An’am Ayat 93: Ayat Zajrun (Ayat Teguran). Ada tiga jenis kezaliman yang disebut dalam ayat ini.
وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَو قالَ أوحِيَ إِلَيَّ وَلَم يوحَ إِلَيهِ شَيءٌ وَمَن قالَ سَأُنزِلُ مِثلَ ما أَنزَلَ اللَّهُ ۗ وَلَو تَرىٰ إِذِ الظّٰلِمونَ في غَمَرٰتِ المَوتِ وَالمَلٰئِكَةُ باسِطو أَيديهِم أَخرِجوا أَنفُسَكُمُ ۖ اليَومَ تُجزَونَ عَذابَ الهونِ بِما كُنتُم تَقولونَ عَلَى اللَّهِ غَيرَ الحَقِّ وَكُنتُم عَن ءآيٰتِهِ تَستَكبِرونَ
And who is more unjust than one who invents a lie about Allah or says, “It has been inspired to me,” while nothing has been inspired to him, and one who says, “I will reveal [something] like what Allah revealed.” And if you could but see when the wrongdoers are in the overwhelming pangs of death while the angels extend their hands, [saying], “Discharge your souls! Today you will be awarded the punishment of [extreme] humiliation for what you used to say against Allah other than the truth and [that] you were, toward His verses, being arrogant.”
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya”.
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat kedustaan terhadap Allah
Maksud ayat ‘siapakah yang lebih zalim’ adalah: tidak ada orang lain lagi yang lebih zalim daripada mereka yang mencipta dusta terhadap Allah ﷻ. Merekalah yang paling zalim.
Ada tiga jenis kezaliman yang disebut dalam ayat ini. Yang pertama adalah: membuat kedustaan terhadap Allah ﷻ. Kalau kita berdusta tentang seseorang, itu adalah tohmah. Kalau tohmah dengan manusia pun sudah dosa yang besar, apatah lagi kalau kita tohmah tentang Allah ﷻ? Itulah sebab dikatakan mereka yang berdusta terhadap Allah ﷻ adalah yang paling zalim.
Apakah dimaksudkan dengan pendustaan itu? Pendustaan terhadap Allah ﷻ yang paling besar adalah mengatakan yang ada ilah lain selain Allah ﷻ. Ataupun dengan mengatakan bahawa Allah ﷻ ada anak. Itu adalah suatu pernyataan yang syirik. Ini banyak dilakukan oleh agama-agama yang lain.
Ataupun ia bermaksud, mencipta sesuatu hal baru dalam hal agama, kemudian mengatakan yang ia daripada Allah ﷻ. Atau mengatakan yang Allah ﷻ suka kalau dilakukan perbuatan itu. Padahal Allah ﷻ sendiri tidak pernah berkata begitu. Oleh itu, mereka berdusta atas nama Allah ﷻ.
Ini adalah termasuk juga amalan-amalan bid’ah yang direka oleh manusia; iaitu amalan yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ, tidak pernah diamalkan oleh sahabat, tetapi mereka kata ia adalah baik dan molek. Amat banyak sekarang dalam masyarakat kita yang mengamalkan amalan bid’ah yang tidak ada daripada nas yang sahih. Antaranya, amalan talqin, Majlis Tahlil, Salat Hajat berjama’ah dan macam-macam lagi.
Itu semua adalah rekaan daripada manusia tetapi mereka yang mengamalkannya mengatakan ia adalah baik. Bagaimana mereka boleh kata ia adalah baik, sedangkan Allah ﷻ dan Nabi ﷺ tidak pernah ajar untuk melakukannya? Sepatutnya yang tahu ia adalah baik ataupun tidak hanyalah Nabi Muhammad ﷺ.
Kita mestilah melihat dan merujuk amalan para sahabat sebab mereka dididik sendiri secara langsung oleh Nabi Muhammad ﷺ. Adakah mereka membuat amalan yang seperti masyarakat kita sedang amalkan? Para sahabat itu tentu lebih tahu tentang apakah amalan yang baik kerana mereka belajar sendiri dengan Rasulullah ﷺ. Sebagai contoh, adakah amalan Majlis Tahlil itu pernah dibuat oleh Nabi ﷺ dan para sahabat? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana kalau ada, tentu ada hadith yang menyebut tentangnya.
Termasuk juga dalam berdusta ini adalah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Sebagai contoh, kalau ada yang kata, jika minum arak tetapi tidak memabukkan, maka tidak berdosa. Mereka kata itu tidak salah sebab yang Allah ﷻ larang adalah kalau kita jadi mabuk. Itu adalah pemusingan hukum Allah ﷻ. Allah ﷻ kata A, mereka pula kata B.
Sekarang masih tidak terjadi lagi di negara ini, tetapi hendaklah kita mengambil pengajaran bagaimana ia telah terjadi di negara Islam yang lain. Ada di sesetengah negara Islam, kita dapat tahu bagaimana imam salat jama’ah pun boleh meminum arak sebab mereka kata selagi tidak mabuk, tidak mengapa.
Atau, mengharamkan manusia makan makanan yang halal dalam keadaan ‘tertentu’. Sebagai contoh, apabila bidan-bidan kita mengajar ibu-ibu yang baru bersalin untuk ‘pantang’ daripada memakan sesuatu. Makanan itu boleh dimakan, tetapi apabila bidan kampung sudah suruh mereka pantang, maka mereka telah ‘mengharamkan’ makanan itu kepada diri mereka.
Yang kata tak boleh makan itu adalah bidan sahaja, bukan ulama’ pun, tetapi orang kita sudah beriya-iya pegang. Ingatlah bahawa sesuatu makanan itu halal dimakan kecuali kalau ada dalil yang mengatakan ia haram dimakan. Atau, kalau doktor mengatakan seseorang itu tidak boleh makan sesuatu makanan kerana ia akan memudaratkan kesihatan ibu yang baru bersalin itu. Atau, kalau memang sudah terbukti sesuatu jenis makanan itu tidak sesuai bagi ibu mengandung dan selepas bersalin, maka bolehlah dipegang.
Ada juga pengharaman makanan bagi golongan tertentu yang nanti akan disebut dalam ayat-ayat selepas ini nanti. Ia dilakukan oleh Arab Jahiliyah dan Allah ﷻ tegur perbuatan mereka itu. Maka, janganlah kita ikut perbuatan salah mereka itu.
Oleh itu, kalau tiada dalil dan tiada sebab yang kukuh untuk menidakkan sesuatu makanan kepada manusia, maka kita tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada memakan makanan itu. Maka, amalan berpantang dalam pemakanan adalah syirik.
أَوْ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَيْءٌ
atau yang berkata: “Telah diwahyukan kepada saya”, padahal tidak ada diwahyukan sesuatu pun kepadanya,
Ini adalah sifat kedua mereka yang paling zalim. Bila mengaku terima wahyu, maka orang itu sebenarnya mengaku sebagai Nabi.
Satu pendustaan yang besar adalah apabila seseorang mengaku sebagai Nabi. Itulah yang dimaksudkan dengan mereka ‘mendapat wahyu’. Dari zaman Nabi sampai zaman sekarang, masih ada lagi manusia sesat yang mengaku mereka itu Nabi yang dilantik oleh Allah ﷻ. Pada zaman Nabi, ada seorang yang bernama Musailamah al Kazzab yang mengaku Nabi dan menerima wahyu juga.
Pada zaman sekarang, sudah tidak ramai yang mengaku menjadi Nabi walaupun masih ada lagi. Tetapi yang ramai adalah mereka yang ‘bersifat’ seperti Nabi, iaitu mereka yang mereka-reka perkara baru dalam agama. Padahal hal agama sepatutnya hanya disampaikan oleh Nabi ﷺ.
Tetapi ramai ustaz-ustaz dan guru agama di Malaysia ini yang mengatakan sesuatu perkara itu baik dalam agama padahal Allah ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah mengatakan sedemikian. Maka, mereka telah ‘mengambil’ tugas Nabi walaupun mereka tidak mengaku jadi Nabi.
Maka kalau kata amalan bid’ah boleh mendapat pahala, itu adalah satu kezaliman kerana mendakwa pahala pada benda yang tidak ada pahala.
وَمَن قَالَ سَأُنزِلُ مِثْلَ مَا أَنزَلَ اللَّهُ
dan orang yang berkata: “Saya akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”.
Ini pula adalah sifat ketiga mereka yang paling zalim.
Ini adalah mereka yang berkata sebagaimana Allah ﷻ menurunkan ayat Al-Qur’an itu, mereka juga boleh membuat ayat-ayat seperti itu juga. Mereka ini menghina ayat-ayat Allah ﷻ! Dengan mengatakan yang mereka boleh membuat ayat Al-Qur’an juga, mereka sebenarnya hendak mengatakan bahawa tidak ada apa apa kelebihan dengan Al-Qur’an itu, sampai mereka sendiri pun boleh buat.
Sifat mereka ini ada juga disebut dalam Anfal:31
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا قَالُوا قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَاءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَٰذَا إِنْ هَٰذَا إِلَّا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengar (ayat-ayat yang seperti ini), kalau kami menghendaki nescaya kami dapat membacakan yang seperti ini, (Al Quran) ini tidak lain hanyalah dongeng-dongengan orang-orang purbakala”.
Beginilah yang terjadi kepada Musailamah Kazzab. Kerana hendakkan pengaruh, dia sanggup mengaku jadi Nabi dan berangan-angan buat ayat seperti Al-Qur’an. Dia sangka Nabi Muhammad ﷺ menjadi Nabi sebab berkeinginan meluaskan pengaruhnya sahaja. Maka dia pun buat begitu juga.
Musailamah cuba membuat ayat yang menandingi ayat Al-Qur’an. Salah satu ayat yang digubah oleh Musailamah adalah kalimat yang menceritakan tentang haiwan katak. Katanya: “Allah menjadikan katak itu ayat bagi kalian. Tuhan berfirman katanya, (Musailamah), Hai katak betina anak dari dua katak. Bersihkanlah air seberapa banyak kamu membersihkannya, bahagian atas mu ada di air bahagian bawah mu ada di tanah. Bukan orang minum yang kau larang dan bukan air yang kau kotori”.
Musailamah reka cipta ayat seperti aroma Al-Quran. Tetapi semuanya adalah palsu dan tidak benar. Karut marut semuanya. Tidak setanding ayat-ayatnya dengan “KALAAMULLAH” yang sangat agung dan luarbiasa.
Ayat Al-Qur’an bukanlah ayat-ayat yang biasa kerana ia adalah kalam daripada Allah ﷻ, bukan daripda manusia. Bahasa yang digunakan adalah amat hebat sekali. Tidak mungkin manusia boleh melakukan sedemikian. Ini diakui oleh penentang-penentang Islam pun.
Pada zaman Nabi ﷺ, walaupun mereka tidak suka Islam, tetapi mereka tidak dapat mengutuk ayat Al-Qur’an kerana mereka sendiri sedar tentang kehebatan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Walaupun mereka tidak suka, tetapi mereka suka mendengar Al-Qur’an dibacakan. Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnaz yang kuat menentang Islam selalu mendengar Al-Qur’an dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ secara rahsia pada malam hari.
Sebab itulah Allah ﷻ telah mencabar sesiapa sahaja yang rasa boleh membawakan surah atau ayat lain yang seperti Al-Qur’an itu. Cabaran itu Allah ﷻ telah berikan semenjak zaman Nabi ﷺ lagi.
Memang ada manusia yang telah cuba menghasilkan ayat seperti ayat Al-Qur’an itu, tetapi tidak sama langsung ayat-ayat itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah ﷻ. Manusia boleh cuba buat seperti ayat Al-Qur’an, tetapi tidak akan mencapai tahap kehebatan Al-Qur’an.
وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الظّٰلِمُونَ فِي غَمَرٰتِ الْمَوْتِ
Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakratul maut,
Takhwif Ukhrawi: Saat-saat kematian mereka itu amat-amat menakutkan. Perkataan غَمَرَاتِ itu berasal daripada perkataan غمر yang bermaksud ‘banjir’. Ia merujuk kepada kesakitan yang amat sangat kerana mereka pada waktu itu seperti dalam kelemasan di dalam banjir.
Ia juga merujuk kepada maksud ditutupi oleh sesuatu – seperti air banjir yang banyak sehingga menutupi segalanya; iaitu apabila kita berada di dalam air yang amat dalam yang kita tidak tahu betapa dalamnya air itu. Seperti mana yang terjadi ketika banjir kerana waktu itu kita tidak tahu berapa besar banjir itu.
Maka, kalimat غَمَرَاتِ الْمَوْتِ merujuk kepada kesakitan yang amat sangat yang dialami oleh mereka yang hampir mati ketika roh mula dicabut daripada badan. Ia amat menyakitkan sebagaimana yang dialami oleh Nabi Muhammad ﷺ ketika baginda hampir wafat. Kesakitan itu dirasai oleh seluruh badan seperti mana juga banjir itu menyelimuti seluruh badan kita.
وَالْمَلٰئِكَةُ بَاسِطُو أَيْدِيهِمْ
sedang para malaikat memanjangkan tangannya,
‘Panjangkan tangan’ bermaksud para malaikat itu memanjangkan tangan mereka untuk mencapai orang-orang zalim itu untuk mencabut roh mereka.
Dalam ayat Muhammad:27 pula ada menceritakan bagaimana-malaikat waktu itu memukul-mukul roh orang-orang zalim itu. Sedangkan kepada orang-orang yang soleh akan dikatakan kepada mereka perkataan yang baik-baik.
أَخْرِجُوا أَنفُسَكُمُ
(sambil berkata): “Keluarkanlah nyawamu”
Ini bermakna malaikat yang mencabut nyawa orang-orang zalim itu, dalam mencabut nyawa mereka, tidaklah mencabut dengan lembut tetapi dengan amat kasar sekali. Sebab itulah orang-orang yang zalim itu amat merasa kesakitan maut itu. Inilah gambaran yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Tidak tercapai oleh akal kita untuk membayangkannya.
الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ
Di hari ini kamu dibalas dengan seksa yang sangat menghinakan,
Semasa mereka hidup, mereka sombong untuk menerima ayat-ayat Allah ﷻ, maka sebagai balasannya mereka akan dihina di akhirat kelak. Ketika nyawa mereka dicabut, mereka diberitahu apakah nasib mereka. Ini bermakna, kepada orang-orang zalim itu telah diberitahu kepada mereka tentang azab yang mereka akan dapat.
Kalimah الْيَوْمَ selalunya bermaksud ‘Hari Kiamat’. Bila mati sahaja seorang manusia, maka hari kiamat mereka telah bermula dan mereka akan dikenakan dengan azab-azab yang mereka akan dapat. Maknanya, bukan di neraka sahaja dikenakan azab. Semasa nyawa mereka dicabut pun, sudah dikenakan dengan azab kepada mereka.
Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa apabila kita hampir mati, kita akan diberitahu dengan apa yang kita akan dibalas. Apabila mati sahaja, sudah tahu ke mana kita akan pergi. Kalau kita orang soleh, kita akan diberitahu dengan kebaikan-kebaikan yang kita akan dapat. Dan kalau kita orang zalim, kita juga akan diberitahu dengan apa yang kita akan dapat.
Waktu itu sudah terlambat untuk memperbaiki diri. Maka hendaklah kita memperbaiki diri kita semasa hayat kita masih ada lagi.
بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ
kerana kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar
Mereka semua akan dikenakan dengan azab yang menghinakan itu kerana mereka selalu memperkatakan tentang Allah ﷻ dengan perkara yang tidak benar. Begitulah juga mereka yang memperkatakan tentang Allah ﷻ tanpa ada dalil.
Ingatlah bahawa agama ini kena ada dalil. Kalau tidak ada dalil, maka sesiapa pun boleh kata apa-apa sahaja dan akan rosaklah agama. Begitulah yang banyak terjadi dalam negara kita ini. Ada sahaja guru agama yang memperkatakan tentang agama tanpa membawakan dalil yang sahih. Mereka tidak menggunakan Al-Qur’an dan hadith yang sahih sebagai dalil.
وَكُنتُمْ عَنْ ءآيٰتِهِ تَسْتَكْبِرُونَ
dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.
Mereka sombong kerana mereka kata bahawa mereka juga boleh membawa ayat-ayat seperti itu. Mereka sombong untuk menerima kebenaran.
‘Sombong’ juga bermaksud tidak menghiraukan ayat-ayat Allah ﷻ. Ini banyak berlaku dalam masyarakat Islam kita. Mereka tidak baca ayat Allah ﷻ untuk mendapatkan pedoman dan pengajaran. Dan bagaimana mereka boleh mendapat pengajaran kalau mereka tidak faham dengan apa yang mereka baca?
Kalau setakat baca sahaja tetapi tidak faham, maka kita tidak mendapat manfaat yang sepatutnya. Lihatlah bagaimana masyarakat kita hanya tahu membaca Al-Qur’an tetapi tidak faham apa yang mereka baca. Mereka ajar anak mereka membaca Al-Qur’an, tetapi setakat itu sahaja. Mereka tidak belajar apa makna ayat-ayat yang mereka baca itu.
Orang Islam kita memang sayang dan hormat kepada Al-Qur’an. Mereka memang sekali sekala baca Al-Qur’an. Mungkin ada yang hari-hari akan baca Al-Qur’an. Sekurang-kurangnya, dalam salat mereka. Tetapi mereka sombong dengan Al-Qur’an, kerana apabila kita ajak mereka belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu.
Mereka sombong kerana mereka sangka mereka telah selamat. Padahal apa yang mereka buat banyak yang salah. Mereka buat banyak yang salah kerana apa yang diajar dalam Al-Qur’an itu mereka tidak tahu.
An’am Ayat 94: Sekarang disebut keadaan di akhirat.
وَلَقَد جِئتُمونا فُرٰدىٰ كَما خَلَقنٰكُم أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكتُم مّا خَوَّلنٰكُم وَراءَ ظُهورِكُم ۖ وَما نَرىٰ مَعَكُم شُفَعاءَكُمُ الَّذينَ زَعَمتُم أَنَّهُم فيكُم شُرَكٰؤا ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَينَكُم وَضَلَّ عَنكُم مّا كُنتُم تَزعُمونَ
[It will be said to them], “And you have certainly come to Us alone as We created you the first time, and you have left whatever We bestowed upon you behind you. And We do not see with you your ‘intercessors’ which you claimed that they were among you associates [of Allah ]. It has [all] been severed between you, and lost from you is what you used to claim.”
Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).
وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرٰدَىٰ
Dan sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri
Ini adalah sesuatu yang menakutkan di mana kita akan datang mengadap Tuhan bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa pun lagi. Bayangkan kalau kita kena jumpa orang besar berseorangan pun sudah naik risau dan takut, ini apatah lagi kalau mengadap Tuhan kita.
Perkataan فُرَادَىٰ bermaksud ‘datang berseorangan tanpa membawa apa-apa pun’. Kalau kita bayangkan seorang budak yang menaiki kapal terbang berseorangan diri juga, memang menakutkan. Akan tetapi dalam masa yang sama, dia ada pasport, dia ada barang-barang lain-lain. Dia juga mungkin ada duit ataupun ada kredit kad bersamanya. Tetapi فُرَادَىٰ bermaksud langsung tidak ada apa-apa bersamanya.
Maka, tidak ada harta lagi pada masa itu, kecualilah apa yang kita telah sedekahkan. Apa sahaja yang kita ada di dunia dulu sudah ditinggalkan. Yang ada hanyalah harta kita yang kita sedekahkan kerana ia akan menjadi pahala kepada kita. Itulah sebabnya harta yang sebenar adalah harta yang kita telah sedekahkan.
Ayat ini sepatutnya mengingatkan kita: kalau kita tidak bawa harta kita, kenapa kita meluangkan masa sangat dengan segala harta itu? Sepatutnya tidak perlulah kita berhempas pulas menghabiskan masa dan tenaga untuk fokus mengumpul serta bermewahan dengan hartabenda secara berlebihan kerana di penghujung hidup kita akan sedar bahawa perbuatan tersebut bukanlah penting untuk bekalan akhirat kita. Maka, janganlah kita berlebih-lebihan sangat dengan cinta dan sayang kepada harta itu.
Kalau dalam dunia ini walaupun kita berseorangan, tetapi sekurang-kurangnya mungkin ada orang yang boleh membantu dan menyokong kita apabila kita memerlukan. Mungkin ayah kita, keluarga kita atau kawan-kawan kita. Tetapi apabila di akhirat nanti tidak ada sesiapa yang boleh tolong dan sokong kita.
Tidak ada pertalian lagi pada hari itu. Seperti yang disebut dalam Mukminoon:101.
فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلَا أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَاءَلُونَ
Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.
Ingatlah bahawa jikalau hubungan kita dengan Allah ﷻ tidak baik, maka tidak ada sesiapa pun lagi yang boleh membantu kita pada waktu kita bertemu dengan Allah ﷻ. Oleh sebab itu, tidaklah berguna kepada kita jikalau kita bersungguh-sungguh menggembirakan hati orang lain jikalau di dalam masa yang sama kita menentang arahan Allah ﷻ.
Oleh hal yang demikian, untuk mendapatkan hubungan yang baik dengan Allah ﷻ, kenalah kita ikut segala arahan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Hendaklah mulakan dengan belajar tafsir Qur’an. Ini supaya kita dapat memahami kehendak Allah ﷻ terhadap kita.
كَمَا خَلَقْنٰكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ
sebagaimana kamu Kami ciptakan pada mulanya,
Semasa kita lahir ke dunia ini kita dilahirkan seorang diri tanpa ada apa-apa pada diri kita, iaitu, tidak ada harta pada kita dan tidak ada nilai langsung diri kita ini.
Sepertimana kita dilahirkan ke dunia ini tidak berkasut dan tidak berbaju, begitulah juga bila kita bertemu dengan Tuhan nanti. Semuanya akan berbogel nanti, duduk dalam saf-saf, bercampur lelaki dan perempuan.
Apabila mengetahui perkara ini, maka Sayyidatina Aisyah رضي الله عنها kerisauan dan bertanya Nabi ﷺ: Tidakkah lelaki dan perempuan akan melihat sesama sendiri? Nabi Muhammad ﷺ menjawab bahawa keadaan pada waktu itu terlalu berat sampaikan mereka tidak akan melihat sesama sendiri. Semuanya nanti dalam keadaan risau. Ini berdasarkan hadith berikut:
عن عائشةَ، رضي اللَّه عنها، قَالَتْ: سمعتُ رَسُول اللَّه ﷺ، يقول: يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُراةً غُرْلًا قُلْتُ: يَا رَسُول اللَّه الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ جَمِيعًا يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلى بَعْضٍ،؟ قَالَ: يَا عَائِشَةُ الأَمرُ أَشَدُّ مِنْ أَنْ يُهِمَّهُم ذلكَ.
Aisyah berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah SAWﷺ bersabda, ‘Manusia akan dikumpulkan pada Hari Kiamat dalam keadaan tanpa alas kaki, telanjang tanpa pakaian, dan tanpa disunat.’
Lantas, aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah laki-laki dan perempuan memandang satu sama lain?’ Rasulullah ﷺ menjawab, ‘Wahai Aisyah, masalah yang akan dihadapi lebih penting daripada sekadar melihat satu dengan yang lain’
(Muttafaq ‘alaih).
وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنٰكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ
dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu;
Perkataan خَوَّلْنَاكُمْ berasal daripada perkataan خول yang bermaksud ‘menjaga sesuatu.’ Maka, perkataan ini bermaksud kita telah diberikan dengan sesuatu untuk kita menjaganya. Ini bermakna apa-apa sahaja yang Allah ﷻ berikan kepada kita semasa kita di dunia ini hendaklah kita menjaganya. Setakat jaga sahaja.
Apabila kita ada harta, maka kita akan menjaganya dengan dengan baik dan kita berbangga dengan harta yang banyak dan segala pemberian-pemberian kita ada itu. Tetapi apabila kita mati nanti, semuanya kita kena tinggalkan kerana harta tersebut bukanlah hak kita pun, kita setakat menjaganya sahaja.
Kalau kita ada harta yang banyak, sebenarnya kita lah yang kena jaga harta itu. Ia akan menyusahkan kita sebenarnya. Tetapi kalau kita ada ilmu, ilmu itulah nanti yang akan menjaga kita. Itulah bezanya harta dan ilmu. Selain daripada itu, harta yang ada lama-kelamaan akan berkurangan dan mereput dan berkurang nilainya akan tetapi ilmu tidak akan hilang, malahan akan bertambah dari masa ke semasa. Maka carilah ilmu sebanyak mungkin. Juga lebih untung mengumpul ilmu daripada mengumpul harta.
Maka janganlah hati kita tertarik sangat dengan dunia. Jangan pautkan sangat hati kita ini dengan harta. Semuanya tidak ada makna nanti. Malangnya, kalau kita hilang harta kita, sangatlah kita terasa sangat sampaikan hilang semangat. Ingatlah bahawa harta itu pun pemberian daripada Allah ﷻ, dan apa yang Allah ﷻ beri, dengan sekelip mata sahaja Allah ﷻ boleh menariknya semula.
Perkataan خول juga bermaksud ‘selimut’, iaitu segala kenikmatan yang kita ada di dunia ini adalah seperti selimut yang menyeliputi kita. Kita pun tidak perasan nikmat itu sebagaimana kita tidak perasan sangat selimut yang menyeliputi kita.
‘Selimut’ itu juga boleh merujuk kepada lapisan-lapisan yang menyeliputi roh kita. Pertamanya, roh kita diselimuti oleh tubuh badan kita, badan kita diselimuti oleh rumah kita, rumah kita diselimuti dengan dunia ini dan seterusnya. Apabila kita bertemu dengan Allah ﷻ, segala selimut itu akan ditanggalkan dan ditinggalkan, dan roh kita yang akan bertemu dengan Allah ﷻ.
وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ
dan Kami tiada melihat bersertamu pemberi syafa’at
Ini adalah ejekan dan perli Allah ﷻ kepada manusia yang menyembah sembahan-sembahan mereka yang mereka sangka boleh memberi pertolongan kepada mereka. Tetapi pada hari itu tidak ada langsung yang disembah itu yang datang untuk menolong mereka.
Ada juga ulama’ tafsir yang mengatakan bahawa kata ini disebut oleh malaikat-malaikat penjaga langit, iaitu ketika orang-orang zalim itu melalui langit-langit, para malaikat itu kata mereka tidak nampak pun pemberi-pemberi syafaat mereka itu.
الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ
yang kamu anggap bahwa mereka itu sekutu-sekutu Tuhan di antara kamu.
Kalimah فِيكُمْ bermaksud, dulu semasa di dunia mereka kata sembahan itu layak disembah bersama dengan Allah ﷻ.
Keduanya, dulu semasa mereka di dunia, mereka katakan sembahan itu juga mengurus hidup mereka sebagaimana Allah ﷻ juga. Sebagai contoh, ada yang kata wali-wali tarekat mereka ada yang menurunkan hujan, menjaga masa dan sebagainya. Itulah kebodohan yang mereka tunjukkan. Semua itu tidak ada dalil melainkan khayalan mereka sahaja.
لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ
Sungguh telah terputuslah (pertalian) antara kamu
Apa-apa sahaja hubungan antara mereka dan sembahan-sembahan syirik mereka itu akan terputus pada hari kiamat nanti. Tidak ada yang akan datang menolong mereka. Kalau dulu beriya-iya mereka jaga hubungan, namun ia tidak akan ada di akhirat kelak.
وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ
dan telah lenyap daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah).
Apa-apa sahaja fahaman mereka tentang hari kiamat dan tentang pemberian syafa’at pada hari itu akan hilang belaka. Dulu semasa di dunia, mereka yakin sangat yang mereka akan ditolong oleh wali-wali mereka, tetapi apabila di akhirat kelak, barulah mereka nampak dan tahu yang itu semua tidak akan berlaku.
Habis Ruku’ 11 daripada 20 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 Januari 2022
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Maariful Qur’an