Tafsir Surah an-Najm Ayat 32 (Jauhi dosa besar)

Ayat 32: Ini adalah sifat-sifat mereka yang akan dibalas dengan syurga. Ini juga adalah sifat-sifat lain bagi ahli tauhid. Asalnya dia bermula dengan terima akidah tauhid maka amalannya pun jadi baik. Memang ada banyak sifat-sifatnya yang baik dan sekarang disebut sifat-sifat yang paling penting.

الَّذينَ يَجتَنِبونَ كَبائِرَ الإِثمِ وَالفَواحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ واسِعُ المَغفِرَةِ ۚ هُوَ أَعلَمُ بِكُم إِذ أَنشَأَكُم مِنَ الأَرضِ وَإِذ أَنتُم أَجِنَّةٌ في بُطونِ أُمَّهاتِكُم ۖ فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم ۖ هُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اتَّقىٰ

Sahih International

Those who avoid the major sins and immoralities, only [committing] slight ones. Indeed, your Lord is vast in forgiveness. He was most knowing of you when He produced you from the earth and when you were fetuses in the wombs of your mothers. So do not claim yourselves to be pure; He is most knowing of who fears Him.

Malay

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ

(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar

Ini adalah sifat orang-orang yang Allah akan balas dengan syurga seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini.

Dalam ayat sebelum ini telah disentuh bagaimana Allah akan membalas manusia dengan kebaikan amal yang mereka lakukan. Tetapi dalam agama ini, kita bukan sahaja perlu beramal, tetapi ada perkara-perkara yang kita perlu tinggalkan. Oleh itu, ayat ini memperkatakan tentang meninggalkan dosa pula.

Penting untuk kita meninggalkan dosa-dosa kerana kita hanya boleh beramal dengan kebaikan jikalau kita berusaha meninggalkan dosa. Janganlah kita menjadi orang yang buat amal ibadat, tapi dalam masa yang sama, masih lagi melakukan dosa-dosa besar. Dosa-dosa yang besar akan menghalang kita dari melakukan amal ibadat.

Ayat ini tentang mereka yang meninggalkan dosa-dosa besar. Dia memang tak buat dosa-dosa syirik, tetapi dalam masa yang sama, dia juga tidak mahu langsung buat dosa-dosa besar. Sebagai contoh, kalau ada orang yang buat Majlis Tahlil dan ajak dia datang, dia memang tidak akan hadir.

Ataupun kalau ada yang buat majlis perkahwinan dan ada bersanding, dia tak jadi naik ke rumah itu. Sanggup dia patah balik dan makan di kedai makan sahaja dari bersekongkol dengan majlis syirik kepada Allah.

Ulama mengatakan bahawa كَبَائِرَ الْإِثْمِ ini adalah dosa-dosa yang membawa kita ke Neraka jikalau kita melakukannya. Dalam Al-Qur’an telah dijelaskan berbagai macam dosa-dosa besar dan keharusan kita untuk bertaubat serta menjauhkan diri dari hal-hal yang dilarang oleh Allah.

Tapi apakah ‘dosa besar’ itu? Banyaklah tafsiran di kalangan ulama’ dan kita cuba berikan sebahagian darinya. Dosa besar merupakan sesuatu dosa yang dalam Al-Qur’an sudah diancam hukuman yang sangat berat dan tidak mendapat ampunan dari Allah. Sebagai seorang Muslim, kewajipan kita adalah menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya yang timbul dari keimanan dan ketakwaan kita.

Ada ulama’ yang cuba menyenaraikan semua dosa besar itu. Sebagai contoh, ada 70 jenis dosa besar yang disebut dalam kitab Al-Kabair oleh Adz-Dzahabi. Alasan dan dasar hukumnya dapat dilihat sendiri dalam kitab Al-Kabair (الكبائر) karya Adz-Dhahabi.

1. Menyekutukan Allah atau Syirik
2. Membunuh manusia
3. Melakukan sihir
4. Meninggalkan solat
5. Tidak mengeluarkan zakat
6. Tidak berpuasa ketika bulan Ramadhan tanpa alasan yang kuat
7. Tidak mengerjakan Haji walaupun berkecukupan
8. Durhaka kepada Ibu Bapa
9. Memutuskan silaturahim
10. Berzina
11. Melakukan sodomi atau homoseksual
12. Memakan riba
13. Memakan harta anak yatim
14. Mendustakan Allah S.W.T dan rasul-Nya
15. Lari dari medan perang
16. Pemimpin yang penipu dan kejam
17. Sombong
18. Saksi palsu
19. Meminum minuman beralkohol
20. Berjudi
21. Menuduh orang baik melakukan zina
22. Menipu harta rampasan perang
23. Mencuri
24. Merompak
25. Sumpah palsu
26. Berlaku zalim
27. Pemungut cukai yang zalim
28. Makan dari harta yang haram
29. Bunuh diri
30. Berbohong
31. Hakim yang tidak adil
32. Memberi dan menerima rasuah
33. Wanita yang menyerupai lelaki dan sebaliknya juga
34. Membiarkan isteri, anaknya atau anggota keluarganya yang lain berbuat maksiat dan membantu anggota keluarganya untuk berbuat maksiat
35. Menikahi wanita yang telah bercerai agar wanita tersebut nantinya boleh kembali menikah dengan suaminya terdahulu (Cina Buta)
36. Tidak melindungi pakaian dan tubuhnya dari terkena hadas kecil seperti air kencing atau kotoran
37. Riya’ atau suka menunjuk-nunjuk
38. Ulama’ yang memiliki ilmu namun tidak mahu mengamalkan ilmu tersebut untuk orang lain
39. Berkhianat
40. Mengungkit-ungkit pemberian
41. Mengingkari takdir Allah SWT
42. Mencari-cari kesalahan orang lain
43. Menyebarkan tohmah
44. Mengutuk umat Islam
45. Mengingkari janji
46. Percaya kepada sihir dan nujum
47. Durhaka kepada suami
48. Membuat patung
49. Menampar pipi dan meratap jika terkena bala
50. Mengganggu orang lain
51. Berbuat zalim terhadap yang lemah
52. Mengganggu jiran
53. Menyakiti dan memaki orang Islam
54. Durhaka kepada Allah S.W.T dan menganggap dirinya baik
55. Memakai pakaian labuh
56. Lelaki yang memakai sutera dan emas
57. Seorang hamba yang lari dari tuannya
58. Sembelihan untuk selain Allah S.W.T
59. Seorang yang mengaku bahawa seseorang itu adalah ayahnya namun dia tahu bahawa itu tidak benar
60. Berdebat dan bermusuhan
61. Enggan memberikan kelebihan air
62. Mengurangi timbangan
63. Merasa aman dari kemurkaan Allah S.W.T
64. Putus asa dari rahmat Allah S.W.T
65. Meninggalkan solat berjemaah tanpa alasan yang kuat
66. Meninggalkan Solat Jumaat tanpa alasan yang kuat
67. Merebut hak warisan yang bukan miliknya
68. Menipu
69. Mengintip rahsia dan membuka rahsia orang lain
70. Mencela Nabi dan para sahabat baginda

 

وَالْفَوَاحِشَ

dan perbuatan keji

Orang yang beriman itu juga akan meninggalkan dosa-dosa keji yang memalukan. Ini adalah dosa perbuatan yang keji, yang dengan kawan atau dengan isteri kita sendiri pun kita tak mahu dia tahu yang kita melakukan perbuatan itu kerana ianya memang memalukan.

Kadang-kadang dengan kawan atau dengan isteri, mereka tahu kebanyakan dari kelakuan kita. Tapi, ada dosa-dosa keji yang dengan isteri atau kawan baik kita pun kita malu kalau mereka tahu.

Dosa الْفَوَاحِشَ ini juga sebenarnya termasuk dalam dosa besar tapi Allah sebut dengan khusus kerana ianya melibatkan nafsu syahwat. Ianya melibatkan nafsu seks dan memalukan seperti penzinaan. Allah sebut dengan khusus kerana ianya senang sangat terjadi. Sebagai contoh, kita tentu tidak bunuh orang, tapi bagaimana dengan zina? Mana lagi ada kemungkinan kita lakukan? Tentulah zina, bukan? Kerana ia agak mudah dilakukan.

Meninggalkan dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan yang keji memerlukan iman yang tinggi. Kita mungkin tidak mencari untuk berbuat dosa besar itu tetapi bagaimana pula kalau Allah tiba-tiba uji kita dengan meletakkannya berada di depan mata kita?

Sebagai contoh, kita memang tidak mahu melakukan zina tetapi bagaimana pula kalau ada seorang perempuan yang cantik yang mahu berzina dengan kita, adakah kita mempunyai kekuatan iman untuk menolaknya? Itulah ujian iman yang memerlukan kekuatan dan keimanan yang tinggi.

Sebab itu dosa الْفَوَاحِشَ disebut secara khusus dalam ayat ini kerana walaupun ianya memang sudah termasuk di dalam jenis dosa, tetapi dosa jenis ini amat susah untuk dijaga. Maka Allah selalu letak penekanan khusus bagi dosa jenis ini. Kita mungkin lebih mudah untuk tidak melakukan dosa besar seperti bunuh orang lain, minum arak, makan babi, dan sebagainya.

Tetapi apabila melibatkan dosa yang berkaitan dengan nafsu syahwat, ianya amat sukar. Sebab itu walaupun ada yang mengaku Muslim tetapi mereka juga menonton video lucah, dan ada juga yang melakukan zina. Dan ada yang mengaku Muslim, tapi mengamalkan homoseksual. Mereka seperti tidak dapat meninggalkan perbuatan itu walaupun mereka tahu ianya salah.

 

إِلَّا اللَّمَمَ

yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil.

‘Dosa-dosa kecil’ ini adalah dosa yang tidak berapa jelas. Oleh sebab itu ianya memang susah untuk ditinggalkan. Jadi ini adalah jenis dosa yang sukar kita nak elak. Dan kerana itu tiada celaan khusus kepadanya.

Perkataan اللَّمَمَ dari katadasar ل م م yang bermaksud ‘perkara yang kecil’. Ia juga bermaksud ‘sesuatu yang dilakukan sekali sekala’. Ia juga bermaksud ‘singgah’. Maknanya, dosa yang singgah sekejap sahaja dan tidak kekal. Contohnya seorang lelaki goda perempuan dan tidak jadi apa-apa.

Oleh itu, dalam perkara dosa ini, ianya adalah dosa yang kecil sahaja yang dilakukan sekali sekala. Bukanlah sampai menjadi tabiat. Dan setiap kali melakukan dosa kecil itu, kita sepatutnya menyesali perbuatan kita dan meminta ampun kepada Allah. Janganlah kita buat lagi, walaupun kita tahu ianya dosa kecil.

Kita sebagai manusia biasa tentunya tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dosa-dosa kecil. Nabi pernah bersabda:

كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاؤُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّبُوْنَ

“Setiap Bani Adam itu bersalah dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan itu adalah mereka yang bertaubat”.

Hadis ini memberitahu kita bahawa sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dosa. Hadis di atas juga menyatakan bahawa semulia-mulia manusia adalah yang bertaubat apabila menyedari dirinya telah melakukan dosa atau bersalah.

Allah Azza wa-Jalla pula telah memerintahkan setiap mukmin agar mereka segera bertaubat, dan janganlah ditangguh-tangguh atau dilewat-lewatkan. Adapun antara dalil-dalil dari Al-Qur’an tentang wajibnya segera bertaubat ialah Nur:31

وَتُوْبُوْااِلَىاللهِ جَمِيْعًااَيُّهَاالْمُؤْمِنُوْنَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.

“Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin kepada Allah semoga kamu mendapat keuntungan”

Dosa-dosa kecil juga akan dibersihkan dengan amalan-amalan ibadah kita yang baik. Walaupun kita tidak minta ampun dengan khusus. Sebagai contoh dengan ambil wuduk, solat, puasa dan amal-amal lain seperti zikir dan sebagainya, dosa-dosa itu akan dihapuskan (ia akan gugur sendiri). Itu adalah jenis-jenis dosa kecil yang kita pun tak minta ampun untuknya.

Kita tidak minta ampun kerana kadang-kadang kita pun tidak sedar kita telah melakukannya. Walaupun kita tak sebut minta ampun dengan khusus, tapi ianya terhapus begitu sahaja. Sebagaimana firman Allah di dalam Hud:114

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.

Kadang-kadang kita tak perasan pun kita ada buat dosa-dosa kecil itu. Dengan melakukan amal ibadat, dosa-dosa itu akan hilang dengan sendiri atas kurniaan dan rahmat Allah. Maka kena banyakkan amal ibadat.

Tetapi perlu juga diingat, jikalau dosa-dosa kecil itu dilakukan berterusan, maka ianya boleh menjadi dosa yang besar. Seperti kita telah sebut maksud لمم tadi, ia bermaksud ‘singgah’ sahaja. Jangan berterusan melakukan dosa kecil kerana kalau berterusan, maka ia menjadi dosa besar juga.

Tambahan pula, dosa-dosa kecil inilah yang membawa kepada perbuatan dosa-dosa besar kalau tidak diperhatikan. Sebagai contoh, melihat kepada wanita adalah dosa kecil. Tapi kalau tidak dijaga, ianya akan membuka kepada kebiasaan melihat wanita dan lama-lama akan membuka hati manusia kepada zina. Mula-mula lihat sahaja, kemudian melihat dengan nafsu, kemudian mula menegur, kemudian bersembang, jadi mesra dan seterusnya.

Ada satu penyakit dalam masyarakat kita: dalam hal dosa-dosa kecil, mereka jaga betul. Sebagai contoh, kalau solat, kena sengseng seluar (isbal); kalau gula-gula, tidak boleh ada alkohol dan sebagainya. Tapi dalam dosa-dosa besar, mereka tak kisah pula. Macam tak kisah kalau beli rumah pakai sistem kewangan yang mengamalkan riba. Memang dosa-dosa kecil itu perlu juga dijaga, tapi dosa-dosa besar lebih-lebih lagi sepatutnya dijauhkan.

 

إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ

Sesungguhnya Tuhanmu maha luas ampunan-Nya.

Allah sentiasa membuka pintu taubatNya. Maka kalau kita ada melakukan kesalahan-kesalahan dosa apa pun, maka mohonlah ampun kepada Allah dan Allah akan ampunkan. Allah ampunkan dosa-dosa kecil manusia dengan dua cara: dengan amalan baik manusia dan kerana mereka meninggalkan dosa-dosa besar.

Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil kita selagi mana kita meninggalkan dosa-dosa besar. Ini berdasarkan daripada firman Allah di dalam Nisa’:31

إِن تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُم مُّدْخَلًا كَرِيمًا

Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).

Seperti yang telah disebut sebelum ini, Allah boleh ampunkan dosa-dosa kecil tanpa kita minta ampun pun. Cukup dengan amalan baik sahaja. Dengan sifat rahmat Allahlah Dia ampunkan dosa kita. Kalau Allah tak ampunkan, tidak ada manusia yang akan selamat. Allah sanggup ampun kerana Allah ada perasaan sayang kepada kita.

Tapi, ada dosa yang Allah takkan ampunkan selagi kita tak minta ampun secara khusus untuknya. Sebagai contoh, dosa syirik. Allah telah sebut dalam Nisa:48

إِنَّ اللهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.

Maknanya, kena minta ampun dosa atas dosa syirik secara khusus. Kena cakap: “ya Allah, ampunkan dosa syirik aku dulu, yang aku amal doa tawasul masa tarekat dulu, masa silat dulu… ” dan sebagainya. Tak bolehlah pakai doa umum “ya Allah, ampunkan dosa aku”. Sedangkan kalau kita minta sesuatu kebaikan dengan Allah, satu-satu kita sebut. Tapi kalau minta ampun, kita sebut sekali lalu sahaja?

Tetapi, untuk mula minta ampun kepada dosa besar seperti dosa syirik itu, seseorang itu kenalah tahu bahawa sesuatu perbuatan itu adalah syirik dan dia pernah lakukan. Sebagai contoh, ramai yang tidak tahu yang bersanding adalah syirik. Ianya adalah satu perbuatan syirik kerana ianya adalah perbuatan ibadat dalam agama Hindu dan kita pun tahu Hindu itu agama syirik.

Jadi, kalau seseorang itu tidak tahu yang bersanding adalah syirik, dia pun tidak akan minta ampun untuk dosa syiriknya kerana dia sendiri pun tidak tahu yang ianya syirik. Jadi, untuk tahu, kena datang belajar tauhid. Dan untuk tahu tentang tauhid, kena belajar tafsir Al-Qur’an. Tidak dapat kita belajar tentang syirik tanpa kita belajar dan memahami Al-Qur’an.

Dosa syirik adalah dosa yang amat besar. Tapi ramai manusia tidak sedar kesannya. Kalau dia mati tanpa sempat minta ampun atas dosa syiriknya, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka, tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Mereka akan duduk kekal dalam neraka sepertimana orang-orang kafir juga.

Jangan sangka kalau kita sudah Muslim, kita akan keluar akhirnya dari neraka seperti orang Islam yang lain kalau kita ada melakukan syirik. Orang Islam yang masuk neraka kerana ada dosa, memang akan masuk syurga akhirnya, *asalkan* dia tidak melakukan syirik, atau dia pernah melakukan syirik tapi dia sudah minta ampun kepada Allah atas kesalahan syirik itu.

Satu lagi kesan yang ramai tidak tahu adalah, dosa syirik itu akan menyebabkan *seluruh* amal ibadatnya sebelum itu akan dihapuskan pahalanya. Ini berdasarkan kepada ayat Zumar:65

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu. “Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi.

Alangkah ruginya! Untuk faham ayat ini, bayangkan kalau pahala kita sebagai angin yang ditiupkan ke dalam belon. Semakin banyak amal, semakin besar belon itu. Setiap perbuatan syirik yang dilakukan pula adalah ibarat satu jarum. Jarum itu akan memecahkan belon itu dan semua angin itu akan hilang. Maka, segala pahala solat, puasa, sedekah, umrah, haji, malah apa sahaja akan hilang begitu sahaja.

Alangkah ruginya! Dia kena kumpul balik pahala sedikit demi sedikit balik. Malanglah kalau dia masih tidak tahu perbuatan syirik itu, kerana dia kemudiannya akan melakukan kembali dosa syirik itu dan pahalanya akan jadi kosong balik. Maknanya, dia tidak ada langsung pahala lagi untuk dibawa ke akhirat!

Banyak yang sudah sedar banyak amalan mereka dulu salah. Maka, mereka pun risau, sesak dada mengenangkan dosa mereka dahulu. Mereka khuatir macam mana keadaan mereka di akhirat nanti. Sebab sudah lama buat amalan tawasul, amalan bidaah, amalan syirik dan amalan yang sesat. Maka, kepada mereka ini, jawapannya ada dalam Zumar:53

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Apabila kita sudah sedar dengan dosa-dosa kita, maka jangan kita sangka Allah tak ampunkan kita terus. Allah mampu untuk ampunkan dosa kita semuanya sekali walaupun sebanyak buih di lautan. Asalkan kita minta ampun dengan ikhlas kepadaNya.

 

هُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ

Dia lebih mengetahui (tentang keadaan)mu

Allah paling mengetahui tentang diri kita. Allah tahu tentang diri kita lebih lagi daripada orang-orang lain. Malah, Allah lebih tahu tentang diri kita lebih dari kita sendiri. Tidak ada apa yang kita boleh sembunyikan daripada Allah.

 

إِذْ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ

ketika Dia menjadikan kamu dari tanah

Yang sebenarnya dijadikan daripada tanah adalah Nabi Adam a.s. Kita pun belum ada lagi waktu itu. Kita pula sebenarnya dijadikan dari air mani. Tetapi Allah kata kita dijadikan dari tanah kerana tok Adam itu dijadikan dari tanah dan kita adalah anak cucunya. Allah beritahu kita Dia sudah kenal kita waktu Nabi Adam dijadikan lagi kerana waktu itu kita sudah ada dalam bentuk roh. Cuma jasad yang belum ada.

Kita ini asal kejadian dari tanah yang hina sahaja. Maka jangan perasan kalau kita ini jenis yang tak buat dosa besar. Jangan bangga sangat dan rasa selamat kalau kita ini kuat ibadat dan alim dalam segala ilmu. Kita kena sedar yang kita ini semua dari asal kejadian yang jijik (dari tanah dan dari air mani). Tidak ada kelayakan untuk masuk dalam syurga kalau tengok asal kejadian. Tapi Allah banyak beri rahmatNya kepada kita.

 

وَإِذْ أَنتُمْ أَجِنَّةٌ فِي بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ

dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu;

Ini adalah isyarat kepada lemahnya insan waktu itu.

Allah hendak memberitahu yang waktu kita dalam perut ibu kita lagi pun Allah sudah kenal kita. Walaupun kita sudah ada dalam perut, tetapi ibu kita tidak kenal kita lagi dan bapa kita pun tidak kenal kita. Mereka tidak tahu macam mana kita akan jadi nanti, bagaimanakah rupa kita, apakah perangai kita dan sebagainya. Tetapi Allah sudah kenal kita. Malah Allah tahu apakah yang akan terjadi kepada kita di masa hadapan. Ini kerana ilmu Allah amat luas.

 

فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ

maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci.

Maka, janganlah kamu anggap diri kamu itu suci. Kerana Allah tahu apakah perangai kita, apakah kelemahan kita dan apakah kesalahan-kesalahan yang kita lakukan. Manusia dan makhluk lain tidak tahu, tetapi Allah Maha Tahu tentang kita.

Allah larang kita untuk mengatakan yang diri kita ini baik, suci atau pun sudah bertaqwa kerana itu seperti meninggikan diri dan juga berlagak. Lagi pun kita sendiri tidak tahu kedudukan kita di mata Allah, bukan?

Jangan sangka kita sudah jaga solat kita, kita puasa, kita ada sedekah dan buat amal ibadat yang lain, kita sudah rasa kita baik sangat. Jangan kita mula pandang rendah kepada orang lain. Jangan mula ada perasaan ‘holier than thou‘. Kena tengok banyak perkara lagi selain daripada amal ibadat itu sahaja.

Jangan rasa kita sudah selamat atau lebih baik dari orang lain. Selagi belum mati, belum tentu lagi kita akan selamat di akhirat. Kita tak tahu hujung hayat kita macam mana lagi. Walaupun kita sudah belajar agama, belajar tafsir Al-Qur’an dan sunnah Nabi. Oleh itu, kenalah kita berdoa kepada Allah untuk menetapkan iman kita dalam Islam.

Sebagai contoh, ini ada dua doa yang elok diamalkan:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

Artinya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR. Ahmad dan at Tirmidzi)

Juga amalkan doa dalam Ali Imran:8

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi”.

Hendaklah kita berharap sangat supaya kita tetap dalam Islam (sampai ke hujung hayat). Kalau sepanjang hidup kita, kita duduk dalam Islam dan iman, tapi kalau di hujung hayat kita, kita terkeluar dari Islam kerana buat syirik, maka yang dikira adalah penghujung hayat kita, bukan perkara yang dilakukan dahulu.

Dan hendaklah kita memohon perlindungan dari ujian yang kita tidak mampu menghadapinya. Sebagaimana doa Nabi:

اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسيحِ الدَّجَّال، وأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من المأثمِ والمَغْرَمِ”

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah masih ad-dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada hambatan dosa dan hutang”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Nota: amalan doa ini Nabi baca di dalam tasyahud akhir solat baginda sebelum salam. Eloklah kita pun amalkan begitu juga. Kerana waktu itu kita masih lagi di dalam solat yang bermakna kita masih berhadapan dengan Allah Taala lagi. Jadi, doa kita lebih makbul lagi.

Jadi, kembali kepada maksud ayat ini, kita jangan kata diri kita sudah suci, sudah baik. Tetapi, kalau kita mengatakan untuk orang lain, itu dibolehkan. Kalau ada saudara kita yang ditohmah, difitnah, maka kita kena pergi ke hadapan dan menyatakan yang orang itu tidak melakukannya. Kita disuruh untuk ‘menyucikan’ kedudukan saudara kita itu kalau kita tahu kedudukan yang sebenarnya.

Jangan kita biarkan fitnah berleluasa. Seperti kisah Aisyah yang dikatakan berzina dengan lelaki lain. Sepatutnya semua mukmin waktu itu kena mengatakan yang Aisyah itu suci. Allah tegur dalam Al-Qur’an dalam Nur:16

وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَا أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَٰذَا سُبْحَانَكَ هَٰذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ

Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah pantas bagi kita memperkatakan ini, Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar”.

Dalam ayat itu, Allah menegur para sahabat yang tidak terus bangkit membersihkan nama Aisyah. Sepatutnya mereka membela Aisyah. Oleh itu, kalau penyucian dilakukan untuk orang lain, bagus. Tapi untuk diri sendiri, tidak boleh.

Banyak salah faham terjadi tentang perkara ini. Sebab itulah, ada dalam masyarakat kita yang kata diri mereka sudah sampai ‘maqam tinggi’, sampai mereka tak perlu lagi solat, puasa dan sebagainya. Itu adalah mengarut sekali. Mereka inilah yang kononnya mengaku sebagai ‘wali’. Mereka mengaku begitu supaya mereka dipandang tinggi dan supaya ada anak murid yang jahil mengagungkan mereka.

Kita juga tidak boleh menceritakan amalan-amalan kebaikan yang sudah kita lakukan. Antaranya cerita berapa lama kita sudah solat, berapa banyak kita sedekah dan sebagainya. Jangan kita buat begitu. Kerana kalau kita buat begitu, akan hilang keikhlasan dalam diri kita. Allah mahu hati kita ikhlas. Allah sendiri akan balas amalan baik kita itu, tak perlu kita nak dapatkan pujian dari manusia.

Tak payahlah nak post kalau buat ibadat tu...
Tak payahlah nak post kalau buat ibadat tu…

Kita juga tidak boleh menceritakan kebaikan yang kita hendak lakukan. Buat apa? Bukannya Allah tak tahu niat dalam hati kita. Kita sudah ada niat sahaja, Allah sudah tahu. Jadi tidak perlu nak ceritakan niat kita macam orang kita yang lafaz niat solat dengan kuat – usolli fard….  Kenapa nak kena buat begitu? Adakah sengaja dia nak beritahu orang lain? Kalau nak beritahu Allah, buat apa? Sebab Allah sudah tahu pun.

Jangan juga berikan nama kedudukan tinggi kepada diri kita. Sebagai contoh, kita beri pangkat Syeikhul Islam kepada diri kita. Macam Ibn Taimiyyah, bukan dia yang kata dia Syeikhul Islam. Bila dia sudah tiada barulah anak muridnya yang sebutkan kedudukannya itu. Masa dia hidup, mungkin tidak ada lagi.

Kita pula janganlah beri nama yang memuji melampau kepada orang lain semasa dia hidup lagi. Itu akan menyebabkan dia pula tak selesa nanti. Atau dia rasa tinggi diri dan ini akan memudharatkan diri dia pula. Itulah sebabnya Nabi melarang kita memuji orang lain depan-depan. Lihatlah satu hadis:

Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,:”Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya: ”Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.) “Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata: ”Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.” Riwayat Muslim.

Untuk tidak merasa tinggi diri, Nabi Muhammad sampai suruh sahabat tukar nama jikalau nama itu meninggikan diri. Sebagai contoh, ada sahabah nama asalnya Barrah yang bermaksud ‘Wanita yang sangat baik’. Nabi berikan nama Zainab kepadanya.

Lagi satu yang dibenarkan untuk cakap tentang diri sendiri adalah kalau nak bagi semangat kepada orang lain. Macam dulu kita jahil dan sekarang sudah tahu tentang tauhid. Maka bolehlah cakap begitu kepada orang lain kerana nak ajak dia juga belajar sekali dengan kita. Katakanlah begini: “Tengok, dulu aku jahil, buat benda syirik dan bidaah, tapi sekarang aku dah amalkan tauhid kerana aku belajar. Marilah belajar sekali….”

Amat bahaya kalau kita rasa diri kita sudah selamat. Agama Kristian kata, kalau mereka menerima Jesus, mereka akan masuk syurga. Itu pun sudah mengatakan diri selamat dan itu adalah amat bahaya sekali. Kerana kita tidak tahu bagaimanakah kesudahan diri kita.

Dan jangan puji berlebihan orang lain dengan mengatakan dia akan dapat itu dan ini. Ini kerana itu semua adalah rahmat Allah dan kita tidak tahu kerana itu benda ghaib. Siapa kita yang tahu orang itu akan dapat apa dan apa?

 

هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ

Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.

Allah tahu siapakah yang bertaqwa. Tak perlu kita hendak memberi tahu kepada Allah yang kita ini bertakwa kepadaNya kerana Allah sendiri sudah tahu. Tak perlu juga kita nak beritahu orang lain. Kita tidak tahu kerana ini adalah perkara dalam hati dan perkara dalam hati adalah perkara ghaib dan Allah sahaja yang tahu.

Ada satu kisah peperangan yang berlaku semasa tentera Muslim mengepung kubu tentera Rom. Berhari-hari mereka cuba untuk menembusi kubu itu tapi tidak berjaya. Sampailah ada yang berjaya membuat lubang yang kecil. Diberitahu kepada Amir tentera itu yang mereka memerlukan orang yang bertubuh kecil untuk memasuki lubang itu supaya dapat membuka pintu kubu dari dalam. Belum sempat Amir perang mengeluarkan perintah, sudah ada yang masuk dan membuka pintu kubu dari dalam dan tentera Muslim dapat masuk dan menakluki kubu itu.

Amir bertanya siapakah yang telah membuka pintu dari dalam itu tetapi tidak ada sesiapa yang tampil mengaku. Berhari-hari Amir itu bertanya siapakah yang melakukannya kerana dia hendak memberi habuan kepada orang itu. Masih tiada sesiapa yang mengaku sampaikan pada satu malam, datang seorang lelaki kepada Amir secara tersembunyi dengan muka tertutup. Dia kata dia boleh beritahu siapakah orang itu, dengan syarat Amir itu tidak memberikan hadiah, tidak menyebut siapakah dia dan tidak bertanya lagi selepas itu.

Apabila Amir itu bersetuju, barulah dia memberitahu bahawa dialah orangnya. Kemudian dia telah meninggalkan tentera itu dan pergi ke tempat lain. Kerana orang itu bukannya mahukan kedudukan atau hadiah, tetapi apa yang dia lakukan adalah untuk Islam, dan yang penting Allah tahu siapakah dia dan apa yang dia telah lakukan untuk agama.

Ada tiga perkara yang perlu kita berhati-hati takut ada dalam hati kita:

1. Riak. Riak adalah melakukan sesuatu kebaikan supaya manusia lain nampak.

2. Sum’ah. Dari perkataan sama‘ yang bermaksud ‘mendengar’. Ada orang yang melakukan sesuatu amal supaya didengari oleh orang lain. Termasuklah kalau dia ceritakan dia berniat nak buat itu dan ini.

3. Ujub. Dari perkataan yang bermaksud ‘ajaib‘. Itulah orang yang melakukan sesuatu supaya orang ta’jub dengan dia. Ataupun dia ta’jub dengan dirinya sendiri (wah.. hebatnya aku beribadat!).

Ketiga-tiga perkara ini adalah bahaya kerana ianya adalah sifat yang boleh menyebabkan hilangnya ikhlas dalam amal. Oleh itu, kalau kita belajar agama ini kerana tiga perkara ini, maka berhentilah. Kerana ada yang belajar agama supaya mereka dipandang tinggi oleh manusia lain. Itu adalah perkara yang amat bodoh sekali.

 

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Mac 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s