Tafsir Surah Tawbah: Pengenalan kepada surah

Pengenalan:

Ini adalah surah terakhir yang Allah turunkan. Ia diturunkan di penghujung hayat Nabi ﷺ di Madinah. Namun begitu ada ayat yang turun awal, maksudnya ia mengambil masa yang lama untuk melengkapkan surah ini. Surah yang mulia ini merupakan pengakhiran daripada wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah ﷺ seperti yang dikatakan oleh Imam Bukhari رحمه الله:

Daripada Abu Ishaq yang mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Al-Barra mengatakan bahawa akhir ayat yang diturunkan adalah firman Allah yang mengatakan: Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, “Allah memberi fatwa kepada kalian tentang kalalah.” [An-Nisa: 176] dan surat yang paling akhir diturunkan ialah surat Al-Bara’ah (yakni surat At-Tawbah).

Ini adalah salah satu surah yang memang susah untuk ditafsirkan. Untuk menafsirnya kita perlu lihat kepada konteks ayat, waktu ia diturunkan dan keadaan semasa itu dan selepas itu. Kena melihat semua perkara itu, barulah boleh faham apakah yang hendak disampaikan. Jika dilihat kepada ayatnya sahaja, tetapi tidak rujuk kepada perkara-perkara lain yang terlibat, maka boleh tersilap faham pula.

Malangnya, ramai yang membaca ayat-ayat daripada surah ini tanpa merujuk kepada segala perkara itu, dan mereka telah sampai kepada fahaman yang salah dan bahaya. Ini kerana memang surah ini adalah surah yang keras yang memperkatakan tentang perang. Namun malangnya orang yang bukan Islam menggunakan ayat-ayat dalam surah ini untuk mengatakan Islam adalah agama yang ganas pula.

Lebih malang lagi, orang Islam yang ganas juga menggunakan ayat-ayat dalam surah ini untuk menghalalkan tindakan mereka merosakkan manusia lain. Ini juga adalah perbuatan yang amat salah sekali. Yang menyedihkan pula, mereka yang mengetahui dan memahami perkara yang sebenar, tidak pula menjelaskan tentang kedudukan yang benar, maka semakin ramailah yang terus salah faham dengan surah ini.

Surah ini dinamakan Surah Tawbah kerana banyak diulang kalimah tawbah di dalamnya (sebanyak 17 kali).

Dalam ayat terakhir Surah Anfal, ia mengandungi konsep wala’ dan di dalam ayat pertama Surah Tawbah ini, terus disebut tentang konsep bara’. Ini kerana ia merujuk konsep wala’ wal bara’ di dalam Islam.

 

Tiada lafaz Bismillah

Satu perbezaan surah ini dengan surah yang lain adalah ia tidak ada lafaz bismillah di awalnya kerana surah ini adalah tentang perang. Maka tidaklah sesuai diletakkan basmalah disebabkan dalam basmalah itu ada disebut sifat Rahmah Allah . Ini kerana perang melibatkan keganasan dan pembunuhan, sedangkan basmalah itu adalah tentang keselamatan.

حَدَّثَنَا ابْنُ عَبَّاسٍ قَالَ
قُلْتُ لِعُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ مَا حَمَلَكُمْ أَنْ عَمَدْتُمْ إِلَى الْأَنْفَالِ وَهِيَ مِنْ الْمَثَانِي وَإِلَى بَرَاءَةٌ وَهِيَ مِنْ الْمِئِينَ فَقَرَنْتُمْ بَيْنَهُمَا وَلَمْ تَكْتُبُوا بَيْنَهُمَا سَطْرَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَوَضَعْتُمُوهَا فِي السَّبْعِ الطُّوَلِ مَا حَمَلَكُمْ عَلَى ذَلِكَ فَقَالَ عُثْمَانُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِمَّا يَأْتِي عَلَيْهِ الزَّمَانُ وَهُوَ تَنْزِلُ عَلَيْهِ السُّوَرُ ذَوَاتُ الْعَدَدِ فَكَانَ إِذَا نَزَلَ عَلَيْهِ الشَّيْءُ دَعَا بَعْضَ مَنْ كَانَ يَكْتُبُ فَيَقُولُ ضَعُوا هَؤُلَاءِ الْآيَاتِ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا وَإِذَا نَزَلَتْ عَلَيْهِ الْآيَةَ فَيَقُولُ ضَعُوا هَذِهِ الْآيَةَ فِي السُّورَةِ الَّتِي يُذْكَرُ فِيهَا كَذَا وَكَذَا وَكَانَتْ الْأَنْفَالُ مِنْ أَوَائِلِ مَا أُنْزِلَتْ بِالْمَدِينَةِ وَكَانَتْ بَرَاءَةٌ مِنْ آخِرِ الْقُرْآنِ وَكَانَتْ قِصَّتُهَا شَبِيهَةً بِقِصَّتِهَا فَظَنَنْتُ أَنَّهَا مِنْهَا فَقُبِضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يُبَيِّنْ لَنَا أَنَّهَا مِنْهَا فَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ قَرَنْتُ بَيْنَهُمَا وَلَمْ أَكْتُبْ بَيْنَهُمَا سَطْرَ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ فَوَضَعْتُهَا فِي السَّبْعِ الطُّوَلِ
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata, Aku pernah bertanya kepada Utsman bin Affan رضي الله عنه: Apa yang menyebabkan engkau cenderung (menggolongkan) Al-Anfal ke dalam al Matsani (surat yang berjumlah lebih daripada seratus), memasukkan Al Baraa`ah ke dalam al Mi`in (yang kurang daripada seratus), engkau meletakkan keduanya berdekatan tanpa ditulis basmalah sebagai pemisah, serta memasukkannya ke dalam As Sab’uth Thiwaal (tujuh surat terpanjang) apa sebetulnya yang melatar belakanginya?

Utsman رضي الله عنه menjawab: Rasulullah ﷺ terkadang dalam satu waktu diturunkan kepadanya surat yang memiliki banyak ayat, kerana itu jika turun sesuatu padanya baginda memanggil sebahagian juru tulisnya lalu bersabda, “Tulis semua ayat ini pada surat yang terdapat di dalamnya begini dan begitu, ” sedang jika turun padanya satu ayat baginda katakan, “Tulis ayat ini di surat yang disebut di dalamnya begini dan begitu, ” sedangkan Al-Anfal adalah salah satu surat yang pertama kali diturunkan di Madinah sedangkan Al Baraa`ah adalah sebahagian surah Al-Qur’an yang terakhir tetapi isinya mirip dengan isinya (surah Al-Anfal) sehingga aku menganggapnya sebagai sebahagian daripadanya.

Setelah itu Rasulullah ﷺ wafat tetapi baginda tidak menjelaskan kepada kami bahawa ia bagian darinya, kerana itulah aku letakkan keduanya secara berdekatan dan tidak menulis basmalah sebagai pemisah serta menggolongkannya ke dalam As Sab’uth Thiwaal.

(Sunan Tirmidzi (3011) Abu Isa (Imam Tirmidzi) mengatakan bahawa hadith ini hasan shahih. Akan tetapi hadith ini didhaifkan oleh Sheikh Albani رحمه الله)

Terminologi:

mi’in (surah yang lebih daripada seratus ayat)

mathani (surah yang diulang-ulang dan kurang daripada seratus ayat)

mufassalat (surah yang pendek-pendek bermula daripada Surah Qaf hingga akhir Al-Qur’an)

sab’ul tiwal (7 surah awal yang panjang-panjang)

Al-Qur’an disusun dengan surah-surah yang panjang terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan surah yang lebih pendek. Soalan Saidina Ibn Abbas رضي الله عنهما di dalam hadith di atas bertanya Saidina Uthman رضي الله عنه kenapakah beliau susunkan Surah Tawbah selepas Anfal sedangkan ia lebih panjang daripada Surah Anfal? Dan kenapakah diletakkan di dalam golongan Sab’ul Tiwal sedangkan ia surah panjang ke lapan?

Untuk pengetahuan semua, apabila satu-satu ayat itu diturunkan dan disampaikan oleh Jibril عليه السلام, Jibril عليه السلام akan memberitahu Nabi ﷺ di mana ayat itu harus diletakkan (dalam surah mana dan selepas ayat sekian-sekian). Maka selepas itu Rasulullah ﷺ akan maklumkan kepada penulis-penulis wahyu dalam kalangan sahabat tentang perkara itu.

Ketika memulakan sesuatu surah, baginda akan maklumkan untuk meletakkan Basmalah di awalnya. Akan tetapi di dalam surah ini, Rasulullah ﷺ tidak beritahu untuk meletakkan Basmalah. Maka ada kemungkinan ia adalah surah yang berdiri sendiri, atau ia boleh juga sebagai sambungan kepada Surah Anfal.

Menjawab soalan Ibn Abbas رضي الله عنهما, Uthman رضي الله عنه memberitahu kekeliruan yang ada dalam kalangan penyusun Al-Qur’an. Maka sebagai langkah berhati-hati, Surah Tawbah dan Anfal diletakkan berdekatan dan hanya dipisahkan dengan sedikit ruang (bukan dipisahkan dengan Basmalah) kerana entah ada kemungkinan ia adalah satu surah sama. Surah Anfal didahulukan kerana ia diturunkan sebelum surah Tawbah.

Oleh kerana itu, jikalau kita sedang membaca Al-Qur’an dan selesai dibacakan Surah Anfal dan hendak sambung Surah Tawbah, tidaklah dibaca Basmalah. Namun begitu, jikalau hendak memulakan bacaan dan kebetulan hendak membaca Surah Tawbah, maka bolehlah dibaca Basmalah. Ini kerana kita membaca Basmalah untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang baik.

Cuma memang ada pendapat yang mengatakan untuk memulakan membaca Surah Tawbah, maka cukup dengan baca Ta’awudz sahaja (tanpa Basmalah). Ini adalah kerana mereka berpegang langsung tidak boleh baca Basmalah di awal Surah Tawbah. Ini adalah khilaf dalam pendapat-pendapat yang ada.

Terdapat satu lagi pendapat dinaqalkan daripada Saidina Ali رضي الله عنه. Beliau mengatakan Basmalah tidak ditulis di awal Surah Tawbah kerana Basmalah adalah janji keselamatan. Akan tetapi surah ini menarik perjanjian untuk memberikan keselamatan kepada orang kafir. Maka kerana itu tidak sesuai diletakkan di awal surah ini. Allahu a’lam.

 

Asbabun Nuzul surah ini:

Surah ini turunnya selepas Nabi ﷺ membuka Kota Mekah (pada bulan Ramadhan tahun 8 H). Ia turun setelah Musyrikin Mekah sudah mula masuk Islam. Perang Hunain juga berlaku pada tahun 8 H. Perang Tabuk pula berlaku pada tahun 9 H pada bulan Rejab. Pada DzulHijjah 9 H itulah ditarik perjanjian dengan orang kafir seperti yang disebut pada awal Surah Tawbah ini.

Ketika itu, Nabi ﷺ telah menghantar Saidina Abu Bakr dan Ali رضي الله عنهما sebagai wakil baginda untuk beritahu kepada golongan musyrikin dalam kalangan Arab yang berada di Mekah, bahawa pada tahun berikutnya tidak boleh lagi mengerjakan Haji dengan cara telanjang atau dengan cara yang salah/syirik.

Abu Bakr رضي الله عنه pergi sebagai ketua wakil kepada Nabi Muhammad ﷺ dan Ali رضي الله عنه datang sebagai orang yang rapat dengan Nabi ﷺ. Ali رضي الله عنه disuruh untuk menyertai Abu Bakr رضي الله عنه kerana dalam cara Arab, maklumat yang penting mestilah disampaikan oleh orang yang rapat dengan seseorang (ahli keluarga), takut kalau diberikan kepada orang lain, mereka boleh dikata menipu.

Oleh kerana kebiasaan Arab itu, baginda menghantar juga sepupu baginda sendiri sebagai penguat kepada mesej yang hendak disampaikan. Ini kerana mereka itu kafir, maka mereka tidak faham bahawa wakil baginda yang sebenarnya adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Namun begitu orang Islam faham, yang layak menggantikan Nabi ﷺ adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Kerana itulah ketua rombongan Haji itu sebagai pengganti Nabi ﷺ adalah Abu Bakr رضي الله عنه. Pada tahun berikutnya, iaitu tahun 10 H, Nabi ﷺ sendiri mengerjakan Haji. Seterusnya dalam tahun 11 H, baginda telah wafat.

Selain itu, diberitahu juga kepada mereka bahawa mana-mana perjanjian damai dengan pihak Islam yang tidak ada tarikh luput, perjanjian itu akan diputuskan dengan mereka. Selepas ini yang akan berlaku adalah perang dengan mereka.

Oleh itu pihak kafir kena membuat keputusan: Jika ingin masuk Islam, masuklah segera; jika hendak lari, silalah lari jauh-jauh. Jika tidak, buatlah persediaan untuk berperang. Waktu yang diberikan kepada mereka untuk membuat keputusan adalah 4 bulan.

Cuma, memang ada golongan orang kafir yang membuat perjanjian dengan pihak Islam dan perjanjian itu ada tarikh pembatalan. Maka mereka boleh menunggu sehingga tempoh perjanjian itu selesai. Ini dibenarkan asalkan mereka jenis tidak belot perjanjian.

Kita kenalah jelaskan kepada manusia yang selepas Kerajaan Islam dibangkitkan di Madinah, tugas penting yang perlu dilakukan adalah membersihkan Mekah dan Kaabah daripada kesyirikan. Umat Islam tidak pernah meninggalkan Mekah begitu sahaja. Hati para sahabat masih lagi pada Mekah; manakan tidak, itulah Kiblat umat Islam. Setiap hari mereka mengadap ke arah Mekah, lalu bagaimana mereka boleh lupa yang Kaabah ketika itu sedang penuh dengan berhala? Maka, Mekah perlu dibersihkan daripada kesyirikan. Oleh itu, ayat-ayat surah ini adalah tentang pembersihan Mekah.

Misi seterusnya adalah meluaskan dakwah ke tempat-tempat lain. Dengan termaktubnya Perjanjian Hudaybiyah, adanya gencatan senjata antara Muslim dan Musyrikin Mekah, memberikan peluang kepada Kerajaan Islam untuk berdakwah ke tempat-tempat lain. Itu juga ada disebut dalam surah ini.

 

Perjanjian Hudaybiah

Bagaimanakah Perjanjian Hudaybiah ini berlaku? Pada tahun 6 H, Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah pergi ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Mereka telah ditahan oleh Musyrikin Mekah. Ringkasnya daripada peristiwa itu, Perjanjian Hudaybiah telah dijalankan antara kedua pihak Muslim dan Musyrikin. Penerangan tentang peristiwa ini banyak disebut di dalam Surah Fath.

Perjanjian itu sepatutnya selama 10 tahun. Di Mekah, bukan hanya ada puak Quraisy sahaja tetapi ada puak-puak lain juga. Mereka telah diberi peluang sama ada untuk bersama dengan Quraisy atau bersama dengan Rasulullah ﷺ. Maka Bani Khuza’ah memilih untuk bersama dengan Rasulullah ﷺ dan Bani Bakar membuat keputusan untuk bersama dengan Quraisy. Oleh itu, Perjanjian Hudaybiah ini melibatkan  mereka juga. Tidak ada peperangan sepanjang tempoh itu. Jikalau mana-mana pihak melancarkan peperangan, maka itu dikira sebagai melanggar perjanjian yang telah dimeterai.

Pada tahun berikutnya (Tahun 7 H), Rasulullah ﷺ dan para sahabat telah menjalankan Umrah menggantikan umrah tahun lepasnya (dinamakan Umrah al-Qada’). Baginda berada di sana selama tiga hari dan tidak ada kejadian tidak diingini yang berlaku.

Lima atau enam bulan selepas itu, Bani Bakar telah menyerang Bani Khuza’ah. Quraisy juga telah membantu mereka memberikan bantuan kepada mereka dalam bentuk senjata dan tentera. Mereka sangka Rasulullah ﷺ duduk jauh di Madinah dan kejadian itu pula pada waktu malam, maka tentu kejadian ini tidak diketahui oleh baginda. Akan tetapi Bani Khuza’ah telah memaklumkan kepada baginda.

Quraisy dan Muslim telah beberapa kali berperang. Telah ada Perang Badr, Uhud dan Ahzab sebelum itu. Maka mereka telah mempunyai pengalaman berperang dengan Muslim dan mereka sedar yang umat Islam bukan boleh dipandang enteng lagi. Mereka sedar ada bantuan yang diberikan kepada umat Islam oleh Allah .

Maka selepas kejadian serangan Bani Bakar itu, mereka perasan yang Rasulullah ﷺ senyap sahaja. Sebenarnya Rasulullah ﷺ sudah membuat rancangan untuk menyerang Mekah. Namun dek kerana baginda senyap, maka pihak Musyrikin Mekah dalam kerisauan kerana takut nanti ada serangan. Maka Abu Sufyan diminta untuk pergi ke Madinah dan bertemu dengan Rasulullah ﷺ. Jikalau Abu Sufyan nampak ada kemungkinan baginda akan menyerang, maka Abu Sufyan hendaklah meminta maaf kepada baginda dan meneruskan perjanjian itu.

Apabila Abu Sufyan sampai ke Madinah, dia memang nampak ada persediaan untuk menyerang Mekah. Dia sampai pergi kepada para sahabat satu persatu untuk memujuk mereka namun tidak dilayan. Akhirnya pada 10 Ramadhan 8 Hijrah, pasukan Muslim telah bergerak ke Mekah dan akhirnya telah menakluk Mekah.

Apabila Rasulullah ﷺ mendapat kuasa, baginda tidaklah membunuh semua musuh baginda. Baginda menunjukkan rahmah yang amat tinggi. Sekiranya dibandingkan dengan manusia lain, entah dibunuh semua mereka yang pernah menentang Islam dahulu. Sebaliknya mereka tidak dihukum dan mereka tidak dipaksa pun untuk masuk Islam. Keselamatan mereka terjamin.

Oleh sebab itu, Perjanjian Hudaybiah itu adalah kemenangan sebenarnya. Memang tidak nampak pada mulanya tetapi ia telah membuka ruang kepada umat Islam untuk mengadakan perjanjian dengan pihak-pihak dan kabilah Arab yang lain. Musyrikin Mekah mahu mengadakan perjanjian dengan umat Islam pun sudah boleh dikira sebagai kemenangan pun kerana mereka telah mengiktiraf Islam sebagai satu entiti yang ada kuasa. Kalau sebelum itu, mereka hanya mahu menghancurkan sahaja umat Islam itu dan langsung tidak diiktiraf pun.

 

Jenis-jenis perjanjian

Untuk memahami latar belakang surah ini, kita kena tahu bahawa dalam kalangan orang Arab di sekitar Mekah pada waktu itu. Terdapat 4 jenis golongan:

1. Kita telah sebut tentang Perjanjian Hudaybiah dengan Musyrikin Mekah. Jangka hayat Perjanjian Hudaybiah itu tidak sampai ke penghujungnya (10 tahun asalnya) kerana ada pihak yang bersekongkol dengan Quraisy telah menyerang pihak yang telah ada perjanjian dengan Muslim seperti yang telah disebut di atas. Ia hanya bertahan selama 2 tahun sahaja. Itu telah memberi ruang kepada pihak Islam untuk membatalkan perjanjian itu.

2. Ada perjanjian damai lain yang dimeterai yang mempunyai tempoh terhad. Mereka tidak melanggarnya. Antaranya adalah perjanjian dengan Bani Damurah dan Bani Mudlaj. Semasa Surah Tawbah diturunkan tentang perjanjian itu, masih berbaki 9 bulan lagi dalam perjanjian damai itu.

3. Ada juga perjanjian yang tidak ada tempoh.

4. Ada juga puak yang tidak ada perjanjian dengan mereka.

Rasulullah ﷺ sudah pernah ada perjanjian dengan orang kafir lain seperti Yahudi di Madinah dan orang kafir telah merosakkan perjanjian itu dengan melanggarnya secara terbuka atau rahsia apabila bersekongkol dengan pihak musuh. Kali ini setelah Mekah dimiliki oleh Muslim, ia telah dijadikan sebagai pusat Islam dan orang kafir tidak boleh lagi berada di Mekah. Tentang perjanjian yang dimeterai dan pemutusannya telah disebut dalam [Anfal: 58]

وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ

Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur.

Akan tetapi langkah ini tidaklah boleh dilakukan secara mengejut. Itu bukanlah keadilan yang dibawa oleh Islam. Kerana itulah permulaan Surah Tawbah ini menyentuh secara khusus tentang bagaimana berurusan dengan 4 golongan di atas.

1. Bagi Musyrikin Mekah, mereka diberi 4 bulan untuk membuat keputusan (lari, perang atau masuk Islam). Ini adalah kerana pada waktu itu adalah Bulan Haram yang mana tidak boleh ada peperangan. Ini disebut dalam ayat 5.

2. Bagi yang masih ada lagi tempoh perjanjian, ia diteruskan hingga tamat tempoh itu. Ini disebut dalam ayat 4.

3. Golongan Musyrik yang ada perjanjian tanpa tarikh tamat juga diberi tempoh 4 bulan untuk membuat keputusan. Ini disebut dalam ayat 1 dan 2.

4. Golongan yang tidak ada perjanjian dengan mereka juga diberi tempoh 4 bulan sama seperti golongan 3.

 

Sikap Islam terhadap peperangan

Seperti yang kita tahu, Allah telah mengutus ramai Rasul untuk setiap zaman. Ada satu perkara yang kerap diulang-ulang dalam Al-Qur’an – Allah memusnahkan umat yang tidak mengikut ajakan tauhid Rasul mereka. Itu adalah sunnatullah. Sekiranya kita belajar sejarah Nabi Muhammad ﷺ berdakwah di Mekah, apa yang baginda dan para sahabat lalui itu sama sahaja dengan apa yang telah dialami oleh para Rasul sebelum itu – dan Allah balas penolakan dan layanan mereka kepada Rasul mereka dengan azab di dunia lagi.

Dan sekiranya kita baca ayat-ayat yang diturunkan di Mekah, Allah banyak menceritakan tentang azab-azab yang dikenakan kepada umat terdahulu kerana menolak Rasul mereka (ayat-ayat jenis Takhwif Duniawi). Ayat-ayat itu sebenarnya adalah ancaman kepada mereka; maknanya, ancaman memang sudah diberikan berkali-kali kepada mereka. Memang banyak pun ayat-ayat ancaman itu. Namun mereka masih juga tidak taat dan ikut Nabi Muhammad ﷺ.

Mengikut sunnatullah, mereka itu memang sudah layak untuk dikenakan dengan azab, tetapi tidak dikenakan seperti yang dikenakan kepada umat terdahulu – umat terdahulu dikenakan dengan azab seksaan yang dahsyat sekali – pekikan kuat, petir, angin sejuk, puting beliung, dilontar dengan batu dari neraka dan sebagainya – kesemuanya adalah azab yang berat.

Namun di manakah azab untuk Kafir Mekah? Allah bukan tidak mengazab mereka, tetapi azab mereka lain daripada yang lain. Mereka tidak dikenakan dengan azab bencana alam tetapi mereka diazab dengan tangan para sahabat sendiri. Allah menjadikan peperangan antara para sahabat dan Musyrikin Mekah itu dan Allah beri tangan para sahabat untuk menghukum mereka.

Cara azab sedemikian adalah lebih memuaskan hati, bukan? Mereka yang tertindas, kemudian mereka sendiri yang balas dengan tangan mereka. Dan Allah tidak mengenakan azab di tempat mereka tinggal, tetapi Allah mengeluarkan mereka dan mengenakan azab di luar dari Kota Mekah (seperti peperangan di Badr). Seperti juga Allah tidak mengenakan azab kepada Firaun di Mesir tetapi membawa mereka keluar kerana Allah hendak berikan Mesir kepada Bani Israel. Ini adalah sebagaimana sampah yang tidak dibakar dalam rumah tetapi dibakar di luar rumah, bukan?

Selain itu, Allah juga hendak berikan Mekah kepada umat Islam. Maka tidak ada peperangan di Mekah pun. Allah tahu yang tidak akan ada pertempuran yang akan berlaku di Mekah, akan tetapi Allah tetap memerintahkan para sahabat untuk bersedia. Ini kita boleh lihat dalam ayat-ayat Al-Qur’an termasuk dalam Surah Baqarah.

Arahan perang yang pertama diberikan dalam sejarah Islam adalah kepada Nabi Musa عليه السلام. Pada waktu itu mereka disuruh untuk masuk ke dalam Kota BaitulMaqdis dan untuk mereka memasukinya, mereka perlu mengalahkan Puak Amaliqah yang sedang tinggal di dalamnya.

Namun begitu, datang persoalan kenapakah Rasul-rasul yang lain tidak disuruh berperang? Untuk menjawabnya, kita kena faham tentang undang-undang dan akhlak. Semua Nabi diberikan dengan ilmu akhlak dan mereka kena sampaikan kepada umat mereka. Ia adalah perkara individu dan semua manusia kenalah mengamalkannya sendiri. Tidak ada kesan hukuman di dunia jika tidak diikuti. Sebagai contoh, kalau ada orang yang berperangai buruk, kerajaan tidak boleh menghukumnya kerana dia tidak melanggar undang-undang;

Akan tetapi Nabi Musa عليه السلام diberikan dengan ilmu undang-undang (syariat) selain daripada ilmu tentang akhlak. Undang-undang yang juga dikenali sebagai syariat tidak dapat tertegak tanpa kuasa. Kena ada kerajaan baru yang boleh menegakkan undang-undang itu dan untuk mendapat kerajaan, hendaklah mendapatkan kuasa. Kemudian untuk mendapatkan kuasa pula, ada kemungkinan perlu untuk berperang. Inilah persamaan antara Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Kedua mereka yang mulia itu mesti menegakkan undang-undang dan hendaklah ada kerajaan.

Kita pun sedar yang peperangan ada keganasan di dalamnya. Secara dasarnya, ada tiga jenis perang:

      1. mempertahankan diri
      2. balas serangan
      3. serangan awal

Di dalam Islam, begitu juga di dalam mana-mana undang-undang dunia pun, mempertahankan diri dibenarkan dan semua ada hak untuk mempertahankan diri. Ia adalah hak sejagat manusia.

Sedangkan serangan balas dan serangan awal adalah hak kerajaan dan Islam tidak membenarkan individu untuk menjalankannya. Sebab itulah tidak ada perang tanpa khalifah dan arahan daripada kerajaan. Kita tidak boleh senang-senang sahaja menyerang orang lain, atau membuat serangan kepada orang lain – walaupun untuk balas perbuatan yang dilakukan terhadap kita. Kita mestilah melaporkan kepada kerajaan dan pihak yang bertanggungjawab.

Walaupun surah ini berkenaan perang, tetapi kita boleh lihat nanti bagaimana ia dilakukan sebagai balasan terhadap penindasan yang telah dilakukan oleh pihak Kafir Mekah terhadap para sahabat. Ia adalah untuk membalas serangan yang telah dikenakan kepada pihak Islam sebelum itu.

Serangan itu pula perlu diarahkan oleh kerajaan. Kerajaan Islam pada waktu itu adalah di Madinah. Oleh itu, kita kena faham apakah yang telah dilakukan. Kalau tidak faham, begitulah ayat-ayat ini telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menghalalkan perbuatan mereka menyerang orang lain, walaupun pihak itu adalah pihak kafir.

Pada zaman sekarang kita boleh lihat bagaimana IS (Islamic State) dan ISIS telah menyalahgunakan ayat-ayat Al-Qur’an untuk menjalankan kerosakan di muka bumi. Mereka telah memburukkan nama Islam di mata manusia. Padahal ini bukanlah apa yang diarahkan oleh Islam. Malangnya, ramai yang jahil dan percaya dengan apa yang mereka sampaikan.

Dalam konteks surah ini, kita pun tahu bagaimana penindasan dan kekejaman telah banyak dilakukan oleh Quraisy Mekah. Merekalah yang mula-mula melakukan serangan dengan menindas umat Islam di Mekah. Walaupun begitu, semasa zaman Nabi Muhammad ﷺ di Mekah, umat Islam tidak dibenarkan untuk menyerang balas. Mereka disuruh untuk menahan tangan mereka daripada menyerang.

Hanya apabila pihak Islam sudah berhijrah ke Madinah, sudah ada kerajaan, barulah Allah berikan arahan untuk menyerang pihak Quraisy. Kita akan belajar tentang perkara ini dengan lebih lanjut lagi nanti.

 

Kesimpulan Surah

Ia terbahagi kepada dua bahagian:

1 – 37 Bahagian Pertama. Ia dipecahkan kepada tiga bahagian pula:

a. iklan pemutusan perjanjian; sekiranya ada mana-mana pihak kafir yang pernah berjanji dengan Nabi Muhammad ﷺ, perjanjian itu akan ditamatkan. Tidak perlu lagi kepada perjanjian damai itu kerana Islam telah kuat dan tidak lagi memerlukan perdamaian dengan pihak luar.

Selepas perjanjian ditamatkan, yang ada adalah peperangan kalau mereka tidak mahu masuk Islam. Sebab itulah surah ini tidak ada basmalah di awalnya kerana Islam akan meneruskan peperangan.

b. disebutkan satu persatu perkara-perkara yang dikatakan sebagai penghalang perang. Semuanya ada 4 perkara. Allah hendak menjelaskan bahawa perkara-perkara itu sebenarnya tidak boleh dijadikan sebagai penghalang kepada perang.

Hanya orang kafir sahaja yang mengiranya sebagai penghalang, tetapi tidak sebenarnya. Secara ringkasnya, ‘penghalang-penghalang’ (hujah orang kafir) itu:

i. Mereka kata perang itu telah melanggar perjanjian yang telah ada. Allah jawab: umat Islam diarahkan untuk memerangi orang kafir kerana orang kafir yang mula melanggari perjanjian.

ii. Mereka berhujah yang orang Arab pun ada juga buat amalan baik seperti menjaga Kaabah, menolong jama’ah Haji dan Umrah dan sebagainya. Mak kenapa hendak perangi mereka?

Allah jawab: kerana orang kafir itu tidak ada iman. Orang yang beramal dengan amalan yang baik namun tanpa iman, maka amal mereka itu tidak sah. Orang sebegitu tidak perlu dihormati. Telah jelas yang golongan Musyrikin telah melakukan syirik kepada Allah , maka umat Islam tidak boleh membiarkan mereka dan kena perangi mereka.

Kita bukan lihat pada amalan sahaja, tetapi kena lihat pada akidah mereka. Oleh itu, amalan Musyrikin yang baik tidak boleh menghalang umat Islam daripada menyerang mereka.

iii. Mereka berhujah yang peperangan itu adalah perlakuan zalim kepada kaum kerabat kerana memang ramai saudara mara para sahabat yang masih syirik lagi dan duduk di Mekah. Zalim kepada kaum kerabat memang salah pun.

Allah jawab: memutuskan hubungan dengan orang kafir itu wajib sekiranya mereka itu kafir harbi. Pertalian kerabat tidak ada lagi apabila terdapat perbezaan akidah di antara kita dan mereka. Mereka telah melawan akidah yang benar, sebab itu mereka menjadi ‘Kafir Harbi’. Maka umat Islam kena berperang dan hancurkan mereka, kerana jika tidak perangi mereka, umat Islam pula yang akan diseksa oleh Allah .

iv. Ada hujah yang mengatakan kalau memutuskan hubungan dengan orang kafir, ekonomi umat Islam akan tergendala kerana umat Islam bergantung kepada mereka sedikit sebanyak.

Allah jawab: Allah akan memberikan bantuan kepada umat Islam, jangan takut rezeki berhenti. Kena ingat yang Allah yang beri rezeki. Allah akan jaga hamba-Nya walaupun telah putus hubungan dengan kafir harbi.

c. Dijelaskan tentang 6 golongan kafir yang umat Islam mesti perangi. Yang disebut adalah jenis-jenis kesalahan mereka. Oleh itu, ada 6 jenis perangai orang kafir yang menyebabkan mereka patut diperangi. Di dalam Surah Anfal hanya disebut cara berperang dan pembahagian harta rampasan, tetapi tidak disebut siapa yang perlu diperangi. 6 jenis sifat mereka itu:

i. mereka yang menolak kerasulan dan menolak akhirat. Mereka itu kafir walau pun mereka berakidah tauhid pada Allah . Masih tetap kena perangi mereka.

ii. mereka yang menghalalkan perkara yang haram; atau mengharamkan yang halal. Mereka itu dikira kafir kerana mereka telah menambil haq Allah , kerana menghalalkan dan mengharamkan adalah haq Allah sahaja. Allah sahaja yang boleh menentukan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Hukum terletak di tangan Allah .

iii. mereka yang mengatakan Nabi Uzair عليه السلام itu ‘Anak Allah’. Begitu juga, mereka yang mengatakan Nabi Isa عليه السلام juga ‘Anak Allah’. Itulah golongan Yahudi dan Nasara.

iv. mana-mana ulama’ dan pendeta Yahudi dan Nasara yang dijadikan tuhan kepada pengikut mereka. Memang ada dalam kalangan pengikut agama itu yang menjadikan ulama’/pendeta/rahib/rabbi mereka sebagai tuhan.

Ini adalah kerana hukum halal dan haram mereka ambil dan taat berasal daripada ulama’ sesat itu, sedangkan halal dan haram sepatutnya datang daripada Allah . Oleh kerana sifat mereka itu, umat Islam kena perangi mereka.

v. ulama’ yang mengambil duit pengikut mereka dengan menghalalkan syirik. Mereka mengajar fahaman yang syirik kepada pengikut mereka dan mereka mengambil duit upah untuk ajar ajaran syirik.

vi. mereka yang mengubah ciptaan Allah . Di dalam surah ini disebut tentang golongan musyrik yang mengubah kedudukan bulan-bulan Haram yang diharamkan berperang di dalamnya. Semasa hendak berperang, puak Musyrikin itu telah mengubah kedudukan bulan-bulan itu untuk menghalalkan peperangan mereka. Mereka telah ubah sampai sudah tidak tahu mana satu bulan yang benar.

2. 38 – 122: Bahagian Kedua – Allah beritahu kelebihan perang. Allah juga sebut tentang 7 golongan dalam bahagian ini; ada 3 golongan Mukmin dan 4 golongan Munafik.

a. Golongan Mukmin:

i. Allah sebut tentang kelebihan Puak Muhajirin dan Ansar. Mereka amat taat setia kepada Allah dan majoriti daripada para sahabat terdiri daripada mereka.

ii. Allah sebutkan 5 sahabat yang tidak pergi Perang Tabuk kerana kesilapan mereka. Akan tetapi oleh kerana hati mereka benar dan mereka jujur, Allah terima taubat mereka.

iii. Ada pula golongan sahabat yang juga tidak berjihad ke Tabuk kerana menangguh-nangguh persediaan untuk peperangan itu, sehingga terlambat dan tidak dapat menyertai mereka yang pergi ke Tabuk. Oleh kerana kelalaian mereka, mereka telah dipulaukan selama 50 hari. Mereka ini juga diterima taubat mereka kerana mereka jujur. Kerana itulah surah ini dinamakan Surah at-Tawbah. Ada disebut kalimah taubah sebanyak 17 kali di dalam surah ini.

b. Golongan munafik: ada 4 pecahan pula: 2 jenis yang pergi juga berjihad dengan golongan mukmin dan ada 2 jenis yang langsung tidak pergi berjihad.

i. ada Munafik yang pergi berjihad tetapi semasa jihad itu mereka mengkucar-kacirkan kesatuan umat Islam dengan berbagai dialog yang menyakiti dan menimbulkan perkara buruk.

ii. ada Munafik yang pergi berjihad, tetapi semasa pulang jihad, mereka telah membuat keputusan untuk bunuh Nabi ﷺ.

iii. ada puak Munafik yang mendengar sahaja Nabi ﷺ pulang dari jihad, mereka pergi jumpa Nabi ﷺ dan memberikan alasan-alasan bohong kenapa mereka tidak pergi jihad.

iv. ada Munafik yang mereka bukan sahaja tidak pergi berjihad, tetapi mereka juga membuat rancangan jahat untuk lawan Islam dari dalam. Mereka telah membuat masjid tetapi dengan tujuan untuk panggil Nasara untuk buat rancangan persediaan untuk menyerang Madinah.

3. Ayat 123 – 127 Bahagian Ketiga: Allah mengulangi semula tentang hukum qital (perang).

4. Ayat 128 – 129 Bahagian Keempat: Allah mengulangi semula tentang kepentingan ikut Rasul dan maksud melakukan jihad adalah untuk menegakkan tauhid. Jika tidak kerana tauhid, tidaklah ada jihad.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 12 Disember 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Tawbah: Pengenalan kepada surah”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s