Anfal Ayat 50: Ayat takhwif ukhrawi (penakutan dengan azab di akhirat).
وَلَو تَرىٰ إِذ يَتَوَفَّى الَّذينَ كَفَرُوا ۙ المَلٰئِكَةُ يَضرِبونَ وُجوهَهُم وَأَدبٰرَهُم وَذوقوا عَذابَ الحَريقِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if you could but see when the angels take the souls of those who disbelieved…¹ They are striking their faces and their backs and [saying], “Taste the punishment of the Burning Fire.
- This sentence is left incomplete for additional effect. Its conclusion is left to the imagination of the reader or listener and estimated as “…you would see a dreadful sight.”
(MALAY)
Kalau kamu melihat ketika para malaikat mencabut jiwa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka (dan berkata): “Rasakanlah olehmu seksa neraka yang membakar”, (tentulah kamu akan merasa ngeri).
وَلَو تَرىٰ إِذ يَتَوَفَّى الَّذينَ كَفَرُوا
Kalaulah kamu melihat ketika para malaikat mencabut jiwa orang-orang yang kafir
Allah ﷻ menakutkan mereka yang tidak beriman dengan ayat ini. Kalaulah mereka dapat lihat semasa orang kafir dimatikan atau dicabut nyawa mereka oleh malaikat, tentulah mereka akan melihat sesuatu yang amat mengerikan.
Dalam konteks ayat ini, ia tentang Musyrikin Mekah yang telah mati di medan Badr. Ada 70 orang daripada Musyrikin Mekah yang maut di medan perang. Sudahlah mereka mati di mata pedang, malah selepas mati pun terus mereka diseksa. Amat seksa sekali apa yang mereka alami.
Dari segi bahasa, kalimah لو di awal ayat ini adalah Law Syarthiyah (لو شرطية) yang sepatutnya ada jawapannya (contohnya: “kalau engkau pergi, mesti engkau akan nampak”). Namun di sini kalimah لو itu tergantung (“kalaulah engkau dapat lihat”). Ini menambahkan rasa takut kepada kita yang membacanya. Ini seperti kita ada buat salah dan emak kita cuma cakap: “Tunggulah nanti ayah kau balik!” dengan tidak diberitahu apa yang akan terjadi bila ayah balik. Kita pula yang bermain perasaan entahlah apalah aku kena nanti….
Oleh itu, jawapan kepada Law Syarthiyah itu dihazafkan (dihilangkan) kerana boleh fikir sendiri. Sekiranya nampak, tentulah amat ngeri sekali.
المَلٰئِكَةُ يَضرِبونَ وُجوهَهُم وَأَدبٰرَهُم
malaikat itu memukul muka dan belakang mereka
Sekarang baru disebut siapa yang mematikan mereka, iaitu para malaikat. Susunan biasanya disebut pelakunya siapa, tetapi di sini Allah ﷻ mendahulukan siapa yang dikenakan dengan tindakan ini. (Allah ﷻ mendahulukan maf’ulun bihi). Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menekankan tentang orang-orang kafir itu, bukannya para malaikat.
Di dalam ayat ini disebut para malaikat yang mencabut nyawa (ramai malaikat). Sedangkan dalam ayat lain disebut Allah ﷻ yang mematikan seperti di dalam [ Zumar: 42 ] ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا (Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya); dan di dalam ayat lain disebut Malaikat Maut (seorang malaikat) yang mencabut nyawa seperti di dalam [ Sajdah: 11 ] قُلْ يَتَوَفّٰىكُمْ مَّلَكُ الْمَوْتِ (Katakanlah, ‘Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu). Kenapakah ada perbezaan begini? Ada percanggahankah?
Sebenarnya tidak. Memang Allah ﷻ yang sebenarnya mencabut nyawa, kerana Dia yang tentukan tetapi diserahkan tugas itu kepada malaikat. Semasa mencabut nyawa, ada ramai malaikat terlibat. Mereka yang menarik roh manusia daripada dalam dirinya. Di penghujung proses terakhir, iaitu apabila nyawa sudah di halqum, maka Malaikat Maut yang mengambil nyawa itu.
Di dalam ayat ini disebut para malaikat yang ditugaskan untuk mengambil nyawa mereka itu mengambil nyawa itu sambil memukul muka mereka dan belakang mereka. Kenapa muka dan belakang? Kerana apabila muka dipukul, orang yang dipukul itu akan menutup muka mereka. Maka belakang mereka yang akan dipukul. Apabila belakang pula dipukul, mereka akan menutup belakang mereka dan menunjukkan muka mereka. Maka bertukar-tukarlah, sekejap pukul muka, sekejap pukul belakang.
Daripada Al-Hasan Al-Basri رحمه الله, disebutkan bahawa ada seorang lelaki bertanya “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku melihat pada bahagian belakang Abu Jahal seperti bekas tusukan duri.” Rasulullah ﷺ menjawab, “Itu adalah bekas pukulan malaikat.“ Demikian menurut riwayat Ibnu Jarir, hadith ini berpredikat mursal.
Konteks hadith ini sekalipun kisahnya berkaitan dengan Perang Badar, akan tetapi maknanya umum mencakup semua orang kafir. Kerana itulah Allah ﷻ tidak menyebutkannya secara khusus hanya menimpa orang-orang kafir dalam Perang Badar saja, melainkan Allah ﷻ berfirman dalam bentuk umum sahaja.
Ini adalah kerana memang roh orang kafir itu tidak mahu keluar dengan rela, maka malaikat akan menggunakan kekerasan untuk mengeluarkannya. Seperti yang disebutkan di dalam hadith perjalanan roh Bara’ bin ‘Azib:
…. قَالَ وَإِنَّ الْعَبْدَ الْكَافِرَ إِذَا كَانَ فِي انْقِطَاعٍ مِنَ الدُّنْيَا وَإِقْبَالٍ مِنَ الْآخِرَةِ نَزَلَ إِلَيْهِ مِنَ السَّمَاءِ مَلَائِكَةٌ سُودُ الْوُجُوهِ مَعَهُمُ الْمُسُوحُ فَيَجْلِسُونَ مِنْهُ مَدَّ الْبَصَرِ ثُمَّ يَجِيءُ مَلَكُ الْمَوْتِ حَتَّى يَجْلِسَ عِنْدَ رَأْسِهِ فَيَقُولُ أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْخَبِيثَةُ اخْرُجِي إِلَى سَخَطٍ مِنَ اللَّهِ وَغَضَبٍ قَالَ فَتُفَرَّقُ فِي جَسَدِهِ فَيَنْتَزِعُهَا كَمَا يُنْتَزَعُ السَّفُّودُ مِنَ الصُّوفِ الْمَبْلُولِ فَيَأْخُذُهَا فَإِذَا أَخَذَهَا لَمْ يَدَعُوهَا فِي يَدِهِ طَرْفَةَ عَيْنٍ حَتَّى يَجْعَلُوهَا فِي تِلْكَ الْمُسُوحِ وَيَخْرُجُ مِنْهَا كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ وُجِدَتْ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ فَيَصْعَدُونَ بِهَا فَلَا يَمُرُّونَ بِهَا عَلَى مَلَإٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ إِلَّا قَالُوا مَا هَذَا الرُّوحُ الْخَبِيثُ فَيَقُولُونَ فُلَانُ بْنُ فُلَانٍ بِأَقْبَحِ أَسْمَائِهِ الَّتِي كَانَ يُسَمَّى بِهَا فِي الدُّنْيَا حَتَّى يُنْتَهَى بِهِ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيُسْتَفْتَحُ لَهُ فَلَا يُفْتَحُ لَهُ…
…Baginda bersabda: “Sedangkan hamba yang kafir, jika meninggalkan dunia dan menghadap akhirat, datanglah kepadanya para malaikat dengan wajah yang hitam dengan membawa kain kasar. Mereka duduk sepanjang pandangan daripadanya. Kemudian datanglah Malaikat Maut dan duduk berdekatan kepalanya seraya berkata:
“Wahai jiwa yang buruk, keluarlah menuju kemurkaan dan kemarahan Allah.” Baginda bersabda: “Kemudian jiwa itu berpecah belah di dalam tubuhnya. Lalu Malaikat Maut mencabutnya bagaikan tongkat (dengan cabang yang banyak) dicabut daripada kapas yang basah. Ketika mengambilnya, Malaikat Maut tidak meletakkannya di tangan sekelip mata pun akan tetapi dia meletakkannya di atas kain kasar. Roh tersebut keluar dengan bau bangkai yang paling busuk di muka bumi. Mereka membawa roh itu naik ke atas. Tidaklah melewati sekelompok malaikat pun, kecuali ditanyakan : “Roh siapakah yang busuk ini?”
Mereka menjawab: “Fulan bin Fulan” –dengan menyebutkan namanya yang paling buruk di dunia– sehingga mereka membawanya sampai ke langit dunia. Mereka meminta agar pintu dibukakan, akan tetapi tidak dibukakan untuknya…
(Hadith Riwayat Ahmad 4/287, 288, 295, 296, Abu Daud No. 3212, 4753, dll, disahihkan Syeikh Al-Albani dalam Sahih Abu Daud dan Ahkamul Jana`’iz)
Begitulah teruknya cara nyawa orang kafir diambil oleh para malaikat. Ini sepatutnya menakutkan kita. Cara pengambilan nyawa mereka juga disebut di dalam [ An’am: 93 ]
وَلَو تَرىٰ إِذِ الظّٰلِمونَ في غَمَرٰتِ المَوتِ وَالمَلٰئِكَةُ باسِطو أَيديهِم أَخرِجوا أَنفُسَكُمُ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (daripada tubuh kamu sendiri);
وَذوقوا عَذابَ الحَريقِ
“Rasakanlah olehmu seksa api yang membakar”,
Sambil tubuh badan mereka dipukul, para malaikat itu berkata pula kepada mereka: rasailah azab yang membakar. Ada yang mengatakan عَذابَ الحَريقِ itu adalah cemeti daripada api yang dipukul di tubuh mereka. Itulah adalah kata-kata menghina dan menakutkan mereka. Sudahlah fizikal mereka diseksa, jiwa mereka pun diseksa juga.
Dan api itu disebut الحَريقِ kerana ia bukan bakar sekejap sahaja, tapi terus membakar. Macam kita bakar sampah, apabila sampah sudah habis, api pun padam, bukan? Tapi api الحَريقِ tidak akan padam-padam. Ia akan terus membakar mereka.
Cuma kita sahaja tidak nampak apa yang berlaku kerana ini sudah termasuk kejadian di Alam Barzakh yang ghaib. Ini mengajar kita yang seksaan sudah dikenakan sebaik sahaja kematian mereka. Tidak perlu tunggu masuk kubur, mereka sudah dikenakan dengan azab.
Anfal Ayat 51:
ذٰلِكَ بِما قَدَّمَت أَيديكُم وَأَنَّ اللَّهَ لَيسَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is for what your hands have put forth [of evil] and because Allāh is not ever unjust to His servants.”
(MALAY)
Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-Nya,
ذٰلِكَ بِما قَدَّمَت أَيديكُم
Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.
Ini sambungan kata-kata para malaikat itu kepada mereka yang diazab itu. Mereka diberitahu yang azab yang dikenakan kepada mereka itu kerana amalan yang mereka sendiri lakukan sendiri. Disebut tangan kerana perbuatan selalunya dilakukan dengan tangan. Ia boleh jadi dengan kaki, mulut atau lain-lain lagi. Mereka memang layak dikenakan dengan azab itu dan azab yang akan menanti mereka di akhirat.
وَأَنَّ اللَّهَ لَيسَ بِظَلّٰمٍ لِّلعَبيدِ
Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-Nya,
Oleh kerana apa yang dikenakan kepada mereka itu memang patut dikenakan kepada mereka, maka tidaklah Allah ﷻ zalim dengan mengenakannya. Allah ﷻ menekankan yang Dia tidak zalim. Allah ﷻ tidak pernah zalim dalam tindakan-Nya kepada hamba. Apa yang dikenakan itu adalah sesuatu yang patut.
Anfal Ayat 52: Azab yang dikenakan itu bukan pertama kali, kerana pernah dikenakan kepada umat terdahulu pun.
كَدَأبِ ءآلِ فِرعَونَ ۙ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَفَروا بِئايٰتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ شَديدُ العِقابِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and of those before them. They disbelieved in the signs of Allāh, so Allāh seized them for their sins. Indeed, Allāh is Powerful and severe in penalty.
(MALAY)
(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi amat keras seksaan-Nya.
كَدَأبِ ءآلِ فِرعَونَ ۙ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم
(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya.
Allah ﷻ beritahu yang keadaan orang kafir Mekah itu sama sahaja seperti keadaan Firaun dan orang kafir sebelum mereka seperti kaum Nabi Nuh عليه السلام, Aad dan Tsamud. Kalimah كَدَأبِ bermaksud adat kebiasaan yang telah dilakukan. Maksudnya perbuatan Musyrikin Mekah itu sama sahaja iaitu meneruskan apa yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu yang kufur kepada Allah ﷻ.
Firaun kenal Nabi Musa عليه السلام dan tahu yang mukjizat yang baginda bawa itu adalah benar. Namun tetap juga Firaun menolak Nabi Musa عليه السلام. Begitu juga dengan Musyrikin Mekah yang kenal Rasulullah ﷺ sebagai al-Amin dan sedar dengan kehebatan Al-Qur’an. Namun mereka tetap menolak baginda. Maka, sama sahaja mereka dengan Firaun.
كَفَروا بِئآيٰتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم
Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosanya.
Mereka itu semuanya telah kufur kepada ayat-ayat Allah ﷻ. Apabila disampaikan ayat-ayat Allah ﷻ kepada mereka, mereka tidak mahu beriman. Lalu Allah ﷻ turunkan azab kepada mereka kerana dosa mereka. Inilah sunnatullah, iaitu perkara berulang yang akan berlaku. Kalau mereka menentang dan kufur terhadap ayat-ayat Allah ﷻ, maka mereka akan dikenakan dengan azab.
إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ شَديدُ العِقابِ
Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi amat keras seksaan-Nya.
Allah ﷻ mengingatkan kita yang Dia amat berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang dan menahan azab yang Allah ﷻ kenakan. Mereka di zaman dahulu sangka mereka sudah kuat dan hebat, namun akhirnya semua hancur belaka.
Allah ﷻ mengingatkan di sini yang azab yang akan dikenakan oleh-Nya itu akan keras sekali. Azab itu bukan daripada makhluk lain, tetapi daripada Allah ﷻ yang maha berkuasa. Maka, beringat-ingatlah. Jangan kufur dengan ayat-ayat daripada Allah ﷻ itu.
Anfal Ayat 53:
ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِّعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is because Allāh would not change a favor which He had bestowed upon a people until they change what is within themselves. And indeed, Allāh is Hearing and Knowing.
(MALAY)
(Seksaan) yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum, hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri, dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
ذٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَم يَكُ مُغَيِّرًا نِّعمَةً أَنعَمَها عَلىٰ قَومٍ
yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya Allah sekali-kali tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepada suatu kaum,
Lafaz ذٰلِكَ itu bermaksud: demikian sunnatullah yang telah disebut sebelum ini. Terdapat jumlah muqaddar (tambahan maklumat) di sini: Demikianlah Allah ﷻ mengazab orang yang kufur dan yang derhaka supaya kamu semua menyakini.
Allah ﷻ tidak akan mengubah apa-apa nikmat yang diberikan kepada manusia, sehingga mereka mengubah pendirian mereka. Selagi mereka melakukan taat kepada Allah ﷻ, Allah ﷻ akan berlaku baik kepada mereka dan terus memberi nikmat kepada mereka.
Telah terlalu banyak nikmat yang Allah ﷻ berikan. Nikmat yang Allah ﷻ berikan itu bukannya atas hasil usaha manusia, kerana sebelum manusia ada lagi, nikmat itu sudah disediakan untuk mereka. Kalau mereka belum ada, apalah usaha mereka, bukan? Namun begitu nikmat sudah menunggu mereka. Sekiranya nikmat itu diberi kerana hasil amal kebaikan manusia, maka tentulah tidak ada nikmat yang mereka akan dapat.
حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم
hinggalah kaum itu mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri,
Maksudnya, nikmat yang Allah ﷻ berikan sebelum itu, Dia tidak tarik sehinggalah manusia mengubah sifat daripada beriman kepada kufur. Apabila sudah jadi begitu baru Allah ﷻ menarik nikmat. Sebagaimana Firaun yang telah diberikan kekuasaan di Mesir dan ia menjadi kerajaan yang hebat sehingga dia dihormati oleh kerajaan lainnya. Namun mereka telah menjadikan Bani Israel sebagai hamba. Kemudian apabila Nabi Musa عليه السلام datang, mereka telah mendustakan baginda.
Lafaz ‘ubah’ yang dimaksudkan itu bukanlah ubah atau ikhtiar dalam bentuk dunia tetapi dalam bentuk agama. Memang ramai yang salah sangka ubah keadaan dunia mereka. Maka mereka berusaha untuk mengubah rancangan mereka, cara hidup mereka, fikiran mereka dan sebagainya untuk mengubah keadaan mereka. Bukan itu yang Allah ﷻ maksudkan. Yang Allah ﷻ maksudkan adalah perubahan dari segi iman dan amal ibadah.
Nikmat yang dimaksudkan dalam konteks surah ini adalah: Musyrikin Mekah itu telah diberikan dengan segala kemudahan, mereka dihormati kerana menjadi penjaga Masjidilharam. Kalau mereka pergi ke mana-mana tempat dalam tanah Arab, orang tempat itu akan hormat dan tidak mengganggu mereka kerana penduduk hormat sungguh dengan Kaabah.
Inilah nikmat besar yang telah diberikan kepada Musyrikin Mekah. Mereka waktu itu tidaklah baik sangat kerana melakukan syirik. Namun mereka ada sedikit sebanyak kebaikan: mereka menghormati jiran, mereka menjaga Ka’bah, mereka melayan orang yang datang ke Ka’bah dan sebagainya.
Kemudian mereka diberikan dengan nikmat yang paling besar iaitu Rasul Akhir Zaman, wahyu terakhir dalam bentuk kitab diturunkan kepada mereka. Akan tetapi mereka menentang dan melawan. Mereka mula tidak menghormati jiran dan keluarga mereka sendiri yang hendak masuk Islam; mereka menahan para sahabat untuk salat di Ka’bah.
Mereka tidak mengubah akidah mereka yang salah, amal mereka menjadi semakin buruk, mereka tidak taat kepada Allah ﷻ dan Rasul-Nya, maka walaupun mereka penjaga Kaabah, mereka tetap dikalahkan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ menarik segala nikmat keamanan dan kesenangan yang mereka ada sebelum ini.
Seperti juga Allah ﷻ telah berikan kekayaan dan kuasa kepada Firaun, kaum Aad dan sebagainya, dan Allah ﷻ menariknya semula apabila mereka ingkar. Kesenangan yang mereka ada itu tidak menjadikan mereka beriman, malah mereka menjadi ingkar. Segala nikmat yang mereka dapat itu adalah istidraj.
Istidraj secara bahasa adalah diambil daripada perkataan da-ra-ja (درج) yang ertinya adalah naik daripada satu tingkatan ke tingkatan selanjutnya. Manakala istidraj daripada Allah ﷻ terhadap hamba adalah berupa nikmat-nikmat yang diberikan kepada mereka yang akan menyebabkan mereka lupa bersyukur. Allah ﷻ membiarkan seseorang dan tidak disegerakan azabnya. Firman-Nya:
سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ
“Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”
Dengan nikmat yang banyak itu dan menjadikan mereka hidup dengan selesa, tidaklah menjadikan mereka bersyukur dan taat, tetapi menjadikan mereka sombong untuk menerima kebenaran. Begitu jugalah dengan keadaan kita sekarang. Sekiranya kita sedang menikmati segala nikmat kesenangan yang Allah ﷻ berikan, Allah ﷻ juga tidak menariknya sehinggalah kita sudah meninggalkan agama kita. Berapa banyak kerajaan Islam telah dikalahkan kerana mereka telah meninggalkan amalan agama yang benar?
Bagaimana kita hendak bezakan nikmat yang kita ada ini adalah kurniaan daripada Allah ﷻ ataupun istidraj? Rasulullah ﷺ pernah menerangkannya di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin ‘Amir رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنَّمَا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
“Apabila kamu melihat Allah ﷻ memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj daripada Allah ﷻ.”
(Riwayat Ahmad (17311), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4220)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (8/110))
Allah ﷻ menyebutkan tentang keadilan dan kebijaksanaan-Nya dalam hukum yang telah ditetapkan-Nya, bahawa Dia tidak akan mengubah suatu nikmat yang telah Dia berikan kepada seorang hamba kecuali disebabkan dosa yang dikerjakan hamba yang bersangkutan, seperti yang disebutkan oleh ayat lain melalui firman-Nya:
{إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ وَمَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْوَالٍ}
Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.
Ayat daripada Surah Ra’d itu juga ramai yang salah faham. Ramai yang tafsir ayat ini hanya berkenaan keduniaan sahaja, sedangkan yang dimaksudkan adalah perkara dalam hal agama.
وَأَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ tahu apa yang dilakukan oleh manusia. Maka tidaklah salah kalau Allah ﷻ buat tindakan yang menyebabkan kesusahan kepada mereka. Ini adalah kerana ia berpunca daripada kesalahan mereka sendiri juga. Allah ﷻ juga tahu dengan tepat apa yang manusia telah lakukan. Oleh itu, apa sahaja hukuman yang dikenakan kepada manusia itu adalah tepat dan tidak salah. Tidaklah Allah ﷻ tersalah hukum (menghukumi orang yang tidak membuat salah).
Anfal Ayat 54: Allah ﷻ memberikan contoh perubahan nikmat yang telah diberikan kepada manusia ingkar sebelum puak Musyrikin Mekah. Dalam ayat ini juga ada takhwif ukhrawi.
كَدَأبِ ءآلِ فِرعَونَ ۙ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِئآيٰتِ رَبِّهِم فَأَهلَكنٰهُم بِذُنوبِهِم وَأَغرَقنا ءآلَ فِرعَونَ ۚ وَكُلٌّ كانوا ظٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and of those before them. They denied the signs of their Lord, so We destroyed them for their sins, and We drowned the people of Pharaoh. And all [of them] were wrongdoers.
(MALAY)
(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya maka Kami membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya dan Kami tenggelamkan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya; dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.
كَدَأبِ ءآلِ فِرعَونَ
(keadaan mereka) serupa dengan keadaan golongan Fir’aun
Azab yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah itu sama seperti yang dikenakan kepada ahli-ahli Firaun juga. Mereka telah mendapat segala nikmat keduniaan tetapi kerana mereka menolak ayat-ayat Allah ﷻ, maka mereka juga dikenakan dengan azab.
وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم
serta orang-orang yang sebelumnya.
Perkara yang sama juga dikenakan kepada orang lain sebelum zaman Firaun itu lagi. Zaman berzaman dikenakan azab kepada mereka yang ingkar. Ini adalah sunnatullah.
كَذَّبوا بِئآيٰتِ رَبِّهِم
Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhannya
Ini adalah kerana mereka telah mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ apabila sampai wahyu itu kepada mereka. Apabila mereka tolak sahaja wahyu daripada Allah ﷻ, maka mereka ditarik dari nikmat yang ada pada mereka.
Dalam ayat 52 sebelum ini, Allah ﷻ menggunakan kalimah كَفَروا dan di sini Allah ﷻ menggunakan kalimah كَذَّبوا pula. Sebenarnya ia sama sahaja kerana yang mendustakan bermaksud dia kufur kepadanya. Ulama’ mengatakan yang Allah ﷻ gunakan kalimah berlainan untuk mempelbagaikan dan hendak memberitahu yang dua-duanya adalah salah.
Lihatlah bagaimana Firaun sudah tidak lagi memerintah sedangkan mereka dulu amat kuat sekali. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah menarik semula nikmat yang diberikan kepadanya dan mana-mana kaum pun. Kita kena ambil pengajaran daripada ayat ini.
Di dalam ayat 52, Allah ﷻ menggunakan kalimat كَفَروا بِئآيٰتِ اللَّهِ dan di sini digunakan kalimah رَبِّهِم pula. Ini menambahkan beratnya kesalahan yang mereka lakukan. Ini kerana maksud Rabb adalah yang menjadikan dan mendidik kita. Allah ﷻ telah memberikan segala nikmat kepada mereka sebagai Rabb yang telah menjadikan kita dan mentadbir alam. Akan tetapi kalau kita derhaka kepada Rabb, maka ini menunjukkan betapa kita tidak mengenang budi langsung. Ini contohnya kita derhaka kepada guru yang mendidik kita. Antara melawan guru dengan melawan bos tempat kerja, manakah lebih buruk? Tentulah melawan guru, bukan?
فَأَهلَكنٰهُم بِذُنوبِهِم
maka Kami membinasakan mereka disebabkan dosa-dosanya
Allah ﷻ telah membinasakan mereka disebabkan oleh dosa-dosa mereka. Bukan kerana Allah ﷻ sengaja hendak mengazab mereka. Memang mereka itu layak dikenakan dengan azab.
وَأَغرَقنا ءآلَ فِرعَونَ
dan Kami tenggelamkan Fir’aun
Khusus kepada ahli-ahli Firaun, Allah ﷻ telah menenggelamkan Firaun dan pengikutnya. Azab yang dikenakan kepada kaum-kaum dan umat-umat lain disebut di tempat yang lain.
وَكُلٌّ كانوا ظٰلِمينَ
dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.
Mereka semua dikenakan dengan azab yang teruk kerana mereka telah menzalimi diri mereka sendiri. Maka mereka layak dikenakan dengan hukuman azab daripada Allah ﷻ. Kepada Musyrikin Mekah, azab kehancuran yang mereka terima adalah kekalahan di tangan umat Islam di Perang Badr. Ketua-ketua mereka telah dibunuh dan kedudukan mereka di mata masyarakat Arab waktu itu telah semakin lemah. Akhirnya mereka dikalahkan semasa Pembukaan Mekah.
Zalim ada tiga jenis:
1. Zalim yang Allah ﷻ tidak akan ampunkan iaitu syirik.
2. Zalim yang Allah ﷻ tidak peduli. Iaitu kalau berbuat dosa kepada-Nya. Allah ﷻ boleh ampunkan.
3. Zalim yang Allah ﷻ tidak akan biarkan. Iaitu kalau melakukan kezaliman kepada orang lain. Allah ﷻ tidak akan maafkan selagi tidak mendapat kemaafan daripada orang yang dizalimi.
Anfal Ayat 55: Ayat zajrun (teguran) lagi. Sekarang kita masuk ke perenggan Makro yang seterusnya dalam surah ini. Allah ﷻ mengajar kita bagaimana kita patut bersikap terhadap peperangan dan perdamaian.
إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الَّذينَ كَفَروا فَهُم لا يُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, the worst of living creatures in the sight of Allāh are those who have disbelieved, and they will not [ever] believe –
(MALAY)
Sesungguhnya binatang (makhluk) yang paling buruk di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir, kerana mereka itu tidak beriman.
Allah ﷻ beritahu kita, seburuk-buruk makhluk di atas muka bumi ini adalah makhluk yang kufur kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ menggunakan lafaz الدَّوابِّ yang bermaksud makhluk hidup yang berjalan di muka bumi termasuk binatang yang melata. Allah ﷻ tidak kata pun mereka ‘manusia’ sebagai penghinaan kepada mereka.
Ini kerana manusia adalah makhluk yang mulia selagi mereka beriman. Betapa mulianya manusia, Allah ﷻ telah memerintahkan para malaikat untuk sujud hormat kepada Nabi Adam عليه السلام. Ini adalah adalah kerana dalam diri manusia itu ada roh, makhluk yang mulia yang Allah ﷻ jadikan. Orang yang kafir tidak menjaga rohnya yang memerlukan makanan keimanan. Maka rohnya tidak bernilai.
Apabila dia tidak ada roh, apakah dia masih mulia melebihi binatang? Tidak lagi. Kerana binatang tidak ada roh dan kalau manusia pun tidak menjaga rohnya, maknanya, dia pun seperti binatang sahaja. Mereka lebih teruk daripada binatang, kerana binatang memang tidak ada roh semenjak asalnya, berbanding manusia yang mempunyai roh tetapi dia tidak menjaganya.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 25 Oktober 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan