Ayat 27: Setelah dimasukkan ke dalam neraka, maka ini adalah hujah dari Qarin manusia itu. Manusia dan jin akan berbalah bantah, tidak macam ahli syurga yang bermesra sesama mereka. Kita akan lihat bagaimana manusia ahli neraka akan marah qarin mereka. Dan qarin itu boleh jadi sama ada syaitan atau manusia yang menyesatkan dia.
۞ قالَ قَرينُهُ رَبَّنا ما أَطغَيتُهُ وَلٰكِن كانَ في ضَلٰلٍ بَعيدٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
His [devil] companion will say, “Our Lord, I did not make him transgress, but he [himself] was in extreme error.”
(MELAYU)
Qarinnya berkata (pula): “Ya Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh”.
قالَ قَرينُهُ رَبَّنا ما أَطغَيتُهُ
Qarinnya berkata (pula): “Ya Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya
Ada muqaddar di dalam ayat ini, di mana orang yang dicampakkan ke dalam neraka itu berhujah yang mereka sebenarnya mahu taat kepada Allah ﷻ, tetapi Qarin mereka dari kalangan jin yang menyebabkan mereka sesat. Mereka menyalahkan Qarin mereka.
Maka ayat ini adalah jawapan Qarin itu kepada alasan mereka itu. Qarin kata, dia tidak menyesatkan orang itu pun.
وَلٰكِن كانَ في ضَلٰلٍ بَعيدٍ
tetapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh”.
Qarin itu pula memberi alasan dan hujah yang bukan dia yang menyesatkan orang itu tetapi orang itu sendiri yang sudah sesat. Orang itu sesat dengan ikhtiarnya sendiri. Bukan ada sesiapa paksa. Kerana syaitan bukan boleh paksa pun, tetapi hanya boleh ajak sahaja.
Ini penting dan kerana itu dalam Islam tidak ada paksaan untuk masuk Islam. Setiap manusia masing-masing buat pilihan sendiri. Kita sampaikan dakwah kepada non-Muslim dan mereka kena buat keputusan sendiri. Dalam Islam tidak mahu paksaan kerana kalau paksa, orang itu masuk Islam tetapi jadi munafik sahaja. Ini tidak ada nilainya. Allah ﷻ tidak mahu meramaikan Muslim dalam bentuk paksaan.
Sebab itu kalau negara Islam sudah tawan negara lain, tidak boleh paksa penduduk asal negara itu masuk Islam. Memang tidak boleh hendak paksa mana-mana manusia jadi Muslim. Tidak ada bukti dalam sejarah manusia jadi Muslim dengan paksa. Ini dari zaman mana-mana nabi pun. Jadi kita kena nafikan kalau ada orang kata Islam berkembang kerana pedang. Orang yang kata begitu kerana mereka tidak tahu sejarah Islam.
Memang ramai yang masuk Islam setelah ditakluk tapi itu kerana mereka sendiri nampak kelebihan Islam dan mereka sendiri yang sukarela masuk Islam. Buktinya, walaupun negara itu bukan lagi ditawan negara Islam, penduduknya tetap terus mengamalkan agama Islam lagi. Kalaulah mereka dipaksa dulu, tentunya mereka akan ramai-ramai keluar Islam.
Memang setiap manusia ada Qarin dari golongan jin yang membisikkan perkara-perkara yang buruk, mengajak kepada kesesatan, tetapi seorang yang mahu selamat akan berusaha untuk mencari suasana yang dapat menyelamatkannya. Iaitu dengan mempelajari agama dan melazimi duduk dalam majlis ilmu; juga sentiasa membaca dan tadabbur Al-Qur’an dan berhati-hati dalam memilih kawan. Ini adalah antara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahu selamat.
Qarin itu kata bukan dia yang sesatkan orang itu, tetapi bukankah Qarin itu memang mengajak manusia kepada melakukan kesalahan? Jadi maksud ayat ini adalah jin-jin itu berhujah yang mereka tidak memaksa manusia itu berbuat kesalahan, melainkan mereka cuma ajak sahaja. Kerana ramai lagi orang lain yang diajak untuk melakukan kesalahan tetapi mereka tidak ikut pun. Jadi janganlah salah dia, dia kata.
Iblis pun akan melepaskan dirinya nanti apabila dia bagi syarahan:
{وَقَالَ الشَّيْطَانُ لَمَّا قُضِيَ الأمْرُ إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ وَمَا كَانَ لِي عَلَيْكُمْ مِنْ سُلْطَانٍ إِلا أَنْ دَعَوْتُكُمْ فَاسْتَجَبْتُمْ لِي فَلا تَلُومُونِي وَلُومُوا أَنْفُسَكُمْ مَا أَنَا بِمُصْرِخِكُمْ وَمَا أَنْتُمْ بِمُصْرِخِيَّ إِنِّي كَفَرْتُ بِمَا أَشْرَكْتُمُونِي مِنْ قَبْلُ إِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ}
Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan, “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan aku pun telah menjanjikan kepadamu, tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu, lalu kamu mematuhi seruanku. Oleh sebab itu, janganlah kamu mencerca aku, tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamu pun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat siksaan yang pedih. (Ibrahim: 22)
Ayat 28: Apa firman Allah ﷻ pula apabila mereka berhujah-hujah begitu?
قالَ لا تَختَصِموا لَدَيَّ وَقَد قَدَّمتُ إِلَيكُم بِالوَعيدِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Allāh] will say, “Do not dispute before Me, while I had already presented to you the threat [i.e., warning].
(MELAYU)
Allah berfirman: “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, padahal sesungguhnya Aku dahulu telah memberikan ancaman kepadamu”.
قالَ لا تَختَصِموا لَدَيَّ
Allah berfirman: “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku,
Allah ﷻ berfirman waktu itu supaya mereka jangan nak bertengkar dengan berbalah lagi di depanNya. Tidak ada gunanya mereka bertengkar di hadapan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ telah buat keputusan. Pertengkaran itu tidak akan menyebabkan Allah ﷻ kesian atau Allah ﷻ akan terima dan benarkan mereka keluar dari neraka.
Cuma Allah ﷻ benarkan suasana perbalahan itu berlaku untuk menjadi penyesalan kepada mereka dan ini adalah sebagai ‘azab rohani’. Nak bagi penghuni neraka itu lagi sakit hati dan lagi patah hati.
وَقَد قَدَّمتُ إِلَيكُم بِالوَعيدِ
padahal sesungguhnya Aku dahulu telah memberikan ancaman kepadamu”.
Tidak ada guna lagi untuk berhujah dan bertengkar dan berbalah, kerana semasa di dunia dahulu telah ada ancaman-ancaman yang kuat telah diberikan, tetapi mereka sendiri yang tidak mahu mendengar. Mereka sudah dengar ajaran yang disampaikan kepada mereka, mereka sudah tahu mana benar dan mana tidak, tetapi mereka sahaja yang tidak mahu hendak ikut. Maka itu adalah salah mereka sendiri.
Sekarang mereka sudah masuk dalam neraka dan tidak ada harapan lagi untuk mereka kerana keputusan telah dibuat. Sudah terlambat hendak salahkan sesiapa. Terima sahajalah nasib mereka; terima sahaja azab yang akan dikenakan kepada mereka.
Ayat 29:
ما يُبَدَّلُ القَولُ لَدَيَّ وَما أَنا بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The word [i.e., decree] will not be changed with Me, and never will I be unjust to the servants.”
(MELAYU)
Keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah dan Aku sekali-kali tidak menganiaya hamba-hamba-Ku
ما يُبَدَّلُ القَولُ لَدَيَّ
Keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah
Allah ﷻ beritahu yang walau apa pun yang mereka katakan, keputusan yang telah dibuat olehNya tidak akan berubah. Allah ﷻ hendak beri mereka satu perasaan putus asa. Mereka mungkin sangka ada harapan, itu sebab mereka berhujah dan menyalahkan sesama sendiri. Tetapi Allah ﷻ tutup pengharapan mereka itu dengan beri kata putus. Ini untuk mengecewakan mereka terus. Ini juga adalah azab rohani.
وَما أَنا بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ
dan Aku sekali-kali tidak menganiaya hamba-hamba-Ku
Dan Allah ﷻ hendak ingatkan yang apa-apa sahaja keputusan yang Allah ﷻ lakukan itu bukanlah kerana Allah ﷻ zalim, tetapi kerana mereka layak dikenakan dengan perkara itu. Kalau mereka tidak bersalah, Allah ﷻ tidak akan masukkan mereka ke dalam neraka. Dan Allah ﷻ tidak zalim, kerana peringatan telah diberikan. Mereka sahaja yang salah pilih.
Ayat 30: Allah ﷻ menceritakan tentang keadaan di neraka kelak.
يَومَ نَقولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ امتَلَأتِ وَتَقولُ هَل مِن مَّزيدٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
On the Day We will say to Hell, “Have you been filled?” and it will say, “Are there some more,”
(MELAYU)
(Dan ingatlah akan) hari (yang pada hari itu) Kami bertanya kepada jahannam: “Apakah kamu sudah penuh?” Ia menjawab: “Masih ada tambahan?”
يَومَ نَقولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ امتَلَأتِ
Hari itu Kami bertanya kepada jahannam: “Apakah kamu sudah penuh?”
Maka manusia dan jin yang menjadi penghuni neraka akan dimasukkan satu persatu ke dalam neraka dan setelah banyak yang dimaksudkan ke dalamnya, Allah ﷻ berfirman kepada neraka: adakah kamu sudah penuh?
Kalimah امتَلَأتِ dari katadasar م ل أ yang bermaksud penuh (kalimah ini juga menjadi kalimah mala’ kepada pemuka/pemimpin kerana mereka memenuhkan istana raja).
Allah ﷻ tanya kepada neraka: Kamu sudah cukup makan manusia dan jinkah? Sudah penuh ke? Sudah kenyang kah? Kerana kalau tak cukup lagi, Allah ﷻ hendak masukkan lagi. Dan kemasukan penghuni tambahan itu juga adalah azab kerana mereka semua akan dimasukkan dalam tempat sempit. Tempat sudah sempit, masukkan lagi orang tambahan, tentulah tidak suka. Dan kita pun tahu, memang susah kalau duduk di tempat yang sempit.
Bayangkan macam orang buat Haji yang kena bersesak-sesak di satu tempat. Tetapi orang kita tidak kisah sebab kalau mereka susah dalam kerja buat ibadat, akan dapat pahala tambahan lagi. Akan tetapi kalau dalam neraka? Tentulah tidak sama.
Allah ﷻ juga bertanya kerana Allah ﷻ telah berjanji untuk memenuhkan neraka dengan jin dan manusia. Kalau tidak penuh, maka Allah ﷻ hendak penuhkan.
وَتَقولُ هَل مِن مَّزيدٍ
da n Ia menjawab: “Masih ada tambahan?”
Apabila ditanya begitu, neraka pun bertanya kembali: adakah lagi manusia dan jin kerana dia masih mahu lagi. Ini seolah-olah neraka itu seperti orang yang belum kenyang. Macam orang makan dan tanya ada lagi makanankah?
Ada disebut dalam ayat-ayat sebelum ini bagaimana apabila ahli neraka yang baru masuk, ahli neraka yang lama akan marah kerana neraka sudah penuh. Dan setiap kali bertambah ahli neraka, suhu neraka akan bertambah kerana bahan bakar akan bertambah. Kerana bahan bakar adalah ahli neraka itu sendiri.
Maka memang neraka akan jadi lebih panas dengan kemasukan ahli neraka lagi dan tentu ia juga rasa sakit dengan kepanasan itu (mafhum dari hadis). Tetapi lihatlah sekarang bagaimana neraka mahu lagi dimasukkan ahli neraka ke dalamnya.
قَالَ الْبُخَارِيُّ عِنْدَ تَفْسِيرِ هَذِهِ الْآيَةِ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي الْأَسْوَدِ حَدَّثَنَا حَرَمِيُّ بْنُ عُمَارَةَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ قَتَادَةَ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُلْقَى فِي النَّارِ { وَتَقُولُ هَلْ مِنْ مَزِيدٍ } حَتَّى يَضَعَ قَدَمَهُ فَتَقُولُ قَطْ قَطْ “
Imam Bukhari pada tafsir ayat ini mengatakan, telah menceritakan kepada kami, Abdullah ibnu Abul Aswad, telah menceritakan kepada kami Harami ibnu umaarah, telah menceritakan kepada kami Syu’bah dan Qatadah, dari Anas ibnu Malik رضي الله عنه, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda: Neraka diisi, sedangkan neraka mengatakan, “Apakah masih ada tambahan? (QS. Qaf: 30)”. Hingga akhirnya Tuhan Yang Maha Mulia meletakkan telapak kaki-Nya ke dalam neraka maka barulah neraka mengatakan, “Cukup, cukup.” [Sahih Bukhari No. 4470]
Atau tafsiran kedua: neraka bertanya begitu kerana neraka itu memang telah penuh. Kerana dalam riwayat ada disebut bagaimana semakin ramai ahli neraka dimasukkan ke dalam neraka, neraka sendiri akan berasa sakit kerana neraka menjadi semakin panas. Maka neraka ketakutan. Seolah neraka berkata: “ha? ada lagi ke?”. Allahu a’lam.
Ayat 31: Ini pula tabshir (berita baik) kepada mereka yang taat. Ayat 31 – 35 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia menceritakan tentang hati yang kembali kepada Allah ﷻ.
وَأُزلِفَتِ الجَنَّةُ لِلمُتَّقينَ غَيرَ بَعيدٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And Paradise will be brought near to the righteous, not far,
(MELAYU)
Dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka).
Kepada ahli syurga, iaitu orang-orang mukmin, mereka akan diberikan penghormatan dengan didekatkan syurga kepada mereka. Mereka akan dinampakkan dengan syurga semasa di Mahsyar lagi. Ini akan menenangkan hati mereka dan menggembirakan mereka.
Ayat 32:
هٰذا ما توعَدونَ لِكُلِّ أَوّابٍ حَفيظٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[It will be said], “This is what you were promised – for every returner [to Allāh] and keeper [of His covenant]
(MELAYU)
Inilah yang dijanjikan kepadamu, (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya)
Iaitu orang yang sentiasa kembali bertaubat kepada Allah ﷻ. Tawwab bermaksud sentiasa kembali kepada Allah ﷻ berkali-kali. Walaupun mereka telah melakukan kesalahan dan dosa, mereka tidak putus harap kepada pengampunan dari Allah ﷻ.
Juga mereka itu adalah orang yang menjaga diri mereka dari melakukan perkara yang memalukan. Mereka jaga kerana mereka nak taat.
Juga mereka menjaga janji-janji yang telah diamanahkan kepada mereka. Kerana itu mereka digelar sebagai bersifat حَفيظٍ.
Ayat 33: Badal kepada ayat sebelum ini. Penjelasan lagi kepada sifat mereka.
مَّن خَشِيَ الرَّحمٰنَ بِالغَيبِ وَجاءَ بِقَلبٍ مُّنيبٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Who feared the Most Merciful unseen and came with a heart returning [in repentance].
(MELAYU)
(Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat,
مَّن خَشِيَ الرَّحمٰنَ بِالغَيبِ
(Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan
Walaupun Allah ﷻ itu mereka tidak nampak, tetapi ahli-ahli syurga itu tetap takut kepada Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka yakin kepada kewujudan Allah ﷻ.
Dan bukan itu sahaja, mereka sedar yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan mereka. Maka walaupun mereka bersendirian, mereka tetap menjaga hukum. Ramai dari kita akan jaga hukum kalau di hadapan orang lain, tapi adakah kita tetap jaga hukum kalau kita bersendirian? Hanya manusia yang benar-benar takut Tuhan sahaja yang akan jaga.
وَجاءَ بِقَلبٍ مُّنيبٍ
dan dia datang dengan hati yang bertaubat,
Dan mereka datang bertemu dengan Allah ﷻ dengan hati yang mahu kembali kepadaNya. Inilah sifat inaabah yang kita kena ada. Iaitu condong kepada Allah ﷻ.
Iaitu hati yang mahukan kebenaran walaupun dari mana ia datang. Hati mereka tercari-cari kebenaran itu. Hati mereka telah terbuka untuk menerima kebenaran. Maka kepada mereka itu akan didekatkan dengan kebenaran kerana mereka memang mencari-cari. Maknanya, hati ini kena ada keinginan nak tahu kebenaran. Mungkin tidak jumpa lagi, tapi sudah sematkan dalam hati: “Ya Allah, tunjukkan kebenaran kepadaku.”
Ayat 34: Jadi apakah balasan kepada mereka? Mereka akan mendapat balasan syurga dan ini adalah ayat tabshir.
ادخُلوها بِسَلٰمٍ ۖ ذٰلِكَ يَومُ الخُلودِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Enter it in peace. This is the Day of Eternity.”
(MELAYU)
masukilah syurga itu dengan aman, itulah hari kekekalan.
ادخُلوها بِسَلٰمٍ
masukilah syurga itu dengan aman,
Mereka dijemput masuk ke dalam syurga itu dengan aman. Iaitu sejahtera daripada segala perkara-perkara yang menyusahkan. Mereka sudah tidak ada rasa takut dan apa-apa sahaja kerisauan. Mulai saat itu, mereka akan menjadi aman sejahtera sahaja.
ذٰلِكَ يَومُ الخُلودِ
itulah hari kekekalan.
Dan mereka akan kekal di dalam syurga itu selama-lamanya. Ini adalah balasan yang amat besar sekali. Amalan mereka selama di dunia bukannya banyak pun kalau dibandingkan dengan balasan itu. Kalau sepanjang umur itu beribadat pun, berapa lama sahaja? Mungkin 40 tahun sahaja.
Dan bukannya sepanjang masa pun buat ibadat. Tetapi apabila Allah ﷻ balas, Allah ﷻ balas dengan kehidupan dalam syurga selama-lamanya.
Ayat 35:
لَهُم مّا يَشاءونَ فيها وَلَدَينا مَزيدٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They will have whatever they wish therein, and with Us is more.
(MELAYU)
Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.
لَهُم مّا يَشاءونَ فيها
Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki;
Mereka akan dapat apa sahaja yang diingini oleh nafsu syahwat mereka. Dulu semasa di dunia mereka pun ada nafsu juga, tetapi mereka tidak teruskan kerana mereka hendak menjaga hukum Tuhan. Mereka simpan sahaja kehendak nafsu mereka itu dan kerana itu apabila di dalam syurga nanti mereka akan mendapat semua perkara yang mereka tahan dulu. Mereka tahan semasa dunia kerana ianya bercanggah dengan hukum Tuhan dan bukan kerana mereka tidak ada masa dan juga kerana mereka tidak ada kemampuan.
Sebagai contoh, dia tahan dirinya dari melakukan zina. Maka di akhirat kelak, dia dapat memuaskan nafsunya dengan bidadari syurga; dia tahan diri daripada minum arak, maka dia akan dapat minum arak syurga; dia tahan diri daripada pakai sutera dan emas kerana haram bagi lelaki, maka dia dapat pakai emas dan sutera di syurga.
وَلَدَينا مَزيدٌ
dan pada sisi Kami ada tambahannya.
Dan mereka akan mendapat tambahan lagi dari nikmat-nikmat yang pernah disebut dalam dalil wahyu. Kerana ada benda-benda yang mereka tidak tahu wujud pun dan hanya apabila mereka berada di syurga baru mereka tahu ianya wujud. Maka itu pun mereka akan dapat juga.
Cuma Allah ﷻ sebut ‘tambahan’ sahaja dan tidak sebut apakah ia. Kerana akal kita tidak dapat membayangkannya. Maka ia akan menjadi satu kejutan istimewa nanti di syurga.
Juga ada yang berpendapat ‘nikmat tambahan’ yang dimaksudkan itu adalah dapat melihat Allah ﷻ di syurga kelak. Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya:
{لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ}
Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. (Yunus: 26)
Satu lagi tafsir adalah: Allah ﷻ hendak memberitahu yang di syurga nanti luas dan tidak seperti di neraka yang sempit kerana setiap syurga itu luasnya seperti langit dan bumi. Kerana orang yang paling akhir sekali masuk syurga pun akan diberikan syurga yang seluas 10 kali ganda kerajaan dunia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 28 Jun 2020
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Assalamualaikum wr.wb,
Tuan tafsirsunnah yg dirahmati Allah,
Allah berfirman :surat Qaf.(27). ۞ قَالَ قَرِينُهُ رَبَّنَا مَا أَطْغَيْتُهُ وَلَٰكِنْ كَانَ فِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ
Yang menyertai dia berkata (pula): “Ya Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh”.
(28). قَالَ لَا تَخْتَصِمُوا لَدَيَّ وَقَدْ قَدَّمْتُ إِلَيْكُمْ بِالْوَعِيدِ
Allah berfirman: “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, padahal sesungguhnya Aku dahulu telah memberikan ancaman kepadamu”.
pada surat ini Allah telah jelas berfirman mengenai pendamping(yg menyertai dia ) dan bukan jin.
kedua ayat diatas telah menerangkan inshaaAllah bahwa tiap jiwa (jasad dan ruh) beserta hawa nafsunya akan berhadapan dengan Allah di hari berbangkit. jasad dan ruh akan bertengkar dengan hawa nafsunya dihadapan Allah.Dan oleh karena kezholiman mereka dilemparkan ke neraka.Jiwa(jasad dan ruh) beserta hawa nafsunya tidak dapat terpisahkan oleh sebab itulah mereka semua dicampakkan ke neraka.
setiap jiwa memiliki hawa nafsu tetapi jika tidak bisa dikendalikan akan berbuat kezholiman.
Allah berfirman mengenai perihal ini dalam surat asy syams ayat 7/10 (7). وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا
dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya),
(8). فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,
(9). قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,
(10). وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.
wassalamualaikum wr.wb,
ustad sayyid
LikeLike