتٌ حِسانٌ

Sahih International

In them are good and beautiful women –

Malay

Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;

 

Perkataan خَيْرَاتٌ bermaksud ‘pilihan yang tepat’. Sifat-sifat bidadari itu adalah sepertimana yang kita mahukan. Tidak ada yang tidak kena dengan mereka – mereka sempurna.

Sedangkan dalam dunia, ada sahaja benda yang kita tak suka dengan pasangan kita, tapi kerana kita sayang kepada mereka, kita tahan sahaja. Nak cari yang sempurna pun memang tidak ada berjumpa. Tapi dengan bidadari itu, semuanya sempurna. Tidak ada yang kurang pada pandangan mata kita.

Allah tambah lagi dengan perkataan حِسَانٌ yang membawa maksud ‘cantik’ dan ‘baik’. Sudahlah baik, cantik pula. Ini berlainan dengan kebiasaan wanita di dunia. Susah dua sifat itu untuk ada bersama. Selalunya kalau seseorang itu cantik, dia tidak baik, tidak molek akhlaknya. Dan kalau dia seorang yang baik, tidak cantik pula. Ini kita katakan ‘kebiasaan’ sahaja. Bukanlah semua orang wanita macam itu.

Yang disebut dalam ayat ini adalah bidadari juga tapi lain dari bidadari yang sebelum ini. Bidadari untuk golongan musaabbiqoon ini lebih hebat lagi.


 

Ayat 71:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Adakah nikmat dan kuasa Allah yang kamu hendak tolak? Kalau kamu tolak, maka tidak ada harapan untuk masuk ke syurga yang Allah sebut-sebut ini.


 

Ayat 72: Sifat bidadari itu lagi.

حورٌ مَقصوراتٌ فِي الخِيامِ

Sahih International

Fair ones reserved in pavilions –

Malay

Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing;

حُورٌ مَّقْصُورَاتٌ

Iaitu bidadari-bidadari yang bermata cantik, yang hanya tinggal tetap

Perkataan حُورٌ digunakan untuk ‘perempuan cantik yang mempunyai mata yang mempesonakan’. Warna putih matanya amat beza dengan warna hitam – contrast yang jelas.

Mata sebegini memang cantik. Dalam syurga sebelum ini, disebut bidadari itu merendahkan pandangan mata mereka kerana malu-malu. Rupanya mata mereka amat cantik sekali. Memukau dan mempesona.

Kalimah مَّقْصُورَاتٌ bermaksud bidadari itu ‘menahan diri mereka’. Ia dari katadasar ق ص ر yang bermaksud terhad, menahan diri dalam lingkungan, taat. Mereka sekarang sedang menunggu sahaja tuan mereka untuk masuk syurga dan bersama dengan mereka.

Mereka dijadikan khas untuk ahli syurga. Diri mereka hanya untuk tuan mereka sahaja. Tidak berkongsi dengan orang lain. Orang lain pun tak dapat tengok. Dalam dunia moden sekarang, isteri kita pun kena keluar bekerja juga, keluar ke tempat awam juga dan orang lain pun nampak mereka juga. Tapi, sekali-sekala seorang isteri itu kenalah buat sesuatu yang khas sahaja untuk suaminya sahaja.

Perempuan dalam Islam boleh bekerja bila perlu. Tapi hendaklah mereka menjaga diri mereka. Mereka kena jaga pakaian mereka, cara bergaul dengan orang lain, cara berkomunikasi dengan orang lain, cara bergerak dan lain-lain lagi.

Perempuan dalam Islam ada karektor-karektor yang perlu ada. Wanita kita bukan seperti wanita-wanita agama lain. Wanita Islam boleh berkomunikasi dengan orang lain, boleh berfikir, berpelajaran tapi dalam masa yang sama, boleh menjaga watak mereka. Kena pandai berada di tengah-tengah.

 

فِي الْخِيَامِ

di tempat tinggal masing-masing;

Ia memberi isyarat yang para bidadari itu tersimpan tidak dibuka oleh sesiapa lagi. Tidak dilihat oleh sesiapa.

Kalimah الْخِيَامِ bermaksud ‘khemah’. Ini adalah kegemaran bangsa Arab. Mereka suka tinggal dalam khemah. Kalau mereka mengembara, mereka akan gunakan khemah sebagai tempat tinggal mereka yang sementara. Dan kalau Arab Badwi, mereka memang tinggal dalam khemah pun.

Tapi khemah dalam syurga bukanlah khemah biasa. Ada hadis tentang perkara ini:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ عَبْدِ الصَّمَدِ، حَدَّثَنَا أَبُو عِمْرَانَ الْجَوْنِيُّ، عَنْ أَبِي بَكْرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ قَيْسٍ، عَنْ أَبِيهِ؛ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم قال: “إِنَّ فِي الْجَنَّةِ خَيْمَةً مِنْ لُؤْلُؤَةٍ مُجَوَّفَةٍ، عَرْضُهَا سِتُّونَ مِيلًا فِي كُلِّ زَاوِيَةٍ مِنْهَا أهلٌ مَا يَرون الْآخَرِينَ، يَطُوفُ عَلَيْهِمُ الْمُؤْمِنُونَ”.

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnul Musanna. telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz ibnu Abdussamad, telah menceritakan kepada kami Abu Imran Al-Juni, dari Abu Bakar ibnu Abdullah ibnu Qais, dari ayahnya, bahawa Rasulullah Saw. telah bersabda: Sesungguhnya di dalam syurga terdapat khemah (rumah) yang terbuat dari mutiara yang dilubangi, besarnya sama dengan jarak enam puluh batu, pada tiap-tiap sudut khemah itu ada penghuninya (yakni para bidadari) yang satu sama lainnya tidak saling melihat, dan orang-orang mukmin berkeliling menggilir mereka.

Imam Bukhari telah meriwayatkannya pula melalui hadis Abu Imran dengan sanad yang sama, dan disebutkan bahawa luas khemah itu adalah tiga puluh batu.


 

Ayat 73:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Sudah banyak nikmat-nikmat yang Allah janjikan dalam syurga. Tidakkah kamu teringin untuk menerimanya? Maka kenalah beramal di dunia dengan amalan ahli syurga.


 

Ayat 74: Sifat bidadari itu lagi.

لَم يَطمِثهُنَّ إِنسٌ قَبلَهُم وَلا جانٌّ

Sahih International

Untouched before them by man or jinni –

Malay

(Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;

لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ

(Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia

Kita sebagai lelaki, memang suka kalau bakal isteri kita tidak disentuh oleh lelaki lain. Itulah sebabnya Allah sebut sebegini dalam ayat ini.

 

وَلَا جَانٌّ

dan tidak juga oleh jin;

Surah ini banyak menyebut tentang jin secara tidak langsung. Makna surah ini khitab kepada jin juga. Oleh itu, selepas disebut tentang manusia, maka disebut tentang jin pula. Kerana jin-jin juga akan masuk ke dalam syurga dan mereka akan diberi dengan bidadari dari kalangan mereka juga. Bidadari mereka juga tidak sentuh oleh jin-jin lain sebelum mereka.


 

Ayat 75:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Begitu banyak nikmat yang Allah janjikan, maka kena simpan niat untuk masuk syurga dan menikmati segala nikmat yang Allah janjikan itu.


 

Ayat 76: Keadaan ahli syurga di dalamnya.

مُتَّكِئينَ عَلىٰ رَفرَفٍ خُضرٍ وَعَبقَرِيٍّ حِسانٍ

Sahih International

Reclining on green cushions and beautiful fine carpets.

Malay

Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.

مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ رَفْرَفٍ خُضْرٍ

Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas bantal-bantal yang hijau warnanya

Sekali lagi disebut tentang duduk ‘bersenggeng’ dalam syurga. Kali ini disebut mereka bersenggeng atas barisan bantal-bantal yang berwarna hijau.

Ada keistimewaan yang diletakkan dalam warna hijau. Bangsa Arab dulu tidak ada banyak peluang untuk melihat kehijauan. Negara mereka padang pasir sahaja. Maka, warna hijau adalah menarik kepada mereka kerana melambangkan kehidupan, kemewahan, keselesaan.

 

وَعَبْقَرِيٍّ حِسَانٍ

serta permaidani-permaidani yang sangat indah.

Kalimah عَبْقَرِ asalnya bermaksud ‘tempat asal jin’ (negara jin) dalam bahasa Arab lama. Macam satu dunia lain kepada mereka. Mereka kagum dengan benda-benda yang pelik dan pada mereka itu seperti datang dari tempat jin. Apabila mereka pulang dari negara lain seperti Syams dan bawa balik barangan, seperti mereka bawa balik barang dari negara jin sebab lain dari apa yang mereka biasa.

Jadi, penggunaan عَبْقَرِ dalam ayat ini adalah sesuatu yang lain dari yang biasa. Begitulah nanti di syurga. Perhiasan dalam istana syurga itu tidak sama dengan istana yang lain. Allah gunakan kalimah ini kerana mereka faham maksud itu.

Yang pasti, ianya حِسَانٍ – cantik. Kerana benda yang asing tidak semestinya cantik, bukan? Tapi Allah memastikan bahawa walaupun ianya adalah asing, berlainan dengan yang biasa, tak biasa tengok, tapi ianya adalah amat cantik sekali.


 

Ayat 77:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Allah ulang kalimah ini di 31 tempat dalam surah ini. Allah ulang berkali-kali, supaya tidak ada hujah bagi manusia untuk menolak dan menafikan mana-mana nikmat dan kekuasaan Allah.

Kata kunci dalam surah ini adalah تُكَذِّبَانِ inilah. Allah hendak mengingatkan manusia tentang perkara ini – jangan mendustakan mana-mana nikmat dan kekuasaan Allah.


 

Ayat 78: Allah mengakhiri surah ini sepertimana ianya bermula. Surah ini bermula dengan nama Allah ar-Rahman dan diakhiri dengan nama ar-Rahman juga.

Ia mengajar kita untuk menerima akidah tauhid dalam hal berkat. Hanya Allah sahaja yang ada berkat dan berkuasa memberi berkat. Jangan kita memandai letak berkat pada tempat yang tidak tidak sepatutnya dan tidak ada dalil. Sebagai contoh, jangan kita kata seseorang guru itu ada berkat.

تَبارَكَ اسمُ رَبِّكَ ذِي الجَلالِ وَالإِكرامِ

Sahih International

Blessed is the name of your Lord, Owner of Majesty and Honor.

Malay

Maha berkat nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.

تَبَارَكَ اسْمُ رَبِّكَ

Maha berkat nama Tuhanmu

Nama Allah yang mana? ar-Rahman.

Kalimah تَبَارَكَ bermaksud ‘amat berkat’. Iaitu sesuatu kebaikan yang bertambah dan bertambah. Lebih dari yang diharapkan. Lebih lagi dari apa yang kita sangkakan. Sebagai contoh, apabila kita mengajar bahasa Arab kepada anak kita, bermula dengan huruf alif, ba, ta tapi dengannya juga boleh menyebabkan dia akhirnya menjadi seorang ulama’ besar.

Allah memberitahu yang Dia ada keberkatan. Allah yang mempunyai berkat dan Allahlah yang menentukan siapakah yang dapat berkat. Maka janganlah kita buat syirik dalam berkat dengan mengatakan ada makhluk pula yang boleh beri berkat seperti guru, ustaz, orang itu dan ini. Itu adalah syirik dalam berkat.

Allah memberitahu kepada kita bahawa ada namaNya yang mengandungi barakah. Iaitu ar-Rahman. Sebab itulah setiap kali kita memulakan perkara baik, kita mulakan dengan basmallah yang ada nama ar-Rahman di dalamnya. Kerana kita mengharapkan Allah akan memberikan barakah dalam usaha kita itu.

Kerana kalau Allah berikan barakah di dalamnya, usaha itu akan membuahkan hasil yang banyak. Lebih dari apa yang kita harapkan. Lebih dari apa yang kita boleh bayangkan.

Apabila kita memulakan sesuatu dengan basmallah, maka itu meletakkan satu perasaan optimistik dalam melakukan pekerjaan kita. Kerana kita menjadi yakin kerana Allah telah memberikan basmallah kepada kita. Itulah semangat yang perlu ada pada seorang Muslim. Kita kena yakin dengan Allah.

 

ذِي الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.

Dalam ayat ini disebut dua Sifat Allah: Jalal dan Ikram. Allah hendak memberitahu kita, kalau kita tidak mengikut segala arahan dari Allah, tidak bertindak sebagai hambaNya, maka kita akan bertemu dengan Sifat Jalal Allah, iaitu sifat Allah yang keras. Allah akan menghukum kita, beri kita azab yang tidak terkira.

Dan kalau kita menjadi hamba yang taat, kita akan bertemu dengan Sifat Allah al-Ikram – iaitu sifat yang memuliakan hambaNya yang telah menjalani kehidupan di dunia dengan baik dan Allah akan balas dengan baik juga. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang telah dijelaskan sifat-sifat syurga itu dalam ayat-ayat sebelum ini.

Di dalam kitab Sahih Muslim dan kitab keempat sunan telah disebutkan melalui hadis Abdullah ibnul Haris, dari Aisyah r.a. yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. apabila telah bersalam dari solatnya tidak segera duduk melainkan sesudah membaca doa berikut:

“اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ”

Ya Allah, Engkau Maha Sejahtera dan dari Engkaulah semua kesejahteraan, Mahasuci Engkau, wahai Tuhan Yang mempunyai kebesaran dan karunia.

Allahu a’lam. Habis tafsir Surah ar-Rahman ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah al-Waaqiah.

 

Kemaskini: 30 April 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rahman Ayat 55 – 67 (Kenapa wanita tidak dapat bidadara?)

Ayat 55:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Segala nikmat yang disebut dalam surah ini akan diberikan kepada mereka yang menghargai nikmat Allah semasa di dunia. Maka jangan dustakan segala nikmat yang Allah telah berikan. Jangan sangka segala kelebihan yang kita ada ini kerana hak kita, melainkan ia adalah pemberian dari Allah.


 

Ayat 56: Sekarang disebut tentang bidadari pula. Ini pun diceritakan dalam Al-Qur’an. Inilah satu perkara yang selalu disebut-sebut oleh manusia (terutamanya lelaki). Kalau tak tahu pasal Al-Qur’an apa-apa pun, pasal bidadari semua orang tahu.

Allah beri pasangan untuk duduk sekali dalam syurga. Ini kerana kalau duduk berseorangan pun tidak menarik, bukan? Kerana kalau duduk seorang diri, seumpama duduk dalam penjara pula. Kerana manusia memerlukan pasangan.

Allah menceritakan tentang kenikmatan hubungan lelaki perempuan. Memang Allah jadikan kita hendakkan kepada pasangan yang berlainan jenis.

Tetapi pasangan itu mestilah pasangan yang halal. Kerana itu, dalam dunia sekarang, Islam amat memandang berat tentang hubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Islam menjaga supaya tidak berlaku penzinaan dan hubungan yang tidak sesuai. Kerana semua itu akan diberi di syurga nanti.

Kalau kita tahan nafsu kita semasa di dunia dari melakukan dosa zina, kita akan dapat semua itu malah berlebih-lebih lagi di syurga nanti. Apa yang kita akan dapat di syurga nanti akan berlebih-lebih lagi dari apa yang kita boleh dapat di dunia ini.

فيهِنَّ قٰصِرٰتُ الطَّرفِ لَم يَطمِثهُنَّ إِنسٌ قَبلَهُم وَلا جانٌّ

Sahih International

In them are women limiting [their] glances, untouched before them by man or jinni –

Malay

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;

فِيهِنَّ قٰصِرٰتُ الطَّرْفِ

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya terbatas,

قَاصِرَاتُ – pasangan yang merendahkan pandangan matanya

الطَّرْفِ – pandangan yang terbatas. Mereka hanya tengok kepada pasangannya sahaja. Mereka cinta kepada suaminya sahaja.

Bayangkan pertama kali bertemu dengan pasangan kita. Yang perempuan itu akan merendahkan pandangan mata mereka kerana malu-malu. Itu adalah satu keindahan sebenarnya.

Lelaki suka perempuan yang malu-malu sebenarnya. Masalahnya dengan pasangan kita, masa mula jumpa dan masa mula kahwin sahaja macam itu. Selepas itu, tidak ada lagi perasaan begitu. Tapi bidadari itu akan sentiasa sahaja macam itu.

Dan mereka pandang suaminya sahaja. Menurut suatu riwayat, seseorang dari bidadari-bidadari itu berkata kepada suaminya, “Demi Allah, aku belum pernah melihat sesuatu pun yang lebih indah dan lebih tampan selain dari engkau, dan tiada sesuatu pun di dalam syurga ini yang lebih kucintai selain dari engkau. Maka segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dirimu untukku dan menjadikan diriku untukmu.”

Lihatlah Allah sebut sifat mereka dahulu, bukannya sebut kecantikan mereka. Begitulah wanita kena ikut. Kecantikan itu bukan kita boleh usahakan kalau sudah dilahirkan tidak cantik. Dan ianya tidak kekal. Tapi sifat yang mulia, itu wanita boleh usahakan dan itulah yang lebih utama.

 

لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ

yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia

Bidadari itu tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun. Jangankan disentuh, dilihat pun tidak pernah melainkan oleh tuannya. Memang disimpan untuk dinikmati oleh tuannya, iaitu kita sebagai ahli syurga.

Kalimah يَطْمِثْهُنَّ bermaksud ‘sentuhan yang memecahkan dara’. Yang dimaksudkan adalah sentuhan dalam bentuk seksual. Lelaki suka perempuan yang belum pernah disentuh oleh orang lain. Kalau boleh, dia nak dia sahaja yang pernah nampak pasangannya dan dialah yang pertama ‘sentuh’.

 

وَلَا جَانٌّ

dan tidak juga oleh jin;

Yang bidadari untuk manusia, tidak pernah disentuh oleh manusia lain. Yang bidadari untuk jin, tidak pernah disentuh oleh jin lain.

Manusia akan dapat pasangan dari manusia juga dan jin dapat pasangan dari jin pula.

Artah ibnul Munzir mengatakan bahawa Damrah ibnu Habib pernah ditanya, “Apakah jin yang mukmin masuk syurga?” Maka dia menjawab.”Ya, dan bahkan mereka kahwin; bagi jin laki-laki ada isterinya dari jin perempuan, sebagaimana manusia laki-laki kahwin dengan manusia perempuan.” Damrah ibnu Habib melanjutkan, bahawa demikian itu disebutkan oleh firman-Nya: tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman: 56-57)

Ada soalan yang selalu ditanya, lebih-lebih lagi oleh wanita: Kenapa Allah sebut lelaki akan dapat bidadari, tapi tidak disebut tentang apa yang perempuan akan dapat? Ini adalah kerana apa yang lelaki mahu adalah jelas – perempuan. Dari dulu sampai sekarang, apa yang lelaki mahu adalah sama sahaja. Memang Allah telah tetapkan bahawa lelaki mempunyai keinginan kepada wanita.

Tapi apa yang perempuan mahu? Susah nak pastikan apa yang mereka hendak. Kerana macam-macam yang mereka hendak. Dan tidak tetap pula. Sekejap nak itu dan sekejap lagi nak benda lain pula. Kehendak mereka bergantung kepada keadaan dan kerana itu sentiasa berubah-ubah. Jadi, tak boleh nak tulis dalam Al-Qur’an.

Tapi ingatlah dan yakinlah bahawa mereka akan dapat apa sahaja yang mereka hendak. Tidak dapat nak dijelaskan apakah yang mereka akan dapat. Kerana apa yang mereka akan dapat itu tidak dapat diberitahu kepada kita kerana ianya hebat sangat.

Tidakkah nanti pasangan isteri itu akan cemburu kalau suaminya melayan bidadari yang ramai itu pula? Ulama’ kata mereka akan rasa puas hati bila sudah jadi ketua permaisuri kepada semua bidadari. Mereka akan dicabut rasa cemburu dari hati mereka. Mereka tidak kisah malah mereka akan jadi gembira apabila suaminya dilayani oleh bidadari-bidadari itu.


 

Ayat 57:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Amat banyak sekali nikmat yang telah disebut. Maka janganlah kita menidakkan segala nikmat-nikmat itu. Walaupun bunyi macam susah hendak dipercayai tapi Allah ada kuasa untuk mengadakannya.


 

Ayat 58: Sifat bidadari itu disebut lagi.

كَأَنَّهُنَّ الياقوتُ وَالمَرجانُ

Sahih International

As if they were rubies and coral.

Malay

Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.

كَأَنَّهُنَّ الْيَاقُوتُ

Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima

Yaqut adalah sejenis batu permata. Batu itu berwarna merah.

 

وَالْمَرْجَانُ

dan marjan.

Sejenis batu karang yang bersinar. Ada hadis tentang perkara ini:

قَالَ ابْنُ أَبِي حَاتِمٍ: حَدَّثَنَا أَبِي، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حَاتِمٍ، حَدَّثَنَا عُبِيدة بْنُ حُمَيْد، عَنْ عَطَاءِ بْنِ السَّائِبِ، عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ الْأَوْدِيِّ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ الْمَرْأَةَ مِنْ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ ليُرى بَيَاضُ سَاقِهَا مِنْ وَرَاءِ سَبْعِينَ حُلَّةً مِنَ الْحَرِيرِ، حَتَّى يُرَى مُخُّهَا، وَذَلِكَ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: {كَأَنَّهُنَّ الْيَاقُوتُ وَالْمَرْجَانُ} ، فَأَمَّا الْيَاقُوتُ فَإِنَّهُ حَجَرٌ لَوْ أَدْخَلْتَ فِيهِ سِلْكًا ثُمَّ اسْتَصْفَيْتَهُ لَرَأَيْتَهُ مِنْ وَرَائِهِ”.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Hatim, telah menceritakan kepada kami Ubaid ibnu Humaid, dari Ata ibnus Sa’ib, dari Amr ibnu Maimun Al-Audi, dari Abdullah ibnu Mas’ud, dari Nabi Saw. yang telah bersabda: Sesungguhnya seorang wanita dari kalangan isteri ahli syurga benar-benar betisnya yang putih dapat terlihat dari balik tujuh puluh la­pis pakaian sutera (yang dikenakannya), hingga tulang sumsumnya dapat terlihat. Yang demikian itu disebutkan di dalam firman-Nya: Seakan-akan bidadari itu permata yaqut dan marjan. (Ar-Rahman: 58) Yaqut adalah batu permata yang seandainya engkau masukkan ke dalamnya seutas benang dan engkau bersihkan batu permata itu, nescaya engkau dapat melihat benang itu.

Allah samakan mereka dengan permata-permata itu kerana untuk mendapatkannya susah, kena cari dalam laut. Maknanya mereka itu amat istimewa.

Dan ianya sesuatu yang berkekalan, barang yang tidak rosak. Sikap mereka yang malu-malu itu berterusan. Kecantikan mereka juga berterusan tidak sama dengan isteri kita yang masa mula kita kahwin cantik, tapi lama kelamaan berubah kerana sama-sama akan jadi tua.

Allah sebut tentang perangai bidadari itu supaya perempuan di dunia dapat meniru mereka. Seelok-eloknya wanita di dunia cuba untuk meniru segala sifat-sifat bidadari itu. Bila baca sifat-sifat bidadari di syurga, cubalah untuk menirunya.

Ramai yang sangka bidadari itu pasangan yang paling cantik untuk lelaki ahli syurga. Maka mulalah wanita sekarang rasa cemburu. Mereka sangka suami mereka nanti akan melayan bidadari sahaja. Tapi ketahuilah yang isteri kita yang dari dunia ini lagi cantik dari bidadari-bidadari itu. Isteri kita sekarang ini, kalau dapat masuk sekali ke dalam syurga dengan kita, mereka akan dicantikkan lagi. Bukanlah sama keadaan fizikal kita sekarang dan di syurga nanti.

Takkan bidadari-bidadari itu lagi cantik dari manusia, sedangkan mereka dijadikan terus oleh Allah tanpa ada apa-apa dugaan di dunia. Sedangkan, wanita dunia telah melalui ujian-ujian yang Allah telah beri semasa di dunia, telah buat banyak ibadat kepada Allah, maka mereka layak untuk dapat kelebihan yang banyak semasa mereka di syurga.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَفَّانُ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ، أَخْبَرَنَا يُونُسُ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِين، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لِلرَّجُلِ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ زَوْجَتَانِ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ، عَلَى كُلِّ وَاحِدَةٍ سَبْعُونَ حُلَّةً، يُرى مُخُّ سَاقِهَا مِنْ وَرَاءِ الثِّيَابِ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Salamah, telah menceritakan kepada kami Anas, dari Muhammad ibnu Sirin, dari Abu Hurairah, dari Nabi Saw. yang telah bersabda: Bagi seorang lelaki ahli syurga ada dua orang isteri dari kalangan bidadari yang bermata jeli, yang masing-masing darinya mengenakan tujuh puluh perhiasan (pakaian); tulang sumsum betisnya kelihatan dari balik pakaian-pakaian (yang dikenakannya). Imam Ahmad meriwayatkan hadis ini secara tunggal melalui jalur ini.


 

Ayat 59:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Semoga kita dapat membaca ayat-ayat ini dan dapat menghargai apakah yang Allah telah sediakan kepada ahli syurgaNya. Semuanya itu adalah kerana ketaatan mereka semasa di dunia.


 

Ayat 60: Ayat ini menjawab soalan: siapa yang dapat segala nikmat yang telah disebut di atas?

هَل جَزاءُ الإِحسٰنِ إِلَّا الإِحسٰنُ

Sahih International

Is the reward for good [anything] but good?

Malay

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?

هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسانِ

Bukankah balasan bagi amal yang baik,

Kita sudah buat amalan ibadat yang baik semasa di dunia dulu. Iaitu amalan ibadah yang sunnah, bukan yang bidaah.

Kita juga telah taat menahan nafsu kita dapat buat ikut kehendak nafsu itu yang haram. Kita telah berusaha untuk melawan syaitan dari melakukan dosa-dosa. Tentu ada balasan untuk amalan kita itu bukan?

 

إِلَّا الْإِحْسٰنُ

tidak lain melainkan balasan yang baik juga?

Maka untuk mendapatkan segala kenikmatan di dalam syurga itu, kita kena pastikan kita mati dalam ‘ihsan’. Kalimah ‘ihsan’ ini disebut banyak kali dalam Al-Qur’an. Maksudnya secara ringkas adalah menjadi orang yang baik.

Lawannya adalah ‘zalim’. Mereka yang ihsan bukan sahaja mahu diri mereka baik, tapi mereka juga mahu orang lain juga jadi baik. Maka mereka akan dakwah juga kepada orang lain. Untuk mengetahui sifat-sifat lain orang ihsan ini, maka kenalah belajar.

Allah akan balas kebaikan amal ibadat yang kita lakukan. Allah tidak sia-siakan amalan kita itu. Semuanya akan dibalas. Dan bukannya balasan yang sama, tapi akan dibalas dengan balasan yang berkali-kali ganda lebih lagi. Bayangkan, amalan kita buat bukan hebat mana pun, tapi Allah balas dengan syurga yang begitu punya hebat.

Dan amalan kita bukan lama pun kerana nyawa kita tidak lama, tapi Allah balas dengan syurga selama-lamanya, kekal abadi di dalamnya. Tidakkah ini balasan yang lebih dari yang sepatutnya?


 

Ayat 61:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka hargailah nikmat dan kuasa Allah terhadap kita. Orang yang tidak menghargai kelebihan-kelebihan dalam syurga itu sebenarnya tidak menghargai juga sifat-sifat Allah. Kalau sifat syurga pun mereka tidak percaya dan tidak hargai, bagaimana mereka nak hargai sifat Allah?

Maka ada orang yang ada fahaman yang salah tentang Allah kerana mereka tidak benar-benar belajar. Mereka anggap Allah itu Tuhan yang garang, nak masukkan hambaNya ke dalam neraka sahaja, menyusahkan kehidupan makhluk sahaja. Maka bagi mereka yang begitu, memang tempat mereka akan berada dalam neraka.


 

Ayat 62: Sekarang disebut syurga jenis lain pula. Ada dua pendapat yang diberikan oleh mufassir. Ada yang kata syurga ini adalah lebih tinggi lagi dari syurga sebelum ini dan ada yang kata syurga jenis ini adalah syurga yang lebih rendah. Allahu a’lam.

Ayat 62 – 78 adalah Perenggan Makro Keenam dan terakhir. Ia menyebut nikmat-nikmat tambahan yang akan diberikan oleh Allah.

وَمِن دونِهِما جَنَّتانِ

Sahih International

And apart from them both [in excellence] are two [other] gardens –

Malay

Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi;

 

Ini menjadi balasan bagi golongan peringkat yang lebih tinggi lagi; yang diberikan kepada golongan musaabbiqoon (golongan yang awal). Golongan ini ada disebut dalam Surah Waqiah.

Ulama tafsir kata, bukan dua syurga sahaja yang akan diberi tapi berjenis-jenis syurga akan diberikan.


 

Ayat 63:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Hargailah nikmat Allah. Jangan kita hanya pandai pakai dan makan nikmat yang Allah berikan, tapi tidak tahu menghargai Allah.


 

Ayat 64:

مُدهامَّتانِ

Sahih International

Dark green [in color].

Malay

Kedua-duanya menghijau subur tanamannya;

 

Mereka akan mendapat syurga yang penuh dengan kehijauan sampai cahaya pun susah nak masuk.

Dalam syurga pertama sebelum ini, telah disebut ada dahan-dahan dan pohon-pohon. Tapi syurga yang kita sedang baca ini lebih hebat lagi – lagi menghijau dan lagi banyak dedaunan dan buah-buahan sampai cahaya pun susah masuk. Maknanya ia lebih hebat dari syurga sebelumnya.

Itulah sebabnya perkataan مُدْهَامَّتَانِ digunakan. Ianya dari katadasar د ه م yang bermaksud ‘gelap’. Kerana apabila dedaunan pokok-pokok itu sudah banyak sangat, sampaikan cahaya matahari tidak masuk, suasana menjadi gelap, jadi redup. Kerana itu kadang-kadang kita masuk ke dalam hutan yang tebal, kita berada di dalam kawasan yang redup dan ianya amat menyamankan.


 

Ayat 65:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Nikmat yang disebut itu akan diberikan kepada hamba yang tahu menghargai nikmat Allah semasa di dunia.


 

Ayat 66:

فيهِما عَينانِ نَضّاخَتانِ

Sahih International

In both of them are two springs, spouting.

Malay

Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya:

 

Ini adalah jenis air pancut. Ia dari kata dasar ن ض خ yang bermaksud ‘memancut’. Dalam syurga sebelum ini ada juga air, tapi tidak disebut ia memancut. Jadi ada kelebihan lebih lagi dalam syurga yang dalam ayat ini. Kerana ianya untuk mereka yang lebih tinggi kedudukan dari ahli syurga sebelum ini.


 

Ayat 67:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Sudah disebut segala macam nikmat ini, takkan kita tidak teringin untuk memasukinya? Kalau tidak ada keinginan itu, maknanya memang tak pandai nak menghargai nikmat Allah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Surah Rahman Ayat 43 – 54 (Dua jenis syurga)

Ayat 43: Kalau tadi disebut tentang azab fizikal, sekarang disebut penghinaan rohani.

هٰذِهِ جَهَنَّمُ الَّتي يُكَذِّبُ بِهَا المُجرِمونَ

Sahih International

This is Hell, which the criminals deny.

Malay

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya”.

هَٰذِهِ جَهَنَّمُ

“Inilah neraka Jahannam

Ada muqaddar (ayat tambahan) dalam ayat ini, iaitu: “dikatakan kepada mereka.” Allah kata ‘inilah’ Neraka Jahannam. Ini bermaksud mereka sudah berada dalam neraka. Kata-kata ini diberikan kepada mereka di dalam neraka.

Atau mereka sudah dekat dan sudah nampak neraka di depan mata mereka. Tak boleh nak lari ke mana-mana lagi pada waktu itu. Memang mereka sudah nampak neraka itu dan mereka tahu yang mereka akan masuk.

Tak payah beritahu pun mereka sudah tahu. Tapi begitulah Allah nak sakitkan hati mereka lagi. Ada banyak kalimah-kalimah penghinaan dan menyakitkan hati akan dikenakan kepada mereka. Kerana nak bagi azab lagi kepada mereka.

 

الَّتِي يُكَذِّبُ بِهَا الْمُجْرِمُونَ

yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya”.

Apabila mereka mendustakannya, bermaksud mereka tidak percaya kepada adanya neraka dan mereka tidak beriman, maka mereka tidak melakukan ibadat. Boleh jadi mereka mendustakan dengan akidah (dengan hati sahaja), dengan kata-kata atau dari segi perbuatan (walaupun tidak lafazkan).

Mereka tak percaya dengan sepenuh hati yang neraka itu memang benar-benar ada dan kerana itu mereka akan dimasukkan ke dalamnya. Mereka menjalani kehidupan mereka di dunia seperti neraka itu tidak ada. Mereka buat selamba sahaja dalam kehidupan dunia. Mereka tidak buat persiapan untuk bekal akhirat.

Sama ada mereka percaya atau tidak, mereka suka atau tidak, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Ada orang yang kononnya bijak sangat, mereka kata takkan Tuhan nak hukum dan seksa makhluk ciptaanNya itu setelah susah-susah dicipta. Mereka kata Tuhan adalah amat penyayang dan tidak kononnya tidak akan seksa makhlukNya. Itu adalah fahaman cetek mereka sahaja.

Dan pada mereka, neraka dan syurga itu hanyalah sebagai memberi motivasi dan memberi takut kepada manusia sahaja untuk buat baik. Bukan benar-benar ada pun. Macam ibubapa takutkan budak-budak dengan hantu yang tidak ada supaya budak-budak itu dengar cakap.

Kepada mereka yang seperti ini, kita kata kepada mereka: “semoga kamu bergembira dalam neraka nanti”. Good luck in hell. Kalau mereka marah kita cakap macam itu dengan mereka, kata balik kepada mereka: “Kamu nak takut apa? Kamu sendiri kata neraka itu tidak ada, bukan?”

Atau mereka pandang kecil sahaja dosa yang mereka lakukan. Mereka tak rasa apa-apa dengan dosa syirik yang mereka lakukan. Dan mereka yang buat bidaah, tak tahu dan tak rasa pun mereka sedang buat dosa. Mereka sangka mereka telah beriman cukup.

Mereka sangka amalan bidaah yang mereka buat itu adalah baik. Mereka sangka amalan yang mereka buat itu adalah ‘bidaah hasanah’. Itu adalah kerana mereka tak faham dan salah faham apakah maksud ‘bidaah hasanah‘.

Tak faham itu kerana mereka tidak belajar ajaran sunnah. Oleh kerana mereka tak rasa mereka buat dosa, maka mereka tak pernah minta maaf atas dosa buat bidaah mereka itu. Apabila mereka tak minta ampun atas dosa mereka itu, mereka akan masuk dalam neraka.

Kerana itulah ulama’ kata, bidaah ini lagi teruk dari maksiat. Kerana orang yang buat maksiat, mereka tahu mereka bersalah dan sampai masanya, mungkin mereka akan bertaubat. Tapi kalau orang yang buat bidaah, mereka tak sangka yang mereka itu buat salah. Dan kerana itu mereka tidak akan minta maaf atas kesalahan dosa amalan bidaah mereka, kerana mereka tak sangka mereka buat dosa. Padahal, amalan bidaah itu adalah berdosa!

Surah Rahman ini diturunkan di Mekah. Pada waktu itu, amalan ibadat belum lagi diturunkan. Tiada solat, tiada haji, tiada pengharaman arak dan lain-lain lagi. Kerana itu semua hanya ada di Madinah nanti. Jadi apa yang masyarakat Arab kena tukar dan mereka tak mahu tukar?

Yang dimaksudkan adalah pertukaran dari segi ‘moral’. Mereka disuruh mengubah cara hidup mereka kepada kehidupan yang bermoral. Jangan buat zalim, jangan menindas manusia lain dan sebagainya.

Tapi mereka tak mahu terima. Mereka tidak mahu tukar cara kehidupan mereka. Ketahuilah, agama bukanlah hanya dalam bentuk buat amalan ibadat sahaja. Ada lagi benda lain yang penting juga. Iaitu kita kena jaga moral kita. Jangan kita jenis orang yang solat dan pergi Haji, tapi menipu orang macam makan nasi sahaja.


 

Ayat 44:

يَطوفونَ بَينَها وَبَينَ حَميمٍ ءآنٍ

Sahih International

They will go around between it and scalding water, heated [to the utmost degree].

Malay

Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!

يَطُوفُونَ بَيْنَهَا

Mereka berulang-ulang di antara api neraka

Perkataan يَطُوفُونَ bermaksud ‘berpusing-pusing’ macam ‘tawaf’ keliling Kaabah dan semasa melakukan Saie. Mereka ‘bertawaf’ dalam neraka. Maksudnya, mereka berpusing-pusing dalam neraka.

Kenapa mereka berpusing-pusing? Ke mana mereka pergi?

 

وَبَيْنَ حَمِيمٍ ءآنٍ

di antara air yang amat panasnya!

Mereka tawaf neraka dan berpusing-pusing antara air yang panas. Sifat air itu sangat panas. Ini adalah kepanasan tahap kemuncak. Ahli neraka itu sekejap kena rebus dengan air dan kejap kena panggang dengan api panas.

Mereka juga dikatakan berpusing-pusing ke sana sini dalam neraka kerana mereka mencari-cari air untuk minum kerana dahaga sangat. Mereka berlari ke arah air dan memang ada jumpa air, tapi air itu panas sangat, maka mereka cuba pergi ke tempat lain pula. Tak jumpa juga.

Maka mereka pusing lagi dan lagi. Berterusan mereka berpusing dalam neraka. Akhirnya air panas yang mereka tidak mahu itu akan dimasukkan ke dalam mulut mereka juga.

Entah berapa ribu darjah kepanasan air itu. Beribu malah entah berjuta darjah kepanasannya! Malah mungkin lebih lagi kerana dalam dunia sekarang ini pun boleh dijadikan air beribu darjah celcius dengan menggunakan konsep thermodynamics. Kerana tekanan dalam neraka yang amat tinggi (macam pressure cooker). Air itu dipanggil ‘superheated water’. Tentu teknologi Allah lebih hebat lagi. Perkataan آنٍ itu bermakna air itu panas sangat.

Allah kata suhu neraka itu 70 kali ganda lagi panas dari kepanasan matahari! Lebih kurang 4 ribu kali ganda dari air menggelegak sekarang. Dan neraka itu pula kedap udara. Kerana Nabi kata kalau bocor sahaja neraka sebesar jarum, tentu akan hancur alam ini kerana kepanasannya. Maka, kalau kedap udara, pressurized pula, tentu kepanasan bertambah-tambah lagi.

Maka takutlah dengan azab dan keadaan dalam neraka itu. Kita kena cuba bayangkan supaya kita ada rasa takut dengan neraka. Kalau kita tidak tahu langsung bagaimana keadaan neraka itu, kita tidak akan rasa takut dengan neraka itu. Cerita tentang neraka itu ada dalam banyak tempat disebut dalam Al-Qur’an. Memang banyak Allah cerita kerana Allah mahu kita takut dengan neraka itu.

Allah ceritakan tentang keburukan seksaan dalam neraka untuk menakutkan kita. Eloklah kita takut semasa kita di dunia lagi, supaya kita boleh ubah cara hidup kita. Kalau kita tidak faham tentang neraka, maka kita akan jadi macam Kristian yang boleh buat lawak tentang neraka dan mempersendakan neraka. Kerana agama mereka tidak menceritakan dengan jelas tentang neraka.

Dalam Islam, syurga dan neraka diterangkan dengan agak jelas. Bila kita belajar tentang neraka, nak tengok neraka pun kita tak lalu, sebab takut sangat.


 

Ayat 45:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, tidaklah kalimah آلَاءِ itu kena diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ sahaja kerana ia boleh membawa maksud lain. Dan dalam ayat ini, tidak sesuai digunakan kalimah ‘nikmat’ kerana baru sahaja disebut tentang neraka – mana nikmatnya dalam neraka itu? Maka kenalah diterjemahkan dalam makna yang lain.

Dalam ayat ini kalimah ءآلَاءِ lebih sesuai kalau membawa maksud ‘kekuasaan’ Allah. Jangan kerana kita lihat Allah baik dan lembut dengan kita, kita tidak taat kepada Allah pula (macam orang yang ada ketua yang baik, mungkin mereka ambil kesempatan).

Jangan kita begitu dengan Allah kerana Allah maha berkuasa dan mampu untuk menyeksa kita kalau kita tidak taat. Ingatlah yang Allah boleh masukkan kita ke dalam neraka dan dikenakan dengan azab yang amat-amat teruk. Mudah sahaja bagi Allah untuk melakukannya.


 

Ayat 46: Sekarang kita masuk ke Bahagian Ketiga surah ini iaitu berita gembira yang diberikan kepada mereka yang ikut arahan Allah. Sekarang Allah mula hendak menceritakan tentang Syurga pula. Jadi selepas ini ayat-ayat tabshir pula.

Ayat 46 – 61 adalah Perenggan Makro Kelima dan ia menceritakan akibat beramal soleh dan mengandungi dalil-dalil tentang balasan yang akan diberikan.

Bagaimana kita boleh agak kita dapat masuk syurga atau tidak? Neraca kita hanya Al-Qur’an kerana tidak ada neraca lain. Kalau Nabi ada, baginda boleh juga beritahu siapa yang akan jadi ahli syurga (kerana baginda boleh dapat wahyu).

Tapi sekarang, kita kena pakai Al-Qur’an untuk nilai diri kita. Maka bandingkan diri kita dengan sifat-sifat yang disebut dalam ayat-ayat ini nanti.

وَلِمَن خافَ مَقامَ رَبِّهِ جَنَّتانِ

Sahih International

But for he who has feared the position of his Lord are two gardens –

Malay

Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga, –

وَلِمَنْ خَافَ

Dan kepada orang yang takut

Ini adalah alamat zahir ahli syurga. Dia takut kerana dia tahu tentang akhirat daripada wahyu. Sebelum ini kita ditakutkan dalam ayat-ayat tentang keadaan ngeri di Neraka. Memang itu yang Allah hendak kita rasa.

Dan kepada mereka yang takut dengan neraka, mereka akan mendapat kelebihan dengan diberikan dengan syurga yang kekal abadi. Tapi apakah yang mereka takuti itu?

 

مَقَامَ رَبِّهِ

berdiri di hadapan Tuhannya,

Orang itu takut berdiri di hadapan Tuhannya. Iaitu takut berdiri dalam mahkamah Allah. Orang beriman itu takut berjumpa Tuhan kerana takut ibadat mereka yang selama ini mereka lakukan, tidak diterima. Kerana kita tidak tahu sama ada sempurna atau tidak amal ibadat kita itu, cukup ikhlas atau tidak amalan kita. Kita tidak tahu sama ada amal ibadat kita diterima Allah atau tidak. Kerana belum tentu Allah terima.

Macam budak yang bersifat baik dalam sekolah. Kalau ada satu soalan sahaja mereka tak dapat jawab dengan sempurna, mereka sudah takut. Balik ke rumah, menangis-nangis dengan mak ayah dia. Padahal, yang tak dapat jawab itu satu dua soalan sahaja.

Tapi bandingkan dengan budak yang tak kisah sama ada lulus atau tidak, mereka tak rasa takut pun. Mereka tak risau pun. Lagi mereka suka sebab musim peperiksaan sudah habis sebab mereka sudah boleh mula bermain dengan kawan-kawan mereka.

Di akhirat nanti, segala apa yang kita lakukan di dunia akan dinilai semuanya ‘sekaligus’. Bayangkan, kalau dalam dunia, kita ada buat silap di tempat kerja. Mungkin kita kena panggil dengan pengurus syarikat untuk diberi penilaian atas satu kesalahan kita itu.

Atau kita ada buat kesalahan di rumah semasa kecil dahulu. Kena panggil dengan mak ayah sebab kesalahan itu. Tapi satu kesalahan sahaja. Itu pun bukan main takut lagi kan?

Tapi, bayangkan bila kita di hadapan Allah nanti, ‘semua’ perbuatan kita akan dinilai sekaligus. Dari kita kecil sampai kita mati. Adakah kita rasa selamat yang semua apa yang kita lakukan dulu semasa di dunia baik belaka?

Maka mereka yang ada perasaan takut ini akan menjalani kehidupan dunia dengan penuh berhati-hati. Mereka tidak buat semberono sahaja. Mereka akan belajar agama dan mengamalkannya. Mereka akan buat apa yang Allah hendak mereka buat. Dan mereka akan belajar apa yang Allah tidak suka dan mereka tinggalkannya.

 

جَنَّتَانِ

(disediakan baginya) dua jenis Syurga, –

Kenapa ada dua syurga? Satu pendapat mengatakan ada dua syurga kerana satu syurga untuk manusia dan satu lagi untuk jin. Kerana kita tidak sama dengan golongan jin. Keinginan kita dan keinginan jin tidak sama, jadi diberikan syurga yang berbeza untuk memenuhi kehendak yang berbeza. Itu adalah satu pendapat. Ini adalah dalil yang konkrit yang jin juga ada dimasukkan ke dalam syurga.

Satu lagi pendapat mengatakan setiap ahli syurga akan dapat dua syurga. Kerana dengan takut kepada Allah dan akhirat, seseorang itu akan melakukan amalan baik dan satu lagi akan meninggalkan perkara buruk. Jadi, ada dua perkara yang akan dilakukan hasil dari kita takut dulu. Maka, mereka pun akan dibalas dengan dua syurga untuk kedua-dua kesan itu.

Tapi, ada orang yang hanya buat salah satu sahaja. Mereka buat amalan ibadat, solat, puasa, haji dan sebagainya, tapi mereka tak mahu tinggalkan perangai buruk mereka. Masih lagi tindas orang, makan harta dengan cara salah, menipu dan sebagainya. Yang macam ini, tidak dapat masuk mana-mana syurga pun.

Atau ada orang yang hanya tinggalkan perkara buruk tapi malas nak buat amalan baik. Kerana mereka kata mereka sudah baik, tak buat amal ibadat pun sudah kira baik dan sudah selamat. Itu adalah salah faham yang ada dalam diri manusia. Tapi Allah hendak kita buat dua-dua sekali: Kena buat amal baik dan kena tinggalkan sifat buruk.


 

Ayat 47:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Ayat ini dibacakan ketika orang mukmin sedang memasuki syurga. Allah hendak memberitahu orang Islam waktu itu bahawa apa sahaja perkara buruk yang mereka terima di dunia dulu kerana mereka memegang Islam itu adalah satu nikmat juga.

Setiap kali kita buat kerja untuk agama, kita akan kena terima dugaan yang akan diberikan kepada kita. Itu adalah ujian dari Allah. Dan Allah akan balas kesusahan itu.


 

Ayat 48: Apa yang ada dalam kebun-kebun syurga itu?

ذَواتا أَفنانٍ

Sahih International

Having [spreading] branches.

Malay

(Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; –

 

ذَوَاتَا – dua-dua syurga itu mempunyai,

أَفْنَانٍ – dahan-dahan atau bermacam-macam yang lain. Jadi ini merujuk kepada pokok-pokok dalam syurga itu. Allah nak kita cuba bayangkan.

Maknanya kita boleh katakan, pokok itu ada buah dan ada daun. Kalau ada buah tapi tidak ada daun dan dahan, sudah tidak menarik dan kalau ada daun dan dahan sahaja dan tidak ada buah, tidak berguna sangat. Maknanya pokok itu ada kesedapan untuk dirasa dan keindahan untuk dilihat. Ada keduanya sekali. Macam makanan kalau dihias indah, lagi menambah kesedapannya, bukan?

Kalimah أَفْنَانٍ dari katadasar ف ن ن yang antara lain bermaksud ‘berjenis-jenis’ dan selalu digunakan untuk dahan pokok. Ata Al-Khurrasani dan sejumlah ulama’ mengatakan yang dimaksudkan dengan أَفْنَانٍ ialah dahan-dahan pohon, yang satu sama lainnya bersentuhan. Maknanya, memang dahan yang lebat.

Ada juga yang mengatakan ianya adalah pohon yang bermacam-macam warna. Ata mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah tiap-tiap dahan yang menghimpun berbagai macam jenis buah-buahan.

Ar-Rabi’ ibnu Anas mengatakan, dahan pokok-pokok itu mempunyai naungan yang luas. Semua pendapat di atas benar dan tidak bertentangan; hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui keadaan yang sebenar.

Banyak dahan-dahan dari pohon-pohon yang berbagai-bagai. Oleh itu, kita tahu yang banyak jenis pokok dalam syurga. Ahli syurga akan terpesona dengan melihatnya apabila masuk dalam syurga nanti, in sha Allah.

Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang dapat melihatnya, aameen. Semoga kita nanti dapat terpesona melihat kehijauan dan buah-buahan yang ada. Tentu kita rasa suka sangat apabila kita masuk ke dalamnya.


 

Ayat 49:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Wahai manusia dan jin, kalau kamu menolak segala nikmat-nikmat Allah yang disebut dalam Al-Qur’an, maka tolaklah. Akan ada manusia dan jin yang beriman dan mereka akan dapat segala nikmat-nikmat itu.

Wahai jin dan manusia, kalau kamu tidak percaya yang Allah ada kuasa untuk menjadikan syurga dan segala kenikmatan itu, maka janganlah percaya. Akan ada manusia dan jin yang percaya dan mereka akan masuk ke dalamnya.

Kalau kamu tidak percaya sekarang semasa kamu di dunia, nanti apabila kamu dimasukkan ke dalam neraka dan yang mukmin dimasukkan ke dalam syurga, waktu itu kamu rasa kamu akan percaya, tak?


 

Ayat 50:

فيهِما عَينانِ تَجرِيانِ

Sahih International

In both of them are two springs, flowing.

Malay

Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir; –

 

Setiap satu syurga pula ada dua matair. Sudahlah ada dua syurga, setiap satu itu ada dua mataair pula. Yaitu yang mengalir jauh untuk mengairi pohon-pohon dan dahan-dahan dalam syurga hingga dapat membuahkan berbagai macam buah-buahan yang beraneka ragam. Amat indah sekali keadaan di dalamnya.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahawa salah satu dari kedua mata air itu disebut tasnim dan yang lainnya disebut salsabila.

Atiyyah mengatakan bahawa salah satunya adalah sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, sedangkan yang lain adalah sungai khamr yang lazat rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.

Allah selalu menyebut tentang air di dalam Al-Qur’an kerana memang manusia suka kepada air. Di dunia ini pun, manusia memang suka dengan air terjun dan sumber air. Kita suka kalau dapat berkelah ke sungai-sungai di tempat peranginan bukan? Kita dapat bergembira di dalamnya.

Bergembira pula bukan berseorangan tapi dengan keluarga kita, dengan kawan-kawan rapat kita. Sebab kalau kita ke tempat cantik pun, tapi keluarga kita tidak ada, kawan kita tidak ada, kita pun tidak rasa gembira sangat. Kerana memang sifat semulajadi kita akan suka kalau kita menikmati satu-satu tempat itu kalau dengan orang-orang yang kita sayang.


 

Ayat 51:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka hargailah nikmat Allah semasa di dunia dan taat kepada Allah, maka kamu akan mendapat segala kelebihan di atas dan yang akan disebut lagi nanti.


 

Ayat 52:

فيهِما مِن كُلِّ فٰكِهَةٍ زَوجانِ

Sahih International

In both of them are of every fruit, two kinds.

Malay

Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan.

 

Sudahlah ada berbagai-bagai jenis buah-buahan di dalam syurga itu tapi setiap satu buah itu ada dua pula – setiap buah ada sepasang. Kerana setiap buah-buahan itu ada dua rasa. Dan setiap rasa itu adalah sedap.

Ada pendapat yang mengatakan sepasang itu bermaksud ada buah yang kita kenal semasa di dunia dan ada yang kita tidak kenal kerana hanya ada di syurga sahaja. Yakni dari segala macam buah-buahan yang telah mereka ketahui dan yang terbaik dari apa yang pernah mereka ketahui, serta kenikmatan lainnya yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, dan belum pernah terdetik dalam hati seorang manusia pun.

Ibrahim ibnul Hakam ibnu Aban telah meriwayatkan dari ayahnya, dari Ikrimah, dari Ibnu Abbas, bahawa tiada suatu buah pun di dunia ini -baik yang berasa manis mahupun yang berasa pahit- melainkan buah itu terdapat pula di dalam syurga hingga buah hanzal (bertawali) yang sangat pahit rasanya.

Kalau di dunia, ada buah yang kita tak suka, tapi semua buah di syurga itu kita akan rasa sedap. Rasa buah itu pula akan jadi semakin sedap dan semakin sedap. Pertama kali kita makan, kita sudah rasa sedap. Tapi bila kita makan selepas itu, ianya akan jadi lebih sedap lagi dari sebelumnya.

Ini mustahil terjadi semasa di dunia. Mungkin kalau kita makan nasi ayam yang sedap, ada kemungkinan kita dapat makan nasi ayam yang lebih sedap lagi di tempat lain. Dan ada tempat lain yang lebih sedap lagi. Tapi lama kelamaan, kita sudah jumpa nasi ayam yang kita rasa paling sedap. Takkan ada yang lebih sedap lagi dari itu.

Tapi, di syurga nanti, tidak ada penghujung kepada kesedapan itu. Allah boleh tambah kesedapan itu tanpa penghujung. Buah-buahan itu akan semakin sedap dan semakin sedap tanpa penghujungnya. Maka, kita tidak akan rasa bosan dengan buah itu. Kalau di dunia, kalau sudah selalu makan durian, kita tentu sudah muak, bukan? Tapi tidak di syurga nanti.


 

Ayat 53:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka hargailah nikmat dan kuasa Allah. Berbagai-bagai nikmat Allah telah berikan semasa kita di dunia dan nanti akan ada banyak lagi nikmat di syurga.


 

Ayat 54: Makanan sudah ada, sekarang nak berehat pula.

مُتَّكِئينَ عَلىٰ فُرُشٍ بَطائِنُها مِن إِستَبرَقٍ ۚ وَجَنَى الجَنَّتَينِ دانٍ

Sahih International

[They are] reclining on beds whose linings are of silk brocade, and the fruit of the two gardens is hanging low.

Malay

Mereka berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.

مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ فُرُشٍ

Mereka berbaring di atas hamparan-hamparan,

Iaitu dipanggil ‘duduk bersenggeng’. Duduk dengan relaks. Hamparan itu diletakkan di luar, bukan dalam istana. Tidak ada masalah rosak tempat rehat itu kalau letak di luar pun. Kerana cuaca dalam syurga tidak sama dengan cuaca dalam dunia. Semuanya indah belaka.

Sesiapa yang masuk syurga tidak ada dahaga dan lapar lagi. Makan dan minum hanya kerana hendak rasa nikmat makan dan minum, bukan kerana lapar. Dan selera makan kita itu selera untuk seribu orang. Kita mampu makan dengan banyak walaupun kita tidak lapar. Kita makan kerana nak menikmati makanan itu.

 

بَطَائِنُهَا مِنْ إِسْتَبْرَقٍ

yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam;

Kalimah إِسْتَبْرَقٍ adalah kain sutera yang tebal, menurut Ikrimah, Ad-Dahhak, dan Qatadah. Abu Imran Al-Juni mengatakan bahawa إِسْتَبْرَقٍ adalah kain sutera yang dihias dengan benang emas, di sini ditonjolkan kemuliaan bahagian luarnya dengan menyebutkan kemuliaan bahagian dalamnya. Dengan kata lain, dapat disebutkan bahawa bahagian dalamnya sahaja sudah sedemikian mewah dan indahnya, terlebih lagi bahagian luarnya.

Ini adalah tanda kemewahan yang Allah tunjukkan. Kalau kita pergi rumah orang lain kita akan suka nak periksa kualiti perabot rumah itu, bukan? Kerana kita terpesona dengan keindahan barangan. Allah nak cerita dalam ayat ini bahawa perabot dalam syurga lagi hebat.

Kalau kita pergi rumah orang lain, dengan secara senyap kita akan periksa apakah kualiti sesuatu perabot itu. Kita belek sana dan sini kalau tuan rumah tak nampak. Kalau boleh nak tengok bahagian dalam kusyen pun.

Di syurga, bahagian dalam kusyen itu pun dibuat dari sutera tebal yang bersulam – amat berkualiti dan indah sekali. Bayangkan, kalau bahagian dalam pun sudah cantik, bayangkan yang di luar. Di dunia, yang luar mungkin nampak cantik, tapi kualiti dalaman tidak begitu. Selalunya yang bahagian luar sahaja yang diberikan perhatian. Kadang-kadang kita tengok luar cantik, tapi dalam tak cantik, bukan? Tidak begitu di syurga nanti kerana luar dalam akan cantik.

 

وَجَنَى الْجَنَّتَيْنِ دَانٍ

dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (dan mudah) untuk dipetik.

Bila nak petik buah untuk dimakan, buah itu akan datang sendiri untuk senang dipetik. Buah-buah itu pula adalah buah yang sudah masak, sudah sedia untuk dimakan. Tinggal nak makan sahaja.

Maknanya, sambil duduk bersenggeng tu, kalau terasa nak makan buah, buah itu akan datang sendiri. Nak petik pun dimudahkan, tak payah bangun pun. Bila petik sahaja satu buah, keluar balik buah lain.

جَنَى – buah yang sudah masak

دَانٍ – dekat, atau datang mendekat. Buah-buahan itu akan bergerak ikut ahli syurga itu pergi ke mana. Supaya mudah ahli syurga itu hendak petik bila diperlukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rahman Ayat 31 – 42 (Apabila Kiamat bermula)

Ayat 31: Ini adalah Bahagian Kedua Surah Rahman. Sekarang sudah masuk ke bahagian takhwif (penakutan). Allah hendak menakutkan pembaca Al-Qur’an, iaitu kalau berani buat salah dan dosa, maka kena berani tanggung. 

Jadi ayat ini bermula dengan keadaan di waktu hisab amal di Mahsyar nanti. Allah nak kita bayangkan keadaan di sana nanti.

 

سَنَفرُغُ لَكُم أَيُّهَ الثَّقَلانِ

Sahih International

We will attend to you, O prominent beings.

Malay

Kami akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!

سَنَفْرُغُ لَكُمْ

Kami akan beri perhatian sepenuhnya kepada kamu

Maksud فرغ adalah ‘terluang’. Seperti seseorang yang ada masa untuk diluangkan. Maksud ayat ini adalah, Allah akan meluangkan masa untuk beri perhatian kepada kita. Jangan kita sangka Tuhan sibuk dengan perkara lain dalam menguruskan alam ini (seperti telah disebut dalam ayat sebelum ini), sampai Allah tidak boleh meluangkan masa untuk kita.

Lihatlah bagaimana tidak ada sesiapa pun yang boleh meluangkan masa sepenuhnya untuk kita. Kalau seorang guru tidak mampu, seorang ayah tidak mampu, seorang pemimpin pun tidak akan mampu. Semakin tinggi seseorang itu, semakin tidak ada masa untuk kita. Tapi Allah yang Maha Tinggi, sentiasa ada masa untuk kita. Kita sentiasa di dalam pengawasanNya.

Dan di akhirat nanti, kita akan berurusan sendiri dengan Allah. Kita akan ada session one-on-one dengan Allah nanti di akhirat kelak. Waktu itu kita akan dihadapkan dengan segala amalan kita yang kita telah lakukan semasa di dunia dan kita akan disoal tentang perbuatan kita itu.

 

أَيُّهَ الثَّقَلَانِ

wahai dua yang berat!

Kalimah الثَّقَلَانِ dari perkataan ث ق ل yang bermaksud ‘berat’. Mereka yang dimaksudkan adalah dua jenis makhluk yang jadi pemberat sahaja di atas muka bumi ini kerana mereka orang/jin tidak menjalankan tanggungjawab yang Allah telah tetapkan ke atas diri mereka. Mereka itu buat berat bumi sahaja, tidak berguna langsung.

Atau, ia bermaksud dua makhluk yang ‘diberatkan’ dengan tanggungjawab. Iaitu tanggungjawab syariat. Binatang, langit, gunung-ganang tidak ada tanggungjawab ini. Oleh itu mereka tidak dipersoalkan di akhirat kelak. Tapi manusia dan jin akan disoal tentang amalan dan perbuatan mereka semasa di dunia. Oleh itu, ingatlah bahawa segala perbuatan kita di dunia ini akan ditanya di hadapan Allah nanti.


 

Ayat 32:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Seperti yang kita telah bincangkan sebelum ini, kalimah ءآلَاءِ boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ atau sebagai ‘kuasa’.

Nanti apabila sampai masa apabila Allah akan menimbang segala perbuatan manusia semasa di bumi, Allah akan buat penghakiman atas segala kesalahan yang manusia telah lakukan. Allah berkuasa untuk melakukannya. Allah akan periksa satu persatu, manakah nikmat-nikmat Allah yang mereka salahgunakan semasa di dunia.

Tafsiran yang kedua, Allah hendak memberitahu jin dan manusia yang tidak yakin dengan kebangkitan semula: kamu sekarang tidak percaya dengan kuasa Allah untuk membangkitkan semula semua makhluk dan menjadikan hari kebangkitan.

Nanti kamu akan lihat nanti perkara yang aku tidak yakini itu akan berlaku betul-betul di hadapan kamu. Kamu tunggulah sahaja. Adakah kamu sangka Allah tidak berkuasa untuk menjadikan hari itu? Waktu itu, kamu rasa kamu akan percaya atau tidak?


 

Ayat 33: Akan dikatakan semasa hisab amal itu. Tidak ada sesiapa yang boleh lari. Memang semasa di dunia ada manusia yang cuba lari dan boleh lari dari keadilan Allah.

يٰمَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا ۚ لا تَنفُذونَ إِلّا بِسُلطٰنٍ

Sahih International

O company of jinn and mankind, if you are able to pass beyond the regions of the heavens and the earth, then pass. You will not pass except by authority [from Allah].

Malay

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!

يٰمَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ

Wahai sekalian golongan jin dan manusia!

Di sini, Allah menyebut jin sebelum manusia. Kenapa? Kadang-kadang, Allah akan sebut manusia dulu sebelum jin. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut jin dahulu. Ada sebab kenapa Allah buat begitu.

 

إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Kalau kamu ada kemampuan untuk menembus keluar dari penjuru-penjuru langit dan bumi

Kalimah تَنفُذوا dari kata dasar ن ف ذ yang bermaksud menembusi sesuatu, melepasi.

Kalimah أَقطارِ pula dari kata dasar ق ط ر yang bermaksud tepian. Maksud ayat ini, Allah cabar jin dan manusia untuk menembusi alam ini untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasanNya. Iaitu apabila Allah hendak buat keputusan terhadap kesalahan mereka semasa di dunia.

 

فَانفُذُوا

maka cubalah kamu menembus keluar.

Larilah cari tuhan lain sekiranya ada. Selamatkanlah diri kamu dari Allah kalau kamu mampu. Lari jauh-jauh, terbanglah jauh-jauh.

Siapa yang rasa mereka boleh buat begini? Yang rasa mereka boleh terbang melepasi sempadan-sempadan alam Allah? Tentunya Jin yang rasa mereka boleh buat begitu. Kerana mereka boleh terbang, manusia tidak boleh terbang. Sebab itulah Allah sebut jin dahulu sebelum menyebut manusia dalam ayat ini.

Kalau Allah beri cabaran begini, bermaksud apa? Bermaksud Allah sudah tahu yang manusia dan jin memang tidak boleh lari ke mana-mana. Tidak ada yang akan mampu.

 

لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطٰنٍ

Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan kekuasaan;

Kalau kamu ada Qudrat melampaui Qudrat Allah, bolehlah. Masakan dapat! Sedangkan para malaikat akan menjaga mereka dari melepaskan diri. Penjenayah di dunia mungkin boleh lari dari polis yang nak tangkap mereka, tapi manusia dan jin tidak boleh lari dari kekuasaan Allah. Ke mana lagi kita nak lari? Allah sebut dalam ayat lain:

{يَقُولُ الإنْسَانُ يَوْمَئِذٍ أَيْنَ الْمَفَرُّ. كَلا لَا وَزَرَ. إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمُسْتَقَرُّ}

Pada hari itu manusia berkata, “Ke manakah tempat lari?” Sekali-kali tidak! Tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali. (Al-Qiyamah: 10-12)

Ayat ini menceritakan keadaan di Hari Akhirat nanti. Jin dan manusia tidak boleh lari dari kekuasaan Allah. Mereka tidak boleh lari dari hukuman Allah. Mereka memang kena hadap.


 

Ayat 34:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Kuasa Allah yang mana lagi kamu nak dustakan? Kamu tidak percaya kepada kuasa Allah yang akan dapat mengumpul kamu walau di mana sahaja kamu berada? Memang kalau kamu berfikiran begitu, kamu akan mengalami nasib yang amat buruk!


 

Ayat 35: Ini apabila telah bermula hukuman di akhirat. Ada balasan azab dan ada balasan rahmat. Ini adalah Takhwif ukhrawi. Sebelum ini telah disebut bahawa penghakiman akan ada dan makhluk tidak boleh lari. Sekarang mula beritahu apakah azab yang akan dikenakan kepada mereka yang gagal.

 

يُرسَلُ عَلَيكُما شُواظٌ مِّن نّارٍ وَنُحاسٌ فَلا تَنتَصِرانِ

Sahih International

There will be sent upon you a flame of fire and smoke, and you will not defend yourselves.

Malay

Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan asap tebal; dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);

يُرسَلُ عَلَيكُما شُواظٌ مِّن نّارٍ

Kamu berdua akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang

Akan dikenakan dengan api yang kuat. Kalimah شُواظٌ bermaksud nyalaan-nyalaan. Kalau nak bayangkan, ia macam welding di bengkel. Kalau kita lihat api welding itu, api di hadapan yang paling panas.

Ada juga pendapat yang mengatakan, ini kalau ada yang cuba lari dari penjuru langit dan bumi. Mereka akan dikenakan dengan api yang menjulang-julang. Iaitu macam meteor yang akan mengenai mereka.

 

وَنُحَاسٌ

dan asap tebal;

Kalau manusia atau jin cuba juga nak lari, mereka akan dikenakan dengan api dan asap tebal. Mereka memang tidak akan ada peluang untuk melarikan diri langsung.

Ada juga pendapat yang mengatakan ini adalah cairan tembaga. Akan dicurahkan ke atas mereka.

 

فَلَا تَنتَصِرَانِ

kamu tidak akan mampu menolong diri kamu;

Makhluk tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka dari Allah. Manusia dan jin juga tidak akan dapat membantu satu sama lain.

Kalau dalam filem, bila ada meteor yang hendak menimpa bumi, kononnya manusia boleh buat sesuatu untuk menyelamatkan diri mereka. Nanti, apabila Allah benar-benar hendak menjatuhkan meteor kepada manusia, manusia tidak boleh buat apa-apa.


 

Ayat 36:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Adakah kamu nak menidakkan kuasa Allah? Apakah kamu sangka Allah tidak berkuasa untuk melakukannya terhadap kamu?


 

Ayat 37: Allah menerangkan kejadian pada Hari Kiamat nanti. Iaitu suasana waktu hisab. Allah beri gambaran untuk menakutkan kita. Allah berikan maklumat ini untuk bagi manusia dan jin berfikir. Maka ayat 37 – 40 adalah Perenggan Makro Ketiga dan ia menceritakan suasana Hari Kiamat.

فَإِذَا انشَقَّتِ السَّماءُ فَكانَت وَردَةً كَالدِّهانِ

Sahih International

And when the heaven is split open and becomes rose-colored like oil –

Malay

Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;

فَإِذَا انشَقَّتِ السَّمَاءُ

Ketika langit terbelah

Langit akan terbelah dan terbuka pada hari Kiamat itu kerana ramai sekali malaikat turun. Ini adalah pada hari ditiupkan Sangkakala iaitu pada Hari Kiamat nanti. Waktu itu tidak sempat nak buat apa lagi.

Manusia akan amat terkejut pada hari itu. Sampaikan seorang ibu yang sedang mengandung akan tergugur anaknya kerana amat takut dan terkejut. Yang sedang menyusukan anak pula, akan buang anak mereka kerana takut sangat, sampaikan anak mereka yang mereka sayangi pun mereka tidak hiraukan lagi.

 

فَكَانَتْ وَرْدَةً

lalu menjadilah ia berwarna merah,

Bayangkan apabila kita menyiat kulit binatang. Ianya akan berwarna merah darah. Waktu itu langit akan menjadi kemerahan. Warnanya adalah merah mawar. Ia dari kata dasar و ر د dan bila ditambah ة ia menjadi ‘bunga Ros’. Ia menggambarkan kemarahan Allah pada waktu itu.

 

كَالدِّهَانِ

berkilat seperti minyak;

Dan ia akan berkilat-kilat. Ini adalah kerana apabila makhluk melihat ke langit, mereka akan nampak langit itu terbakar dengan dahsyatnya. Atau, ia akan seperti minyak yang dipanaskan.


 

Ayat 38:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Kamu sekarang menidakkan kuasa Allah untuk menjadikan hari kiamat itu, bukan? Nanti kamu akan lihat sendiri yang ianya terjadi dengan sebenar. Maka waktu itu adalah kamu hendak dustakan lagi kuasa Allah?


 

Ayat 39: 

فَيَومَئِذٍ لّا يُسئَلُ عَن ذَنبِهِ إِنسٌ وَلا جانٌّ

Sahih International

Then on that Day none will be asked about his sin among men or jinn.

Malay

Pada masa itu tiada sesiapa pun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);

فَيَوْمَئِذٍ

Pada masa itu

Iaitu pada hari Mahsyar.

 

لَّا يُسْئَلُ عَن ذَنبِهِ

tiada sesiapa pun yang akan ditanya tentang dosanya

Kenapa pula tidak ditanya? Kita kena faham yang hari Akhirat dijelaskan dalam fasa-fasa di dalam Al-Qur’an ini. Tidaklah semua ayat menyatakan keseluruhan tentang Hari Kiamat. Satu ayat mungkin menerangkan satu fasa dan satu ayat lagi tentang fasa yang lain.

Ayat yang kita sedang baca ini berlaku dalam fasa awal Hari Kiamat. Pada hari itu, tidak perlu ditanya tentang dosa yang telah dilakukan manusia dan jin, kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya masing-masing; Macam penjenayah yang baru ditangkap dan dibawa ke balai polis, tidak ditanya pun kita sudah tahu mereka muka bersalah. Kerana kita boleh lihat dari air muka mereka.

Mujahid (salah seorang ulama’ tafsir) telah mengatakan sehubungan dengan ayat ini, bahawa para malaikat tidak menanyakan tentang orang-orang yang berdosa, melainkan para malaikat mengetahui mereka dengan sendirinya melalui tanda-tanda yang ada pada mereka.

Macam juga muka pelajar yang ambil keputusan peperiksaan mereka. Mereka sendiri sudah dapat agak apakah yang mereka akan dapat – sama ada baik atau buruk. Jelas di muka mereka. Sekali pandang sahaja kita boleh tahu siapa yang berjaya dan siapa yang tidak.

Mereka yang berdosa itu sudah tahu apa yang mereka buat semasa mereka di dunia. Maka, akan nampak jelas kekesalan dan kekhuatiran pada wajah mereka. Tambahan pula, Allah akan jadikan tanda pada muka mereka, apakah dosa utama yang mereka telah lakukan.

Selepas fasa ini, maka akan diteruskan dengan fasa seterusnya dimana mereka akan ditangkap dan akan ditanya dan dipersoalkan satu persatu tentang apakah yang mereka telah lakukan di dunia dulu. Seperti yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{فَوَرَبِّكَ لَنَسْأَلَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ . عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ}

Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu. (Al-Hijr: 92-93)

Allah tidak perlu tanya pun kerana Allah sudah tahu apa yang manusia telah buat. Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. yang mengatakan bahawa Allah tidak menanyai mereka, “Apakah kamu telah melakukan anu dan anu?” Kerana Dia lebih mengetahui hal itu daripada mereka sendiri, melainkan Allah bertanya kepada mereka, “Mengapa kalian melakukan anu dan anu?” Ini merupakan pendapat yang kedua.

Satu lagi tafsiran: mereka tidak akan ditanya kerana tidak diberi peluang untuk mereka mempertahankan diri mereka. Kerana kalau tanya, bolehlah pula yang ditanya itu beri alasan. Tapi tidak, mereka tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri mereka pada waktu itu. Ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya:

{هَذَا يَوْمُ لَا يَنْطِقُونَ. وَلا يُؤْذَنُ لَهُمْ فَيَعْتَذِرُونَ}

Inilah hari, ketika mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu), dan tidak diizinkan kepada mereka mengemukakan alasan agar mereka dimaafkan. (Al-Mursalat: 35-36)

 

إِنسٌ وَلَا جَانٌّ

sama ada manusia atau jin,

Sekarang Allah sebut ‘manusia’ dulu pula sebelum disebut ‘jin’. Ada kalanya Allah akan menyusun dengan cara berlainan. Susunan itu mengikut keperluan dan mengikut keadaan.


 

Ayat 40:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka tidak menghargai nikmat Allah semasa mereka hidup di dunia dulu. Maka sekarang, rasailah azab yang akan menimpa mereka.


 

Ayat 41:

يُعرَفُ المُجرِمونَ بِسيمٰهُم فَيُؤخَذُ بِالنَّوٰصي وَالأَقدامِ

Sahih International

The criminals will be known by their marks, and they will be seized by the forelocks and the feet.

Malay

Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

يُعرَفُ المُجرِمونَ بِسيمٰهُم

Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dengan tanda-tandanya,

Macam kalau di dunia pun kita sudah dapat tahu siapa yang bersalah dari air mukanya. Dan pekerja sesuatu syarikat juga ada tanda dia pada baju uniform atau pada lanyard dia. Dan kalau banduan di penjara juga ada uniform dia dan tidak sama dengan warden penjara.

Maka, di neraka nanti mereka yang berdosa akan diberi tanda. Malaikat dan makhluk yang lain akan kenal mereka kerana muka mereka hitam dan mata mereka biru. Dengan bau yang busuk lagi. Dan tanda-tanda yang lain. Memang tidak boleh disorok lagi.

Jadi ini menjawab persoalan dalam ayat sebelum ini, kenapa di Mahsyar tidak ditanya apakah dosa orang yang berdosa itu – kerana telah ada tanda. Semua sudah tahu siapakah orang yang berdosa.

 

فَيُؤْخَذُ بِالنَّوٰصِي

lalu dipegang dari atas kepala

Semasa hendak dilemparkan ke dalam neraka, mereka akan dipegang di kepalanya dan akan dilemparkan ke dalam neraka.

Kalimah بِالنَّوٰصِي dari kata dasar ن ص ي yang bermaksud ubun-ubun kepala. Mereka akan dilempar ke dalam neraka dan mengambil masa 70 tahun lamanya baru sampai ke dasar neraka. Semasa jatuh, badannya dibakar sepanjang perjalanan ke dasar neraka itu. Seksa yang amat sangat!

 

وَالْأَقْدَامِ

dan kakinya;

Kepala dan kakinya akan diikat dan dia akan diheret dan dilemparkan ke dasar neraka. Mereka dilayan macam binatang, macam sampah. Al-A’masy telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa ubun-ubun seseorang dari mereka dipegang bersama kedua kakinya hingga patah sebagaimana kayu bakar dipatahkan di dalam pembakaran roti.

Kita boleh tafsir begini: Kadang malaikat akan pegang pesalah dan ahli neraka itu dengan kaki, kadang dengan kepala. Maknanya malaikat akan capai mana-mana dulu. Ini macam buang sampah, asal dapat pegang sahaja dan akan terus dihumban. Tidak perlu nak beriya-iya cara pegang kerana benda hina yang nak dibuang.

Tapi ada juga tafsiran kedua: satu malaikat pegang kepala dan satu malaikat lagi pegang kaki untuk dihumban. Ini adalah kerana walaupun mereka itu berdosa, tapi roh mereka itu mulia, maka malaikat pun hormatlah juga. Allahu a’lam.

Mereka dilayan macam ini kerana mereka dulu semasa di dunia macam binatang. Mereka nak lihat tanda-tanda kebenaran dengan mata baru mereka kononnya nak percaya. Mereka nak lihat Allah, mereka nak lihat malaikat, mereka nak lihat Al-Qur’an diturunkan dan sebagainya. Padahal, mereka itu adalah manusia, tidak memerlukan tanda-tanda yang boleh dilihat dengan mata pun sudah boleh faham.

Kerana telah disebutkan di awal surah ini yang manusia itu telah diberi dengan ‘bayan’, iaitu kebolehan untuk faham idea, tulisan dan kata-kata. Tidak perlu lihat dengan mata pun sudah boleh faham. Yang kena lihat dengan mata baru nak buat tindakan, adalah binatang sahaja. Kalau ada kebakaran hutan, bila nampak hutan itu betul-betul terbakar di hadapan mata mereka, baru mereka nak terima dan lari dari situ.

Tapi manusia sepatutnya dengan hanya diberitahu ada hutan yang terbakar di hadapan, mereka sudah boleh tinggalkan tempat itu. Jadi kalau manusia nak tengok tanda depan mata juga baru nak ikut, mereka telah meletakkan kedudukan mereka sama dengan binatang lah maknanya.

Oleh itu, manusia telah diberitahu dengan peringatan-peringatan dalam bentuk nasihat dan ayat-ayat Al-Qur’an. Sepatutnya penjelasan dalam Al-Qur’an ini sudah cukup. Tapi mereka degil, tidak mahu percaya. Hasilnya, mereka akan dilayan macam binatang. Itulah layanan yang layak untuk mereka terima.


 

Ayat 42:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

Maka masihkah kamu tidak mahu menghargai nikmat-nikmat Allah ke atas kamu? Kalau sudah hargai itu, maka kenalah taat kepada Allah. Kalau tidak taat, maka kamu akan dimasukkan ke dalam neraka dan kamu akan mengalami segala perkara yang telah disebut di atas.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 April 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Syeikh Nasir Jangda

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rahman Ayat 17 – 30 (Pertemuan dua lautan)

Ayat 17: Dalil Aqli.

رَبُّ المَشرِقَينِ وَرَبُّ المَغرِبَينِ

Sahih International

[He is] Lord of the two sunrises and Lord of the two sunsets.

Malay

(Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.

 

رَبُّ الْمَشْرِقَيْنِ

Tuhan dua timur

Tuhan yang mencipta dan memelihara kedua tempat terbit matahari. Tiga kali Allah sebut tentang arah dalam Al-Qur’an. Ada Allah sebut dalam bentuk satu arah, dua arah (seperti dalam ayat ini) dan arah dalam bentuk jamak.

Dalam ayat ini, arah itu merujuk kepada dua musim (musim panas dan musim dingin). Matahari memang terbit dari timur. Tapi dalam masa enam bulan, tempat naik matahari itu akan berubah sedikit. Jadi, seperti ada dua tempat matahari itu naik. Sebagai contoh, mulanya kita mungkin boleh nampak matahari naik dari satu tingkap. Tapi enam bulan kemudian, kita nampak naik dari tingkap yang sebelahnya pula.

Satu lagi tafsir mengatakan, ia merujuk kepada keseluruhan timur itu. Ada timur sebelah kanan dan ada timur sebelah kiri. Maka, ini hendak mengatakan Tuhan itu adalah Rabb kepada semua arah.

 

وَرَبُّ الْمَغْرِبَيْنِ

dan Tuhan dua barat

Tuhan yang mencipta dan memelihara kedua tempat terbenamnya matahari. Dengan kuasaNya jugalah matahari naik dan terbenam. Dan menunjukkan hanya ada satu Tuhan sahaja untuk bumi dan matahari. Kalau ada satu tuhan untuk bumi dan satu tuhan untuk matahari, tentulah ada masalah.

Matahari akan terbenam di arah barat pada satu tempat. Tapi dalam masa enam bulan, tempat matahari terbenam itu akan berubah sedikit. Jadi, seperti ada dua tempat matahari itu terbenam.

Tafsir lain juga ada menyatakan, ia merujuk kepada keseluruhan barat itu. Ada barat sebelah kanan dan ada barat sebelah kiri. Maka, ini hendak mengatakan Tuhan itu adalah Rabb kepada semua arah.


 

Ayat 18: Ini kali ketiga ayat ini diulang dan akan diulang lagi.

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Kalimah ءآلَاءِ ini sesuai diterjemahkan dengan maksud ‘kuasa’, kerana dengan kuasaNya menguruskan bumi dan matahari itu. Kuasa Allah yang mana lagi yang kamu wahai manusia hendak dustakan, hendak tolak?

Tapi kalimah ءآلَاءِ ini juga boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ kerana dengan peraturan naik dan turun matahari inilah dapat diambil manfaatnya oleh segala kehidupan di dunia ini.


 

Ayat 19:

مَرَجَ البَحرَينِ يَلتَقِيانِ

Sahih International

He released the two seas, meeting [side by side];

Malay

Dia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;

 

مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ

Dia membiarkan dua lautan mengalir

Kalimah مَرَجَ dari katadasar م ر ج yang bermaksud membiarkan mengalir (dan lain-lain makna). Allahlah yang menyebabkan lautan yang amat dalam tapi mengalir dengan lancar. Satu dari jenis yang masin dan satu lagi dari jenis yang tawar.

 

يَلْتَقِيَانِ

yang keduanya kemudian bertemu,

Dua jenis air laut yang berlainan jenis itu dapat bertemu – antara yang tawar dan masin, yang berat dan ringan. Dua jenis air itu duduk bersebelahan antara satu sama lain. Tapi walaupun bertemu, tapi tidak bercampur. Kenapa tidak bercampur?


 

Ayat 20:

بَينَهُما بَرزَخٌ لّا يَبغِيانِ

Sahih International

Between them is a barrier [so] neither of them transgresses.

Malay

Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;

بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ

antara keduanya ada batas

Bertemu air itu tapi tidak bercampur. Allah berfirman dalam ayat ini bahawa air masin dan air tawar ada “penyekat” yang memisahkan. Oleh kerana di dalam Ayat 2 Surah Al-Baqarah, Allah menyatakan bahawa Al-Qur’an ini tiada keraguan; maka firmanNya ini juga tiada keraguan.

Selepas lebih 1,400 tahun ayat-ayat ini diturunkan, pada kurun ini barulah manusia melalui ilmu sains membenarkan firmanNya. Ini adalah antara mukjizat dan bukti bahawa Al-Qur’an bukanlah rekaan Nabi Muhammad SAW, tetapi wahyu Tuhan.

“Penyekat” yang Allah maksudkan ialah yang disebut sebagai muara (estuary). Ia merupakan zon pemisah yang mempunyai tahap kemasinan yang berbeza daripada air masin dan air tawar. Ia menyekat dari dua jenis air ini bertemu.

Mata kasar manusia tidak dapat melihat pembahagian ini. Ia dikenal pasti melalui kelengkapan canggih untuk menyukat kemasinan, ketumpatan, kebolehlarutan dan sebagainya.

Contoh paling popular di Internet ialah gambar Teluk Alaska oleh Kent Smith, di mana Lautan Pasifik bertemu Laut Bering. Pemisahan yang berlaku adalah kerana pertemuan air masin dan glasier yang cair (air tawar). Kedua-duanya dipisahkan oleh estuary/zon pemisah/”penyekat” yang tidak terlihat oleh penglihatan mata kasar. Dan kedua-duanya tidak melampaui sempadan.

Inilah yang selalu disebutkan sebagai “keajaiban alam semula jadi”. Namun, mereka yang beriman perlu menambahkan ayat itu menjadi “keajaiban alam semula jadi ciptaan Tuhan”.

 

لَّا يَبْغِيَانِ

yang tidak dilampaui masing-masing.

Dua jenis air laut itu tidak bercampur antara satu sama lain. Hanya bersentuh sahaja. Kadangkala sampai beratus kilometer garisan pertemuan dua jenis lautan itu.

Zaman dulu, fenomena ini tak nampak maka umat Islam hanya percaya sahaja. Tapi sekarang sudah banyak orang beri gambar menunjukkan fenomena ini banyak terjadi. Maka sepatutnya ayat ini menjadi satu lagi dalil kebenaran Al-Qur’an.

Ada juga mufassir yang berpendapat yang dimaksudkan dengan ‘dua lautan’ ialah air masin dan air tawar. Air tawar adalah air yang terdapat di sungai-sungai yang ada di antara manusia. Pembahasan mengenainya telah disebutkan di dalam tafsir Surah Al-Furqan, iaitu pada firman Allah Swt.:

{وَهُوَ الَّذِي مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ هَذَا عَذْبٌ فُرَاتٌ وَهَذَا مِلْحٌ أُجَاجٌ وَجَعَلَ بَيْنَهُمَا بَرْزَخًا وَحِجْرًا مَحْجُورًا}

Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar, dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi. (Al-Furqan: 53)

Jadi kalau pendapat ini yang dipakai, maka dinding yang dimaksudkan adalah tanah di daratan yang memisahkan antara sungai dan juga lautan.

Air adalah satu kuasa yang kuat. Bila sikit, kita dapat kawal. Tapi bila dalam kuantiti yang banyak, ia menjadi sangat kuat dan boleh sampai membuat kerosakan yang besar. Macam apabila Tsunami melanda, ianya boleh menghancurkan bandar dan kawasan yang besar. Tapi walaupun ianya adalah kuat, Allah boleh mengusainya.

Kita memang tidak boleh buat apa-apa bila Tsunami melanda, tapi Allah maha berkuasa. Allah boleh buat supaya dua jenis air tidak bertemu walaupun dua jenis air berlanggar antara satu sama lain. Kalau Allah boleh kawal kuasa air yang kuat itu pun, takkan Dia tidak boleh menguasai manusia dan jin?

Mula-mula sebelum ini Allah menyebut tentang ‘alam luar’ yang manusia boleh lihat iaitu ufuk timur dan barat. Sekarang Allah sebut tentang ‘alam laut’ yang manusia tidak biasa dengannya terutama sekali masyarakat Arab. Mereka jarang nampak laut sebab mereka duduk di Padang Pasir.


 

Ayat 21:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

 

Kuasa Allah yang mana lagi yang kamu tidak iktiraf? Allah jadikan alam ini dengan segala kehebatannya.

Ada perkara yang dulu umat Islam tak faham, bila zaman sudah moden baru dapat faham. Allah jadikan air sudah bertembung, tapi tidak bercampur. Allah boleh jadikan ada pemisah di antara dua jenis air itu. Kalau manusia memang tidak mampu lakukan.


 

Ayat 22:

يَخرُجُ مِنهُمَا اللُّؤلُؤُ وَالمَرجانُ

Sahih International

From both of them emerge pearl and coral.

Malay

Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;

 

يَخْرُجُ مِنْهُمَا

Dari keduanya keluar

Dari dua bahagian laut yang bersebelahan itu (tapi tidak bertemu) akan keluar sesuatu darinya. Apakah dia?

 

اللُّؤْلُؤُ وَالْمَرْجَانُ

mutiara dan marjan.

Marjan adalah batu karang yang warna merah. Apabila ada pertemuan dua jenis lautan itu, akan ada mutiara dan marjan. Ini kerana apabila ada dua jenis air ini, maka dapat membiakkan mutiara dan marjan itu.

Mereka yang biasa dengan lautan dan jenis-jenis air, boleh melihat bagaimana dari air itu, boleh mengeluarkan mutiara dan marjan.


 

Ayat 23:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

 

Dengan kuasa Allah maka manusia dapat mengeluarkan mutiara dan marjan itu. Dan itu adalah nikmat yang Allah berikan kepada manusia kerana manusia suka kepada keindahan mutiara dan marjan itu. Ia boleh dijadikan sumber rezeki.


 

Ayat 24: Dalil Aqli lagi

وَلَهُ الجَوارِ المُنشَئآتُ فِي البَحرِ كَالأَعلٰمِ

Sahih International

And to Him belong the ships [with sails] elevated in the sea like mountains.

Malay

Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;

وَلَهُ الْجَوَارِ

Dan kepunyaan-Nya lah bahtera-bahtera yang belayar.

Kalimah الْجَوَارِ dari kata dasar ج ر ي yang bermaksud berlari, bergerak laju dan boleh digunakan untuk berlayar. Jadi kalimah الْجَوَارِ dalam ayat ini bermaksud kapal yang berlayar di lautan.

Dan kalimah له dalam ayat ini bermaksud ‘kepunyaan’ Allah, ataupun kapal-kapal itu di dalam taqdir dan takluk Allah. Allah kata kapal-kapal itu semua adalah kepunyaanNya. Kenapa? Sedangkan bukankah kapal itu dicipta dan dibuat oleh manusia?

    1. Kerana manusia buat kapal itu dengan bahan-bahan dariNya juga – kayu atau besi.
    2. Bergerak dengan menggunakan sumber yang dariNya juga – sama ada minyak atau angin yang menjalankan kapal layar.
    3. Bergerak pula di atas lautan yang dijadikanNya. Allah yang menundukkan laut itu untuk kapal dapat melaluinya.
    4. Dan yang dapat buat kapal itu adalah manusia yang diciptaNya, menggunakan akal yang diberiNya. Ilham untuk menjadikan kapal itu juga datang dari Allah. Iaitu yang pertama sekali membina kapal adalah Nabi Nuh dan Nabi Nuh tidak tahu bina kapal kalau bukan mendapat ilham dari Allah. Semuanya kembali kepada Allah balik. Maka, tidak salahlah Allah kalau Dia kata kapal itu adalah milikNya.

Apabila kapal sudah di lautan, manusia tidak ada kuasa lagi dengan bahtera itu. Ianya dalam tangan Allah. Maka, ketakutanlah manusia semasa di dalam lautan yang luas. Dan berharaplah manusia kepada satu kuasa yang dapat menyelamatkan mereka. Kerana mereka tidak dapat kawal lautan yang amat luas itu.

Macam mana kuat pun kapal yang mereka buat, kalau Allah hendak menenggelamkan mereka, mereka akan tenggelam. Lihatlah apa yang terjadi kepada Kapal Titanic – Mereka kata: “Tuhan pun tidak dapat menenggelamkan kapal ini”, kerana mereka sangka mereka telah buat kapal yang besar dan kuat. Tapi Allah tunjukkan kepada mereka bahawa tidak ada kuasa yang ada pada manusia. Segala kekuasaan adalah pada Allah.

 

الْمُنشَئآتُ فِي الْبَحْرِ

yang tinggi di lautan

Kalimah الْمُنشَئآتُ dari kata dasar ن ش أ yang bermaksud naik, tumbuh, meninggi. Ia merujuk kepada sifat kapal-kapal di lautan yang nampak tinggi. Kapal-kapal itu dari kejauhan nampak macam pulau kerana besarnya. Kapal sekarang pun ada yang besar-besar macam kapal yang saiz Carrier. Boleh letak kapal terbang atas kapal itu.

Ia juga bermaksud kapal-kapal itu berlayar di ombak yang amat tinggi. Apabila ombak memukul kapal itu, ia akan naik meninggi.

 

كَالْأَعْلٰمِ

laksana gunung-gunung.

Sungguh besar sekali kapal-kapal itu sampaikan ianya nampak seperti gunung-gunung dari jauh. Sebelum ini disebut tentang mutiara dan marjan yang kecil dalam lautan. Sekarang, Allah menyebut tentang benda yang besar pula. Semuanya dalam kuasa Allah.

Yang kecil seperti mutiara, Allah benamkan dalam lautan. Tapi kapal yang begitu punya besar pun Allah boleh buat supaya ianya terapung di lautan. Kalau kita fikirkan dengan akal, tentulah yang ringan lebih senang nak terapung. Tapi tidak, Allah boleh kawal semuanya sekali mengikut kehendakNya. Hukum alam ini, Allah yang tentukan.


 

Ayat 25:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

 

Dengan kuasa Allah dapat kita menggunakan kapal di lautan. Dan itu semua adalah nikmat yang Allah berikan kepada manusia. Kerana dengan kapal itu dapat mengembara ke tempat yang jauh dan sebagai alat pengangkutan dalam perdagangan yang digunakan sampai hari ini.


 

Ayat 26: Dalil Aqli. Allah hendak menceritakan yang manusia dan jin tidak hidup kekal. Dan segala kemudahan yang Allah berikan kepada manusia dan jin itu tidak kekal.

 

كُلُّ مَن عَلَيها فانٍ

Sahih International

Everyone upon the earth will perish,

Malay

Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا

Semua yang ada di bumi itu

Perkataan مَنْ digunakan untuk merujuk kepada semua manusia dan makhluk yang lain. Dalam ayat-ayat sebelum ini tadi telah disebut makhluk-makhluk yang Allah cipta. Apa akan jadi dengan segala makhluk itu?

 

فَانٍ

akan binasa.

Inilah yang selalu disalah faham oleh puak tasawuf – mereka akan sebut mereka hendak mencapai maqam ‘fana‘. Mereka tidak tahu yang fana itu maksudnya ‘binasa’ dan mati. Sebenarnya mereka mencapai keadaan yang khayal sahaja. Dan Allah tidak suka kita khayal. Sebab itu Allah tak benarkan kita minum arak.

Sesungguhnya golongan tarekat itu amat jahil dan kerana itu mereka senang ditipu oleh syaitan. Mereka sangka mereka sudah capai kedudukan yang tinggi, tapi mereka tak sedar mereka itu ditipu sahaja. Ditipu oleh syaitan.

Manusia memang dijadikan untuk mati akhirnya. Bukanlah Allah tak boleh jadikan manusia hidup kekal. Tapi memang Dia hendak jadikan manusia itu akan mati. Itulah maksud فَانٍ itu.

Kalau manusia cipta barang, kita memang hendak barang itu tahan lama, kalau boleh tak rosak-rosak pun sampai bila-bila – tapi walaupun kita hendak begitu, barang yang kita cipta itu tak kekal pun.

Memang niat Allah hendak menjadikan kita akan hancur akhirnya. Jadi, bukanlah nak kata Allah tak pandai merekacipta. Kalau Allah kehendaki, Allah boleh mencipta kita tanpa mati-mati. Itu akan terjadi di akhirat nanti. Tapi, semasa di dunia memang Allah sudah berniat untuk menjadikan manusia akhirnya akan mati akhirnya.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita semua akan mati. Tapi ada dalam diri kita yang tidak mati, iaitu roh kita. Apabila badan kita mati dan hancur, roh kita akan keluar dan akan terus hidup.

Mereka yang tidak boleh menerima hakikat bahawa tubuh mereka akan hancur akhirnya, akan risau dan resah apabila badan mereka sudah lemah dan semakin sakit nak mati. Terutama sekali kepada mereka yang mementingkan kecantikan. Terutama sekali kepada perempuan yang mementingkan keindahan wajah dan tubuh mereka.

Juga hendak mengingatkan kepada makhluk yang menyembah dan seru selain Allah, yang mereka seru itu juga akan hancur juga akhirnya. Maka kenapa nak sembah dan seru kepada yang akan hancur?


 

Ayat 27: Kita akan hancur, tapi Allah akan kekal. Ini adalah ayat yang terpenting surah ini, termasuk di ayat akhir nanti. Ada rahsia di dalamnya. Inilah intipati surah ini.

وَيَبقىٰ وَجهُ رَبِّكَ ذُو الجَلٰلِ وَالإِكرامِ

Sahih International

And there will remain the Face of your Lord, Owner of Majesty and Honor.

Malay

Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:

وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ

Dan tetap kekal Wajah Tuhanmu

Semua akan hancur kecuali ‘Dzat’ Allah sahaja. Apabila ditiup sangkakala, semua yang ada di bumi akan hancur. Allah akan bertanya: “Pada hari ini kerajaan ini milik siapa?”. Waktu itu tidak ada yang dapat menjawab kerana tidak ada yang hidup lagi.

Dzat atau Diri Allah disebut dalam ayat ini sebagai ‘Wajah Tuhanmu’. Ini adalah kerana seseorang itu dikenali dengan wajahnya. Apabila kita memperkenalkan seseorang, tentulah kita akan lihat dan ingat wajahnya. Dan bila kita bertemu lagi dengan dia, tentulah kita akan memastikan ianya adalah orang yang sama dengan melihat wajahnya.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah itu mempunyai ‘wajah’. Tidak perlu ditakwil lagi apakah maksudnya. Kerana Allah sendiri sudah sebut ‘wajahNya’ dalam ayat ini. Dan begitu juga dengan ayat-ayat yang lain berkenaan dengan ‘tangan’, ‘kaki’ dan sebagainya. Allah juga mempunyai suara, penglihatan dan sebagainya. Cuma kita tidak tahu bagaimana rupanya. Kerana pasti Allah tidak sama dengan makhluk.

Memang terdapat satu perbalahan yang amat hebat tentang perkara ini. Sampaikan ada yang kafir mengkafir antara satu sama lain. Kita tidak mahu memperpanjangkan perkara ini di sini. Boleh dirujuk perbincangan ini di tempat lain. Tetapi cukuplah kita katakan di sini yang Allah mempunyai wajah dan segala bentuk tubuh yang disebutkan dalam Al-Qur’an. Kita sebagai ahli Sunnah menerima seadanya apa yang telah disebut dalam ayat Al-Qur’an.

Tapi tentulah wajah, tangan Allah tidak sama dengan wajah dan tangan manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Tidak pernah kita mengatakan yang wajah Allah sama macam makhluk. Kerana ada ayat yang lain yang mengatakan Allah tidak akan sama dengan makhluk.

Allah hendak menekankan yang Dialah sahaja yang kekal. Maka kenapa nak sembah dan seru kepada selainnya? Itu semua adalah kerja bodoh sahaja. Maka hendaklah kita sembah dan berdoa kepada Allah sahaja, kerana hanya Allah sahaja yang kekal abadi.

 

ذُو الْجَلٰلِ

yang mempunyai keagungan

Kalimah الْجَلَالِ bermaksud ‘keagungan’, ‘kebesaran’, ‘kemuliaan’ yang layak dengan Allah. Oleh itu, sumber keagungan, kebesaran dan kemuliaan adalah dari Allah. Ada makhluk yang dikagumi kerana sifat-sifatnya, tapi semua sifat itu disebabkan dan diberi oleh Allah.

 

وَالْإِكْرَامِ

dan kemuliaan.

Kalimah الْإِكْرَامِ bermaksud ‘kemuliaan’, ‘kelebihan’, ‘dermawan’. Makhluk boleh mendapat kemuliaan dan kelebihan di akhirat dengan cara memuliakan Allah semasa kita di dunia, dengan patut taat kepadaNya, mencintaiNya, berdoa hanya padaNya, beribadah hanya kepadaNya.

Dua nama sifat Allah ini dikatakan dinamakan ‘ismul a’zam’. In sha Allah kalau berdoa dengan menggunakan dua nama sifat Allah ini, doa akan dimakbulkan. Ini adalah salah satu pendapat sahaja. Kerana ada juga yang mengatakan ismul a’zam itu dalam rahsia Allah dan kita tidak tahu.

Allah tidak memerlukan kita untuk memujaNya dengan keagungan dan kemuliaan. Kalau kita tidak ada pun, Allah masih agung dan mulia. Bandingkan dengan manusia – kita hanya akan jadi agung dan mulia kalau ada yang mengagung dan memuliakan kita. Seperti manusia mengagungkan pemimpin, ahli sukan, tentera yang telah berhidmat dan sebagainya. Maknanya, kena ada orang yang mengagungkan kita baru kita jadi agung dan terkenal. Kalau tidak ada orang yang sanjung kita, kita tidak bernilai apa-apa.

Tapi sifat Allah tidak memerlukan ada makhluk yang puji Dia pun. Dia memang telah tetap dengan sifat keagungan dan kemuliaan. Bayangkan, dalam ayat sebelum ini disebutkan semua makhluk telah hancur, tapi Allah masih lagi dengan sifat keagungan dan kemuliaan. Allah tidak perlu pujian kita.

Tapi Allah suka kalau kita memuji dan memujaNya. Kalau kita berterima kasih kepadaNya, Allah akan tambah lagi nikmat itu. Maka yang perlu memuji itu adalah kita. Kita yang dapat laba dan habuan dari pujian kita itu. Bukan untuk Allah, tapi untuk kita sebenarnya.

Ini menjawab persoalan: Kenapa Allah hendak kita memujiNya? Ini perlu disebutkan kerana ada manusia yang kononnya bertanya: kenapa Tuhan hendak sangat kita puji-puji Dia? Apakah Allah ‘memerlukan’ pujian itu? Itulah soalan yang kadangkala timbul. Jadi, di sini kita menjawap: Allah tidak memerlukan pujian itu. Tapi kita yang perlu untuk puji Allah.

Apakah intipati surah ini? Allah itu Dzul Jalal wal Ikram. Kalau sesiapa yang mendustakan Allah, Dia akan berhadapan dengan Tuhan yang bersifat Jalal – sifat keras yang boleh menyebabkan manusia susah dan hancur. Kerana itu, apabila Allah tajalli DiriNya pada gunung, gunung itu hancur kerana tidak dapat bertahan. Dengan sifat Jalal inilah, Allah hukum manusia. Lihatlah bagaimana buat dosa sekejap sahaja di dunia, tapi kekal dalam neraka. Kalau lawan sifat Jalal ini, akan susah nanti di akhirat.

Tapi kalau kita membenarkan Sifat Allah, kita akan bertemu dengan sifat Allah yang Ikram. Allah akan beri balasan yang amat baik, dibalas dengan syurga dan segala nikmat yang tidak ada hujungnya. Balasan itu lebih lagi dari apa yang kita lakukan – buat amal sekejap sahaja di dunia, tapi kekal dalam syurga.

Oleh itu, jangan dustakan segala sifat-sifat Allah, kena beriman dengan segala SifatNya.


 

Ayat 28:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

 

Adakah kamu wahai manusia dan jin hendak menidakkan kekuasaan Allah yang kekal selama-lamanya? Kalau kamu ada sembah dan seru selain Allah, maka kamu telah menidakkan ayat ini.


 

Ayat 29: Dalil aqli bahawa semua hamba berhajat kepada Allah. Ayat 29 – 36 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi dalil kekuasaan Allah. Allah berkuasa memberi balasan baik dan buruk.

Seperti yang kita telah selalu sebut, orang Arab memang kenal Allah sebagai pencipta langit bumi dan pentadbir alam dalam perkara-perkara yang besar. Tapi apabila mereka berdoa, mereka bahagikan doa mereka.

Dalam perkara besar, mereka minta kepada Allah tapi untuk perkara-perkara kecil, mereka minta kepada berhala dan malaikat, atau apa-apa sahaja wakil yang mereka jadikan. Kononnya entiti-entiti itu adalah wakil kepada Allah.

يَسئلُهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ كُلَّ يَومٍ هُوَ في شَأنٍ

Sahih International

Whoever is within the heavens and earth asks Him; every day He is bringing about a matter.

Malay

Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Dia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!

 

يَسْئلُهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Semua makhluk yang ada di langit dan bumi sentiasa meminta kepada-Nya.

Semua makhluk di alam ini berhajat kepada Allah dalam segenap hal. Sama ada mereka sedari atau tidak, mereka minta kepada Allah atau tidak, mereka tetap memerlukan Allah. Oleh itu, walaupun orang kafir tidak mengaku kewujudan Allah, mereka tetap memerlukan Allah. Dan apa sahaja hajat yang mereka ingini, mereka minta kepada Allah sebenarnya, sama ada mereka sedari atau tidak.

Kita semua kena minta segala hajat kita dengan Allah sahaja. Tidak layak kalau kita minta kepada selain dari Allah. Macam Hindu, mereka akan minta kepada dewa mereka. Kita pula ada yang minta kepada Nabi, malaikat dan sebagainya supaya menyampaikan hajat dan doa kita kepada Allah. Itulah yang dinamakan tawasul (perantaraan).

Ayat ini menjelaskan bahawa kita memerlukan Allah. Dalam setiap hal dan perkara. Kepada Muslim, mereka akan ‘meminta’ kepada Allah. Tapi bagaimana dengan orang kafir? Mereka kata mereka tak minta pun kepada Allah.

Jawapannya adalah, perkataan يَسْأَلُهُ bukan sahaja bermaksud ‘meminta’, tapi juga bermaksud ‘bergantung’. Walaupun mereka tidak meminta kepada Allah, tapi mereka masih lagi ‘bergantung’ dengan Allah.

Walaupun mulut mereka tidak meminta kepada Allah, tapi tekak mereka yang dahaga meminta kepada Allah; jantung mereka meminta oksigen kepada Allah; setiap sel dalam tubuh mereka meminta kepada Allah. Sentiasa sahaja Allah memberi keperluan dan kehendak makhlukNya untuk hidup selagi mereka ditakdirkan masih hidup.

 

كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ

Setiap waktu Dia dalam kesibukan.

Allah sentiasa dalam keadaan sibuk untuk memenuhi keperluan makhlukNya. Tidak pernah cuti lagi. Sentiasa sahaja Allah memenuhi keperluan hambaNya. Kalau Allah cuti, tentulah kita semua akan mati.

Ada dua jenis keperluan dari hamba: satu, keperluan yang makhluk itu minta kepada Allah. Tidak kira mereka itu manusia atau jin, sama ada beriman atau tidak, sama ada Muslim atau kufur. Keperluan mereka yang mereka minta itu dimakbulkan oleh Allah. Kerana walaupun mereka engkar, tapi Allah akan beri juga permintaan mereka itu. Kalau bukan Allah yang beri, siapa lagi?

Kedua, ada perkara yang makhluk tak minta, tapi Allah akan beri juga. Sebagai contoh, oksigen, angin, makanan dan sebagainya. Walaupun makhluk tak minta, tapi kerana kelangsungan hidup itu memerlukan perkara-perkara itu, maka Allah juga yang beri kepada mereka.

Perkataan شَأْنٍ bermaksud membuat sesuatu yang kalau kita tidak buat, tidak ada orang lain yang akan buat. Macam seorang ibu yang menyusukan anaknya. Tidaklah ayahnya boleh menyusukan anaknya – sebab ayah tidak mempunyai susu. Itulah شَأْنٍ seorang ibu. Begitulah Allah sentiasa dalam sifat memberi kepada makhlukNya. Kerana Allah sahaja yang boleh beri keperluan makhluk.

Dalam urusan mengurus alam ini dan kehendak makhluk, Allah tidak pernah berhenti lagi. Maknanya Allah sentiasa mengurus dan mentadbir. Makhluk pun ada juga mengurus tapi makhluk tidaklah sentiasa mengurus kerana ada waktu kita makan dan rehat. Ini adalah kerana makhluk bila sudah buat kerja, dia akan penat. Tapi ini tidak ada berlaku pada Allah kerana Allah tidak pernah penat.

Allah uruskan segala perkara, baik dari segi keduniaan atau keagamaan. Kalau dari segi keduniaan, kita pun sudah tahu seperti Allah menguruskan malam dan siang, rezeki dan sebagainya. Dan dari segi keagamaan, Allah juga yang bagi taufik dan menyesatkan hamba. Maknanya, semua Allah yang uruskan. Tidak ada yang Allah tidak uruskan.

Timbul pula persoalan di kepala orang yang panjang sangat memikir: “Jadi, Allah sibuk juga?” Jadi, Allah tidak sempat tengok perkara lainlah? Adakah begitu? Tidak sama sekali dan itu adalah salah faham.

Kita beri satu perumpamaan. Katakan kita seorang guru dan kita beri kerja untuk anak murid kita dalam kelas untuk buat tugasan. Dalam masa yang sama, kita buat kerja memeriksa tugasan lain. Walaupun kita sedang buat kerja lain, tapi dalam masa yang sama, tentu kita juga dalam masa yang sama boleh lihat anak-anak murid kita buat kerja mereka, bukan? Tidaklah Allah sibuk sangat dalam mengurus makhluk sampai Allah boleh tertinggal satu pun perkara.


 

Ayat 30: Allah telah banyak memberi kepada kita, masih lagi kita tidak mensyukuriNya?

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara kehebatan Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)?

 

Kalau ada manusia yang meminta kepada selain Allah, maka mereka telah menidakkan sifat-sifat kesempurnaan Allah. Ada orang Islam yang pergi ke kubur wali dan mereka kata mereka dapat itu dan ini; ada yang doa dengan menggunakan wasilah roh Nabi, wali dan malaikat dan mereka kata mereka dapat itu dan ini.

Ini adalah contoh sifat-sifat syirik yang ada dalam diri manusia yang jahil tauhid dan jahil tentang syirik. Mereka tidak sedar yang mereka telah melakukan syirik sebenarnya. Ini adalah kerana mereka itu jauh dari wahyu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 April 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Shaikh Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi