Tafsir Surah ar-Ra’d Ayat 10 – 13 (Malaikat penjaga)

Ayat 10:

سَواءٌ مِنكُم مَن أَسَرَّ القَولَ وَمَن جَهَرَ بِهِ وَمَن هُوَ مُستَخفٍ بِاللَّيلِ وَسارِبٌ بِالنَّهارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is the same [to Him] concerning you whether one conceals [his] speech or one publicizes it and whether one is hidden by night or conspicuous [among others] by day.

(MALAY)

Sama saja (bagi Tuhan), siapa diantaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari.

 

سَواءٌ مِنكُم مَن أَسَرَّ القَولَ وَمَن جَهَرَ بِهِ

Sama saja (bagi Tuhan), siapa diantaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, 

Sama sahaja bagi Allah kalau kita bercakap dengan rahsia, berbisik, dengan nyata atau tidak. Semuanya Allah dengar dan tidak dapat disembunyikan dariNya. Pendengaran Allah bukan macam kita – kalau kita orang berbisik depan kita pun kita sudah tak dapat nak dengar.

Ayat ini sama halnya dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَإِنْ تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى}

Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi. (Taha:7)

 

وَمَن هُوَ مُستَخفٍ بِاللَّيلِ وَسارِبٌ بِالنَّهارِ

dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari.

Allah juga tahu siapa yang menyorok di malam hari. Sama sahaja bagi Allah sama ada kita menyorok atau berjalan di siang hari dengan terang nyata. Kalau berjalan di siang, orang pun boleh nampak juga, tapi kalau menyorok, mungkin manusia tidak nampak. Tapi Allah sentiasa nampak apa yang kita lakukan.

Maksudnya, untuk kita, tidak ada tempat untuk menyorok dari Allah. Apa sahaja yang kita cuba buat, tidak terlindung bagi Allah. Kalau berlindung dari dilihat manusia mungkin boleh, tapi tidak dengan Allah. Ayat ini adalah tsabit kepada kesempurnaan ilmu Allah taala. Ilmu Allah itu sempurna, tidak macam kita yang terhad.


 

Ayat 11: Kalau Allah tahu segala dosa yang kita lakukan, kenapa Allah tak azab lagi? Ini adalah ayat takhwif duniawi.

Ayat ini adalah ayat yang popular dan banyak disebut-sebut oleh manusia. Tapi adakah tafsir itu sama seperti yang difahami oleh kebanyakan orang? Mari kita lihat.

لَهُ مُعَقِّباتٌ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ يَحفَظونَهُ مِن أَمرِ اللهِ ۗ إِنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ ما بِقَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم ۗ وَإِذا أَرادَ اللهُ بِقَومٍ سوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَما لَهُم مِن دونِهِ مِن والٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For him [i.e., each one] are successive [angels]¹ before and behind him who protect him by the decree of Allāh.² Indeed, Allāh will not change the condition of a people until they change what is in themselves. And when Allāh intends for a people ill,³ there is no repelling it. And there is not for them besides Him any patron.

  • Replacing each other by turn.
  • The phrase may also be rendered “…who guard him from [everything except] the decree of Allāh.”
  • i.e., punishment or destruction because of their sins.

(MALAY)

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

 

لَهُ مُعَقِّباتٌ مِن بَينِ يَدَيهِ وَمِن خَلفِهِ

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya,

Kalimah مُعَقِّباتٌ dari katadasar ع ق ب yang bermaksud ikut seseorang dengan rapat. Sebagai contoh, ikut orang walaupun orang itu naik ke atas bukit yang tinggi. Ia juga bermaksud ikut selepas seseorang (mengganti dia).

Ayat ini bermakna yang Allah hantar malaikat مُعَقِّباتٌ iaitu sentiasa mengikut kita ke mana sahaja kita pergi – kita boleh katakan yang mereka itu adalah malaikat penjaga.

Juga bermaksud mereka bertukar ganti – seorang habis tugas, dan akan ganti dengan malaikat yang lain.

Kalimah مُعَقِّباتٌ ini dalam bentuk jamak qillah – banyak tapi tidak banyak sangat (kurang dari sepuluh). Tugas para malaikat itu adalah untuk pastikan orang itu tidak mati sebelum masa dia untuk mati. Sebagai contohnya, selalu kita dengar bagaimana ada orang yang bawa kereta dan brek rosak, dan dia kemalangan yang teruk tapi tak mati pun – kerana masa dia belum sampai untuk mati dan dia dijaga oleh malaikat.

Malaikat ini juga menjaga manusia dari dimasuki oleh jin. Kalau malaikat ini ada, maka jin tidak berani datang. Tapi kalau kita buat syirik, malaikat ini akan meninggalkan kita dan senanglah kalau jin nak kacau kerana kita tidak ada pelindung lagi.

Ada disebutkan di dalam hadis sahih:

“يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ وَصَلَاةِ الْعَصْرِ، فَيَصْعَدُ إِلَيْهِ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بكم: كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي؟ فَيَقُولُونَ: أَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَتَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ”

Malaikat-malaikat di malam hari dan malaikat-malaikat di siang hari silih berganti menjaga kalian, dan mereka berkumpul di waktu salat Subuh dan salat Asar. Maka naiklah para malaikat yang menjaga kalian di malam hari, lalu Tuhan Yang Maha Mengetahui keadaan kalian menanyai mereka, “Dalam keadaan apakah kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku?” Mereka (para malaikat malam hari) menjawab, “Kami datangi mereka sedang mereka dalam keadaan salat dan kami tinggalkan mereka sedang mereka dalam keadaan salat.”

Di dalam hadis lain disebutkan:

“إِنَّ مَعَكُمْ مَنْ لَا يُفَارِقَكُمْ إِلَّا عِنْدَ الْخَلَاءِ وَعِنْدَ الْجِمَاعِ، فَاسْتَحْيُوهُمْ وَأَكْرِمُوهُمْ”

Sesungguhnya bersama kalian selalu ada malaikat-malaikat yang tidak pernah berpisah dengan kalian, terkecuali di saat kalian sedang berada di tandas dan ketika kalian sedang bersetubuh, maka malulah kalian kepada mereka dan hormatilah mereka.

 

يَحفَظونَهُ مِن أَمرِ اللهِ

mereka menjaganya atas perintah Allah.

Para malaikat itu akan jaga depan dan belakang kita. Selepas turun ayat inilah yang menyebabkan Nabi Muhammad tidak takut dengan ancaman dari musuh baginda. Sebelum itu, selalu ada beberapa sahabat yang menjaga baginda, takut-takut kalau ada musuh yang mengambil kesempatan mencederakan atau membunuh baginda. Tapi selepas turun ayat ini, Nabi suruh mereka pergi sahaja kerana Nabi tahu yang baginda sudah ada penjaga.

Mujahid mengatakan bahawa tiada seorang hamba pun melainkan ada malaikat yang ditugaskan untuk menjaganya di saat dia tidur dan di saat dia terbangun, yakni menjaganya dari kejahatan jin, manusia, dan haiwan buas. Tiada sesuatu pun dari makhluk itu yang datang kepada hamba yang bersangkutan dengan tujuan untuk memudaratkannya, melainkan malaikat penjaga itu berkata kepadanya, “Pergilah ke belakangmu!” Kecuali apabila ada sesuatu yang ditakdirkan oleh Allah, maka barulah dapat mengenainya.

 

إِنَّ اللهَ لا يُغَيِّرُ ما بِقَومٍ حَتّىٰ يُغَيِّروا ما بِأَنفُسِهِم

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Allah nak beritahu yang Nabi Muhammad itu sudah selamat, kamu jangan risau tentang baginda tapi risaulah tentang diri kamu. Allah nak beritahu yang kamu pasti akan dikenakan dengan azab kalau kamu tidak mengubah diri kamu.

Maksud ayat ini, manusia akan terus mendapat kebaikan sahaja dan dijaga oleh malaikat, kecuali kalau mereka mengubah amalan mereka dan agama mereka. Kerana kalau ubah, keputusan Allah dalam kehidupan mereka akan berubah.

Contohnya, kalau tidak yakin kepada Allah, Allah akan cabut kebahagiaan dan kepuasan hidup dari mereka (sudah diambil kesenangan hati dari mereka). Oleh itu, ayat ini sebagai hujah, kerana manusia buat kesalahanlah yang menyebabkan Allah uji mereka dengan musibah.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa’id Al-Asyaj, telah menceritakan kepada kami Hafs ibnu Gayyas, dari Asy’as, dari Jahm, dari Ibrahim yang mengatakan bahawa Allah pernah memerintahkan kepada salah seorang nabi dari kalangan kaum Bani Israil, “Hendaklah kamu katakan kepada kaummu bahawa tidak ada suatu penduduk kota pun —dan tidak ada penghuni suatu ahli bait pun — yang tadinya berada dalam ketaatan kepada Allah, lalu mereka berpaling dari ketaatan dan mengerjakan maksiat kepada Allah, melainkan Allah memalingkan dari mereka hal-hal yang mereka sukai, kemudian menggantikannya dengan hal-hal yang tidak mereka sukai.” Selanjutnya Jahm ibnu Ibrahim mengatakan bahawa bukti kebenaran ini dalam Kitabullah (Al-Qur’an) ialah firman Allah Swt. yang mengatakan: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra’d: 11)

Hal ini disebutkan dalam suatu hadis yang berpredikat marfu.

Akan tetapi, kita kena faham bahawa ada masa Allah uji manusia kerana nak uji manusia tentang ketaatan mereka, bukan kerana kesalahan yang mereka lakukan. Macam para Nabi juga mengalami kesusahan dan musibah dan tentunya mereka itu tidak berdosa.

Begitu juga ada orang yang baik, mungkin wali tapi ada juga kesusahan dalam hidup mereka. Kalau begitu, itu adalah untuk tarbiyah mereka dan peluang mereka untuk dapat pahala dengan sabar di atas musibah mereka. Oleh itu, tidaklah boleh kita pukul rata sahaja.

Janganlah kita kata kepada seseorang kalau dia susah: “ha, ini sebab kau banyak buat dosalah ni”. Janganlah sampai begitu. Pertamanya, jagalah hati orang; keduanya, kita tidak tahu apakah hakikat kesusahan yang dialami oleh orang itu. Buat senyap, sudahlah.

Selalu ayat ini digunakan dalam ceramah motivasi, sebagai ajakan manusia mengubah diri mereka ke arah kebaikan. Mereka kata: “kalau kita tidak berusaha untuk ubah diri kita kepada kejayaan, Allah tidak mengubah kita.” Walaupun ini adalah fahaman yang popular di kalangan kita, dan kalau baca terjemahan ayat pun nampaknya begitu, tapi saya tidak berjumpa lagi tafsir yang bermaksud begini. Allahu a’lam.

 

وَإِذا أَرادَ اللهُ بِقَومٍ سوءًا فَلا مَرَدَّ لَهُ

Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya;

Kalau Allah sudah takdirkan akan mengenakan azab kepada sesiapa sahaja, tidak ada sesiapa yang boleh halang Allah. Kita ini lemah sangat, jadi kena sedarlah kelemahan dan kekurangan kita. Kalau Allah nak kenakan musibah dan satu dunia ini nak halang musibah itu dari terjadi, tidak akan berjaya. Musibah itu tetap akan kena kepada orang itu juga.

 

وَما لَهُم مِن دونِهِ مِن والٍ

dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Sesiapa pun tidak akan ada والٍ (dari و ل ي) yang dapat menjadi pelindung atau penolong kepadanya.


 

Ayat 12: Dalil aqli tanbih ke 3

هُوَ الَّذي يُريكُمُ البَرقَ خَوفًا وَطَمَعًا وَيُنشِئُ السَّحابَ الثِّقالَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is He who shows you lightening, [causing] fear and aspiration, and generates the heavy clouds.

(MALAY)

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung.

 

هُوَ الَّذي يُريكُمُ البَرقَ

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu

Allahlah yang menunjukkan kilat kepada kita. Kilat itu di bawah kuasa Allah, bukan terjadi sendiri. Sekali sekala Dia tunjukkan kilat kepada kita. Kenapa?

 

خَوفًا وَطَمَعًا

untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, 

Ada dua kesan manusia terhadap kilat itu: suka ada, takut pun ada.

Dalam kilat itu ada penakutan. Kerana takut disambar oleh kilat.

Dan di dalamnya juga ada harapan kerana kalau sedang kemarau, bila nampak kilat, tentu suka kerana itu tanda nak hujan.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا عَفَّانُ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ بْنُ زِيَادٍ، حَدَّثَنَا الْحَجَّاجُ، حَدَّثَنِي أَبُو مَطَرٍ، عَنْ سَالِمٍ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَمع الرعْد وَالصَّوَاعِقَ قَالَ: “اللَّهُمَّ، لَا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Affan, telah menceritakan kepada kami Abdul Wahid ibnu Ziyad, telah menceritakan kepada kami Al-Hajjaj, telah menceritakan kepada kami Abu Matar, dari Salim, dari ayahnya yang mengatakan bahawa Rasulullah Saw. apabila mendengar suara guruh dan petir, beliau mengucapkan doa berikut: Ya Allah, janganlah Engkau bunuh kami dengan murka-Mu, dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu, dan maafkanlah kami sebelum itu.

 

وَيُنشِئُ السَّحابَ الثِّقالَ

dan Dia mengadakan awan mendung.

Dan Dia mengadakan ‘awan yang berat’. Maksudnya awan yang mendung, sebagai tanda hujan kerana awan berat sahaja yang ada air di dalamnya. Memang sifat awan yang berat, apabila ia berlanggar sesama sendiri, ia akan mengeluarkan kilat.


 

Ayat 13: Ayat tadi sebut kilat, sekarang guruh pula.

وَيُسَبِّحُ الرَّعدُ بِحَمدِهِ وَالمَلائِكَةُ مِن خيفَتِهِ وَيُرسِلُ الصَّواعِقَ فَيُصيبُ بِها مَن يَشاءُ وَهُم يُجادِلونَ فِي اللهِ وَهُوَ شَديدُ المِحالِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the thunder exalts [Allāh] with praise of Him – and the angels [as well] from fear of Him – and He sends thunderbolts and strikes therewith whom He wills while they dispute about Allāh; and He is severe in assault.

(MALAY)

Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya.

 

وَيُسَبِّحُ الرَّعدُ بِحَمدِهِ وَالمَلائِكَةُ مِن خيفَتِهِ

Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, 

Kalimah الرَّعدُ dalam ayat ini ada dua terjemahan:

  1. Ia mungkin bermaksud ‘petir’. Kalau ayat ini bermaksud ‘petir’, maka kita dapat tahu dari ayat ini yang langit itu bertasbih juga. Caranya adalah dengan bunyi guruh itu. Kita mungkin dengar sebagai guruh sahaja, tapi sebenarnya ia adalah cara langit bertasbih rupanya. Oleh itu, bila kita dengar guruh, kita pun kena bertasbih juga.
  2. Ia juga boleh bermaksud suara para malaikat. Maksudnya malaikat bertasbih dengan memuji Allah dan kerana takut kepada Allah. Bunyi guruh memang kuat dan menakutkan. Tapi sekarang Allah beritahu yang malaikat pun bertasbih juga kerana mereka takut dengan Allah. Mereka takut kerana mereka kenal Allah. Jadi kalau kita pun tidak takut dengan Allah, maka kita tidak kenal Allah lah maknanya.

 

وَيُرسِلُ الصَّواعِقَ فَيُصيبُ بِها مَن يَشاءُ

dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki,

Dan kadang-kadang Allah melepaskan halilintar. Dan Dia menimpakan halilintar kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kerana dengan halilintar itu boleh bunuh manusia dan bunuh jin. Kita pun pernah dengar kisah bagaimana ada manusia yang mati kerana kena halilintar.

Halilintar banyak terjadi di akhir zaman, seperti apa yang dikatakan oleh Imam Ahmad. Dia mengatakan:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُصْعَبٍ، حَدَّثَنَا عُمَارَةُ عَنْ أَبِي نَضْرَةَ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ؛ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “تَكْثُرُ الصَّوَاعِقُ عِنْدَ اقْتِرَابِ السَّاعَةِ، حَتَّى يَأْتِيَ الرَّجُلُ الْقَوْمَ فَيَقُولُ: مَنْ صُعِقَ تِلْكُمُ الْغَدَاةَ؟ فَيَقُولُونَ صعِق فُلَانٌ وَفُلَانٌ وَفُلَانٌ”.

telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Mus’ab telah menceritakan kepada kami Imarah, dari AbuNadrah, dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi Saw. pernah bersabda: Halilintar akan banyak bila hari kiamat telah dekat, sehingga seorang lelaki datang kepada suatu kaum, lalu dia mengatakan, “Siapakah yang telah disambar petir di antara kalian kelmarin?” Maka mereka menjawab, “Si Fulan, si Fulan, dan si Fulan.”

 

وَهُم يُجادِلونَ فِي اللهِ

dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, 

Allah telah memberikan ayat-ayat untuk menakutkan manusia tetapi mereka masih hendak mempersoalkan tentang Allah? Adakah mereka sedar tak apa yang mereka buat itu? Wahai orang Mekah, kamu tak takutkah? Kamu masih lagi nak beramal dengan amalan syirik? Bagaimana dengan umat Islam sendiri, tak mahukan belajar mana tauhid dan mana syirik?

 

وَهُوَ شَديدُ المِحالِ

dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya.

Allah boleh guna kekasaran kepada sesiapa pun. Allah boleh kenakan musibah kepada sesiapa sahaja sampai boleh memusnahkan mereka. Maka janganlah buat ikut suka hati sahaja. Janganlah buat syirik dan buat dosa berleluasa atas dunia ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s