Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 9 – 11 (Berhati-hati dengan nickname)

Ayat 9: Ini adalah undang-undang ke empat. Ini adalah apabila umat Islam berbalah sesama sendiri. Dalam ayat ini, digunakan kalimah ‘perang’ kerana kalau beri salah maklumat dan sampaikan maklumat salah kepada orang lain (rujuk ayat tentang tabayyun dalam ayat 6), ia boleh sampai boleh menyebabkan terjadinya perang.

Itulah bahayanya kalau salah beri maklumat dan tidak berhati-hati dengan maklumat yang diterima. Asalnya kata mengata sahaja, tetapi lama kelamaan kalau teruk sangat, boleh sampai jadi perang. Dalam golongan mukmin pun boleh terjadi perkara ini kerana mereka juga manusia.

Jadi sekarang Allah ﷻ ajar cara untuk mendamaikan dua pihak yang bertelagah. Jangan dipanjangkan dan perkara ini perlu ditangani dengan baik.

وَإِن طائِفَتانِ مِنَ المُؤمِنينَ اقتَتَلوا فَأَصلِحوا بَينَهُما ۖ فَإِن بَغَت إِحدىٰهُما عَلَى الأُخرىٰ فَقٰتِلُوا الَّتي تَبغي حَتّىٰ تَفيءَ إِلىٰ أَمرِ اللهِ ۚ فَإِن فاءَت فَأَصلِحوا بَينَهُما بِالعَدلِ وَأَقسِطوا ۖ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if two factions among the believers should fight, then make settlement between the two. But if one of them oppresses the other, then fight against the one that oppresses until it returns to the ordinance of Allāh. And if it returns, then make settlement between them in justice and act justly. Indeed, Allāh loves those who act justly.

(MELAYU)

Dan kalau ada dua golongan dari mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara keduanya! Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai surut kembali pada perintah Allah. Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

 

وَإِن طائِفَتانِ مِنَ المُؤمِنينَ اقتَتَلوا

Dan kalau ada dua golongan dari golongan yang beriman itu berperang

Dua kumpulan yang Allah ﷻ kata dua-duanya beriman. Maka ini bukan antara golongan mukmin dan munafik atau orang kafir kerana kalau peperangan antara mukmin dan tidak, itu memang sudah biasa. Yang agak menghairankan, kalau sesama mukmin pun boleh berperang juga.

Ini mengajar kita yang kalau golongan mukminin pun boleh jadi berperang sesama mereka. Entah dimana silapnya, sampai mereka boleh berbunuhan sesama mereka. Allah ﷻ tidak suka kalau sesama Muslim berperang kerana ia seperti melawan diri sendiri kerana orang Muslim lain adalah cerminan kepada diri kita. Kalau mereka buruk, maka kita pun buruk juga.

Kita umat Islam ini seumpama satu badan. Maka kena jaga sesama sendiri, jangan sakit menyakiti sesama sendiri. Jangan tuduh menuduh dan bermusuh sesama Muslim. Tetapi kalau terjadi juga, Allah ﷻ ajar bagaimana untuk menanganinya.

Memang tidak mustahil kalau orang mukmin berperang sesama sendiri. Di dalam kitab Sahih Bukhari melalui hadis Al-Hasan, dari Abu Bakrah رضي الله عنه ada mengatakan:

سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَالْحَسَنُ إِلَى جَنْبِهِ يَنْظُرُ إِلَى النَّاسِ مَرَّةً وَإِلَيْهِ مَرَّةً وَيَقُولُ ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ وَلَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُصْلِحَ بِهِ بَيْنَ فِئَتَيْنِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ

“Aku mendengar Nabi ﷺ di atas mimbar bersabda, ketika itu Al Hasan ada disamping baginda. Sesekali baginda melihat ke arah orang banyak dan sesekali melihat kepadanya (iaitu Al-Hasan): “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini adalah sayyid (pemimpin) dan dengan perantaraannya Allah akan mendamaikan dua kelompok besar kaum Muslimin.” [Sahih Bukhari no. 3463]

Ternyata kejadiannya memang terjadi seperti apa yang dikatakan oleh Nabi ﷺ iaitu sesudah baginda tiada. Allah ﷻ melalui Al-Hasan رضي الله عنه telah mendamaikan antara penduduk Syam dan penduduk Iraq sesudah kedua belah pihak terlibat dalam peperangan yang panjang lagi sangat mengerikan.

 

فَأَصلِحوا بَينَهُما

hendaklah kamu damaikan antara keduanya!

Maka kena ada pihak ketiga yang jadi orang tengah untuk damaikan antara dua golongan Mukmin yang berperang itu. Iaitu pihak ketiga yang tidak terlibat. Pihak ketiga itu mestilah jangan berat sebelah tetapi kena duduk atas pagar. Pihak ketiga ini kena ajak kepada dua puak mukmin yang berperang itu untuk mengadakan gencatan senjata. Kena bawa mereka duduk berbincang.

Kalau sudah berperang, mesti ada yang betul dan salah, atau sekurang-kurangnya ada pihak yang lebih benar. Maka kena lihat kesemua fakta sekali dan kena kaji manakah kedudukan yang benar. Bantulah kedua-dua pihak kerana Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَصَرْتُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ أَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ تَكُفُّهُ عَنْ الظُّلْمِ فَذَاكَ نَصْرُكَ إِيَّاهُ

Dari Anas bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim dan yang diperlakukan zalim (teraniaya).” Kami berkata: Wahai Rasulullah, aku menolongnya bila dia perlakukan zalim (teraniaya), lalu bagaimana aku menolongnya bila dia berbuat zalim? Baginda menjawab: “Engkau cegah dia dari berbuat zalim, itulah cara pertolonganmu untuknya.” [Sunan at-Tirmizi no. 2181. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh Abu Thahir Zubair ‘Ali Zai]

 

فَإِن بَغَت إِحدىٰهُما عَلَى الأُخرىٰ

Tapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain,

Tetapi kalau ada pihak yang melakukan kesalahan yang terlebih, maka itu tidak patut. Tadi telah disebut yang mereka berdua kena ada gencatan senjata. Dan apabila sudah berdamai, mungkin ada pihak yang hendak berperang balik. Bila ini terjadi, semua yang asalnya tidak terlibat, kena lawan pihak yang terlajak lebih itu.

 

فَقٰتِلُوا الَّتي تَبغي

hendaklah kamu perangi yang melanggar perjanjian itu

Mereka kena diperangi kerana mereka sudah pecahkan perdamaian yang telah diadakan. Semua pihak kena perangi mereka termasuk pendamai yang asal pun kena terlibat. Asalnya dia tidak terlibat kerana dia pihak yang ada di tengah.

Atau ayat ini boleh bermaksud, selepas pihak ketiga melihat kedudukan sebenar kenapa terjadi peperangan itu, maka akan nampak mana yang benar dan mana telah melakukan kezaliman. Maka boleh perangi pihak yang zalim itu sampai dia berhenti melakukan kezaliman. Memang dia juga golongan mukmin, tapi pada waktu itu dia sedang melakukan kezaliman kepada pihak yang lain.

 

حَتّىٰ تَفيءَ إِلىٰ أَمرِ اللهِ

sampai kembali pada perintah Allah.

Maka umat Islam yang lain kena perangi mereka sehingga mereka kembali kepada arahan Allah ﷻ. Iaitu arahan Allah ﷻ untuk berdamai. Kerana orang mukmin sebenarnya tidak boleh berperang sesama mukmin. Kerana perdamaian sesama Muslim adalah arahan Allah ﷻ dan sesiapa yang melanggar perdamaian telah langgar perintah Allah ﷻ.

 

فَإِن فاءَت فَأَصلِحوا بَينَهُما بِالعَدلِ وَأَقسِطوا

Kalau dia telah surut, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil;

Kemudian, apabila sudah diperangi dan pihak yang melampau itu telah bersetuju untuk ikut cakap, sudah mahu kembali berdamai, maka damaikanlah antara mereka.

Semua perkara ini kena dibuat dengan adil. ‘Adil’ itu maksudnya, kena ikut syariat. Maka kena cari maklumat mana yang sahih. Semua pihak kena ikut syariat, jadi kena tahulah ilmu wahyu, baru tahu apa yang kena dilakukan.

Ada penekanan tentang adil dalam ayat ini kerana tentu ada pihak yang sudah marah dengan pihak yang telah pecahkan perdamaian asal. Maka Allah ﷻ ingatkan, mereka itu telah mahu berdamai kembali, maka kenalah layan mereka. Jangan panjang-panjangkan lagi. Jangan diberat-beratkan pula.

Allah ﷻ sebut عَدلِ dan قسط dalam satu ayat ini. Selalunya, maksud keduanya lebih kurang sama sahaja. Tetapi bila sudah diletakkan sekali dalam satu ayat, maka tentu maknanya ada beza antara keduanya. Maka kita kena cari apakah perbezaan itu.

Kalimah عَدلِ bermaksud keadilan secara terbuka. Kerana ia dilakukan secara formal, iaitu rakyat yang ramai sudah nampak. Ini kerana perdamaian kali kedua kena dilakukan di khalayak ramai kerana mereka yang melampau itu sudah tidak boleh dipercayai kalau buat perdamaian secara tertutup. Kali pertama dulu bolehlah buat secara rahsia kerana kita hendak jaga nama mereka. Tetapi bila sudah pecahkan perdamaian yang kali pertama, maka mereka tidak boleh diberi muka lagi.

Kalimah قسط pula boleh bermaksud keadilan dalam bentuk umum dan peribadi. Iaitu adil dalam segala hal kehidupan. Hal-hal keluarga pun termasuk juga. Ini penting kerana kadangkala adik beradik dan anak beranak pun berkelahi juga. Dalam perkara peribadi begini pun kena ada keadilan juga.

Oleh itu, Allah ﷻ tekankan mesti kena ada keadilan dalam umum dan dalam hal peribadi. Jangan ikut hawa nafsu dalam buat keputusan. Jangan hendak bela kawan sendiri, atau keluarga sendiri atau sebab-sebab lain. Untuk jadi adil, maka kena tengok bukti yang ada.

Begitulah kalau negara Islam hendak selamat, kena ada keadilan. Kalau tidak ada keadilan, maka masyarakat akan rosak. Kerana ramai akan ada rasa tidak puas hati dan boleh jadi pemberontakan. Kita telah sebutkan bahawa Surah Hujurat ini tentang pengurusan negara Islam. Maka para pemimpin dan umat kena perhatikan perkara ini.

 

إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

Allah ﷻ beri motivasi kepada umat Islam untuk melakukan keadilan. Kerana Allah ﷻ amat suka kepada mereka yang melakukan keadilan. Mungkin kalau kita berat sebelah, ada imbuhan keduniaan yang kita boleh dapat. Tetapi, ia tidaklah setanding dengan imbuhan dari Allah ﷻ jika kita benar-benar berlaku adil.

Rugi sahaja kalau harapkan imbuhan keduniaan dan hilang imbuhan dari Allah ﷻ. Ada lagikah imbuhan yang lebih besar dari cinta Allah ﷻ kepada kita? Tentu tidak ada lagi. Maka kita kena kejar cinta Allah ﷻ ini.


 

Ayat 10: Kenapa kena buat seperti yang diajar dalam ayat di atas? Kenapa kena damaikan antara mukmin yang berperang?

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ فَأَصلِحوا بَينَ أَخَوَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The believers are but brothers, so make settlement between your brothers. And fear Allāh that you may receive mercy.

(MELAYU)

Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

 

إِنَّمَا المُؤمِنونَ إِخوَةٌ

Orang-orang beriman itu sesungguhnya adik beradik.

Allah ﷻ kata semua orang mukmin adalah ‘adik beradik’. Kalau ‘persaudaraan’ sahaja, kalimah yang digunakan adalah ‘ikhwan’ tetapi dalam ayat ini digunakan kalimah ‘ikhwah’. Namun dari segi bahasa, kalimah ikhwah selalunya digunakan untuk adik beradik sedarah.

Begitulah tautan yang Allah ﷻ sebut antara orang mukmin (kuat seperti adik beradik). Dan memang kadang-kadang adik beradik pun boleh berkelahi, bukan? Maka jangan terkejut sangat kalau itu berlaku, tetapi kena berdamai balik.

Sebab itu kalau dengan adik beradik jangan lama-lama berkelahi. Kena salah seorang mulakan usaha untuk berdamai (tidak kiralah siapa yang salah). Kena pandang perkara yang lebih penting daripada kepuasan diri sendiri yang mungkin boleh memusnahkan perpaduan.

 

فَأَصلِحوا بَينَ أَخَوَيكُم

Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara keduanya itu

Maka kalau ada perkelahian, maka adik beradik lain kena damaikan. Orang luar pun kena bantu perdamaian itu. Ini arahan dari Allah ﷻ, maka kena ikut. Jangan tengok sahaja perkelahian itu. Lebih buruk lagi, kalau ada yang ambil bahagian dengan pilih siapa yang hendak disokong. Itu memang orang yang tidak tahu hal agama, ikut nafsu sahaja.

Di dalam hadis sahih disebutkan:

“وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ”

Sesungguhnya Allah senantiasa menolong hamba-Nya yang selalu menolong saudaranya.

[Sunan at-Tirmizi no. 1853. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh Abu Thahir Zubair ‘Ali Zai]

Di dalam kitab sahih Muslim pula disebutkan:

” مَنْ دَعَا لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ “

“Barangsiapa yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan berkata: ‘Amiin dan bagimu kebaikan yang sama.” [Sahih Muslim no. 4913]

 

وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

dan taqwalah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.

Allah ﷻ kaitkan tentang perdamaian ini dengan taqwa. Kita semua mahu dapat taqwa, bukan? Dan Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, taqwa diperlukan untuk dapat rahmat. Maka, yang penting kena taqwa kepada Allah ﷻ.

Permulaan untuk taqwa adalah dengan takut kepada Allah ﷻ (takut langgar hukum Dia). Kerana kalau tidak takut itulah yang menyebabkan manusia berani buat dosa, berani hendak jadi zalim, tidak jaga perdamaian. Ingatlah yang Allah ﷻ tidak suka orang zalim.


 

Ayat 11: Ini adalah undang-undang ke-lima. Kena ada sifat dalaman yang baik – tidak boleh merendahkan orang lain. Kalau sesuatu umat itu ada perangai suka merendahkan orang lain, maka umat itu akan pecah belah. Maka kerana itu Allah ﷻ tidak suka dan melarang seorang hamba merendahkan hamba yang lain.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا لا يَسخَر قَومٌ مِّن قَومٍ عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِّنهُم وَلا نِساءٌ مِّن نِّساءٍ عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِّنهُنَّ ۖ وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم وَلا تَنابَزوا بِالأَلقٰبِ ۖ بِئسَ الِاسمُ الفُسوقُ بَعدَ الإيمٰنِ ۚ وَمَن لَّم يَتُب فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, let not a people ridicule [another] people; perhaps they may be better than them; nor let women ridicule [other] women; perhaps they may be better than them. And do not insult one another and do not call each other by [offensive] nicknames. Wretched is the name [i.e., mention] of disobedience after [one’s] faith. And whoever does not repent – then it is those who are the wrongdoers.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Ini adalah nasihat dan arahan dari Allah ﷻ kepada mereka yang mengaku mereka telah beriman. Kenalah ikut nasihat ini. Kena dengar dengan baik kerana ianya amat penting. Ini penting untuk pembinaan negara Islam yang hebat. Kena mulakan dengan orang yang dekat-dekat dengan kita dahulu.

 

لا يَسخَر قَومٌ مِّن قَومٍ

janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain,

Allah ﷻ gunakan kalimah ‘kumpulan’ dan tidak individu. Kerana selalunya manusia merendahkan kumpulan lain apabila mereka ramai (duduk dalam kumpulan).

Selalunya apabila manusia sudah ramai, mereka ada kemungkinan jadi berani dan bodoh. Dalam istilah psikologi, ini dipanggil ‘crowd mentality’. Kadang-kadang apabila seseorang itu sedang duduk beramai-ramai dengan kawan yang jenis begitu, dia jadi orang lain.

‘Taskhir’ bermaksud merendahkan orang lain dalam macam-macam cara. Sama ada dalam bentuk fizikal dia, pandai atau tidak, kerja mereka, kereta yang mereka pakai dan apa-apa sahaja. Ramai manusia yang bodoh sanggup lakukan apa-apa sahaja, dengan alasan untuk merendahkan orang lain.

Termasuk dalam perkara ini dengan mengatakan yang pandangan seseorang itu adalah fahaman ‘Wahabi’. Ini pun adalah kata-kata untuk merendahkan satu-satu golongan.

Allah ﷻ larang kita mempersendakan orang lain untuk mengatakan kita lebih baik dari mereka. Kadang-kadang mereka tidak lawan pun masa itu, kerana mereka kumpulan yang lemah atau mereka tidak ada suara. Tetapi di akhirat kelak, macam mana? Mereka boleh mengadu di hadapan Allah ﷻ dan boleh ambil pahala orang yang mengata itu nanti.

Selalunya, mereka yang merendahkan orang lain itu kerana mereka hendak bagi nampak yang mereka lebih tinggi dari orang yang direndahkan. Maka ini adalah cara yang salah. Mereka lakukan begitu kerana mereka sendiri ada masalah dengan diri sendiri. Mereka rasa mereka rendah, maka untuk menaikkan diri mereka, mereka fikir mereka kena jatuhkan orang lain. Ini tidak boleh sama sekali. Hendak jadi lebih baik ada cara dia dan bukan dengan jatuhkan orang lain.

 

عَسىٰ أَن يَكونوا خَيرًا مِّنهُم

boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka.

Mungkin mereka yang direndahkan itu lebih baik di mata Allah ﷻ dari orang yang merendahkan orang itu. Pernah Ibn Mas’ud digelakkan oleh sahabat yang lain kerana kaki beliau kecil. Nabi ﷺ dengar kata-kata mereka itu dan baginda marah kepada mereka. Baginda kata kaki Ibn Mas’ud yang kecil itu akan jadi berat di akhirat kelak. Begitu juga ada sahabat yang tidak ada janggut dan ditertawakan oleh sahabat-sahabat lain, pun mereka kena tegur.

Kita kena ingatlah perkara ini. Jangan sangka kita ini lebih baik dari orang. Cubalah rendahkan diri kita, jangan hendak berlagak sangat. Kita tidak tahu kelebihan orang lain. Mungkin kita tidak nampak kelebihan seseorang itu, maka kenalah kita simpan sahaja perasaan dalam hati kita.

 

وَلا نِساءٌ مِّن نِّساءٍ

Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya,

Dan Allah ﷻ sebut khusus untuk golongan wanita pula. Padahal tadi sudah disebut dalam bentuk umum dan sepatutnya sudah termasuk dengan golongan wanita sekali. Tapi Allah ﷻ berfirman khusus untuk mereka.

Ini kerana wanita banyak melakukan perkara ini.  Dan kerana cara wanita jatuhkan orang lain pun tidak sama. Mereka ada cara mereka sendiri. Cara mereka tengok orang lain pun sudah lain macam. Mereka pandai untuk merendahkan orang lain. Sebagai contoh, kalau tengok orang lain pakai baju murah atau tidak cantik, mereka tengok atas bawah dan komen: “cantik yer baju awak….?”.

Tetapi orang tahu yang itu bukan pujian tapi sebenarnya adalah cemuhan. Jangan marah pula kalau ada yang kata takkan hendak salahkan orang perempuan pula – ingatlah yang ini Allah ﷻ yang sebut, bukannya kita.

Allah ﷻ larang buat benda ini. Jangan rendahkan orang lain, jangan buli orang lain. Ini adalah satu perkara yang amat malang sekali dalam masyarakat kita. Kita pun tidak tahu apa yang terjadi di kalangan anak-anak kita di sekolah. Mereka menghadapi berbagai-bagai dugaan antara sesama rakan sekolah mereka.

Ada yang kena buli dan ada yang buat kumpulan-kumpulan kecil yang merendahkan orang lain. Dan perkara ini bukan perkara kecil kerana ada sampai dalam berita bagaimana ada pelajar yang sampai bunuh diri kerana tidak tahan.

 

عَسىٰ أَن يَكُنَّ خَيرًا مِّنهُنَّ

boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.

Allah ﷻ ingatkan kepada kumpulan wanita jangan rendahkan golongan perempuan yang lain kerana mungkin wanita itu lebih baik di sisi Allah ﷻ. Kita hanya tengok sudut zahir sahaja, tetapi Allah ﷻ lihat dari segi keimanan.

Dan kalau seseorang itu merendahkan orang lain, sudah tentunya ia berkenaan perkara-perkara keduniaan sahaja, bukan? Maka kita sebagai pelajar Al-Qur’an ini janganlah jadi begitu. Kena ingatlah ayat ini sentiasa. Jangan sedap sahaja mulut hendak kutuk atau rendahkan orang lain.

 

وَلا تَلمِزوا أَنفُسَكُم

Dan janganlah mencela dirimu sendiri

Jangan cari kelemahan diri sendiri. Atau jangan cela ‘diri sendiri’. Allah ﷻ tak kata: kepada ‘orang lain’ tapi kepada ‘diri sendiri’. Kenapa agaknya?

Kalimah لمز bermaksud mencari kelemahan seseorang dan luahkan atau hebahkan kelemahan itu. Dengan cara ini, ia boleh menghilangkan semangat mereka. Allah ﷻ telah larang perkara ini dalam ayat yang lain:

{وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ}

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela. (Al-Humazah: 1)

Allah ﷻ larang cela ‘diri sendiri’ kerana orang lain pun adalah cermin diri kita. Kalau kita cela dan rendahkan orang lain, itu juga termasuk dalam mengutuk diri sendiri. Ini adalah kerana seorang Muslim adalah cermin atau gambaran kepada Muslim yang lain. Maknanya kalau kita rendahkan seorang Muslim, kita rendahkan keseluruhan Muslim sebenarnya.

 

وَلا تَنابَزوا بِالأَلقٰبِ

dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan.

Dan jangan bagi nama ejekan. Iaitu beri panggilan atau gelaran yang menyakitkan hati. Jangan panggil memanggil sesama sendiri dengan gelaran yang buruk (kalimah تنابز dalam wazan ke 6 – timbal balik). Iaitu sama-sama memberi gelaran yang buruk kepada orang lain dan orang lain pula beri gelaran buruk kepada kita.

Kalimah ن ب ز digunakan untuk gelaran yang bersifat buruk. Tapi kalimah  ل ق ب selalunya adalah nama yang baik. Kerana Nabi Muhammad ﷺ juga ada memberikan ‘laqab’ kepada para sahabat. Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ beri gelaran (laqab) ‘Abu Thurab’ (bapa tanah) kepada Saidina Ali رضي الله عنه.

Allah ﷻ gabungkan keduanya kerana ada laqab yang pada zahirnya nampak baik, tetapi diberikan dengan niat yang buruk. Sebagai contoh, kadang-kadang ada orang panggil orang lain: “Woi budak bijak, mari ke sini kejap..”. Nampak dia panggil ‘budak bijak’, bukan? Tetapi kita yang dengar pun boleh tahu yang dia sebenarnya memanggil dengan ejekan.

Dari cara panggilan pun kita sudah tahu. Kalau kita tegur dia, dia boleh jawab: “eh, aku panggil dia budak bijak, apa? Takkan salah kot?”. Tetapi Allah ﷻ tahu apa yang dalam hatinya.

Kalau menggunakan laqab, tidaklah salah kalau yang diberi gelaran itu suka. Saidina Ali رضي الله عنه amat suka dengan laqab Abu Thurab itu kerana ianya diberi oleh Rasulullah ﷺ. Maka kita kena tanya kepada orang itu sendiri sama ada dia suka atau tidak dengan gelaran laqab/nickname itu.

Kalau kita tidak suka, cakaplah kita tidak suka. Tidak salah kalau cakap kita tidak suka dengan gelaran yang diberi oleh orang. Kerana kita semua ada hak. Tidak kira siapa kita, setiap manusia ada hak untuk dihormati. Dalam satu hadis:

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَعِيلَ حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ عَنْ دَاوُدَ عَنْ عَامِرٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو جَبِيرَةَ بْنُ الضَّحَّاكِ قَالَ فِينَا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ فِي بَنِي سَلَمَةَ { وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ } قَالَ قَدِمَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَيْسَ مِنَّا رَجُلٌ إِلَّا وَلَهُ اسْمَانِ أَوْ ثَلَاثَةٌ فَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَا فُلَانُ فَيَقُولُونَ مَهْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَغْضَبُ مِنْ هَذَا الِاسْمِ فَأُنْزِلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ }

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Idris dari Daud dari Asy-Sya’bi dari Abu Jabirah bin Adh-Dahak, dia berkata: “Telah diturunkan kepada kami Bani Salamah (iaitu kalangan orang-orang Ansar) suatu ayat, iaitu Dan janganlah kalian saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk (Al Hujurat: 11). Nabi ﷺ datang kepada kami, dan lelaki dari kalangan kami biasanya memiliki dua atau tiga nama, terkadang Nabi ﷺ memanggil mereka dengan nama-nama itu, tetapi dikatakan kepada baginda: “wahai Rasulullah, sesungguhnya dia marah jika dipanggil dengan nama itu.” Maka turunlah ayat: Dan janganlah kalian saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk (Qs Al Hujurat: 11).” [Sunan Ibnu Majah no. 3731 dengan lafaz ini. Sunan Abu Daud no. 4311. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dan Syaikh Abu Thahir Zubair ‘Ali Zai]

Dan kalaulah dia tidak suka dengan panggilan itu dan dia laknat orang yang memanggilnya begitu, ketahuilah yang Allah ﷻ akan terima doanya itu. Maka jangan bagi orang laknat kita, sama ada dari panggilan kita atau perbuatan kita.

Sebagai contohnya jangan kita kencing tempat orang lalu lalang kerana kalau kita buat begitu, tentu ada yang marah dan laknat pelakunya. Ketahuilah yang laknat mereka laku pada Allah ﷻ. Allah ﷻ akan makbulkan. Maka, jangan cari pasal.

Begitulah sampai perkara begini pun ada disebut dalam Al-Qur’an. Nampak macam mudah sahaja, bukan? Tetapi kalau tak jaga perkara ini, akan menyebabkan masalah tak puas hati dalam masyarakat. Perhubungan akan jadi tidak baik dan ada benci membenci sesama sendiri. Masyarakat yang baik hanya akan pakai nama gelaran baik sahaja.

 

بِئسَ الِاسمُ الفُسوقُ بَعدَ الإيمٰنِ

Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman

Memberi gelaran yang buruk kepada orang lain itu akan menjadikan pelakunya orang fasik selepas dia sudah beriman. Maka ini amat bahaya. Allah ﷻ kata orang yang menggelar-gelar orang lain dengan gelaran yang buruk ini ada sifat orang fasik. Itu adalah perbuatan manusia zaman Jahiliyah dulu. Maka kalau selama ini kita gunakan gelaran yang buruk kepada orang lain, maka kena berhenti.

Maka kita kena lihat penggunaan perkataan yang kita gunakan. Pastikan bahasa yang digunakan adalah bahasa baik. Kalau orang baik, maka kata-kata yang baiklah yang akan keluar dari mulutnya. Kalau bahasa buruk digunakan, maknanya orang itu ada masalah iman dan masalah dalam hati dia.

Maka gunakan bahasa yang baik-baik sahaja. Kerana kalau tidak jaga bahasa, maka akan ada masalah dalam masyarakat. Lama kelamaan masyarakat akan rosak. Malangnya, kalau kita lihat penggunaan bahasa masyarakat kita, memang memalukan. Lebih memalukan apabila bahasa kesat yang digunakan itu keluar dari mulut orang yang dikatakan sebagai ‘ustaz’.

 

وَمَن لَّم يَتُب فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Kalau tidak taubat dan berhenti dari melakukan perkara buruk ini, mereka dikira zalim di sisi Allah ﷻ. Mereka telah melakukan zalim kepada orang lain, dan ia dikira zalim di sisi Allah ﷻ. Maka ini bukanlah perkara kecil. Jangan kita kata: “alah… aku panggil jer macam itu, tapi aku sayang dia…. alahhh… dia tak marah lah… dia OK… “.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s