Tafsir Surah an-Nur Ayat 12 – 14 (Jangan percaya berita bohong)

Ayat 12: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang peristiwa ifk A’isyah رضي الله عنها di mana beliau telah dituduh berzina. Berita ini telah bertebaran di Madinah dan ada yang terkesan dengan berita palsu ini. Sampaikan ada sahabat mukmin yang termakan juga. Mereka pun ada sangsi terhadap A’isyah رضي الله عنها.

Sekarang Allah ‎ﷻ mengajar kita apakah yang sepatutnya mereka lakukan dahulu sebelum mereka menghakimi orang lain. Allah ‎ﷻ menegur mereka yang sangsi terhadap A’isyah رضي الله عنها dalam ayat ini. Dan teguran ini menjadi pengajaran kepada kita sekarang. Jadi ia bukanlah untuk mereka sahaja, tetapi untuk kita juga. Pengalaman mereka menjadi pengajaran untuk kita.

لَّولا إِذ سَمِعتُموهُ ظَنَّ المُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بِأَنفُسِهِم خَيرًا وَقالوا هٰذا إِفكٌ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Why, when you heard it, did not the believing men and believing women think good of themselves [i.e., one another] and say, “This is an obvious falsehood”?

(MELAYU)

Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”.

 

لَّولا إِذ سَمِعتُموهُ

Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu

Allah ‎ﷻ menegur orang-orang mukminin dan mukminat dalam ayat ini: kenapa apabila pertama kali mereka mendengar tentang perkara ini mereka tidak memikirkan ke arah kebaikan dengan mengatakan yang ini adalah tohmahan sahaja dan jangan dipanjangkan hal itu?

Kenapa mereka tidak matikan sahaja kisah itu dari awal lagi? Maknanya memang mereka telah melakukan kesalahan kerana tidak menutup kisah itu tetapi masih bercakap-cakap lagi tentangnya.

Lihat bagaimana Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah إِذ dalam ayat ini yang bermaksud ‘apabila’ dan bukannya إذا yang bermaksud ‘jika’. Ia menunjukkan kebarangkalian tinggi yang perkara ini akan berlaku dalam hidup kita. Pasti kita akan menghadapi situasi sebegini ataupun kita telah menghadapinya sebelum ini.

 

ظَنَّ المُؤمِنونَ وَالمُؤمِنٰتُ بِأَنفُسِهِم خَيرًا

orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri,

Allah ‎ﷻ menegur mereka: Kenapa kamu tidak bersangka baik sahaja berkenaan orang yang menuduh itu? Dan kenapa tidak menutup sahaja mulut orang-orang yang berkata tentang tuduhan yang tidak baik terhadap perempuan yang bermaruah seperti A’isyah رضي الله عنها itu?

‘Mukminin dan mukminat’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiga orang mukmin: dua lelaki dan seorang perempuan. Nama mereka dalam riwayat adalah Mistah, Hassan dan Hamnah binti Jahshy (saudara kepada isteri Nabi ﷺ iaitu Zainab binti Jahshy).

Dia hendak membantu menaikkan saudaranya itu dengan menjatuhkan isteri Rasulullah ﷺ yang lain. Ini kerana dalam kalangan para isteri Nabi ﷺ ada seperti satu kem A’isyah رضي الله عنها dan satu kem lagi Zainab رضي الله عنها. Jadi Hamnah hendak memenangkan saudaranya dan kerana itu dia memanjangkan kisah tentang A’isyah رضي الله عنها itu kerana dia nampak itu peluang untuk memenangkan ‘kem’ dia.

Tidak diketahui tentang para sahabat lain yang terlibat dengan perkara ini, tetapi nama mereka tidak disebut dalam riwayat hadis. Yang disebut hanya tiga nama di atas sahaja.

Allah ‎ﷻ menegur mereka kenapakah mereka tidak bersangka baik sahaja kepada A’isyah رضي الله عنها sedangkan tidak ada bukti untuk menghinanya. Kalau ingin bersangka buruk sekalipun terhadap seseorang hendaklah ada bukti terlebih dahulu tetapi dalam kes A’isyah رضي الله عنها ini langsung tidak ada bukti untuk menuduhnya. Sedangkan mereka adalah sesama mukmin. Kerana itulah digunakan kalimah بِأَنفُسِهِم (dengan diri mereka sendiri) kerana sama-sama Muslim, sama-sama saudara. Dicubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga?

Atau, Allah ‎ﷻ menegur mereka mengapa mereka tidak memikirkan: kalaulah tuduhan seperti itu terkena kepada diri mereka sendiri, tentu mereka pun tidak menyukainya. Jika tuduhan tersebut tidak layak dilontarkan terhadap diri mereka, maka terlebih lagi tidak layaknya jika dilontarkan kepada Ummul Mu’minin; kerana beliau adalah lebih bersih daripada diri mereka.

Kenapa mereka tidak mahu memikirkan kebaikan tentang بِأَنفُسِهِم (diri mereka sendiri)? Kalau mereka melihat kejadian yang terjadi di antara A’isyah رضي الله عنها dan Safwan رضي الله عنه itu menyebabkan mereka terbayang perkara yang tidak baik, maka ia memberikan dua kemungkinan tentang diri mereka sendiri:

  1. Mereka merasakan yang kalau seorang lelaki membantu seorang wanita dan tentu ada perkara tidak elok telah berlaku, adakah mereka sendiri akan berbuat begitu? Maknanya kalau mereka berada di dalam situasi yang sama, adakah mereka pun akan berzina juga kah? Teruk sekali kalau begitu. Ini menunjukkan yang mereka sendiri ada memikirkan untuk buat perkara yang sama dalam situasi itu, bukan?
  2. Atau, adakah mereka merasakan masyarakat mereka itu teruk sangat? Adakah kalau ada seorang lelaki dan perempuan duduk bersama, mesti akan berlaku penzinaan? Kalau itulah yang berada di dalam fikiran mereka, maknanya mereka merasakan yang masyarakat mereka memang sudah teruk, sehinggakan lelaki dan perempuan tidak boleh duduk bersama langsung.

Kalau menuduh masyarakat Islam sendiri, itu bermaksud mereka menuduh diri mereka sendiri sebenarnya. Ini kerana masyarakat kita adalah cermin kepada diri kita sendiri. Kalau masyarakat teruk, maka kita pun teruk juga sebenarnya kerana kita sebahagian dari masyarakat kita, bukan? Kita ini sebagai satu badan sahaja, cubit paha kiri terasa di paha kanan.

Dan yang lebih teruk lagi, mereka menuduh kejadian ini terjadi kepada A’isyah رضي الله عنها iaitu isteri Nabi ﷺ sendiri dengan seorang lelaki mukmin yang terlibat di dalam Perang Badr! Kalau dua orang yang semulia ini tidak dapat menahan diri mereka daripada melakukan zina, maka tentulah mereka lebih teruk lagi!

Ayat ini mengajar kita: Kalau tidak ada bukti yang menyokong tuduhan kepada seseorang, sepatutnya kita senyap sahaja dan jangan ada fikiran yang buruk terhadap orang lain.

Tambahan pula kalau sesama Muslim kerana ikatan Muslim sepatutnya sangat erat. Jangan kita simpan andaian yang buruk terhadap orang lain. Haruslah bersangka baik terhadap sesama mukmin.

Ada iltifad (perubahan) dalam ayat ini. Pada permulaan ayat ia di dalam ‘kata ganti kedua’ dan kemudian bertukar kepada ‘kata ganti ketiga’. Ini memberi isyarat bahawa sepatutnya orang-orang mukmin mempunyai fikiran yang baik dan mereka yang menyampaikan dan memperbesarkan perkara ini bukanlah ‘orang-orang mukmin’.

Maksudnya: mula-mula Allah ‎ﷻ bercakap kepada mereka yang membawa tuduhan itu, dan kemudian Allah ‎ﷻ bercakap ‘tentang’ orang-orang mukmin. Maknanya mereka sudah terkeluar dari lingkungan golongan mukmin.

Oleh itu pengajaran kepada kita di dalam ayat ini, jikalau pada bila-bila masa pun ada orang yang berkata tentang keburukan orang lain yang bermaruah, maka kita kenalah mempertahankan orang itu.

Kalau kita tidak bercakap tentang orang lain tetapi jika kita dengar orang lain yang merendahkan martabat mana-mana orang yang bermaruah, maka hendaklah kita bercakap sesuatu untuk mempertahankan mereka. Jadilah orang yang berani untuk mempertahankan kebenaran. Lihatlah bagaimana seorang sahabat menangani perkara ini dengan benar:

Seperti yang disebutkan di dalam riwayat Imam Muhammad ibnu Ishaq ibnu Yasar, dari ayahnya, dari sebahagian orang yang terkemuka dari kalangan Bani Najjar, bahawa Abu Ayub Khalid ibnu Zaid Al-Ansari ditanya oleh isterinya (yaitu Ummu Ayub), “Hai Abu Ayub, tidakkah engkau mendengar apa yang dikatakan oleh orang-orang tentang Aisyah” Abu Ayub menjawab, “Ya, berita tersebut adalah dusta. Apakah engkau berani melakukan hal tersebut (seperti yang dituduhkan oleh mereka), hai Ummu Ayub?” Ummu Ayub menjawab, “Tidak, demi Allah, aku benar-benar tidak akan melakukan hal tersebut.” Maka Abu Ayub menjawab, “Aisyah, demi Allah, lebih baik daripada kamu.”

Syarah: Inilah yang sepatutnya dikatakan oleh orang mukmin. Haruslah terus sahaja menutup perkara itu. Maknanya, kita bukan sahaja dilarang dari membawa mulut, tetapi kita juga disuruh untuk mempertahankan maruah orang lain. Kerana kalau bukan kita, siapa lagi?

 

وَقالوا هٰذا إِفكٌ مُّبينٌ

dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata”.

Allah ‎ﷻ menegur mereka: kenapa mereka tidak mengatakan kepada orang yang berbuat dosa menuduh melulu itu yang apa yang mereka sedang katakan itu adalah lencongan yang besar dan mereka sebenarnya tidak mempunyai bukti?

Orang yang mukmin pasti akan memperkatakan begitu, jadi kenapa kamu tidak berkata begitu juga? Jadi keimanan orang sebegitu sedang dipersoalkan oleh Allah ‎ﷻ.

Tidakkah mereka memikirkan bahawa berita tersebut adalah dusta dan bohong belaka yang mereka lontarkan terhadap seorang yang berperibadi tinggi semulia A’isyah رضي الله عنها Ummul Mu’minin? Kalau insan mulia seperti A’isyah رضي الله عنها pun tidak selamat dari tohmahan manusia, maka apakah harapan kepada orang lain?

Sesungguhnya kejadian yang sebenarnya sama sekali tidak mengandungi hal yang mencurigakan, sebab A’isyah رضي الله عنها Ummul Mu’minin datang dengan menaiki unta Safwan ibnul Mu’attal رضي الله عنه di waktu tengah hari, sedangkan semua pasukan menyaksikan kedatangan tersebut dan Rasulullah ﷺ ada di antara mereka.

Seandainya hal tersebut mengandungi kecurigaan, tentulah kedatangan tersebut tidak dilakukan secara terang-terangan, tentu pula kedatangan kedua-duanya tidak disaksikan oleh semua orang yang ada di dalam pasukan itu. Kalau ia mengandungi hal yang mencurigakan, tentu kedatangan mereka dilakukan secara sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui oleh orang lain. Tetapi oleh kerana inginkan sedap sahaja untuk mengata orang lain, maka perkara logik sebegini tidak difikirkan lagi.

Berdasarkan kenyataan ini dapat disimpulkan bahawa apa yang mereka lontarkan terhadap diri A’isyah رضي الله عنها yang berupa tuduhan tidak baik itu hanyalah bohong belaka, serta tuduhan yang keji dan ia merupakan perbuatan yang merugikan pelakunya.

Mungkin timbul persoalan: kalau begitu, kenapa Nabi Muhammad ﷺ dan keluarga A’isyah رضي الله عنها sendiri tidak pula terus menolak tuduhan yang dikenakan terhadap A’isyah رضي الله عنها itu? Kenapa mereka dalam kerisauan seolah-olah mereka juga ada sangsi terhadap beliau?

Jawab: kerana mereka itu adalah ahli keluarga A’isyah رضي الله عنها. Kalau mereka yang menolak, tentu penuduh akan kata: memanglah mereka akan menolaknya kerana mereka itu adalah keluarga A’isyah رضي الله عنها!

Maka Rasulullah ﷺ dan ibubapa A’isyah رضي الله عنها berada di dalam dilema pada waktu itu. Mereka memang tidak percaya, tetapi mereka di dalam kedudukan yang tidak boleh terus menolak begitu sahaja. Mereka mesti memeriksa perkara itu secara lebih mendalam.

Jadi, ayat ini mengajar kita apa yang kita kena buat apabila kita mendengar tentang berita palsu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang. Kita kenalah menolaknya terus. Kita tidak boleh duduk di atas pagar dalam keadaan begitu. Kita tidak boleh hanya ‘tunggu dan lihat’ sahaja. Kita tidak boleh menjadi neutral dan tidak membuat keputusan sehingga bukti datang. Tidak boleh! Kecuali kalau keluarga kita sendiri dimana kita kena periksa.

Kita haruslah menjadi orang yang mematikan perkara itu daripada berpanjangan. Kita kenalah menolak perkara itu dari tersebar. Kita tidak boleh duduk berdiam diri sahaja. Kalau dalam perkara lain, mungkin kita boleh lagi duduk diam, tetapi kalau hal itu melibatkan maruah orang mukmin, kita mestilah terus mempertahankan maruah mereka. Kita hendaklah menolaknya dengan sekeras-kerasnya.


 

Ayat 13: Sekarang Allah ‎ﷻ menekankan kembali kepada hukum yang telah pernah disebut di awal surah ini.

لَّولا جاءو عَلَيهِ بِأَربَعَةِ شُهَداءَ ۚ فَإِذ لَم يَأتوا بِالشُّهَداءِ فَأُولٰئِكَ عِندَ اللهِ هُمُ الكٰذِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Why did they [who slandered] not produce for it four witnesses? And when they do not produce the witnesses, then it is they, in the sight of Allāh, who are the liars.

(MELAYU)

Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.

 

لَّولا جاءو عَلَيهِ بِأَربَعَةِ شُهَداءَ

Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita itu?

Kenapakah mereka yang menuduh itu tidak membawakan empat (4) orang saksi? Kalau ingin menuduh sesiapa berzina, hendaklah dibawakan empat (4) orang saksi yang nampak kejadian itu, bukan? Kita baru sahaja belajar perkara ini di awal surah ini.

Tetapi bukankah ayat tentang empat (4) orang saksi ini baru sahaja diturunkan di awal surah tadi? Jadi bagaimana mereka yang menuduh itu hendak dipersalahkan kalau baru sahaja turun ayat?

Memang di dalam surah ini ia baru diturunkan tetapi ada juga disebut di dalam Surah an-Nisa’ iaitu Surah Madaniyyah yang awal tentang perkara ini dan mereka sepatutnya sudah tahu. Maka mereka sepatutnya sudah tahu bahawa syarat untuk menuduh orang yang berzina hendaklah dibawakan empat (4) orang saksi.

Jadi sebenarnya Allah ‎ﷻ telah memberikan undang-undang itu beberapa tahun yang lepas tetapi puak munafik itu tidak mempelajarinya dan tidak menghayati Qur’an maka kerana itu mereka menjadi begitu dan sekarang Allah ‎ﷻ mengingatkan kesalahan yang mereka lakukan.

 

فَإِذ لَم يَأتوا بِالشُّهَداءِ

Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi

Mereka memang tidak dapat mendatangkan saksi ke atas tuduhan mereka itu. Sudahlah tidak ada saksi, mereka membuat tohmahan sahaja kerana mereka TIDAK nampak pun kejadian itu.

Kalau mereka nampak dan tidak dapat membawakan saksi, ketika itu lagi mereka seharusnya senyapkan diri mereka sahaja. Tetapi kalau tidak nampak, lagilah teruk kalau dibawakan kisah itu merata-rata! Maknanya mereka memang membuat tuduhan palsu sahaja.

 

فَأُولٰئِكَ عِندَ اللهِ هُمُ الكٰذِبونَ

maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.

Jadi Allah ‎ﷻ dengan tegas mengatakan bahawa mereka itu penipu. Ini kerana mereka memang tidak nampak pun kejadian itu dan memperkatakan perkara yang tidak benar. Kalau mereka nampak kejadian itu tetapi tidak dapat dibawakan empat (4) orang saksi, maka mereka tidaklah dikira sebagai pendusta. Tetapi hakikatnya mereka memang tidak nampak pun.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan: tidak kiralah jikalau ada orang yang sangkakan mereka itu berkata benar ataupun tidak, tetapi Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan yang jikalau mereka sendiri tidak dapat membawa empat (4) orang saksi maka mereka itu sudah dikira sebagai penipu.

Nota: ayat ini menjadi dalil bagi kesalahan dalam menafsir ayat Qur’an. Bahaya kalau kita mentafsir ayat Qur’an tanpa melalui proses pentafsiran yang sebenarnya. Iaitu kita mesti mentafsir dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Ayat Qur’an dengan ayat Qur’an
  2. Tafsir dengan hadis
  3. Tafsir dengan pendapat sahabat
  4. Tafsir dengan pendapat tabein
  5. Tafsir menggunakan bahasa

Kaedah tafsir mestilah mengikuti susunan cara tafsir seperti yang disebut di atas. Maknanya, haruslah mencari dulu ayat yang lain yang mentafsirkan ayat yang lain. Kalau tidak jumpa, maka cari hadis; kalau tidak jumpa hadis, maka cari pendapat sahabat; dan seterusnya.

Yang bahaya tetapi banyak dilakukan orang adalah menggunakan akal dalam mentafsir ayat-ayat Qur’an. Mereka membaca ayat Qur’an (selalunya melalui terjemahan sahaja) dan mereka agak-agak apakah maknanya, tanpa mendapatkan sandaran pendapat dari ulama. Ini tidak boleh dilakukan.

Tetapi, memang kadang-kadang selepas mereka tafsir dengan akal mereka, kemudian mereka periksa di dalam kitab tafsir, barulah mereka tahu yang pendapat yang mereka berikan itu adalah benar. Adakah ini masih tetap salah?

Walaupun benar, tetapi perbuatan asal mereka mentafsir dengan akal sendiri itu sudah berdosa. Dan ayat Surah Nur ini dijadikan dalil: walaupun benar ada pasangan telah berzina, tetapi kalau tidak dibawakan empat (4) orang saksi, maka orang yang menuduh itu tetap bersalah dan dianggap sebagai fasik. Sememangnya terdapat kemungkinan pasangan itu benar-benar telah berzina tetapi kita tidak boleh mengatakan yang mereka berzina kalau tidak melalui proses pertuduhan yang benar.

Maka begitulah juga kalau menafsir ayat Qur’an dengan akal. Kalau tidak melalui proses pentafsiran yang benar, maka tetap berdosa walaupun kemudian didapati ia adalah benar. Ini kerana ia tidak mengikut proses yang benar.

Maka ini mengajar kita: kalau ada orang bertanyakan maksud sesuatu ayat, maka janganlah kita berikan pendapat kita kalau kita tidak pernah mempelajari lagi tentang ayat itu. Janganlah pula kita agak-agak sahaja. Pastikan selepas telah belajar dan kita ingat apakah syarah ayat itu, barulah kita jawab. Jangan kerana ingin tunjuk pandai di dalam hal ini, kita mendapat dosa pula!


 

Ayat 14:

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ لَمَسَّكُم في ما أَفَضتُم فيهِ عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if it had not been for the favor of Allāh upon you and His mercy in this world and the Hereafter, you would have been touched for that [lie] in which you were involved by a great punishment

(MELAYU)

Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.

 

وَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat,

Maknanya Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa memberi peluang kepada mereka untuk meminta ampun semasa mereka hidup ini di atas kesalahan mereka yang sangsi kepada kesucian A’isyah رضي الله عنها. Kalau mereka bertaubat, itu akan menyelamatkan mereka di akhirat kelak.

Inilah kurnia yang besar dari Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ memberikan peluang kepada mereka untuk bertaubat. Kalau tidak ada kurniaan Allah ﷻ ini, tentulah mereka akan ada masalah di dunia dan di akhirat nanti.

Antara kurniaan lain dari Allah ‎ﷻ adalah diberikan pengajaran kepada kita bagaimana untuk menghadapi perkara ini. Ada banyak perkara yang kita boleh belajar dari kejadian ini. Pelajaran ini dapat mengajar kita bagaimana hidup dengan harmoni di dunia ini.

Rahmat Allah ‎ﷻ juga adalah dengan memberi peluang kepada kita untuk bertaubat selagi kita belum mati. Allah ‎ﷻ tidak terus memberikan hukuman kepada kita, tetapi Allah ‎ﷻ memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat. Ini kerana kita mungkin tidak sedar akan kesalahan itu dahulu, sekarang baru tahu. Kalaulah kita terus dihukum dari dahulu lagi, entah berapa ramai sahaja yang hidup di atas muka bumi ini.

Dan kurnia dan rahmat Allah ‎ﷻ di akhirat kelak adalah apabila Allah ‎ﷻ menerima taubat kita dan tidak menghukum dan memberi azab kepada kita di akhirat kelak. Kalau kita ikhlas dalam taubat, maka Allah  ‎ﷻ akan menerimanya dan tidaklah kita dikenakan dengan azabNya.

 

لَمَسَّكُم في ما أَفَضتُم فيهِ عَذابٌ عَظيمٌ

nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita bohong itu.

Kalimah أَفَضتُم dari ف ي ض yang bermaksud melimpah keluar macam air menggelegak akan melimpahkan air. Ini kerana mereka telah biarkan kata-kata yang tidak patut itu sampai meleleh atau melimpah keluar dari mulut mereka.

Ayat ini berkenaan orang yang memiliki iman. Berkat keimanannya itu Allah ‎ﷻ menerima taubat mereka, seperti Mistah, Hassan ibnu Sabit, dan Hamnah binti Jahsy (saudara perempuan Zainab binti Jahsy).

Adapun orang-orang yang membawa mulut berita ini dari kalangan orang-orang munafik, seperti Abdullah ibnu Ubay ibnu Salul dan teman-temannya, mereka bukanlah termasuk orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat ini kerana mereka tidak memiliki iman dan amal saleh yang dapat mengimbangi kesalahan mereka dan tidak pula sesuatu yang dapat menghapuskannya.

Maka tiga orang mukmin yang menuduh A’isyah رضي الله عنها itu telah bertaubat dan Allah ‎ﷻ memberi isyarat dalam ayat ini yang taubat mereka telah diterima oleh Allah ‎ﷻ.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s