Tafsir Surah an-Nur Ayat 15 – 20 (Jangan forward)

Ayat 15:

إِذ تَلَقَّونَهُ بِأَلسِنَتِكُم وَتَقولونَ بِأَفواهِكُم مّا لَيسَ لَكُم بِهِ عِلمٌ وَتَحسَبونَهُ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ اللهِ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When you received it with your tongues¹ and said with your mouths that of which you had no knowledge and thought it was insignificant while it was, in the sight of Allāh, tremendous.

  • Rather than your ears, i.e., not thinking about what you had heard but hastening to repeat it carelessly.

(MELAYU)

(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui tentangnya, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal ia pada sisi Allah adalah besar.

 

إِذ تَلَقَّونَهُ بِأَلسِنَتِكُم

(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dengan lidah kamu

Allah ‎ﷻ menegur umat Islam ketika mereka menerima kisah dari mulut ke mulut tanpa bukti dan saksi. Sedangkan di dalam hal tuduhan zina mesti dibawakan empat (4) orang saksi dan tidak boleh hanya berdasarkan kepada kata-kata mulut sahaja.

Allah ‎ﷻ berfirman: Kamu dengar ‘dengan lidah’ kamu, bukan ‘dengan telinga’ kamu. Kenapa pula dengar dengan lidah pula? Ini kerana kamu membiarkan perkataan itu keluar dari mulut kamu tanpa mengetahui dari mana asalnya. Kamu bukan setakat mendengarnya  sahaja, tetapi kemudian kamu sampaikan kepada orang lain pula sedangkan kamu sendiri tidak mengetahui sama ada ia benar ataupun tidak.

Kalaulah ia di dalam fikiran kamu sahaja itu tidak salah lagi, tetapi apabila kamu keluarkan kepada orang lain dengan lidah kamu, maka ia telah menjadi sesuatu yang amat buruk.

Memang lidah ini bahaya sekali dan yang menyebabkan kita banyak berdosa. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ  pernah bersabda:

“إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِأُمَّتِي عَمَّا حدَّثت بِهِ أَنْفُسَهَا مَا لَمْ تَقُلْ أَوْ تَعْمَلْ”

Sesungguhnya Allah ‎ﷻ memaaf umatku terhadap apa yang dibisikkan oleh hatinya, selagi dia tidak membicarakannya atau mengerjakannya.

Kalau zaman sekarang, bukan sahaja ‘dengan mulut’ sahaja tetapi dengan cara penulisan pun ramai menyebarkan dosa. Ramai yang tidak tahu akan kebenaran sesuatu perkara tetapi mereka sudah menyampaikannya kepada orang lain.

Bertambah buruk lagi pada zaman sekarang apabila semakin mudah sahaja untuk membuat dosa ini kerana ramai yang ‘forward’ sahaja mesej yang mereka terima tanpa berfikir panjang.

Ini memang satu masalah, dan ia terjadi apabila ramai yang tidak berfikir dahulu sama ada betul ataupun tidak apa yang mereka ‘forward’ itu. Kononnya dengan tanggapan untuk mendapat pahala, tetapi mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka mendapat dosa.

Ingatlah terdapat hadis Nabi ﷺ yang berbunyi:

 ” كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ ” 

Cukuplah seseorang dikira pendusta apabila menceritakan setiap yang dia dengar. (Riwayat Muslim).

Maknanya, sampaikan sahaja pun sudah berdosa, sama ada betul atau tidak. Apatah lagi ia memang bukan perkara yang tidak benar, maka lagilah berdosa!

Jadi, jangan ‘rajin’ dan ‘kelam-kabut’ untuk berkongsi apa sahaja yang anda dapat melalui telefon bimbit anda. Pastikan ia benar dahulu barulah sebarkan. Kalau tidak pasti benar atau tidak, JANGAN ‘forward’, serta jangan simpan sebaliknya padamkan sahaja.

Tambahan pula kalau melibatkan maruah wanita atau lelaki mukmin, maka haruslah ‘matikan’ terus kata-kata itu sebelum ia melarat. Jangan cuba untuk bertanya kepada orang lain: “Eh kau dah dengar belum pasal ni? Betul ke tidak ha? Aku cuma nak tahu jer….” Jangan dan jangan buat perkara itu sama sekali.

 

وَتَقولونَ بِأَفواهِكُم مّا لَيسَ لَكُم بِهِ عِلمٌ

dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui tentangnya,

Allah ‎ﷻ menegur mereka yang berkata dengan mulut mereka sesuatu perkara yang mereka tidak ada pengetahuan dan bukti. Ini adalah salah satu kesalahan seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Kalau kita sampaikan sahaja perkara yang kita tidak tahu sahih atau tidak, itu pun sudah dikira berdosa.

Kadang-kadang Allah ‎ﷻ menegur mereka yang berkata dengan ‘lidah’ dan kadang-kadang Allah ‎ﷻ menegur mereka yang berkata dengan ‘mulut’ mereka. Kenapa ada perbezaan ini? Penggunaan kalimah sekejap lidah dan sekejap mulut ini ada sebabnya dan ada bezanya.

Kalau bercakap dengan ‘lidah’, ia memberi isyarat yang kata-kata itu ‘sedikit’ sahaja, tetapi kalau bercakap dengan ‘mulut’, itu sudah berkata-kata dengan banyak.

Dan dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menggunakan ‘lidah’ dan kemudian ‘mulut’ memberi isyarat yang ia lebih teruk lagi; kerana mereka pada mulanya hanya cakap-cakap sedikit sahaja tetapi lama kelamaan mereka bercakap dengan banyak tentang perkara yang tidak patut mereka katakan. Begitulah kalau hal itu tidak ditutup dari awal – ia akan merebak sampai jadi lagi teruk dan teruk.

Begitulah yang selalunya terjadi. Mula-mula beberapa orang sahaja yang tahu tetapi lama kelamaan melarat pula. Mulanya kisah pendek sahaja, tetapi nanti akan ada sahaja yang akan tambah ‘gula’. Maka kisah itu sudah merebak sehingga satu Malaya.

Bahasa yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan Allah ‎ﷻ marah kerana Allah ‎ﷻ boleh sahaja berkata “Kamu katakan” (sudah sampai maksud) tetapi Allah ‎ﷻ menambah lagi dengan: “Kamu katakan dengan mulut kamu”. Apabila ada penambahan dalam perkataan yang digunakan, ia memberi isyarat yang menunjukkan yang Allah ‎ﷻ sangat marah.

Malang sekali kalau kita ada masalah ini. Di dalam kitab Sahihain disebutkan hadis berikut:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَط اللَّهِ، لَا يَدْرِي مَا تَبْلُغ، يَهْوِي بِهَا فِي النَّارِ أبْعَد مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Sesungguhnya seorang lelaki benar-benar mengucapkan suatu kalimat yang dimurkai oleh Allah  ‎ﷻ tanpa disedarinya yang menyebabkan dirinya tercampak ke neraka lebih dalam daripada jarak antara bumi dan langit.

Menurut riwayat yang lain disebutkan:

لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا
sedangkan dia tidak menyedarinya. 

Maka tidaklah lari dari pepatah orang Melayu juga: kerana mulut badan binasa. Semua tahu perkara ini, tetapi bila sesuatu kisah sampai ke telinga kita, tentu gatal sahaja hendak sampaikan kepada orang lain, bukan? Ini adalah kerana sifat buruk manusia: ‘Ingin tahu… dan ingin beritahu’.

 

وَتَحسَبونَهُ هَيِّنًا

dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. 

Ramai manusia yang berkata sesuatu perkara tanpa usul periksa kerana pada sangkaan mereka, ia adalah perkara yang mudah dan perkara kecil sahaja. Oleh kerana itu, ia mudah sahaja bagi mereka untuk memperkatakan tentang Aisyah رضي الله عنها. Seperti kebanyakan orang kita: “Alaaahh.. aku nak tahu jer… “

Orang kita sekarang apabila berkata tentang orang lain, mereka selamba sahaja bercakap tanpa selindung lagi. Ini kerana pada mereka, mereka tidak nampak kesalahan itu sebagai besar. Mungkin mereka tahu yang ia salah, tetapi mereka hanya pandang remeh sahaja.

Itulah bahaya kerana tidak nampak kesan dari percakapan itu. Inilah kesannya kalau jauh dari wahyu Allah ‎ﷻ. Kalau kita perhatikan ayat-ayat ini, kita tidak berani lagi untuk berkata-kata, bukan?

 

وَهُوَ عِندَ اللهِ عَظيمٌ

Padahal ia pada sisi Allah adalah besar.

Manusia sahaja yang sangkakan apa yang mereka katakan itu perkara kecil, sedangkan bagi Allah ‎ﷻ ia adalah perkara yang amat besar sekali. Kita tidak tahu kesan dari kata-kata kita itu. Entah maruah seseorang tercalar, entah boleh menyebabkan perceraian malah pembunuhan, entah boleh menyebabkan keruntuhan satu negara – pelbagai perkara mungkin boleh terjadi.

Yang sepatutnya, kita tutup sahaja mulut kita dan jangan panjangkan lagi kepada orang lain. Jangan cuba untuk bertanya adakah ia benar ataupun tidak. Kalau sampai kepada kita berita itu, terus kita kena menolaknya.


 

Ayat 16: Allah ‎ﷻ memberitahu apa yang sepatutnya dikatakan oleh orang mukmin; ini juga menjadi pengajaran kepada kita zaman berzaman. Maka kita kenalah perhatikan ayat ini baik-baik.

وَلَولا إِذ سَمِعتُموهُ قُلتُم مّا يَكونُ لَنا أَن نَّتَكَلَّمَ بِهٰذا سُبحٰنَكَ هٰذا بُهتٰنٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And why, when you heard it, did you not say, “It is not for us to speak of this. Exalted are You, [O Allāh]; this is a great slander”?

(MELAYU)

Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini, Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang besar”.

 

وَلَولا إِذ سَمِعتُموهُ قُلتُم مّا يَكونُ لَنا أَن نَّتَكَلَّمَ بِهٰذا

Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu kamu mendengar berita itu: “Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini, 

Allah ‎ﷻ menegur mereka: Kenapa pertama kali mereka mendengar tentang tuduhan itu, kenapakah mereka tidak berkata: “Kita sepatutnya tidak boleh perkatakan tentang perkara ini”.

Ini haruslah dilakukan untuk terus menutup perkara itu agar orang yang bercakap tentang perkara itu akan teringat akan kesalahan memperkatakan tentang perkara ini. Ini kerana kalau dilayan perkara yang disampaikan itu, maka, dia pun akan terus seronok lagi untuk menyampaikannya. Tetapi kalau kita terus berkata: “Eh, tak patut kita cakap perkara ini….”, tentu dia akan tersentap dan tersedar akan kesalahannya.

 

سُبحٰنَكَ

Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), 

Dan kemudian mereka sepatutnya berpaling kepada Allah ‎ﷻ dengan bertasbih setelah sedar yang perbuatan mereka itu salah. Ini kerana walaupun sedang diperkatakan tentang orang lain, tetapi dia haruslah meminta ampun dari Allah ‎ﷻ juga kerana ia adalah perbuatan dosa.

Maknanya, perkara itu bukan melibatkan orang itu sahaja, tetapi sudah melibatkan Allah ‎ﷻ juga, kerana Allah ‎ﷻ amat murka. Kerana itu kena tasbih.

Dan apabila disuruh untuk bertasbih, ini menandakan yang ia adalah perkara yang besar kerana selalunya perbuatan tasbih ini digunakan untuk menolak syirik. Sekarang digunakan untuk tuduhan-tuduhan zina pula, yang menunjukkan betapa beratnya perkara ini.

 

هٰذا بُهتٰنٌ عَظيمٌ

ini adalah dusta yang besar”.

Walaupun tidak ada perbuatan syirik di dalam kes ini, tetapi Tasbih perlu disebut kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak disukai oleh Allah ‎ﷻ seperti mana juga Allah ‎ﷻ tidak sukakan syirik. Kerana ia adalah dosa yang berat.

Bila sampai berita tidak elok itu kepada kita, kita haruslah berkata yang ia adalah dusta semata-mata. Jangan katakan perkara yang lain. Jangan katakan: “Mana kau dapat berita ini?..” Kerana itu akan memanjangkan lagi isu tersebut.

Maka ketahuilah yang tuduhan-tuduhan seperti itu adalah kesalahan yang besar.


 

Ayat 17:

يَعِظُكُمُ اللهُ أَن تَعودوا لِمِثلِهِ أَبَدًا إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh warns you against returning to the likes of this [conduct], ever, if you should be believers.

(MELAYU)

Allah memperingatkan kamu agar (jangan) kembali memperbuat yang seperti itu selama-lamanya, jika kamu orang-orang yang beriman.

 

يَعِظُكُمُ اللهُ أَن تَعودوا لِمِثلِهِ أَبَدًا

Allah memperingatkan kamu agar (jangan) kembali memperbuat yang seperti itu selama-lamanya,

Allah ‎ﷻ memberikan nasihat supaya jangan berbuat lagi perkara ini sampai bila-bila. Jangan berbuat perkara yang lebih kurang sama – jangan menuduh tidak tentu pasal. Kepada para sahabat: Jangan buat lagi; tetapi kepada kita yang sudah belajar ayat ini: Jangan sekali-kali kita lakukannya.

Jangan katakan yang perkara ini adalah mengenai A’isyah  رضي الله عنها sahaja, tetapi ia termasuk kepada orang lain juga. Semua mestilah belajar dari perkara ini. A’isyah رضي الله عنها dijadikan sebagai satu contoh sahaja, tetapi ramai lagi yang telah menjadi mangsa.

Sayyidah A’isyah رضي الله عنها dan keluarga beliau telah membayar harga yang mahal untuk mendapatkan ayat ini sebagai pengajaran buat kita. Maka kita jangan menyebabkan orang lain terpaksa menerima nasib yang sama.

إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

jika kamu orang-orang yang beriman.

Itu pun jikalau kamu kata kamu orang beriman dan hendak menjaga hukum yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan. Kalau memang tidak kisah, tidak mengapa, tunggu masuk neraka sahaja lah. Jadi ini adalah ayat perli dari Allah ‎ﷻ.


 

Ayat 18: Tujuan Allah ‎ﷻ memberikan hukum ini kepada manusia.

وَيُبَيِّنُ اللهُ لَكُمُ الأيٰتِ ۚ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh makes clear to you the verses [i.e., His rulings], and Allāh is Knowing and Wise.

(MELAYU)

dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَيُبَيِّنُ اللهُ لَكُمُ الأيٰتِ

dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu.

Begitulah Allah ‎ﷻ telah memberikan hukum dan undang-undang dalam Qur’an ini kepada manusia untuk menguruskan kehidupan manusia. Kalau kita tidak mendapat nasihat ini, maka akan porak perandalah kehidupan kita di dunia ini.

Terdapat banyak kebaikan dalam undang-undang yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Ia untuk kebaikan kita sebenarnya. Allah ‎ﷻ tahu kejadian dan sikap manusia. Dan Allah ‎ﷻ hendak kita hidup dalam harmoni tanpa kacau bilau. Allah ‎ﷻ menginginkan kita menjaga nama baik kita dan kerana itu kita kenalah jaga maruah orang lain.

 

وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Hukum yang Allah ‎ﷻ sediakan untuk kita ini adalah amat sesuai untuk kita kerana Allah Maha Tahu apa yang kita perlukan kerana Dia yang menjadikan kita.

Dan hukuman yang Allah ‎ﷻ berikan itu adalah dari kebijaksanaanNya. Maka tentulah undang-undang itu akan membawa kebaikan kepada kita.


 

Ayat 19: Larangan siarkan berita tentang keburukan.

إِنَّ الَّذينَ يُحِبّونَ أَن تَشيعَ الفٰحِشَةُ فِي الَّذينَ آمَنوا لَهُم عَذابٌ أَليمٌ فِي الدُّنيا وَالأخِرَةِ ۚ وَاللهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who like that immorality¹ should be spread [or publicized] among those who have believed will have a painful punishment in this world and the Hereafter. And Allāh knows² and you do not know.

  • Specifically, unlawful sexual relations.
  • The hidden aspects of all things: what is beneficial and what is harmful.

(MELAYU)

Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

 

إِنَّ الَّذينَ يُحِبّونَ أَن تَشيعَ الفٰحِشَةُ فِي الَّذينَ آمَنوا

Sesungguhnya orang-orang yang suka agar perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman,

Ini adalah tentang sifat orang-orang munafik, sama ada munafik zaman dahulu atau zaman sekarang. Mereka ini suka menyebarkan berita kepada masyarakat. Mereka ini ‘radio buruk’ yang tidak berhenti-henti dari berbunyi. Sedangkan berita itu tidak patut disebarkan.

Mereka ini kalau dapat apa-apa maklumat, mereka suka untuk sebarkannya Mereka suka dipandang sebagai orang yang ‘ada maklumat’ terkini. Kerana itulah apabila kisah A’isyah رضي الله عنها itu sampai kepada mereka, mereka terus sampaikan kepada orang lain kerana berita tersebut bagaikan ‘pisang goreng panas’.

Kalau zaman sekarang, kalau dapat sahaja maklumat dalam Whatsapp atau dalam Facebook, mereka akan terus klik ‘forward’ kepada grup mereka. Ini kita biasa lihat, bukan? Entah-entah kita pun termasuk dalam golongan ini dahulu.

Mereka tidak kisah sama ada berita itu benar ataupun tidak, asalkan dapat ‘forward’ dahulu. Kadang-kadang tidak dinafikan yang berita itu memang benar tetapi ia tidak patut disebarkan kepada khalayak umum kerana ia adalah berita buruk. Cuba fikirkan: Apa yang kita dapat dengan kita sebarkan perkara itu? Adakah kita wartawan yang mendapat bayaran kerana sebarkan maklumat?

Dan yang bahayanya ia mempunyai kesan yang buruk kepada masyarakat. Ini kerana kalau perbuatan-perbuatan keji manusia disebarkan ke merata-rata media massa, maka akhirnya ia akan menjadi perkara biasa sahaja. Apabila ia menjadi perkara biasa, maka manusia sudah tidak nampak buruknya perangai itu lagi (“Apa nak kisah? Semua orang buat apa? Kau jangan sibuk hal aku boleh tak?”).

Jadi mereka sebenarnya membantu merosakkan akhlak masyarakat. Tidak patut mereka melakukannya, bercakap mengenainya dan menjadikan ia sebagai buah mulut manusia. Masalahnya, sekarang sudah amat senang sangat perkara ini terjadi. Satu orang sahaja yang membuat video, boleh menjadi tular (viral) satu dunia.

Bukan sahaja berita tentang fahishah itu mesti dihalang, tetapi begitu juga benda-benda lain yang ‘membawa’ kepadanya. Ini termasuk aktiviti di pusat urut, buat filem yang tidak elok, buat lagu yang mengajak dan menggalakkan pasangan “bercouple” dan sebagainya. Ini pun bahaya juga kerana ia menggalakkan penzinaan di dalam masyarakat.

Allah ‎ﷻ tahu betapa bahayanya kalau disebarkan maklumat-maklumat itu; Allah ‎ﷻ tahu betapa bahayanya kalau dibuat perkara-perkara yang menggalakkan maksiat itu. Kita mungkin sangka ia tidak ada apa-apa, tetapi Allah ‎ﷻ tahu akan kesannya.

 

لَهُم عَذابٌ أَليمٌ فِي الدُّنيا وَالأخِرَةِ

bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. 

Allah ‎ﷻ ingin memberitahu yang ini adalah perkara yang amat berat sekali. Mereka akan mendapat azab yang berat, sama ada di dunia lagi atau boleh menjadi di akhirat kelak.

Kalau di dunia, mereka boleh dikenakan dengan hukum hadd (qazf) dan di akhirat lebih teruk lagi azab yang akan dikenakan kepada mereka.

 

وَاللهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui.

Allah ‎ﷻ mengetahui apakah perkara yang baik dan tidak. Kita sebagai manusia, tidak mempunyai ilmu ini. Akal kita tidak akan mampu untuk mencapainya. Kita tidak tahu kesan buruk dari perbuatan kita, tetapi Allah ‎ﷻ Maha Tahu. Kerana itulah Allah ‎ﷻ telah menghalang dari awal lagi.

Maka, janganlah kita berhujah: “Apa salahnya.. kita nak tahu jer….”, “Ini untuk kebaikan supaya manusia berhati-hati..”, “Boleh jadi maklumat untuk orang lain…” dan lain-lain lagi hujah yang hendak membenarkan sahaja perbuatan salah kita. Kita sangkakan yang ia adalah baik, tetapi sebenarnya ia buruk sekali.

Maka pastikan kita jaga maruah orang lain. Kalau kita berbuat begitu, Allah ‎ﷻ pasti akan menjaga aib kita pula. Kalau kita pula yang mencari aib orang lain, maka Allah ‎ﷻ akan membuka aib kita pula. Ini tsabit dari satu hadis:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَكْرٍ، حَدَّثَنَا مَيْمُونُ بْنُ أَبِي مُحَمَّدٍ المَرَئيّ، حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبّاد الْمَخْزُومِيُّ، عَنْ ثَوْبَان، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لَا تُؤذوا عِبادَ اللَّهِ وَلَا تُعيِّروهم، ولا تطلبواعَوَرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنْ طَلَبَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ، طَلَبَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، حَتَّى يَفْضَحَهُ فِي بَيْتِهِ”

Imam Ahmad رحم الله mengatakan telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Bukair, telah menceritakan kepada kami Maimun ibnu Musa Al-Mar’i, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abbad Al-Makhzumi, dari Sauban, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda: Janganlah kalian menyakiti hamba-hamba Allah ‎ﷻ dan jangan pula mencela mereka, serta janganlah mencari-cari keaiban mereka. Kerana sesungguhnya barang siapa yang mencari-cari keaiban saudaranya yang muslim, maka Allah ‎ﷻ akan membuka­kan aibnya hingga mempermalukannya di dalam rumahnya.

Lupakah kita yang kita pun ada aib juga? Orang ramai tidak tahu aib kita kerana Allah ‎ﷻ sahaja yang menghalangnya. Kalau Allah ‎ﷻ membuka aib kita di hadapan orang, tidakkah kita berasa malu?


 

Ayat 20: Kalau dahulu biasa buat, maka masih ada ruang untuk bertaubat lagi.

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ وَأَنَّ اللهَ رَءوفٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if it had not been for the favor of Allāh upon you and His mercy… and because Allāh is Kind and Merciful.

(MELAYU)

Dan sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, dan Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang, (nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar).

 

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ

Dan sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua…

Allah ‎ﷻ mengulang lagi kalimah yang digunakan dalam ayat 16 sebelum ini. “Kalau tidaklah kerana kurnia dan rahmat Allah ‎ﷻ….” Allah ‎ﷻ membiarkan kosong sahaja selepas itu … (dot dot dot). Kitalah yang kena isikan tempat kosong.

Kalaulah tidak kerana kurnia dan rahmat Allah ‎ﷻ, tentulah kita akan mengalami kesusahan dan hanya menunggu untuk menerima azab di akhirat sahaja. Tetapi Allah ‎ﷻ memberi peringatan kepada kita untuk mengubah sikap kita. Allah ‎ﷻ masih lagi memberikan ruang kepada kita untuk bertaubat dan memperbaiki diri kita. Maka ambillah pengajaran dari ayat ini.

Rahmat yang dimaksudkan adalah memberi taufik kepada mereka iaitu di dalam ayat yang berikutnya. Dengan taufik itu menyebabkan mereka bertaubat.

 

وَأَنَّ اللهَ رَءوفٌ رَّحيمٌ

dan Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang, 

Allah ‎ﷻ memberikan kurnia dan rahmat ini kerana Allah ‎ﷻ kasih kepada kita, Allah ‎ﷻ sayangkan kita. Kerana itu Allah ‎ﷻ masih mahu menerima taubat kita.

Habis Ruku’ 2 dari 9 ruku’ di dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment