Ayat 11: Sekarang kita masuk kepada kisah yang amat penting dalam surah ini iaitu kisah Saidatina A’isyah رضي الله عنها dan tohmahan (ifk) terhadapnya.
Ayat ini sehingga sembilan ayat berikutnya yang berjumlah sepuluh ayat kesemuanya diturunkan adalah berkenaan dengan kisah A’isyah Ummul Mukminin رضي الله عنها ketika beliau ditohmah dengan tuduhan yang tidak benar.
Beliau telah dituduh berbuat serong oleh sejumlah orang dari kalangan munafik yang menyiarkan berita bohong, padahal berita yang mereka siarkan itu adalah bohong dan dusta belaka serta rekaan mereka sendiri.
Surah Nur ini berkenaan zina dan langkah-langkah untuk menghalangnya dari terjadi. Selain dari itu, Allah ﷻ juga melarang manusia dari menuduh orang lain melakukan zina tanpa bukti. Hukuman berat dikenakan kepada mereka. Sebelum ini telah disebut hukuman yang menuduh orang lain (qazf) dan sekarang diberikan contoh bagaimana telah terjadinya perkara itu pada zaman Nabi.
إِنَّ الَّذينَ جاءو بِالإِفكِ عُصبَةٌ مِّنكُم ۚ لا تَحسَبوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَل هُوَ خَيرٌ لَّكُم ۚ لِكُلِّ امرِئٍ مِّنهُم مَّا اكتَسَبَ مِنَ الإِثمِ ۚ وَالَّذي تَوَلّىٰ كِبرَهُ مِنهُم لَهُ عَذابٌ عَظيمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, those who came with falsehood¹ are a group among you. Do not think it bad for you; rather, it is good for you. For every person among them is what [punishment] he has earned from the sin, and he who took upon himself the greater portion thereof² – for him is a great punishment [i.e., Hellfire].
- Referring to the incident when the Prophet’s wife A’ishah was falsely accused by the hypocrites.
- i.e., ‘Abdullāh bin ‘Ubayy, leader of the hypocrites.
(MELAYU)
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.
إِنَّ الَّذينَ جاءو بِالإِفكِ عُصبَةٌ مِّنكُم
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga.
Ini tentang kisah tuduhan zina terhadap Saidatina A’isyah رضي الله عنها. Kita haruslah mengetahui latar belakang kisah ini untuk memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ.
Kalimah عُصبَةٌ bermaksud sepuluh orang. Tetapi boleh juga digunakan lebih atau kurang dari sepuluh.
Kalimah مِنكُم (dari kalangan kamu) itu merujuk kepada golongan Muslim. Walaupun ramai yang menuduh Sayyidah Aisyah رضي الله عنها datang dari orang Munafik, tetapi kerana mereka pun mengaku orang Islam, maka mereka juga termasuk di dalam kalangan orang Islam yang dimaksudkan dalam ayat ini.
Mari kita lihat latar belakang ayat ini. Terdapat satu peperangan yang terjadi di antara Perang Ahzab dan Perjanjian Hudaibiyah di mana Aisyah رضي الله عنها mengikut serta dengan rombongan Nabi ﷺ dalam peperangan itu. Peperangan yang dimaksudkan adalah Peperangan Bani Mustaliq.
Apabila Rasulullah ﷺ hendak berpergian jauh, biasanya baginda terlebih dahulu akan melakukan undian di antara para isterinya. Maka siapa pun di antara mereka yang keluar namanya dalam undian itu, Rasulullah ﷺ akan membawanya pergi ke dalam sesuatu misi itu.
Saidatina A’isyah رضي الله عنها duduk di dalam ‘tandu’ yang diletakkan di atas unta. Ini adalah kerana waktu itu telah diturunkan ayat hijab (isteri Rasulullah dimestikan duduk di balik tabir) dan kerana itu beliau mestilah duduk di dalam tandu.

Semasa rombongan itu berhenti rehat, Aisyah رضي الله عنها telah pergi meninggalkan tandu itu untuk membuang hajat. Tetapi semasa hendak pulang kembali ke tempat perhentian itu semula, beliau perasan yang kalungnya telah hilang. Maka beliau telah berpatah pergi kembali ke tempatnya buang hajat untuk mencarinya.
Apabila sekian lama dan telah tiba masa untuk meninggalkan tempat itu, maka sahabat-sahabat yang ditugaskan bersedia untuk mengangkat tandu A’isyah رضي الله عنها. Malangnya, mereka tidak perasan yang Saidatina A’isyah رضي الله عنها tidak ada di dalamnya kerana beliau adalah seorang yang ringan sahaja. Tambahan pula waktu itu umat Islam hidup di dalam kesusahan sampaikan makanan pun tidak ada.
Maka apabila mereka mengangkat tandu naik ke atas unta semula, mereka tidak dapat membezakan berat tandu itu sama ada Aisyah رضي الله عنها ada ataupun tidak. Mereka sangka tentulah beliau sudah masuk kerana sudah lama masa berlalu. A’isyah رضي الله عنها mengatakan, bahawa kaum wanita pada waktu itu bertubuh kurus-kurus, tidak berat dan tidak gemuk, kerana mereka hanya makan sedikit. Dan umur beliau pun muda waktu itu
Apabila A’isyah رضي الله عنها kembali ke tempat perhentian mereka, beliau mendapati yang rombongan peperangan telah berlalu pergi meninggalkannya keseorangan. A’isyah رضي الله عنها telah melakukan perkara yang bijak iaitu menunggu di tempat itu dengan tidak pergi ke mana-mana. Dalam menunggu itu, beliau kepenatan sehinggalah tertidur.
Ini penting untuk kita mengambil pengajaran kerana kalau beliau telah pergi mencari di tempat lain, atau cuba mengejar rombongan baginda, maka ada kemungkinan yang beliau akan sesat dan lagi susah untuk dicari. Beliau tahu yang kalau rombongan tersedar yang beliau tidak ada, tentu mereka akan berpatah balik dan tempat yang dicari tentulah tempat perhentian terakhir.
Waktu itu terdapat seorang sahabat yang ditugaskan untuk menjadi ‘mata-mata’ untuk melihat kawasan sekeliling. Tugas mereka adalah menurut dari belakang kerana mungkin ada barang tertinggal dan sebagainya. Nama petugas kali ini adalah Safwan ibnul Mu’attal Az-Zakwani رضي الله عنه.
Dan apabila beliau sampai ke tempat itu beliau mengenali bahawa yang tertidur itu adalah A’isyah رضي الله عنها kerana beliau pernah melihat A’isyah رضي الله عنها sebelum Ayat Hijab turun. Waktu itu A’isyah رضي الله عنها sedang tidur dan Safwan رضي الله عنه melafazkan istirja’ dengan kuat untuk menyedarkan Aisyah رضي الله عنها.
Beliau telah meletakkan Aisyah رضي الله عنها di atas unta dan mereka bergerak segera untuk mengejar rombongan Nabi ﷺ. Safwan رضي الله عنه tidak bercakap sepatah pun kepada Aisyah رضي الله عنها sepanjang perjalanan itu.
Mereka akhirnya dapat mengejar rombongan Nabi ﷺ dan mereka kembali bergabung. Ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai telah melihat perkara ini dan dia nampak ini adalah satu peluang untuk menjatuhkan nama baik Rasulullah ﷺ dan keluarga baginda kerana dia memang benci baginda dan ahli keluarga baginda (dan juga Islam). Dia sentiasa sahaja mencari peluang untuk menjatuhkan Islam.
Dia telah berkata sesuatu yang memberikan isyarat sebagai tuduhan yang A’isyah رضي الله عنها telah berzina dengan Safwan رضي الله عنه. Dia tidaklah berkata: “mereka telah berzina”, tetapi menggunakan isyarat sahaja. Contohnya dia kata: “Eh, eh, kenapa mereka berdua sahaja tu? Malam tadi mereka di mana? Mereka berduaan sahaja?” Dan perkara ini telah tersebar luas dan menjadi kecoh kerana maruah Rasulullah ﷺ telah terpalit kerana isterinya sendiri telah dikatakan melakukan perkara terkutuk itu.
Dan perkara ini bukan perkara ringan kerana maruah Rasulullah ﷺ berkait dengan maruah agama Islam juga. Rasulullah ﷺ bukan orang biasa tetapi yang dipandang tinggi dan dijadikan contoh oleh umat Islam. Kalau nama baginda tercalar, ia bukan nama baginda sahaja, tetapi nama Islam sekali tercalar.
Dan kerana itulah Rasulullah ﷺ amat terkesan dengan perkara ini kerana isterinya yang tercinta telah dituduh begitu. Baginda sayangkan isterinya dan dalam masa yang sama, baginda tahu bahawa kes ini bukan kes ringan tetapi melibatkan nama baik Islam juga.
A’isyah رضي الله عنها sendiri tidak sedar tentang kekecohan itu kerana beliau sakit selama sebulan selepas kejadian yang disebut di atas tadi. Akan tetapi beliau sedar yang Rasulullah ﷺ tidak melayannya seperti biasa dan hanya datang untuk bertanya khabar sahaja. Itu pun baginda tanya kepada orang lain, tidak bercakap terus dengannya.
Rasulullah ﷺ sendiri tidak mengetahui perkara ghaib dan kerana itu baginda tidak tahu sama ada A’isyah رضي الله عنها memang telah melakukan zina ataupun tidak. Rasulullah ﷺ telah memanggil Ali ibnu Abu Talib dan رضي الله عنه dan Usamah ibnu Zaid رضي الله عنه dengan maksud meminta pendapat kedua-duanya tentang menceraikan isterinya.
Usamah ibnu Zaid رضي الله عنه hanya mengisyaratkan kepada Rasulullah ﷺ menurut apa yang diketahuinya, isteri baginda adalah wanita yang bersih dari apa yang dituduhkan oleh manusia. Beliau adalah orang yang menyukai keluarga Rasulullah ﷺ. Usamah رضي الله عنه mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, mengenai isterimu, sepanjang pengetahuanku baik-baik sahaja’.
Sedangkan Ali رضي الله عنه mengatakan ‘Wahai Rasulullah, Allah ﷻ tidak mempersempit dirimu, wanita selain dia banyak. Dan jika engkau tanyakan kepada si pelayan wanita itu, tentulah dia akan membenarkan berita itu.’ Maka bertambah gelisahlah hati baginda kerana tidak ada kata putus dalam hal ini kerana kedua-dua sahabat itu tidak sepakat.
Bayangkan siapakah Aisyah رضي الله عنها ini? Kita haruslah mengenali serba sedikit tentang sejarah hidup beliau supaya dapat memahami kisah ini dengan lebih mendalam lagi. Beliau adalah seorang wanita yang dari kecil dididik oleh Abu Bakr رضي الله عنه dan telah ditaqdirkan menikah dengan Rasulullah ﷺ, maka tentulah beliau seorang wanita yang bermaruah. Tidak mungkin beliau akan melakukan perkara yang keji.
Akhirnya A’isyah رضي الله عنها dapat mengetahui akan kisah itu setelah sekian lama. Dalam keadaan begini di mana kisah palsu itu telah tersebar luas, maka A’isyah رضي الله عنها di dalam keadaan yang serba salah dan tidak dapat mempertahankan dirinya kerana kalau beliau berkata beliau tidak bersalah, pasti orang tidak akan mempercayainya.
Pada beliau, hanya Allah ﷻ sahaja yang dapat membersihkan namanya. Maka dia telah meminta izin dari Rasulullah ﷺ untuk tinggal bersama dengan ibunya buat sementara waktu dan ayat ke 11 ini turun semasa beliau di rumah ibunya.
Kalimah بِالإِفكِ dari katadasar أ ف ك yang bermaksud ‘melencong daripada jalan yang betul walaupun mereka sudah tahu jalan itu’. Iaitu ‘sengaja’ mencari jalan yang lain daripada jalan yang betul. Seperti seseorang yang sedang bermusafir di lebuhraya, tiba-tiba sengaja keluar dan memasuki jalan yang memang tidak dikenali.
Dalam konteks ayat ini, ia merujuk kepada tuduhan palsu yang dikenakan kepada Saidatina Aisyah رضي الله عنها. Mereka tahu yang ia tidak benar, tetapi disebut juga kerana hendak menjatuhkan nama beliau. Bila A’isyah رضي الله عنها dikenakan tohmahan sebegitu, maka Rasulullah ﷺ dan nama Islam turut terpalit sekali.
Allah ﷻ memberitahu yang mereka itu adalah sekumpulan manusia yang bergabung ‘dalam kalangan kamu’ dan mereka mempunyai niat yang sama. Maknanya duduk dalam kelompok yang sama. Rasulullah ﷺ juga mengenali mereka.
Ia juga bermaksud mereka yang menceritakan berita palsu tentang A’isyah رضي الله عنها itu terdapat juga dari golongan orang mukmin. Memang yang memulakan berita palsu itu adalah orang munafik tetapi ada tiga orang daripada golongan mukminin yang termakan dengan berita palsu itu. Dan kemudian mereka sama-sama terlibat dalam menyebarkan berita palsu itu.
Orang yang memulakan berita palsu ini adalah ketua golongan munafik waktu itu, iaitu Abdullah bin Ubay. Beliau memang benci kepada Rasulullah ﷺ kerana baginda telah menyebabkan dia tidak dapat menjadi ketua di Madinah. Maka dia benci Islam dan sentiasa sahaja mencari peluang untuk menjatuhkan Islam dari dalam.
Beliau juga ada semasa peperangan dengan Bani Mustaliq itu dan dia nampak bagaimana A’isyah رضي الله عنها kembali ke rombongan umat Islam waktu itu dengan Safwan رضي الله عنه. Dia nampak ini adalah peluang keemasan untuk menjatuhkan nama baik Rasulullah ﷺ dan keluarga baginda. Maka dia telah menarik perhatian orang ramai dengan apa yang telah berlaku.
Dia tidaklah berkata: “Ha, tengok! Mereka telah melakukan zina.” Tetapi dia memberikan isyarat sahaja menyuruh orang lain tengok. Memang dari segi lafaz ibn Ubay tidaklah berkata A’isyah رضي الله عنها telah berzina, tetapi kita juga tahu yang dengan sorotan mata dan air muka, manusia boleh faham apakah yang kita ingin sampaikan.
لا تَحسَبوهُ شَرًّا لَّكُم
Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.
Ini ditujukan kepada keluarga Abu Bakr رضي الله عنه khususnya dan kepada Rasulullah dan umat Islam secara umumnya. Allah ﷻ memberikan pujukan – Jangan sangka yang perkara ini buruk bagi kamu kerana sebenarnya ia adalah perkara yang baik. Ada kebaikan padanya yang mungkin tidak nampak pada awalnya.
Umat Islam zaman berzaman akan menerima tuduhan palsu dari orang. Ada sahaja orang jahat yang akan menuduh kita telah melakukan sesuatu yang tidak kita lakukan. Maka ayat-ayat yang kita akan belajar ini nanti akan menjadi penyejuk jiwa, penghilang lelah dalam hati yang tidak dapat berbuat apa-apa. Kerana kita akan belajar bagaimana orang yang lebih mulia dari kita pun pernah dituduh dengan tuduhan palsu, maka terubatlah sedikit hati kita nanti dengan membaca ayat-ayat ini.
Peristiwa kekecohan tentang tuduhan itu telah berlanjutan sampai hampir satu bulan lamanya. Akhirnya turunlah ayat-ayat Qur’an yang menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya yang kita sedang baca ini. Keterangan mengenai kisah ini secara terperinci ada terdapat di dalam hadith-hadith sahih.
Ayat ini juga menunjukkan kelebihan keluarga Abu Bakr رضي الله عنه. Kerana itulah ketika Siti Aisyah رضي الله عنها sedang menjelang ajalnya, Ibnu Abbas رضي الله عنه telah masuk menjenguknya, dan Ibnu Abbas رضي الله عنه berkata untuk menghibur hatinya, “Bergembiralah kamu, sesungguhnya kamu adalah isteri Rasulullah ﷺ dan baginda sangat mencintaimu. Baginda belum pernah berkahwin dengan seorang perawan selain kamu, dan pembersihan namamu diturunkan dari langit.”
بَل هُوَ خَيرٌ لَّكُم
bahkan ia adalah baik bagi kamu.
Bagaimana pula ia boleh jadi sesuatu yang positif pula? Ini adalah kerana dengan kejadian ini, Allah ﷻ menurunkan ayat hukum dan ini memberi kebaikan kepada semua manusia. Allah ﷻ membenarkan perkara itu berlaku kerana Allah ﷻ hendak menurunkan ayat tentang perkara itu dan menjadi pengajaran sehingga ke hari kiamat.
Dan walaupun Saidatina Aisyah رضي الله عنها terseksa jiwanya kerana kejadian ini, tetapi oleh kerana beliau terlibat, maka beliau telah mendapat pahala yang berpanjangan. Oleh kerana Aisyah رضي الله عنها mengalami dugaan dan kesedihan dengan perkara ini maka setiap kali manusia mengambil pengajaran dan mempelajari tentang ayat ini, maka beliau mendapat pahala darinya.
Semua yang mengalami kesusahan ini termasuk Abu Bakr رضي الله عنه dan Rasulullah ﷺ sendiri mendapat pahala setiap kali ayat ini diajar kepada manusia.
Bayangkan bagaimana susahnya hati A’isyah رضي الله عنها waktu itu kerana selepas kejadian itu, wahyu tidak diturunkan selama 30 hari! Selalunya kalau ada timbul apa-apa permasalahan yang memerlukan keputusan, atau ada pertanyaan dari para sahabat atau musuh, ayat Qur’an cepat sahaja diturunkan. Tetapi apabila berkenaan tuduhan kepada A’isyah رضي الله عنها, dan peristiwa itu sampai melibatkan ahli keluarganya termasuk Rasulullah ﷺ sendiri, ayat dan jawapan tidak diturunkan selama 30 hari!
Ia menjadi satu musibah besar kepada A’isyah رضي الله عنها dan sesiapa sahaja yang terlibat. Dan ini mengingatkan kita kepada pengorbanan yang dilalui oleh mereka terutama ibu kita Saidatina A’isyah رضي الله عنها.
Umat Islam pada waktu itu juga diuji dengan teruk sekali kerana ini adalah perkara besar yang melibatkan Rasulullah ﷺ dan isteri baginda. Kalau zaman sekarang, entah apalah yang akan terjadi dan entah berapa ribu mesej Whatsapp akan sampai kepada semua orang. Tetapi umat Islam pada waktu itu tetap beriman dan majoriti dari mereka tidak terlibat dalam membawa mulut tentang perkara ini.
لِكُلِّ امرِئٍ مِّنهُم مَّا اكتَسَبَ مِنَ الإِثمِ
Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya.
Setiap mereka yang terlibat dalam menyampaikan tohmahan ini akan mendapat dari bahagian dosa itu. Ini kerana ada juga para sahabat seperti penyair baginda yang bernama Hassan bin Tsabit pun telah terpengaruh dengan perkara ini.
Dalam teks hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud رحم الله disebutkan nama mereka yang dihukum dera adalah Hassan ibnu Sabit, Mistah ibnu Asasah, dan Hamnah binti Jahsy. Mereka telah dikenakan dengan hukum hadd kerana kesalahan mereka menyebar fitnah.
Al-A’masy telah meriwayatkan dari Abud Duha, dari Masruq yang mengatakan bahawa ketika dia sedang berada di rumah Siti A’isyah رضي الله عنها, tiba-tiba masuklah Hassan ibnu Sabit. Lalu A’isyah رضي الله عنها memerintahkan agar disediakan bantal duduk untuknya. Setelah Hassan keluar, aku berkata kepada Aisyah رضي الله عنها, “Mengapa engkau bersikap demikian?” Yakni membiarkan dia masuk menemuimu. Menurut riwayat lain dikatakan kepada A’isyah رضي الله عنها, “Apakah engkau mengizinkan orang ini (Hassan) masuk menemuimu? Padahal Allah ﷻ telah berfirman: ‘Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar.’ (An-Nur: 11)
A’isyah رضي الله عنها menjawab, “Azab apa lagi yang lebih berat daripada kebutaan?” Sedangkan ketika itu kedua mata Hassan ibnu Sabit telah buta, barangkali hal itulah yang dijadikan azab yang hebat baginya oleh Allah ﷻ. Kemudian A’isyah رضي الله عنها berkata,” Sesungguhnya dia pernah membela Rasulullah ﷺ melalui syairnya.”
Maknanya, orang mukmin juga dikenakan hukuman Qazf itu. Dan ada riwayat yang mengatakan Abdullah bin Ubay juga dikenakan dengan hukum hadd, tetapi dia telah dikenakan dengan hukuman berganda kerana dia yang memulakan fitnah itu.
Dan kepada A’isyah رضي الله عنها juga ada bahagian pengajaran untuk beliau. Allah ﷻ memperbetulkan fahamannya yang terlalu kasih kepada Nabi ﷺ melebihi yang sepatutnya. Sedangkan manusia hendaklah hanya ada kasih yang khas kepada Allah ﷻ sahaja.
Apabila terjadi peristiwa ini maka sedarlah A’isyah رضي الله عنها bahawa Nabi Muhammad ﷺ juga adalah manusia biasa dan beliau tidak boleh berharap kepada baginda sepenuhnya melainkan A’isyah رضي الله عنها haruslah berharap sepenuhnya kepada Allah ﷻ sahaja.
Jadi ini adalah pelajaran yang besar kepada umat Islam juga kerana kita tidak boleh mengagungkan Rasulullah ﷺ sehingga ke tahap ketuhanan. Dan memang terdapat manusia yang jauh daripada ilmu wahyu, dan ghuluw dalam menyayangi baginda sampaikan mereka berdoa kepada baginda dan terlalu mengagungkan baginda melebihi dari yang sepatutnya.
Mereka memuja Nabi ﷺ melambung tinggi dan ini adalah salah kerana kita hanya boleh memuji baginda sebagaimana yang diajar oleh Allah ﷻ dan baginda sendiri telah menegur perkara ini dengan tegas dalam hadith-hadith baginda. Tidak boleh memuji lebih dari itu kerana jikalau lebih dari yang sepatutnya, ia boleh menyebabkan kufur di pihak kita.
Sebagai contoh, pada zaman sekarang kita boleh melihat bagaimana umat Islam yang berselawat kepada baginda beramai-ramai dengan suara yang kuat sedangkan perkara ini tidak diajar oleh baginda dan tidak dilakukan oleh para sahabat dan golongan salaf.
Ramai yang berkumpul di stadium dan terkinja-kinja melambai-lambai kepada baginda dengan keadaan yang jahil. Dan melafazkan kata-kata pujian yang tidak patut kerana terlalu melambung tinggi. Kita bukan mengatakan selawat itu salah tetapi cara mereka berselawat itu yang salah.
Sepatutnya kita ucapkan selawat itu dengan nada suara yang lembut sahaja dan buat bersendirian sahaja dan bukan dengan laungan suara ramai-ramai. Dan gunakan lafaz selawat yang sahih sahaja dan jangan direka selawat yang baru. Dan bukan juga membuat majlis besar-besaran yang membazir dan tidak ada gunanya kerana ia adalah majlis yang bida’ah.
Maka Allah ﷻ memberitahu yang orang yang bertanggungjawab dalam menyebarkan tohmahan kepada orang baik akan dibalas oleh Allah ﷻ. Kita sendiri tidak dapat membalasnya kerana kita tidak tahu siapa yang memulakan tohmahan, siapa yang menyebarnya, siapa yang “forward message” di dalam Whatsapp dan sebagainya. Kadang-kadang ada orang yang aktif membawakan berita palsu dan ada yang hanya menggelengkan kepala sahaja (maknanya tidak mempertahankan nama baik orang itu). Jadi ada beza kadar usaha mereka dalam menyebarkan fitnah dan berbeza dari segi kesan-kesan perbuatan mereka itu.
Kita tidak dapat membalasnya, tetapi Allah ﷻ mengetahui segala perbuatan manusia. Allah ﷻ mengetahui setakat mana kesan penyebaran fitnah itu memberi kesan kepada yang difitnah. Maka Allah ﷻ akan membalasnya sendiri kepada mereka. Maka kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ akan pasti memberikan balasan yang setimpal dan Allah ﷻ tidak akan berlaku zalim.
وَالَّذي تَوَلّىٰ كِبرَهُ مِنهُم لَهُ عَذابٌ عَظيمٌ
Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.
Dan orang yang paling bertanggungjawab dalam menyebarkan berita palsu ini, iaitu Abdullah bin Ubai akan mendapat balasan azab yang paling besar. Juga termasuk dengan golongan munafik yang memang ada niat jahat terhadap Rasulullah ﷺ dan keluarga baginda.
Mereka itu adalah golongan munafik yang menunggu sahaja peluang untuk mencemarkan nama baik Nabi Muhammad ﷺ. Apabila mereka melihat A’isyah رضي الله عنها bersama dengan Safwan رضي الله عنه di dalam perjalanan pulang selepas beliau tertinggal isterinya itu, maka mereka nampak itu adalah peluang keemasan dan mereka tidak tinggalkan peluang itu.
Ini berbeza dengan golongan yang tidak ada niat jahat, tetapi mereka termakan dan tertipu sahaja dengan keadaan. Mereka ini pun berdosa juga tetapi tidaklah sebanyak dosa puak yang ada niat yang jahat.
Maka kita tidak tahu siapakah yang memulakan berita palsu dan kita tidak tahu siapakah yang paling banyak memberi kesan kepada tohmahan itu. Tetapi Allah ﷻ Maha Mengetahui siapa mereka itu dan Allah ﷻ akan membalasnya dengan setimpal.
Kisah ini termaktub di dalam Qur’an tetapi golongan selepas sahabat tidak tahu kisah di sebaliknya. Maka mereka telah bertemu dengan Ummul Mukminin A’isyah رضي الله عنها bertanyakan tentang hal itu. Jadi sekarang kita boleh baca sendiri kisah tersebut dari A’isyah رضي الله عنها sendiri dan diceritakan 50 tahun selepas kejadian itu:
Apabila Rasulullah ﷺ hendak keluar dalam suatu perjalanan selalu mengadakan undian di antara para isteri baginda dan siapa di antara mereka yang keluar undiannya, maka Rasulullah ﷺ akan berangkat bersamanya. Aisyah رضي الله عنها berkata: Lalu Rasulullah ﷺ mengundi di antara kami untuk menentukan siapakah yang akan mengikutinya di dalam perang dan ternyata keluarlah undianku sehingga aku pun berangkat bersama Rasulullah ﷺ. Peristiwa itu terjadi setelah diturunkan ayat hijab (Al-Ahzab ayat 53) di mana aku dibawa dalam sekedup dan ditempatkan di sana selama perjalanan kami.
[Kebiasaan Rasulullah ﷺ adalah akan membawa salah seorang isterinya dalam musafir termasuk dalam peperangan. Maka undian akan dibuat untuk menentukan siapa yang akan mengikuti di dalam ekspedisi itu. Aisyah رضي الله عنها menceritakan bahawa para isteri Nabi ﷺ tidak boleh dilihat seperti orang lain dan walaupun beliau mengikuti rombongan peperangan itu, tetapi beliau hanya duduk di dalam ‘tandu’/sekedup sepanjang masa.]
Pada suatu malam ketika Rasulullah ﷺ selesai berperang lalu pulang dan kami telah mendekati Madinah, beliau memberikan isyarat untuk berangkat. Aku segera bangkit setelah mendengar mereka mengumumkan keberangkatan lalu berjalan sampai jauh meninggalkan pasukan tentera. Selesai melaksanakan hajat, aku hendak langsung menghampiri unta tungganganku namun saat meraba dada, ternyata kalungku yang terbuat dari mutiara Zifar telah putus. Aku kembali untuk mencari kalungku sehingga tertahan kerana pencarian itu. Sementara orang-orang yang bertugas membawaku mereka telah mengangkat sekedup itu dan meletakkannya ke atas punggung untaku yang biasa aku tunggangi kerana mereka mengira aku telah berada di dalamnya.
[Kalung itu bukanlah kalung yang mahal. Dalam riwayat lain disebut ianya adalah batu yang diikat dengan tali sahaja. Tapi oleh kerana ia adalah pemberian Rasulullah ﷺ, maka Aisyah رضي الله عنها sangat sayangkan kalung itu. Itulah sebabnya beliau sanggup mencarinya apabila beliau tersedar ia telah jatuh.]
Dia menambahkan: Kaum wanita pada waktu itu memang bertubuh ringan dan langsing tidak banyak ditutupi daging kerana mereka hanya makan sedikit sehingga orang-orang itu tidak merasakan beratnya sekedup ketika mereka mengangkatnya ke atas unta. Apalagi ketika itu aku anak perempuan yang masih belia.
Mereka pun segera menggerakkan unta itu dan terus berangkat. Aku baru menemukan kalung itu setelah pasukan tentera berlalu. Kemudian aku mendatangi tempat perhentian mereka, namun tidak ada seorang pun di sana. Lalu aku menuju ke tempat yang sama semula dengan harapan mereka akan merasai kehilangan dan kembali menjemputku.
[Aisyah رضي الله عنها menceritakan bagaimana beliau boleh tertinggal dari rombongan Rasulullah ﷺ. Ini kerana orang yang mengangkat tandunya itu tidak menyangkakan yang beliau tidak ada di dalamnya semasa mereka mengangkat tandu itu naik ke atas unta.]
Ketika aku sedang duduk di tempatku rasa mengantuk telah mengalahkanku sehingga aku pun tertidur. Ternyata ada Shafwan bin Muaththal As-Sulami Az-Dzakwani رضي الله عنه yang tertinggal di belakang pasukan sehingga baru dapat berangkat pada malam hari dan keesokan paginya dia sampai di tempatku.
Dia melihat bayangan hitam seperti seorang yang sedang tidur lalu dia mendatangi dan langsung mengenali ketika melihatku kerana dia pernah melihatku sebelum diwajibkan hijab. Aku terbangun oleh ucapannya, “inna lillaahi wa inna ilaihi raji`uun” pada saat dia mengenaliku. Aku segera menutupi wajahku dengan kerudung dan demi Allah ﷻ, dia sama sekali tidak mengajakku bicara sepatah kata pun dan aku pun tidak mendengar satu kata pun darinya selain ucapan “inna lillahi wa inna ilaihi raji`uun”.
[Kebiasaan Rasulullah ﷺ adalah menghantar satu pasukan peninjau sehari di hadapan rombongan untuk melihat jika ada halangan. Dan satu pasukan lagi di belakang untuk mengawal jikalau ada pasukan musuh yang hendak menyerang. Dan dia juga akan meninjau dan mengutip jikalau ada barang-barang yang tertinggal dari rombongan. Maka dalam kisah ini, yang ditugaskan mengikut di belakang adalah Safwan رضي الله عنه ini.]
Kemudian beliau menurunkan untanya dan memijak kakinya, sehingga aku dapat menaikinya. Dan beliau pun berangkat sambil menuntun unta yang aku tunggangi hingga kami dapat menyusul pasukan yang sedang berteduh di tengah hari yang sangat panas.
[Aisyah رضي الله عنها hendak menekankan yang Safwan رضي الله عنه tidak pernah bercakap dengannya sepanjang perjalanan itu dan tidak naik unta dengannya. Maka memang tidak ada interaksi antara mereka.]
Maka celakalah orang-orang yang telah menuduhku di mana yang paling besar berperanan ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Sampai kami tiba di Madinah dan aku pun segera menderita sakit setiba di sana selama sebulan. Sementara orang-orang ramai membicarakan tuduhan para pembuat berita bohong padahal aku sendiri tidak mengetahui sedikit pun tentang hal itu.
[Aisyah رضي الله عنها menyebut nama Abdullah bin Ubay sebagai orang yang bertanggungjawab memulakan kisah tuduhan kepadanya. Ini kerana Abdullah bin Ubay nampak kelibat Aisyah رضي الله عنها dan Safwan رضي الله عنه bermusafir bersama di malam hari dan dia nampak ini peluang untuk menjatuhkan nama ahli keluarga Rasul ﷺ dan seterusnya menjatuhkan baginda. Aisyah رضي الله عنها menceritakan kisah ini kepada orang muda yang bertanya, 50 tahun selepas kejadian itu kerana mereka mungkin tidak tahu.]
Yang membuatku gelisah selama sakit adalah bahawa aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah ﷺ yang biasanya kurasakan ketika aku sakit. Rasulullah ﷺ hanya masuk menemuiku, mengucapkan salam, kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu?
[Selama sebulan Aisyah رضي الله عنها duduk di rumah sahaja kerana sakit dan kerana itu beliau tidak mengetahui bahawa Madinah telah kecoh dengan kisahnya dan Safwan رضي الله عنه. Yang rapat dengan Aisyah رضي الله عنها tidak sanggup hendak menceritakan kisah yang sedang berlegar kerana bimbang Aisyah رضي الله عنها yang sedang sakit itu akan lebih sakit lagi kalau beliau tahu.
Rasulullah ﷺ pun sebenarnya terkesan dengan keadaan itu dan baginda tidak dapat berbuat apa-apa. Baginda cuma datang menjenguk Aisyah رضي الله عنها dan tidak bersembang dengan Aisyah رضي الله عنها seperti selalu.
Kenapa baginda tidak bersembang? Kerana keadaan sudah kecoh dan baginda bimbang kalau baginda bersembang dengan Aisyah رضي الله عنها, maka Aisyah رضي الله عنها akan nampak kegelisahan pada wajah baginda dan akan bertanya dan baginda risau jika baginda tidak dapat menyembunyikan kisah itu lagi. Seorang isteri tentu tahu kalau suaminya dalam keadaan gelisah dan ada masalah. Maka kerana itu Rasulullah ﷺ mengelak dari bercakap terus dengan Aisyah رضي الله عنها.]
Hal itu membuatku gelisah, tetapi aku tidak merasakan adanya keburukan, sampai ketika aku keluar setelah sembuh bersama Ummu Misthah ke tempat pembuangan air besar di mana kami hanya keluar ke sana pada malam hari sebelum kami membangun tempat membuang kotoran di dekat rumah-rumah kami. Kebiasaan kami sama seperti orang-orang Arab dahulu dalam buang air. Kami berasa terganggu dengan tempat-tempat itu bila berada di dekat rumah kami.
Aku pun berangkat dengan Ummu Misthah, seorang anak perempuan Abu Ruhum bin Muthalib bin Abdi Manaf dan ibunya adalah putri Shakher bin Amir, bibi Abu Bakar Sidiq رضي الله عنه. Anaknya bernama Misthah bin Utsatsah bin Abbad bin Muththalib.
Aku dan puteri Abu Ruhum langsung menuju ke arah rumahku sesudah selesai buang air. Tiba-tiba Ummu Misthah tergelincir dalam pakaian yang menutupi tubuhnya sehingga terucaplah dari mulutnya kalimat: Celakalah Misthah!
[Keadaan Aisyah رضي الله عنها waktu itu sudah sedikit lega dari sakitnya dan beliau sudah boleh pergi menunaikan qadha hajat jauh dari rumah. Dan sekarang kita membaca bagaimana kisah tentangnya sudah mula terbuka padanya. Sebelum ini kisah itu telah disembunyikan darinya tetapi pembantunya, Ummu Misthah telah terbuka kisah dengan tidak sengaja.]
Aku berkata kepadanya: Alangkah buruknya apa yang kau ucapkan! Apakah engkau memaki orang yang telah mengikut serta dalam perang Badar? Ummu Misthah berkata: Wahai junjunganku, tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan?
Aku menjawab: Memangnya apa yang dia katakan? Ummu Misthah lalu menceritakan kepadaku tuduhan para pembuat cerita bohong sehingga penyakitku semakin bertambah parah.
[Lihatlah bagaimana penghormatan Aisyah رضي الله عنها terhadap ahli Badr. Padanya tidak sepatutnya seorang ahli Badr dicelakakan sebegitu rupa (walaupun itu emak Misthah sendiri. Misthah ini walaupun seorang mukmin, tetapi dia di antara yang terlibat dalam membawa dan menyebarkan kisah yang tidak benar tentang Aisyah رضي الله عنها dan kerana itu ibunya pun memarahinya.) Maka sekarang kisah telah terbongkar kepada Aisyah رضي الله عنها]
Ketika aku kembali ke rumah, Rasulullah ﷺ masuk menemuiku, baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku berkata: Apakah engkau mengizinkan aku mendatangi kedua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin meyakinkan khabar itu dari kedua orang tuaku. Begitu Rasulullah ﷺ memberiku izin, aku pun segera pergi ke rumah orang tuaku.
Sesampai di sana, aku bertanya kepada ibu: Wahai ibuku, apakah yang dikatakan oleh orang-orang mengenai diriku? Ibu menjawab: Wahai anakku, tenanglah! Demi Allah ﷻ, jarang sekali ada wanita cantik yang sangat dicintai suaminya dan mempunyai beberapa madu, kecuali pasti banyak berita kotor dilontarkan kepadanya.
[Ini adalah pendapat ibu Aisyah رضي الله عنها sahaja. Padanya, kisah itu disebarkan oleh madunya yang lain yang cemburu dengan hubungan baik suami mereka (Rasulullah ﷺ) dengan Aisyah رضي الله عنها. Mereka kononnya hendak menaikkan diri mereka dan kerana itu akan berkata tidak elok tentang madu yang lain.]
Aku berkata: Maha suci Allah ﷻ! Apakah sampai begitu orang-orang membicarakanku? Aku menangis malam itu sampai pagi air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur dengan nyenyak. Pada pagi harinya, aku masih sahaja menangis.
[Aisyah رضي الله عنها tidak melayani teori ibunya itu kerana beliau memandang baik madunya yang lain. Begitulah juga dengan ibu kita, kita tidak menegur mereka dengan keras. Lihatlah Aisyah رضي الله عنها tidak memarahi ibunya berkata begitu. Tetapi tidaklah beliau melayani teori tidak benar dari ibunya itu.]
Beberapa waktu kemudian Rasulullah ﷺ memanggil Ali bin Abu Thalib رضي الله عنه dan Usamah bin Zaid رضي الله عنه untuk membicarakan tentang perceraian dengan isterinya ketika wahyu tidak kunjung turun. Usamah bin Zaid رضي الله عنه memberikan pertimbangan kepada Rasulullah ﷺ sesuai dengan beliau ketahui tentang kebersihan isterinya (dari tuduhan) dan berdasarkan kecintaan dalam dirinya yang beliau ketahui terhadap keluarga Nabi ﷺ.
Beliau berkata: Ya Rasulullah ﷺ, mereka adalah keluargamu dan kami tidak mengetahui dari mereka kecuali kebaikan.
[Rasulullah ﷺ tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Selama sebulan wahyu tidak turun untuk memberi penjelasan tentang keadaan ini. Baginda mesti membuat keputusan apa yang hendak dilakukan kerana baginda mempunyai tugas yang lebih besar lagi untuk meneruskan dakwah dan memberi ajaran agama.
Baginda merasakan wahyu tidak turun mesti ada kena mengena dengan kisah Aisyah رضي الله عنها itu. Maka baginda harus membuat keputusan sama ada hendak menceraikan Aisyah رضي الله عنها ataupun tidak. Tetapi sebelum itu baginda meminta pendapat dari dua orang sahabat yang muda: Usamah رضي الله عنه dan Ali رضي الله عنه. Mereka berdua adalah ahli rumah Rasulullah ﷺ, jadi baginda berharap mereka dapat memberitahu baginda apa-apa yang baginda tidak ketahui.
Ali رضي الله عنه sudah kita kenali adalah sepupu baginda dan sangat rapat dengan baginda. Usamah رضي الله عنه pula adalah anak kepada anak angkatnya Zaid ibn Harithah. Ini mengajar kita yang tidak salah kalau meminta pendapat dari orang muda.]
Sedangkan Ali bin Abu Thalib رضي الله عنه berkata: Semoga Allah ﷻ tidak menyesakkan hatimu kerana perkara ini, banyak wanita selain dia (Aisyah رضي الله عنها). Jika engkau bertanya kepada budak perempuan itu (pembantu rumah tangga Aisyah رضي الله عنها) tentu dia akan memberimu keterangan yang benar.
[Usamah رضي الله عنه telah memberikan jawapan yang menyokong Aisyah رضي الله عنها. Kemudian Ali رضي الله عنه pula memberikan jawapan yang umum kepada Nabi ﷺ yang kalau baginda hendak ceraikan Aisyah رضي الله عنها, boleh sahaja. Ada banyak lagi wanita lain yang baginda boleh nikahi.
Ada yang mengatakan insiden inilah yang menyebabkan Aisyah رضي الله عنها mendendami Ali رضي الله عنه tapi ini tidak benar melainkan tohmahan dari golongan Syiah sahaja.]
Lalu Rasulullah ﷺ memanggil Barirah (jariyah yang dimaksud) dan bertanya: Hai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang membuatmu ragu tentang Aisyah رضي الله عنها?
Barirah menjawab: Demi Zat yang telah mengutusmu membawa kebenaran! Tidak ada perkara buruk yang aku lihat dari dirinya kecuali bahawa Aisyah رضي الله عنها adalah seorang perempuan yang masih muda belia, yang biasa tidur di samping adunan roti keluarga lalu datanglah haiwan-haiwan ternak memakani adunan itu.
[Pembantu Aisyah رضي الله عنها sendiri tidak ada maklumat buruk tentang Aisyah رضي الله عنها. Maka Nabi ﷺ pun terus buntu tidak tahu hendak berbuat apa lagi.]
Kemudian Rasulullah ﷺ berdiri di atas mimbar meminta bukti dari Abdullah bin Ubay bin Salul. Di atas mimbar itu, Rasulullah ﷺ bersabda: Wahai kaum muslimin, siapakah yang mahu menolongku dari seorang yang telah sampai hati melukai hati keluargaku? Demi Allah ﷻ! Yang kuketahui pada keluargaku hanyalah kebaikan. Orang-orang juga telah menyebut-nyebut seorang lelaki yang kuketahui baik. Dia tidak pernah datang ke rumahku melainkan aku ada bersama.
[Nabi ﷺ cuba untuk menyelesaikan perkara ini di khalayak umum. Maka baginda mengumumkan dan menawarkan sesiapa sahaja untuk membunuh Abdullah bin Ubay tetapi baginda tidak menyebut namanya. Maka keadaan menjadi kecoh.]
Maka berdirilah Saad bin Muaz Al-Anshari seraya berkata: Aku yang akan menolongmu dari orang itu, wahai Rasulullah ﷺ. Jika dia dari golongan Aus, aku akan memenggal lehernya dan kalau dia termasuk saudara kami dari golongan Khazraj, maka engkau dapat memerintahkanku dan aku akan melaksanakan perintahmu.
Mendengar itu, berdirilah Saad bin Ubadah. Dia adalah pemimpin golongan Khazraj dan seorang lelaki yang baik tetapi amarahnya bangkit kerana merasakan fanatik golongan. Dia berkata tertuju kepada Saad bin Muaz: Engkau salah! Demi Allah ﷻ, engkau tidak akan membunuhnya dan tidak akan mampu untuk membunuhnya!
Lalu Usaid bin Hudhair saudara sepupu Saad bin Muaz, berdiri dan berkata kepada Saad bin Ubadah: Engkau salah! Demi Allah ﷻ, kami pasti akan membunuhnya! Engkau adalah orang munafik yang berdebat untuk membela orang-orang munafik.
Bangkitlah amarah kedua golongan yaitu Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir saling berkelahi dan Rasulullah ﷺ masih berdiri di atas mimbar terus berusaha meredakan emosi mereka mereka hingga mereka diam dan Rasulullah ﷺ diam.
[Keadaan menjadi terus kecoh dan boleh menyebabkan perpecahan yang lebih besar. Masalah menjadi semakin rumit dan tidak dapat diselesaikan lagi.]
Sementara itu, aku menangis sepanjang hari, air mataku tidak berhenti mengalir dan aku pun tidak berasa nyenyak dalam tidur. Aku masih sahaja menangis pada malam berikutnya, air mataku tidak berhenti mengalir dan juga tidak merasa enak tidur.
Kedua orang tuaku mengira bahawa tangisku itu akan membelah jantungku. Ketika kedua orang tuaku sedang duduk di sisiku yang masih menangis, datanglah seorang perempuan Ansar meminta izin menemuiku. Aku memberinya izin lalu dia pun duduk sambil menangis.
[Tidak disebut nama wanita itu. Mungkin kerana Aisyah رضي الله عنها sendiri tidak mengenalinya. Tetapi dia cuma datang untuk sama-sama menemankan Aisyah رضي الله عنها yang waktu itu memerlukan teman. Kiranya jadi teman menangis sahaja. Memang wanita begitu, memerlukan teman untuk menenangkan hati.]
Pada saat kami sedang dalam keadaan demikian, Rasulullah ﷺ masuk. Baginda memberi salam, lalu duduk. Baginda belum pernah duduk mendekat diriku semenjak ada tuduhan yang bukan-bukan terhadapku, padahal sebulan telah berlalu tanpa turun wahyu kepada baginda mengenai persoalanku.
Rasulullah ﷺ mengucap syahadat pada waktu duduk kemudian bersabda: Selanjutnya. Hai Aisyah رضي الله عنها, sesungguhnya telah sampai kepadaku bermacam tuduhan tentang dirimu. Jika engkau memang bersih, Allah ﷻ pasti akan membersihkan dirimu dari tuduhan-tuduhan itu. Tetapi kalau engkau memang telah berbuat dosa, maka mohonlah ampun kepada Allah ﷻ dan bertaubatlah kepada-Nya. Sebab, bila seorang hamba mengakui dosanya kemudian bertaubat, tentu Allah ﷻ akan menerima taubatnya.
[Rasulullah ﷺ terpaksa bertanyakan perkara ini kepada Aisyah رضي الله عنها kerana baginda sendiri tidak mengetahui akan perkara ghaib. Baginda tidak tahu sama ada Aisyah رضي الله عنها bersih atau tidak dari tuduhan itu. Maka kerana itu baginda bertanya.
Ini adalah pengajaran yang amat penting sekali kerana nanti kita akan belajar: apabila ada tuduhan zina terhadap seorang mukmin, kita haruslah terus menolaknya dengan mengatakan itu tidak benar.
Tetapi bagi keluarga sendiri, mereka boleh bertanya dan ini telah dijadikan sunnah oleh Rasulullah ﷺ dalam hadis ini. Kalaulah Nabi ﷺ tidak bertanya perkara ini kepada Aisyah رضي الله عنها, maka selamanya tidak ada orang yang boleh mempersoalkan ahli keluarga sendiri yang dituduh berzina. Maka tentu selamat sahajalah ahli keluarga yang benar-benar berzina.]
Ketika Rasulullah ﷺ selesai berbicara, air mataku pun habis sehingga aku tidak merasakan satu titis pun terjatuh. Lalu aku berkata kepada ayahku: Jawablah untukku kepada Rasulullah ﷺ mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menyahut: Demi Allah ﷻ, aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepada Rasulullah ﷺ.
Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jawablah untukku kepada Rasulullah ﷺ! Ibuku juga berkata: Demi Allah ﷻ, aku tidak tahu apa yang harus kukatakan kepada Rasulullah ﷺ.
Maka aku pun berkata: Aku adalah seorang perempuan yang masih muda belia. Aku tidak banyak mengetahui ayat-ayat Al-Quran lagi. Demi Allah ﷻ, aku tahu bahawa kalian telah mendengar semua ini, hingga masuk ke hati kalian, bahkan kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian, bahawa aku bersih dan Allah ﷻ pun tahu bahawa aku bersih, mungkin kalian tidak juga mempercayaiku.
Dan jika aku mengakui hal itu di hadapan kalian, sedangkan Allah ﷻ mengetahui bahawa aku bersih, tentu kalian akan mempercayaiku. Demi Allah ﷻ, aku tidak menemukan perumpamaan yang tepat bagiku dan bagi kalian, kecuali sebagaimana dikatakan ayah Nabi Yusuf عليه السلام: Kesabaran yang baik itulah kesabaranku. Dan Allah ﷻ sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kalian ceritakan.
[Nampak seperti Aisyah رضي الله عنها tidak mendapat sokongan dari suami, ibu dan bapanya sendiri. Maka Aisyah رضي الله عنها berasa marah dengan keadaan itu kerana keluarga sendiri tidak mempercayai kesuciannya. Maka beliau telah berkata yang agak keras kepada mereka.
Ini mengajar kita, kadangkala apabila seseorang itu sedang marah, maka dia dibenarkan untuk berkata sebegitu kerana emosinya terganggu. Janganlah kita memarahinya pula: “Berani kau kata begitu kepada ibu, bapa dan suami kau?!”. Kita haruslah faham dengan keadaan mereka. Mereka sedang marah kerana emosi mereka terganggu.]
Kemudian aku pindah dan berbaring di tempat tidurku. Demi Allah ﷻ, pada saat itu aku yakin diriku bersih dan Allah ﷻ akan menunjukkan kebersihanku. Tetapi, sungguh aku tidak sangka akan diturunkan wahyu tentang persoalanku. Aku kira persoalanku terlalu remeh untuk dibicarakan Allah ﷻ dengan wahyu yang diturunkan. Namun, aku berharap Rasulullah ﷺ akan bermimpi bahawa Allah ﷻ membersihkan diriku dari fitnah itu.
Rasulullah ﷺ belum lagi meninggalkan tempat duduknya dan tidak ada seorang pun dari isi rumah yang keluar, ketika Allah ﷻ menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya. Tampak Rasulullah ﷺ merasa kepayahan seperti biasanya apabila baginda menerima wahyu, hingga bertetesan keringat beliau bagaikan mutiara di musim dingin, kerana beratnya firman yang diturunkan kepada baginda. Ketika keadaan yang demikian telah hilang dari Rasulullah ﷺ (wahyu telah selesai turun), maka sambil tertawa perkataan yang pertama kali baginda ucapkan adalah:
Bergembiralah, wahai Aisyah, sesungguhnya Allah ﷻ telah membersihkan dirimu dari tuduhan. Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah! Sambutlah baginda! Aku menjawab: Demi Allah ﷻ, aku tidak akan bangun menyambut baginda. Aku hanya akan memuji syukur kepada Allah ﷻ. Dialah yang telah menurunkan ayat Al-Quran yang menyatakan kebersihanku.
Allah ﷻ menurunkan ayat: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golonganmu juga, dan sepuluh ayat berikutnya.
[Setelah sebulan, akhirnya Allah ﷻ menurunkan ayat-ayat dari Surah Nur ini membersihkan nama Aisyah رضي الله عنها. Maka jelaslah sekarang yang kata-kata tuduhan berkenaan Aisyah رضي الله عنها itu adalah berita bohong sahaja. Nama Aisyah رضي الله عنها telah dibersihkan dengan cara Allah menurunkan wahyu.
Tetapi Aisyah رضي الله عنها nampaknya tidak berterima kasih kepada Rasulullah ﷺ kerana beliau sedar yang Rasulullah ﷺ sendiri tidak boleh berbuat apa-apa kerana baginda tidak mengetahui akan berita ghaib melainkan diberikan oleh Allah ﷻ. Maka kerana itu Aisyah رضي الله عنها tidak pergi kepada Rasulullah ﷺ dan kerana beliau masih marah dengan baginda.]
Allah ﷻ menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku. Abu Bakar yang selalu memberikan nafkah kepada Misthah kerana kekerabatan dan kemiskinannya, pada saat itu mengatakan: Demi Allah ﷻ, aku tidak akan lagi memberikan nafkah kepadanya sedikit pun selamanya, sesudah apa yang dia katakan terhadap Aisyah.
Sebagai teguran di atas ucapan itu, Allah ﷻ menurunkan ayat selanjutnya: Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kalian, bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat mereka, orang-orang miskin sampai pada firman-Nya: Apakah kalian tidak ingin bahawa Allah mengampuni kalian.
(Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Mubarak berkata: Ini adalah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah ﷻ). Maka berkatalah Abu Bakar: Demi Allah, tentu sahaja aku sangat menginginkan keampunan dari Allah. Selanjutnya beliau (Abu Bakar رضي الله عنه) kembali memberikan nafkah kepada Misthah seperti sediakala dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberikannya nafkah untuk selamanya.
[Kisah tentang Abu Bakr رضي الله عنه dan Misthah ini kita akan belajar di ayat-ayat berkenaannya nanti.]
Aisyah meneruskan: Rasulullah ﷺ pernah bertanya kepada Zainab binti Jahsy isteri Nabi ﷺ tentang persoalanku: Apa yang kamu ketahui? Atau apa pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku (dari hal-hal yang tidak layak). Demi Allah yang kuketahui hanyalah kebaikan.
Aisyah berkata: Padahal dialah yang menyaingi kecantikanku dari antara para isteri Nabi. Allah menganugerahinya dengan sikap warak (menjauhkan diri dari maksiat dan perkara meragukan) lalu mulailah saudara perempuannya, iaitu Hamnah binti Jahsy, membelanya dengan rasa fanatik (yakni ikut menyebarkan apa yang dikatakan oleh pembuat cerita bohong). Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka.
[Inilah yang patut dilakukan oleh seorang mukmin terhadap mukmin yang lain apabila kisah tentang tuduhan zina dilemparkan kepada mereka.]
(Hadis ini riwayat Sahih Muslim)
Begitulah kisah Sayyidah Aisyah رضي الله عنها yang kita patut tahu. Kita juga kena tahu bahawa beliau adalah seorang yang hebat dan mempunyai banyak kelebihan. Antaranya:
1. Sebelum Rasulullah ﷺ bernikah dengan Aisyah رضي الله عنها, baginda telah diberitahu oleh Jibril عليه السلام yang beliau adalah bakal isteri baginda.
2. Semua isteri Rasulullah ﷺ adalah janda kecuali Sayyidah Aisyah رضي الله عنها.
3. Baginda wafat di pangkuannya.
4. Baginda dikebumikan di rumah Sayyidah Aisyah رضي الله عنها.
5. Baginda pernah mendapat wahyu semasa di bawah selimut yang sama dengan Sayyidah Aisyah رضي الله عنها. Ini tidak pernah berlaku dengan para isteri baginda yang lain.
6. Pembersihan namanya dihantar dari langit dan dimasukkan dalam Qur’an seperti yang kita belajar dalam surah ini. Allah ﷻ turunkan 10 ayat untuk membersihkan nama beliau.
7. Beliau adalah anak seorang Khalifah iaitu Abu Bakr رضي الله عنه.
Dan ada banyak lagi kelebihan Sayyidah Aisyah رضي الله عنها yang tidak dapat kita hendak senaraikan di sini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 25 Mei 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani
One thought on “Tafsir Surah an-Nur Ayat 11 (Peristiwa ifk A’isyah)”