Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 12 – 13 (Paling mulia adalah yang paling bertaqwa)

Ayat 12: Ini adalah undang-undang ke-enam. Ia berkenaan ‘Sangka Buruk’. Ayat sebelum ini tentang perkara yang dilihat dengan mata. Sekarang Allah ﷻ beritahu punca manusia rosak adalah sangkaan dia yang salah.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنُوا اجتَنِبوا كَثيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعضَ الظَّنِّ إِثمٌ ۖ وَلا تَجَسَّسوا وَلا يَغتَب بَّعضُكُم بَعضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُم أَن يَأكُلَ لَحمَ أَخيهِ مَيتًا فَكَرِهتُموهُ ۚ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ تَوّابٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, avoid much [negative] assumption. Indeed, some assumption is sin. And do not spy or backbite each other. Would one of you like to eat the flesh of his brother when dead? You would detest it. And fear Allāh; indeed, Allāh is Accepting of repentance and Merciful.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sebahagian dari sangkaan itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

 

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنُوا

Hai orang-orang yang beriman,

Wahai orang-orang beriman yang sudah ada negara Islam di Madinah, hendaklah lihat perkara ini baik-baik. Begitu juga kepada kita yang hidup di zaman sekarang, dan mengaku telah beriman, kenalah jaga tentang perkara ini. Dengar baik-baik.

 

اجتَنِبوا كَثيرًا مِّنَ الظَّنِّ

jauhilah kebanyakan dari sangkaan,

Jangan buat sangkaan. Kalimah الظَّنِّ bermaksud jenis sangkaan yang kuat. Ada sangkaan yang benar tapi kebanyakan dari sangkaan adalah salah. Sangkaan yang buruk itu adalah dari bisikan syaitan. Syaitan hendak mengapi-apikan permusuhan antara sesama orang Islam. Maka jangan layan apa yang dibisikkan oleh syaitan itu.

Tetapi jangan kita sangka yang semua bisikan adalah dari syaitan kerana ada bisikan yang datangnya dari malaikat. Akan dapat bisikan dari malaikat kalau ikut kaedah yang benar. Kerana bisikan dari malaikatlah yang para ulama’ dapat mengeluarkan hukum-hukum dalam agama kerana ijtihad pun memang adalah salah satu jenis sangkaan juga. Dari ilham dan sangkaan itu, baru terjadinya hukum feqah yang kita gunakan dalam kehidupan kita.

 

إِنَّ بَعضَ الظَّنِّ إِثمٌ

kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu dosa.

Tetapi, kebanyakan dari sangkaan adalah buruk. Contohnya, kalau kita tengok lelaki dan perempuan berjalan sama, tentu kita ada syak wasangka tentang mereka berdua, bukan? Tetapi entah mereka memang suami isteri, siapa tahu?

Maka jangan bersangka buruk dan jangan buat sangkaan yang tiada asas. Kerana ini bahaya dalam masyarakat. Kerana kalau kita sudah ada sangkaan buruk, kemudian kita cakap pula kepada orang lain, dan ia akan dipanjangkan lagi ke orang lain dan orang lain. Akhirnya, dalam kes suami isteri di atas, mereka telah ditohmah pula.

Maka, kita kena jauhi sangkaan buruk. Kalau sangkaan baik, bolehlah, tidak ada masalah. Tetapi selalunya sangkaan buruklah yang banyak. Kalimah الظَّنِّ adalah perasaan dalam hati yang tidak pasti. Maka apabila tidak pasti, maka kena jauhkan.

Atau kena pastikan dengan sebenarnya. Dapatkan fakta yang benar. Kerana kalau tersilap, akan menyebabkan bahaya kepada diri orang lain dan diri kita sendiri. Buat apa hendak layan perkara yang tidak pasti, bukan?

Selepas bermula dengan الظَّنِّ, ia boleh menjadi perbuatan yang melibatkan dosa. Sebahagian dari sangkaan itu memang dosa betul kerana telah melakukan sangka buruk. Ada yang teruskan lagi dengan melakukan dosa. Sebagai contoh, dia nampak seorang lelaki berjalan dengan wanita, kemudian dia buat cerita orang lelaki itu telah berzina. Ini sudah jadi dosa kerana sudah termasuk dalam tohmahan. Padahal tidak tahu mereka suami isteri atau tidak.

Maka kena jauhi dari melakukan sangkaan buruk. Kecualilah kalau ia memang sudah jelas perkara yang buruk. Sebagai contoh, kalau nampak orang sedang mencuri, memang sedang hendak pecahkan kereta di tengah malam, itu memang sudah sah perbuatan yang buruk. Maka tidak salah kalau ada sangkaan yang jenis begitu.

Tetapi ramai yang tengok sesuatu dan buat sangkaan lebih dari yang dia nampak. Dia nampak sedikit sahaja tetapi dia tambah lebih lagi dalam hati dia. Kerana sangkaan itu hanya dalam hati. Maka kalau sudah ada sangkaan buruk dalam hati pun sudah berdosa (dosa hati). Kalau cakap pula kepada orang lain, lagilah teruk. Sudah jadi dosa lidahlah pula.

Telah diriwayatkan kepada kami dari Amirul Mu’minin Umar ibnul Khattab رضي الله عنه, bahawa dia pernah berkata:

        ولا تظنَّنَّ بكلمة خرجت من أخيك المؤمن إلاَّ خيراً، وأنت تجد لها في الخير مَحملاً

“Jangan sekali-kali kamu mempunyai prasangka terhadap suatu kalimat yang keluar dari lisan saudaramu yang mukmin melainkan hanya kebaikan belaka. Dan hendaklah kamu selalu membawa perkataannya itu kepada prasangka-prasangka yang baik.”  [Riwayat Ahmad di dalam Az-Zuhdi, Darul Mansur 565/7; Tafsir Ibnu Katsir (Edisi tahqiq), Jil.7, hal. 377/554, Darul Taiyyibah]

 

وَلا تَجَسَّسوا

dan janganlah mengintip 

Apabila sudah sangka buruk dan perasaan itu tidak dimatikan dari awal lagi, maka mulalah ada yang hendak intip orang lain. Sebab memang ada orang suka tengok apa orang lain buat. Sama ada mereka curi lihat atau mereka curi-curi dengar. Tidak ada kena mengena dengan mereka pun, tetapi sibuk hendak jaga tepi kain orang lain.

Mungkin ada yang hantar ‘spy’ dan sebagainya. Kita selalu dengar tentang perkara ini atau kita sendiri pun pernah buat, bukan? Mula nampak lelaki dan wanita berjalan bersama, kemudian mulalah cari maklumat lagi. Mulalah tanya ke sana sini tentang orang itu.

Maka jangan cari maklumat untuk kuatkan sangkaan kita dengan cara dekat. Inilah yang dinamakan tajassus. Asalnya dari sangkaan, tapi sekarang sudah cari kesalahan itu guna mata, telinga dan mulut. Entah pecah pula rumah orang sebab nak intip.

Ia bersal dari perasaan sangka buruk sahaja pada mulanya. Mulalah bertanya sana sini dan cari maklumat untuk menguatkan lagi sangkaan mereka. Sekarang sudah guna pancaindera untuk cari keburukan orang lain. Ia hanya akan menguatkan dosa yang sudah ada dalam hati. Dari yang buruk sudah bertambah buruk.

Tetapi selalunya ramai dari kalangan kita yang sibuk hendak curi pandang dan curi dengar. Pasang telinga dan mata melilau sahaja hendak tengok apa yang dilakukan oleh orang lain. Sampai ada yang tengok-tengok dalam rumah orang lain. Ini sudah jadi teruk. Ini jenis orang yang tidak tahu tentang adab dalam Islam.

Kadang-kadang kita memang ada peluang untuk nampak perkara yang kita tidak patut nampak, maka dalam keadaan begitu kita kena tutup mata. Mungkin kita lalu sahaja di hadapan rumah yang terbuka pintunya, maka kena cepat-cepat lalu dan larikan pandangan mata kita. Kerana kalau kita tengok juga, maka ia akan tambah dosa kita sahaja.

Kadang-kadang kita mungkin dapat tahu sesuatu perkara tanpa kita cari pun. Mungkin ada orang beritahu kepada kita tanpa kita tanya pun. Mungkin kita sudah tahu keburukan seseorang. Tetapi kalau ada kelemahan sesiapa yang kita tahu, bukan untuk kita sampaikan kepada orang lain, tetapi kita kena tutup keburukan itu.

Ingatlah yang Muslim yang lain macam cermin kita. Kalau mereka buruk, ia memburukkan diri kita juga sebenarnya. Maka yang patutnya kita lakukan adalah menasihatinya, bukan memburukkan dan menyebarkan kesalahan yang dia telah lakukan.

 

وَلا يَغتَب بَّعضُكُم بَعضًا

dan janganlah mengumpat satu sama lain.

Kalau kita sudah mula cari kesalahan orang lain, maka selalunya akan jumpa. Siapa yang tidak ada kesalahan dan kesilapan, bukan? Kita pun banyak ada salah dan silap. Kalau orang yang tanya dan cari keburukan kita, memang akan jumpa.

Sekarang Allah ﷻ ingatkan, kalau sudah tahu, Allah ﷻ larang umpat (ghibah) pula. Jangan umpat orang lain di belakang mereka. Ghibah adalah bercerita pasal orang lain. Dan perkara itu dia tidak akan suka dengar.

Ini bukan namimah, atau tohmah dalam bahasa Melayu (selalu orang kata ‘fitnah’ tetapi itu adalah terma yang salah) kerana ia memang benda benar pun (namimah mengata tentang seseorang yang tidak benar). Sungguhpun ghibah itu benar tetapi ia adalah maklumat yang dia tidak suka dengar kalau orang lain tahu. Ini pun sudah dilarang.

Hal ini ditafsirkan oleh Nabi ﷺ melalui sabdanya yang mengatakan bahawa ghibah ialah:

ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ”. قِيلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: “إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ بَهَتَّهُ”.

Kamu memperkatakan tentang saudaramu dengan hal-hal yang tidak disukainya. Lalu ditanyakan, “Bagaimanakah jika apa yang diperkatakan itu ada padanya?” Baginda menjawab: Jika apa yang kamu perkatakan itu ada padanya, bererti kamu telah mengumpatnya; dan jika apa yang kamu perkatakan itu tidak ada padanya, bererti kamu telah membuat kebohongan terhadapnya. [Sahih Muslim no. 4690, Sunan Abu Daud no. 4321, Sunan ad-Darimi 2598, Musnad Ahmad no. 4648]

Maka kalau tahu rahsia orang lain, jangan cakap pada orang lain pula – itu sudah ghibah namanya. Yang sepatutnya kita lakukan adalah nasihat orang itu, baiki dia bukannya menjatuhkan namanya. Kalau kita cerita dan umpat pada orang lain, apa kebaikannya? Tidak ada.

Ghibah ini sudah dosa lain pula. Umpat atau ghibah ini adalah cerita tentang seseorang dan bukan dilakukan di depannya. Dan apa yang diceritakan itu dia tidak suka kalau dia dengar. Walaupun ia berita benar pun.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ، حَدَّثَنِي أَبِي، حَدَّثَنَا وَاصِلٌ -مَوْلَى أَبِي عُيَيْنَةَ- حَدَّثَنِي خَالِدُ بْنُ عُرْفُطَة، عَنْ طَلْحَةَ بْنِ نَافِعٍ، عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَارْتَفَعَتْ رِيحُ جِيفَةٍ مُنْتِنَةٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَتَدْرُونَ مَا هَذِهِ الرِّيحُ؟ هَذِهِ رِيحُ الَّذِينَ يَغْتَابُونَ الْمُؤْمِنِينَ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdus Samad, telah menceritakan kepadaku Wasil maula Bani Uyaynah, telah menceritakan kepadaku Khalid ibnu Urfutah, dari Talhah ibnu Nafi’, dari Jabir ibnu Abdullah yang menceritakan bahawa ketika kami bersama Nabi ﷺ, lalu terciumlah oleh kami bau bangkai yang sangat busuk. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Tahukah kalian, bau apakah ini? Ini adalah bau orang-orang yang suka mengumpat orang lain. [Musnad Ahmad no. 14257. Sanadnya hasan mengikut Syaikh Syu’aib al-Arnauth. Bukhari no. 732 dalam Adabul Mufrad. Dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani dalam غاية المرام no. 429 dan al-Fath Ibnu Hajar no. (10/470)]

Maka jangan kita lakukan perkara yang amat buruk ini. Ini adalah perbuatan berdosa dan memberi pahala kepada orang lain (kerana mereka yang diumpat akan dapat pahala yang diambil dari pahala orang yang mengumpat itu). Maka buat apa hendak buat dosa dan buang pahala? Sebaliknya kita kena sibuk dengan belajar dan beramal baik supaya pahala bertambah, bukannya hendak buang pahala bagi orang lain pula (ini kerja bodoh dan merugikan).

Maka sibukkan diri dengan amal baik supaya tidak sibuk dengan urusan orang lain. Kalau kita tidak sibukkan diri kita dengan melakukan benda baik (seperti belajar dan setelah belajar, amalkan benda yang kita belajar itu), maka itulah yang menyebabkan seseorang itu sibuk dengan urusan orang lain.

Ini juga adalah perkara yang amat penting dan sebab itu Allah ﷻ larang dalam ayat ini. Kerana ia boleh memecahbelahkan umat manusia dan masyarakat Islam. Ini memang kerja cari dosa dan bukan cari pahala. Padahal kita kena cari pahala semasa kita ada kesempatan hidup di dunia. Ingatlah yang kita kena cari peluang untuk buat amalan untuk tambah pahala, bukan tambah dosa.

 

أَيُحِبُّ أَحَدُكُم أَن يَأكُلَ لَحمَ أَخيهِ مَيتًا

Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?

Allah ﷻ buat bandingan supaya kita faham betapa teruknya ghibah ini. Ia seumpama macam makan daging saudara kita yang telah mati. Maka ingatlah yang semasa kita mengumpat itu, kita sedang memakan bangkai busuk. Bangkai manusia pula!

Mereka yang diumpat itu dikira sebagai orang yang mati kerana orang yang tidak berada di depan macam orang sudah mati kerana mereka tidak dapat bela diri. Kerana bukankah orang yang mati tidak dapat mempertahankan diri mereka lagi?

Kalau dia depan kita, tentu dia boleh berhujah balik dan lawan balik kata-kata kita, bukan? Dan selalunya kita pun tidak berani hendak kata buruk depan orang itu sendiri. Jadi, perbuatan mengumpat itu adalah perbuatan yang pengecut juga kerana tentu mereka yang mengumpat itu tidak berani hendak cakap berdepan dengan orang yang dia umpat itu.

Kerana itulah Allah ﷻ samakan perbuatan mengumpat itu seperti memakan daging orang yang mati. Kerana kalau kita gigit kawan kita yang hidup pun sudah zalim, tetapi sekurang-kurangnya dia boleh balas balik. Tetapi kalau dia sudah mati, kezaliman lebih tinggi lagi kerana dia tidak dapat balas perbuatan itu.

Tetapi janganlah pula kata: “Ini aku cakap depan kau ni yer, bukan umpat, tau!”. Ini kerana kalau kata depan dia, itu sudah jadi mencela dan tidak boleh juga. Maka kalau ada orang yang buat benda yang salah, sebenarnya kita kena ajak dia belajar supaya dia boleh baiki diri dia.

 

فَكَرِهتُموهُ

Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.

Allah ﷻ beritahu tadi yang kalau umpat itu seperti memakan bangkai saudara sendiri. Kamu pun tidak suka, bukan? Kamu pun tidak sanggup hendak makan bangkai, bukan? Maka begitulah kita kena rasa kalau teringin hendak umpat orang lain.

Maka kena ingat tentang perkara ini kerana ghibah ini tidak boleh ada dalam masyarakat Islam. Patutnya kita jadikan saudara Islam kita sebagai sasaran untuk dapatkan pahala. Ajak mereka belajar agama, nasihat dia, tolong dia, sama-sama buat amal.

Begitulah baru ada kebaikan, sama-sama dapat pahala. Kalau memang dia ada salah, maka kena tolong baiki dia kerana dia cermin kita. Bukannya jadikan dia sebagai tempat kita buang pahala dan kumpul dosa kita pula. Kena jadi bijaklah dalam perkara ini.

 

وَاتَّقُوا اللهَ

Dan bertakwalah kepada Allah.

Semua ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang ada taqwa. Iaitu mereka yang takut kepada Allah ﷻ dan hendak jaga hukum Allah ﷻ dan taat kepada Allah ﷻ. Mereka yang bertaqwa akan sedar yang Allah ﷻ sedang memerhatikan dirinya dalam setiap keadaan, jadi dia tidak berani hendak buat salah, tidak berani hendak umpat dan cela orang lain.

Mereka yang bertaqwa juga sentiasa peka dengan hukum yang Allah ﷻ telah berikan dalam wahyu. Apabila mereka hendak buat sesuatu, mereka akan berhenti dan fikirkan: apakah kehendak Allah ﷻ dalam perkara ini? Barulah dikira taqwa. Kalau seseorang itu pakai cakap sahaja apa yang ada fikiran dia, maka dia bukanlah orang bertaqwa.

 

إِنَّ اللهَ تَوّابٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Allah ﷻ masih boleh terima taubat hambaNya. Maka kalau sebelum ini pernah lakukan perkara ini, maka bertaubatlah. Kalau ada kawan yang telah diumpat, maka minta maaflah kepadanya. Tentu malu hendak minta maaf kepada seseorang yang telah diumpat, bukan? [Minta maaf yer, aku dulu ada umpat kau…]. Maka janganlah umpat orang dari awal lagi. Jaga mulut kita dari berkata-kata tentang orang lain. Kerana susah kalau hendak minta maaf.

Ada juga ulama’ yang berpendapat bahawa tidak perlu menceritakan kepada orang yang diumpat itu yang kita pernah umpat dia. Ini adalah kerana kalau dia tahu, lagi sakit hati dia, bukan? Maka cukuplah kita menyesal dengan perbuatan kita dan kita bersihkan nama orang yang telah diumpat itu.

Sebagai contoh, kalau kita cerita kepada A tentang B, maka pergilah kepada A dan perbetulkan balik maklumat itu. Bersihkan kembali nama B. Dan hendaklah dia bela nama baik B selepas itu.


 

Ayat 13: Ini adalah undang-undang  ke-tujuh. Tidak boleh berbangga dengan kelebihan yang sebenarnya bukan kelebihan kita pun.

يَـٰٓأَيُّہَا النّاسُ إِنّا خَلَقنٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثىٰ وَجَعَلنٰكُم شُعوبًا وَقَبائِلَ لِتَعارَفوا ۚ إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقٰكُم ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O mankind, indeed We have created you from male and female and made you peoples and tribes that you may know one another. Indeed, the most noble of you in the sight of Allāh is the most righteous¹ of you. Indeed, Allāh is Knowing and Acquainted.

•Literally, “he who has the most taqwā,” i.e., consciousness and fear of Allāh, piety and righteousness.

(MELAYU)

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

 

يَـٰٓأَيُّہَا النّاسُ

Hai manusia,

Sekarang Allah ﷻ khitab kepada keseluruhan manusia. Ini adalah kerana maklumat ini adalah maklumat sejagat yang perlu dilihat dan diterima oleh seluruh manusia. Seluruh manusia boleh ambil manfaat dari ayat ini. Maka kita kena sampaikan kepada mereka yang tidak tahu ayat ini. Kena dakwah kepada orang yang bukan Islam juga.

 

إِنّا خَلَقنٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثىٰ

sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan

Maksudnya kita semua dijadikan dari keturunan Adam dan Hawa. Itulah asal kejadian kita dan bukannya dari makhluk lain, kerana ada yang kata kita ini berasal dari monyet. Inilah teori kafir Charles Darwin yang amat terkenal itu.

Ini memang satu teori yang karut dan lemah sekali. Maka janganlah kita percaya pula. Semoga teori ini tidak diajar di sekolah dan meracun fahaman anak-anak kita. Sebaliknya kena diajar asal kita dari mana – memang kita semua dijadikan dari keluarga yang satu (Adam dan Hawa).

Terjemahan kedua: kita ini dijadikan dari jenis lelaki dan perempuan. Kita ada ayah dan ibu yang dari keturunan manusia juga. Semua kita jadi macam itu. Dari pasangan ibu dan bapa kita, ada yang jadi lelaki dan ada yang jadi perempuan. Tidak kira bangsa apa, agama apa, semua berasal dari seorang lelaki dan seorang perempuan. Maka kita ini sebenarnya sama sahaja.

 

وَجَعَلنٰكُم شُعوبًا وَقَبائِلَ

dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku

Allah ﷻ yang menjadikan kita berlainan bangsa. Ada yang jadi Melayu, Cina, Eropah dan sebagainya.

Dan dari satu bangsa itu, ia bercambah menjadi bersuku-suku. Dalam bahasa Arab, digelar qabilah. Maknanya, dalam bangsa ada Qabilah. Sebagai contoh, dalam bangsa Melayu ada qabilah Jawa, Banjar dan sebagainya. Bangsa lain pun ada suku-suku mereka juga. Bangsa Arab ada Quraisy dan jenis-jenis suku yang amat banyak sekali.

 

لِتَعارَفوا

supaya kamu saling kenal-mengenal.

Allah ﷻ jadikan berlainan bangsa dan suku itu supaya لِتَعارَفوا (saling kenal mengenal). Ia dari kata dasar ع ر ف yang bermaksud ‘tahu’. Kalimah ‘urf’ diambil dari kalimah inilah. Kita pun selalu juga dengar kalimah taaruf.

Memang amat menarik sekali, kalau kita tengok jenis muka macam itu, kita tahu dia bangsa mana. Kita boleh tahu apa yang mereka makan, pakaian mereka macam mana dan sebagainya.

Jadi memang ada banyak persamaan dan juga perbezaan sesama kita. Tetapi bukanlah kita hendak tengok perbezaan itu untuk nak berbangga. Jangan berbangga sebab aku bangsa Arab, aku bangsa Eropah, aku bangsa itu dan ini. Sebab kemuliaan atas dasar bangsa, warna kulit, asal dari mana, itu dari kejadian, bukan dari ikhtiar kita sendiri, maka nak bangga apanya?

Kerana kamu memang dilahirkan sebegitu kerana Allah ﷻ takdirkan kamu lahir sebagai bangsa itu dan ini. Tidak ada ikhtiar kamu pun yang menyebabkan kamu jadi Melayu, jadi Cina, jadi India, bukan? Bahasa pun bukan ikhtiar kita tapi mak ayah kita yang ajar. Tidak ada usaha kita pun, kerana kita memang kena bercakap pun. Pelik juga apabila ada yang bangga dengan bangsa dia, bukan?

Lain latarbelakang dan cara kehidupan menjadikan manusia berlainan jenis dan cara hidup. Maka kita boleh mengenal mereka yang lain dari kita dan memang menarik untuk melihat budaya lain. Kenangkan hebatnya Allah ﷻ jadikan macam-macam jenis. Ada berbilion-bilion manusia dalam dunia ini dan betapa hebatnya Allah ﷻ boleh menjadikan semua itu. Maknanya, Allah ﷻ yang hebat dan mulia, bukannya kita yang hebat kerana dilahirkan dalam sesuatu bangsa dan suku itu.

Bukan kerana bangsa itu yang menjadikan seseorang itu mulia. Kerana kemuliaan dilihat berdasarkan pada tahap ketaqwaan. Inilah kemuliaan yang sebenarnya di sisi Allah ﷻ. Iaitu taqwa.

Dan untuk mendapatkan taqwa ini kena ada usaha dan kena cari. Dan semua orang boleh berusaha untuk cari taqwa. Semua ada peluang. Tidaklah macam pemilihan bangsa – tidak ada sesiapa boleh berusaha untuk tukar bangsanya. Kalau sudah lahir sebagai Melayu, maka akan kekal sebagai Melayu sampai bila-bila.

Dan kalau dua orang sama-sama bertaqwa, mereka boleh berlumba untuk tinggikan lagi taqwa. Ini baru bagus kerana berlumba dalam perkara yang menyatukan. Bukan dalam perkara yang memecahkan seperti membanggakan bangsa. Kerana kalau hendak memuliakan bangsa sendiri, kesannya membawa kepada perpecahan. Kalau sama-sama berlumba untuk lebih taqwa, dua-dua akan dapat kebaikan.

Begitu juga kalau mencari kemuliaan dalam masyarakat. Kalau mencari mulia kerana kedudukan dalam masyarakat, kena jatuhkan yang di atas, bukan? Itu sudah memecahkan masyarakat. Sedangkan kalau kejar siapa yang lebih taqwa, takkan hendak dengki pula, bukan? Takkan hendak jatuhkan orang itu pula? Kalau sama-sama berlumba untuk jadi lebih taqwa, tentu mereka berdua akan lebih rapat kerana salah satu sifat taqwa adalah menjaga keharmonian sesama Muslim.

Oleh itu undang-undang ke-tujuh ini mengajar bagaimana mentadbir dunia supaya jadi harmoni. Jangan merendahkan kaum dan suku yang lain. Kalau rendahkan orang lain, ia akan menjadi perbalahan. Ini adalah kerana setiap pihak hendak cerita kelebihan sendiri sedangkan ianya bukanlah kelebihan pun seperti yang telah diberitahu.

Kita sebenarnya patut melihat semua bangsa dan suku sama sahaja. Ini macam keadaan ihram di Mekah semasa Umrah dan Haji. Kalau kita lihat sekeliling, semua sama rata sahaja. Waktu itu semua pakai pakaian yang sama, kalimah yang disebut pun sama dan dianjurkan untuk tolong menolong sesama manusia. Inilah baru bagus.

Hebat sekali ayat ini. Dengan satu ayat sahaja sudah boleh satukan umat manusia dan elakkan pecah belah. Sebab itu kaitan ayat ini kepada manusia semua sekali. Maka pemimpin kena tahu perkara ini. Pemimpin jangan lebihkan satu bangsa dan suku atas bangsa dan suku yang lain.

Dalam satu hadis, Nabi ﷺ pernah berkata yang bangsa Quraisy yang kena jadi Khalifah satu dunia. Baginda sudah tetapkan supaya tidak ada manusia yang akan jatuhkan bangsa yang lain kerana hendak jadikan bangsanya sebagai khalifah. Yang lain pun tidak perlu hendak jatuhkan sesama sendiri. Kerana semua sudah terima yang jadi pemimpin adalah dari Quraisy.

Kalau Quraisy sama Quraisy berebut untuk jadi khalifah, ini baru bahaya kerana tidak boleh ada dua Khalifah dalam satu zaman. Maka kena bunuh salah satu. Boleh rujuk kitab feqah tentang pemerintahan untuk mendalami lagi perkara ini.

Begitulah cara yang diajar dalam agama kita. Senang sahaja cara yang diajar oleh agama Islam kerana hendak menjaga keharmonian. Dalam susunan kerajaan Islam,  cuma perlu lantik yang di atas sahaja (Khalifah) dan Khalifah sendiri yang akan lantik siapakah yang akan berkhidmat di bawahnya.

Kalau ikut cara Yahudi (demokrasi) lah yang akan menyebabkan pecah belah kerana paling kurang kena ada dua parti. Bila sudah ada dua parti atau lebih, sudah pasti mereka akan jatuh menjatuhkan. Habis duit banyak untuk buat pilihanraya sahaja. Asyik hendak jatuhkan pihak lawan, sampai tidak tahu bilakah mereka memimpin negara.

Sampai negara kucar kacir jadinya. Ini kita dapat lihat sendiri dan semua boleh nampak perkara ini, bukan? Maka tidak perlu dipanjangkan lagi tentang politik di sini, kerana semua sudah tahu bodohnya politik.

 

إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقٰكُم

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu.

Jadi kalau kemuliaan itu bukan berdasarkan bangsa keturunan dan suku, maka apakah kriteria untuk menentukan siapa yang lebih mulia? Allah ﷻ beritahu yang paling mulia adalah mereka yang paling bertaqwa. Iaitu siapa yang lebih baik dalam menjaga hukum dan siapa yang paling tinggi iman mereka.

Dalaman hati mereka takut kepada Allah ﷻ, dan luaran mereka jaga hukum. Kita hanya boleh tengok luaran sahaja kerana dalam hati kita tidak nampak. Jadi kita tidak dapat pastikan siapakah yang paling bertaqwa. Jadi ini akan menjadi rahsia antara orang itu dan Allah ﷻ. Jadi kita tidak boleh kata: A lebih bertaqwa dari B, jadi A lebih mulia dari B….

قَالَ مُسْلِمٌ، رَحِمَهُ اللَّهُ: حَدَّثَنَا عَمْرٌو النَّاقِدُ، حَدَّثَنَا كَثِير بْنُ هِشَامٍ، حَدَّثَنَا جَعْفَرِ بْنِ بُرْقَانَ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ الْأَصَمِّ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ”.

Imam Muslim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Amr An-Naqid, telah menceritakan kepada kami Kasir ibnu Hisyam, telah menceritakan kepada kami Ja’far ibnu Barqan, dari Yazid ibnul Asam, dari Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kalian dan harta kalian, tetapi Dia memandang kepada hati dan amal perbuatan kalian. [Sahih Muslim no. 4651; Sunan Ibnu majah no. 4133 – dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh Abu Thahir Zubair ‘Ali Zai; Musnad Ahmad no. 7493, 10537- sanadnya dinilai sahih sesuai syarat Muslim oleh Syaikh Syuaib al-Arnauth]

Oleh itu, ketaqwaan yang penting, bukan kerana bangsa. Dan taqwa itu dalam hati maka tak boleh nak kata orang lain tidak taqwa. Taqwa mesti dapat pengiktirafan dari Allah ﷻ. Maka tidak bolehlah seseorang hendak mengaku dia lebih taqwa. Maka Allah ﷻ kata dalam potongan ayat seterusnya, bahawa Dia yang lebih tahu.

 

إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu tahap ketaqwaan seseorang. Kalau hendak kata lebih dari segi kuantiti amal ibadat, itu hanya dari segi luaran sahaja. Tetapi kalau hal dalaman, Allah ﷻ sahaja yang tahu. Jadi kita serah kepada Allah ﷻ sahaja dan kita teruskan amal kita. Nanti di akhirat nanti baru boleh tahu siapa yang lebih bertaqwa.

Allah ﷻ memberitahu dua SifatNya dalam ayat ini: عَليمٌ dan خَبيرٌ. Dari segi terjemahan biasa, kita boleh terjemahkan sebagai ‘maha mengetahui’. Tetapi apabila Allah ﷻ letak bersebelahan, itu maksudnya ada perbezaan antara keduanya.

Oleh itu, عَليمٌ adalah tentang pengetahuan Allah ﷻ tentang luaran seseorang dan خَبيرٌ adalah pengetahuan Allah ﷻ tentang dalaman seseorang. Maka Allah ﷻ tahu luaran dan dalaman sekali. Tidak seperti kita yang hanya tahu luaran sahaja (itu pun tidak lengkap).

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Jun 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 12 – 13 (Paling mulia adalah yang paling bertaqwa)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s