Tafsir Surah Muhammad Ayat 25 – 29 (Golongan munafik itu sudah murtad)

Ayat 25: Sekarang kita masih lagi bercakap tentang golongan munafik yang duduk bersama dalam majlis Nabi tapi masih tidak dapat hidayah. Ini adalah kerana hati mereka telah ditutup, maka mereka akan membuat kesalahan-kesalahan dalam agama.

إِنَّ الَّذينَ ارتَدّوا عَلىٰ أَدبارِهِم مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الهُدَى ۙ الشَّيطانُ سَوَّلَ لَهُم وَأَملىٰ لَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who reverted back [to disbelief] after guidance had become clear to them – Satan enticed them and prolonged hope for them.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang kembali ke belakang (kepada kekafiran) sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan mereka.

 

إِنَّ الَّذينَ ارتَدّوا عَلىٰ أَدبارِهِم

Sesungguhnya orang-orang yang kembali ke belakang

Sekali lagi Allah gunakan kalimah نبر (belakang) dalam ayat ini. Kali ini ia membawa maksud pusing ke belakang. Ia memberitahu kita, selepas mereka terima hidayah, mereka patah balik kepada keadaan asal mereka iaitu mereka telah murtad.

Mereka digelar sebagai golongan murtad kerana mereka menolak ayat-ayat Al-Quran kerana kalau tolak satu sahaja dari ayat Al-Qur’an sudah bermaksud menolak agama dan telah keluar Islam menjadi murtad.

 

مِن بَعدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمُ الهُدَى

sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka,

Mereka berpatah balik ke belakang sedangkan sudah dijelaskan hal wahyu dan agama kepada mereka. Apabila mereka tolak ayat Al-Qur’an maka Allah jadikan syaitan sebagai qarin yang duduk dengan mereka dan mengarahkan mereka untuk buat kerosakan.

Ianya salah mereka yang telah menyebabkan syaitan dibenarkan masuk. Berkemungkinan mereka buat syirik yang menyebabkan syaitan dapat peluang untuk duduk dengan mereka. Kerana syaitan tidak mampu nak masuk kepada orang yang mengamalkan tauhid. Macam baca bismillah sahaja maka syaitan tidak boleh masuk. Maka kalau abaikan sunnah maka akan beri peluang untuk syaitan masuk.

Atau, Allah hadiahkan qarin dari kalangan syaitan kepada mereka kerana mereka tidak mengendahkan Al-Qur’an. Ini seperti disebut dalam Zukhruf:36.

وَمَن يَعشُ عَن ذِكرِ الرَّحمٰنِ نُقَيِّض لَهُ شَيطانًا فَهُوَ لَهُ قَرينٌ

Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.

 

الشَّيطانُ سَوَّلَ لَهُم

syaitan telah menjadikan mereka mudah

Mereka mudah untuk mengerjakan dosa kerana syaitan yang taswil (memudahkan) untuk mereka. Ini adalah salah satu dari talbis iblis. Syaitan mudahkan benda buruk untuk mereka. Apabila mereka lakukan dosa dan perkara buruk itu, mereka tak rasa bersalah pun. Mereka rasa ianya perkara yang kecil sahaja, perkara mudah sahaja. Ini kerana syaitan telah mengelabui mata dan hati mereka. Syaitan bisikkan: “tak salah apa yang kamu buatkan itu.”

Mereka itu jenis orang yang tidak rasa nak jadi baik, tak rasa nak kenal Al-Qur’an pun. Apabila mereka dikenakan dengan penyakit taswil, pada mereka boleh buat banyak perkara yang mereka suka kerana ianya tidak penting mana. Maka kerana itu, senang sahaja mereka tolak ayat-ayat Al-Qur’an kerana mereka tidak mementingkan Al-Qur’an. Mereka pula rasa dosa itu kecil sahaja. Bila kita rasa kecil, maka kita takut nak buat dosa itu.

 

وَأَملىٰ لَهُم

dan memanjangkan angan-angan mereka.

Syaitan juga akan memanjangkan angan-angan mereka. Mereka akan berfikir dan berangan tentang macam-macam yang mereka nak buat dengan kehidupan mereka yang singkat ini. Mereka nak makan sana, nak kerja sini, angan-angan.

Sepatutnya mereka memikirkan janji-janji Allah yang ada dalam Al-Qur’an – memikirkan tentang syurga dengan keindahannya dan bagaimana hendak ke sana. Tapi mereka ini diangankan dengan keindahan dalam kehidupan dunia sahaja. Mereka itu sibuk dengan dunia sahaja – buat itu dan ini sampai melupakan persediaan untuk ke akhirat. Syaitanlah yang memanjangkan angan-angan mereka itu.

Atau ia bermaksud syaitan itu mengarahkan mereka untuk menangguhkan buat kebaikan kerana walaupun sudah tahu bahawa itu adalah perkara yang baik tetapi mereka tinggalkan juga kerana melengah-lengahkan. Boleh buat tapi tak buat-buat juga. Ini dinamakan taswif dalam ilmu talbis iblis. Kerana itu ramai dari kalangan manusia yang nak belajar tafsir, tapi tangguh dulu sampai mereka tidak sibuk. Padahal bila masanya kita tidak sibuk? Akhirnya mati tidak belajar langsung. Sedar-sedar sudah dalam kubur.

 


Ayat 26: Amat bahaya kalau masih nak ikut resam tok nenek. Iaitu orang munafik itu setengah nak ikut Nabi dan setengah nak ikut kata orang lain.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لِلَّذينَ كَرِهوا ما نَزَّلَ اللهُ سَنُطيعُكُم في بَعضِ الأَمرِ ۖ وَاللهُ يَعلَمُ إِسرارَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they said to those who disliked what Allāh sent down,¹ “We will obey you in part of the matter.” And Allāh knows what they conceal.

•i.e., the Jews of Madīnah.

(MELAYU)

Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (orang-orang munafik) itu berkata kepada orang-orang yang benci kepada apa yang diturunkan Allah (orang-orang Yahudi): “Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan”, sedang Allah mengetahui rahasia mereka.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لِلَّذينَ كَرِهوا ما نَزَّلَ اللهُ

Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka berkata kepada orang-orang yang benci kepada apa yang diturunkan Allah:

Mereka yang berkata itu adalah golongan munafik.
Dan yang diturunkan oleh Allah itu adalah Al-Qur’an.
Yang benci kepada Al-Qur’an itu adalah golongan kafir Quraish.

Golongan munafik telah hantar maklumat kepada puak Quraish yang memang sudah benci dengan Al-Qur’an.

 

سَنُطيعُكُم في بَعضِ الأَمرِ

“Kami akan mematuhi kamu dalam beberapa urusan”,

Golongan munafik sudah buat janji dengan puak Quraish. Maknanya mereka tikam Nabi dan orang mukmin dari belakang kerana puak Quraish itu adalah musuh kepada umat Islam.

Golongan munafik itu beritahu yang mereka sebenarnya berpihak kepada Quraish itu. Mereka kata mereka akan tolong puak Quraish yang akan berperang dengan Muslim itu. Maknanya mereka nak ikut Quraish. Kerana Quraish itu ketua Arab pada mereka. Dan memang dalam Surah Baqarah disebut tentang mereka yang jumpa musuh Islam. Dan apabila ditegur tentang perbuatan mereka itu, mereka kata mereka buat islah (kebaikan).

Ayat yang dimaksudkan adalah Baqarah:11

وَإِذا قيلَ لَهُم لا تُفسِدوا فِي الأَرضِ قالوا إِنَّما نَحنُ مُصلِحونَ

Dan bila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan”.

Tafsiran kedua: Ada juga mufasir yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Yahudi yang berada di Madinah. Golongan munafik itu lebih condong kepada Yahudi Madinah. Ini kerana golongan Yahudi tidak suka apabila wahyu Al-Qur’an diberikan kepada bangsa Arab. Mereka mahu ia diberikan kepada bangsa mereka juga. Jadi mereka dengki sangat apabila Nabi Muhammad dapat wahyu.

 

وَاللهُ يَعلَمُ إِسرارَهُم

sedang Allah mengetahui rahsia mereka.

Allah ingatkan mereka yang Dia tahu apa yang mereka rahsiakan. Kalimah سرر bermaksud rahsia. Sedangkan kalimah إسرار adalah sesuatu yang cuba dirahsiakan. Allah beritahu yang apa yang mereka cuba rahsiakan itu, Allah sudah tahu dan Allah bongkarkan dalam ayat ini. Rancangan mereka untuk bersekongkol dengan Musyrikin Mekah (atau Yahudi di Madinah) itu Allah tahu.

 


Ayat 27: Takhwif duniawi. Apakah nasib mereka nanti?

فَكَيفَ إِذا تَوَفَّتهُمُ المَلائِكَةُ يَضرِبونَ وُجوهَهُم وَأَدبارَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then how [will it be] when the angels take them in death, striking their faces and their backs?

(MELAYU)

Bagaimanakah (keadaan mereka) apabila malaikat mencabut nyawa mereka seraya memukul-mukul muka mereka dan punggung mereka?

 

فَكَيفَ إِذا تَوَفَّتهُمُ المَلائِكَةُ

Bagaimanakah (keadaan mereka) apabila malaikat mencabut nyawa mereka

Apabila sifat mereka lain dari sifat orang mukmin sejati, maka natijah untuk mereka juga berlainan. Natijahnya nanti, mereka akan mati dalam azab. Allah suruh mereka bayangkan bagaimanalah nanti keadaan mereka masa malaikat ambil nyawa mereka.

 

يَضرِبونَ وُجوهَهُم وَأَدبارَهُم

seraya memukul-mukul muka mereka dan punggung mereka?

Malaikat akan cabut nyawa mereka tapi tidak cabut sahaja, tapi sambil pukul muka mereka dan punggung mereka. Apabila dipukul muka mereka, maka akan naik belakang badan mereka dan malaikat pukul belakang pula. Bila pukul belakang maka naik muka, maka muka pula dipukul. Kejadian ini berulang-ulang kali. Maka kematian mereka amat menyeksakan.

 


Ayat 28:

ذٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اتَّبَعوا ما أَسخَطَ اللهَ وَكَرِهوا رِضوانَهُ فَأَحبَطَ أَعمالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because they followed what angered Allāh and disliked [what earns] His pleasure, so He rendered worthless their deeds.

(MELAYU)

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan kerana mereka membenci keredhaan-Nya, sebab itu Allah menghapus (pahala) amal-amal mereka.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اتَّبَعوا ما أَسخَطَ اللهَ

Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah

Mereka jadi begitu kerana mereka ikut buat apa yang menyebabkan Allah marah. Allah sudah ajar cara yang Allah suka tapi mereka tak ikut juga dan nak buat cara sendiri. Maka terimalah azab itu.

 

وَكَرِهوا رِضوانَهُ

dan kerana mereka membenci keredhaan-Nya,

Bukan itu sahaja, malah mereka benci dengan perkara yang diredhai oleh Allah. Mereka tidak suka nak buat perkara yang mereka tahu meredhakan Allah sedangkan kita sepatutnya mencari redha Allah. Sebagai contoh, Allah redha kepada mereka yang infak harta mereka pada jalan Allah, tapi mereka tidak mahu nak buat kerana mereka tidak mementingkan untuk mendapatkan redha Allah. Mereka sudah rasa cukup dengan apa yang mereka ada. Mereka tidak ada rasa suka pun untuk mencari redha Allah.

 

فَأَحبَطَ أَعمالَهُم

sebab itu Allah menghapus (pahala) amal-amal mereka.

Maka Allah akan musnahkan amal baik mereka. Bayangkan golongan munafik itu solat di belakang Nabi tapi pahala mereka tidak dikira. Bayangkan berapa banyak pahala yang mereka patut dapat – solat belakang Nabi, menyebarkan Islam sebagai puak yang awal, beriman dengan Nabi sendiri dan macam-macam lagi kelebihan sebagai golongan awal muslim.

Tapi itu semua tidak ada harga pada mereka. Pahala mereka semuanya hilang begitu sahaja. Mereka amat rugi kerana segala pahala dan usaha baik mereka dimusnahkan semua sekali. Padahal mereka sepatutnya untung sungguh kerana solat kita kalau dibandingkan dengan solat di belakang Rasulullah tentu tidak sama. Mereka tidak dikira sebagai beramal kerana tikam belakang orang Islam.

 


Ayat 29: Zajrun. Teguran di atas sifat-sifat munafik. 

أَم حَسِبَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَرَضٌ أَن لَن يُخرِجَ اللهُ أَضغانَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Or do those in whose hearts is disease think that Allāh would never expose their [feelings of] hatred?

(MELAYU)

Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka?

 

أَم حَسِبَ الَّذينَ في قُلوبِهِم مَرَضٌ

Atau apakah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya mengira,

Mereka sebenarnya tidak suka kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak suka dengan perubahan kuasa yang berlaku di Madinah kerana mereka sangka mereka yang patut berkuasa dan bukannya Nabi Muhammad. Tapi mereka simpan perasaan tidak suka itu di dalam hati mereka sahaja, kerana kalau mereka keluarkan, nanti mereka tidak boleh jadi orang Islam lagi dan waktu itu yang berkuasa adalah orang Islam. Oleh kerana itulah mereka kena bermuka-muka dan tunjuk seolah-olah mereka orang mukmin.

Allah tegur mereka: mereka sangka Allah tidak tahukah apa yang ada dalam hati mereka?

 

أَن لَن يُخرِجَ اللهُ أَضغانَهُم

bahawa Allah tidak akan menampakkan kedengkian mereka?

Adakah mereka sangka yang Allah akan simpan sahaja sifat dengki mereka kepada agama Islam itu? Memang perasaan mereka itu duduknya di dalam hati tetapi Allah keluarkan dengan memberi alamat zahir: sama ada dari kata-kata mereka atau dengan tindak tanduk mereka yang semua orang boleh lihat.

Memang mereka duduk bersama dengan orang mukmin dan zahirnya tak nampak beza pun antara keduanya. Mereka nampak sama sahaja sampai Nabi pun tak boleh kenal mereka dengan mudah. Tapi mereka itu masih boleh dikenali, cuma kena tengok lama-lama, baru boleh perasan.

Dalam Surah Taubah juga Allah telah menjelaskan sifat-sifat mereka supaya mereka boleh dikenali.

Kalimah أضغان adalah bentuk jamak dari ضغن, iaitu kedengkian yang tersembunyi di dalam hati terhadap Islam, Rasullah dan para pengikut baginda yang berjuang menegakkan syiarnya.

Begitulah dengan orang zaman sekarang yang ada perasaan dendam kepada ajaran Sunnah. Kerana itu mereka akan buat berbagai-bagai helah untuk menjatuhkan ajaran sunnah di negara ini. Mereka sampai menggunakan cara yang kasar, cara yang jelek untuk menentang jalan sunnah. Mereka terpaksa gunakan cara itu kerana dakwah sunnah semakin diterima oleh masyarakat. Mereka tidak suka, tapi mereka tidak ada hujah kerana hujah mereka lemah. Maka mereka gunakan cara buruk termasuklah penipuan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Ogos 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Muhammad Ayat 25 – 29 (Golongan munafik itu sudah murtad)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s