Tafsir Surah al An’am Ayat 91 – 92 (Kitab wahyu yang dicerai-cerai)

An’am Ayat 91: Ini adalah jenis Ayat Syikayah (rungutan daripada Allah ‎ﷻ) menceritakan betapa degilnya orang yang tidak beriman. Mereka tidak beriman kerana mereka tidak kenal Allah ‎ﷻ.

وَما قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدرِهِ إِذ قالوا ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ بَشَرٍ مِّن شَيءٍ ۗ قُل مَن أَنزَلَ الكِتٰبَ الَّذي جاءَ بِهِ موسىٰ نورًا وَهُدًى لِّلنّاسِ ۖ تَجعَلونَهُ قَراطيسَ تُبدونَها وَتُخفونَ كَثيرًا ۖ وَعُلِّمتُم مّا لَم تَعلَموا أَنتُم وَلا ءآباؤُكُم ۖ قُلِ اللَّهُ ۖ ثُمَّ ذَرهُم في خَوضِهِم يَلعَبونَ

Sahih International

And they did not appraise Allah with true appraisal when they said, ” Allah did not reveal to a human being anything.” Say, “Who revealed the Scripture that Moses brought as light and guidance to the people? You [Jews] make it into pages, disclosing [some of] it and concealing much. And you were taught that which you knew not – neither you nor your fathers.” Say, ” Allah [revealed it].” Then leave them in their [empty] discourse, amusing themselves.

Malay

Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya ketika mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”. Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): “Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas, sambil kamu perlihatkan (kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya) dan kamu sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu pula diajarkan (dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang tidak diketahui oleh kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?” Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ

Dan mereka tidak menghargai Allah dengan penghargaan yang sepatutnya,

Perkataan قَدَرُوا berasal daripada katadasar ق د ر yang bermaksud ‘menilai sesuatu benda’. Dalam bahasa kita pun kita guna perkataan ‘kadar’ kan? Jadi kita boleh agak-agak maknanya.

Iaitu kita mencari kadar nilai sesuatu perkara. Dan kita hanya boleh menilai sesuatu perkara itu selepas kita mengkaji tentangnya. Selepas kita buat kajian dan kita telah mengenali sesuatu perkara itu barulah kita boleh menilai dan meletakkan kadarnya.

Dan kita kena nilai sesuatu perkara itu dari berbagai-bagai sudut. Seperti tukang emas yang melihat kepada emas, dia akan melihat pada sudut kualiti emas itu. Dia akan menilai berapa berat emas itu, ukiran pada emas itu, kualiti warna emas itu dan sebagainya. Tetapi kita orang biasa ini mungkin tidak tahu menilai. Kita hanya sekali pandang sahaja dan kita lihat cantik atau tidak sahaja pada mata kita yang tidak tahu emas ini.

Maka, mereka yang mengetahui sesuatu perkara itu akan tahu kadar nilainya. Seperti pepatah Melayu yang mengatakan: “Hanya Jauhari yang mengenal Maknikam”. Begitu juga lagi satu pepatah: “Tak kenal, maka tak cinta”.

Siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ada yang kata ia merujuk kepada puak Musyrikin dan ada juga yang kata ia merujuk kepada golongan Yahudi. Tetapi maksud ayat ini dalam bentuk umum, jadi ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kebanyakan manusia’ dan boleh jadi sesiapa sahaja, termasuklah kita juga, bukan?

Oleh itu ia merangkumi puak musyrikin dan juga puak Yahudi dan keseluruhan manusia. Jangan kita hadkan maksudnya kepada manusia pada zaman itu sahaja, tetapi kita luaskan maknanya kepada setiap zaman. Memang semasa ia diturunkan, ia adalah mengenai puak Musyrikin Mekah dan Yahudi, tetapi mereka itu sebagai contoh sahaja. Kita kena bandingkan kepada diri kita, adakah kita pun sama seperti mereka juga?

Ayat ini memberitahu kita bahawa manusia tidak mengenal Allah ‎ﷻ seperti mana yang sepatutnya Dia dikenali. Oleh kerana tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka kita tidak menghargai-Nya. Oleh itu juga, Allah ‎ﷻ tidak dihormati sebagaimana Dia patut dihormati. Manusia kebanyakannya tidak mengenali kehebatan dan kemuliaan Allah ‎ﷻ dan dengan sebab ituah, mereka tidak menghargai Allah ‎ﷻ.

Apabila tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka, tentulah tidak mentauhidkan-Nya. Disebabkan itulah ada dalam kalangan manusia termasuk yang mengaku Muslim pun yang menyeru selain Allah ‎ﷻ. Itu kerana kes tidak kenal Allah ‎ﷻ melalui wahyu (kerana tidak belajar tafsir). Mereka tidak kenal dan sedar yang Allah ‎ﷻ sahaja yang berhak diseru dan dipuja.

Seperti yang telah disebut, ada yang mengatakan bahawa ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Orang Yahudi memang tidak menghargai Allah ‎ﷻ, iaitu apabila Al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mereka tidak mahu menerimanya. Ini kerana mereka sombong tidak dapat terima yang wahyu diturunkan kepada bangsa lain selain bangsa mereka.

Ini sama juga dengan orang kita yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an kerana yang mengajar tafsir itu bukan daripada ‘puak’ mereka. Mereka buat tidak kisah saja kepada pengajian tafsir Al-Qur’an ini. Mereka bangga dengan apa yang mereka sudah ada, seperti juga bangsa Yahudi yang bangga dengan apa yang mereka ada dari ilmu agama.

Ayat ini mengajar kita bahawa kita perlu mengenali, kita kena belajar tentang Allah ‎ﷻ dan kena kenal Allah ‎ﷻ. Dan untuk mengenal Allah‎ ﷻ ini kenalah kita belajar tafsir Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻlah yang boleh menceritakan tentang Diri-Nya sendiri.

Ini penting kerana ramai yang tahu Allah‎ ﷻ itu Tuhan dan Allah ‎ﷻ telah menjadikan kita semua. Tetapi setakat itu sahaja. Untuk tahu dengan lebih mendalam, kena dipelajari tafsir Al-Qur’an ini.

Namun begitu, kita bukan hanya setakat kena tahu dan kenal Allah ‎ﷻ sahaja, tetapi hendaklah kita juga beramal di mana kita mestilah mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Setelah kita mengetahui kebesaran-Nya dan kemuliaan-Nya, kemudian, kita hendaklah mengambil berat segala perintah dan larangan-Nya. Itulah maksudnya menghargai Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benar penghargaan. Dengan itu tidaklah kita ambil ringan dengan perintah dan larangan-Nya. Jangan kata kita kenal Allah ‎ﷻ, tetapi suruhanya kita buat tidak tahu sahaja.

Dan apabila kita tahu sifat-Nya, maka kita tidak memberikan sifat yang sama kepada makhluk mana pun. Kerana memberikan sifat Allah ‎ﷻ kepada makhluk juga adalah syirik. Ini ramai yang tidak tahu. Mereka hanya sangka syirik itu kalau ‘menyembah’ selain dari Allah ‎ﷻ sahaja. Itulah kekeliruan masyarakat kita yang jahil dengan wahyu.

Syirik ini adalah satu kesalahan yang teramat-amat besar, maka oleh itu kita janganlah melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, apabila kita kata Allah ‎ﷻ Maha Mendengar, kita tidak boleh kata yang ada makhluk yang boleh mendengar isi hati kita kalau kita tidak cakap. Ini kerana sifat mendengar yang sebegitu hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja.

Namun malangnya, ada orang yang takut bercakap dan bersalam dengan ‘orang-orang alim’, kerana takut ‘orang-orang alim’ itu boleh baca isi hati mereka. Itu adalah fahaman yang syirik kerana hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh tahu apa yang dalam hati kita. Orang jahil sahaja yang lakukan perkara ini dan ada fahaman syirik ini.

Dengan mengenal Allah ‎ﷻlah baru akan mencapai ma’rifah (kenal) Allah ‎ﷻ. Inilah ma’rifah yang sebenarnya, bukanlah seperti yang disebut-sebut oleh kumpulan tarekat sufi itu. Mereka kononnya hendak mencapai tahap ma’rifat dengan hanya berzikir siang dan malam tetapi tidak pula belajar wahyu Allah ‎ﷻ. Amalan-amalan mereka memang pelik dan tidak ada dalam agama Islam sebenarnya. Ini kerana ia diajar oleh syaitan (kerana kalau selain ajaran daripada Allah ‎ﷻ dan Rasulullah, tentunya ajaran itu berasal daripada syaitan).

إِذْ قَالُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ عَلَىٰ بَشَرٍ مِّن شَيْءٍ

di kala mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”.

Mereka sanggup kata bahawa Allah ‎ﷻ tidak menurunkan apa-apa wahyu kepada manusia. Daripada bahasa yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan bahawa mereka menolak terus bahawa Allah ‎ﷻ ada menurunkan wahyu dan pedoman kepada manusia.

Mereka hendak berkata begini: “Kalau Allah tidak turunkan apa-apa wahyu, maka kita bebaslah nak buat apa sahaja”. Maka, jika mereka memegang fahaman ini, bermakna mereka berkata bahawa tidak perlulah mengikut syariat yang direka-reka oleh manusia ini. Inilah yang dikatakan mereka tidak menghargai Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benarnya.  Ini kerana kalau mereka tahu dan kenal Allah ‎ﷻ dengan cara yang sepatutnya, tentulah mereka tahu bahawa Allah ‎ﷻlah yang memberi hidayah yang mendidik manusia. Kalau mereka kenal Allah ‎ﷻ, maka tentu mereka akan pegang kemas syariat daripada Allah ‎ﷻ.

Mesti kenal dan faham syariat kerana Allah ‎ﷻ yang menurunkan kebaikan kepada kita juga kerana tidak mungkin Allah ‎ﷻ membiarkan manusia begitu sahaja selepas Dia menciptakan mereka. Allah ‎ﷻ bersifat ar-Rahman yang bermaksud Allah ‎ﷻ sangat sayang kepada hamba-Nya. Apabila Allah ‎ﷻ sayangkan makhluk-Nya, Allah‎ ﷻ memberikan pedoman bagaimana menjalani hidup yang boleh membawa ke syurga.

Sebenarnya, mereka tidak mahu terima yang Allah ‎ﷻ telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh kerana mereka ingin menolak wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ, sehinggakan mereka sanggup berkata yang Allah ‎ﷻ tidak pernah menurunkan wahyu kepada sesiapapun.

Amat menyedihkan apabila terdapat di antara golongan  kita yan beranggapan sedemikian rupa. Mereka memang terima bahawa Al-Qur’an telah diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi yang mereka tidak boleh terima adalah tafsir kepada ayat-ayat itu. Oleh itu, bila kita beritahu mereka apakah maksud sesuatu ayat itu, mereka tidak dapat menerimanya terutama apabila tafsir yang kita beritahu mereka itu berlawanan dengan pemahaman mereka.

Tambahan pula pemahaman ini telah lama mereka pegang setelah diajar oleh guru atau tok nenek mereka. Mereka akan tolak tafsiran yang kita berikan dengan berkata: “bukan begitu maksud ayat itu”. Padahal mereka pun belum pernah belajar tafsir lagi. Bila ditanya apakah fahaman dan tafsiran sebenar, mereka tidak boleh beritahu kerana mereka memang tidak belajar. Memang pelik orang yang tidak belajar pula kata orang yang belajar itu salah.

Sebagai contoh, apabila kita katakan bahawa amalan membaca Talqin kepada si mati tidak sesuai dengan ayat Fathir: 22 yang mengatakan bahawa orang yang mati tidak dapat mendengar, mereka tidak dapat terima. Jika mereka hendak minta pertolongan daripada orang mati, maka kenalah ada akidah orang mati boleh mendengar, bukan?

Atau, apabila kita beritahu yang Allah ‎ﷻ telah sebut di dalam tujuh tempat dalam Al-Qur’an bahawa Allah ‎ﷻ istiwa‘ di Arasy, mereka akan kata maksud ayat itu adalah istawla, iaitu memerintah; mereka kata kita sahaja yang pandai-pandai tafsir ayat itu sebegitu. Sedangkan tidak pernah Rasulullah ﷺ menafsirkan istiwa’ kepada istawla.

قُلْ مَنْ أَنزَلَ الْكِتٰبَ الَّذِي جَاءَ بِهِ مُوسَىٰ

Katakanlah: “Siapakah yang menurunkan kitab (Taurat) yang dibawa oleh Musa

Allah ‎ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk menghadapi dan menjawab hujah-hujah dan kata-kata bodoh mereka itu. Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ tanya mereka semula seperti yang diberikan dalam ayat ini.

Ingatlah bahawa Surah al-An’am ini adalah Surah Makkiyah. Pada waktu itu, penerima dakwah yang pertama adalah bangsa Arab. Mereka tidak kenal sangat Nabi Musa عليه السلام. Maka, kenapa disebut tentang Nabi Musa عليه السلام? Yang kenal sangat dengan Nabi Musa عليه السلام adalah kaum Yahudi yang waktu itu berada di Madinah.

Walau bagaimanapun kisah Nabi Musa عليه السلام disebut di sini kerana Allah ‎ﷻ hendak sentuh puak Yahudi. Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, puak Musyrikin Mekah sudah ada interaksi dengan Kaum Yahudi di Madinah. Merekalah yang memberikan soalan-soalan kepada Musyrikin Mekah untuk ditanya kepada Nabi Muhammad ﷺ  untuk menjatuhkan baginda.

Baik, sekarang apakah hujah balas kepada golongan itu? Jika mereka kata Allah ‎ﷻ tidak pernah menurunkan wahyu dan pedoman kepada manusia, lalu bagaimana mereka boleh terima bahawa Nabi Musa عليه السلام telah menerima Kitab Taurat dari Allah ‎ﷻ? Siapakah pula yang menurunkan wahyu itu kalau bukan Allah ‎ﷻ? Kenapa mereka ada double standard? Jika Nabi Musa عليه السلام terima wahyu dan kitab taurat itu mereka boleh terima, tetapi kenapakah apabila Nabi Muhammad ﷺ diberikan wahyu Al-Qur’an, mereka tidak boleh terima pula?

نُورًا وَهُدًى لِّلنَّاسِ

sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia,

Ini merujuk kepada kitab Taurat yang telah diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام dan kaumnya. Memang kitab Taurat itu menjadi petunjuk dan pedoman kepada umat Nabi Musa عليه السلام dan bangsa Yahudi sebagaimana Al-Qur’an adalah cahaya dan petunjuk kepada kita juga.

Kitab Taurat mempunyai persamaan dengan Al-Qur’an iaitu mengandungi ajaran tentang tauhid. Cuma berbeza dari segi syariat yang disampaikan kerana syariat Nabi Musa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ tidak sama.

تَجْعَلُونَهُ قَرَاطِيسَ

kamu jadikan kitab itu lembaran-lembaran kertas yang bercerai-berai,

Kitab Taurat itu asalnya diturunkan siap tertulis dalam bentuk kitab dan diberikan kepada umat Nabi Musa عليه السلام. Ia berbeza dengan Al-Qur’an yang diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad ﷺ yang mengambil masa hampir 23 tahun.

Nabi Musa عليه السلام sebenarnya telah mendapat kitab Taurat itu dalam satu buku yang lengkap tetapi pendeta–pendeta itu kemudiannya telah memecah-mecahkannya. Mereka pecah-pecahkan menjadi lembaran-lembaran yang bercerai. Kalimah قراطيس adalah jamak bagi قِرْطَاسٌ yang kita juga gunakan menjadi ‘kertas’.

Kita kena faham bahawa penganut Yahudi yang biasa tidak dapat memegang pun kitab Taurat sepenuhnya. Ia hanya ada pada pendeta-pendeta Yahudi. Mereka simpan dalam arkib mereka seperti yang kita boleh bayangkan kerana kita selalu melihat filem-filem yang melibatkan rahib mereka.

Mereka amat menjaganya supaya tidak jatuh ke tangan penganut umum.  Ia bukan seperti Al-Qur’an kita ini, di mana sesiapa sahaja dengan mudah boleh dapat melihatnya dan memegangnya. Apabila kitab Taurat itu tidak ada pada tangan penganut Yahudi yang biasa, maka senanglah para pendeta untuk mengawal maklumat yang sampai kepada mereka.

Apabila kitab Taurat itu telah dipecah-pecahkan, maka, ramai yang tidak dapat membaca keseluruhan kitab Taurat. Oleh kerana itulah mereka tidak mendapat cerita serta gambaran yang sepenuhnya tentang agama. Maka senanglah pendeta-pendeta Yahudi itu mereka-reka hal agama. Senanglah masyarakat ditipu.

Itulah bahayanya apabila kitab Taurat itu dipecah-pecahkan. Adakah ini terjadi kepada orang Islam? Tidakkah kita lihat bagaimana Al-Qur’an itu juga telah dipecahkan, di mana ada pula buku kecil seperti buku kecil Surah Yasin? Dan ada pula Muqaddam yang hanya mengandungi ayat Al-Qur’an daripada juz 30 sahaja? Dan juga ada kitab kecil yang hanya mengandungi surah-surah Lazim sahaja?

Apabila dipecah-pecahkan sebegitu, maka masyarakat kita yang jahil hanya tahu tentang Surah Yaasin sahaja ataupun surah-surah lazim sahaja. Oleh itu, mereka jahil berkenaan ayat-ayat lain. Mereka tidak tahu keseluruhan agama. Banyak sangat yang tidak diketahui oleh masyarakat kita.

Oleh itu, marilah kita mengajar anak-anak kita dan ahli keluarga kita keseluruhan 30 juzuk Al-Qur’an ini. Jangan pecah-pecahkan Al-Qur’an itu. Jangan tumpukan kepada surah-surah tertentu sahaja. Bukan setakat baca sahaja, tetapi marilah belajar tafsir ini supaya kita boleh faham kehendak Allah ‎ﷻ kepada kita.

Jangan kita pilih-pilih ayat mana yang kita suka untuk dibaca tetapi bacalah keseluruhan Al-Qur’an itu. Jika kita memasak, tentu kita ingin memasukkan keseluruhan ramuan, dan bukan hanya memilih-milih ramuan mana yang kita suka daripada resipi itu bukan? Tentu kita akan masukkan semua sekali ramuan yang ada kerana kita mahu makanan itu menjadi sedap dan lengkap secukup rasa seperti yang sepatutnya.

Namun, malangnya ramai yang tidak kenal sepenuhnya Al-Qur’an ini. Masyarakat kita sudah semakin jauh daripada Al-Qur’an. Sebab itulah sekarang ini kita boleh lihat bagaimana ustaz-ustaz dan guru agama yang mengajar di sekolah, di madrasah, di surau dan juga di masjid di mana mereka sendiri pun tidak mahir dengan Al-Qur’an. Mereka pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an. Memang mereka tahu sedikit tentang Al-Qur’an tetapi hanyalah surah-surah yang lazim dibaca dan dihafal.  Itu adalah kesan apabila kalam Allah ‎ﷻ dipecah-pecahkan. Janganlah kita menjadi seperti kaum Yahudi itu.

Maka, pendeta-pendeta Yahudi telah mencerai-beraikan Kitab Taurat itu. Kenapa mereka mahu pecah-pecahkan kitab Taurat itu? Tujuannya agar memudahkan untuk mereka menyembunyikan ajaran lengkap dan sepenuhnya yang terdapat di dalam kitab Taurat daripada pengikut mereka.

تُبْدُونَهَا

kamu perlihatkan (sebahagiannya)

Ada bahagian-bahagian daripada kitab Taurat itu yang pendeta-pendeta Yahudi rasa mereka boleh tunjukkan kepada pengikut-pengikut mereka. Maka itulah sahaja yang mereka berikan kepada pengikut mereka.

Guru-guru agama kita pun ada berperangai pendeta Yahudi ini. Mereka pun hanya menceritakan sebahagian ayat-ayat Al-Qur’an sahaja. Seperti dalam masyarakat kita sekarang, yang mereka sentiasa tunjukkan dan ajarkan adalah ayat-ayat tentang feqah, tentang sejarah dahulu dan sebagainya. Biasanya mereka hanya membincangkan kandungan ayat-ayat yang ‘selamat’.

Tentang tauhid, tentang Jihad, tentang tawasul dan lain-lain lagi, mereka tidak bincangkan pula. Mereka pun tidak tahu untuk tunjuk dan membincangkannya kerana mereka juga tidak belajar.

وَتُخْفُونَ كَثِيرًا

dan kamu sembunyikan sebahagian besarnya,

Tetapi ada banyak bahagian lagi yang mereka sembunyikan daripada penganut Yahudi. Mereka simpan dalam arkib-arkib mereka. Orang tertentu sahaja yang dibenarkan melihatnya. Kristian pun sampai sekarang masih membuat begitu. Entah apa yang ada di Vatican itu. Mereka menyembunyikan banyak maklumat daripada penganut mereka. Antara yang mereka sembunyikan pada waktu itu adalah tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan tentang sifat-sifat dan tanda kedatangan baginda.

Begitulah juga yang dilakukan oleh kebanyakan ustaz-ustaz kita. Mereka banyak menceritakan tentang ibadat-ibadat dan hukum hakam yang perlu dilakukan oleh manusia. Tetapi tentang perkara penting seperti tauhid, mereka tidak sampaikan kepada masyarakat. Mereka cuma ajar perkara yang ‘perlu dibuat’, tetapi mereka tidak mengajar perkara ‘yang perlu ditinggalkan’. Oleh sebab itulah masyarakat Islam di Malaysia ini amat jahil tentang perkara tauhid dan syirik.

Mereka tidak berani untuk menceritakannya sebab mereka takut anak-anak murid mereka tidak dapat menerimanya. Dan apabila anak-anak murid tidak dapat terima, anak murid itu tidak akan panggil lagi mereka lagi untuk datang mengajar. Apabila mereka tidak dijemput lagi untuk mengajar, maka hilanglah punca pendapatan mereka daripada kelas pengajian mereka itu. Maknanya, dakwah mereka semua adalah bermotifkan wang ringgit juga.

Ataupun ada kemungkinan mereka sendiri tidak tahu yang perbuatan itu adalah kufur dan syirik. Mereka sendiri pun mungkin tidak tahu kerana mereka sendiri tidak belajar.

Oleh sebab itulah walaupun kekufuran dan kesyirikan dilakukan secara berleluasa oleh masyarakat Islam di negara kita ini, tidak ada sesiapa pun yang tegur. Sampaikan apabila ada yang sembah kubur, sembah Sultan, sembah guru silat dan sebagainya, tidak ada sesiapa yang melarang. Mereka yang melihat perbuatan itu pula berasakan perbuatan tersebut adalah perkara biasa sahaja. Padahal ia adalah perbuatan kufur dan syirik.

Dan apabila ada yang menegur, seperti kita yang hendak mengembalikan manusia kepada tauhid, kita pula yang dianggap pelik. Seolah-olah kita sahaja yang beriya-iya bercakap perkara ini tetapi orang lain, ustaz lain, guru lain buat senyap sahaja. Padahal, apa yang kita perkatakan ini adalah daripada Al-Qur’an, yang kita sentuh berkali-kali dalam tulisan ini.

وَعُلِّمْتُم مَّا لَمْ تَعْلَمُوا أَنتُمْ

telah diajarkan kepadamu apa yang kamu sendiri tidak tahu

Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada mereka bahawa apa yang Taurat itu sampaikan adalah perkara-perkara yang mereka sendiri tidak tahu sebelum itu. Mereka telah diajar dengan ilmu yang ada dalam Taurat itu. Yang dahdwulu mereka tiada pengetahuan tentangnya. Allah ‎ﷻlah yang beritahu kepada mereka. Ia bukannya datang daripada peninggalan maklumat manusia turun temurun, tetapi daripada Allah ‎ﷻ sendiri.

Ayat ini juga adalah tentang Al-Qur’an dan ayat ini ditujukan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Ia mengingatkan kepada kita bahawa Allah ‎ﷻ telah mengajar kita dengan Al-Qur’an. Mengajar kita tentang perkara-perkara yang jika Allah‎ ﷻ tidak ajar, kita tidak akan dapat untuk mencapainya.

Ayat ini hendak mengingatkan kepada manusia bahawa di dalam Al-Qur’an itu mengandungi banyak pengetahuan-pengetahuan yang berguna dan diperlukan oleh manusia yang dulunya kita tidak ada pun pengetahuan itu.

وَلَا ءآبَاؤُكُمْ

dan bapa-bapa kamu pun tidak mengetahui(nya)?”

Bukan mereka sahaja yang tidak tahu tetapi bapa-bapa mereka dan nenek moyang mereka pun tidak tahu tentang ilmu agama sebelum diturunkan Al-Qur’an atau Taurat itu kepada mereka.

Orang Yahudi memandang rendah bangsa Arab sebab mereka kata orang-orang Arab tidak pernah mendapat kitab dan tidak ada agama. Tetapi bagaimana pula dengan mereka? Bukankah mereka dahulu sebelum mendapat kitab Taurat pun mereka tidak tahu apa-apa? Keturunan mereka dahulu pun tidak tahu apa-apa. Maknanya, semua manusia ini bermula daripada tidak tahu sehinggalah Allah ‎ﷻ telah memberikan sedikit dari ilmu-Nya kepada kita.

Oleh itu janganlah memandang rendah kepada mereka yang tidak tahu agama lagi, kerana dulu pun kita bermula daripada tidak tahu. Kita yang baru belajar tafsir ini pun dulunya berasal dengan buat benda-benda syirik juga. Alhamdulillah, Allah ‎ﷻ telah memberi kita hidayat dan ditunjukkan kita dengan ilmu pengetahuan.

Allah ‎ﷻ menyebut sebelum ini tentang Musyrikin Mekah dan bangsa Yahudi yang sesat. Bagaimana pula dengan kita sekarang? Adakah kita telah faham Al-Qur’an? Adakah kita telah selamat? Belum tentu lagi. Kalau kita tidak belajar tafsir Al-Qur’an, samalah juga kita dengan mereka yang tidak pernah mengenal Al-Qur’an.

قُلِ اللَّهُ

Katakanlah: “Allah-lah (yang menurunkannya)”,

Ayat ini adalah untuk menjawab soalan yang telah diberikan sebelum ini iaitu siapakah yang telah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa عليه السلام.

Mungkin orang Yahudi yang dibacakan ayat Al-Qur’an itu tidak mahu menjawab soalan itu, maka Allah ‎ﷻ telah menjawabnya.

ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ

kemudian biarkanlah mereka bermain-main dalam kesesatannya.

Dalam ayat ini perkataan ذَرْ digunakan untuk membawa maksud ‘tinggalkan’. Ada satu lagi perkataan ‘tinggalkan’ yang digunakan dalam Al-Qur’an iaitu ترك. Apakah bezanya? ذَرْ digunakan apabila yang ditinggalkan itu adalah sesuatu yang hina. Yang tidak bernilai langsung.

Tinggalkan mereka dalam perbuatan mereka mencari-cari kesalahan Al-Qur’an dan mencari-cari kelemahan Al-Qur’an. Biarkan mereka kebingungan menjawab soalan yang Allah ‎ﷻ berikan dalam ayat ini (jika Allah ‎ﷻ tidak turunkan wahyu, maka, Taurat itu datang dari mana pula?).

Ayat ini adalah pengulangan kepada suruhan untuk meninggalkan mereka yang memperolok-olokkan Al-Qur’an seperti dalam ayat yang telah disebut sebelum ini. Sila rujuk ayat 68-70 surah ini iaitu jangan buang masa dengan mereka dan melayan mereka dalam pengingkaran mereka. Dan jangan layan hujah-hujah bodoh mereka itu.


An’am Ayat 92:

وَهٰذا كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ مُبارَكٌ مُّصَدِّقُ الَّذي بَينَ يَدَيهِ وَلِتُنذِرَ أُمَّ القُرىٰ وَمَن حَولَها ۚ وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ يُؤمِنونَ بِهِ ۖ وَهُم عَلىٰ صَلاتِهِم يُحافِظونَ

Sahih International

And this is a Book which We have sent down, blessed and confirming what was before it, that you may warn the Mother of Cities and those around it. Those who believe in the Hereafter believe in it, and they are maintaining their prayers.

Malay

Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.

وَهَٰذَا كِتٰبٌ أَنزَلْنٰهُ مُبَارَكٌ

Dan ini (Al Qur’an) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi;

Jarang Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan هذا (ini) untuk merujuk kepada Al-Qur’an. Selalunya kata tunjuk yang digunakan adalah perkataan  ذلك (itu) yang bermaksud ‘itulah’. Apabila perkataan هذا digunakan seperti dalam ayat ini, ia menunjukkan ‘dekat’. Ia hendak memberitahu yang Al-Qur’an ini sudah ada di tangan kita.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa Al-Qur’an diturunkan daripada-Nya di mana Al-Qur’an itu bukanlah daripada sesiapa, tetapi daripada Allah ‎ﷻ, Tuhan sekalian alam. Maka, jangan kita pandang ringan Al-Qur’an ini. Ia adalah daripada ALLAH ‎ﷻ! Jangan kita buat tidak tahu sahaja. Jangan kita letak sahaja di almari tanpa dibaca dan difahami!

Kalimah مُبَارَكٌ bermaksud sesuatu yang penuh barakah di dalamnya. ‘Barakah’ pula bermaksud sesuatu kebaikan yang semakin bertambah dan berkembang. Walaupun kuantitinya mungkin sedikit tetapi kebaikan yang dikeluarkan daripadanya begitu banyak sekali.

Sebagai contoh, kadang-kadang segelas air tidak dapat menghilangkan haus kita. Tetapi kadang-kadang dengan seteguk dua sahaja telah dapat menghilangkan haus kita. Itulah bezanya jika ada barakah ataupun tidak; atau tidakkah kita melihat bagaimana satu keluarga yang berpendapatan sedikit tetapi cukup sahaja. Tetapi ada keluarga pul yang gajinya tinggi namun sentiasa sahaja tidak cukup. Itulah bezanya pendapatan yang ada barakah dan tidak.

Oleh sebab itulah Al-Qur’an ini penuh dengan kebaikan. Al-Qur’an mengandungi ajaran-ajaran yang tidak pun terdapat dalam kitab-kitab kalam Allah ‎ﷻ seperti Taurat dan Injil. Itu adalah kelebihan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ sebagai umat Islam terakhir dunia ini.

Kalimah مُبَارَكٌ juga bermaksud sesuatu yang menjadi ‘sumber kebaikan’. Dengan mempelajarinya, kita akan mendapat banyak kebaikan. Kebaikan itu pula akan bertambah dan bertambah. Oleh itu, belajarlah tafsir Al-Qur’an untuk mendapat keberkatan. Bukanlah keberkatan didapati daripada kubur wali, daripada ustaz itu dan ini, daripada orang yang baru balik Haji dan sebagainya. Itu semua adalah salah faham yang amat tentang ‘berkat’.

Oleh itu Al-Qur’an bukan sahaja mengandungi kebaikan tetapi ia juga menjadi sumber kebaikan untuk kita semua, asalkan kita membuka minda kita untuk mempelajarinya. Bila kita belajar Al-Qur’an dan memahami tafsir Al-Qur’an dengan baik, maka kita akan mendapat banyak kebaikan di dalamnya. Ia akan mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.

مُّصَدِّقُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya

Sekali lagi puak Yahudi disentuh dalam ayat ini. Merekalah yang telah mendapat Kitab daripada Allah ‎ﷻ sebelum ini. Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita bahawa kitab-kitab sebelumnya seperti Taurat, Injil dan Zabur dan lain-lain lagi. Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita bahawa kitab-kitab itu adalah benar belaka (sebelum diubah-ubah oleh pemuka agama mereka).

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada orang Yahudi bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ ini dan Al-Qur’an yang diajarkan bukanlah membawa perkara yang baru tetapi meneruskan apa yang ada di dalam kitab-kitab yang terdahulu. Maka, janganlah lawan Al-Qur’an itu kerana ia membenarkan apa yang mereka ada, bukanlah memperkenalkan agama yang lain pula.

Begitulah juga apabila kita membawakan jalan Sunnah ini kepada masyarakat kita. Kita bukanlah membawa perkara baru dalam agama ini. Sebaliknya kita memegang ajaran yang dibawa oleh para Nabi. Tetapi ada masyarakat yang mengatakan bahawa kita ini membawa agama yang baru. Yang tidak pernah diperkatakan oleh tok nenek mereka.

Mereka kata kita  ini pula yang sesat. Ini terjadi kerana masyarakat Islam di negara ini sudah lama jauh daripada ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Maka, apabila kita mengajar mereka ajaran Sunnah yang asal, apa yang kita bawa ini pula menjadi pelik kepada mereka. Pepatah Arab ada mengatakan: “Manusia memusuhi apa yang mereka tidak ketahui”.

وَلِتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ

dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah)

Kalimah أُمَّ dari segi bahasa bermaksud ‘ibu’. Ia juga bermaksud ‘asal’ kepada sesuatu. Kalimah الْقُرَىٰ pula bermaksud ‘pekan’ ataupun ‘bandar’. Maka perkataan أُمَّ الْقُرَىٰ bermaksud ‘ibu kepada bandar’. Ia juga boleh bermaksud ‘asal’ kepada semua pekan dan bandar.

Yang dimaksudkan أُمَّ الْقُرَىٰ dalam ayat ini adalah Mekah. Kenapakah Mekah digelar Ummul Qura? Pertamanya, Mekah itu adalah kiblat kepada semua pekan dan bandar. Walau di mana pun kita berada, kita akan mengadap Mekah dalam salat kita.

Keduanya, kerana Mekah itu ialah tempat datangnya mereka yang hendak melakukan Tawaf dan Haji. Manusia datang dari merata tempat untuk melawat Kaabah. Sebagaimana kita kalau merantau ke mana-mana pun, akan tetap kembali melawat ibu kita.

Mekah adalah tempat yang mula-mula sekali mempunyai penduduk yang ramai dalam Semenanjung Arab kerana di situlah terletaknya Kaabah semenjak dari dulu lagi. Dan Allah ‎ﷻ telah memberitahu kita bahawa memang Kaabah adalah rumah ibadat yang pertama dalam dunia.

Dari sudut geografi juga, memang Mekah berada di tengah-tengah. Kalau kita lihat dalam peta dunia pun, kita akan nampak bagaimana memang Mekah berada di tengah-tengah dunia.

Ia juga dikatakan sebagai Ummul Qura kerana ia merupakan tempat yang disayangi oleh semua orang seperti ibu dalam keluarga kita. Kalau dengan ahli keluarga kita pun, yang paling penting adalah ibu kita. Kalau adik beradik lain mungkin kita tidak lawat selalu, tetapi kalau ibu kita, memang kita sentiasa melawatnya.

Mekah juga memang seperti ibu negara tanah Arab waktu itu. Ia adalah tempat berkumpulnya semua berhala-berhala yang besar. Dari sini, Allah ‎ﷻ mengajar kita bagaimana cara mengembangkan Islam di mana hendaklah kita ‘serang’ pusat kesyirikan. Kalau satu-satu tempat itu adalah tempat pengembangan syirik, maka di situlah dakwah perlu dijalankan. Kalau di Malaysia ini, di mana agaknya? Adakah Pulau Besar?

Banyak tempat berlakunya syirik pada zaman Nabi tetapi lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah menghantar Nabi Muhammad ﷺ ke pusat kesyirikan paling besar pada zaman itu. Dan walaupun baginda telah berhijrah ke Madinah, baginda masih lagi selalu diingatkan dengan Mekah, sekurang-kurangnya apabila baginda mengadap kiblat dalam salat. Hanya apabila Fath Makkah (Pembukaan Mekah) barulah Pusat Syirik itu dihapuskan dan digantikan menjadi Pusat Islam.

Dalam ayat ini, baginda disuruh untuk berdakwah kepada orang yang dekat dengan baginda iaitu di Mekah kerana baginda tinggal di Mekah kerana pada waktu itu baginda tinggal di Mekah. Kemudian sebarkan ke tempat yang lain pula.

وَمَنْ حَوْلَهَا

dan orang-orang yang di luar lingkungannya.

Nabi Muhammad ﷺ diingatkan untuk memberi peringatan bukan hanya kepada penduduk Mekah sahaja tetapi kawasan sekitarnya juga. Perkataan ‘sekitar’ ini bukan hanya bermaksud sekitar Semenanjung Arab sahaja tetapi bermaksud seluruh dunia. Dan memang Nabi ﷺ buat begitu dan kemudian usaha baginda disambung oleh para sahabat. Seperti sekarang, lihatlah bagaimana mesej Al-Qur’an ini telah sampai ke seluruh dunia.

Oleh itu hendaklah kita tahu bahawa ada tugas dakwah yang perlu dijalankan untuk seluruh manusia dalam dunia ini. Mesej Al-Qur’an mestilah disampaikan kepada semua orang. Sama ada mereka itu Muslim ataupun belum masuk Islam lagi.

Tetapi persoalannya, adakah kita sedang menyampaikan mesej Al-Qur’an ini kepada semua orang yang kita jumpa? Bagaimana hendak kita sampaikan kalau kita sendiri belum mahir dengan tafsir Al-Qur’an? Maka marilah belajar tafsir Al-Qur’an ini. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Jangan belajar ayat-ayat yang lazim sahaja tetapi keseluruhan Al-Qur’an itu.

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِ

Dan orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat, tentu beriman kepadanya (Al Qur’an)

Kalau kita percaya kepada hari akhirat, maka sudah semestinya kita kena percaya dan beriman kepada Al-Qur’an ini kerana Al-Qur’an banyak memberitahu tentang hari akhirat, bukan?

Dan maksud ‘beriman dengan Al-Qur’an’ bukan hanya percaya bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah ‎ﷻ. Itu semua orang Islam sudah percaya. Tetapi selain itu, hendaklah kita menerima isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan kita seharian. Namun kalau kita tidak belajar tafsir, bagaimana kita boleh tahu isi kandung Al-Qur’an ini?

وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.

Dan mereka yang beriman dengan hari akhirat juga, selain daripada beriman dengan Al-Qur’an, mereka akan menjaga juga salat mereka. Disebut salat dalam ayat ini kerana mewakili amalan-amalan ibadah yang lain. Maknanya, bukanlah kena salat sahaja tapi kenalah jaga ibadah yang lain juga.

Oleh kerana Surah al-An’am ini diturunkan di hujung tempoh di Mekah, maka kewajipan salat telah ada. Tetapi pada waktu itu, kiblat salat adalah Masjidil Aqsa.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘menjaga salat’? Ia merangkumi banyak perkara. Bukan hanya setakat salat yang bermula dengan takbir dan berakhir dengan salam.

Pertamanya, ia bermaksud menjaga syarat-syarat keperluan untuk salat seperti kebersihan tempat salat, mandi junub, wudhu’, kebersihan pakaian kita dan sebagainya. Ini kerana kalau semua itu tidak dijaga, maka akan sia-sia sahaja salat itu kerana tidak diterima. Semua itu dapat diketahui apabila kita mempelajari hadith.

Keduanya, ia bermaksud menjaga cara-cara salat, iaitu mengerjakan salat dengan cara yang betul. Oleh itu seorang Muslim hendaklah belajar cara-cara salat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Namun malangnya, masyarakat kita jarang belajar dengan betul cara-cara melakukan salat. Mereka hanya belajar salat sewaktu di sekolah rendah dulu dan ilmu itulah yang mereka gunakan sampai ke tua.

Pada hal, ada banyak kesalahan dengan cara salat yang diajar di sekolah dulu. Hasilnya, apabila kita berada di masjid, pelbagai jenis salat kita akan nampak. Dan apabila ada yang menggerak-gerakkan jarinya dalam tahiyat, ada yang pandang serong dengan orang itu. Amat menyedihkan sekali.

Kepada para sahabat, mereka mempunyai satu tanggungjawab yang lebih besar lagi. Mereka disuruh ‘menjaga salat’ mereka. Tetapi di dalam masa yang sama, semasa mereka di Madinah apabila kiblat sudah ditukar ke Mekah, mereka semua sedar bahawa mereka sedang mengadap kepada Ka’bah yang dipenuhi dengan berhala-berhala syirik.

Oleh itu, setiap kali mereka sedang salat, mereka sedar bahawa mereka juga dalam masa yang sama sedang mengadap kepada berhala-berhala itu. Maka, kalau mereka hendak ‘menjaga salat’, mereka hendaklah membersihkan Kaabah daripada berhala-berhala itu.

Oleh hal yang demikian, di dalam ayat ini sudah ada isyarat bahawa mereka perlu mengambil alih Mekah dan Kaabah. Mereka mestilah membebaskan Kaabah daripada elemen syirik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Januari 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s