Anfal Ayat 56: Sekarang masuk kisah mengenai Yahudi pula. Di Mekah, Rasulullah ﷺ berhadapan dengan Musyrikin Mekah sahaja. Namun di Madinah musuh baginda bertambah sebenarnya, iaitu Musyrikin Mekah, Yahudi dan juga golongan munafik. Mungkin ramai sangka apabila baginda sudah menetap di Madinah, hidup baginda semakin senang kerana sudah jauh daripada Musyrikin Mekah, tetapi sebenarnya tidak kerana dugaan baginda semakin bertambah.
Seperti kita telah tahu, golongan Yahudi itu bangsa yang amat teruk. Di sini kita akan belajar satu lagi sifat mereka yang teruk.
الَّذينَ عٰهَدتَ مِنهُم ثُمَّ يَنقُضونَ عَهدَهُم في كُلِّ مَرَّةٍ وَهُم لا يَتَّقونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The ones with whom you made a treaty but then they break their pledge every time, and they do not fear Allāh.
(MALAY)
(Iaitu) orang-orang yang kamu telah mengambil perjanjian dari mereka, sesudah itu mereka mengkhianati janjinya setiap kalinya, dan mereka tidak takut (akibat-akibatnya).
الَّذينَ عٰهَدتَ مِنهُم
(Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengambil perjanjian daripada mereka,
Allah ﷻ menjelaskan siapakah mereka yang hina daripada haiwan itu dan seburuk-buruk makhluk sebagaimana di dalam ayat sebelum ini. Mereka adalah orang yang umat Islam yang telah membuat perjanjian damai dengan mereka. Asbabun Nuzul ayat ini adalah kisah Bani Quraizah, satu puak Yahudi yang tinggal juga di Madinah. Kisah mereka ini ada disebut lagi dalam Surah Ahzab.
Kita tidak tahu apa yang ada dalam hati manusia, sama ada mereka kufur atau tidak, tetapi alamat zahirnya, mereka sudah membuat perjanjian damai dengan umat Islam dan mereka memungkirinya. Yang dimaksudkan adalah Piagam Madinah dengan mereka untuk saling bantu membantu demi mempertahankan Madinah daripada serangan musuh dan jangan sokong kafir lain. Kalau Madinah diserang, puak Yahudi itu juga berjanji untuk bersama-sama mempertahankan Madinah dengan umat Islam. Sebagai balasannya, hak-hak mereka akan dijaga dan sekiranya mereka diserang, umat Islam pun akan bantu melindungi mereka.
Malangnya mereka tidak membantu untuk mempertahankan Madinah dari musuh Islam. Malah, mereka telah bersekongkol pula dengan puak Mekah untuk menjatuhkan Islam. Ini menunjukkan yang mereka telah memungkiri janji mereka.
Mereka telah lama duduk di Madinah (Yathrib namanya sebelum itu) dan mereka nampak kedatangan Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang lain. Mereka pada mulanya kagum dengan Rasulullah ﷺ dan para sahabat dan bersetuju untuk mengadakan perjanjian untuk sama-sama bekerjasama. Inilah langkah politik kedua yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ setelah menjadikan puak Aus dan Khazraj bersaudara (mereka telah bermusuhan berkurun lamanya).
Kandungan perjanjian itu boleh dilihat di dalam Kitab Al-Bidayah wan Nihayah susunan Al-Hafizh Ibnu Katsir (w.774 H). Ia adalah perjanjian yang dimaktubkan di antara penduduk Madinah dan penduduk Yahudi di Madinah dan sekitarnya. Antara kandungan perjanjian itu adalah, jikalau ada ketidaksefahaman, Rasulullah ﷺ adalah hakim yang akan memutuskannya.
Mereka telah berjanji untuk tidak membantu musuh umat Islam. Akan tetapi ketika Perang Badr, mereka telah memberikan bantuan senjata kepada Musyrikin Mekah. Setelah kemenangan berada di pihak Muslim, mereka cepat-cepat datang dan telah tunduk mengadap Rasulullah ﷺ dan meminta maaf dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. Rasulullah ﷺ telah memaafkan mereka kerana sifat baginda yang pemaaf.
Namun kemudian apabila umat Islam mengalami kekalahan di medan Uhud, mereka kembali melihat peluang mereka untuk memusnahkan Islam terus. Ketua mereka Ka’b ibn Ashraf (jika Mekah ada Abu Jahal, Yahudi pula ada dia ini) telah pergi ke Mekah dan mencadangkan mereka untuk kembali menyerang Madinah dan berjanji akan memberikan bantuan.
ثُمَّ يَنقُضونَ عَهدَهُم في كُلِّ مَرَّةٍ
sesudah itu mereka mengkhianati janjinya setiap kalinya,
Ada 3 kabilah Yahudi yang besar di Madinah: Bani Qainuqa, Bani Nadhir, dan Bani Quraidhah atau kerap ditulis Quraizhah. Bani Qainuqa telah bersekongkol dengan musuh dan mereka telah dihalau keluar dari Madinah (dimaafkan tetapi dipaksa keluar setelah Abdullah bin Ubay bapak Munafik meminta pembebasan mereka).
Kisah Bani Nadhir disebut dengan panjang lebar di dalam Surah Hashr. Mereka juga telah dihalau keluar.
Pengusiran Bani Quraizah pula terjadi pada 627 M atau 5-6 H. Bani Quraizah mengalami hukuman paling berat akibat pengkhianatan pada Perang Khandaq (Parit). Pengepungan benteng Quraizah terjadi selama 15-25 hari, hingga kabilah tersebut hidup sengsara dan tanpa daya. Para tentera daripada kabilah tersebut dihukum mati sedangkan sisanya dijadikan tawanan perang. Hukuman ini dijatuhkan oleh Sa’ad bin Mu’adz atas persetujuan Rasulullah ﷺ.
Maka telah terbukti, puak Yahudi itu telah memungkiri janji mereka berkali-kali. Malah Allah ﷻ kata mereka itu sentiasa mencabuli perjanjian. Kerana itulah digunakan kalimah يَنقُضونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang bermaksud berterusan. Kalau dulu mereka begitu, maka sekarang pun begitulah. Maka kita belajar sifat mereka daripada ayat-ayat Al-Qur’an supaya kita berhati-hati dengan puak mereka ini. Janganlah buat perjanjian dengan golongan mereka ini kerana mereka tidak boleh dipercayai.
Bagi kita pula, ia mengajar kita yang kita kena taat kepada perjanjian kita. Kalau sudah ada perjanjian damai dengan mana-mana pihak, kita mesti tepati. Jangan kita berjanji, tandatangan kontrak perjanjian, tetapi di belakang kita mungkiri pula. Tidak kisahlah sama ada dengan umat Islam lain ataupun mereka yang kafir – tetap kita kena jaga perjanjian itu. Nanti akan diajar bagaimana cara untuk memutuskan perjanjian apabila diperlukan.
Oleh itu, jangan kita berjanji untuk taat kepada pemerintah, namun dalam masa yang sama, kita menjalankan usaha untuk memusnahkan pemerintah dari dalam. Jangan ada sifat Yahudi dalam diri kita. Kita belajar sifat-sifat Yahudi yang buruk di dalam Al-Qur’an supaya kita dapat menghindarinya daripada diri kita.
وَهُم لا يَتَّقونَ
dan mereka tidak bertaqwa
Mereka tidak takut apabila mereka mencabuli perjanjian mereka itu kerana mereka tidak mempunyai taqwa. Mereka tidak takut kepada azab Allah ﷻ dan mereka tidak takut kepada kesan-kesannya. Ka’b ibn Ashraf akhirnya telah dibunuh dan kaum Yahudi dihalau dari Madinah.
Kita pun tahu mereka itu tidak beriman, tetapi kenapa Allah ﷻ sebut di sini? Kerana ada kaitan dengan konsep perjanjian. Di sini kita belajar yang orang yang bertaqwa sahaja yang akan benar-benar menjaga perjanjian. Setakat bergelar sebagai orang Islam sahaja namun tiada taqwa, maka beratlah baginya untuk menjaga perjanjian.
Kenapa orang sanggup memungkiri perjanjian? Kerana kadangkala menjaga perjanjian boleh menyebabkan kerugian di pihak kita, bukan? Namun bagi orang mukmin tetap akan menjaga perjanjian kerana mereka lebih takut kepada Allah ﷻ. Biarlah rugi di dunia pun tetapi jangan rugi di akhirat.
Anfal Ayat 57: Ini adalah undang-undang jihad lagi. Umat Islam mestilah sentiasa berusaha supaya orang kafir takut kepada Islam. Kita kena pastikan orang kafir takut untuk lawan Islam. Kita mestilah mewujudkan suasana itu sedaya upaya kita. Ini adalah kerana kalau tidak, mereka tidak takut kepada kita, dan mereka akan mengambil kesempatan di atas kelemahan kita. Susah pula hidup kalau sentiasa kena mempertahankan diri daripada serangan mereka pula.
فَإِمّا تَثقَفَنَّهُم فِي الحَربِ فَشَرِّد بِهِم مَّن خَلفَهُم لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So if you, [O Muḥammad], gain dominance over them in war, disperse by [means of] them those behind them that perhaps they will be reminded.¹
- i.e., kill them and make an example of them to discourage those who follow them.
(MALAY)
Jika kamu mengusai mereka dalam peperangan, maka cerai beraikanlah orang-orang yang di belakang mereka dengan (menumpas) mereka, supaya mereka mengambil pelajaran.
فَإِمّا تَثقَفَنَّهُم فِي الحَربِ
Jika kamu mengusai mereka dalam peperangan,
Maksudnya, jika umat Islam di pihak yang kuat dan dapat mengalahkan dan menangkap mereka yang belot dalam perjanjian dengan umat Islam. Sebagai contoh, mereka telah tolong orang kafir lain untuk menyerang kita, iaitu seperti yang dilakukan oleh Yahudi. Dalam keadaan begitu, apakah tindakan seterusnya yang perlu dilakukan?
فَشَرِّد بِهِم مَّن خَلفَهُم
maka cerai beraikanlah orang-orang yang di belakang mereka dengan (menumpas) mereka,
Selepas menangkap mereka, maka hendaklah seksa mereka, hingga mencerai-beraikan orang-orang kafir lain di belakang mereka. Supaya orang kafir lain, takut untuk melakukan perkara yang sama. Mungkin ada kawan-kawan mereka yang bantu mereka, beri semangat kepada mereka, maka isyarat yang hendak disampaikan kepada mereka: “Ha jaga-jaga kamu, baik kamu lari!”
Inilah cara yang Allah ﷻ ajar kita. Kita mesti lakukannya sungguh-sungguh sampai ngeri orang kafir lain. Berikan hukuman yang akan menyebabkan orang kafir lain takut dengan kita. Supaya mereka tahu yang kita bukanlah puak yang lembut yang boleh diambil peluang. Kalimah شَرِّد itu digunakan apabila kita sembelih unta dan unta-unta lain lari kerana takut.
Asbabun Nuzul ayat ini tentang golongan Yahudi zaman Nabi ﷺ namun tidaklah hanya tentang mereka, kerana mereka itu hanya sebagai contoh sahaja. Ada pengajaran yang harus diambil oleh kita zaman berzaman. Jika ada golongan yang sebegitu, maka kena buat perkara yang sama terhadap mereka. Kena ambil tindakan balas terhadap mereka. Jangan berlembut dengan mereka, jika di medan perang bunuh sahaja, kalau sudah ditangkap mesti diseksa mereka dengan hukuman yang berat.
لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ
supaya mereka mengambil pelajaran.
Dilakukan perkara yang di atas, semoga puak kafir lain beringat-ingat dengan puak Islam. Supaya mereka jangan main-main dengan orang Islam. Supaya mereka jangan bantu lagi musuh Islam.
Ini sebenarnya adalah rahmat bagi mereka kerana mereka sebelum itu mungkin bersekongkol dengan musuh-musuh Islam dan membantu di sebalik tabir. Maka dengan arahan daripada Allah ﷻ ini supaya dihukum para musuh, semoga menjadi peringatan kepada mereka untuk menilai semula perbuatan mereka yang menyokong musuh itu. Supaya mereka berhenti sebelum mereka sendiri diserang atau diperangi.
Namun yang sedihnya, umat Islam sekarang dipermainkan oleh Yahudi dan puak kafir yang lain. Ini adalah kerana Muslim sekarang tidak sama dengan Muslim dahulu. Kita lemah, tidak tawakal kepada Allah ﷻ, tidak taat kepada Allah ﷻ dan tidak takut kepada Allah ﷻ sebaliknya lebih takut kepada orang kafir. Sudahlah kita tidak bersatu. Disebabkan itulah Allah ﷻ tidak bantu kita melawan musuh kita.
Oleh itu, kita sekarang lemah dan tidak dapat mengamalkan ayat ini. Apabila orang kafir hina kita, tindas umat Islam di negara lain, kita tidak boleh berbuat apa-apa pun. Kalau tolong pun, tolong secara senyap-senyap sahaja. Maka ini menjadi pengajaran kepada kita untuk bersatu. Jangan berpecah belah dan bermusuh sesama Muslim. Kalau ada perbezaan pendapat, itu biasa sahaja, jangan sampai bermusuhan, jangan sampai kutuk mengutuk. Hormati pendapat orang lain, yang entah lebih pandai daripada kita.
Oleh itu, jangan berlembut dengan musuh kita dalam kalangan orang kafir. Namun begitu, bukanlah ayat ini bermaksud kita mahu menjadikan manusia takut dengan Islam pula. Jangan mereka takut dan gerun sehingga memandang Islam ini ganas pula. Kita mahu manusia jinak dengan Islam dan supaya mereka masuk Islam. Cuma kita kena kuatkan ummah kita supaya orang tidak mengambil kesempatan dengan agama Islam dan umat Islam.
Beginilah cara Islam mengawal orang-orang yang jahat. Hukuman Islam kadangkala nampak keras, tetapi ia adalah untuk menghalang (deterrent) orang lain daripada melakukannya. Lihatlah contoh hukuman mencuri, berzina dan sebagainya. Ia amat-amat keras kalau kita bandingkan dengan hukuman manusia zaman sekarang. Namun kesannya adalah orang lain yang melihat hukuman itu akan takut untuk melakukannya kerana tahu yang hukumannya amat berat. Pencuri kalau melihat orang lain dipotong tangannya tentu sudah fikir untuk melakukan kerja lain.
Malangnya ramai yang tidak nampak perkara ini. Maka, hukuman untuk mencuri, zina malah membunuh orang pun tidak berat sekarang, dan mengakibatkan manusia tidak takut untuk melakukan kesalahan. Manusia berani juga untuk menjadi zalim, menjadi jahat, serta mengganggu orang lain dan sebagainya. Disebabkan itulah kita boleh lihat jenayah bermaharajalela di mana-mana sekarang ini kerana manusia takut untuk menjatuhkan hukuman berat kepada penjenayah.
Oleh itu kekerasan itu perlu di waktu-waktu tertentu supaya manusia tidak berani mengganggu agama Allah ﷻ dan umat Islam. Ini kerana manusia yang jahat itu selalunya hanya takut dengan ancaman di dunia sahaja. Mereka tidak beriman maka mereka itu tidak hairan jika ditakutkan dengan ancaman di akhirat sahaja. Maka, kena tunjukkan kekerasan itu kerana itu sahaja yang mereka faham.
Anfal Ayat 58:
وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الخائِنينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If you [have reason to] fear from a people betrayal, throw [their treaty] back to them, [putting you] on equal terms.¹ Indeed, Allāh does not like traitors.
- When you see signs of treachery from those with whom you have made a treaty, announce to them its dissolution so they will know exactly where they stand.
(MALAY)
Dan jika kamu khawatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.
وَإِمّا تَخافَنَّ مِن قَومٍ خِيانَةً
Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan daripada suatu golongan,
Dalam ayat sebelum ini, kita diajar untuk memegang perjanjian kita dengan manusia lain, tidak kira sama ada mereka itu Muslim ataupun kufur. Jikalau orang kafir memungkiri perjanjian dan belot kepada kita, maka kita kena seksa mereka dengan seksaan yang keras supaya puak kafir lain takut untuk melakukan perkara yang sama seperti itu.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ ajar lagi tentang perjanjian. Ada kemungkinan, apabila kita sudah mengadakan perjanjian dengan puak kafir, kadang-kadang kita ada sebab untuk syak pengkhianatan daripada mereka. Katakanlah kita memang sudah ada perjanjian dengan satu-satu puak, tetapi kita dapat rasakan yang mereka tidak boleh dipercayai lagi. Mungkin kita juga mendapat maklumat yang mereka belot.
فَانبِذ إِلَيهِم عَلىٰ سَواءٍ
maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur.
Apabila kita sudah tidak percayakan mereka lagi, maka hendaklah kita berlaku jujur dan beritahu terang-terangan yang kita tidak tertakluk dengan perjanjian itu lagi. Jangan berselindung dan khianati perjanjian itu. Pulangkan semula perjanjian itu dan kata yang kita sudah tidak mahu ada perjanjian lagi dengan mereka.
Ayat ini menunjukkan kekuatan umat Islam sehingga boleh memutuskan perjanjian. Tentulah ia susah dilakukan jika umat Islam lemah. Berfikir panjang juga para pemimpin kita kalau terpaksa membatalkan perjanjian dengan kuasa besar, bukan? Namun itulah balasannya kerana kita tidak bersatu kerana umat Islam seluruh dunia tidak bersatu seperti yang sepatutnya, maka kita menjadi lemah dan bercakaran sesama sendiri.
Walau bagaimanapun ini adalah polisi yang diajar oleh Allah ﷻ. Kita kena lakukan perkara ini secara terang-terangan. Kita batalkan perjanjian itu dengan beritahu mereka. Ini dilakukan sekiranya telah sampai maklumat yang mereka itu dalam proses untuk khianat kepada perjanjian dengan kita.
Tapi ini bukanlah bermakna kita menghantar mata-mata (spy) ke negara mereka dan periksa apa yang mereka buat. Kalau kita masih ada perjanjian dengan mereka, kita tidak boleh hantar mata-mata. Jangan buat operasi tersembunyi seperti yang kita selalu lihat dalam filem itu. Itu adalah salah.
Hebat sekali polisi yang diajar oleh Allah ﷻ ini. Ia mengajar kita untuk berlaku jujur dan mengajar cara bagaimana berinteraksi dalam urusan kenegaraan. Memang agama Islam bukan hanya mengajar tentang akidah dan amal ibadat sahaja, tetapi perkara keduniaan pun diajar juga. Bukan hanya interaksi sesama Muslim, tapi dengan non-Muslim pun diajar juga.
Oleh itu, sekiranya kita ada rasa khuatir dengan kejujuran pihak yang kita telah adakan perjanjian itu, maka kembalikanlah perjanjian itu dengan cara jujur, biar dia tahu kita tidak mahu berjanji lagi dengan mereka. Jangan jadi seperti Yahudi di zaman Nabi ﷺ, perjanjian masih ada lagi namun dalam diam mereka telah membuat perjanjian lain dengan orang kafir.
Maka begitu juga bagi umat Islam, sebelum memulangkan semula perjanjian itu kepada mereka, jangan pula membuat persiapan untuk menyerang mereka. Sekiranya mahu berperang sekalipun, persiapan hendaklah dimulakan hanya apabila perjanjian itu telah dibatalkan. Inilah kejujuran yang perlu ada dalam diri umat Islam dan kerajaan Islam. Kena ingat yang mereka mungkin tidak tahu, tapi Allah tahu.
إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الخائِنينَ
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.
Dalam ayat ini Allah ﷻ mengingatkan kita supaya jangan mengkhianati perjanjian. Ini adalah kerana Allah ﷻ tidak suka golongan yang mengkhianati. Jika kita memutuskan perjanjian itu tanpa memberitahu mereka, maka itu adalah khianat. Sekiranya kita membuat persiapan sebelum membatalkan perjanjian itu juga adalah khianat. Jangan ikut sifat khianat orang Yahudi itu.
Yakni sekalipun berkhianat terhadap orang-orang kafir, Allah ﷻ tetapi tidak menyukainya. Lihat bagaimana para sahabat beramal dengan fahaman ini.
قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ أَبِي الْفَيْضِ، عَنْ سُلَيْمِ بْنِ عَامِرٍ، قَالَ: كَانَ مُعَاوِيَةُ يَسِيرُ فِي أَرْضِ الرُّومِ، وَكَانَ بَيْنَهُ وَبَيْنَهُمْ أَمَدٌ، فَأَرَادَ أَنْ يَدْنُوَ مِنْهُمْ، فَإِذَا انْقَضَى الْأَمَدُ غَزَاهُمْ، فَإِذَا شَيْخٌ عَلَى دَابَّةٍ يَقُولُ: اللَّهُ أَكْبَرُ [اللَّهُ أَكْبَرُ] وَفَاءً لَا غَدْرًا، إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “وَمَنْ كَانَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ قَوْمٍ عَهْدٌ فَلَا يحلَّنَّ عُقْدَةً وَلَا يَشُدَّهَا حَتَّى يَنْقَضِيَ أَمَدُهَا، أَوْ يَنْبِذَ إِلَيْهِمْ عَلَى سَوَاءٍ” قَالَ: فَبَلَغَ ذَلِكَ مُعَاوِيَةَ، فَرَجَعَ، وَإِذَا الشَّيْخُ عَمْرُو بْنُ عَبَسَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.
Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Ja’far, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, daripada Abul Faid, daripada Salim ibnu Amir yang mengatakan bahwa Mu’awiyah berjalan (bersama pasukannya) di negeri Romawi, sedangkan saat itu telah ada perjanjian gencatan senjata antara dia dan mereka. Untuk itu Mu’awiyah bertujuan mendekati mereka dengan maksud bila masa gencatan senjata telah habis, dia akan terus menyerang mereka. Tetapi tiba-tiba muncul seorang tua yang berkenderaan seraya berkata, “Allah Mahabesar, Allah Mahabesar. Tepatilah perjanjian itu, jangan dilanggar.” Orang tua itu mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Barangsiapa yang antara dia dan suatu kaum terdapat suatu perjanjian, maka jangan sekali-kali dia membuka ikatan, jangan pula diikat sebelum masa berlakunya selesai, atau (sebelum) perjanjian itu dikembalikan kepada mereka dengan cara yang jujur. Ketika ucapan itu sampai kepada Mu’awiyah, maka Mu’awiyah kembali (ke negeri Syam, pusat pemerintahannya). Dan ternyata orang tua itu adalah Amr ibnu Anbasah رضي الله عنه, salah seorang sahabat Rasul ﷺ (yang saat itu masih hidup).
(Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud At-Tayalisi, daripada Syu’bah. Imam Abu Daud, Imam Turmuzi, Imam Nasa’iy, dan Imam Ibnu Hibban di dalam kitab Sahih-nya telah mengetengahkan hadith ini melalui berbagai jalur daripada Syu’bah. Imam Turmuzi mengatakan bahwa hadith ini hasan sahih)
Habis Ruku’ 7 daripada 10 ruku’ surah ini
Anfal Ayat 59: Ayat Zajrun (Teguran)
وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا سَبَقوا ۚ إِنَّهُم لا يُعجِزونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And let not those who disbelieve think they will escape. Indeed, they will not cause failure [to Allāh].
(MALAY)
Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka, bahawa mereka akan dapat melarikan diri (daripada kekuasaan Allah). Sesungguhnya mereka tidak dapat melemahkan (Allah).
وَلا يَحسَبَنَّ الَّذينَ كَفَروا سَبَقوا
Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka, bahawa mereka akan dapat melarikan diri
Di dalam Perang Badr itu, ada juga orang kafir Musyrikin Mekah yang telah terlepas daripada dibunuh dan ditangkap. Allah ﷻ memberikan ancaman kepada mereka, jangan mereka sangka yang mereka dapat melepaskan lari.
Ada penekanan daripada Allah ﷻ dalam kalimah يَحسَبَنَّ itu kerana kalau biasa sahaja ia berbunyi يَحسَبَ sahaja. Ini kerana Allah ﷻ hendak beritahu, jika Allah ﷻ telah takdirkan kekalahan untuk mereka, mereka tidak dapat untuk melarikan diri ke mana-mana pun. Mereka selamat kali itu pun kerana takdir Allah ﷻ sahaja.
Atau, ayat ini juga mungkin khitab kepada Nabi Muhammad ﷺ. Jangan baginda rasa yang Musyrikin Mekah itu dapat melarikan diri. Allah ﷻ hendak menenangkan hati Nabi ﷺ supaya baginda jangan risau dan takut.
Atau, kalau diteruskan daripada ayat sebelum ini, ia bermaksud janganlah orang kafir yang telah dibatalkan perjanjian dengan mereka itu akan selamat. Apabila perjanjian telah dibatalkan, kedua-dua pihak sama ada yang Muslim dan kafir boleh membuat tindakan masing-masing. Allah ﷻ memberikan ancaman kepada mereka yang sekarang umat Islam tidak ada gencatan senjata lagi dengan mereka, maka mereka kena berhati-hati. Janganlah sangka akan selamat kerana Allah ﷻ akan membantu golongan mukmin.
إِنَّهُم لا يُعجِزونَ
Sesungguhnya mereka tidak dapat melemahkan
Mereka tidak dapat menyelamatkan diri sebab mereka tidak dapat melemahkan Allah ﷻ untuk tangkap mereka. Dalam konteks Perang Badr, ada dalam kalangan tentera kafir yang dapat melarikan diri pulang ke Mekah. Mereka mungkin merasakan yang mereka telah terselamat kali ini dan mula merancang untuk menyerang balas bagi membalas dendam. Maka Allah ﷻ memberikan peringatan kepada mereka di dalam ayat ini: jangan sangka kamu kuat sangat.
Firman Allah ﷻ juga mengatakan:
{لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلادِ مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ}
Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri. Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahannam, dan Jahannam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya. (Ali Imran:196-197)
Dalam konteks yang umum pula, ia sebagai peringatan kepada semua orang kafir, jangan sangka mereka akan selamat. Di dalam [ Ankabut: 4 ] Allah ﷻ berfirman:
أَم حَسِبَ الَّذينَ يَعمَلونَ السَّيِّئَاتِ أَن يَسبِقونا ۚ ساءَ ما يَحكُمونَ
Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahawa mereka akan luput (daripada azab) Kami? Amatlah buruk apa yang mereka sangkakan itu.
Namun begitu, tindakan sebegini memerlukan kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat, maka kita dapat menjalankan keadilan berlandaskan Al-Qur’an. Untuk menjalankan keadilan, kita kena ada kekuatan. Untuk ada kekuatan, kena ada kerjasama di antara negara Islam. Bagi mencapai kesepakatan begitu, kena ada pegangan yang kuat kepada Al-Qur’an.
Maka pembelajaran tafsir dan pemahaman Al-Qur’an amat penting. Begitulah yang telah dicapai oleh umat Islam di zaman Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Sampaikan mereka mampu memberikan ultimatum kepada orang kafir seperti di dalam [ Tawbah: 2 ]
فَسيحوا فِي الأَرضِ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَاعلَموا أَنَّكُم غَيرُ مُعجِزِي اللَّهِ ۙ وَأَنَّ اللَّهَ مُخزِي الكافِرينَ
Maka berjalanlah kamu (kaum musyrikin) di muka bumi selama empat bulan dan ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat melemahkan Allah, dan sesungguhnya Allah menghinakan orang-orang kafir.
Begitu juga kepada umat Islam, ada juga peringatan bagi kita. Sekiranya kita berbuat dosa dan terselamat, jangan sangka kita terus selamat. Memang kadangkala Allah ﷻ terus berikan musibah di dunia lagi (biasa orang kita kata balasan cash) tetapi banyak yang Allah ﷻ tidak beri balasan pun. Jangan rasa Allah ﷻ akan membiarkan sahaja. Nanti di akhirat ia akan dibentangkan kembali dan kita akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan dosa kita, kecil ataupun besar.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 30 Oktober 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan